Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

Sunday, March 18, 2012

Si Amanu



Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia se-Jordan, PERTAMA hampir sebulan melabuhkan tirainya. Namun, baru hari ini saya berkesempatan menukilkan sedikit cerita tentanya. Saya berhentikan sementara menulis di laman ini, memberi ruang untuk saya menulis di alam nyata dan menerjemahkan beberapa idea dalam bentuk visualisasi yang mudah-mudahan membawa makna.

Jejak Si Amanu



Teater.

Salah satu wajah karya yang saya mula jatuh cinta kepadanya. Kali pertama mula berjinak-jinak dengannya lebih kurang 3 tahun lepas semasa saya diamanahkan sebagai pengarah Sambutan Aidiladha PERMAI, dengan tema Menjejak Roh Pengorbanan , saya memerah idea bagaimana ingin menterjemahkannya dalam program yang disambut saban tahun, dan akhirnya tergambar untuk saya menvisualisasikannya dalam kerangka persembahan idea. Berkerjasama dengan sahabat saya, Hilal Asyraf dan Ikhwan Subberi, teater Adha diadun dan diterjemahkan sedaya upaya. Alhamdulillah, respons positif diterima dari muhasabah yang dilakukan pasca program terlaksana. Di dalam hati saya , terselit secebis rasa untuk sekali lagi menyumbang karya sebelum melangkah pergi dari bumi Urdun ini.

Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk menukilkan karya buat kali kedua. Mengambil sedikit masa, memerah idea bersama sahabat saya, Ikhwan Subberi, ajk pelaksana PERTAMA dan team teater, mengabungkan idea dan jalan cerita daripada sudut pandangan mahasiswa dan mahasiswi, akhirnya 'Si Amanu' berjaya dinukilkan dalam mewajahkan mesej tentang dunia hiburan yang ingin dibedah senarionya.

Alhamdulillah, hasil kesungguhan pengarah, pelakon, tenaga kerja di belakang pentas, AJK PERTAMA yang memberikan sokongan, "Si Amanu" berjaya dipentaskan.

Sebelum tirai PERTAMA ditutup, sempat saya bertemu dengan tetamu jemputan yang hadir, bertemu dengan Ustaz Anhar Opir, mendengar pandangan berkaitan beberapa aspek yang perlu dijaga dari sudut syariat dalam mempersembahkan sesebuah karya, dan juga mendengar sedikit komentar membina daripada Prof.Madya Abu Hassan.

Pesan Prof.Madya berpesan kepada saya untuk mencuba agar karya ini dipentaskan di Malaysia. Sangat kerdil rasanya, karya yang saya akui masih banyak ruang dan lompong kosong yang perlu dibaiki dicadangkan diketengahkan di khalayak ramai di tanah air sana.

Masih banyak yang perlu diteroka dan dipelajari tentang seni dan ceriteranya dalam menyampaikan mesej kepada umat manusia.

Sama-sama kita bersekutu membawah perubahan, menghapus kemungkaran dan kemakaran!


pelakon cilik yang membawa mesej besar!


~ jom baca catatan Ustaz Anhar Opir berkaitan hiburan : http://hjanhar.blogspot.com/2012/02/tujuan-berhibur.html
~ terima kasih buat keluarga teater saya yang akan dikenang sampai bila-bila
~ sedang terlibat dalam satu karya di pentas dan juga karya di kertas. doakan saya


Tuesday, January 3, 2012

Selamat Berperiksa!


2012 sudah menjelma. Pejam celik mata, lima tahun sudah kembara saya dalam bidang per'bomoh'an ini, terasa semakin luas apa yang bakal terbentang di depan mata nanti .

Orang selalu kata yang medik ini sukar. Ya, memang sukar, andai tidak dilalui dengan mujahadah dan sabar. Peperiksaan hadir bertimpa-timpa, ditambah nota kuliah yang kalau menghempap badan, boleh pengsan gayanya.

Subjek pula bermacam-macam bentuknya. Saya sendiri allergic dengan ubat yang segala bagai, nama yang pelik-pelik ( terfikir nak letak nama untuk anak pun ada :), side effect yang berjela-jela dan sebagainya.

Belum lagi masuk bab anatomi badan manusia, dari hujung kepala hingga ke hujung jari kaki, alamatnya terkebil-kebil biji mata mahu menghafalnya.

Masuk pula bab yang pernah mengharu biru dan menghantui hidup saya dulu, microbiologi, kuman-kuman yang lebih kecil dari kutu, jenis ini dan itu, buat kepala jadi buntu, tepu.

Sumbat, mampat. Penat, tenat.

Mengharap sinar pelangi, sambil menguyah biskut berteman kopi, selang seli buka FB. Itulah warna-warni yang dilalui hari demi hari.

Sekarang, hobi saya pagi-pagi dengar ceramah-ceramah motivasi, biasalah orang belum berbini, motivasi kena cari sendiri. Sudah kahwin nanti saya bagi motivasi pada isteri :)

Satu hari terdengar satu kata-kata yang berbunyi:


‎~doktor mengkaji sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi masih buta hatinya, memang orang paling buta dalam dunia ~

Alamak, tersentuh dan tersentap hati!

Teringat kalam Allah yang berbunyi:

" Telah kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian " ( Surah at-Tin : 4 )

Hari-hari menyelam ke dalam lautan ilmu tentang penciptaan Allah yang satu ini, yang akhirnya kembali kepada hakikat mengenal diri.

Mungkin selama ini hanya menatap bait-bait teori, kini apabila sudah menyentuh badan dan perasaan manusia yang digelar pesakit itu, sungguh dirasai apa itu hidup, apa itu mati.

Hari ini bertemu dengan seorang pakcik di wad psychiatry, lalu ditanya kenapa dia masuk ke sini.

Dengan yakin dia menjawab : " Semua yang masuk sini sebab ada masalah, tidak takut Allah "

Tiba-tiba terfikir, jika benar apa yang dikatanya, maka berbondong-bondong manusia di luar sana yang menunggu masa menghuni sama.

Bertemu dengan seorang lagi pesakit, keluar dari mulutnya satu hadith Rasulullah yang berbunyi:

"Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir" (HR. Muslim)

Sangat bersyukur, dengan pesakit yang diuji Allah, dapat tazkirah dari mereka, andai diri yang sihat walafiat ini masih buta hati, buta jiwa, rugi sahaja diri tercampak di bidang yang satu ini.


Sekarang, musim peperiksaan di Irbid sudah tiba.
Musim-musim sebegini sangat 'sweet' bagi saya.
Jalan-jalan ke masjid, warung-warung yang men'dale3'kan perut, bahu jalan menunggu bas dan teksi, pasti akan bertemu muka Malizi, bertegur sapa dan bertanya khabar, dan bertanya tarikh periksa, dan saling mendoakan sebelum berpisah pergi . Sweet bukan.

Buat sahabat-sahabat dalam apa juang bidang,
Salam peperiksaan buat semua!
Bittaufiq wannajah. InsyaAllah.





Sunday, December 18, 2011

Cinta Hidup Mati


9 Disember :

Seharian menemani seorang teman, Ustaz Ifwat menanti kelahiran putera sulungnya.
Sangat membahagiakan bila melihat wajah seorang ayah kali pertama menatap darah dagingya. Mukhlis nama diberi.

Alhamdulillah, sejak mahasiswa Malaysia di Jordan ini bertambah jumlahnya, semakin banyak khabar berita kelahiran cahaya mata. Kami yang masih 'single', tidak 'double' mahupun 'triple' ini sekurang-kuranya dapat tumpang gembira.

Melihat keletah bayi-bayi yang sihat, cukup menghilangkan penat.
Saya doakan sahabat-sahabat yang sudah bergelar ayah, agar dimudahkan dan diperkuatkan untuk memikul amanah. insyaAllah.

3 Disember :

Sedang saya berselimut lena, ingin melupakan seketika masalah yang membebani jiwa.
Tiba-tiba satu panggilan masuk ke dalam telefon saya.
Seorang teman dari Mu'tah menghubungi untuk memastikan berita bahawa sahabat bernama Ilham Ellani telah pergi menemui Ilahi.

Sangat terkejut dirasai, kerana baru beberapa hari lepas bertemu dan bertegur sapa. Dan akhirnya dia telah pergi buat selama-lamanya. Dengan perasaan hiba, saya terus ke hospital menziarahi jenazahnya.

Saat membantu membersihkan jenazah arwah, terasa sungguh kematian itu sangat dekat dan pasti. Moga kau tenang di sana, dimasukan ke syurga abadi. Al-Fatihah.

18 Disember :

Pada saat ini, pada ketika ini, saya masih lagi bernyawa, dan anda yang sedang membaca masih lagi berdenyut nadi.

Hitunglah sudah berama lama umur kita dipinjamkan sejak lahir menjengah langit dunia hingga ke saat ini. Berapa baki umur itu kita tidak ketahui, segalanya disimpan rapi oleh Allah Yang Maha Mengetahui.

Itulah perjalanan kehidupan manusia, bermula dari kelahiran, hingga bertemu dengan kematian.

Namun kadang kita terlupa dan terleka.

Bila ada peristiwa yang mengetuk jiwa, kita kembali tersedar,
berusaha kembali dari tersasar.

Sedarlah bahawa masa akan terus berjalan, dan semakin mendekatkan kita dengan sesuatu yang bernama kematian.

Lalu, setiap masa, saat dan ketika ini, adalah peluang untuk kita perbaiki diri, menambah amalan, dan memberi manfaat buat insan-insan di sekeliling kita.

Manusia, ada yang lahir ke bumi, ada yang berhijrah bertemu Ilahi.

Kita belum tahu bila lagi?

Oleh itu, maknakan hidup dalam kehidupan, agar tidak mati sebelum dijemput kematian.

~ 'Sweet'nya bila bercinta dengan kematian, dunia tidak di hati, hanya di tangan ~

Friday, July 8, 2011

Laut Dalam


Berenang.

Satu perkara yang saya pernah tanamkan dalam kepala sejak di buaian hingga ke menara gading ," memang aku tak boleh berenang kut ." T.T

Zaman kanak-kanak dulu memang selalu berkubang, tapi semuanya kat tempat cetek-cetek.
Pernah sekali main di sungai yang agak dalam, berpaut pada batang pisang, tiba-tiba boleh terlepas batang pisang. Apalagi, saya tenggelam hilang punca, nasib baik ada kawan yang menarik saya.

Alhamdulillah, baru-baru dapat peluang mencuba benda yang satu ini. Diajar basic oleh seorang senior kurang dari sejam pada suatu hari, dan setelah 7 hari bermesra dengan air tenang di kolam universiti, berenang itu jadi sebati :) ( macam dah power je.. haha ). Bolehlah sikit-sikit bermain di tempat dalam, menghilangkan fobia yang menghantui sedari kecil.

Yang nak dihighlightkan kat sini bukan 'saya dah pandai berenang ', apatah lagi nak promote diri :) Tapi nak ajak kita sama-sama berfikir sejenak soal membuka ruang dan meraih peluang buat diri.

Banyak perkara yang dalam dunia ini boleh kita pelajari. Tidak kiralah sekecil-kecil perkara yang tak terpandang sebelah mata, hinggalah sebesar perkara yang bisa menggoncang dunia.

Cumanya ada beberapa perkara perlu kita intai-intai seketika.
- rasa malu, diganti rasa mahu
- alasan tak tahu, diganti usaha menambah ilmu

Kita sering mencari alasan, andai diminta membuat sesuatu yang kita tidak tahu, meskipun ia bersifat PERLU. Lebih selesa meletakan diri di zon selesa, agar menjadi orang yang biasa-biasa sahaja.

Ya, memang tak mengapa jadi orang biasa, namun biarlah sumbangan kita luar biasa, dari aspek kuantiti dan yang terutamanya bila bicara kualiti.

Baru-baru ini selesai menghadam buku Kuasa KePemimpinan Al-Fateh karangan Muhammad Syaari Abdul Rahman. Sangat kagum dan teruja dengan usaha dan kemampuan Sultan Muhammad Al-Fateh yang menguasai 7 bahasa dunia. Bahasa Turki, Arab, Parsi, Latin. Greek, Serbia, Hebrew menjadi senjata mengaut ilmu dan meraih kepercayaan kawan mahupun lawan.
Bayangkan, seawal usia semuda 21 tahun, pelbagai ilmu dan kemahiran dikuasi, hingga melayakan dirinya merealiti dan membumikan hadis Nabi Muhammad akan pembukaan Konstatinople oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera.

Kita pula bagaimana?
Ya, mungkin dan sememangnya kita jauh dari pencapai Sultan Al-Fateh.
Usah bicara soal tahajud yang tidak pernah ditinggalkan sejak aqil baligh, solat yang fardu itu kadang kala dicuaikan oleh kita.

Sekurang-kurang kita harus ada sesuatu yang disimpan di dalam hati, yang dimiliki dan dirasai segenap jiwa. Iaitu sebuah cita-cita dan target yang ingin dicapai dalam kehidupan.

Ya, memang banyak halangan dan cabaran akan ditempuh sepanjang lorong yang kita pilih.
Cumanya halangan dan tembok terbesar itu adalah DIRI KITA sendiri.
Yang selalu memilih untuk tidak berani, yang asyik mahu berpilih untuk duduk senang, dari mengerah sedikit kudrat biarpun sedikit payah mendatang.

Catatan ini saya tulis untuk diri sendiri,
sekadar apresiasi buat diri yang berjaya memecahkan sekelumit ketakutan dan ketidak mampuan akan sebuah cabaran, iaitu tercampak di air dalam.

Hakikatnya, kita akan selalu tercampak dalam kehidupan yang lebih dalam, penuh dengan liku dugaan, pelbagai serangan yang nampak di mata kasar, mahupun bisikan-bisikan liar.
Semua itu memerlukan jiwa yang cuba untuk membesar, seiring peningkatan usia yang dikurnia yang Maha Esa.

" Tak kan menghirum bau mewangi, andai tak dinyalakan setanggi "


~ akademi sudah bermula, boleh menjadi medan buat saya belajar sama
~ senior-senior sudah mula berangkat pulang. bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah, bertemu kita di Malaysia !! :)
~ 2 tahun lagi.. iAllah. ku kejar cita-cita, demi Allah dan redha ibu bapa.
~ BERSIH 2.0 : ia bukan sekadar berhimpun di kota raya, ia adalah sebuah harapan jutaan rakyat Malaysia



Saturday, May 21, 2011

CITA-CInTA



Ingat lagi zaman sekolah sekolah rendah dahulu kala, saat masih lagi badan gebu-gebu, muka comel-comel berseluar biru, berbaju lengan pendek putih susu . Kebiasaanya ada satu masa, hujung sesi tahun barangkali, cikgu darjah akan menghulurkan kad rekod pelajar, warna kuning kalau tidak silap. Antara kotak yang perlu diisi dalam kad tersebut adalah CITA-CITA . Ada tiga pilihan kalau tak silap saya ( maaf, agak susah nak ingat zaman kanak-kanak ni, banyak sangat kenangan terindah ).

Yang bestnya, setiap tahun akan diminta mengisi apa cita-cita yang bermain di minda, jadi boleh nampaklah sejauh mana konsisten apa yang dicita-citakan oleh murid-murid sekolah rendah.
Seingat saya, saya pernah tulis nak jadi Angkasawan, Saintis, Polis dan beberapa lagi yang saya sendiri lupa. Tapi Angkasawan dan Saintis antara yang kosisten selama 5 tahun di sekolah rendah.

Naik ke sekolah menengah,, melalui hari-hari indah zaman pra-remaja tanpa sebarang cita-cita, apatah lagi cinta :) Yang bermain di kepala adalah PMR, menjalani hidup di asrama yang penuh warna warni. Angkasawan dan Saintis sudah diwariskan pada adik-adik kecil saya untuk memasang mimpi di alam sekolah rendah mereka.

2005, kaki melangkah ke kolej itu yang banyak mengajar saya. Membuka mata akan beberapa makna, soal cita-cita, soal CINTA. Namun, masih lagi tiada sesuatu yang saya cita-citakan untuk menjadi apa. Lepas SPM, sudah mula memikirkan bidang apa yang akan diambil. Sudah mula kembali memasang cita-cita. Pernah terlintas di kepala untuk ambil perundangan syariah setelah berkenalan seorang peguam syariah yang sedang menguruskan kes artis popular, namun semangat itu tidak bertahan lama.

Dipendekan cerita, berbekalkan keputusan SPM di tangan, cita-cita dan impian mahu menjadi apa masih tak kelihatan, saya mencuba untuk mencari dan menggapai apa sahaja peluang yang ada. Mahu ke Mesir, lalu mengisi borang JPA Timur Tengah. Mahu mencuba menjadi guru Fizik, mohon program ijazah perguruan luar negara. Alhamdulillah, dapat dua-dua, cumanya bukan ke Mesir, tapi ke Jordan, negara yang saya tak terfikir untuk jejakan kaki di atasnya.

Dan kini, 2011, sedang mendaki di tahun 4 perubatan. Bidang yang tidak pernah terimpikan untuk melangkah di dalamnya. Alhamdulillah, aturan Allah.

Cita-cita untuk menjadi apa, menyimpannya adalah satu motivasi besar untuk kita terus melangkah. Namun, bila memiliki kejelasan untuk menjadi apa KERANA apa, kita akan lebih cekal dan tegar untuk terus melangkah dan menjadi apa sahaja, kerana yakin dan percaya setiap yang dilakukan akan bernilai ibadah.

Kalau dihitung, tidak semua orang berjaya menggapaikan apa yang dicita-cita dalam kerjaya,
mungkin disebabkan kerana halangan-halangan yang tidak dapat dielakan atas hakikat keupayaan manusia itu terbatas, seperti kemiskinan, kesihatan, peluang, keterbatasan tanggungjawab dan lain-lain lagi. Namun ramai yang tetap boleh berjaya walaupun di bidang berbeza kerana masih menyimpan intipati sebuah kalimah CITA-CITA.

Semakin kita melangkah, semakin horizon pandangan dan pemikiran akan terbuka luas.
Kaca mata kita akan lebih mencapahkan penglihatan, untuk melihat dunia yang terbentang dan seisinya, sejuta ruang dan peluang untuk dipilih dan direbut, untuk memaknakan sesuatu yang dinamakan CITA-CITA dan juga CINTA.

Memasang mimpi, dan terus berlari.
Mengejar pelangi, biarpun meredah hujan membasah bumi!

Wednesday, May 11, 2011

Degup Getar


Jam berputar, jantung terus berdegup getar.
Pejam celik, hari ini adalah hari terakhir round saya di hospital untuk tahun keempat.
Kelmarin baru sahaja mendaftar untuk subjek musim panas, Community Medicine yang tiada round di hospital, hanya duduk di bangku kuliah 2 jam sehari, dan buat sedikit tugasan sebelum exam menjelma.

Alhamdulillah, 3 subjek utama perubatan sudah dipelajari, Internal Medicine, Surgery, dan Pediatrics . Cebisan-cebisan ilmu yang dikutip hari demi hari, semakin membuka mata akan dunia perubatan yang memiliki sejuta warna dan rasa.

Ahad ini exam Pediatrics akan menjelma.

Doakan saya.

~ cuba menulis kembali, mengumpul rasa, menyulam bahasa,moga ada nilai kehidupan dikongsi, dalam helaan nafas dan denyutan nadi
~ esok mahu ziarah ke sana, mencari damai dan tenang, buat bekal menempuh hari mendatang
~ manusia, penuh silap dan khilaf, terus perbaiki diri, jangan putus asa, kerana duduk bertaraf hamba
T.T

Saturday, April 16, 2011

Tanpa syarat


Masuk minggu ke 5 pediatrics, baru hati ini terusik jiwa. Keras hati barangkali, lambat menangkap dan merasa, apatah lagi menjiwai.

Pagi itu melihat seorang ibu mengalir air matanya, sambil memangku si bayi yang menghidap jangkitan pada sistem pernafasan. Seusai itu, melewati pula si ibu yang menemani bayinya selama enam minggu menjalani rawatan, dek diserang jangkitan berulang kali sejak lahir dan pertumbuhannya statik, ukuran head circumference hanya bertambah 1 cm sejak lahir hinggalah berusia 6 bulan.

Sejam kemudian, dibawa oleh doktor bertemu pasangan suami isteri yang menemani anaknya yang dikatakan demam selama beberapa hari. Itu yang dimaklumkan kepada kami. Namun di sebalik itu ada kisah yang menyentuh hati, sebelum itu pasangan itu sudah kehilangan dua cahaya matanya sebelum ini, dan anaknya yang dihadapan ini sebenarnya turut menunjukkan simptom-simptom yang sama iaitu hypotonia.

Sudah beberapa langkah kaki menapak di segenap ruang kanak-kanak, pasti ditemani ibu atau ummi yang bersengkang mata siang dan malam, menjaga, menyusu dan mendodoi anak tercinta. Cinta mereka ikhlas dan suci, tanpa syarat sejak disahkan seawal kehamilan.

Tidak hairanlah kenapa si ibu sanggup bersusah payah, demi melihatnya anaknya membesar, sihat dan berjaya.
Tidak hairanlah kaum ibu yang akan menangis teresak-esak saat melepaskan anak lelakinya ke luar negara, dan ditemani curahan air mata saat anak perempuannya terijab kabulkan dinikahi suami tercinta.



~ ia bukan tahu, ia adalah soal rasa , kerana perasaan itu akan mengikat kita dengan mereka
~ People don't care how much you know , they know how much you care ~ itu kesimpulan yang saya dapat dalam round bersama Dr. yang mantap :)
~ Nikmat dan manisnya kesabaran tidak hanya terasa bila kita menggapai apa yang dicita dan dicinta, tapi juga sepanjang penantian yang menuntut tawakal dan harapan kepada-Nya.

Wednesday, February 23, 2011

Barakah



~ kawan naik basikal, teman kena rotan, sama-sama pegi sekolah,
sama-sama sapu sampah, sama-sama belajar kat sekolah rendah, sama-sama degil dengan mak abah ~ barakallahu lakuma wa baraka 3alaikuma wajama3a bainakuma fi khair.
~ ku tinggalkan jordan sekelumit masa, panjang umur kembali semula

Saturday, December 11, 2010

Rindu Melangit





Hujan petang tadi memang sejuk.

Kalau di Malaysia, pasti mulut mak cik-mak cik kampung atau datin-datin metropolitan akan menggelar gila atau tiada kerja bagi sekawan manusia yang bermain sukaneka ketika hujan mencurah-mencurah.

Namun, aku rasa ia satu kepuasan melihat rakan-rakan yang jarang tertawa tidak malu menguntum senyum, yang tidak berlaga bahu mampu untuk bersatu. Hujan itu rahmat.

Galah panjang.

Aku yakin tidak semua pernah mendengar nama itu, apatah cara perilaku permainannya. Meski kalah petang tadi, permainan yang membariskan penyerang dan pertahanan itu mengingatkan aku letak duduknya zaman kanak-kanak aku. Aku kanak-kanak desa, membesar dengan kotoran tanah.

Rindu melangit aku pada zaman sekolah, saat kawan-kawan perempuan ralit menngunyah bekal dan beratur merebut makanan, kami berlari ke gelanggang badminton beradu kesepakatan pasukan dalam arena galah panjang.

Sementara menunggu cikgu masuk membimbit buku latihan yang sudah ditanda, ada yang sempat bertarung cepe di lantai belakang bilk darjah.

Tidak cukup dengan itu, balik dari sekolah agama petang, gasing pangkah pula jadi penghubung sesama taulan. Bagi yang perempuan, batu seremban dan ting ting lebih menjadi pilihan. Lelaki juga turut tidak ketinggalan.

Saat angin kian menghembus kuat, langit desa pasti dibintangi dengan layang-layang yang menari di ruang angkasa. Indah.

Rindu.

Itu zaman yang sudah berlalu. Zaman itu kini diwarisi oleh adik-adik aku meski kian berkurang dek penangan modenisasi yang semakin menghidang alternatif yang tidak memerlukan anak-anak milineum untuk berkaki ayam, calar di badan, berkumpul ramai-ramai di bangsal kayu, yang perlu hanya duduk berteleku di skrin maya, berfantasi dengan sejuta selesa. Aduh! Bertuah !

Kalau aku sudah bergelar bapa , aku rela mewasiatkan mereka agar berguling di tanah, sapulah lumpur di muka sebanyak mana, asalkan tidak menconteng arang ke muka orang tua kelak.

Pergilah kalian berkejar-kejaran, kumpullah kalian wang saku sekolah untuk membeli sebiji gasing di kedai Ah Seng, asal kalian mampu belajar dari warisan yang datuk moyang kalian berikan.

Aku tahu kanak-kanak yang bermain itu jujur persis geraknya, jika ada yang cuba berbohong, pasti ada yang membantah. Mereka belajar disiplin biar tiada kertas kerja yang terbentang dalam arena mereka. Tiada rasuah, dendam mendalam hingga tujuh keturunan, perebuatan kuasa. Itu adalah haram bagi kanak-kanak ini. Mereka mencari suka dan gembira, pada masa yang sama sedang meniti arus belajar di luar silibus bilik darjah. Jika bersengketa, itu hanya fitrah yang harus disusuli dengan rindu untuk beradu tenaga semua bila matahari menjelma semula.

Permainan ini mengingatkan aku pernah berpijak di bumi mana, agar aku tak lupa bau tanah yang pernah ku tumpah keringat mencari bahagia di usia muda, agar aku tidak lupa udara desa yang pernah mengeringkan peluh saat mentahari mengundurkan dirinya. Warisan ini ada nilai jati diri.

10 tahun.
20 tahun.
100 tahun.

Jika bumi ini masih bersisa nyawa, aku bimbang permainan ini bakal terabadi dalam buku koleksi sejarah. Menjadi monumen untuk anak-anak kau dan aku sebagai bahan kalian gulungan ijazah mereka.

Kita hanya memerhati di hari tua, mana mungkin kau mahu melompat dengan batuk-batuk lelah kau sambil berkata.." Ha cu, macam ni main ting ting. "

Tak kan nak berlari termegah-megah sedangkan kau tersadai di kerusi roda untuk berkata .. " Ni baru betul cara nak main galah panjang cu ".

Malu.

Barangkali, mereka pula yang mengajar kau bermain permainan maya yang tidak terjangkau akal budi manusia.

Mahu?

Ah, biarlah hujan ini mencurah, asalkan manusia di bawahnya tahu apa yang dicari dalam sekelumit masa.

Jangan jadi kurang akal, manusia ini bukan robot buatan yang perlu diberi arahan dan penjelasan, kenapa perlu berkumpul, kenapa ia boleh mengeratkan hubungan, kenapa? bagaimana? pastikah?

Kalau sudah pasti aku dan kau itu manusia, tanya saja hati adakah gembira jika berdamping dengan teman di sisi, atau lebih rasa hidup nikmat meggunung gila andai terperap di ceruk gua yang dibina dengan tangan sendiri??

Bak kata Nabil " Lu pikirlah sendiri ! ".

~ membelek-belek tulisan lepas, teringin nak post semula tulisan ni. 20 februari 2009
~ masa ni syabab lebih kurang seratus lebih je, hubungan rapat dan erat, kini harus usaha kuat!

~ hujan, memang nostalgia, banyak menyimpan kisah suka dan duka
~ dah bertahun lamanya tak berkubang di sungai belakang dan memancing belut masa hujan2, kawan se'kubang' baru melangsungkan perkahwinan. Mabruk !

Monday, November 29, 2010

Hingga Hujung Nyawa

Sayu dan terharu.

Saat kami sedang berkumpul di katil seorang pesakit, seorang mak cik mengelap mulut suaminya yang penuh dengan air liur, yang terbatuk-batuk menahan sakit.
Berulang kali dilakukannya sambil membisik sesuatu ke telinga suaminya. Kata-kata semangat barangkali. Dua-dua sudah lanjut usia.

Pernah pada cuti bulan Ramadhan yang lalu di hospital Muar, melihat seorang nenek menemani suaminya di sisi, dia hanya tidur duduk di kerusi selama beberapa hari. Satu hari dia mengemas-ngemas baju suaminya, disusun rapi masuk ke dalam beg, mereka berdua ceria, menyangka sudah boleh pulang ke rumah. Namun, sangkaan mereka meleset, ditahan beberapa hari lagi. Lalu, nenek masih lagi meneruskan tugasnya, menemai suami tercinta, mengelap tubuhnya, menyuap makanan, menukar lampin dengan penuh setia.

Begitu juga dengan emak, yang tak kering air mata menanti Abah di bilik kecemasan Ramadhan yang lalu. Menanti dengan setia hingga abah dibenarkan pulang ke rumah.

Suami isteri itu berkongsi nyawa, cinta bukan hanya terikat seawal pernikahan, tapi hingga ke hujung nyawa.

Amanah, tanggungjawab, suka, duka, itulah yang menggembur baja cinta.
Dan yang paling penting segala-galanya kerana redha Allah.

Saya banyak melihat si isteri telah membuktikan cinta, suami pula bagaimana? Mampukah kita?

Allah menciptakan sesuatu itu berpasang-pasangan, agar saling melengkapi mendepani kehidupan, sebagai persediaan menghadapi hari yang tiada penghujung sempadan.



Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. ( Surah Ar Rum : ayat 21 )

Sunday, November 21, 2010

Memori

Alhamdulillah, selesai sudah majlis Aidiladha PERMAI , menutup tirai sambutan Aidiladha bagi peringkat persatuan zon yang bernaung di bawah MPPMJ.

Hari ini, teringat saya memori dua tahun lepas berkaitan dengan Aidiladha. Ada suka duka, tawa dan air mata sepanjang waktu itu.

Saya ditaklifkan sebagai pengarah majlis Aidiladha peringkat PERMAI.

Jom Korban menjadi nama program dan tema Menjejak Roh Pengorbanan menjadi pilihan.
Menjadi pengarah yang menguruskan urusan di ladang, dewan dan juga bersama skuad teater Adha adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Kembara kami ke Ummu Qais menjalani latihan teater, urusan penyembelihan di ladang, dan merencana program dewan tidak akan mampu saya lakukan tanpa adanya barisan ajk pelaksana dan kawan-kawan yang menyokong dan menolong.

Di saat saya sibuk di ladang, panggilan dari Malaysia hadir membawa khabar mendukacitakan.
Abah ditahan di wad sekian lamanya, baru hari itu emak menyampaikan khabar berita memandangkan keadaan abah yang semakin kritikal.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Mahu sahaja pulang terbang , namun atas beberapa sebab saya tangguhkan niat itu. Hanya doa dan solat hajat bersama sahabat menjadi kiriman buat abah.

Tugasan program saya teruskan meskipun jiwa ada di sana. Saya yakin ini bicara Allah pada saya untuk membuktikan bahawa Menjejak Roh Pengorbanan yang saya letakan sebagai tema program harus saya hayati dahulu sebelum mahu mengajak orang lain.

Dua tahun sudah berlalu.
Alhamdulillah, Abah sudah kembali sihat bersama keluarga tercinta.
Aidiladha di Irbid semakin bermakna dengan ahli yang bertambah jumlahnya.

Dan saya masih di sini, terus melangkah dan berlari, menjejak roh pengorbanan dalam setiap helaan nafas kurniaan Ilahi.

Doakan saya.

Saturday, November 6, 2010

Kembali

Jujurnya, saya hilang kudrat untuk menulis.
Hilang jiwa untuk membaitkan apa yang ada di minda dan jiwa, untuk diiramakan dengan sentuhan bahasa di halaman maya.

Fasa perubahan 'kerjaya' saya dari alam pra-klinikal masuk ke alam klinikal mengambil sedikit masa untuk saya mengatur gerak langkah, mencerahkan jalan yang berbaki, serta menerima hakikat-hakikat yang telah diberikan oleh Dia.

Kini, halaman ini akan cuba saya semai kembali, untuk mengajak diri, sahabat-sahabat berfikir sejenak, dan berkongsi ruang nafas yang kita lalui, demi menjejak roh pengorbanan, selagi nyawa dikandung badan.

Friday, July 2, 2010

Usikan jiwa

Cuti tinggal sehari lagi. Lusa, summer semester yang akan melengkap tahun pengajian ketiga saya akan bermula. Masa berlalu dengan pantas, sudah separuh perjalanan saya untuk menggapai segulung ijazah, dan separuh masa juga yang saya habiskan berkelana dan menjejak liku imu dan menghidu bau pengalaman di dataran Syam ini.

PERMAI

Nama yang terpahat di hati saya, yang cukup mengusik jiwa.
Entahlah, sejak kali pertama menjejakkan kaki sebagai sanfur di sini, hingga kini memegang taklifan sebagai Presiden yang hanya berbaki lagi 15 hari, PERMAI itu cukup dekat di hati.

Di PERMAI ini saya mengenal ragam-ragam manusia, wajah-wajah sahabat yang sentiasa menghulur salam dan senyuman. Di sini saya cuba mencari dan membina diri.

Hari ini, timbalan saya sudah pulang ke Malaysia, sebagai graduan dan ulama' muda yang bakal menyumbang bakti. Jangan ke sana pula sudahlah.. :)

Minggu lepas ramai senior-senior saya lepaskan dengan pelukan, mereka berangkat pulang.
Tiada air mata yang bergenang di kaca mata Ray Ban saya, kerana saya percaya,
kita berpisah di sini, bertemu di sana.

Di sini, ukhuwah kami terbina, 600 lebih pelajar Malaysia yang berhimpun di bumi Irbid ini memasang tekad mengejar cita-cita, untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara, juga keluarga.

Melihat adik-adik yang dulu terkial-kial mencari arah jalan di Simsimah, kini sudah mula mengorak langkah mengexplore dunia Irbid, membuat saya senang hati dan gembira. Teruskan melangkah, bak kata blog Abang Mun.

Melihat abang-abang dan kakak-kakak yang menggenggam ijazah, sama ada dalam bidang agama, perbankan, kedoktoran dan pergigian, membuat hati rasa terharu dan bersemangat untuk mengikut jejak mereka.

Ah..warna-warna di Irbid ini cukup mendamaikan jiwa.
Masalah yang ada kita atasi bersama, suka duka, sunyi sepi, ketawa ria, itulah bekalan kenangan yang akan dibawa pergi bersama segalas tanggungjawab apabila pulang ke tanah air nanti.

Buat kawan-kawan, terima kasih kerana mewarnai hidup ini.

~ terfeeling pula malam ni... ~
~ esok AGM MPPM, dan ku serahkan segala pada-Nya ~
~ menghitung hari... ibu sudah memanggil pulang ~

Friday, June 25, 2010

Dan bila mereka mengajar tanpa bicara...

Bicara soal inspirasi,
emak dan abah adalah insan yang banyak memberikan contoh.

Emak baru-baru telah melakukan pengorbanan yang luar biasa,
meskipun sudah berusia 40-an, dia mula menjejakkan kaki
dalam dunia perniagaan 3 bulan lepas.
Memasuki HPA sebagai ahli biasa, dalam tempoh 3 bulan,
emak malam esok dianugerahkan pangkat pengarah jati dalam satu majlis khas di hotel Gunung Ledang,
anak buahnya kini mencecah ratusan,
kalau diawal waktunya, emak pergi ke dari rumah ke rumah mempromosi,
kini bebanan itu berkurang sedikit apabila emak bergelar pembekal dan penyelia kepada anak-anak
buahnya, dan menguruskan kursus dan juga ceramah promosi kepada ahlinya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang tak terjangka.

Alhamdulillah, emak diberikan seorang suami, abah yang sangat menyokong dan mendokong. Kalau ada masa, abah akan menemankan emak ke kursus, rumah-rumah anak buahnya, dan abah juga menjadi pengganti emak menjaga tiga orang permata di rumah sewaktu kesibukan melanda. Dia menjadi seorang guru di sekolah, dan juga guru di rumah, mengajar anak-anaknya erti sebuah pengorbanan dan kesabaran.

Saya bertanya kepada emak, apa matlamatnya menceburkan diri dalam dunia yang tidak pernah terlintas difikirannya sebelum ini,
" Memperjuangkan produk muslim, fardu kifayah . " ujar emak, menghadam misi yang disemat dalam kursus barangkali.
Dan saya tahu emak juga berusaha menaik taraf ekonomi keluarga kami.

Emak dan abah, mengajar anak-anak erti kesabaran, dan nilai sebuah kehidupan .
Dulu di saat abah terlantar di hospital berbulan, emaklah peneman siang dan malam.
Kini di saat emak sibuk dengan urusan, abahlah yang menjadi penguat untuk emak meneruskan perjuangan.

Dan saya di Jordan , menghirup udara ketabahan dan keikhlasan mereka dalam mengharungi kehidupan dalam usaha menjadikan kami adik-adik beradik sebagai insan berguna.

Moga emak terus berjaya,
Moga abah tenang bersama keluarga tercinta,
Moga adik beradikku menghargai titik penuh dan linangan air mata mereka.
Moga aku menjadi insan yang tidak lupa pada mereka meski jauh terdampar di sini.

" Ya Allah, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapa, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa kecil ."


Ya Allah, temukan kami di kembali Ramadhan ini andai itu yang terbaik,
dan temukanlah kami di syurga-Mu.

~ rindu yang mencengkam jiwa, hanya doa yang terbang melangit pulang, jasad dan jiwa di sini harus berjuang ~

Thursday, June 17, 2010

Hati

Hati.

Bila ia berbicara, minda tidak perlu runsing untuk menyusun kata.Tanpa kita sedar, bibir mengungkap makna seribu bahasa. Segala-galanya bermula apabila ia menjerit ke seisi dunia ,“ Aku rindu pada jalan benar yang harus jasadku tempuh. “

Aku hanya manusia yang bernafas dalam jiwa hamba. Ya! Tidak lebih dari itu.Hanya peminjam dari Tuan Empunya yang maha kaya. Di atas dunia yang ku pijak ini, banyak lompang yang telah ku lalui, banyak tikungan yang menghias masa ku yang sekelumit ini.Aku percaya setiap manusia itu memiliki jalur hidup yang berbeza. Ada yang bermula dari lembaran putih, dicorakkan dengan warna indah dan anggun oleh ibu dan bapa, lantas menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan negara. Ada juga yang sebaliknya, kelam dari cahaya, hilang ditelan masa. Bagaimana jalur hidupku? Kau pula bagaimana ?

Sewaktu kecil, aku selalu bercita-cita untuk menjadi si dia, sesudah meningkat sedikit dewasa aku mahu pula jadi si dia yang lain. Ah, hidup ini memang aneh, banyak yang mahu kita kejar, banyak yang kita lipatkan dalam impian. Oleh kerana terlalu banyaknya yang kita mahukan, hingga kita lupa apa yang sebenarnya hati kita rindukan. Ya! Rindu.

Kau pula bagaimana agaknya? Sudahkah kau gapai apa yang kau impikan sekian lama? Atau kau tak punya masa untuk menilai apa yang telah berada di dalam genggaman?Atau kau tidak pernah menyimpan sebarang impian yang mahu diubah menjadi kenyataan? Pernahkah kau tanyakan semua itu pada hati kau yang satu ?

Atas dasar rindu pada apa yang aku mahu, aku tuliskan helaian-helaian ini sebagai pengubat rasa yang membungkam jiwa. Semoga di saat aku membacanya, aku bisa nilai kembali setiap langkah yang aku buka, setiap masa yang aku guna. Hidup ini harus dimuhasabahkan senantiasa. Jika tidak, kita akan hanyut dengan arus dunia dan akhirnya lemas tanpa kita sangka.

Buat kau yang membaca, semoga ada ranting-ranting dan dedaun rasa yang boleh kau ambil sebagai bekalan di perjalanan yang panjang. Apa yang berlaku pada aku adalah milik aku, namun kau berhak mengambil pengajaran dari itu.

Semoga helaian-helaian rindu ini akan membuka hati kita agar mencari erti sebuah cinta yang hakiki.

“ Rindu pada damai hembusan Tuhan, membuat kita bernafas dalam jiwa hamba “


~ ni copy paste dari koleksi-koleksi tulisan reject, tak sempat nak menulis.. sori :)

~ esok last paper : etika perubatan

~ esok kembali menjadi presiden untuk sebulan berbaki

~ esok mula cuti dua minggu yang menggembirakan barangkali


Tuesday, May 25, 2010

Kau dan Aku : Bertemu di Sana


Sahabat, teman, kawan, kenalan,
apa sahaja istilah yang kita berikan, mereka merupakan sebahagian dari cerminan kehidupan.
Yang memberi impak dan yang sepatutnya diberikan impak.

Kalau yang hidup jauh di perantauan, terpisah beribu batu dari keluarga tercinta,
mereka adalah pengganti keluarga, yang menggembur baja jiwa manusia yang fitrahnya tak mampu berdiri utuh dan teguh dengan berdiri seorang diri.

Ramai yang komen dan merungut dikurniakan kawan yang selalu menghadiahkan masalah,
kawan kadang-kadang bertukar lawan, yang sayang itu semakin hilang, marah diundang. Perang!!

Andai berlaku masalah antara kita dengan dia yang dilabel sebagai sahabat,
nilai semula asas hubungan yang terbina.
Kerana pandainya dalam pelajaran?
Ramahnya dia saat kali pertama bersua muka?
Rajinnya dia memberi hadiah?
Kayanya dia untuk kita menumpang mewah?

Kalau asbab itu dijadikan gelang dan rantai persahabatan, di saat apa yang kita sukai padanya itu berlaku pergi, dihempas badai yang menggila, lalu semudah itu terputusnya akuan saudara?

Kalau begitu, lebih murninya anak-anak kecil yang punya rasa untuk berbicara dengan sahabat seumur dengannya, biar dengan bahasa suara yang dua-duanya masih belum sempurna dibandingkan si tua yang bersahabat atas dasar yang tidak relevan dalam setiap saat dan ketika.

Lalu untuk apa ertinya memateri janji sebuah menterai persahabatan, samaada meluah jujur seperti sesama hawa, ataupun sesama adam yang diam-diam memendam rasa.

Bukankan muslim itu bersaudara?
Ikatan aqidah yang menyatukan langkah jasad dan jiwa.
Syurga itu destinasi yang ingin digapai bersama.

Lalu, untuk apa selalu melihat salahnya kawan,
lupa menilai sudahkan aku menepati ciri kawan yang aku impikan.

Mengapa harus putus asa mengajak dan memberi manfaat buat teman,
sedang tahu hidayah itu milik Allah, dan kita hamba si pengusaha.

Nilailah persahabatanmu, sejauh manakah kukuh asasnya hingga bisa membawa janji
bertemu kau dan aku di syurga sana.

Thursday, February 4, 2010

Apa kata Cairo tentang aku?

Alhamdulillah.

Hari ini hari ketiga saya di bumi Mesir. 2 Februari lepas saya tiba di Kaherah dan terus menuju ke Mansurah, dan pagi ini saya di bumi Tanta.

Ada 17 hari lagi untuk saya terokai bumi Mesir.

Mencari spirit yang hilang.
Mengikat tali baru, dan mengetat tali yang berlalu.

Doakan saya.

Semoga bertemu lagi.

Monday, February 1, 2010

Sekalung Tahniah

Ex-pres yang sudah graduasi..aku 3 tahun lagi. iAllah


Minta maaf kepada pengunjung MRP ini kerana sudah lama tidak kemaskini walaupun cuti sudah dimulai.

Semalam adalah hari bersejarah buat sahabat/senior saya, Ahmad Faiz bin Ahmad Hamzah atau nama mahsyurnya di Jordan, BAHA. Baha merupakan mantan Presiden PERMAI sesi 08/09. Semalam majlis graduasinya dalam jurusan Bahasa Arab. Apa yang membanggakan, dia satu-satunya anak Melayu yang bergelar graduan pada majlis semalam.

Hari ini saya tayangkan gambar-gambar sahaja untuk ditonton.


Ini bukan jejaka-jejaka hawt :P

Pres.MMY dan mudir qisim arab ( macam die je grad. hehe )


2 graduan yang membanggakan
( sori rokers, tak sempat nak tengok hang pakai jubah )


Tahniah saya ucapkan buat graduan-graduan Yarmouk dan PERMAI.
Semoga dipermudahkan langkah seterusnya.

Kita yang masih berbaki lagi, teruskan usaha.
Cuti bukan masa rehat sepenuhnya,
tetapi masa untuk mengumpul tenaga.


Monday, January 11, 2010

Hospital : Rasa Sesuatu

Saya pelajar perubatan, akan jadi doktor satu hari nanti. IAllah.
Tapi saya semak semula penulisan saya sejak kali pertama berblog, macam bukan pelajar perubatan.

Orang kata kalau mahu mengenal tuan empunya badan, boleh dilihat corak penulisan.

Saya pernah menulis tentang politik, siapa tahu satu hari nanti anak Kampung Sengkang ini akan masuk ke dewan parlimen.
Cerpen dan puisi juga pernah saya hiasi di kanvas blog ini, mungkin juga penulis akan saya lalui jalan likunya kelak di hari tua.
Isu persatuan juga selalu jadi pilihan, mungkin kerana saya sedang memegang jawatan.

Tapi, tentang perubatan, belum pernah saya tuliskannya. Kalau ada mungkin sekadar tampalan pada mana-mana artikel.

Jujurnya, saya menulis tentang satu perkara atas dasar kecenderungan meminatinya.

Jadi, saya ni kurang minat medic ke?
Em.. saya minat, tapi belum cukup minat hingga untuk menarikan buah bicaranya di blog ini soal dunia perubatan.

Mungkin kerana saya belum cukup makan garam dalam dunia ini, baru masuk tahu ketiga, tahun akhir pre-klinikal. Hanya ditimbunkan dengan nota-nota yang perlu dihafal dan memasuki lab untuk melihat bongkah-bongkah tiruan dan cadaver yang kering dan rangup barangkali.

Selalu juga saya meninjau blog senior-senior klinikal tak kira di mana mereka berada, agak mengujakan, walaupun saya tahu keletihan dan cabaran lebih banyak terhidang di depan mata di alam klinikal nanti, belum lagi bila sudah menjejakkan kaki sebagai doktor pelatih di Malaysia.

Jujurnya, saya sukakan suasana hospital, ada rasa semacam yang tidak boleh diungkapkan.
Kalau kecil-kecil dulu, saya selalu ke hospital apabila fatrah adik-adik saya lahir ke dunia.
Menunggu emak keluar dari dewan bersalin, satu penantian yang menyeksakan, menanti wajah-wajah yang akan menyerikan keluarga.

Hospital.

Di dalamnya ada seribu satu kisah.
Kisah yang datang dari seribu satu punca.
Yang akan berakhir dengan noktah yang sama, tapi pada masa yang berbeza.




Sehari ditahan di hospital KAUH yang akan saya terokainya hujung tahun ini, memberikan kembali rasa itu.
Rasa ' sesuatu' kepada hospital.
Rasa untuk menerokai.
Rasa untuk memberi.


~dah2, sambung study, khamis ni exam bermula~
~ terima kasih buat semua yang mengirim doa, ziarah,bagi hadiah, makanan, kek , call dari UK mahupun Jordan. ~terharu~
~ Alhamdulillah, tongkat kanan sudah dijauhi, menunggu masa untuk berlari dan terbang tinggi~
~ aliran Sungai Nil sudah menari-nari ~


Saturday, January 2, 2010

2010


Saya tidak ada buku diari untuk ditulis di malam hari, yang disimpan di laci dan dicuri oleh kawan-kawan untuk membongkar siapa yang kita sukai.
zaman sekolah dulu pernah mencuba, tapi gagal acap kali. Menulis di atas kertas satu perkara yang agak melecehkan bagi saya.
Dan akhirnya bila sudah tidak buta teknologi, saya jadikan blog ini sebagai catatan perjalanan
untuk dikongsi, mudah juga buat saya untuk dijadikan rujukan peristiwa.

Jalur Warna 2009

2009. Tahun yang agak mencabar buat saya. Tahun yang saya kira sebagai tahun ketika usia di hujung belasan. Banyak perkara yang terjadi yang saya rakamkan dalam alam maya ini.

1. Awal tahun lepas, blog ini agak aktif. Namun, semakin meningkat bulan, semakin menyusut jumlah entri yang ada. Tulisan saya semakin kendur, minat sastera saya kian kendur dek kerana masa lebih menuntut untuk saya menulis di alam nyata.

2. Bulan Januari 2009, saya pulang ke Malaysia untuk melihat kondusi abah. Oleh kerana sudah sekali pulang ke Malaysia buat tahun itu, cuti raya saya dihabiskan di bumi Irbid, menguruskan kedatangan adik-adik bersama skuad tabah Irbid yang lain. :)

3. Bulan 7 yang lalu, taklifan Presiden PERMAI yang jumlah ahlinya kini melebihi 600 orang telah menukar banyak corak hidup saya. Jujurnya, menjadi pemimpin ini bukan semudah berkata-kata, banyak yang perlu dibuktikan dengan amal anggota.

4. 2009 juga telah membawa saya kembali ke pentas debat. Alhamdulillah, pasukan kami meraih dua kejohanan peringkat se-Jordan. Tahun lepas juga gerak kerja Kelab Orator PERMAI
mula diperkemaskan dengan bantuan rakan-rakan, dan azam saya untuk melahirkan lebih ramai individu yang berfikiran dan mampu menyampaikan. 2010, tahun untuk saya berhenti untuk beraski di pentas.

5. 2009, saya akhiri tahun itu dengan tongkat masih di sisi. 31hb yang lepas, saya merasai masuk ke dalam mesin MRI hampir 20 minit. Menanti seminggu lagi result, satu perkara yang menguji kesabaran. Mujur bayarannya jauh murah berbanding kos asal. Dan 2010 saya mulakan dengan tongkat yang tetap di sisi, saya tidak pasti berapa lama lagi, mungkin seminggu, mungkin sebulan lagi. Namun, masa tetap menuntut untuk saya terus berlari.

2010M/1431 H
Tahun ini tahun bermulanya fatrah 20-an buat saya.
Ini bukan lesen untuk nampak lebih berusia, agar boleh dijadikan alasan agar diizinkan emak abah untuk melayari bahtera rumah tangga.

Tahun ini tahun muhasabah, setelah dua dekad nyawa ini dipinjamkan, apa yang telah kembali disumbangkan.

Tahun ini tahun untuk mencipta.
Tahun yang membina sebelum ini menuntut hasilnya.

~Muhasabah~