Tuesday, December 29, 2009

Manisnya Masalah

Baru-baru ini ada sorang kawan mengutarakan soalan.

" Best tak kalau hidup ni takde masalah? "

Saya pernah juga terfikir soalan yang sama, terutama apabila masalah datang bertimbun-timbun.
Kadang-kadang mahu sahaja lari dari diri sendiri, meninggalkan masalah jauh-jauh dari mata dan kepala, biar ringan untuk ke sana ke mari.

Hakikatnya, masalah itu yang akan menghidupkan kita.
Yang akan mencorakkan langkah kita di masa hadapan kelak.

Andai diri terasa lemah, rasa mahu rebah dan mengalah melihat masalah sedang terbentang di depan mata, cuba sama-sama toleh semula zaman sedari kita kecil hingga menginjak dewasa.

Saya ingat lagi, kalau zaman sekolah dulu, masalah buku kerja garis tiga hilang pun saya sudah jadi masalah buat saya. Dihukum cikgu duduk di kaki lima.
Rakan-rakan sekelas yang bising semasa cikgu tidak ada pun sudah memeningkan kepala, apabila cikgu menjelma, saya yang akan disoal yang pertama. Masalah buat saya.
Tak cukup duit untuk membeli alat mainan yang best-best macam kawan saya yang bapanya kaya raya juga saya rasakan satu masalah.

Itu masalah kanak-kanak. Yang mewarnai kanvas hidup saya sebagai manusia.

Dan semakin besar saya, saya mula memahami bahawa masalah itu memang tidak akan dipisahkan oleh kehidupan. Hidup dalam keluarga yang sederhana mengajar saya untuk menghargai setiap usaha emak dan abah untuk mengatasi masalah yang melanda.
Dan masalah itu yang menguatkan.
Dan masalah itu yang menyatukan.

Saya ingat lagi, semasa keluarga kami mengalami masalah kewangan, emak dan abah ambil keputusan untuk berniaga kecil-kecilan.
Menyewa gerai makan di kawasan pedalaman, berniaga sarapan pagi hingga ke makan tengah hari. Pernah satu hari emak tercicir duit jualan dalam perjalanan ke pekan dengan menaiki motosikal. Saya menemani emak ketika itu. Puas kami berpatah balik dan mencari-cari, mana tahu ada rezeki yang masih berbaki dari Ilahi. Alhamdulillah, setelah puas mencari, beberapa ringgit berjaya ditemui dan bakinya hilang, bukan rezeki kami.

Pengalaman manis yang saya tak kan lupakan adalah saat kami sekeluarga berkampung di bendang sawah untuk memancing ikan seperti puyu, haruan dan keli.
Sedang seronok memancing, hujang lebat mencurah-curah, pondok kecil yang hampir roboh jadi tempat kami berteduh, dan di saat itu juga rezeki datang mecurah-curah. Tuhan Maha Pemurah.

Mengijak zaman sekolah menengah, jalur hidup saya semakin berwarna-warni.
Menjejakkan kaki ke sekolah asrama mengundang banyak perkara yang saya rasakan masalah
pada awalnya. Dibuli senior yang bermaharajalela, berjauhan dengan keluarga, kelewatan membayar yuran asrama dan sekolah. Namun akhirnya itu jugalah kenangan yang tidak saya lupakan kerana itu semua yang menjadikan saya sebagai saya. Pernah satu ketika saya lewat membayar yuran asrama kerana abah mengalami masalah kewangan ketika itu, nama saya terpahat di papan kenyataan asrama. Kesusahan abah mengusahakan untuk membayar yuran tersebut saya cuba balas dengan menjadi pelajar terbaik asrama. Namun saya tahu itu tidak akan setimpal untuk membalas keringat abah.

Baru-baru ini melihat wajah emak dan abah semasa ym dengan mereka, saya dapat melihat ketabahan mereka yang telah mengharungi banyak dugaan dalam membesarkan kami berenam.
Alhamdulillah, kakak saya sudah mula berkerja.
Adik saya bakal ambil SPM tahun hadapan dan menjadi Penolong Ketua Asrama.
Dua hero saya mendapat tempat pertama dalam kelas dan semakin aktif dengan latihan silat mereka.
Ayuni yang kecil juga bakal ke sekolah tahun hadapan dan turut bersilat dengan abang-abangnya.


Dan emak akan setia menemani abah untuk menjalani hari-hari mendatang sebagai pesakit buah pinggang.
Dah abah akan terus mendidik kami dengan murahnya kasihnya tidak terkira.
Emak dan abah kini sudah jadi kepala dalam menggerakkan aktiviti di kampung kami.

Dan saya di sini, tidak boleh mengalah dengan masalah-masalah yang sekelumit cuma.
Setiap masalah ada jalan selesainya.
Mungkin tidak semudah satu tambah dua, namun tetap ada.

Dan saya harus terus berlari, meski tongkat masih di sisi.
Dan saya harus terbang tinggi, meski sayap masih belum dimiliki.

Tuhan, kuatkan aku untuk menuju daerah abadi.

Monday, December 21, 2009

Teman Setia

Memang saya impikan hidup ini ada teman setia, yang mendampingi di saat dan ketikanya gembira itu menjelma, apatah duka membalut rasa.

Manusia itu memang tidak sempurna bukan?
Perlu saling memperlengkapkan demi menempuh jauhnya perjalanan.

Dan kini, sudah lebih setengah purnama hidup saya didamping setia, yang saya pegangnya hampir setiap masa . Ke sini sana.

Kredit buat MPKJ

Ujian ini tanda kasih Allah.
Saya yakin dan percaya.
Dia menegur saya.

Ramai yang bertanya, apa cerita dengan keadaan kaki saya.
Saya juga tidak boleh memberikan jawapan yang pasti, apa puncanya lutut kanan ini tidak boleh dibengkoknya sepenuhnya ( flexsor ) dan lurus setegaknya ( extensor ), hujung bulan ini baru boleh diketahui dengan melakukan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

Macam best je..huhu

Mujurlah tarikh MRI yang asalnya dijadulakan bulan dua dapat dipercepatkan ke hujung bulan ini hasil pertimbangan pihak hospital, kalau tidak, bertongkat tiga bulan jawapannya.
Sudah macam pemain bola profesional pula gayanya :P

Alhamdulillah, kekurangan saya untuk berjalanan ditampung oleh kesungguhan rakan-rakan disisi untuk bawa saya terus berlari. Saya tidak dapat berkunjung ke rumah mereka, rumah saya dikunjung hampir setiap hari. Nikmat hidup berukhuwah memang tak terkata dan tercurah oleh bicara.

Pernah saya terfikir, Allah baru tarik nikmat satu kaki buat sementara, belum lagi nikmat-nikmat yang lain.

Memanga manusia ini lupa, bila sudah ditarik, baru terasa.

Pesan saya buat abang-abang dan adik-adik, hati-hati dalam keghairahan bahang PSL'10 ok. :)

Ok, berhenti dulu di sini, menulis untuk kurangkan sedikit rasa mencuit-cuit di kaki ini.
Menulis memang melegakan. Cubalah kalau tidak percaya!

- terima kasih buat yang menerima saya seadanya.
- tongkat kanan sudah dimiliki, menunggu masa kehadiran sayap kiri

Sunday, December 20, 2009

Takut



Awal Muharam yang menjelma,
jadi petanda
Masa akan terus berlalu meninggalkan kita.

Aku akan terus melangkah,
menyusur lorong dunia yang pasti ada penamat dihujungnya,
sebuah sempadan ke alam akhirat.

Aku berasa takut.
Takut akan diri sendiri.

Tahukah aku?
Mahukah aku?
Mampukah aku?

Aku akan menjengah 20-an kurang dari sebulan.
orang kata aku muda,
namun hakikatnya 20 tahun itu sudah lama.

Aku melihat seisi dunia,
hamparan yang terbentang di depan mata.
Dunia yang dicintai ramai manusia.
Dunia yang sudah makin berubah.
Yang hancur menuju kehancuran,
yang kembali berjalan dan berlari.

Meski secebis dari zarah kecil habuk dunia,
harus diingat wahai manusia,
manusia itu bukan hidupnya untuk menikmati kehidupan,
hidupnya untuk menyempurnakan kewajipan.

Bisik soal bicara pada cuping telinga,
Kisah apa yang kita coretkan
dalam diari kita yang bergelar si mati.
Sebuah warna perjaungan atas kanvas keikhlsan,
atau palitan lumpur yang meloyakan.

Ah,
Siapa aku untuk digelar aku,
Andai yang di hujung sana pasti menanti,
ku jejak juga yang saki baki dunia terhenti,
Tampar aku biar sedar dan berlari,
Mengaut bekal ke daerah abadi.

Thursday, December 17, 2009

Lagu

Jam sudah 1.30 pagi.

Alhamdulillah, kerja saya sudah selesai. Menarik juga bidang yang saya sedang cuba kali ini.
Mahu tahu apa? Nantikan hasil kerja saya bila-bila saya benar sudah bersedia. ;)

Sebelum tidur, nak kongsi satu lagu dengan kalian semua.
Kalau mahu tahu, saya ada satu tabiat dalam mendengar lagu.
Kalau telinga ini sudah tertangkap satu lagu dan hati ini sudah terpaut, saya akan dengarnya berulang-ulang kali, sehari kadang-kadang berbelas kali, sampai ahli rumah saya
boleh menghafalnya.

Kalaulah ada lagu tentang Microb dan Pharma yang best dan memikat jiwa, mesti menarik, mudah sikit nak menghafalnya. :)

Satu lagu buat kalian, lagu 'musim' buat saya di saat ini.

STARFIVE-Satu Cinta

Ku memohon dalam sujudku padaMu
ampunkanlah sgala dosa dalam diri
ku percaya Engkau bisa meneguhkan
pendirianku keimananku

Reff: Engkau satu cinta yang slamanya aku cari
tiada waktu kutinggalkan demi cintaku kepadaMu
walau seribu rintangan yang menghadang dalam diri
kuteguhkan hati ini hanya padaMu kupasrahkan

oh Tuhan...slamatkanlah hamba ini
dari segala fatamorgana dunia
oh tuhan jauhkanlah hamba ini
dari hidup yang sia-sia


Tuesday, December 15, 2009

Perubahan : Realiti VS Teori

Susahnya nak berubah, tidur lagi best..Zzzz


Saya suka berbicara soal perubahan, walaupun saya tahu berubah itu bukan sesuatu yang mudah,
tidak semudah mengubah warna baju yang kita pakai pada hari ini kepada yang lebih terang pada keesokan hari.

Dan hasil pemerhatian saya, ramai yang sudah mula untuk mengubah keadaan dan kondusi,
mahukan perubahan itu dan ini, kalau dulu tidak ada, kini mahu menjelmakannya, kata sesetengah orang, kita jangan terlalu ikut tradisi, nanti sampai bila kita akan berada di takuk yang lama.

Mentaliti

Saya sedang cuba untuk menembak mentaliti dalam ruang lingkup kehidupan saya sekarang ini.
Alhamdulillah, sudah nampak orang disekeliling berbicara soal mentaliti.
Soalnya, mentaliti itu harus diubah dari mana ke mana, dari apa kepada apa?

Dari yang jadi kelaziman, tetapi sebenarnya satu kezaliman kepada yang apa yang patut dan hak tetapi telah lama terbantut dan terpijak .

Agak berbelit-belit?

Saya kongsikan satu contoh yang agak klise bagi sesetengah orang, tapi susah untuk dibuktikan bahawa Melayu bukanlah pelakunya.

Program 8 pagi.

Aku datang 8.30 la, budak-budak lain mesti lambat juga.


Mula 9 pagi.


Yang datang 8 pagi jadi mangsa.


Yang datang 8.30 pagi jadi pemangsa.

Zalim bukan?


Itu baru bicara soal masa.

Bagaimana berbicara soal mengubah suasana dan budaya.
Yang ala-ala sekolah agama, ingin diubah menjadi realiti yang lebih nyata.
Baru mencabar, baru real live. Tidak hidup dalam mimpi indah. Nada sesetengah yang menuntut perubahan.

Hidup dalam Teori VS Realti

Ada orang yang mengeluh, hidup dalam biah yang baik-baik sekarang ini, semuanya terjaga,
nanti bila sudah terjun ke alam pekerjaan yang realiti, mana ada semua ini.
Nanti boleh culture shock.

Apa tindakan yang relevan?
Haruskan kita ubah budaya sedia ada agar menjadi 'realiti' .
Atau kita kekalkan budaya sedia dan nafikan perubahan yang ingin dibawa oleh sesetengah pihak yang nampak kepentingan untuk mengubah keadaan yang difikirkan relevan untuk kehendak semasa.

Bagi saya, saya tidak nafikan betapa pentingnya untuk kita mengubah sesuatu.
Saya tidak suka kita buat sesuatu kerana ia adalah budaya yang telah diwariskan.

Mewarisi tanpa kefahaman.
Dan akhirnya kita juga terperangkap di tengah jalan.

Dan tidak lupa juga,
dalam membawa perubahan , haruslah dengan kefahaman.
Agar kita tidak sesat dan menyesatkan.

Kalau dikaji, kebanyakan perubahan yang ingin dibawa bukanlah satu perkara yang baru.
Tetapi lebih kepada mengembalikan semula apa yang sudah dikaburi dan ditinggalkan atas dasar kejahilan dan kekaburan hasil kesilapan kita sendiri dan juga serangan musuh di luar sana.

Soal hidup dalam biah yang terjaga, ada pihak yang menegur kalau kita membuat salah,
bukankah itu teori yang harus direalitikan setiap masa, masa kini dan juga masa hadapan nanti.
Cumanya, semua kita harus melakukan atas dasar ilmu dan kefahaman, bukan ikut-ikutan semata-mata.

Kitalah yang harus mencorakkan suasana, jangan kita harapkan suasana yang membentuk kita sepenuhnya, kerana di saat kita terdampar di lembah yang tiada halangan dan sekatan untuk melakukan apa sahaja, mahukah kita larut dan sebati, hilang jati diri.

Jadikan neraca pandangan Allah sebagai garis panduan untuk kita melangkah.

Sunday, December 13, 2009

Pergi Tak Kembali

Siapa sangka,
Dia sudah pergi mendahului kami.
Meninggalkan anak dan isteri yang dikasihi.
Meninggalkan kami mahasiswa dan mahasiswi di Jordan ini.

Kelmarin, Ustaz Arman, Pegawai Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan telah menghembuskan nafas terakhirnya setelah beberapa hari dimasukkan ke wad ICU.

Saya agak terkilan kerana tidak sempat menziarahinya di hospital kerana saya sendiri terkurung di rumah.

Mula mengenali Ustaz Arman saat beliau mula berkhidmat sebagai pegawai Atase.
Sejak memegang jawatan presiden, Ustaz Arman adalah orang kedua yang paling saya hubungi selepas Ustaz Sulaiman.

Dia pernah pesan kepada saya untuk jaga ukhuwah pelajar Malaysia di sini dan tingkatkan kualiti dan variasi program.

Dan di saat saya meminta maaf ada terbuat silap sepanjang bekerja dengannya,
" Takpe, takpe, saya tak kisah, awak jangan risau. "

Dan kali terakhir saya bertemu dengannya semasa pertandingan debat Piala Yayasan Perak, dia menjadi hakim ketika itu.

" Berdebat ini jangan banyak retorik, hujah dan isi mesti mantap . " lebih kurang begitu pesannya.

Kini, saat saya melayari laman maya, ramai yang menulis tentangnya. Tentang peribadinya sejak di bangku sekolah, usaha dalam bidang pendidikan dan kini itu dinukilkan sebagai kehidupannya di dunia yang sudah tiba ke penghujungnya.

Sama-sama kita doakan roh arwah Ustaz Arman ditempat dalam kalangan para solihin.

~Al-fatihah~

Wednesday, December 9, 2009

Ubah

Bicara soal perubahan.

Apa yang harus didahulukan?

Ubah yang lama jadi baru.

Atau yang kurang lawa jadi bergaya.

Biar semua nampak, wow. dah berubah!


Atau,

Yang diubah itu dari sini ke sana,

atau dari aku kepada dia,

" eh..lainlah, dah berubah. " cuit member sebelah.

Ubah atau diboneka?


Kau mahu ubah apa?

Fikir!

Jalan hati-hati, nanti mati.

Ubah dari dia kepada kau.

Kau yang sebenar-benarnya.

Lalala....

Saturday, December 5, 2009

Tongkat Hidupku

Entri lepas saya bicara soal pak cik tua yang hilang upaya beberapa anggotanya dan bertongkat menyusur bahu jalan.
Meski sudah berusia dan kurang upaya, masih lagi memikir masalah ummah.

Semalam saya bertemu dengan seorang pemuda yang Allah tarik nikmat kaki kanannya buat sementara. Lututnya cedera dan pergerakkannya terbatas, tongkat pinjaman MPKJ jadi penemannya di saat dan ketika ini.

Siapa sangka, pagi semalam dia keluar dari rumah dengan berazam untuk membantu pasukannya memenangi perlawanan dan juga mengerat ukhuwah persahabatan, baru 10 minit beraksi di padang, terpaksa keluar padang mengisi bangku pemain simpanan. Kaki terasa ditikam-tikam.

Semalam dan hari ini buat pertama kalinya dia menjejakkan kaki ke pusat perubatan dan hospital untuk rawatan sendiri, sebelum ini hanya menemani kawan-kawan yang diuji Ilahi.

Doakan dia cepat sembuh dan boleh berlari, banyak tanggungjawab di luar sana yang menanti.

Muhasabah.

~ terima kasih semua yang ziarah, call dan caring. Terharu~

Wednesday, December 2, 2009

Curahkan Aku Nyawa

Alhamdulillah.

Yang bernama Naqeb itu mampu menulis semula, setelah jari membeku buat seketika.
Keluarga MRP sudah bertambah angkanya meski tulisan saya telah longgar, nyawa blog ini makin pudar.
InsyaAllah, saya akan cuba menulis semula. Saya berehat dari menulis untuk menyelesaikan perkara yang lebih utama. Ada tuntutan lain yang perlu saya dahulukan, dan kini saya ingin salurkan tuntutan itu dalam batang tubuh penulisan.

Sebagai permulaan semula, saya ingin berkongsi satu cerita.

Ziarah

Malam ini Allah atur saya untuk menziarahi seorang pak cik tua. Sebelum ini, saya hanya berurusan dengannya apabila ada tuntutan, dan menegurnya di tepi jalanan di saat dia yang sudah hilang upaya bagi beberapa anggotanya bertongkat menyusur tepi jalan berdekatan dengan rumah saya.

Pernah saya terfikir, apa yang boleh disumbang oleh pak cik ini dengan keadaanya yang kurang upaya.

Ziarah saya dan dua orang lagi sahabat ke rumahnya atas jemputannya yang berulang-ulang meminta kami memasuki rumahnya. Secara tradisinya, rumah masyarakat Arab memang terkenal dengan ruang tamunya yang dihias indah khusus untuk tetamu.

Kami dijemput duduk di sofa empuk dan dihidang 'syai' panas sesuai dengan cuaca yang sejuk menggigit tulang.

Pak cik itu meninggalkan kami seketika dan kembali semula dengan beberapa keping gambar.
Dia tunjukkan gambar seorang lelaki segak, namun sudah pergi selamanya pada bulan Ramadhan yang lalu. Arwah anaknya merupakan seorang doktor dan menemui ajal dalam kemalangan jalan raya.

Dari riak wajahnya, saya tahu dia menyimpan seribu rasa, rasa rindu, sedih dan bangga dengan anaknya.

Selepas itu , dia membuka topik perbualan tentang isu umat Islam.

" Umat Islam sekarang hanya diludah ". ujarnya.

Dia berkata mana dia pemuda seperti Salahudin Al-Ayubi di masa kini.

Remaja-remaja ramai yang rosak akhlaknya.

Dia meluah dengan nada sebak.

Tiada negara yang amalkan pemerintahan Islam yang sebenar-benarnya.

Tetapi, yakinlah khilafah Islam akan tertegak jua.

Semangat orang muda ada pada tubuh tua yang sudah tidak berkudrat tenaga perwira.

Kami pulang dengan sedikit curahan nyawa pemuda dari pak cik tua.


Allah tegur saya, jangan pandang orang pada rupa dan usia.
Meski dia tua dan bertongkat, tidak berjubah dan berketayap setiap saat, dia tetapkan fikirkan masalah ummat.

Saya pula bagaimana, anggota sempurna, jiwa pemuda, darah masih panas membara..haruskah aku hanya berdiam diri, memeluk tubuh mati?

Curahkan Aku Nyawa.

Monday, November 23, 2009

Debat PYP



Piala Yayasan Perak


Juara : Irbid ( Syabab )
Naib Juara : Mu'tah B
Tempat ke-3 : Irbid ( Akhwat )

Penghargaan:

1) Semua kontijen Debat PERMAI yang telah seminggu bertungkus lumus dalam membuat persiapan.
Khusus buat : Azzam, Faiq, Afiq, A.Nazim, A.Halim, Luqman, Amir, Acad dan barisan penyokong syabab . Juga buat barisan team akhwat yang banyak membantu dalam usaha menjayakan misi kita melakukan yang terbaik. Tahniah juga buat kalian kerana berjaya mendapat tempat ketiga meskipun ini percubaan kali pertama.

2) Warga PERMAI atas doa dan sokongan kalian

3) BKAPJ dan Jawatan kuasa Pelaksana Debat PYP yang telah menjayakan debat ini dengan gemilang

4) Sahabat-sahabat pendebat dari Mu'tah dan Mafraq .

Terima kasih semua.

- pencen? sudahkah tiba masanya? .....
- moga biah ilmu yang merencana pemikiran agar tidak lesu terus disubur dan dimaju




Saturday, November 14, 2009

Yok KORBAN Yok

Monday, November 2, 2009

Nyawa

Tuhan,
Curah dan basahkan aku nyawa,
Agar tubuh lesu ini kembali segar,
Bisa melangkah laju lebar,
Berlari dan terus mengejar,
Sedar.

~sedang mencari nyawa, doakan aku~

Saturday, October 24, 2009

Kembara PERSATUAN

Alhamdulillah.

Sudah lebih dua tahun saya di Irbid, Jordan.

31 Ogos 2007 lalu saya tiba sebagai sanfur ( gelaran pelajar baru ), bertatih di dunia asing, dicelah ketinggian pelajar Arab lain, dipanasi terik cahaya musim panas, dibaluti kedinginan musim sejuk yang mendamaikan jiwa.

Hingga saat ini, saya sudah menjejakkan kaki ke tahun tiga Fakulti Perubatan di JUST.
Alhamdulillah.

Tiga tahun juga saya sudah bersama PERMAI.
PERMAI yang saya catatkan kembara ilmu dan pengalaman di dalamnya, yang turut saya lipatkan banyak peristiwa di dalam kotak ingatan dan peti entri dalam blog MRP ini.

Tiga tahun yang menyaksikan perubahan pimpinan dan pertambahan ahli yang memberangsangkan. Seingat saya semasa di tahun satu, jumlah ahli PERMAI hanya lingkungan tiga ratus lebih. Setahun kemudian , sewaktu saya memegang jawatan setiausaha, jumlah bertambah kepada empat ratus lebih.

Dan yang terkini semasa saya membentangkan statistik ahli PERMAI di dalam mesyuarat MPPMJ , jumlah itu sudah berkembang lebih enam ratus orang, separuh dari jumlah mahasiswa di Jordan.

Survival PERMAI



Hari ini diisytiharkan hari MEKAP sePERMAI.

MEKAP. Majlis Kaunseling Pelajar.
Perjalanan berbentuk usrah.

Satu persoalan timbul, mampukah biah usrah itu dibawa ke dalam MEKAP?

Soalan yang bernas dan relevan untuk kita fikirkan bersama, tidak kira naqib atau naqibah, ataupun anak-anak MEKAP semua.

Namun, saya ingin bertanya satu soalan penting untuk kita tinjau jawapannya dengan teliti dan biar akal ini berfungsi?

" Mampukah PERMAI terus teguh berdiri dalam menyatukan mahasiswa Malaysia di Irbid dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar seandainya biah usrah tiada, ataupun tenggelam timbul, hilang arah dan punca? "

Saya berharap MEKAP sesi ini bukan sekadar dibaik pulih untuk memastikan ia ada dalam lipatan taqwim PERMAI, namun sewajarnya ia dapat menghasilkan produk, muslim-muslim yang bersatu hati dalam memahami Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupan.

Sedikit pesanan, buat adik-adik baru dan abang-abang serta kakak, jangan kita datang MEKAP dengan niat untuk menerima, seandainya penyampaian naqib atau naqibah tidak membuatkan kita rasa cukup, kita juga akan kecewa. Oleh itu letakkanlah niat kita datang untuk berKONGSI, saling memBERI, menerima dan menJIWAI rasa.

~ MEKAPkan diri anda sebagaimana anda memekapkan wajah anda ~

~berPERMAI hingga ke syurga~

Monday, October 19, 2009

Persatuan yang melumpuhkan ahli

Saya ragu-ragu untuk menulis tentang tentang isu ini, kerana menulisnya menuntut untuk saya membuktikan sesuatu, menuntut untuk pembukaan minda dan perilaku.

Satu persoalan yang bermain di fikiran saya sekarang,
benarkah berpersatuan itu boleh mengganggu akademik ahli?

Adakah ahli yang aktif berpersatuan, memegang jawatan dan posisi penting yang memerlukan komitmen mingguan, bulanan malah tahunan, lalu gagal dalam peperiksaan, lalu kesimpulannya aktif berpersatuan boleh mengganggu pelajaran?

Benarkah? Dan salahkah persatuan kerana wujudnya situasi sebegini ?

Satu lagi persoalan lain ingin saya timbulkan, bagaimana dengan ahli yang memegang jawatan dan posisi penting yang menuntut kesediaan berkhidmat 24 jam, dan akhirnya cemerlang dalam pelajaran, haruskah dibuat kesimpulan aktif berpersatuan mampu meningkat potensi untuk menggarap warna-warni kejayaan?

Bukankan dua perkara ini bertentangan, lagu apakah status sumbangan persatuan dalam perkembangan akademik ahli yang menggerakkannya, tidak kira dari kelompok yang memimpin hingga kelompok yang terpimpin.

Bagaimana pula isu tentang yang tidak aktif berpersatuan, tetapi merosot kecemerlangan pelajaran, haruskah dijadikan alasan untuk mempertahankan persatuan dari isu yang membelenggunya ? Atau tiada kaitan antara kedua-duanya?

Saya yakin jawapan setiap orang berbeza, berbeza mengikut pengalaman dan berbeza berdasarkan pemahaman.

Namun, di sini saya ingin mengajak kita muhasabah dan mengorak langkah dalam berberapa perkara:

1) Bagi sesiapa yang aktif dan memegang jawatan berpersatuan , mari sama-sama kita langkahi berdasarkan keutamaan. Sama-sama kita buktikan persatuan bukan punca kegagalan, malah boleh menjadi pemangkin untuk melakar jalur kejayaan.

2) Bagi yang semua yang terlibat dalam persatuan, tidak kiri di penjuru mana sekali pun, mari sama-sama berusaha untuk menghidupkan budaya berpersatuan yang berjalinan dengan perkembangan ilmu dan akademik agar tidak wujud alasan persatuan menganggu akademik ahli. Fikir-fikirkan bagaimana mampu direalisasikan.

3) Sama-sama kita cuba seimbangkan tugasan kepada semua ahli, jangan biar kelompok tertentu sahaja yang buat kerja, kelompok lain hanya menikmati rasa. Seimbangkan tugas, susah senang dikongsi bersama.

Itu sahaja yang ingin dikongsi saya, sama-sama muhasabah bersama dan mula mengatur jejak langkah agar tidak menyesal di hari mendatang yang masih jauh nun di hujung sana.

Jujur

Jujur.

Memang menulis ini perlukan latihan konsisten meski sekelumit patah kata.
Saya cuba menulis kembali, tapi gagal menyusun kata hati beberapa kali.
Banyak perkara ingin saya rakamkan dan kongsi dengan kalian keluarga saya di sini.

Masuk tahun ketiga di tambah dengan taklifan selaku Presiden PERMAI menuntut untuk saya menyusun masa sebaik-baiknya.
Banyak perkara yang harus saya korbankan, termasuk masa untuk mencorak kata di halaman ini.
InsyaAllah, saya akan cuba menulis sedaya upaya dengan ruang waktu yang ada.

Banyak perkara ingin saya kongsi, doakan rasa itu datang untuk memudahkan jari jemari menari kembali.

Doakan saya.

Saya doakan kalian.

Doa pengikat hati kita.

- harus berlari di saat ini..

Monday, October 12, 2009

Bitter.tart

Tayangan Video oleh AbuMalik Studio sempena Lebaran Aidilfitri PERMAI.

Hayatilah.

Saturday, October 10, 2009

Perantau Tak Kan Sepi

Friday, October 9, 2009

Senior VS Junior 1

Ada kenangan yang ingin saya ukirkan, buat diri ini tersenyum saat rindu zaman sekolah membalut hati.

Zaman sekolah

Indah dan berwarna.
Ada suka, duka, tawa dan hiba.

Saya berkecimpung dalam soal junior dan senior ini jelas sewaktu masuk ke alam sekolah menengah. Hari pertama masuk ke asrama, ' SENIOR ' sudah mula merajai hidup saya dan rakan-rakan seangkatan yang baru berpisah dari keluarga.

Minggu orientasi bermula dengan penuh warna warni. Tugasan pertama yang diberi kepada kami yang comel-comel ini adalah untuk mengumpul semua tanda tangan senior Form 5 lelaki, biodata perlu lengkap siap dengan makanan kegemaran, hobi dan lain-lain yang menggembirakan hati mereka, memeningkan hati kami. Aduh..

Masa diberi hanya beberapa hari. Malangnya nasib kami, setiap senior akan memberi syarat untuk memberikan tandantangan, buat itu dan ini, menyanyi lagu Jesnita yang popular di saat itu, dan bagi yang badan besar-besar, makanan menjadi umpan buat mereka.

Banyak lagi yang kami lalui sepanjang minggu orientasi, ditinggalkan di tempat sunyi seorang diri ketika dinihari, memakai tanda nama sebesar nombor plat kereta, menjaga barang amanah berupa belon berisi air dan fail untuk dibawa ke sana dan sini. Letih dan tertekan.

Namun, hasil dihujung minggu itu, kami semua hampir mengenali semua senior-senior, bukan sekadar nama, tetapi tabiat jahat mereka. hehe

Senario senior dan junior ini tidak berhenti di sini, dua tahun hidup sebagai junior banyak mengajar saya. Ada suka ada duka. Ada dibalas dengan senyum, ada dibalas dengan jari jemari menampar pipi. Itu realiti.

Jangan silap sangka saya menulis untuk memburukkan senior-senior saya.
Bagi saya, mungkin mereka menganggap itu jalan untuk mengajar adik-adik mereka agar cepat dewasa, agar tidak mudah melatah.

Ada juga senior-senior saya yang tidak bersikap demikian, yang mengutamakan diri untuk menjadi contoh terbaik buat adik-adik di bawah bimbingannya.

Semua itu kini saya lipatkan dalam kenangan yang saya rindukan.
Banyak mengajar saya erti kesabaran dan mengawal marah yang merajai diri.

Dakwah itu berseni, namun jangan tersilap melakarnya, takut-takut menimbul fitnah.

Bersambung...

Wednesday, October 7, 2009

Kembali

Alhamdulillah.

Allah gerakkan hati dan jari jemari ini untuk berpadu tenaga, , menulis sebaris dua kata-kata.
Hampir setengah bulan blog ini menyepi, kuantiti pelawat tiada peningkatan, ahli keluarga tiada penambahan.

Mohon maaf saya pinta, sebulan yang lepas terlalu padat buat saya.
Mengurus sambutan pelajar baru yang melebihi 200 orang telah mengisi hari-hari cuti dan Ramadhan saya.

Alhamdulillah, hari ini saya mampu tersenyum gembira melihat mereka sudah mula melangkah memburu cita-cita.
Sudah boleh berurusan harian di bumi Irbid di samping terus belajar menyesuaikan kehidupan.

Sudah dua minggu saya melangkah tahun ketiga.
Setahun lagi bakal melalui fasa klinikal yang mengujakan. InsyaAllah.

Doa hari ini,

Ya Allah, sempurnakan cintaku pada-Mu,
agar jasadku tiada sia-sia bila terbujur kaku.

Semoga kalian ceria, kuat dan tabah.

Saya akan mula menulis seperti biasa.

Ada roh pengorbanan yang harus dijejak bersama,
dalam lipatan kehidupan dunia yang berfatamorgana.

- Akhirnya berjaya juga menembus Salam Perantauan :)

Sunday, September 20, 2009

5 unik di hari lebaran





5 unik raya kali ini buat saya :

1) First time raya keseorangan, semua budak lelaki batch saya pulang ke kampung halaman. huhu
2) First time lead takbir raya versi Melayu di Masjid Yarmouk, cuak juga.
3) Beraya dengan junior tahun satu yang baru seminggu tiba, rumah yang sunyi sepi jadi meriah.
4) Ronda-ronda di pagi raya hingga perut hampir nak pecah :)
5) Baru usai solat sunat raya, Arab dah peningkan kepala tentang kerja. Arab memang tak suka raya Aidilfitri kah? hehe



Saya dengan tulus ikhlas mengucapkan SELAMAT HARI RAYA , MAAF ZAHIR DAN BATIN!

Thursday, September 10, 2009

Nostalgia Ramadhan

Ramadhan.

Sudah sampai 10 hari yang terakhir.

Saya ada nostalgia Ramadhan semasa saya kecil dan comel. Saya rindu dengan kenangan lalu yang mengajar saya banyak perkara.

Saya ingat lagi masa mula-mula saya belajar berpuasa, lebih kurang masa di bangku Tadika. Abah berikan saya dan kakak seringgit seorang kalau berjaya puasa penuh.
Semasa di kelas, ramai kawan-kawan yang bawa bekal dan botol air. Gulp.

" Kenapa kau tak bawa ape-ape? " seorang kawan bertanya.

" Aku puasa la. Ni kan bulan puasa. " saya menjawab sambil menjeling bekas makanannya.

Namun setibanya di rumah, dapur jadi destinasi pertama, periuk nasi jadi sasaran di tengh hari :) .Petang sebelum berbuka saya meminta Abah berikan saya 50 sen kerana puasa separuh hari.
Akak saya dapat seringgit kerana puasa penuh.
Lama kelamaan semakin meningkat dewasa saya sudah berpuasa penuh tanpa dapat walau sepuluh sen kerana saya sudah memahami puasa itu bukan kerana mendapat upah yang kita nampak dengan mata, tetapi ada ganjaran yang diberi buat bekalan di hujung sana.

Masa saya di usia lebih kurang darjah dua, di bulan Ramadhan ini saya akan membantu emak saya berniaga kuih di hadapan rumah kami. Ketika itu saya duduk di pekan yang majoritinya kaum Cina. Meniaga kuih sebegini memang menggugat iman, bayangkan ketika perut sedang berkeroncong, kuih-kuih kegemaran yang masih suam-suam dan hangat-hangat ada di depan mata.

Alhamdulillah, berniaga memang menguntungkan. Pembeli terdiri daripada kalangan lapisan kaum, Melayu , Cina dan juga Indonesia. Namun satu hari yang agak menyedihkan ketika berlaku kesilapan dalam pemulangan wang, akak saya tersilap kembalikan wang not 50 yang sepatutnya not 5 sahaja. Orang itu berlalu pergi tanpa kembali. Kami kerugian hari itu. Pernah juga payung tumbang disebabkan angin yang kuat, lalu ada bekas kuih yang jatuh ke tanah tanpa sengaja. Memang rezeki milik Allah, kita manusia harus usaha. Natijahnya, kami adik beradik shopping raya dengan keuntungan jualan kuih sepanjang sebulan Ramadhan. Alhamdulillah.

Pernah juga di bulan puasa saya menolong abang angkat saya menukang rumah.
Letihnya memang tidak terkata. Banyak perkara saya belajar, bagaimana membancuh simen, memotong besi, gergaji kayu, panjat sana sini. Itu kenangan indah dan tinggal kenangan kerana dia sudah pulang ke negara asalnya, Indonesia.

Saya rindukan Ramadhan saya bersama keluarga. Susah senang bersama mereka.
Sahur bersama-sama, berbuka bersama-sama.

Adik-adik saya yang masih kecil sekarang ini melalui pengalaman berbeza.


Minggu lepas saya berbual dengan Afiq,
" Abang Naqeb, Afiq tak puasa, mak tak bagi sebab kalau Afiq puasa Afiq macam nak mati ."

Yang abangnya Najib pula baca niat mandi wajib bila diminta untuk niat berpuasa depan nenek,
mentang-mentang baru belajar di sekolah agama. Habis tergelak nenek dibuatnya. Alahai adik-adikku. Rindu.

Ramadhan di Jordan

Ramadhan kali ini saya berjauhan dengan keluarga.
Beribu-ribu kilometer jauhnya.

Mereka di Malaysia, saya di timur tengah.

Kotak hari raya sudah saya terima, baju raya, sekeping kad besar dengan berlagu irama, kuih raya buatan Emak dan gambar-gambar keluarga.
Semua itu pengubat rindu, membawa bekal semangat untuk terus memburu cita.

Cuti kali ini, jadual saya dipenuhi dengan tugasan untuk sambutan pelajar baru.
Jumlah pelajar yang tidak pulang ke Malaysia lebih kurang 60 orang.
Manakala kehadiran pelajar baru dijangka lebih kurang 200 orang.
Maka, segala tenaga harus dicurahkan sebanyak mungkin demi memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Ramadhan kali ini juga banyak jemputan berbuka puasa.
Di rumah pegawai-pegawai dan sahabat handai. Juga jemputan dari masyarakat Arab sekitar.
Merekalah keluarga saya di Jordan, yang memberikan dorongan untuk terus berkelana dalam empat tahun berbaki.

Nostalgia itu memang indah.
Namun bukan untuk dikenang semata-mata.
Tetapi untuk dimuhasabahkan senantiasa, agar tidak bergelar lupa daratan.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Ayuh, gunakan masa Ramadhan yang berbaki dengan sebaiknya, kerana mungkin ini Ramadhan terakhir kita.

Kerja Tuhan siapa tahu?

Monday, September 7, 2009

Selamat Datang



Alhamduillah.

Bilangan pelajar Melayu di Irbid sudah mula bertambah lebih kurang 30 orang.
Masih ada lebih kurang 180 orang pelajar baru masih belum tiba.
Kami di sini sedia menanti kalian semua, saya doakan perjalanan kalian ke bumi Irbid ini selamat.

Begitu juga buat sahabat-sahabat yang sedang bercuti di Malaysia.
Saya rindukan kalian yang mewarnai bumi Irbid ini.
Buat masa kini, sukar untuk melihat wajah Melayu yang biasa memenuhi syari3 jamiah.
Panasnya bersalam tangan di Masjid Jamiah juga tidak sehangat biasa dek kurang bilangan kita.

Namun, sunyi ini hanya sementara sahaja.
Ya, insyaAllah dengan izin-Nya.

Bumi Irbid ini akan dipenuhi semula oleh warga Malaysia.
Jumlah kita bakal mencecah 600 orang.
Kuantiti kita akan bertambah mendadak, moga kualiti juga mampu ditingkatkan.

Barat VS Timur Tengah

Saya yakin masing-masing yang akan menyambung pelajaran ke timur tengah seperti Jordan, Mesir, Syria, Madinah dan lain-lain lagi ada tujuan dan matlamat kita sendiri.

Ada yang memasang cita-cita untuki faqih dalam bidang agama meski bakal bergelar doktor perubatan mahupun pergigian.
Ada yang berniat untuk bertalaqi dengan sheikh-sheikh besar bagi mengisi ruang selepas kuliah wajib.
Masing-masing ada cita-cita, ada harapan yang dibawa.

Saya pernah berbincang denagn kawan saya tentang satu isu.

Isu tentang pandangan tentang graduan dari luar negara.

Lihat sahaja cerita-cerita di kaca televisyen, kalau mahu tunjukan watak yang tidak baik, yang terpengaruh dengan budaya asing, maka nama-nama Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Eropah lain akan dijadikan contoh.
Pulang dengan pakaian yang tidak cukup kain, bahasa Melayu sudah hilang bunyi aslinya, bahasa Inggeris yang longahtnya mengalahkan pemilik bahasa itu sendiri, kurang kefahaman agama dan hilang jati diri.

Jika ada watak yang cacat celanya bila pulang dari luar negara, pasti ada keperluan untuk tunjukkan watak yang hampir sempurna pula. Begitu bukan pasangannya?

Lalu, munculah watak lelaki yang baik akhlaknya, tinggi budi pekerti dan luas ilmu di dada yang berlatar belakangkan pendidikan dari kuliah di Mesir, Jordan , Madinah dan Syria.
Maka cerita itu hampir sempurna, ada watak yang negatif dari barat dan yang positif dari Timur Tengah.

Sempurnakah?

Benarkah semua itu?

Atau hanya diwar-warkan sahaja, sekadar pemanis cerita atau bual bicara yang tidak ada hujung pangkalnya.

Sudah beberapa drama yang saya telah tonton menunjukkan situasi yang serupa.
Seolah-olah telah menggariskan sempadan pemisah, pulang dari sini menjadi wali,
pulang dari sana menjadi hina.

Saya tidak mahu memberikan jawapan, kerana jawapan kadang-kadang tidak memberi makna kerana sesetengah orang akan berhenti untuk berfikir apabila disuap denagn jawapan yang belum tentu tepat dan benar.

Oleh itu saya lontarkan persoalan.

1) Benarkah yang melata di bumi Timur Tengah itu semuanya menggunakan peluang yang terbentang luas untuk mendalami ilmu agama? Atau ada juga yang sekadar hadir dan berfoya-foya memandangkan wang di tangan sudah bertambah?

2) Semuakah yang berhijrah ke Eropah itu hilang jati dirinya? Benarkah yang di Barat sana tiada ruang untuk mendalami ilmu agama?

Ah.

Jangan bertanya tentang orang lain, tuju sahaja buat diri kita di mana kita berada?

Benarkah apa yang kita cita-citakan itu kita benar-benar mahu laksanakan?
Atau hanya sekadar pembohongan besar dari diri kepada diri sendiri.

Jangan bohong.

Jujur pada diri.

Friday, September 4, 2009

Lagu Rindu

Dalam selimut malam,
Hati merajuk rindu,
Pada terangnya siang,
Yang menunjuk jalan pulang.

Pada jauhnya jasad-jasad,
Jiwa meruntun rindu,
Menggapai memori lalu,
Jauh beribu batu.

Kuatkan aku,
Wahai Pemilik Hati,
Rindukan aku,
Pada cinta-Mu,
Agar rindu lain,
bernilai dalam nafasku.

Wednesday, September 2, 2009

Mentaliti


Ada yang memberi komen di shoutbox mengatakan blog saya sudah banyak menulis hal peribadi, rindu tulisan ilmiah katanya. Maaf saya pinta, sebulan dua ini masa saya agak suntuk dan padat.
Artikel yang berbentuk peribadi dan santai itu hanya sebagai catatan perjalanan saya dan proses untuk saya menghilangkan tekanan, jika ada sedikit manfaat, ambilah. Jika tidak, abaikan sahaja, izinkan saya menulis sebagai diari yang akan saya rujuk kembali sebagai mengenang memori.

Menulis itu memerlukan ruang berfikir. Sama juga untuk melakukan sesuatu perkara.
Ada sesetengah perkara memang mampu kita lakukan tanpa memerlukan kita berfikir secara kreatif dan kritis.

Mahu buat ini, buat sahaja. Memang terjadi, kerana kita sudah terbiasa.

Mahu ke majlis lewat, datang sahaja lewat setengah jam dari masa yang telah ditetapkan.
Tidak perlu berfikir panjang, janji datang.

Mahu buat program itu dan ini, buat sahaja. Rujuk sahaja program-program yang lalu, tukar sedikit itu dan ini. Janji ada, janji jadi. Lepas tanggungjawab. Fuh, lega.
Hasil tetap serupa dari tahun sebelumnya.

Itu baru bicara mahu melakukan sesuatu tanpa berfikir dalam-dalam, tajam-tajam. Bagaimana pula bila tidak mahu melakukan itu dan ini, mesti ramai yang langsung tidak mahu berfikir kenapa perlu untuk berfikir dahulu.

Fikir kenapa perlu berfikir

Bicara soal mentaliti, kita bukan bicara soal cara berfikir seorang dua, ia terangkum dalam kelompok yang ramai. Kerana pengaruh komuniti itu sendiri mampu menyerap ke dalam batang tubuh setiap anggota di dalamnya.

Cuti ini memberi saya ruang untuk menonton Cinta Sempurna, drama sempena Ramadhan. Drama ini berdiri teguh di atas idea asal Ustaz Hasrizal.

Ada perkara yang ingin saya ketengahkan, Shila, watak seorang perempuan yang kurang faham agama dan berniat untuk menyindir Islam dengan soalan-soalan tertentu kepada Ustaz Nazir, seorang pendakwah muda.

" Kenapa perlu pakai tudung ? "
" Kenapa solat lima waktu? Orang solat ada yang tak berjaya dalam hidup "

Soalan di atas tidak ada keperluan mendesak untuk menjawabnya di saat ini. Kerana satu persoalan tidak diketengahkan terlebih dahulu, apakah tujuan hidup?

Jika seseorang itu sudah faham apakah tujuan hidup, maka persoalan tidak menjadi sia-sia untuk dijawab dan diterangkan sejelas-jelasnya.

Begitu juga dengan setiap perkara yang kita cuba ubah.

Saya ingin memberikan contoh yang mudah.

Kita mahu komuniti kita bersifat menepati masa.
Tulislah sebanyak mana artikel tentang masa. Buatlah poster sebanyak mana.
Hukumlah siapa yang lewat ke majlis dan program.

Semua itu tidak akan berguna, jika kita gagal merubah sesuatu.

Apa itu?

Mentaliti.

Jika satu komuniti itu seolah-olah sudah bersetuju, setiap program itu, pasti akan lewat bermula.

Jam 9.00 pagi tertulis di tentatif.
Semua sudah yakin dan percaya, paling awal 9.30 baru bermula.

Siapa datang awal adalah mangsa keadaan.

Siapa yang datang 9.30 adalah bijak menilai keadaan.

Itu adalah mentaliti yang telah disepakati secara diam-diam bahasa, tetapi terang-terang peri lakunya.

Lalu, untuk mengubah keadaan, apa langkah pertama.
Haruskan menghukum mereka yang lewat. Atau membiarkan sahaja ia terus kukuh sebagai budaya.

Maka, bagi saya, langkah pertama adalah untuk mengajak semua yang terlibat untuk " BERFIKIR KENAPA PERLU BERFIKIR ".

Sesetengah orang membuat sesuatu kerana ikut gerak manusia di sekitarnya.
Orang lain lambat, aku lambat.
Orang lain pengkhianat, aku pengkhianat.
Pengkhianat masa!

Menembak akal manusia untuk berfikir tidak semudah menembak batang tubuhnya.
Sesetengah orang egonya tinggi melangit seperti watak Shila dalam Cinta Sempurna.

Namun, untuk mengubah mentaliti orang lain, langkah pertama adalah dengan mengubah mentaliti kita.

Ubah mentaliti agar percaya bahawa, " Tidak mustahil untuk mengubah mentaliti yang tidak membangun diri ! "

Rindu



( Ramadhan lalu. Kenapa ada kegelapan sedikit di wajahku berbanding yang lain, kesan berjemuran di Jordan kah :)




Monday, August 31, 2009

Aku Anak Merdeka


Merdeka.

31 Ogos setiap tahun kalimah itu pasti bergema.
Cuti diberi kepada semua rakyat Malaysia. Sambutan diadakan di mana-mana sahaja.

Kalau mengenang zaman kanak-kanak saya, musim merdeka adalah sangat meriah. Kalau yang memiliki basikal, pasti terpacak bendera Malaysia di belakang basikal lalu meronda di sekeliling kampung. Anak kampung patriotik! Saya juga seperti mereka. Kali pertama abah belikan saya bendera yang besar, saya tidak boleh tidur malam. Tidak sabar rasanya untuk mengibarkan jalur gemilang ke sekolah. Aku anak Malaysia!!!!

Saya ingat lagi kalau di zaman sekolah menengah dahulu , malam kemerdekaan pasti meriah.
Masa di Maahad Muar dahulu, pernah satu tahun sekolah saya masuk akhbar apabila sebilangan pelajar berjaya membuat kek Jalur Gemilang gergasi, semua orang yang meraikan kemerdekaan malam itu boleh merasainya.

Kalau di KISAS dahulu, saya pernah diminta untuk membuat persembahan pidato di dewan utama kolej. Pada bulan kemerdekaan juga adalah musim pertandingan akhir Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan. Saya pernah berazam untuk menyambut merdeka dengan berpidato di pentas akhir, namun hajat saya tidak kesampaian. Namun terubat di saat melihat junior-junior seterusnya kembali beraksi membawa nama KISAS di pentas pidato semula.

Itu semua kenangan saya tentang merdeka.
Kenangan saya yang tidak ada melibatkan pertumpahan darah.
Tidak melibatkan pertempuran dengan penjajah.

Merdeka??

Seminggu dua ini, saya ada membaca luahan hati pemimpin yang menyatakan rakyat Malaysia kurang bersemangat menyambut kemerdekaan negara kerana kurangnya Jalur Gemilang dikibarkan di udara.Tahun ini, sambutan kemerdekaan tidak diadakan seperti biasa, hanya dijalankan di kawan parlimen Malaysia untuk mengelakkan penyebaran H1N1.

Setiap tahun akan ada sambutan, setiap tahun bendera dikibarkan , setiap tahun pasti ada konsert yang meraikannya.

Filem-filem lama tentang merdeka ditayang semula.
Lagu popular nyanyian Allahyarham Sudirman akan bergema di corong radio.

Ya! Kita memang sudah merdeka. Itu yang tercatat dalam buku teks sejarah sekolah.
Buku yang perlu dihadam untuk lulus periksa.

Namun, adakah sambutan kemerdekaan ini hanya satu lambang untuk dikenang semata-mata.
Seperti mengenang seorang yang telah pergi.

Merdeka itu ramai yang melihatnya dari sudut fizikal. Tiada orang putih yang kacau pentadbiran kita. Yang membarisi kabinet Malaysia adalah Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua rakyat Malaysia. Jadi, kita sudah merdeka!!!

Merdeka itu ramai yang melihatnya apabila kita bebas ke mana-mana.
Tiada tentera mata sepet yang menghalang di jalan raya, membogelkan kita dan merampas harta benda. Tiada!

Ya, dengan merdeka, kita mampu untuk melihat bangunnya menara yang membelah awan gebu,
kita mampu menonton citrawarna Malaysia di kaca tv berwarna, anak-anak boleh bersekolah tanpa ancaman bahaya.

Sudah cukupkah merdeka itu untuk kemandirian anak-anak kita?
Adakah kita benar-benar merdeka.

Bagaimana dengan penjajah yang tidak kita nampak dengan mata.

Penjajah yang tidak menghiris daging di batang tubuh kita, tetap menghakis akidah dan jati diri kita.

Penjajah yang menghantar tenteranya melalui jalan media hiburan yang semakin bermaharajalela.
Penjajah yang menghantar tentera melalui budaya pemikiran yang memisahkan kehidupan dari agama.
Penjajah yang menghantar bisikan sengketa melalui propaganda yang menyerang agama kita.

Nampak kah kita penjajah itu, atau semua itu tidak perlu kita lawannya.

Adakah kita hanya mahu kibarkan bendera setiap masa, laungkan merdeka hingga hilang suara,
tapi beribu anak luar nikah lahir hasil meraikannya, hasil gagalnya memahami erti merdeka dan masih terjajah minda dan jiwa-jiwa manusia.

Bebaskan diri kita dari belenggu penjajah yang tidak nampak di mata.
Bebaskan kita untuk menyembah Allah semata-mata.

Benarkan aku anak merdeka?

1/3

31 Ogos.

52 tahun Malaysia sudah merdeka.

2 tahun yang lalu saya mula menjejaki kaki ke bumi Urdun.

Alhamdulillah, sudah 1/3 perjalanan saya tempuhi. Ada 4 tahun berbaki lagi untuk saya berkelana di bumi Jordan. InsyaAllah.
Kelmarin, saya telah menyempurnakan Tahun 2 perubatan saya dengan tamatnya exam yang terakhir. Ada empat tahun lagi di hadapan yang perlu saya lalui, yang perlu saya gunakan masa sebaik mungkin.

Tahun 2 bagi saya sangat mencabar. Pengenalan kepada silibus system memerlukan saya menukar cara belajar. Subjek sudah mula mencabar berbanding tahun pertama.
Tugasan dan amanah dalam persatuan semakin bertambah. Tahun 2 ini banyak peristiwa yang menukar hidup saya tanpa saya sedari. Banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Cuti saya bermula semalam.

Merdeka orang kata.

Cuti ini akan saya isi untuk asah balik minda yang tumpul, jiwa yang tandus.

Cuti ini masa untuk muhasabah.

Cuti ini masa untuk mengumpul tenaga.

Cuti kali ini akan saya korbankan sedikit masa untuk sambut pelajar baru di sini.

Tidak sabar untuk bersua muka.

Ahlan wasahlan buat kalian semua.

- ada nukilan tentang merdeka yang akan saya postkan nanti. InsyaAllah
- doakan kawan saya agar tidak putus asa, teruskan perjuangan selagi mana diberi peluang

Thursday, August 27, 2009

Politik??


Politik.

Saya bukan ahli untuk berbicara soal ini. Saya masih belum layak mengundi dan diundi bagi pilihan raya di Malaysia. Mana tahu, lagi 10 tahun akan datang, saya sudah mengundi dan boleh diundi. :)

Orang kata, kerajaan kata, pelajar tidak boleh berpolitik. Masa belajar adalah untuk belajar. Ya. Saya angguk tanda setuju. Memang zaman belajar ini harusnya ditumpukan sepenuh masa untuk menelaah nota kuliah dan bergelumang dengan exam yang mendatang.

Mana mungkin kita boleh ke sana ke mari manjadi wakli rakyat yang hanya muncul di saat wartawan datang ke kawasannya sekali sekali. Mana kita ada masa untuk berdebat di dewan parlimen dengan kata-kata yang kurang mencambah minda.

Tapi, saya tidak bersetuju seandainya mentaliti pelajar berpolitik itu dihadkan tidak kira tempatnya. Saya bangkang seandainya ada yang mengatakan mahasiswa tidak boleh berpolitik, maka kita tidak boleh ambil tahu pasal politik yang semakin haru biru, tidak boleh berbicara dan berdiskusi tentang politik, tidak boleh menilai suasa politik semasa, tidak boleh menulis artikel tentang politik yang berlegar di akhbar sehari-hari.

Jika semua itu tidak boleh, maka seolah-olah menafikan kita adalah mahasiswa, yang merupakan fatrah masa yang penuh dengan idea, yang masih segar mindanya.

Saya ingin bertanya, kenapa politik itu nampak kurang sesuai dan merbahaya buat kita?

Adakah politik itu sudah sinonim dengan rasuah?
Salah guna kuasa?
Penyelewangan dan penipuan?
Serangan peribadi dan fitnah bermaharaja lela?
Penuh dengan isu liwat dan video seks lucah?
Soal masuk syurga atau tidak?
Soal hidup mati, bunuh diri?

Adakah kerana semua ini penyebab kita kurang sesuai untuk menceburinya?
Ya, memang sesiapa pun tidak mahu masuk ke lubang najis, menyapu ke badan sendiri.

Ya, mana mungkin negara mahu mewariskan semua daki-daki dan kotoran degil ini kepada mahasiswa seawal mungkin. Mungkin jangkaan saya, kalau hendak wariskan pun tunggu kita anak-anak muda tamat belajar, baru boleh merasa semua itu.
Adakah itu yang kita mahu?

Maka, seharusnya zaman mahasiswa ini adalah zaman itu kita memerhati dan meneliti. Zaman itu kita menimba ilmu untuk membanding beza. Antara yang kaca dan permata, antara pejuang sejati atau boneka fantasi. Semoga ilmu dan pengajaran yang dimiliki, jadi bekal apabila di kancah sebenar nanti. Atau sekurang-kurangnya mampu membuat pilihan tepat dalam memangkah kertas undi.

Saya menulis soal politik kali ini bukannya kerana ingin mengajak anda memasang impian untuk terjun ke lapangan ini, tetapi mengenangakn kebelakangan ini, suasana politik negara memeningkan kepala,terlalu banyak serangan peribadi, isu agama jadi kontroversi, saya tuliskan soal ini untuk kita buka minda bersama.

Dan yang paling memeningkan kepada apabila ada pemimpin yang berkata " Jangan campurkan agama dan politik, rakyat akan pening ", lebih kurang begitu maksudnya.
Saya ingin bertanya, adakah apabila agama dan politik terpisah, maka rakyat akan hilang kepeningannya, boleh banding beza. Itu politik, ini agama. Bukankan itu sekularisme namanya?

Adakah kita sedar bahawa politik bakal menentukan halatuju negara?
Perkembangan sistem pendidikan anak-anak kita?
Pembangunan media massa yang penting dalam mendidik jutaan rakyat jelata?
Bukan sekadar berdiri megahnya puluhan bangunan melangit tinggi?
Tetapi soal bangun lahir jiwa-jiwa manusia.

Cukup sekadar ini saya menulis kali ini. Saya menulis secara umum, tiada mana-mana parti yang saya nyatakan secara terbuka. Moga kita dapat nilai bersama.

Ini ada entri oleh dikongsi " Politik Hari Ini , tentang politik juga dari Langit Ilahi.

Tuesday, August 25, 2009

JOM!

Friday, August 21, 2009

Terapi Minda

Alhamdulillah. Kuliah Natural Resources pada khamis lepas telah menutup tirai semester musim panas saya. Ahad ini ( lusa ) , peperiksaan akhir akan bermula hinggalah 29 Ogos nanti.

Malam ini, Ramadhan akan menjelma. InsyaAllah, Ramadhan ini adalah kali ketiga buat saya sejak tiba di Jordan pada 31 Disember 2007, dua tahun yang lepas.

Minggu ini saya rasakan teramat padat, saya perlu banyak bergerak dan berfikir. Memang saya akui, manusia ini terbatas, ada limitasinya. Maka, setiap yang kita lakukan haruslah bersederhana, kerana melampau itu akan memakan diri akhirnya.

Terapi Minda



Saya percaya, setiap antara kita ada cara tersendiri dalam mencari ketenangan di saat kerunsingan dan keletihan.

Ada yang suka layan marathon movie berjam lamanya.
Ada yang enak diulit mimpi jauh dari kesibukan alam realiti.

Ada yang makan bertimbun pinggannya.
Ada yang shopping berbeg-beg di kanan kiri.

Semua orang ada cara tersendiri,apa yang penting tahu setiap perkara ada batasnya.

Saya juga ada cara tersendiri yang mungkin ada turut milikinya.
Mahu tahu apa hobi saya ketika penat dan lelah serat serabut otak di kepala??

1) Berkeluarga hingga ke syurga

Setiap minggu selepas mendengar suara emak, ayah, adik-adik dan akak, semua yang terbeban di kepala akan hilang serta merta, seperti ada aura yang menyusup masuk ke lubuk jiwa.
Rindu yang bertamu, ditukar jadi semangat pemburu cita.

Kalau di Irbid ini, ahli rumah jadi pengganti. Mereka lah keluarga saya di sini. Yang setia memasak di rumah di rumah saat saya sibuk dengan urusan persatuan, dan istiqamah mengingatkan diri untuk solat berjemaah di masjid Jamiah.
Penat yang bersarang dalam diri kendur hilang saat sama-sama menikmati makan malam di dalam talam di ruang tamu rumah kami.

Semalam, kami keluar sebentar meraikan hari ke"besar"an Hamdi hari yang ke-20 tahun.
Semoga dipanjang umur dalam ketaatan dan dipendek umur dalam kemaksiatan.

Ahli Bayt Penagih Cinta Ilahi ( PECI ):


Hamdi dan Hafiz

Saya dan Anas

2) Kemas bilik di hujung minggu
Bilik. Satu komponen yang tidak boleh dipisah-pisahkan dari hidup kita ibarat irama dan lagu, ibarat isi dan kuku. Bagi saya, bilik ibarat markas operasi diri dalam berjuang di jalan yang penuh duri. Jadi, kalau bilik sudah ibarat reban ayam atau pusat longgokan bahan terpakai ataupun sampah, bagai mana mahu menikmati ketenangan di saat kepala kerunsingan.

Jadi, saya akan peruntukan pagi Jumaat dalam mengembalikan kesegaran bilik saya.
Membuang khazanah yang sudah dirasakan tidak relevan , mengubah posisi perabot bagi mengubah mood dan sesuai dengan keperluan, mevakum carpet dan membasuh koleksi pakaian tempatan dan antarabangsa ( Malaysia la :)



Seminggu sekali sudah mencukupi bagi saya. Hari-hari berikutnya hanya perlu memastikan tahap kebersihan tidak kurang dari 70%. Saya kagum dengan emak saya yang begitu pembersih dan pengemas, bermula pagi hingga hampir tengah hari, rumah akan di'kerja'kannya hingga tiada sekelumit sampah dan debu. Itulah yang diajar nenek kepada emak. Namun saya gagal praktikkannya setiap hari.hehe.

3) Menulis

Menulis memang melegakan. Melihat blog tidak bersawang dan pengunjung tidak kecewa datang, hati mulai senang. :)

Kesimpulan:

Tidak kira apa yang kita lakukan untuk mendapat ketenangan, pastikan ia benar-benar memberikan ketengan di hati, bukan sekadar lapisan dunia yang hanya mengkaburkan pandangan mata.

Apa yang utama, setiap kesusahan itu Allah yang beri, dan mengadulah dan memohonlah kepada-Nya.

Semakin saya lalui fatrah kepayahan dan kesusahan, semakin saya percaya bahawa dihujung itu adalah ruang kesenangan dan ketenangan, mungkin bukan di sini, pasti menanti di nun sana.

Jom sama-sama memasuki madrasah Ramadhan ini dengan tekad untuk menjadikan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas.

Salam Ramadhan buat semua pembaca MRP ini. :)

Monday, August 17, 2009

Bab*

Bab* : Ibu....ibu...... ( berlari dalam keadaan tercungap-cungap )

Ibu bab* : Kenapa?? Ada apa sampai anak ibu ni menjerit-jerit.

Babi * : Fuhhh.. macam ni. Tadi masa saya ke ladang Pak Din cari sedikit makanan untuk alas
perut, saya dengar Pak Din berbual dengan Mak Melah pasal kita?

Ibu bab* : Pasal kita? Biar betul?? Kita kan dah tak kacau kebun diorang. Ish...

Bab* : Sebenarnya bukan pasal kita bu. Pasal selsema babi. H1N1 kalau tak silap bunyinya.

Ibu bab* : Owh. Kenapa? Bahaya sangat ke? Ke diorang takut sebab namanya pun ada nama kita. Yela, diorang ni kan allergic bab halal haram, babi anjing ni kan.

Bab* : Bahaya gila penyakit ni bu. Dengar cerita, anggaran 5 juta manusia Malaysia boleh dijangkiti. Sekarang ni ramai yang dah mati.

Ibu bab* : Ha.. teruk betul macam tu. Mesti manusia sekarang risau , yelah perkara melibatkan kesihatan, nyawa, ekonomi negara, sape yang tak risau kan. Tapi.....

Bab* : Tapi apa bu??

Ibu bab* : Penyakit yang tak nampak kesannya, yang makin barah dalam komuniti manusia, diorang buat tak endah, sebelah mata pun tak pandang, malah makin dibiarkan merebak.

Bab* : Penyakit apa tu bu??? Macam serious je bunyinya.

Ibu bab* : Hedonisme.

Bab* : Aiks.. pelik je bunyinya. Ada kaitan dengan spesies kita ke ni? Takutnye....

Ibu bab* : Ishh..tak kan lah semua yang tak baik tu kita jadi puncanya. Ni yang ibu nak buat demonstrasi. Macam ni, hedonisme ni budaya yang mengagung-agungkan hiburan, menjadikan hiburan sebagai matlamat hidup.

Bab* : Owh... macam rancangan tuttttttt........ yang popular ke tu bu?

Ibu bab* : Yup, dan yang sewaktu dengannya. Kalau nak tau lagi, tunggu jela merdeka nanti. Mesti banyak konsert-konsert yang ditaja. Nanti adalah manusia-manusia yang miskin bajunya berisi perut dengan janin entah dari mana asal usulnya. Yang jantan kenyang puaskan nafsu belangnya.

Bab* : Dah macam spesies binatang je kalau macam tu kan ibu?

Ibu bab* : Entahlah. Tapi itulah realiti. Harapnya manusia ini akan buka mata, biar tahu penyakit macam ni juga berbahaya. Harus tangani kedua-duanya.

Bab* : Ehh... ibu. Saya kena pergi dulu ni.

Ibu bab* : Nak pergi mane tu?

Bab* : Ada orang panggil saya. Ibu pun tahu kan, diorang ni kalau bergaduh, mesti pangil kita kan. Anjing pun kadang-kadang kena panggil juga. Minta diri dulu.

Ibu bab* : Ok. Baik-baik. Jangan sampai kena bunuh. Tak larat ibu nak pergi mahkamah, leceh!

Saturday, August 15, 2009

Pergi Tak Kembali

Pergi Tak Kembali.

Semalam semua berbicara tentang pemergiannya. Seorang yang bertungkus lumus dalam memastikan nasyid berjaya menembusi media yang dimonopoli oleh muzik yang entah ke mana.
Peribadi yang dijaga meski dihimpit oleh arus dunia artis, menjadi ikon kepada pejuang nasyid di Malaysia.
Moga anak-anak muda yang berangan ingin menempah nama dalam dunia nasyid ini mengikut jejaknya dalam menjaga imej Islam yang di bawa, tidak tenggelam dengan populariti dan julangan khalayak yang buta seni akhirat sana.

Moga rohnya yang pergi tak kembali di tempatkan di syurga Ilahi.

Al-Fatihah.

Monday, August 10, 2009

Warkah Cinta

Assalamualaikum.

Apa khabar kau jauh di sana? Yang sedang memegang penjuru dunia, untuk dikibarkan ke langit angkasa , agar bisa kau tembus syurga dengan redha-Nya.

Aku di sini baik-baik sahaja. Menanti khabar gembira yang menyala dan senyuman manis kau yang berbunga. Biar jauh di mata, aku bisa membaca gerak tari kau di kancah juang yang terlipat dengan onak dan badai menggila, yang terhambur dengan kaca dan permata.

Warkah yang sebaris kata ini hanya sekadar mahu menyapa di saat kau terleka, menghelus udara saat kau sesak antara timbunan rasa, memeluk dingin kau di saat panas kau menjamah.

Kalau kau resah dan gundah, seolah-olah mahu tumbang dan rebah,
Kau harus ingat dahulu kala, yang kau pernah memasak teguh cita-cita bersulam cinta-Nya.
Kau pernah melipat warkah kalam janji, lau kau kirim ke lembah bakti di hadapan seribu tentera sejati,
Kau pernah menghunus senjata ke udara, lalu kau bersuara memecah sunyi alam bergema.
Lalu, mengapa harus kau rasa lemah, sedang Dia yang mentakdirkan kau melangkah di jalan ini.
Jalan yang tiada masa untuk dikhianati meski seminit cuma, lorong yang tidak dihampar permaidani merah.

Aku sarankan untuk kau tenang seketika, sedut segenap udara, dengar unggas melagukan sukma di rimba,
Pejamkan mata, larikan jiwa resah jauh-jauh dari tubuh,
Masukkan kembali nyawa yang hilang dari jasad yang malang,
Biar bangkit semula kesateria yang tegar berjuang.
Bangkit!!

Sekadar ini aku coret buat kau yang bernama aku.
Lepaskan gundahmu kepada Dia.
Biar cinta-Nya jadi bekal buatmu tenang di bumi terhampar indah.

Aku lari laju dahulu. Kalau kau sudi, kejar aku.
Moga bertemu di taman itu.

Yang benar;
Sahabat yang menyintaimu demi cinta itu.

Friday, August 7, 2009

Tutup?

(i)

Pertamanya, maaf kepada yang mengikuti blog ini kerana sudah lama terhenti gerak isi tulisnya.
Maaf juga dipinta kerana blog ini hampir berubah wajah, hanya berlegar sekitar isu persatuan sahaja.

Saya ada berfikir untuk menutup blog ini buat sementara, mungkin dalam tempoh yang lama.
Mungkin setahun, mungkin selamanya.

Kenapa?

Kerana bagi saya,blog tidak boleh bersifat penulisan yang melepaskan batuk di tangga,
kerana ia adalah lambang kepada keperibadian penulisnya.

Ada realiti yang berlaku dalam trend penulisan blog jika diamati secara teliti.
Di saat kuasa blog memuncak tinggi dalam siasah politik, ramai yang terjun ke lapangan ini meskipun tidak pernah menaip langsung di papan kekunci. Memilih untuk terpilih.
Kesannya, semakin lama tulisan blognya kendur, hilang ditelan masa hingga tidak diupdate berbulan lamanya.
Bukankan itu lambang peribadi seorang pemimpin, jika blog peribadinya bersawang, seolah-olah dia tidak bijak mengurus masa.

Saya berfikir buat kali kedua.
Menutup blog ini bukan jalan penyelasaiannya.
Menutup blog ini bermakna menutup ruang untuk saya menyampaikan sesuatu walaupun sekelumit cuma.
Menutupnya hanya merencatkan latihan penulisan saya.
Memang kesibukan itu adalah "isteri" saya buat masa kini yang akan sentiasa menemani.
Saya yakin ini adalah pelajaran terbesar buat saya yang kerdil ini untuk mengurus masa.

InsyaAllah, saya akan cuba.

( ii)

Buku yang baru dibeli ketika bercuti ke Mecca Mall minggu lepas.
Sebelum ini hanya mendengar namanya, dan saya tidak pernah membaca lanjut tentang penerima anugerah nobel keamanan ini.

Seorang wanita non-muslim yang berjuang demi rakyat hingga sanggup dipenjarakan.
Amat malu jika menjadi seorang lelaki muslim yang paham akan kewajipan berjuang, tetapi hanya memeluk tubuh, lesu dan kaku.

( iii )

Beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma.
InsyaAllah, mengikut perancangan, saya akan berpuasa dan beraya di Jordan.
Sama-sama kita membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan yang mulia.
Moga Ramadhan akan datang kita cuba lalui lebih baik dari Ramadhan yang lepas.


- Doakan situasi H1N1 terkawal di seluruh dunia.
- Mak dan abah meminang seseorang, hati gembira bukan kepalang, rupanya mimpi tanda hari dah siang. :)
- Melangkah dengan penuh gagah tidak akan berguna, jika hati tak tunduk kepada-Nya. Ya Allah, kuatkan hamba-Mu.

Tuesday, August 4, 2009

Muhasabah CInta, Memburu Impian Kita

Assalamualaikum.

Buat semua ahli PERMAI .

Sedikit pengenalan dan harapan untuk program malam ni.

Program malam ini bukan sekadar program pengenalan kepimpinan PERMAI semata-semata.

Tetapi sebagai wadah untuk kita sama-sama muhasabah cinta kita, cinta kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan sahabat kita dalam ruang lingkup kita berpersatuan di sini , PERMAI.

Adakah kita benar-benar tahu erti sebuah persatuan, atau sekadar mahu persatuan kita hanya semata-mata atas nama persatuan??

Atau ingin kita letakkan bersama PERMAI kita satu tahap yang lebih dari itu.

Bagaimana dengan sesi kali ini?

Adakah kita mahu terus hidup dalam belenggu yang lama.

Atau mahu bergerak bersama membuka satu dimensi yang baru,

Yang menyuburkan cinta sesame kita, yang kita bersama melangkah memburu impian di dalamnya.

Sebagai pimpinan sesi ini, kami barisan AMM mahu menyuarakan sesuatu, menerangkan halatuju, ke mana yang akan kita langkahi seiring cita.

Sebagai ahli, kalian semua juga harus menyatakan sesuatu kepada semua untuk dikongsi dan dilaksanakan bersama.

Luahkah segala harapan dan segala impian, untuk kita sama-sama lakarkan dengan warna kehidupan.

Hakikatnya, kita semua adalah sama , kita adalah PERMAI. PERMAI tak akan terbina tanpa kita semua. Jadi, sama-sama kita berkongsi rasa dan jiwa agar sesuatu yang terbaik dapat dibina.

Sedarlah ada sesuatu yang penting perlu kita ubah dalam komuniti kita.

Jadi, mari sama-sama kita datang malam ini sebagai tanda cinta sesame kita, sokongan dalam memburru impian semua.

Moga denagn meluangkan masa dua jam malam ni, akan menjelaskan beberapa perkara yang disalahtafsir oleh kita selama ini.

Dengan rendah diri, saya mengajak kalian “ MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA “

Butiran Program :

Program : Majlis MUHASABAH CINTA, MEMBURU IMPIAN KITA

Tarikh : 4 Ogos 2009 ( Selasa )

Masa : 8.20 malam

Tempat : Dewan Al-Farabi, Universiti Yarmouk

Yang benar;

…………………………………………..

( MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Presiden,

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ),

Sesi 2009/2010.