Sunday, May 15, 2011

Cikgu Leman

Dia guruku,
yang mengajar dengan tingkah laku,
biar bicara tidak seribu,
ku bisa belajar erti tahu,
mahu dan mengejar mampu,
dari insan bergelar guru.

16 Mei.

Hari Guru yang akan disambut dengan meriah di seluruh Malaysia.
Berkotak-kotak hadiah dan ratusan ucapan akan diterima mereka.
Apa yang pasti, kegembiraan insan yang kau gelar " Cikgu " itu adalah saat kau sudah jadi manusia berguna. Yang memegang nama manusia dalam segenap ruang yang kau jalan dan dalam nafas yang kau hela.


Guru Saya

Saya melihat kegigihan seorang guru dari kaca mata pandangan saya selaku anak kepada seorang guru yang banyak mengharung suka duka.

Dia ayah saya yang digelar Cikgu Leman oleh anak muridnya, penduduk kampung malahan nenek saya ( ibu kepada emak ) serta makcik-makcik saya.


Kalau di masa kecil dahulu, waktu maghrib adalah waktu yang paling saya ternanti-nanti menunggu ayah saya pulang ke rumah. Satu jam setengah perjalanan dari sekolah yang terletak di Labis ke rumah saya di Kg. Sengkang, Bukit Gambir , itulah yang ditempuhi ayah saya setiap hari. Melalui jalan estet gelap yang tidak berpenghuni, kerap kali kebocoran tayar dan bermandi hujan,pulang hingga lewat malam, mungkin inilah tarbiyah yang menjadikan ayah saya seorang yang kuat dan cekal hingga saat dia diuji kini.

Saya ingat lagi ayah saya pernah bercerita, dia dahulu mendapat tawaran menjadi pegawai Felda, namun setelah berbincang dengan atuk saya, bidang perguruan menjadi medan kerjayanya sekaligus punca utama pendapatan keluarga kami yang sederhana. Alhamdulillah.

Kini, ayah saya tidak perlu lagi menunggang motosikal berkilometer jauhnya. Kini dia mengajar di S.K. Sengkang, tempat saya dan kakak serta adik-adik yang lain menimba sekelumit ilmu demi menjadi manusia. Hanya lebih kurang dua kilometer dari rumah kami.
Alhamdulillah, Cikgu Leman itu sudah mampu memandu membawa dua orang putera dan seorang puteri kecil bersama ke sekolah.


Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk bergelar guru.
Saya pernah menjadi pelakon hebat sewaktu ditemuduga kursus perguruan luar negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik ( macam Nik Nur Madihah jugalah ;)

Pelbagai soalan mengancam dan membunuh diajukan, dan dapat saya jawab dengan tenang dan meyakinkan. Akhirnya, tuan penemuduga mengeluh kepada saya " Awak ni memang hebat ", mungkin memuji, boleh jadi memerli . Saya tersenyum bersalah. Saat saya dihubungi oleh pihak mereka kerana diterima, saya tolak mentah-mentah kerana sudah mendapat tawaran Timur Tengah. Malunya saya kerana tidak berjiwa seorang pendidik.

Hari ini bukanlah satu-satunya hari untuk dikumpulkan segala memori dan dikenang segala jasa insan-insan yang memegang tampuk panggilan Cikgu, Ustaz, Murabbi, Mudir dan sebagainya.
Hari ini sekadar simbolik dan pengingat, apa yang penting kita sedar akan tanggungjawab kita dalam membawa dan menyebar luaskan ilmu yang telah ditanam dalam diri kita dalam setiap gerak langkah kita di bumi Allah.

Kata-kata Imam Malik: al-'lmu yu'ta ilaihi wa la ya'ti yang bermaksud ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi.

Carilah kita seluas mana ilmu, muliakanlah guru kita , insan penyampai ilmu.

Selamat Hari Guru buat kau yang mendidik aku.

~ selamat hari guru buat semua guru saya sedari kecil hingga ke saat ini

2 comments:

Anonymous said...

seronok bce entry ''cikgu leman''.
may Allah bless Cikgu Leman n family~

Unknown said...

SELAMAT HARI GURU BAPAKU...
abh... dikau la segalanya bagi kami...
tiada yg lebih bermakna dari melihat kau tersenyum bangga dengan ank2mu..
Abh..kami sentiasa mendoakn AGAR KESIHATANMU sihat senantiasa..