Thursday, June 30, 2011

Sebuah Misi


Muhammad Al-Fateh.

Konstantinopel.

Sebaik-baik raja, sebaik-baik tentera.


Kalimah-kalimah ini sering saya dengar sebelum ini, namun tidak difahami dan dihayati secara dekat di hati.

Sultan Muhammad bin Murad, penakhluk kota Konstatinople, pusat pentadbiran kerajaan Byzantine pada 1453 M memberikan satu signifikasi soal pembinaan diri, pembentukan dan pengislahan komuniti, yang seterusnya menggerak dan menjayakan misi dan visi.

Menyelami bait-bait perjalanan pembentukan peribadi dan kepepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh, nuansa-nuansa keindahan ilmu yang berkembang menjadi tunjang keutuhan ketamadunan Uthmaniyah, peranan ulama dalam memacu arah tuju pentadbiran, pasakan aqidah dan kekuatan amal yang menjadi paksi kekuatan armada laut dan pasukan darat cukup memberikan khabar bahawa pembinaan generasi penawan Konstatinople adalah satu proses yang panjang dan memerlukan usaha terancang.

Penyatuan syariatullah dan sunnatullah dalam merencanakan agenda penawan kota, adab berperang dipegang, penyucian rohani jadi akar kekuatan jasmani, bacaan pergerakan bulan memberikan kelebihan ,pengusaaan teknologi senjata ditingkatkan, bahasa lawan dipelajari, semua menjadi bukti bahawa kejayaan bukan mudah untuk dicapai, tetapi bukan mustahil untuk digapai.

Ia adalah sejarah lebih 500 tahun dahulu, yang membicarakan sesuatu dengan bisikan-bisikan pengajaran dan semangat bagi sesiapa yang menginginkannya. Sejarah hanya bermakna pada Ulil Albab. Firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 11 :

" Pada kisah-kisah mereka itu, terdapat pengajaran untuk mereka yang sempurna dan tajam akal fikirannya "


~ Akademi Al-Fateh. Rasai dan jalani sebuah jalan membentuk peribadi dan team bersinergi.





Friday, June 24, 2011

Kad Biru

Alhamdulillah, setelah melalui hari-hari berliku dan indah, sekeping kad biru itu sudah ada dalam genggaman saya

Lesen memandu, walaupun nampak simple, namun cukup bermakna buat orang yang sudah berumur macam saya ini memilikinya. Akibat cuai dalam menyusun masa lepas tamat SPM, saya tidak sempat untuk ambil lesen ketika itu.

Ingat lagi pertama kali memegang stereng kereta Mazda pendek , emak duduk di sebelah, main pusing-pusing dalam padang sekolah rendah, cuak rasanya bila emak sendiri mengajar, garang!..haha. 5 tahun lepas, selepas itu tidak pernah memandu.

Di Jordan.

4 bulan lalu entah kenapa hati memang nak cepat sangat dapat lesen.
Walaupun sibuk dengan klinikal yang bermula pagi hingga ke petang, saya daftarkan diri dan hari pertama sudah kena round di sekitar Irbid termasuk celah lorong balad ( pusat bandar ) di sini.

Setiap petang hingga ke maghrib, terasa lapang dan nyaman, memandu jalan-jalan yang tak pernah dilalui sepanjang 4 tahun di sini, melihat langit senja, ditiup angin sepoi bahasa.

Langit tak selalu cerah,
bermula peristiwa hitam dalam liku perjalanan nak dapatkan kad biru itu. Saat saya nak ambil exam teori, karenah birokrasi Arab sudah menunjukan kecanggihan sistemnya.
Tiba-tiba muncul syarat baru khusus kepada orang asing macam saya untuk dapatkan surat pelepasan daripada Kementerian Dalam Negeri (SB ) di sini. Terpaksa saya ke sana seorang diri, dan di sana, diminta untuk dapatkan dokumen-dokumen pengesahan daripada pihak universiti, ada 3 kesemuanya.

Yang menariknya, sampai di universiti, sebelum ini dokumen-dokumen tadi mudah nak dapat di satu tempat, kini perlu pergi ke sana ke sini, dan makan masa beberapi hari. Dah dapat semua, saya kembali ke SB, dan dia minta ke mahkamah untuk dapatkan pengesahan yang saya ini bukan seorang penjenayah. Adoi..

Malas nak tangguh, saya terus ke sana, Alhamdulillah, urusan dapat selesai dalam masa setengah jam dan terbukti saya bebas dari apa-apa pertuduhan :) Kembali semula ke sana, dengan selamba, 3 setem diminta untuk urusan berbaki. Ok, beres bos!

" Ok, tunggu 10 hari ! " kata pakcik SB tadi.

Tunggu punya tunggu siap juga akhirnya. Alhamdulillah.

Saya bawa dokumen tadi dengan riangnya kepada Abu Raid, sifu saya.

" Benda ni dah tak guna dah, diorang dah tukar semula sistem, tak payah pakai dah. " cakap Abu Raid menunjuk simpati.

Ok, terima kasih. Best juga dapat jumpa SB, pergi exercise di universiti, masuk mahkamah, beli setem dan tunggu sepuluh hari.

Nak dijadikan cerita, saya dah masuk round Pediatric yang agak padat, pagi ke petang, dan susah nak cari masa untuk sempurnakan hari-hari berbaki nak dapat kad biru .

Satu petang yang indah, Abu Raid ajak ambil exam, saya pun dengan confidentnya ikut dan ambil exam, tinggal beberapa soalan nak tamat, muncul perkataan FAIL kat skrin komputernya.
Aduh.. ni la akibatnya kalau tak study. Agak menyesal dan down di situ. Saya tak menyalahkan keadaan, memang saya silap, tak fokus pada teori. Setelah semangat dikumpul kembali, saya merayau kedai-kedai buku di Syari3 Jamiah, mencari buku kuning, panduan belajar kereta.
Yang kagumnya, memang soalan kebanyakan dalam buku itu.

Exam ulangan diambil, tengah-tengah exam, nama saya dipanggil. " Naqib! "
Agak cuak kentang, takut-takut dituduh meniru. Saya menyahut.
Rupanya-rupanya yang dipanggil adalah Naqib Polis (kapten) di situ, agak malu di situ. haha
Sejak tu, abang polis tu dah kenal saya.
Alhamdulillah, saya lulus akhirnya .

Akibat kekangan masa, saya tangguhkan urusan ambil lesen buat sementara.
nak sambung masa cuti semester baru-baru ni.

Nak dijadikan cerita, satu tarikh dah dipilih untuk ambil exam praktikal.
Dengan semangat, saya naik teksi ke Mujamma' Ag-Gwar. Ambil coaster dan turun tepi highway, jalan shortcut ke pusat exam, dan dengan selamba bro polis yang biasa dengan saya bagi tarikh seminggu lagi untuk datang. Sabar..

Dan semalam hari yang ditunggu pun tiba, setelah 2 jam menunggu, nama dipanggil dan 5 minit sahaja diuji, pakcik-pakcik JPJ dah memuji. Terima kasih pakcik JPJ, memang sporting abis.

Alhamdulillah, selesai urusan dan akhirnya kad biru sudah berjaya di tangan.


Walaupun hanya sekeping kad biru, bagi saya ia satu pengalaman yang tak dilupakan.

Sambil-sambil belajar memandu, saya membayangkan dapat bawak mak dan abah jalan-jalan,
menemankan abah ke pusat dialisis, menghantar emak ke kursus HPA, bawak adik-adik membeli belah di kedai ikan. Mungkin juga menemani sayap kiri sama-sama ke hospital satu hari nanti ..

Banyak benda yang saya belajar dari 4 bulan.
Sabar itu sangat perlu, dalam apa jua urusan.
InsyaAllah, dia yang tahu perjalanan apa yang baik buat hamba-Nya.

Terima kasih Tuhan, kirimkan aku kad biru.
Aku bersabar dan terus menunggu.

Mak abah, tunggu Naqeb pulang. Akan kita ronda-ronda ke kota raya :)

~ maaflah banyak merosak bahasa, sekali- sekala :)

Monday, June 20, 2011

Panas

Summer dah mula.
Panaskan enjin.
Mulakan serius
untuk mengejar apa yang dihajat.
Masa dah la singkat,
lagi mahu meliat-liat,
berehat-rehat.

Melihat senior grad dari sekolah JUST
cukup membakar semangat.
Pesan-pesan mereka dihadam,
ditelan, buat bekal jalan.
Dari soal belajar medik itu,
hingga hal yang satu itu,
buat bekal ku susun
hari-hari berbaki.

Alhamdulillah,
semakin terbuka jalan-jalan
yang selama ini dicari,
yang sepatutnya dipegang erat
seawal menjejakkan kaki.
Nak tak nak,
alasan memang boleh dicari,
kalau tak nak sampai bila-bila rugi.

Summer,
panaskan enjin.
Jangan berhenti,
selagi tak mati.


~ Alhamdulillah, atas segala kurniaan rezeki dan juga susah yang diberi. Dia Maha Mengetahui

Sunday, June 5, 2011

Tin


Kerap kali mata ini akan nampak wajah itu saat melangkah pulang dari masjid yang satu, saat mentari masih belum mencerah bumi, dia berjalan di lorong bertemankan lampu jalan, menghampiri punca rezeki yang tak terpandangan golongan berpendapatan lumayan.

Berkaca mata, menutup aurat sepenuhnya, wajah bersih, ku yakin dia adalah ibu kepada anak-anak tercinta. Di kirinya tangannya beberapa bekas plastik hitam digengam erat, tangan kanannya meraba-raba longgokan sampah ditong-tong, mahupun di bahu lorong.

Entah kenapa, timbul rasa yang kuat dalam hati aku, dia itu ibu, dia itu ayah, buat anak-anak yang menanti di rumah. Mungkin yang kaya bertimbun harta berkata, apalah sangat pada remukan tin-tin kosong yang berlumur sampah, tapi itu adalah rezeki buat ibu dan anak-anaknya.

Entah kenapa, aku rasakan dibawahnya ada anak yang ingin berjaya,
merasa nikmat apa itu sekolah, menggengam sijil dan hadiah,
dicium ibu tercinta, menerus cita-cita menggapai segulung ijazah,
untuk membela keluarga.
Lapar mereka dipagi dikurang dengan suapan roti hasil jualan tin-tin tadi.
Mungkin tak semewah, tapi penuh mawadah,rahmah dan mudahan diberi barakah.

Tangan yang mengutip itu barangkali menyuap sekali akan erti syukur dan usaha
pada anak-anak kandungan sembilan purnama,
menyuap sekali harapan agar menyambung juang dengan penuh maruah dan besar jiwa.

Entah mengapa juga, tangan ibu itu seolah-olah menampar pipi-pipi orang kebanyakan,
yang hidup kekenyangan dan selesa,hingga lupa apa itu menuai kudrat penuh tenaga,
yang lalai akan sekucup syukur pada limpahan kurnia, yang ego berjalan mendabik dada.