Sunday, May 6, 2012

Ijazah 'Sekular'?


Alhamdulillah, sudah hampir lima tahun bergelar pelajar perubatan, di bumi yang terbentang pepohon tin dan zaitun ini. Setahun lagi sebelum bergelar graduan dan terjun ke alam kerjaya, membuatkan saya menoleh kembali ke belakang, mengenang zaman-zaman yang telah berlalu.

Silibus Pelajaran

" Sampai bila kita hendak biarkan diri kita belajar dalam sistem sekular ! " lontaran tegas seorang peserta dalam sebuah program mahasiswa.

Sudah beberapa kali saya dengar ungkapan yang sama, dari orang yang berbeza. Pada sisi pandangan mereka, sistem pendidikan sekarang dipisahkan dari agama. Sebagai contoh mengambil sistem pengajian perubatan, mungkin kesimpulan tersebut dibuat apabila silibus perubatan di sini tiada subjek agama dalam silibus pelajaran, tidak disyaratkan untuk menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith berkaitan perubatan, persoalan fikah perubatan yang menaungi isu ibadah pesakit, halal-haram dalam perubatan, isu-isu kotemporari yang melibatkan hukum hakam dan lain-lain lagi elemen yang akan menjadikan perubatan itu 'islamik' tidak menjadi teras yang akan dihadami oleh bakal graduan.

Ya, saya akui semua perkara itu tidak dijadikan silibus pelajaran di sini, dan ia memang satu keperluan ilmu yang perlu difahami dan dihadam oleh bakal pengamal perubatan nanti. Saya juga tahu beberapa buah universiti di Malaysia berusaha ke arah itu.

Kesedaran akan kekurangan yang perlu dibaiki dalam sistem pendidikan adalah satu kebaikan. Cumanya apa yang saya risaukan adalah persoalan berkaitan mudahnya kita melabel sesuatu dengan perkataan 'sekular', atas alasan tiada istilah islamik yang ditonjolkan dan juga kekurangan beberapa keperluan yang belum dimasukan.

Kerisauan apabila label 'sekular' yang diletakan, ia berkemungkinan akan menutup mata kita akan elemen-elemen dan nilai-nilai besar yang ada pada sistem yang sedia ada. Bukankah sepanjang pengajian perubatan yang mengambil masa enam tahun itu terkandung pelbagai tunjang-tunjang penting dalam Islam, seperti sikap profesional dalam menjalankan tugas, soal amanah dan kerahsiaan yang dipertanggungjawabkan, soal displin kebersihan dan penelitian dalam menjalankan tugas, soal disiplin dalam mengkaji dan menyelesaikan masalah. Tidak dilupakan juga sepanjang enam tahun juga pelajar akan mengkaji dengan penuh teliti suatu makhluk sebaik-baik ciptaan Allah, iaitu manusia.

Kerisauan tentang kekurangan sistem adalah satu sisi yang sememangnya perlu dipandang berat, tetapi ada satu sisi lain yang sering dilupakan iaitu kerisauan tentang penghuni sistem itu sendiri, mengabaikan perkara asas dalam silibus pengajian , apatah lagi yang tidak dibentangkan dalam silibus pelajaran!

Mensilibuskan Pelajaran

Saya lebih suka kita berbicara tentang apa yang boleh digapai dengan tangan buat masa ini. Langkah perjalanan seorang penuntut ilmu tidak harus terikat pada silibus pelajaran utama semata-mata. Tetapi harus diingat, silibus pelajaran di kuliah itu harus diutama.

Merasakan ada keperluan untuk menambah ilmu yang tidak terbentang dalam bilik kuliah, kita sendiri harus memerdekakann diri untuk menambah silibus pelajaran kita di luar bilik kuliah. Mencari ruang dan peluang yang terbentang dihadapan mata, tidak kira di mana kita berada, dalam mahupun luar negara. Kata orang tua, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Pokoknya, seimbangkanlah gegaran suara melaungkan betapa 'sekular'nya sistem dunia, dengan membebaskan dahulu diri sendiri dari sifat 'sekular' yang tidak berusaha membongkar nilai-nilai Islam yang ada walaupun tiada jenama Islamik yang diletakan kepadanya.

Mulakan dengan dirimu, wahai sang penuntut ilmu!






Sunday, March 18, 2012

Si Amanu



Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia se-Jordan, PERTAMA hampir sebulan melabuhkan tirainya. Namun, baru hari ini saya berkesempatan menukilkan sedikit cerita tentanya. Saya berhentikan sementara menulis di laman ini, memberi ruang untuk saya menulis di alam nyata dan menerjemahkan beberapa idea dalam bentuk visualisasi yang mudah-mudahan membawa makna.

Jejak Si Amanu



Teater.

Salah satu wajah karya yang saya mula jatuh cinta kepadanya. Kali pertama mula berjinak-jinak dengannya lebih kurang 3 tahun lepas semasa saya diamanahkan sebagai pengarah Sambutan Aidiladha PERMAI, dengan tema Menjejak Roh Pengorbanan , saya memerah idea bagaimana ingin menterjemahkannya dalam program yang disambut saban tahun, dan akhirnya tergambar untuk saya menvisualisasikannya dalam kerangka persembahan idea. Berkerjasama dengan sahabat saya, Hilal Asyraf dan Ikhwan Subberi, teater Adha diadun dan diterjemahkan sedaya upaya. Alhamdulillah, respons positif diterima dari muhasabah yang dilakukan pasca program terlaksana. Di dalam hati saya , terselit secebis rasa untuk sekali lagi menyumbang karya sebelum melangkah pergi dari bumi Urdun ini.

Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk menukilkan karya buat kali kedua. Mengambil sedikit masa, memerah idea bersama sahabat saya, Ikhwan Subberi, ajk pelaksana PERTAMA dan team teater, mengabungkan idea dan jalan cerita daripada sudut pandangan mahasiswa dan mahasiswi, akhirnya 'Si Amanu' berjaya dinukilkan dalam mewajahkan mesej tentang dunia hiburan yang ingin dibedah senarionya.

Alhamdulillah, hasil kesungguhan pengarah, pelakon, tenaga kerja di belakang pentas, AJK PERTAMA yang memberikan sokongan, "Si Amanu" berjaya dipentaskan.

Sebelum tirai PERTAMA ditutup, sempat saya bertemu dengan tetamu jemputan yang hadir, bertemu dengan Ustaz Anhar Opir, mendengar pandangan berkaitan beberapa aspek yang perlu dijaga dari sudut syariat dalam mempersembahkan sesebuah karya, dan juga mendengar sedikit komentar membina daripada Prof.Madya Abu Hassan.

Pesan Prof.Madya berpesan kepada saya untuk mencuba agar karya ini dipentaskan di Malaysia. Sangat kerdil rasanya, karya yang saya akui masih banyak ruang dan lompong kosong yang perlu dibaiki dicadangkan diketengahkan di khalayak ramai di tanah air sana.

Masih banyak yang perlu diteroka dan dipelajari tentang seni dan ceriteranya dalam menyampaikan mesej kepada umat manusia.

Sama-sama kita bersekutu membawah perubahan, menghapus kemungkaran dan kemakaran!


pelakon cilik yang membawa mesej besar!


~ jom baca catatan Ustaz Anhar Opir berkaitan hiburan : http://hjanhar.blogspot.com/2012/02/tujuan-berhibur.html
~ terima kasih buat keluarga teater saya yang akan dikenang sampai bila-bila
~ sedang terlibat dalam satu karya di pentas dan juga karya di kertas. doakan saya


Sunday, March 4, 2012

Kehidupan : Antara Dua Titik


Mukadimah

Berbicara tentang hayat manusia, kita tidak dapat lari dari membicarakan soal dua titik dalam kehidupan manusia, titik permulaan kehidupan yang dinamakan kelahiran dan juga titik pengakhiran kehidupan iaitu kematian.

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :

Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” ( Al - Mulk: 2)

Sebagai manusia yang diciptakan Allah untuk menghuni dunia ini buat sementara, dan berhijrah ke satu alam yang kekal selama-lamanya, kita haruslah menginsafi tentang hakikat kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya dalam menghidup dan mematikan umat manusia dan makhluk yang lain. Pengkajian melalui risalah Al-Quran yang dititipkan atas sifat ar-Rahmah melalui utusan Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik usaha dalam membuka mata, minda dan jiwa untuk kembali merenung hakikat penciptaan jiwa-jiwa kita yang bernama manusia.

Oleh itu, kupasan kertas kerja ini adalah sekadar pencetus kepada usaha untuk mengingatkan kita agar terus mengkaji dan meneliti kekuasaan Allah melalui kejadian manusia itu sendiri. Mudah-mudahan kita beroleh hidayah dan dititipkan dedaun rasa untuk terus mengkaji dan mendalami ilmu-ilmu Allah.

Kelahiran : Permulaan Kehidupan

Meninjau sejarah pengkajian kejadian dan kelahiran manusia, manusia tidak mengetahui hakikat kejadian manusia itu sendiri hinggalah pada kurun ke-18 dan disahkan pada kurun ke-20 dengan penemuan dan kajian berdasarkan sains dan teknologi yang dicipta oleh manusia. Hakikatnya , Al-Quran telah mendahului umat manusia sejak 1400 tahun dahulu dalam menceritakan proses kelahiran manusia.

Contohnya dalam surah al-Insan ayat dua yang bermaksud :

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, serta Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan ); kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

Begitu juga dari aspek perkembangan janin manusia di alam Rahim, dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Mu’minun ayat 14 yang bermaksud :

Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikan makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.

Selain itu, Al-Quran juga membuktikan lebih awal bahawa jantina seorang bayi ditentukan oleh sperma lelaki melalui ayat surah An Najm ayat 45 dan 46 yang bermaksud :

“ Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan. Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim) .

Mengikut kajian genetik, kromosom Y pada lelaki yang akan menentukan jantina manusia samaada lelaki ( XY ) atau perempuan ( XX ) yang akan terhasil daripada proses persenyawaan .

Begitulah mukjizat Al-Quran dalam membicarakan soal permulaan kehidupan seorang manusia sejak alam rahim lagi.

Menyentuh berkaitan aspek kelahiran yang sememangnya berkaitan dengan perhubungan antara kaum Adam dan Hawa, kita dapat membahagikannya kepada dua keadaan :

1) Dirancang : Melalui perkahwinan dan usaha-usaha ke arah memperolehi zuriat

2) Tidak dirancang : Anak luar nikah ( zina dan rogol ), kegagalan pencegahan kehamilan

Pembahagian dirancang dan tidak dirancang itu hanya sekadar kategori pada pandangan manusia, kerana hakikatnya Allah jua yang merancang segala-galanya.

Menyentuh sedikit isu berkaitan anak luar nikah, berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008 dan juga yang paling menyayat jiwa, kes buang bayi merata-rata menjadi barah dalam masyarakat kita.

Kelahiran manusia yang sepatutnya memberi kebaikan akhirnya berakhir dengan kedukaan apabila manusia tidak menghargai erti nyawa dan juga tidak mengikut panduan agama dalam perhubungan sesama manusia.

Setelah menyoroti serba sedikit berkaitan dengan permulaan hidup manusia, mari sama-sama kita menyedarkan diri kita tentang hakikat kematian yang akan dilalui oleh semua manusia di muka bumi Allah ini.

Kematian : Penghujung Kehidupan

Setiap manusia pasti akan merasai kematian. Sesungguhnya kematian itu tidak terletak di tangan manusia, ia adalah kuasa Allah Ta’ala, yang menghidup dan mematikan makhluk-Nya.

Firman Allah :

"Tiap-tiap bernyawa akan merasakan mati, kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (Surah al-'Ankabut: 57)

Kematian atau dalam bahasa Arabnya adalah ( al-maut ) adalah lawan kepada hidup ( al-hayat ). Mati juga dalam bahasa arab menurut kamus lisan al Arab berasal daripada perkataan as-sukun membawa maksud tidak bergerak .

Oleh itu apakah penakrifan kepada kematian?

Pelbagai pendapat ulama’ dan sains telah dikemukakan berkaitan kematian terutama apabila ia melibatkan isu brain death ( mati otak ).

Di sini ingin dikongsikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Majma’ Feqh Islami yang bersidang pada pada tahun 1986 di Amman,

disebut dalam fatwa akan perkara berikut:-

1) Seseorang itu boleh dianggap mati dan boleh dijalankan penyelenggaraan mayat ke atasnya apabila terhenti nafas dan jantungnya dari berfungsi beserta pakar perubatan telah bersepakat bahawa sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup.

2) Seseorang itu boleh di anggap mati apabila telah mengalami kematian pada otaknya sekalipun jantungnya masih berdenyut dengan bantuan alat bantu oksigen serta pakar perubatan memutuskan bahawa sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup

Menyentuh berkaitan punca kematian boleh dibahagikan kepada dua bentuk :

1) Kematian yang diluar perancangan : proses penuaan manusia secara semula jadi, kematian disebakan penyakit, kematian disebabkan kemalangan dan juga keguguran bayi tidak disengajakan

2) Kematian yang dirancang : pembunuhan manusia, bunuh diri, euthanasia aktif, menggugurkan kandungan

Sama juga seperti kelahiran yang disebut di atas, pembahagian dirancang dan tidak dirancang itu hanya sekadar kategori pada pandangan manusia, kerana hakikatnya Allah jua yang merancang segala-galanya.

Itulah sedikit sorotan berkaitan kematian manusia yang pasti akan dilalui setiap insan yang bernyawa.

Usai meninjau jendela kehidupan dan kematian, mari kita merenung di antara kedua-dua titik iaitu berkaitan dengan kehidupan manusia.

Kehidupan : Antara Dua Titik

Sebagaimana yang perlu kita tahu, tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah, sebagaimana firman Allah dalam surah az-Zariyat , ayat 56 yang bermaksud :

"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)"

Berbicara soal kehidupan termasuk berbicara soal jangka hayat manusia. Hayat manusia adalah di tangan Allah yang Maha Pencipta, kita tidak tahu akan bila sampai masanya maut menjemput kita. Sebagai manusia, apa yang kita miliki adalah sedikit ilmu sunnahtullah kurniaan Allah berkaitan dengan kesihatan manusia.

Kesihatan manusia memainkan peranan dalam perangkaan jangka hayat manusia.

Malangnya, kesihatan adalah termasuk dalam salah satu perkara yang sering dilupakan oleh manusia seperti dalam sabda Nabi Muhammad SAW:

" Ada dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan masa lapang ."

( hadith riwayat Imam Al-Bukhari )

Meninjau purata jangka hayat manusia di Malaysia yang direkodkan oleh World Health Organization, jangka hayat lelaki adalah 71 tahun manakala perempuan adalah 76 tahun.

Jangkaan hayat manusia banyak ditentukan oleh aspek kesedaran penjagaan kesihatan oleh masyarakat sesebuah negara.

Berkaitan dengan penyakit pula, antara pembunuh utama manusia pada masa kini adalah sakit jantung ( ischaemic heart disease ) , penyumbang kepada 16 peratus kadar kematian manusia di seluruh dunia.

Faktor yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit pula terbahagi kepada dua :

1) Faktor tetap yang tidak boleh diubah : jantina, umur, keturunan, bangsa

2) Faktor boleh diubah : pemakanan, senaman, tabiat merokok, berat badan, tekanan darah

Berbicara soal faktor pemboleh ubah seperti pemakanan, dalam Al-Quran sendiri telah ditegaskan bagaimana pemilihan makanan yang memberi manfaat buat umat manusia. Firman Allah :

“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu ”

(Al-Baqarah: 168)

Dewasa kini, aspek kesihatan sering dikesamping oleh manusia atas kesibukan dalam mengejar pembangunan kota raya dan kerjaya. Pemakanan yang seimbang tidak menjadi agenda utama, senaman yang berterusan bukan satu amalan dalam hidup kita. Kesannya, pelbagai penyakit mudah dihidapi pada masa kini.

Apabila sakit mendiami batang tubuh manusia, manusia yang tidak kuat hubungannya dengan Allah akan sangat mudah berduka cita, dan berputus asa, dan yang paling malang sekali menganggap kuasa penyembuhan itu di tangan doktor , dan apabila doktor gagal mengubatinya, dengan mudah dia akan menyalahkan semua orang, dan paling malang mempersoalkan takdir Allah.

Sewajarnya kita mengambil pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati, mengambil sikap berjaga-jaga daripada pelbagai aspek kesihatan dan keselamatan, kerana nyawa kita termasuk dalam 5 perkara yang perlu dijaga, iaitu agama,nyawa, akal, keturunan dan harta.

Penutup

Risalah kecil dan ringkas ini hanya bertujuan untuk kita merenung sejenak soal permulaan kehidupan kita, pengakhiran kehidupan kita, dan kehidupan kita yang berkaitan dengan usaha kita menghargai nyawa dan kesihatan kurniaan Allah. Moga-moga kita menjadi hamba yang bersyukur dan menjauhi kufur.

Firman Allah :

Mengapa kamu sanggup engkar kepada Allah, padahal kamu dahulunya tiada, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada- Nya-lah kamu dikembalikan. (Al-Baqarah : 28)

Wallahu’alam.

Disediakan oleh :

Muhammad Naqeb bin Sulaiman

Tahun 5 Perubatan

Jordan University of Science and Technology

Blog : www.mahasiswa-pena.blogspot.com

Rujukan :

Al-Quran dan terjemahan

Allah’ Miracles in The Qur’an – Harun Yahya

The Miracle of Human Creation – Harun Yahya

Buku “ Kelahiran dan Kematian ” – Seminar Perubatan Kali Ke-2 , PERUBATAN Mesir

Hakikat Kematian dan Mati Otak Mengikut Kaca Mata Islam – Mohd Asri Mat Daud, Pengerusi Fellow Manhal

Laman sesawang kesihatan di internet


nota : ini merupakan kertas kerja saya sempena Seminar Sains Dan Islam anjuran BKAN PUTRA dan IANERIS di bawah Majlis Perwakilan Malaysia Jordan.

Saturday, February 4, 2012

Lagukan Cintamu Ke Angkasa



Ku lagukan puisi buatmu,

Masihkah kau lihat dan ingat,

Cahaya lahirnya dari jihat Makkah,

Menerang ,memadam api sembah berkurun lama.

Dalam belitan debu pasir yang tandus,

Bangsa hina itu melonjak mulia,

Bumi yang gersang dihujan rahmah,

Lahirnya dia Al-Amin ummah.




Kau ummat baginda,

Cintamu melangit dunia?

Pernah kau dakap sosok itu?

Lalu bagaimana cinta bertamu,

Rindu mendalam ini menjulang?

Ini kisah cinta nan aneh menitip jiwa,

Dalam kidung yang bergema.

Sepanjang jejak yang berliku,

Tidak terpudar dengan masa dan debu.

Setuju?




Ayuh.

Jika menyusur tikungan langit terbuka,

Anak-anak buih yang terapung berjuta,

Gelodak, gelembung, pecah!

Dek memesong dari sirah.

Penyair sumbang bergigi emas,

bertakhta di hati-hati yang lemas.

Sepanduk dijulang sehari,

Habis keraian lupa pesanan nabi.

Zikir sunnah hilang ke mana,

Lalu bagaimana untuk bergelar ummat mulia.





Masih kau bau segar tanah sejarah itu ?

Bumi lahirnya qudwah memimpin ummah,

Luka darahnya disapu dengan redha,

Maki hina beratus dibalas doa kudus,

Jika benar jatuh cinta akan tampang itu,

Mengapa perlu sengketa di takhta,

Menjarah tampuk kuasa menyulam haloba.

Aslikah tema cinta yang dijaja?




Ah!

Cinta ini ajaib,

Tiada warkah cinta dengan tinta emas,

SMS buta tidak menghias,

Tautan hanya dengan selawat dan doa,

Dibaja warkah hadith berbau syurga,

Kisah cinta yang tak terungkap dengan kalimah,

Bukan cinta jalanan, apatah lagi cinta monyet picisan,

Lagukan cintamu ke angkasa,

Tarikan tubuhmu mengikut sirah.


-mahasiswa pena-


-4 Mac 2009-

~ video zaman muda saya :) ~

Monday, January 30, 2012

Hilang Senyuman : Penyakit Berjangkit


Senyuman.

Ia memainkan signifikasi besar dalam kehidupan. Bayangkan dua orang yang tidak kenal satu sama lain, dengan senyuman akan membuahkan perkenalan, meskipun kadang kala berlainan bangsa dan bahasa.

Kuasa senyuman, mampu menghubungkan jiwa.

Senyuman juga adalah gambaran perasaan yang disemat di dada. Rasa gembira, senang hati, suka, lalu akan terpancar senyuman di wajahnya.

Hilang Senyuman

Hakikatnya tidak semua manusia mampu untuk menggaris senyuman di wajahnya.

Untuk menguntum senyuman, beberapa otot-otot muka diperlukan untuk memainkan peranan, dan terdapat saraf muka yang menghantarkan impuls. Apabila sistem saraf tercedera, lalu hilanglah kemampuan manusia untuk mengukir senyuman di wajahnya.


Oleh itu, jika terdapat manusia yang diuji Allah, kerana rosak sistem saraf mukanya, doktor saraf akan bertanggungjawab dan berusaha mengembalikan senyuman di wajahnya, dengan apa yang termampu dan terdaya.

Itu kisah orang yang hilang senyuman kerana penyakit yang dihidapinya.

Hakikatnya, kalau dilihat disekeliling kita ramai orang sihat yang lebih kurang sama keadaan wajahnya.

Senyuman Hilang

Itulah penyakit yang ramai dihidapi oleh kita. Senyuman hilang dari wajah.
Sukar benar ingin menguntum senyuman, apatah lagi kepada orang yang tidak dikenali oleh kita.

Apabila datang seorang peminta sedekah, mudah sahaja kita menggeleng kepala, bahkan ada yang menghalau dan mengherdik tanpa simpati, walhal jika benar tidak mampu menghulurkan walau kepingan syiling, apa salahnya menghulurkan senyuman dan meminta maaf kerana tidak dapat membantu.

Lupakah kita akan sabda Rasulullah S.A.W:

" Senyummu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah. "
( riwayat Al-Tirmidzi )


Begitu juga dengan pelajar perubatan, kalau dari zaman belajar sukar dan berat untuk menghulur senyuman mesra kepada pesakit yang terlantar di hospital, bagaimana pula nanti bila sudah sibuk dan tertekan bila sudah berkerjaya? Baru hendak memaksakan diri menggaris senyuman di muka?

Ingin merawat pesakit agar mengembalikan senyuman di wajahnya, kita pula yang hilang senyuman di wajah kita. Tertekan bagaimana sekalipun kita bergelumang dengan cabaran sebagai pelajar perubatan, jangan kita jual mahal dalam menghulur senyuman.

Tidak di lupakan buat bakal ustaz dan ustazah, mahupun apa jua bidang pengajiannya, jangan kerana mahu menjaga kewarakan hingga hilang senyuman di wajah, hingga membuatkan orang yang dahagakan ilmu rasa jauh dengan mereka. Kopiah sudah di kepala, jubah kemas diseterika, tetapi muka masa mencuka. Macam nak telan orang gayanya.

Begitu juga dalam berhubungan yang melibatkan lelaki dan perempuan, dalam urusan harian, persatuan dan pelajaran, senyuman dan terima kasih adalah 'common sense' yang kadang-kadang dikesampingkan, Maksud saya, bukanlah perlu senyum tidak kira tempat, seolah-olah mahu mengurat, tetapi sekurang-kurangnya maniskan muka kerana kita semua berhubung dengan manusia, bukan robot yang tiada jiwa.

Dalam hidup berkomuniti, senyuman itu boleh menjadi paksi keharmonian. Berselisih dengan senior mahupun junior yang tidak dikenali namanya, sekurang-kurangnya angkatlah tangan, gariskan senyuman dan hulurkan salam. Moga ia akan jadi titik perkenalan dalam membina jambatan ukhuwah yang berpanjangan.

Senyuman itu ibarat jangkitan, yang mudah untuk merebak, hari ini kita mendapat senyuman, esok hari mudah untuk kita melemparkannya.

Senyuman itu adalah modal perhubungan dan perniagaan, hinggakan ada pepatah Cina ada menyebut " seseorang yang tidak boleh tersenyum janganlah ia membuka kedai ".

Kalau orang Cina bijak memandang senyuman dari aspek ekonomi dan keuntungan dunia,
begitulah kita sepatutnya memandangan senyuman dari aspek keuntungan dunia dan akhirat,
di dunia menyebar bahagia dan harapan, sebagai ladang akhirat buat mempersiapkan bekalan.

Ingatlah,
jangan kita terlalu leka dan ghairah mengejar cita-cita,
terlalu berjiwa membara dalam mengubah dunia,
senyuman yang mudah tetapi besar peranannya diabaikan oleh kita.

Senyumlah.
Ia mampu mengubah dunia !


Friday, January 27, 2012

Penyakit : Lamaran Si Anak Muda


Orang muda.

Jiwanya membara. Tubuhnya berkudrat tenaga. Tinggi melangit cita-cita.

Usia dua puluhan adalah fasa usia yang melalui beberapa perkara dalam kehidupan, usia meraih segulung ijazah pelajaran, zaman memulakan langkah ke alam pekerjaan, dan juga fatrah merancang memasuki alam perkahwinan.

Dalam kesibukan merasai usia muda, kadang kita terlupa akan satu elemen yang penting dalam kehidupan kita, yang kadang tidak dipandang sebelah mata, bila sudah kehilangannya , baru terasa jiwa merana.

Apa yang sering dilupakan oleh kita, telah diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda.

" Ada dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan masa lapang ." ( hadith riwayat Imam Al-Bukhari )

Kita sering menggambarkan bahawa sakit itu sangat sinonim dengan orang yang semakin berusia. Mendengar pakcik yang duduk di hujung simpang sana meninggal dunia kerana sakit jantung, nenek yang duduk di kampung sebelah meninggal akibat barah.

Ya, tidak dinafikan peningkatan usia manusia merupakan salah satu faktor malar ( yang tidak boleh diubah ) yang menyumbang kepada sebab mendapat penyakit tertentu.

Bila sudah berusia, sel-sel dan organ dalam badan semakin menua, sistem imuniti badan semakin lemah, lalu mudahlah mendapat penyakit mahupun jangkitan pada tubuh badan manusia.

Mengambil contoh di Malaysia misalnya, penyakit cardiovascular ( sakit jantung dan strok ) merupakan punca utama kematian, yang mewakili 25.4 % dari kematian di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia. Malahan, kematian pra-matang iaitu kematian di bawah umur 60 tahun, 30% berpunca darinya.

Si Muda Melamar Penyakit

Waktu muda adalah zaman produktif kita. Berbekalkan kudrat tenaga, dan cebisan ilmu di dada, kita sering teruja untuk melakukan banyak perkara, tidak kira dari sudut kerjaya, pengajian, penglibatan dalam sukan, hobi, perniagaan dan sebagainya.

Namun, sering kita terlupa akan tabiat-tabiat dan sikap yang mendominasi hari-hari kita yang sebenarnya sedang 'melamar' dan 'menyunting' penyakit agar hadir menghuni sama hari-hari kita meskipun pada usia yang muda.

Banyak faktor-faktor pemboleh ubah kepada penyakit berbahaya seperti sakit jantung, diabetes misalnya, iaitu yang boleh dikawal dan dicegah, sering dikesampingkan dan ketepikan dalam mejalani hari-hari kita.

Antara usaha-usaha 'melamar' penyakit secara sedar ataupun tidak yang sering dilakukan oleh rata-rata golongan muda adalah :

1) Makan ber'jenama' dan menjimatkan masa :

Pemakanan, adalah elemen yang sudah sebati dalam kehidupan. Namun, kerana tuntutan kesibukan bergelut dengan masa yang semakin sempit dan sibuk dalam golongan muda, ramai yang tidak kisah sangat soal jenis makanan, janji sedap dan mengenyangkan, sumbat. Janji murah dan cepat, telan. Soal pembahagian nutrisi seimbang, sesuai dengan keperluan metabolisma badan, tidak menjadi isu terpenting dalam menentukan pemilihan makanan, tenggelam dalam faktor menjimatkan duit, masa dan tenaga. Menyangka untung sudah diperoleh, akhirnya sakit pula datang menindih. Sedih !


2 ) Ke'macho'an merokok

Tabiat merokok mendominasi dunia anak muda. Menurut Laporan Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM, senario di Malaysia lebih kurang 8% daripada 4.6 juta perokok adalah terdiri daripada kalangan remaja. Statistik ini juga menunjukkan bahawa lebih kurang 50-60 remaja mula merokok setiap hari. Hembusan asap ke udara, sambil menunggu kesesakan jalan raya, melegakan satu hari yang meletihkan barang kali. Di bangku sekolah pula, ada yang sudah mencuba. Pada awalnya mencuba, akhirnya sudah menjadi sebati dan rutin harian dalam hidupnya. Meskipun sudah terhias indah gambar ngeri dan menakutkan di kotak rokok, lambang akan kesannya mengundang pelbagai jenis barah pada badan manusia dan sakit jantung yang merupakan pembunuh utama, masih tidak mampu menghalang rasa untuk menyedutnya.

3 ) Gaya hidup generasi Y

Kelompok anak muda hari ini tergolong dalam generayi Y, kelompok yang dibahagikan oleh Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital, iaitu yang lahir sekitar tahun 1977-1997, yang kini mendominasi anak muda masa kini, generasi yang membesar dengan maklumat di hujung jari.
Segala-galanya menjadi mudah, untuk berkomunikasi, hanya perlu menaip di pada kekunci.

Ada antaranya yang sudah boleh menjalani kehidupan dengan hanya duduk di rumah. Jika keluar rumah sekalipun hanya untuk tujuan tertentu seperti ke kuliah mahupun tempat kerja. Hujung minggu masa beristirehat di rumah, menunaikan hutang tidur yang tidak cukup, mahupun menghabiskan rantaian siri drama korea mahupun filem yang bersedia untuk di muat turun di komputer riba.

Anjuran melakukan aktiviti fizikal 30 minit sehari tenggelam dengan riadah di hadapan komputer yang lebih mengujakan dan memberikan cabaran, barangkali.

Akhirnya, berat badan semakin meningkat, BMI mencapai obesiti, lalu penyakit dilamar dan disunting dalam kepadatan bergelumang dengan era teknologi !


3 ) Kelajuan Di Litar

Laju itu sangat sinonim dengan jiwa anak muda, segala-galanya mahu segera, hinggakan jalan awam dijadikan litar lumba, ibarat emak bapak dia yang punya. Kesannya, kalau mengikut rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, 12% kematian pra-matang di bawah 60 tahun adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya, didominasi oleh golongan muda.

Bagi yang bernasib baik, mungkin nyawa tidak melayang, namun boleh jadi mengundang kehilangan tubuh badan mahupun lumpuh sepanjang hayat. Hipotesisnya, semakin laju di jalan raya, semakin laju sampai ke destinasinya, iaitu menjemput ajal tiba!


Mahar Sebuah Kesihatan


" Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. " ( Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi )

Itulah pesan Nabi Muhammad S.A.W, baginda Rasulullah tercinta.

Kelima-kelima perkara itu ada kaitannya dengan kesihatan dan kehidupan kita.

Jangan pandang remeh akan kesihatan, kerana ia adalah mahar untuk kita membuat amal dan pahala.

Jangan kerana kita leka 'melamar' penyakit yang mengundang sengsara, kita rugi tenaga muda, merana di hari tua.

Kita mampu mengubahnya.

Melamar dan menyunting bahagia!




Tuesday, January 24, 2012

Glasgow Coma Scale : Neraca Kesedaran Manusia


Setiap hari kemalangan dan kecelakaan pasti berlaku, melibatkan ramai manusia, sama ada di jalan raya, tempat kerja, mahupun di kediaman rumah kita.

Apabila kemalangan berlaku mangsa akan dikejarkan ke wad kecemasan, dan doktor akan melakukan penilaian terhadap tahap kritikal mangsa yang menghadapi kemalangan.

Antara penilaian yang dilakukan adalah mengukur tahap consciousness iaitu kesedaran pesakit.

Bagaimana tahap consciousness pesakit diukur?

Glasgow Coma Scale

Ia merupakan panduan untuk mengukur tahap kesedaran pesakit, sama ada di tahap mild, moderate atau severe , berpandukan tiga kriteria iaitu respons berkaitan mata, pertuturan dan pergerakan motor.

Eyes ( Mata )
4 : Buka mata dengan spontan
3 : Buka mata bila mendengar suara
2 : Buka mata bila disakiti
1 : Tiada respons ( mata tertutup )

Verbal ( Pertuturan )
5 : Oriented ( peka dengan keadaan sekeliling, pertuturan normal )
4 : Disoriented ( keliru, tidak peka )
3 : Inappropriate word ( pertuturan yang tidak bermaksud )
2 : Incomprehensible sound ( bunyi yang tidak difahami )
1 : Tiada bunyi / suara

Motor ( Pergerakan anggota )
6 : Mampu mengikut arahan
5 : Boleh mengesan lokasi stimulus sakit
4 : Menjauhi stimulus sakit
3 : Pergerakan flexion terhadap kesakitan
2 : Pergerakan extension terhadap kesakitan
1 : Tiada respons

Setiap kriteria di atas akan dinilai dan dicatatkan skor masing-masing lalu dijumlahkan kesemuanya.

Contohnya jika pesakit tersebut matanya terbuka secara spontan ( 4 ) , boleh bertutur dengan baik dan peka keadaan sekeliling ( 5 ) , serta boleh menurut arahan yang diberikan ( 6 ) , lalu jumlah skornya adalah 15.

Kemudian mangsa dikategorikan mengikut jumlah skornya:

15 - 13 : Minor
12 - 8 : Moderate
7 - 1 : Severe

Pesakit yang skornya dalam kategori severe akan diberikan bantuan secepatnya kerana ia boleh mengancam nyawa.

Itulah kepentingan untuk menilai tahap sedar pesakit, agar dapat menyelamatkan nyawanya.

Selesai bicara tentang cara menilai kesedaran jasad manusia.

Bagaimana pula tahap kesedaran roh dan jiwa manusia?

Ada kayu ukurnya?

Sejauh manakah tahap kesedaran jiwa kita, adakah di tahap selamat, biasa-biasa atau kritikal yang boleh mengancam jiwa?

Skala Neraca Jiwa

Cuba bayangkan adanya skala yang mengukur tahap kesedaran jiwa kita sebagaimana adanya skala mengukur kesedaran jasad kita.

Contohnya yang melibatkan elemen-elemen penting dalam menentukan tahap turun dan naiknya kesedaran jiwa manusia yang bernama Muslim.

Solat fardu harian :

6 : Solat jemaah 5 waktu
5 : Solat jemaah 4 - 3 waktu
4 : Solat jemaah 1 - 2 waktu
3 : Solat 5 waktu sendirian
2 : Solat kurang dari 5 waktu
1 : Tidak solat

Membaca/ Tadabur Al - Quran :

5 : Setiap hari
4 : Seminggu sekali
3 : Sebulan sekali
2: Setahun sekali
1 : Tidak membaca

Menghadiri majlis ilmu/peringatan :

4 : Seminggu sekurang-kurangnya sekali
3 : Sebulan sekali
2 : Setahun sekali
1 : Tidak pernah

Jika begini neraca tahap kesedaran jiwa manusia, bayangkan andai seseorang yang memilih untuk menunaikan solat bersendirian dan kadang terkurang 5 waktu ( 2 ), membaca Al-Quran sebulan sekali apabila ada majlis yassin dan kenduri ( 3 ) dan setahun sekali menghadiri majlis ilmu sempena sambutan hari kebesaran Islam sahaja ( 2 ), lalu jumlah skornya adalah 7 . SEVERE ! MERBAHAYA !

Bagaimana pula dengan jumlah skor kita?

Seandainya jumlah skor kita masih ditahap biasa, mahupun sederhana, tidak mustahil seandainya kita tidak serius dalam memuhasabah dan memperbaiki tahap skor kita dengan rawatan-rawatan berbentuk usaha dan mujahadah berterusan , tidak mustahil tahap kesedaran jiwa kita akan merosot dan menjunam jatuh ke tahap merbahaya.

Oleh itu, sama-sama kita sedar diri, sedar jiwa !