Tuesday, January 5, 2010

Dewasa yang bebal


Semalam hari pertama Ayuni masuk ke pra-sekolah. Tahun ini usianya 5 tahun, muda 15 tahun dari abangnya.

Emak kata dia bersemangat semasa di rumah, tapi sampai di sekolah pujuk Emak untuk sama-sama balik ke rumah. Akhirnya, Emak tinggalkan juga dia dengan kawan-kawan untuk belajar erti sebuah permulaan di alam sekolah.

Saya ingat lagi zaman tadika saya, cikgu banyak mengajar mengenal benda. Huruf ABC dan Alib Ba Ta. 1,2,3 dan bulat, segi empat dan segi tiga.
Kami diajar melukis alam dan cikgu juga rajin bercerita.
Cikgu Maimun, nama cikgu tadika saya.

Sekarang ini, ibu bapa sudah banyak pilihan untuk menghantar anak-anak ke pusat pendidikan awal yang mana, ada Tadika di bawah KEMAS, pra-sekolah di bawah KPM, PASTI, pusat pendidikan swasta dan lain-lain lagi.

Ada ibu bapa yang memilih atas dasar perbandingan yang mana lebih berkualiti, ada juga yang berdasarkan kemampuan. Namun apa jua alasan dan pilihan, tujuan mereka adalah sama, untuk memastikan anak-anak terdidik untuk jadi insan berguna.

Kalau kita kaji dan tengok teletah kanak-kanak, mereka adalah golongan yang sentiasa mahu tahu dan menganalisis sesuatu. Kalau kanak-kanak yang baru diputuskan susu ibunya dan sudah bermesra menjamah makanan bayi, apa sahaja yang ada di depan mata mahu dirasainya.
Yang sudah laju melangkah dan berlari, semua tempat mahu diterokanya.

Itu cerita kanak-kanak dan proses pembelajarannya.

Dewasa yang bebal

Kadang-kadang, bila seseorang menginjak dewasa, semakin banyak yang dia tahu, semakin tinggi tahap mengaji ilmu, otaknya semakin beku.

Ada yang selesa dengan menerima fakta-fakta dan menghafalnya demi lulus peperiksaan.
Kesannya bila terbentang di hadapannya persoalan dan masalah yang perlu diungkai oleh pemikiran, dia jadi bisu.

Tidak kurang juga jenis manusia yang hidup dalam keadaan selesa, suasana yang baginya sudah cukup untuk dia tahu satu dua perkara, yang lain boleh rujuk sesiapa yang lebih tahu daripadanya. Bila orang kata ini salah sebab si polan kata salah, dia angguk tanpa cuba memikir dan memahami. Dan kemudian, datang pula yang berkata ini betul yang si polan tadi salah, angguk sekali lagi sedang akalnya mati.

Bagi yang belajar satu pengkhususan, cukup baginya untuk tahu apa yang dikatakan perlu untuk melayakkan dia menggengam ijazah yang satu.Sedangkan segulung ijazah tidak akan jadi gulungan hamparan untuk kita berjalan di atas realiti dan cabaran kehidupan.

Masalah yang semakin membukit dan runcing tidak akan mampu diselesaikan dengan ilmu yang kita tadah dalam bilik kuliah dan disalin di buku nota. Akal bukan untuk diisi dengan ilmu semata-mata, tapi perlu digunakan untuk berfikir, menganalisa dan membuat pilihan atas dasar kefahaman dan keyakinan.

Apa nak jadi dengan kita?
Isi buku sangat payah untuk dikunyah dan dihadam ke isi jiwa.
Akal sangat payah untuk ligat berfikir,
lidah dan hati payah melunak zikir.

Dunia kini sedang bergolak dengan masalah,
dunia memerlukan manusia yang guna akalnya,
bukan hanya tahu mengunyah seperti lembu tua.

2 comments:

Anonymous said...

teringat kt cikgu Maimun..
huu..thanx 4 da memories in da childhood..

Naqeb Sulaiman said...

kawan sekelas tadika rupanya.
15 tahun dah berlalu, tapi zaman tadika tetap best untuk dikenang kan.