Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Saturday, August 15, 2009

Pergi Tak Kembali

Pergi Tak Kembali.

Semalam semua berbicara tentang pemergiannya. Seorang yang bertungkus lumus dalam memastikan nasyid berjaya menembusi media yang dimonopoli oleh muzik yang entah ke mana.
Peribadi yang dijaga meski dihimpit oleh arus dunia artis, menjadi ikon kepada pejuang nasyid di Malaysia.
Moga anak-anak muda yang berangan ingin menempah nama dalam dunia nasyid ini mengikut jejaknya dalam menjaga imej Islam yang di bawa, tidak tenggelam dengan populariti dan julangan khalayak yang buta seni akhirat sana.

Moga rohnya yang pergi tak kembali di tempatkan di syurga Ilahi.

Al-Fatihah.

Friday, May 22, 2009

Ribut

(i)

Semua sudah tahu. Dalam tempoh seminggu, kelas kawan aku yang jauh nun utara kampung aku yang berdindingkan kayu, yang hebat dihentam ribut melulu, bertukar-tukar ketua kelas, rimas dan lemas.

Dulu Nazri naik setelah sekian lama dipegang dek Julat, lepas tu tiba-tiba satu pagi si Zamzar budak baru datang mengaku dialah ketua kelas pilihan rakan sebaya yang inginkan perubahan dalam bilik darjah agar ceria dan mewah. Dirujuknya ke Cikgu Tinggi , sahlah Nazri memang ketua darjah yang sah. Kawan-kawan aku ramai dah mula suka pada disiplin sekolah kesan ketegasan Cikgu Tinggi menangani isu ketua kelas ini.


Esoknya, tak sampai beberapa jam Nazri duduk semula kat bangku nombor 4 dari kiri kelas, tempat khas untuk ketua darjah, baru 3 kali Nazri mengetuai bacaan doa, tiba-tiba Puan Ayu, Guru Besar panggil dia ke pejabat. satu sekolah dah maklum, Puan Ayu memang jarang ada kat sekolah, selalu busy dengan direct selling tuppaware . Tapi, kes yang ini lain cerita, dia pula bersungguh-sungguh campur tangan sampai tak tidur semalaman. Apalagi, Zamzar senyum menyeringai dan melompat, kerusi no 4 dia confirm dapat.

Hari ini, Puan Ayu isyhtihar memang Zamzar ketua kelas yang sah, meskipun tak ada alasan kukuh yang ditaip dan difotostatkan untuk diedar kepada kawan-kawan aku untuk dibawa pulang ke rumah. Nazri akur, tapi bukan bermakna tersungkur. Kawan-kawan aku ramai gila kecewa, ada yang dah tak nak pandang muka Puan Ayu.

Aku yang jauh ni hanya mampu doa kawan-kawan aku selamat dan dapat belajar dengan tenang, walau aku tahu hakikat kerunsingan dan kecelaruan yang melanda batang tubuh dan jiwa tulus mereka.

(ii)

Alhamdulillah.

Kuliah Respiratory System saya sudah tamat. Lalu tinggal berbaki dua minggu waktu ulangkaji sebelum menempuh exam yang berbaki.

6 Jun 2009 - Mid. RS
7 Jun 2009 - Final RS
11 Jun 2009 - Final CVS
15 Jun 2009 - Final HLS

Doakan saya dan kawan-kawan cemerlang dalam peperiksaan ini dan juga ujian di dunia yang tiada henti.

Bittaufiq buat kalian yang sedang dan bakal berimtihan.


Saturday, May 16, 2009

Guruku Di Kamar Itu

Dia guruku,
yang mengajar dengan tingkah laku,
biar bicara tidak seribu,
aku tahu,
dia guruku.

16 Mei

Hari Guru yang akan disambut dengan meriah di seluruh Malaysia.
Berkotak-kotak hadiah dan ratusan ucapan akan diterima mereka.
Apa yang pasti, kegembiraan insan yang kau gelar " Cikgu " itu adalah saat kau sudah jadi manusia berguna. Yang memegang nama manusia dalam segenap ruang yang kau jalan dan dalam nafas yang kau hela.


Guru Saya

Saya melihat kegigihan seorang guru dari kaca mata pandangan saya selaku anak kepada seorang guru yang banyak mengharung suka duka.

Dia ayah saya yang digelar Cikgu Leman oleh anak muridnya, penduduk kampung malahan nenek saya ( ibu kepada emak ) serta makcik-makcik saya.


Kalau di masa kecil dahulu, waktu maghrib adalah waktu yang paling saya ternanti-nanti menunggu ayah saya pulang ke rumah. Satu jam setengah perjalanan dari sekolah yang terletak di Labis ke rumah saya di Kg. Sengkang, Bukit Gambir , itulah yang ditempuhi ayah saya setiap hari. Melalui jalan estet gelap yang tidak berpenghuni, kerap kali kebocoran tayar dan bermandi hujan,pulang hingga lewat malam, mungkin inilah tarbiyah yang menjadikan ayah saya seorang yang kuat dan cekal hingga saat dia diuji kini.

Saya ingat lagi ayah saya pernah bercerita, dia dahulu mendapat tawaran menjadi pengurus Felda, namun setelah berbincang dengan atuk saya, bidang perguruan menjadi medan kerjayanya sekaligus punca utama pendapatan keluarga kami yang sederhana. Alhamdulillah.

Kini, ayah saya tidak perlu lagi menunggang motosikal berkilometer jauhnya. Kini dia mengajar di S.K. Sengkang, tempat saya dan kakak serta adik-adik yang lain menimba sekelumit ilmu demi menjadi manusia. Hanya lebih kurang dua kilometer dari rumah kami.
Alhamdulillah, Cikgu Leman itu sudah mampu memandu membawa dua orang anak lelakinya kembali ke sekolah. Lebih kurang jam 11 pagi setiap hari Selasa dan Khamis, sebuah Avanza hijau akan menyusur masuk ke perkarangan sekolah untuk menjemputnya ke pusat hemodialisis, emak saya setia melambaikan tangan sewaktu van itu bergerak pergi dengan membawa harapan cikgu ini akan cekal dalam mengharung ujian kehidupan sementara ini.

Tugasnya yang semakin bertambah selaras dengan kenaikan pangkat juga sudah berkurangan, dia kini bertanggungjawab menjaga pusat pemulihan bagi membantu anak-anak kampung yang masih gagal menguasai 3M ( membaca, mengira dan menulis ). Hujung minggunya diisi denagn kelas tambahan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Saya masih lihat semangat ayah saya untuk mendidik anak bangsa meskipun di kamar kecil itulah dia akan meneruskan khidmat baktinya. Kini, ayah saya masih lagi setia dalam khidmat baktinya dalam memimpin orang-orang kampung. Dialah ayah, dia guru terbaik bagi saya.

Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk bergelar guru.
Saya pernah menjadi pelakon hebat sewaktu ditemuduga kursus perguruan luar negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik ( macam Nik Nur Madihah jugalah ;)

Pelbagai soalan mengancam dan membunuh diajukan, dan dapat saya jawab dengan tenang dan meyakinkan. Akhirnya, tuan penemuduga mengeluh kepada saya " Awak ni memang hebat ". Saya tersenyum bersalah. Saat saya dihubungi oleh pihak mereka kerana diterima, saya tolak mentah-mentah kerana sudah mendapat tawaran Timur Tengah. Malunya saya kerana tidak berjiwa seorang pendidik.

Hari ini bukanlah satu-satunya hari untuk dikumpulkan segala memori dan dikenang segala jasa insan-insan yang memegang tampuk panggilan Cikgu, Ustaz, Murabbi, Mudir dan sebagainya.
Hari ini sekadar simbolik dan pengingat, apa yang penting kita sedar akan tanggungjawab kita dalam membawa dan menyebar luaskan ilmu yang telah ditanam dalam diri kita dalam setiap gerak langkah kita di bumi Allah.

Kata-kata Imam Malik: al-'lmu yu'ta ilaihi wa la ya'ti yang bermaksud ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi.

Carilah kita seluas mana ilmu, muliakanlah kita guru si penyampai ilmu.

Selamat Hari Guru buat kau yang mendidik aku.

Monday, May 11, 2009

Hari ini, Semalam, Kelmarin

( i)

Hari ini lanskap politik Malaysia semakin mengujakan apabila Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.



Hampir beberapa bulan rakyat Perak menjadi mangsa pergolakan politik, kita nantikan bagaimana pula kondusinya selepas ini, sama ada pilihan raya negeri bakal mengisi kalendar negara atau percaturan yang tiada sudahnya bermain di celahan hak rakyat yang tidak terbela.
Jika benar rakyat didahulukan, berilah ruang rakyat yang menentukan.
Sama-sama kita berdoa agar yang hak terbela, yang dusta terhalang semuanya.

( ii)

Semalam, 10 Mei merupakan hari ibu. Melihat status YM kawan-kawan yang tertera " ibu " dengan pelbagai ungkapan. Moga luahan rasa cinta kudus ini terhadap insan yang melahirkan kita tidak terhad di hari ibu sahaja, tetapi setiap masa dalam nafas yang kita hela dan langkah yang diiring dengan doanya.


Cinta ibu ajaib bukan?
Walau jahat macam mana si anak, ibu tetap menyayanginya, kerana cintanya tiada sebab, cintanya tidak bersandar balasan jasa oleh si anak. Cinta yang kudus dan luhur.

Cinta kita kepada ibu pula bagaimana? Adakah bila dikenang jasa ibu yang tidak akan terbayar hingga hujung nyawa, cinta itu berputik mekar. Saat ibu marah dan menghalang kehendak kita, cinta itu hilang disambar dan pudar. Benarkah itu cinta yang terungkap dengan kalimah?

Dalam mesej balasan Emak, Emak minta didoakan agar jadi ibu terbaik buat anak-anaknya.

Ibu sendiri mahu jadi ibu yang terbaik, kita pula bagaimana?
Cukupkah dengan sudah terbang keluarga negara mengharumkan nama keluarga sudah boleh jadi anak terbaik?
Sempurnakah jalan liku kita demi menggapai gelaran anak soleh andai mencampakkan wang barang dua tiga ratus ke kampung halaman tanpa perhatian dan peruntukan masa mendampingi mereka kelak usai bergelumang dengan tugasan kerja.

Cinta ibu ajaib bukan?

(iii)

Kelmarin, saya dan tiga orang rakan telah meronda-ronda separuh Jordan bagi mencari damai dan ketenangan, jauh dari kesibukan kota metropolitan Irbid yang penuh dengan seribu cerita, dari kesepian lorong yang dipenuhi sampah hingga kebingitan jalan yang dirajai pemandu tidak berhemah.


Bersolat di tepi laut mati dan menyedut desir angin serta menatap redup matari yang hilang di sebalik merahnya awan cukup mendamaikan hati.


Ada topik yang kami bincangkan hampir separuh perjalanan.

Bicara soal CINTA.

Rasanya topik ini akan saya karang khas buat rakan-rakan yang sedang dibelenggu dengannya.

Buat masa ini, daripada kita meletakkan cinta pada wanita yang tidak pasti kita miliki, lebih baik kita memastikan kita benar-benar cinta pada wanita yang berkorban sepenuhnya nyawanya bagi melihat kita mengenal apakah erti sebuah cinta ibu kepada anaknya.

- dapat mesej sepupu saya yang belajar di Ireland akan bernikah Jun ini, akhirnya ade rekod keluarga kahwin masa belajar
- cuti senior dapat dilanjutkan untuk beraya, nampaknya lengang juga Irbid raya tahun ni..nak balik..ke tak nak. :)

Monday, April 20, 2009

" COLORS OF MALAYSIA "



" COLORS OF MALAYSIA "

Itu adalah tema skuad duta kecil Malaysia untuk Maarad JUST pada tahun ini.
Memang sesuai dengan seni hiasan dan latar belakang ruang legar pameran yang mengagumkan kali ini diserikan dengan tersergam kukuhnya sepasang replika Menara Berkembar Petronas.

Semalam saya bertugas sebagai penjaga booth untuk tempoh satu jam setengah. Saya banyak menerangkan tentang replika yang diperbuat dari sususan tin, sedikit pengenalan universiti di Malaysia, kepelbagaian bangsa di negara kita dan permainan tradisional yang menjadi tarikan di situ, congkak. Bayangkan, ada dua pemuda Arab yang bermain congkak di booth Malaysia lebih kurang satu jam setengah. Ok juga, sekurang-kurangnya ada petugas jemputan untuk menunjukkan cara bermain congkak kepada pengunjung lain.

Di Sebalik Tabir

Ya, memang tidak dinafikan, kita mampu menonjolkan Malaysia dari sudut pembangunan bangunan raksasa dan kayanya kita dengan warisan dan budaya. Dari gumpalan wawasan yang digagas sejak belasan tahun dahulu sehingga terbinanya mahligai pentadbiran yang membuka mata dunia akan hebatnya negara kita. Namun, ada perkara yang pastinya tidak akan kita relevankan untuk dipamerkan kepada rakan-rakan kita dari negara luar.


Bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Air laut juga ada pasang surutnya.
Dalam makanan enak dan mahal yang terhidang di atas meja santapan, pasti ada juga sekelumit bakteria yang menempel di atasnya.

Sejauh manakah kita cakna akan lompang-lompang yang perlu ditampung dan dicegah dari merebaknya ia ke segenap ceruk tanah Malaysia.

Membaca berita-berita di akhbar sahaja sudah mengorek rasa leka tentang sakitnya negara kita.
Setiap hari, ada sahaja berita yang kurang menyenangkan hati dan jiwa manusia, dari isu sekecil-kecil perkara hingga yang melibatkan sensitiviti masyarakat ammnya, segalanya berada dalam zon yang menggusarkan kepala bagi orang yang tidak memikirkan poket dan perut sendiri semata-mata.

Barah

Dalam artikel Aib Juvana Remaja yang disiarkan di Berita Harian, menurut
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.


Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.


Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. !

Salahnya dimana? Adakah sistem pendidikan kita lemah kualitinya dalam melahirkan produk anak bangsa yang berkualiti bukan sahaja mindanya, malah emosi dan syahksiah?
Atau puncanya kerana pengaruh hedonisme yang semakin melonjak ke segenap udara?
Atau kurangnya individu atau kumpulan yang sedar akan tanggunjwab dakwah dalam hidup yang sekelumit cuma masanya?
Anda jawab.

Komuniti Kita

Alhamdulillah, di Jordan ini, belum pernah lagi kedengaran kes bunuh, rogol, samun, rempit berlaku dalam kalangan pelajar Malaysia. Nauzubillah.

Namun, adakah ini menghalalkan tubuh dan jiwa kita untuk duduk selesa kerana tidak dikelilingi masalah sedemikian rupa? Anda jawab .
Kalau setakat masalah pengurusan dalam program, ikhtilat yang haram, sensitiviti dalam hidup bermasyarakat, ketandusan di dewan kuliah, kita sudah rebah dan malas untuk ambil kesah, bagaimana agaknya tingkah dan perilaku kita apabila terjun dalam komuniti sesudah pulang ke Malaysia kelak.

Adakah apabila anak kita ditangkap kerana merogol rakan sekuliah, adik kita dipenjara hasil serbuah dadah, kakak kita gila kerana kemurungan yang berpanjangan setelah mengasingkan diri dari masyarakat, baru kita buka mata bak sudah terhantuk, baru terngadah?

Anda dan saya jawab. Ya, kita jawab dengan respons jiwa dan tingkah kita sekarang, bukan sesudah musibah kelak mendatang.

-bila ada artis yang terbuat salah dan mengatakan tidak menyesal, ramai yang cuba membersihkan namanya, namun apabila kata-kata ulama' dieksploitasi, lain pula halnya. apa kes?

Wednesday, March 25, 2009

Pesawat Picisan

Dingin malam sejuk itu menghembus senyap-senyap hingga buat manusia-manusia yang tersadai di lapangan itu terlena dibuai mahligai cinta, tanah kuasa jauh dari pohon rendang, wang disuap ulang-ulangan.

Ada juga mata-mata terpejam yang terigaukan asap dari daerah mana yang datang bebondong-bondong masuk membutakan mata saat mereka hanya berkumpul belajar membaca, suara teriakan dari jendela besi dan esakan anak isteri.

Uyal hanya memerhati dari sudut kiri bangunan bertingkat itu. Sebentar lagi mereka akan berangkat terbang ke langit tinggi, meski tidak pasti bintang mana yang bakal digapai sedang ramai yang mengimpikan bertemu bulan.

Dia tersenyum keseorangan meski hati dirudum bimbang yang memekat.

Mana tidaknya, dua minit lagi akan berlepas, masing-masing terkial mencari nama untuk diberikan kepada anak pinak, mencari baju fesyen terkini dari butik di lorong sana sini, menukar wang kecil untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yang berair liur basi demi menjadi pak turut di atas nanti. Kecoh!

Selang beberapa jeritan manusia " Mari beli. Mari beli. Beli satu, percuma dua. Puas hati punya! ", kapal terbang yang berjenama gah tetapi sebenarnya picisan sahaja itu menderu laju ke udara.

Ada yang mengangkat tanah berdoa, ada yang terus melelapkan mata, ada yang sibuk melirik mata. Semua berbeza.

Pesawat berjenama palsu itu menderu laju, sekejap turun menjunam, kemudian haru biru.

Anak mata Uyal memerhati dari bingkai kaca kecil, dihilatnya awan melambai-lambai seolah gembira melihat gerombolan manusia menziarahi halaman mereka. Jika diturutkan kata hati, mahu sahaja dia terjun dari kapal yang melemaskan itu untuk bermain-main dengan anak-anak awan yang lembut dan menenangkan. Tiada prejudis dalam bermain dengan titik-titik air, sorok-sorok dengan Suria, bernyanyi riang bersama petir dan menangkap cahaya kilat yang bersabung di rumah mereka.

" Awan, bisakah kau menjemput ku ?"

" Tidak!!!!"

Sepi dalam perut pesawat itu dihanyut pergi, dengkur Pak Hal yang banyak buat hal sejak dari mula dia membeli tiket itu termati, nyanyian budak kurang suiman yang bergincu merah dan baju terbelah lenyap dari telinga.

Semua mata-mata menoleh ke arah jihat suara yang bergema. Berpusu-pusu manusia prihatin mendekati sambil menunjuk simpati.

Si ibu yang bersanggul kepala sedang meriba kucingnya yang sudah putih mata.

" Kenapa ni kak, dalam sehari dua ni kucing akak ada perubahan apa-apa ke, dia ade buat benda-benda yang pelik tak. Mengidam nak makan apa-apa ke? Akak ade mimpi apa-apa tak yang pelik-pelik ". seorang lelaki berbibir merah bertemankan buku nota terkinja-kinja menyoal Cik Sanggul.

" Ah, dasar wartawan picisan, saat si kucing pergi akibat tersedak susu basi, dia sibuk mengorek cerita perca untuk ditampal di dada akhbar nanti. Lebih baik kau tulis macam mana nak jaga kucing dengan baik ke, daripada menyumbat khalayak pembaca dengan cerita stereotaip kau tu ". getus hati kecil Uyal.

Dia malas dan bosan dengan perilaku umpama itu, lalu langkahannya kembali menuju ke kerusi dan dikeluarnnya akhbar yang lebih layak dan hak untuk dibaca.

Dibuka satu persatu, satu, dua, tiga.

Zap..!!

" Hoi, akhbar ini tak boleh baca. Ini salah kau tahu. Kau tengok faktanya, bercanggah dari hukum asal yang digariskan oleh juruterbang pesawat ini. Faham."

Uyal hanya menahan geram, mujurlah dia masih ada akal waras, jika ikutkan hati dan perasaan mahu sahaja dilayangkan kakinya ke muka pemuda itu. Dia bukannya takut akan gas pemedih mata, cuma dia sudah lali dengan semua ini. Mual.

" Nah, kau baca akhbar ni. Aku bagi percuma. Cuma kau bayar dengan katakan YA sahaja ok? "

Senyap.

Monday, January 19, 2009

Akademi Realiti : Air Liur Basi di Pipi


Israel mengumum gencatan senjata. Berbekalkan muka yang tidak malu dan hati batu setelah meranap lebih seribu nyawa, mereka mengumumkan kemenangan milik mereka.

Menang dan merasa hebat menumbangkan tubuh-tubuh kecil yang masih berhingus tetapi berjiwa lebih besar dan membara dari kelumit tentera mereka.
Bangga dan bongkak lewat mengerjakan ibu-ibu tua yang lebih kental dan berani atma berbanding si pengecut pemimpin-pemimpin dunia.

Biarkanlah mereka berfantasi, anak-anak Palestin tidak ketagih dilabel sebagai pemenang kerana mereka yakin janji Allah memberi kemenangan di alam sana.

Israel berfantasi , kita, si manusia yang tidak mengangkat senjata ini bagaimana?
Adakah terus bertemankan air liur basi yang menyejat di pipi?
Ingin terus berguling dengan mimipi melihat isu ini surut dan tenggelam apabila segala-galanya sudah memainkan peranan keji masing-masing.

Apabila media sudah kembali kepada tabiat asal, menghidang selera manusia dengan timbunan kisah artis yang menjaja tubuh dan nama.
Apabila pihak yang berdekah-dekah mengatakan kesungguhan membantu isu ini kembali kepada tampok dan tompok hitam yang sebenar, menyuap batang tubuh anak-anak dengan virus yang dibekalkan sendiri oleh si perogol Palestin.

Maka, kita kembali kepada dunia yang lalu. Isu ini ditiup bayu,
"ah..itu kisah lama" , adakah perkara ini yang bakal meniti di mulut kita usai tiada lagi gambar-gambar adik-adik putus dua, ibu hilang nyawa. Mahu begitu??

Ya.

Berbanggalah kita kerana kita punya ramai pemuda.
Buktinya?

Lebih kurang 2000 orang membanjiri stadium besar di negara kita untuk pergi berjuang di medan realiti. Ini baru lokasi sulong, jika dijumlah sehingga lokasi bongsu, betapa ramai anak muda kita menyerah diri untuk terjun ke dunia realiti yang hakikat ditunjang fantasi.

Berasak-asak menerobos diri ke ruangan terhad berbekal suara sumbang dan tidak seberapa untuk melaungkan lagu wajid dan lagu alternatif, siap bersyarat wajib hendaknya. Janji yang terpasak di pemikiran mereka, kehidupan mesti diubah. Mereka sudah ada idola yang berbaris di persada industri 'tarbiyah' songsang tanah air kita. Bangga kalian?

Jangan terlalu obses melabelkan orang lain, kita pula bagaimana? Penonton yang berkaca mata hitam dengan tangan kanan ligat menjunjung alat kawalan dan kiri setia men'sms ' pejuang pilihan.

Adakah kita rela menyambut isu pencabulan Gaza ini sama persis sambutan rancangan realiti yang berderet di televisyen kita.

Ramai manusia membanjiri dewan sebelum siaran langsung ke udara, mengangkat sepanduk lima meter lebar, meyokong peserta pilihan mereka dengan pelbagai slogan dan teriakan.

Bagi yang sensitif pula, dengan mudah mengalirkan air mata meyaksikan sejarah hitam tepalit pada batang tubuh peseta undian mereka tatkala nama diumum si pengacara malam sebagai pemilik troli yang bakal diusung keluar dari medan juang.

Usai musim satu,dua,tiga dan seterusnya tamat, tiada siapa yang mengenali mereka, hanya tinggal nama, andai yang masih bernafas cuma sekerat dua, yang berbaki ibarat habuk hitam dan debu tanah yang ditiup udara.

Jangan salah anggap, bukan niat untuk menyamakan isu ini dengan isu Palestin, isu ummat Islam sejagat.
Cuma apa yang membimbangkan seandaianya sambutan dan keprihatianan manusia yang kononnya mengaku saudara sepercaya dengan syuhada' Gaza terhadap isu ini sekadar melepaskan batuk di tangga, hangat-hangat tahi ayam, hingga baunya juga hilang diresap nafas sorakan hedonisme.

Adakah dengan gencatan senjata yang tidak pasti bertahan berapa lama, ini bermakna kita tidak wajib lagi mengangkat tangan kaku kita untuk mengitip doa buat saudara kita.

Kita sudah boleh kembali menyuntik dan membantu perkembangan Hollywood, menanti saat pelancaran filem-filem baru lakonan pelakon-pelakon terkenal Yahudi, mengikat diri di bangku penonton sambil menghirup Cola-cola dan mengunyah Kit Kat.

Sudah puas menikmati filem itu, kita mencari ruang menyelit untuk menyaksikan lagu mana yang dinobatkan sebagai Juara Lagu. Inilah maju, kononnya.

Jika dua tiga minggu ini kita rela memilih seluar tidak berjenama,jangan kita kembali menunding jari pilhan kepada abang si penjual untuk membalut dua kaki dangkal kita dengan Levis.
Jika sebelum ini kita berusaha untuk mengelak menyumbang memberi makan kepada anjing-anjing dunia, jangan kita kembali menghulur simpati kepada mereka.

Dua hari lepas baru saya menyaksikan beberapa minit saat akhir dua perlawanan bola sepak antar dua negara Arab. Pemimpin dan pemain pasti bangga dengan sokongan padu tidak kira lapisan umur , bercorakkan bendera negara di muka dan rambut mengurai di balik kerudung, masing-masing menitis air mata tatkala pasukan mereka tumpas di tangan lawan. Sokongan padu yang tidak berbelah bagi, di saat ada yang lebih memerlukan sokongan itu.

Jangan kita jadi penonton yang menepuk gemuruh dan akhirnya berdengkur di tilam empuk usai penat menyaksikan realiti yang mencelah di lipatan dunia kala ini.

Jangan relakan.

-tinggal tiga paper lagi sebelum berangkat pulang ke tanah air
-bittaufiq buat semua
-PERTAMA kali ketiga bakal menyusul tiba, tapi 'mahasiswa' tidak dapat join..huhu. selamat mematangkan ideologi mahasiswa muslim

Thursday, January 8, 2009

Malam Yang Menginsafkan

Ini kisah malam semalam.
Cawan saya masih berasap. Saya baru hendak membuka paket biskut untuk mengisi perut sambil mengulangkaji subjek makmal Genetic.

Allah!!
Hospital!
Allah!!
Hospital!

Saya tersentak mendengar suara itu. Suara jeritan meminta pertolongan.
Saya membuka tingkap dan menjengah keluar.
Saya terlihat dua orang lelaki, seorang sedang duduk bersimpuh dan seorang lagi sedang berlari meminta pertolongan.

Sejujurnya, saya menyangka mereka adalah lelaki-lelaki Arab yang sering bergaduh di hadapan bangunan rumah saya. Bayangkan pada tahun 2008 sahaja, begitu kerap saya mendengar siren kereta peronda polis menziarah kawasan ini. Saya sudah lali. Mereka terkenal dengan sikap panas baran apabila bertengkar, tetapi mudah memaafkan.

Saya renung betul-betul.
Dia senior saya!
Darah mengalir membasahi kakinya.

Saya mencapai kot lalu berlari menuruni tangga.
Saya rasa bersalah kerana tidak peka, seolah-olah seandainya dia bukan senior saya, saya akan membiarkannya.
Pertolongan itu tidak membezakan bangsa.

Beberapa saat kemudian, ramai yang mengerumuni.
Saya dan seorang lagi yang menjadi mangsa menahan beberapa teksi tetapi hampa. Rata-rata tidak memberi respons walaupun kami mengatakan darurat.

Alhamdulillah, akhirnya dia dikejarkan ke hospital dengan sebuah ambulans.

Hargailah nyawa

Memang malang tidak berbau. Siapa sangka dalam keadaan waktu yang masih awal dan kawasan yang bercahaya perkara sebegini boleh berlaku.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Itulah sebuah pepatah yang harus diingati oleh semua. Semua langkah-langkah keselamatan dan tindak-tanduk kita perlu dinilai agar kita dapat hindari dari segala musibah.

Dalam apa jua keadaan , jangan kita lupa akan keselamatan kita.
Tidak kira tatkala berjalan seorang diri ke rumah kawan sehinggalah menyewa kereta
ke Ammman, jagalah keselamatan kerana kita membawa amanah di sini. Jangan kerana kecuaian kita, kita sesali tidak sudah.

Peraturan demi kebaikan

Saya teringat dalam pertandingan debat Piala Presiden Permai, saya pernah membangkitkan tentang isu Qarar Keselamatan.

Qarar keselamatan ini bukan tujuan untuk mengongkong ahli, tetapi untuk mewujudkan suasana saling mengingati dan menjaga keselamatan masing-masing kerana kita semua jauh dari keluarga.

Kepada kaum lelaki, jangan menganggap kita adalah kaum yang memiliki kudrat yang kuat, maka kita tidak perlu terikat dengan peraturan keselamatan. Ya, memang kita diberi kebebasan, namun bukan bermakna kita boleh mengabaikan apa yang sepatutnya dijaga oleh semua.

Amalkan Mathurat.



Baru-baru ini JKK Pembangunan Rohani telah mengedarkan risalah Mathurat kepada ahli sebagai kempen mengamalkan zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Annas R.A., Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
" Siapa yang mengucapkan di waktu pagi ucapan:
أعوذبالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
Maka dia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga petang."
( Riwayat Ibn Al-Sunni )


Membaca zikir Mathurat ini bukan tatkala kita ada kelapangan baru lah hendak mencapainya, namun kita seharusnya beriltizam membacanya dan menghayati segala kandungi ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang terkandungnya.
Sama-sama kita menghidupkan sunnah Rasulullah ini.

Saya menulis sekadar untuk peringatan buat diri dan sahabat-sahabat pengunjung blog ini. Moga selepas ini kita sama-sama cuba saling mengingatkan sahabat-sahabat kita untuk meningkatkan waspada. Sama-sama doakan senior saya cepat sembuh dan kembali meneruskan kuliah.

Sama-sama doakan keselamatan kita dan ummat Islam di Gaza.

Monday, October 27, 2008

Debat. Menerangkan atau Bercakaran?

Debat secara terbuka? Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Melihat tajuk-tajuk akhbar, segala berita seputar tentang pilihanraya sebuah parti di Malaysia. Kadang-kadang jemu bertamu melihat berita-berita itu.

Debat bukan mahu bercakaran - Khairy


Berita ini menarik sedikit perhatian saya. Malaysia kini sedang mengorak langkah ke arah berani mencuba sesuatu yang tidak dilakukan ketika dahulu. Masakan tidak, debat “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”, antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dianjurkan buat julung-julung kalinya. Walaupun pada awalnya DSAI meminta debat itu disertai oleh Perdana Menteri, sekurang-kurangnya kerajaan telah membuka ruang. Soal kandungan perdebatan itu saya tidak berminat mengulasnya.

Kini,
Khairy Jamaluddin menegaskan debat terbuka bagi calon yang mahu merebut jawatan bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing. Kita nantikan adakah ia benar-benar jadi kenyataan.

Di Amerika Syarikat, debat calon Presiden Amerika Syarikat menjadi satu tradisi
untuk menilai kelayakan calon Presiden. Saya membayangkan ianya berlaku pada pilihanraya Malaysia akan datang. Ya, membayangkan.

Thursday, October 23, 2008

Sekali dilanda bah..

Banjir di utara makin buruk.


Itu antara tajuk utama akhbar hari ini.

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun..

Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.
Di jordan ini, setahu saya tidak pernah mengalami banjir. Bekalan air pun amatlah terhad, pastinya sukar bertemu bah melanda. Namun, Allah Maha Berkuasa, tidak mustahil boleh berlaku.
Seingat saya, hujan telah turun pada satu pagi di bulan Ramadhan. Hujan rahmat dari Tuhan. Musim sejuk yang bakal menjelang pasti menjanjikan rintik-rintik hujan di Jordan.

Alhamdulillah, di Malaysia, rumah saya tidak pernah dinaiki air kerana ketinggian rumah saya dari paras laut menyelamatkan rumah saya dari ditenggalami air berbanding rumah-rumah lain di sekitar kampung. Pernah satu ketika saya terkandas untuk keluar dari kampung akibat air yang naik menutupi jalan utama. Saya mahu ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk menyertai debat 100 jam tanpa henti. Akhirnya, terpaksa
menumpang sebuah trailer, merendah banjir. Itu hanya dugaan kecil.

Ada yang hilang harta benda, rumah dan kehilangan insan tercinta. Ujian dari Allah.
Moga dengan ujian ini dapat meningkatkan keimanan.

Seputar mengenai banjir, seingat saya sekitar penghujung 2006, Selatan Semenanjung Malaysia mengalami banjir yang teruk. Alhamdulillah, pelbagai bantuan menyusul tak kira dari sudut kewangan, makanan, pakaian,ubat-ubatan dan juga perhatian.
Dalam ksibukan urusan menyalurkan bantuan, ada juga yang mengambil kesempatan.
Rumah tidak dinaiki air, turut memohon bantuan. Bila harta yang dikejar, hak orang lain terbiar.

Sama-sama doakan saudara-saudara kita yang diuji Allah ditabahkan hatinya.

Wednesday, July 30, 2008

Pemimpin politik boleh masuk IPTA

Pemimpin politik boleh masuk IPTA
Oleh Mohamed Farid Noh

mfarid@bharian.com.my


Ceramah berkaitan pengajian, akademik


"BANGI: Pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.

Beliau berkata, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu, masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik. Katanya, pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif dan kebebasan dalam mencapai tahap kecemerlangan. "Terserah kepada mahasiswa atau pihak universiti jika hendak menjemput pemimpin pembangkang. Apakah maknanya seorang pelajar universiti jika mereka hanya dibenarkan jemput satu pihak saja.

"Kalau tidak dibenarkan pun mahasiswa boleh mengakses laman web, jadi lebih baik kerajaan benarkan dalam keadaan terpelihara, terkawal. Kita berada dalam dunia maklumat, setakat penguasaan ilmu saja tidak cukup kerana mahasiswa mesti ada 'talent' serta pemikiran yang tajam. "Soalnya bukan hendak jemput parti politik kerajaan saja. Misalnya, jika mahasiswa mahu mendapatkan pandangan mengenai krisis minyak dunia dan kebetulan penceramah yang dijemput adalah daripada parti politik termasuk pembangkang, pindaan AUKU itu akan membenarkannya," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam. Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, pindaan AUKU itu dibuat bagi membolehkan mahasiswa membuat keputusan dan menentukan sendiri perkara yang baik dan buruk untuk mereka.

Mohamed Khaled berkata, melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah. "Jika dulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti. "Tetapi tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak tertakluk pada undang-undang negara. Jika mereka buat kesalahan mengikut Kanun Keseksaan mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang negara. Contohnya, jika seseorang mahasiswa terbabit dalam demonstrasi tanpa permit, maknanya tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pindaan baru AUKU juga membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan. "

-mungkin pindaan itu tidak seberapa, namun sejauh manakah mahasiswa kita bersedia..

-masih banyak yang perlu diperjuangkan, namun masih ramai yang terkorban di luar medan perjuangan..

Tuesday, July 15, 2008

“Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”,














"Minyak." nama yang kini sinonim dengan perkataan "Naik".

Minyak naik dan naik minyak, dua istilah yang berbeza, namun boleh mencetus jalinan yang mampu membahangkan iklim kondusi dunia.

Meninjau senario di Malaysia, bahang udara hasil letupan isu minyak ia semakin terasa apatah lagi sejurus tamatnya debat bertajuk “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”, antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Di Jordan sendiri, negara timur tengah ini tidak terkecuali dilanda krisis kenaikan harga minyak hasil kelangsungan harga minyak dunia. Malah kenaikan harga minyak semakin memuncak dan boleh dikira sebagai lumrah di sini apabila kenaikan terbaru diumumkan baru-baru ini. Membaca blog seorang sahabat, saya agak terkejut dengan analisis kenaikan harga minyak yang dibuat. Kini harga petrol tanpa plumbum di Jordan sudah mencecah 840 Fils dan harga diesel meningkat ke 770 Fils . (1000 Fils bersamaan RM 4.56) Kenaikan terbaru ini merupakan kenaikan ke-10 dalam tempoh dua tahun dan kali ke-6 dalam sepanjang perjalanan tahun 2008 setakat ini. Runsing..

PEKA atau PEKAK

Tidak dinafikan, kesan kenaikan minyak mencetus fenomena kenaikan harga pelbagai barang dan perkhidmatan. Semuanya NAIK!!

Namun, ada suatu aspek yang kita jarang nilai dan intabih sama ada ia naik atau statik. KEPEKAAN kita tentang isu ini dan usaha kita dalam meneruskan kelangsungan perjuangan di bumi anbiya' ini , adakah sifat peka kita meningkat, ataupun sifat pekak kita tentang isu ini semakin melarat.

Ya, tidak dinafikan kenaikan biasiswa bagi pelajar tajaan MARA dan JPA baru-baru ini sedikit sebanyak menimbulkan kelegaan buat yang ditaja. Namun bagaimana pula dengan yang lain, terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan yang semakin menyempitkan.

Output

Output tidak akan terhasil seandainya tiada input. Seandainya input yang digunakan adalah tinggi, amatlah rugi sekiranya input yang terhasil adalah tidak memadai. Sekadar ada, cukup..

Perjalanan ulang-alik dari syari' jamiah ke JUST yang memakan masa lebih kurang 30 minit setelah bertukar bas sebanyak dua kali memberi ruang untuk saya berfikir dan memuhasabah diri. Tambang semakin naik dan tidak turun. Saya sudah menikmati kenaikan tambang sebanyak tiga kali walau masih di tahun satu. Kini, saya perlu membayar 1.1o JD setiap hari untuk ke jamiah, nilainya semakin meningkat. Timbul di benak fikiran saya, " kenapa outputku tidak setimpal dengan input yang terpaksa dibayar tinggi dengan wang yang diamanahkan kepada aku?".

Begitu juga dengan kehidupan seharian kita selaku mahasiswa. Kenaikan harga minyak juga turut memberi impak kepada kehidupan berpersatuan kita. Kini, kos untuk melaksanakan sesuatu program juga akan bertambah terutama dari aspek pengangkutan dan makanan. Alangkah ruginya seandainya output dari program tidak setimpal dengan input yang dikorbankan. Program yang bermanfaat tidak mendapat sambutan, kalau adapun tatkala waktu santapan. Di sinilah pimpinan dan ahli perlu memainkan peranan, menghargai peluang dan ruang yang masih wujud dan diberikan dalam keadaan semakin kesempitan.

Ingatlah, pepatah ada menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Renung-renungkan.


Friday, June 27, 2008

RM 1 juta..

" Along, belajar rajin-rajin ye, nanti dah besar boleh jadi doktor. Gaji besar, boleh beli rumah besar, macam-macam lagi. ". pesan seorang ibu kepada anaknya. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dan hidup senang, mereka tidak mahu anak-anak mewarisi kesusahan yang ditanggung selama ini. Positif.


Namun, dari satu sudut lain, kita perlu sedar bahawa wujud trend mengejar materialistik sedari kanak-kanak melangkah ke bahu sekolah hinggakan menuju ke liang lahad. Segala-galanya duit..


Pantang ada saja ruang, buat duit pasti berlegar-legar dalam kepala.