Saturday, February 28, 2009

Lembutkah Kita Mengasli Warisan ??

Sejarah.

Berapa ramai suka sejarah hingga ketagih untuk meneladani kitab dan artikel asing di sebalik timbunan filem dan majalah bermuka putih dan yang mendedahkan segala.

Zaman yang berlalu pergi itu akan meninggalkan manusia yang jiwanya bernafas dalam saat modenisasi masa kini. Lalu zaman itu dibukukan dan diwariskan. Layakkah jika ia hanya disandar sebagian kajian dan akhirnya lapuk apabila bait-baitnya dirasakan sudah tidak relevan sama aku dan kau yang hidup zaman pasca-moden.

Ah, aku ingin bercakap lebih pasal subjek yang dahulu aku selalu tersengguk dalam kelas mendengar timbunan fakta yang menyesakkan dada? Aku tidak layak. Malu..

Lalu harus di mana ingin aku letakkan sejarah yang terkubur andai hanya melihat manusia sibuk mendongak ke langit terbuka hingga segan dan bongkak untuk menoleh hukuman dan ganjaran yang termaktub dalam sejarah yang membalut jenazah pejuang agama dan nasib cucu mereka. yang tidak pernah dihidu oleh kita.

Alhamdulillah, semalam saat hujan rahmat itu masih sudi membasahi tanah dan hati gering manusia, aku turut serta dalam progam Membongkar Warisan, Menjulang Kemasyhuran.
Sehari menghabiskan masa bermadu asmara dengan budaya dan sejarah tanah yang di mana aku mengais di atasnya, langit yang dibawahnya aku menghela udara. Johor, Darul Takzim negeri yang menyimpan seribu sejarah dan budaya.

Banyak aktiviti yang mengisi ruang yang ada, antaranya bengkel zapin, kuiz yang merangkumi pengetahuan am, sejarah Johor, isu semasa, teka-teki dan isu Palestin yang menggegar atma untuk menjadi cakna.

Hampir 10 tahun tak buat layang-layang.. :)

Mencipta kuda kepang dan layang-layang turut mengimbau nostalgia. Sayangnya, layang-layang itu tidak berkesempatan terbang di langit angkasa. Tidak mengapa, sekurang-kurang memori lalu diterbangkan kembali ke lensa kepala.

Persepsi Buta Sejarah

Zapin?

Zapin itu bagaimana? Benarkah ia ditari oleh golongan lembut? Tidak islamik? Lalu bagaimana untuk diterima bagi membentuk biah yang mendamai jiwa. Ada suara yang berkata-kata tanpa usul periksa.

Aku hanya ingin menutur dari apa yang aku pandang dan rasa. Aku suka kembali kepada sejarah biar kita lebih bermaruah, tidak melemparkan kata nista. Zapin itu datangnya dari tanah Arab, awalnya ditarikan oleh sekumpulan lelaki. Titik asas yang diberatkan adalah keseragaman penarinya. Zapin Johor telah mengalami transaksi kerana gerakkan lebih halus sesuai dengan nilai ketimuran yang menjadi jati diri masyarakat kita.

Aku tak nafikan zapin kini kerap dipersembahkan dengan campuran lelaki dan wanita apatah yang mendedahkan auratnya. Ya, aku dan kau tahu ini salah. Budaya dan seni warisan ini telah ternoda dengan fahaman jahiliyah.

Lalu, salahkan jika ada yang kembali mengaslikannya? Menari dalam kalangan lelaki untuk menyelami warisan yang pernah bertapak di bumi sendiri. Jatuh lembutkah mereka apabila mengerakkan seluruh anggota dengan sedaya upaya menyeragamkan pergerakkan ahli lantas membina tautan semasa sendiri. Fikirkan sendiri, aku menulis apa yang terlintas di akal kepala.
Aku bukan pakar sejarawan dan budaya. Hanya anak kampung yang tidak pernah menggerakkan badan mengikut irama kala kecilnya.

Gemilang yang hilang

Moden itu bagaimana kau rasa?

Maju. Dari teratak kayu bertukar menjadi banglo batu.
Atau dari dua tingkat menjolok ruang langit pertama.

Lalu bagaimana untuk mengukur zaman moden yang berkembang sebermula dari zaman gemilang yang semakin menghilang.

Johor menyimpan sejarah khazanah yang sewajarnya direnung bersama.
Sultan Abu Bakar yang menjalin hubungan dengan Sultan Abdul Hamid Khan di Kostantinople dan mengaplikasi pentadbiran Islam dalam kerajaannya wajar dicontohi dan diteladani bersama.


“..hingga pada akhirnya lantaslah Yang Maha Mulia berjumpa dengan Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Khan di Kostantinopel . Maka diterimalah oleh baginda dengan sebaik-baik terimaan serta diraikan dengan secukup-cukupnya kerana amatlah gemar Yang Maha Mulia Sultan Turki itu melihatkan seorang raja sebelah Timur begitu baik bawaaan dan aturannya pada hal beragama Islam…”


(Mohd Said Sulaiman , Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar)

Baginda turut mengembara ke benua Eropah dalam usaha mendalami ilmu yang boleh diaplikasi dalam pentadbirannya yang bertunjang Islam. Lalu kemajuan terbina dan musuh tiada punya alasan kenapa Johor perlu penasihat seperti negeri-negeri lain yang menjadi mangsa.

Lalu jatuhnya gemilang itu apabila manusia mula termakan dan menyebar fitnah. Akhirnya musuh berjaya menyusup masuk pentadbiran dengan senyum sinis terpalit di muka usai menyaksikan umpanan mereka mengena.

Lalu sebagaimana manusia ditaklif sebagai khalifah, wajarkah disumbat oleh kita sejarah ini di rak lapuk atau hanya membiarkan anak-anak kita nanti memuntahkannya sekadar untuk meraih ' A ' dan akhirnya terkubur tanpa sesiapa yang mengambil pengajarannya darinya.

Mampukah dijulang semula negeri yang pernah mengamalkan sistem khalifah di Turki ini semula.

Menanti gemilang yang hilang kembali dijulang.

2 comments:

Anonymous said...

hidup zapin..hidup zapin..huhu

Naqeb Sulaiman said...

wah..syah dah ade blog. hidup syah! hehe