Saturday, October 24, 2009

Kembara PERSATUAN

Alhamdulillah.

Sudah lebih dua tahun saya di Irbid, Jordan.

31 Ogos 2007 lalu saya tiba sebagai sanfur ( gelaran pelajar baru ), bertatih di dunia asing, dicelah ketinggian pelajar Arab lain, dipanasi terik cahaya musim panas, dibaluti kedinginan musim sejuk yang mendamaikan jiwa.

Hingga saat ini, saya sudah menjejakkan kaki ke tahun tiga Fakulti Perubatan di JUST.
Alhamdulillah.

Tiga tahun juga saya sudah bersama PERMAI.
PERMAI yang saya catatkan kembara ilmu dan pengalaman di dalamnya, yang turut saya lipatkan banyak peristiwa di dalam kotak ingatan dan peti entri dalam blog MRP ini.

Tiga tahun yang menyaksikan perubahan pimpinan dan pertambahan ahli yang memberangsangkan. Seingat saya semasa di tahun satu, jumlah ahli PERMAI hanya lingkungan tiga ratus lebih. Setahun kemudian , sewaktu saya memegang jawatan setiausaha, jumlah bertambah kepada empat ratus lebih.

Dan yang terkini semasa saya membentangkan statistik ahli PERMAI di dalam mesyuarat MPPMJ , jumlah itu sudah berkembang lebih enam ratus orang, separuh dari jumlah mahasiswa di Jordan.

Survival PERMAI



Hari ini diisytiharkan hari MEKAP sePERMAI.

MEKAP. Majlis Kaunseling Pelajar.
Perjalanan berbentuk usrah.

Satu persoalan timbul, mampukah biah usrah itu dibawa ke dalam MEKAP?

Soalan yang bernas dan relevan untuk kita fikirkan bersama, tidak kira naqib atau naqibah, ataupun anak-anak MEKAP semua.

Namun, saya ingin bertanya satu soalan penting untuk kita tinjau jawapannya dengan teliti dan biar akal ini berfungsi?

" Mampukah PERMAI terus teguh berdiri dalam menyatukan mahasiswa Malaysia di Irbid dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar seandainya biah usrah tiada, ataupun tenggelam timbul, hilang arah dan punca? "

Saya berharap MEKAP sesi ini bukan sekadar dibaik pulih untuk memastikan ia ada dalam lipatan taqwim PERMAI, namun sewajarnya ia dapat menghasilkan produk, muslim-muslim yang bersatu hati dalam memahami Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupan.

Sedikit pesanan, buat adik-adik baru dan abang-abang serta kakak, jangan kita datang MEKAP dengan niat untuk menerima, seandainya penyampaian naqib atau naqibah tidak membuatkan kita rasa cukup, kita juga akan kecewa. Oleh itu letakkanlah niat kita datang untuk berKONGSI, saling memBERI, menerima dan menJIWAI rasa.

~ MEKAPkan diri anda sebagaimana anda memekapkan wajah anda ~

~berPERMAI hingga ke syurga~

Monday, October 19, 2009

Persatuan yang melumpuhkan ahli

Saya ragu-ragu untuk menulis tentang tentang isu ini, kerana menulisnya menuntut untuk saya membuktikan sesuatu, menuntut untuk pembukaan minda dan perilaku.

Satu persoalan yang bermain di fikiran saya sekarang,
benarkah berpersatuan itu boleh mengganggu akademik ahli?

Adakah ahli yang aktif berpersatuan, memegang jawatan dan posisi penting yang memerlukan komitmen mingguan, bulanan malah tahunan, lalu gagal dalam peperiksaan, lalu kesimpulannya aktif berpersatuan boleh mengganggu pelajaran?

Benarkah? Dan salahkah persatuan kerana wujudnya situasi sebegini ?

Satu lagi persoalan lain ingin saya timbulkan, bagaimana dengan ahli yang memegang jawatan dan posisi penting yang menuntut kesediaan berkhidmat 24 jam, dan akhirnya cemerlang dalam pelajaran, haruskah dibuat kesimpulan aktif berpersatuan mampu meningkat potensi untuk menggarap warna-warni kejayaan?

Bukankan dua perkara ini bertentangan, lagu apakah status sumbangan persatuan dalam perkembangan akademik ahli yang menggerakkannya, tidak kira dari kelompok yang memimpin hingga kelompok yang terpimpin.

Bagaimana pula isu tentang yang tidak aktif berpersatuan, tetapi merosot kecemerlangan pelajaran, haruskah dijadikan alasan untuk mempertahankan persatuan dari isu yang membelenggunya ? Atau tiada kaitan antara kedua-duanya?

Saya yakin jawapan setiap orang berbeza, berbeza mengikut pengalaman dan berbeza berdasarkan pemahaman.

Namun, di sini saya ingin mengajak kita muhasabah dan mengorak langkah dalam berberapa perkara:

1) Bagi sesiapa yang aktif dan memegang jawatan berpersatuan , mari sama-sama kita langkahi berdasarkan keutamaan. Sama-sama kita buktikan persatuan bukan punca kegagalan, malah boleh menjadi pemangkin untuk melakar jalur kejayaan.

2) Bagi yang semua yang terlibat dalam persatuan, tidak kiri di penjuru mana sekali pun, mari sama-sama berusaha untuk menghidupkan budaya berpersatuan yang berjalinan dengan perkembangan ilmu dan akademik agar tidak wujud alasan persatuan menganggu akademik ahli. Fikir-fikirkan bagaimana mampu direalisasikan.

3) Sama-sama kita cuba seimbangkan tugasan kepada semua ahli, jangan biar kelompok tertentu sahaja yang buat kerja, kelompok lain hanya menikmati rasa. Seimbangkan tugas, susah senang dikongsi bersama.

Itu sahaja yang ingin dikongsi saya, sama-sama muhasabah bersama dan mula mengatur jejak langkah agar tidak menyesal di hari mendatang yang masih jauh nun di hujung sana.

Jujur

Jujur.

Memang menulis ini perlukan latihan konsisten meski sekelumit patah kata.
Saya cuba menulis kembali, tapi gagal menyusun kata hati beberapa kali.
Banyak perkara ingin saya rakamkan dan kongsi dengan kalian keluarga saya di sini.

Masuk tahun ketiga di tambah dengan taklifan selaku Presiden PERMAI menuntut untuk saya menyusun masa sebaik-baiknya.
Banyak perkara yang harus saya korbankan, termasuk masa untuk mencorak kata di halaman ini.
InsyaAllah, saya akan cuba menulis sedaya upaya dengan ruang waktu yang ada.

Banyak perkara ingin saya kongsi, doakan rasa itu datang untuk memudahkan jari jemari menari kembali.

Doakan saya.

Saya doakan kalian.

Doa pengikat hati kita.

- harus berlari di saat ini..

Monday, October 12, 2009

Bitter.tart

Tayangan Video oleh AbuMalik Studio sempena Lebaran Aidilfitri PERMAI.

Hayatilah.

Saturday, October 10, 2009

Perantau Tak Kan Sepi

Friday, October 9, 2009

Senior VS Junior 1

Ada kenangan yang ingin saya ukirkan, buat diri ini tersenyum saat rindu zaman sekolah membalut hati.

Zaman sekolah

Indah dan berwarna.
Ada suka, duka, tawa dan hiba.

Saya berkecimpung dalam soal junior dan senior ini jelas sewaktu masuk ke alam sekolah menengah. Hari pertama masuk ke asrama, ' SENIOR ' sudah mula merajai hidup saya dan rakan-rakan seangkatan yang baru berpisah dari keluarga.

Minggu orientasi bermula dengan penuh warna warni. Tugasan pertama yang diberi kepada kami yang comel-comel ini adalah untuk mengumpul semua tanda tangan senior Form 5 lelaki, biodata perlu lengkap siap dengan makanan kegemaran, hobi dan lain-lain yang menggembirakan hati mereka, memeningkan hati kami. Aduh..

Masa diberi hanya beberapa hari. Malangnya nasib kami, setiap senior akan memberi syarat untuk memberikan tandantangan, buat itu dan ini, menyanyi lagu Jesnita yang popular di saat itu, dan bagi yang badan besar-besar, makanan menjadi umpan buat mereka.

Banyak lagi yang kami lalui sepanjang minggu orientasi, ditinggalkan di tempat sunyi seorang diri ketika dinihari, memakai tanda nama sebesar nombor plat kereta, menjaga barang amanah berupa belon berisi air dan fail untuk dibawa ke sana dan sini. Letih dan tertekan.

Namun, hasil dihujung minggu itu, kami semua hampir mengenali semua senior-senior, bukan sekadar nama, tetapi tabiat jahat mereka. hehe

Senario senior dan junior ini tidak berhenti di sini, dua tahun hidup sebagai junior banyak mengajar saya. Ada suka ada duka. Ada dibalas dengan senyum, ada dibalas dengan jari jemari menampar pipi. Itu realiti.

Jangan silap sangka saya menulis untuk memburukkan senior-senior saya.
Bagi saya, mungkin mereka menganggap itu jalan untuk mengajar adik-adik mereka agar cepat dewasa, agar tidak mudah melatah.

Ada juga senior-senior saya yang tidak bersikap demikian, yang mengutamakan diri untuk menjadi contoh terbaik buat adik-adik di bawah bimbingannya.

Semua itu kini saya lipatkan dalam kenangan yang saya rindukan.
Banyak mengajar saya erti kesabaran dan mengawal marah yang merajai diri.

Dakwah itu berseni, namun jangan tersilap melakarnya, takut-takut menimbul fitnah.

Bersambung...

Wednesday, October 7, 2009

Kembali

Alhamdulillah.

Allah gerakkan hati dan jari jemari ini untuk berpadu tenaga, , menulis sebaris dua kata-kata.
Hampir setengah bulan blog ini menyepi, kuantiti pelawat tiada peningkatan, ahli keluarga tiada penambahan.

Mohon maaf saya pinta, sebulan yang lepas terlalu padat buat saya.
Mengurus sambutan pelajar baru yang melebihi 200 orang telah mengisi hari-hari cuti dan Ramadhan saya.

Alhamdulillah, hari ini saya mampu tersenyum gembira melihat mereka sudah mula melangkah memburu cita-cita.
Sudah boleh berurusan harian di bumi Irbid di samping terus belajar menyesuaikan kehidupan.

Sudah dua minggu saya melangkah tahun ketiga.
Setahun lagi bakal melalui fasa klinikal yang mengujakan. InsyaAllah.

Doa hari ini,

Ya Allah, sempurnakan cintaku pada-Mu,
agar jasadku tiada sia-sia bila terbujur kaku.

Semoga kalian ceria, kuat dan tabah.

Saya akan mula menulis seperti biasa.

Ada roh pengorbanan yang harus dijejak bersama,
dalam lipatan kehidupan dunia yang berfatamorgana.

- Akhirnya berjaya juga menembus Salam Perantauan :)