Monday, September 29, 2008

Cinta Dua Adam

Dari jendela kamarnya, Anwar memandang tepat seorang kanak-kanak perempuan Arab yang leka bermain dengan saudaranya, comel. Segera fikirannya dilayangkan pulang ke tanah air tercinta, sebuah bumi hijau yang subur dan penuh dengan pelbagai warna.

Jalur-jalur kenangan sebulan lalu menari di anak matanya. Rindu pada ibu, ayah dan saudara sedarah dagingnya mencengkam, apatah lagi menjelang Syawal yang bakal tiba. Tampang mereka jelas di mata.

Kakinya melangkah meninggalkan jendela yang memberikan ruang cahaya masuk ke kamarnya yang sederhana. Langkahannya menuju ke meja komputer yang dibelinya untuk kegunaan belajar dan kerja-kerja persatuan.

Melihatkan komputernya, Anwar terkenangkan sikap rakan-rakannya yang menghabiskan ratusan dinar untuk membeli keperluan dan tidak kurang yang menuruti kehendak dan kemahuan nafsu. Maklumlah, peningkatan biasiswa sedikit sebanyak mengubah cara hidup mereka.

"Klik".

Anwar menekan tetikus dan jemarinya pantas menari di papan kekunci. Paparan akhbar elektronik tertera. Dia menyoroti isu-isu semasa di negaranya walaupun kadang-kadang dia berasa jelek dan mual dengan berita yang tidak menjana pemikiran masyarakat di negaranya.

Lirikan matanya tertarik kepada satu artikel tentang persiapan orang ramai menyambut hari raya. Meriah dan mewah. Memang menjadi budaya masyarakat yang berkemampuan di negaranya, semuanya baru menjelang tibanya Syawal.

"Anwar, hidup ni kene berjimat. Apa guna hidup bergaya kalau kedana." terngiang pesanan arwah nenek di cuping telinganya.
"Dan apa guna kiranya kaya berharta, tapi miskin akhlaknya". suara itu bergema lagi.

Bibirnya basah menghadiahkan Al-Fatihah buat insan yang banyak menyuntik sentuhan hati manusiawi di dalam dirinya. Disudahkannya bacaan Ummu Kitab itu sambil dipasakkan hatinya untuk mengikut pesanan azimat arwah neneknya.

Tangannya menggerakkan tetikus, ruangan Dunia menjadi fokusnya pula.

SEBAK.

Hatinya tersentuh dan dihuni rasa yang bercampur sedih, geram dan pilu melihatkan gambar sekumpulan saudara seaqidahnya yag dihalang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa. Mereka menjadi pelarian di tanah kelahiran sendiri. Perjanjian damai yang berjela-jela tidak menyebelahi mereka, bahkan semakin menghakis hak mereka.Sudah ribuan jiwa terkorban, sudah jenuh linangan air mata si ibu menangisi pemergian anaknya, sudah hilang suara anak kecil atas teriakan mereka.

Lontaran walau hanya seketul batu ke arah kereta besi yang menggila oleh si anak belasan tahun cukup menggambarkan perjuangan mereka. Namun masih ada negara-negara yang kononnya melaungkan negara seaqidah mereka, tapi hanya mengisi perut masing-masing, memilih mendiamkan diri berbanding bersuara.

Cukup berbeza dengan situasi di negara Anwar. Syawal di negaranya disambut dengan dentuman meriam dan mercun walaupun dilarang oleh pihak berkuasa, namun di Palestin, dentuman bom dan senjata silih berganti memburu mereka.

Tanpa di sedari, butir-butir jernih mengalir dari hujung korneanya. Doa dipanjat kepada Yang Maha Berkuasa untuk melindungi saudara-saudara dan memberikan kemenangan kepada yang hak!

Buzz!!!

Gegaran gelombang bunyi itu menyentak lamunan perasaannya.

- sekadar mevariasikan penulisan blog ini. sekadar mencuba. maaf andai ada terguris rasa.kalau berkesempatan,ada sambungannya.

Saturday, September 27, 2008

Syawal Menjelang



Assalamualaikum.

Syawal menjelang tiba. Ramadhan telah berlalu pergi meninggalkan kita. Andai ini Ramadhan Terakhirku. Begitulah tema program Ihya' Ramadhan PERMAI kali ini. Ramadhan dan Syawal di bumi Irbid ini menyaksikan pertambahan ahli PERMAI yang mendadak. Empat ratus lebih jumlah kesemuanya. Alhamdulillah, nikmat peluang yang diberi Allah untuk menghirup aliran keilmuaan di Universiti Yarmouk mahupun JUST terbentang luas seharusnya digunakan sebaik mungkin di sini.

Kuantiti dan kualiti tidak dapat dipisahkan. Perlu berjalan seiring untuk mewujudkan ke arah suatu kapasiti, yang mampu menjalankan tugas yang ditaklifkan kepada insan yang begelar hamba. Maka, hidup dalam berpersatuan merupakan aspek penting bagi mewujudkan iklim dini yang membantu menyuburkan sanubari.

Gol!!

Gol! Satu jaringan yang dijaringkan oleh seorang pemain pasti disambut oleh pelukan dan ucapan tahniah dari rakan-rakan lain.
Kesilapan. Rakan sepasukan tidak akan menyalahkannya, malah memberi motivasi untuk melakukan memperbaiki dan melakukan yang terbaik.
Inilah kebersamaan!

Begitu juga dengan hidup dalam persatuan. Kebersamaan perlu ada dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli persatuan.

Oleh itu, ayuh kita sama-sama mengeratkan lagi kesatuan dan kebersamaan sempena Syawal ini. Moga ziarah dan rumah terbuka yang banyak dianjurkan dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan warga PERMAI.

Di kesempatan ini saya mengucapkan Kullu 'am wa antum bikhair kepada semua pengunjung blog ini. Mohon maaf andai sepanjang penulisan saya telah melakukan kesilapan. Moga kita mampu beristiqamah berpegang dalam tali Allah melalui bulan-bulan mendatang.

Friday, September 26, 2008

Terbang kembali..

Alhamdulillah.

Kuwait menjadi destinasi persinggahan kami sebelum meneruskan penerbangan ke bumi Urdun, sebahagian daripada dataran Syam yang turut merangkumi Syria, Palestin dan Lubnan. Turut bersama kami dalam penerbangan tadi adalah bakal doktor-doktor yang akan memasuki tahun pertama di Alexandria. Selamat berjuang buat mereka. Alhamdulillah, bertambah ramai anak Malaysia melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Biar jauh di mata keluarga dan tidak berkesempatan beraya di Malaysia, namun keberangkatan dengan niat jihad menuntut ilmu akan diganjari dengan kebahagiaan yang baik di sisi Allah. Sementara menunggu penerbangan ke Amman..sedikit catatan untuk pengunjung blog ini yang sudah lama tidak di update..

Timur Tengah..

Baromkeh..matamu di mataku, Salju Sakinah, Syabab Musafir Kasih adalah antara novel-novel yang saya sempat miliki tatkala bercuti di Malaysia. Latar belakang Jordan dan Syria ditambah dengan plot berkisar kehidupan mahasiswa timur tengah dengan budaya ilmu yang sedikit berbeza dengan di Malaysia menarik perhatian saya. Terdapat juga plot yang menggambarkan kehidupan dan integriti masyarakat Arab yang pasang surut, tidak lupa diselitkan juga sikap pelajar Melayu yang terkenal dengan kesopanan tetapi memiliki juga beberapa aspek kekurangan.Apa yang dapat disimpulkan, sesuatu kaum itu dimuliakan Allah bukan kerana keturunan dan kekayaan, namun apa yang yang menjadi kayu ukur adalah sejauh mana penghayatan dan pegangan terhadap Islam .

Budaya..

Meriah.. perkataan yang dapat digambarkan tentang suasana masyarakat Malaysia menjalani ibadah di bulan Ramadhan. Mana tidaknya, kemunculan pasar dan bazar Ramadan yang bercambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan beserta penglibatan barisan artis, ditambah dengan peratusan penurunan harga yang kadang kala tidak masuk dek akal murahnya menjadi identiti suasana menjelang raya di Malaysia. Dalam senario kenaikan harga barang dan minyak di Malaysia, masyarakat kita masih mampu lagi berbelanja dan adakalanya belebih-lebihan pula. Tidak dilupakan, kaca televisyen dan corong radio turut dihiasi dengan slot-slot keagamaan sempena menghormati bulan puasa, tidak seperti bulan-bulan lain yang menyajikan hiburan melampau. Turut meningkat populariti ialah golongan koperat dan pihak-pihak yang memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. Alangkah bagusnya sekiranya usaha meningkatkan program mendidik masyarakat agar kembali kepada Islam dan membantu golongan yang memerlukan ini tidak terhad dalam ramadhan semata-mata, harapannya agar ia diistiqamahkan ke bulan-bulan yang seterusnya.

Setakat ini coretan dari Kuwait sebelum tiba di bumi Urdun

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan ini..

Ramadhan ini..
Aku berpijak disini..
Tanah ku dibesarkan..
Meriah dan mewah..
Dengan pembangunan lahiriah..
Namun, kontang isinya..

Ramadhan ini..
Aku rindui bumi Anbiya'..
Walau gersang tanahnya..
Tumbuh jiwa-jiwanya..
Menghitung hari-hari bertemu..

Ramadhan ini..
Moga terisi walau dimana..
Moga merdeka dari kekalutan durjana..
Moga islah segala-galanya..
Moga bukan harapan sia-sia..

Ramadhan ini...