Monday, June 29, 2009

Kembali

Alhamdulillah.

Hampir sebulan saya tidak menukil apa-apa.
Peperiksaan semester dua telah saya harungi.
Rumah baru berjaya dibina, kini empat jumlah penghuninya.
Semalam baru tiba ke Irbid usai 10 hari bermusafir di bumi Madinah dan Mekah menunaikan umrah.
Lagi 6 hari kelas musim panas akan bermula.
Kurang 3 minggu mesyuarat agung PERMAI bakal menjelma.
Musim panas yang akan mengikat saya dengan jadual yang padat.

Banyak perkara ingin dinukil sepanjang lorong tikungan yang saya derapkan langkah selama hilangnya saya dari alam maya.
Tunggu jaringan langit terbuka menjengah teratak baru saya, akan saya catat untuk dikongsi bersama.

Menanti lagu bahagia, meski deru angin menggoncang dunia.

~mahasiswapena~

Monday, June 1, 2009

Mati


Bahang.

Sekarang ini, kalau berjalanan di luar rumah sangat terasa kehangatan teriknya mentari di dada langit. Kalau duduk di rumah pula, memasang kipas yang ligat dan menghembuskan nyaman ke segenap kulit tubuh, mahu sahaja dibuai lena.

Ada 5 hari lagi sebelum peperiksaan menjelma.
Waktu rehat perlu dikurangkan,
waktu tidur perlu dikorbankan.

Bicara soal tidur, ada satu artikel saya pernah tuliskan pada tahun lepas.

Sebelum itu, sedikit fakta tentang tidur untuk dikongsi. Jadi, selepas ini kita boleh tidur berilmu ( maksudnya tahulah serba sikit pasal proses tidur kita ni ye.. :)

1. Slow-wave sleep (SWS)- 80% waktu tidur orang dewasa. Senang untuk dikejutkan. Sangat penting untuk memperbaharui proses biochemical dan phisiology.
2. Rapid eye movement sleep ( REM )- 20% waktu tidur orang dewasa. Mimpi berlaku pada waktu ini. Penting dalam proses penyelarasan struktur dan chemical yang diperlukan proses belajar dan ingatan.

Tidur Sementara VS Mati Dalam Jaga

(i)

Dunia sedia maklum si tidur yang sedap berdengkur tidak sedar dan ambil tahu akan keadaan sekelilingnya, jiran sebelah disamun bersenjata, anak kecil bangun meminta susu ibunya, si ayah tetap lena.
Dunia juga sudah letih dengan wujudnya yang manusia yang terbuka matanya, telinga capangnya menyerap segala bunyi dari kanan dan kiri, namun tetap bersikap tidak peduli.
Yang penting perut sendiri terisi, selamat anak bini.

( ii )

Kita sendiri pernah alami mimpi tanpa diundang.
Dari seindah mimpi berkahwin insan tersayang hingga dikejar dek jembalang.
Kita sendiri tahu banyak banyak manusia mencipta mimpi dan angan tak sudah dalam jaganya.
Dari pagi sampai ke malam memanjang angan-angan,
sampai ke tua meminggir di bahu jalan.

(iii)

Orang yang sedang tidur senang untuk disedarkan apabila dalam keadaan slow-wave sleep ( SWS ). Kalau ditepuk sekali, melatah dan menyanyi pun boleh jadi.
Namun yang tak tidur, tapi besar dan keras kepala, sukar untuk disedarkan apabila dia melakukan kesilapan hatta sudah ditimpa kesusahan.
Ego menggunung tinggi, katanya " lantak akulah apa ko peduli! "

Kesimpulannya, lebih baik tidur sementara daripada mati dalam jaga.

-ke mana perginya air pancut, kanak-kanak bertopi merah, abang-abang baju biru. adakah mereka datang sebab pasukan warna biru? tak meriah seperti selalu. huhu
-Alhamdulillah, kebenaran keluar Jordan sudah diperolehi, rasa rindu pada Mekah dan Madinah semakin membalut hati