Monday, December 13, 2010

Hijrah : Kembali KepadaFitrah


Salam Maal Hijrah buat semua warga MPPMJ,

Mengimbau sejarah lampau, bagaimana bangsa Arab yang hilang nilai tamadun manusia, hidup berpaksikan warisan jahiliyah, berneracakan nafsu, bertuhankan taghut. Kaum wanita ditindas martabat, anak-anak perempuan dibakar hidup-hidup, sistem kabilah menyubur semangat assabiyah, riba’ dan penipuan jadi asas dalam perniagaan dan segala-galanya menjadi darah daging masyarakat Arab Jahiliyah. Dengan rahmat yang Maha Esa, diturunkan Nabi Muhammad S.A.W untuk membawa manusia kepada fitrah, membawa risalah dakwah, mengajak kembali kepada Allah.

Hijrah Rasulullah ke kota Madinah membuka dimensi baru dalam sejarah Islam, pemerintahan Islam bertapak dan membuktikan Islam membawa kerahmatan dan keadilan. Islam terus berkembang pesat, meskipun Rasulullah telah kembali wafat. Kegemilangan ketamadunan Islam yang mementingkan keseimbangan pembangunan lahiriah dan rohaniah semakin memuncak hinggakan Islam menguasi dua pertiga dunia. . Al-Quran dan As-sunah dijadikan panduan, hukum Allah ditegakkan, jahiliyah ditumbangkan, lantas memakna prinsip inqilabiyah, iaitu Islam tertegak atas runtuhan jahiliyah. Darjat ulama’ dan ilmu diangkat seperti hinggakan Kota Cordova dan Kota Andalus diiktiraf sebagai pusat perkembangan ilmu sejagat pada masa khilfah Islam masih tertegak . Kelahiran tokoh-tokoh ilmuan Islam dalam pelbagai bidang menjadi teras kebangkitan ketamadunan Islam .

Meninjau di Tanah Melayu pula, kepesatan kota yang dirintis Parameswara, kota Melaka mampu menjadi empayar yang menguasai perdagangan, kemajuan pemerintahan dan struktur sosial, segalanya berkembang pesat setelah dakwah Islam sampai ke bumi itu. Masjid dibina bukan sekadar tempat menunaikan solat, malahan menjadi pusat keilmuan dan penyatuan masyarakat. Segala-galanya membuktikan, apabila Islam dijadikan cara hidup, segala-gala aspek berjaya dihidupkan.

Itu semua adalah sirah dan sejarah yang berlalu, yang terakam dalam lembaran Al-Quran dan kitab sejarah yang diwariskan kepada kita. Persoalannya, adakah ianya terakam hanya bertujuan untuk menunjukan apa yang telah berlaku, atau sebenarnya ianya satu pedoman dan bekalan untuk kita melakar perjalanan hari esok, sebuah masa hadapan buat kehidupan yang menuntut penelitian dalam setiap gerak dan langkah.

Firman Allah yang bermaksud :

“ Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah”.

( Surah Ghafir: 21 )


Meninjau realiti hari ini, segala-galanya yang berbentuk material hampir kita kecapi. Pembinaan bangunan pencakar langit bukanlah suatu yang rumit, teknologi maya semakin meluaskan pencapaiannya dari tengah kota hingga ke pinggir desa, sistem pengangkutan semakin baru dan maju, segala-galanya serba canggih dan mudah. Persoalannya, adakah semua ini bermakna sekiranya semakin ramai anak luar nikah lahir ke dunia, seks bebas menjadi budaya, hidup dipisahkan dari agama,jenayah semakin berleluasa, korupsi semakin bermaharajalela ? Perlukah lebih banyak Sekolah Harapan ditubuhkan bagi membela nasib ibu-ibu muda? Atau disediakan hub hiburan agar ianya lebih terkawal dari yang sebelumnya?

Seperti penyakit, kita tidak boleh hanya merawat simptom-simptomnya, kita harus mengenal punca. Sistem pandang nilai kehidupan harus diperbetulkan dengan memahamkan keperluan kembali kepada agama. Tujuan penciptaan, dari mana kita datang dan ke mana kita akan pulang, harus menjadi landasan dalam membawa kembali masyarakat kepada satu sistem nilai kehidupan yang lebih tersusun dan terancang, yang telah diberikan panduan oleh Maha Pencipta kehidupan ini.

Melakukan transformasi, keutamaanya adalah mengembalikan manusia kepada fitrah manusiawi. Fitrah mengaku Allah itu Tuhan yang Esa. Kembali kepada merujuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali meletakan ulama’ ditempat yang sepatutnya. Kembali menyatukan Islam dalam kehidupan, hinggakan setiap nafas yang dihela, adalah atas keinginan mencari redha Allah.

Ayuh, lakukan transformasi, hijrahkan diri kembali kepada Islam yang sebenar-benarnya!

“ MENJANA TRANSFORMASI MAHASISWA ISLAM GLOBAL “.

Yang benar ;

…………………………………………………………

(MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Timbalan Presiden 1,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,

Sesi 2010/2011.

sumber : web rasmi MPPMJ


~ minggu yang padat, mengurus pasukan debat, pidato dan sajak Irbid untuk pertandingan Apresiasi Ilmu 1 Malaysia jumaat ni

~ cepat masa berlalu, 1/2 daripada adik beradik saya sudah tamat alam sekolah, 3 lagi masih berhingusan, moga kalian membesar dengan baik-baik sahaja :)

~ bila doctor explain satu kes pasal patient yang sanggup memastikan dirinya terus sakit untuk terus tinggal di hospital seorang diri , dan tidak mahu didekati oleh family sendiri, tetiba terasa simpati, apalah agaknya masalah sampai jadi begini.

No comments: