Saturday, July 24, 2010

Erti hidup pada berkongsi


Bicara soal hidup,
kadangkala kita terlalu runsingkan apa yang akan jadi pada diri,
" luluskah aku exam akhir nanti, sempat tak aku pusing-pusing satu dunia sebelum tamat kuliah, bergaji besarkah aku nanti, cantik atau tidak teman sehati sejiwa."

Manusia acap kali meletakkan satu sasaran untuk diri sendiri, mungkin kerana sistem nilai pertimbangan erti sebuah kejayaan adalah apabila apa yang dihajati berjaya dimiliki, meskipun perlu menewaskan orang lain! Kalau sedari kecil sudah diajar untuk mendapatkan sesuatu, harus ada seseorang yang kehilangan sesuatu, maka hingga menjengah alam dewasa segala yang dicari dan dikumpul adalah untuk tujuan peribadi, tiada istilah berkongsi.

Kehidupan kita adalah sekali, tiada dua atau tiga, melainkan satu dimensi kehidupan baru yang dijanjikan Allah di alam sana.
Jadi, mengapa kehidupan yang satu ini tidak dikongsi rasa nikmat menjalani kehidupan yang baik dengan insan-insan di sekeliling kita.

Lihat ibu yang melahirkan kita, yang berkongsi aliran darah dan degupan nyawa sewaktu kita dikendong sembilan purnama, mengorbankan sebesar juzuk kehidupan untuk melihat si anak comel itu yang asalnya ibarat helaian kain putih, dicorakkannya dengan adunan warna kasih dan cinta seorang ibu yang tulus jiwanya.

Lihat ayah yang tiada istilah penat lelahnya, keluar di awal hari, pulang lewat malam, demi mencari suapan nasi buat anak-anak amanah Allah. Cuba kita fikir, bilangan anak-anak bertambah, gaji ayah pula kekal sama, mungkin barangkali ayah mengurangkan kos keperluan dan kehendak peribadinya. Dia tidak kisah berbaju melayu yang sama selama 3, 4 tahun selagi mana masih boleh membalut tubuhnya, asalkan anak-anak gembira dengan baju raya baru di syawal pertama.


Kita intai pula kasih Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.
Baginda dalam setiap helaan nafas dan hidupnya adalah untuk menyebar luaskan agama Allah demi melihat ummat bersatu erat, di bawah payungan agama Allah yang memberi rahmat.
Biar dibaling dengan hujanan batu hingga darah mengalir memenuhi kasutnya, tidak terlintas untuk menerima pelawaan malaikat untuk menghempapkan bukit-bukit ke atas ummat menderhaka, kerana baginda berharap akan ada pewaris mereka yang kembali menyarung fitrah menghambakan diri kepada Allah.
Hingga saat nyawa dijemput, kalimah ' Ummati..Ummati.. Ummati... ' masih bergema, tanda cinta seorang Rasul yang tiada tandingannya.

Rasulullah, yang dijanjikan syurga dan diampunkan dosa, sepenuh juzuk kehidupan baginda adalah untuk berkongsi janji dan rahmat Allah kepada seluruh manusia.

Kita??
yang berlumur dan berlumpur dosa, yang tidak tahu apa kesudahan kehidupan,
kenapa harus kita rasa memiliki kehidupan dan menjadikan ia sebagai aset peribadi untuk keuntungan diri, tanpa mengorbankan juzuk kehidupan demi menyebar luaskan kebaikan dan memberi manfaat kepada makhluk sekalian, yang sebenarnya tidak lain tidak bukan untuk kepentingan diri kita juga,bukan di dunia sini, tetapi di akhirat sana.

Justeru, ayuh hancurkan rasa memiliki, kerana kita dimiliki,
letakkan hatimu untuk hidup berkongsi,
memberi manfaat buat jiwa-jiwa yang kita cintai.
kerana memberi itu tidak mengurangkan, malah menambah apa yang dimiliki.

2 comments:

dan said...

erti hidup pada memberi, nak letak mana qeb? tak laku la slogan ustaz hasrizal kalau macam ni..hehe :P

teruskan menulis..dan berkongsi dengan kami tentang roh pengorbanan :)

Naqeb Sulaiman said...

iAllah,
dan moga kau juga senantiasa meniup helaian-helaian rindu
hingga hinggap di lubuk kalbu. :)