Friday, June 25, 2010

Dan bila mereka mengajar tanpa bicara...

Bicara soal inspirasi,
emak dan abah adalah insan yang banyak memberikan contoh.

Emak baru-baru telah melakukan pengorbanan yang luar biasa,
meskipun sudah berusia 40-an, dia mula menjejakkan kaki
dalam dunia perniagaan 3 bulan lepas.
Memasuki HPA sebagai ahli biasa, dalam tempoh 3 bulan,
emak malam esok dianugerahkan pangkat pengarah jati dalam satu majlis khas di hotel Gunung Ledang,
anak buahnya kini mencecah ratusan,
kalau diawal waktunya, emak pergi ke dari rumah ke rumah mempromosi,
kini bebanan itu berkurang sedikit apabila emak bergelar pembekal dan penyelia kepada anak-anak
buahnya, dan menguruskan kursus dan juga ceramah promosi kepada ahlinya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang tak terjangka.

Alhamdulillah, emak diberikan seorang suami, abah yang sangat menyokong dan mendokong. Kalau ada masa, abah akan menemankan emak ke kursus, rumah-rumah anak buahnya, dan abah juga menjadi pengganti emak menjaga tiga orang permata di rumah sewaktu kesibukan melanda. Dia menjadi seorang guru di sekolah, dan juga guru di rumah, mengajar anak-anaknya erti sebuah pengorbanan dan kesabaran.

Saya bertanya kepada emak, apa matlamatnya menceburkan diri dalam dunia yang tidak pernah terlintas difikirannya sebelum ini,
" Memperjuangkan produk muslim, fardu kifayah . " ujar emak, menghadam misi yang disemat dalam kursus barangkali.
Dan saya tahu emak juga berusaha menaik taraf ekonomi keluarga kami.

Emak dan abah, mengajar anak-anak erti kesabaran, dan nilai sebuah kehidupan .
Dulu di saat abah terlantar di hospital berbulan, emaklah peneman siang dan malam.
Kini di saat emak sibuk dengan urusan, abahlah yang menjadi penguat untuk emak meneruskan perjuangan.

Dan saya di Jordan , menghirup udara ketabahan dan keikhlasan mereka dalam mengharungi kehidupan dalam usaha menjadikan kami adik-adik beradik sebagai insan berguna.

Moga emak terus berjaya,
Moga abah tenang bersama keluarga tercinta,
Moga adik beradikku menghargai titik penuh dan linangan air mata mereka.
Moga aku menjadi insan yang tidak lupa pada mereka meski jauh terdampar di sini.

" Ya Allah, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapa, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa kecil ."


Ya Allah, temukan kami di kembali Ramadhan ini andai itu yang terbaik,
dan temukanlah kami di syurga-Mu.

~ rindu yang mencengkam jiwa, hanya doa yang terbang melangit pulang, jasad dan jiwa di sini harus berjuang ~

No comments: