Friday, July 8, 2011

Laut Dalam


Berenang.

Satu perkara yang saya pernah tanamkan dalam kepala sejak di buaian hingga ke menara gading ," memang aku tak boleh berenang kut ." T.T

Zaman kanak-kanak dulu memang selalu berkubang, tapi semuanya kat tempat cetek-cetek.
Pernah sekali main di sungai yang agak dalam, berpaut pada batang pisang, tiba-tiba boleh terlepas batang pisang. Apalagi, saya tenggelam hilang punca, nasib baik ada kawan yang menarik saya.

Alhamdulillah, baru-baru dapat peluang mencuba benda yang satu ini. Diajar basic oleh seorang senior kurang dari sejam pada suatu hari, dan setelah 7 hari bermesra dengan air tenang di kolam universiti, berenang itu jadi sebati :) ( macam dah power je.. haha ). Bolehlah sikit-sikit bermain di tempat dalam, menghilangkan fobia yang menghantui sedari kecil.

Yang nak dihighlightkan kat sini bukan 'saya dah pandai berenang ', apatah lagi nak promote diri :) Tapi nak ajak kita sama-sama berfikir sejenak soal membuka ruang dan meraih peluang buat diri.

Banyak perkara yang dalam dunia ini boleh kita pelajari. Tidak kiralah sekecil-kecil perkara yang tak terpandang sebelah mata, hinggalah sebesar perkara yang bisa menggoncang dunia.

Cumanya ada beberapa perkara perlu kita intai-intai seketika.
- rasa malu, diganti rasa mahu
- alasan tak tahu, diganti usaha menambah ilmu

Kita sering mencari alasan, andai diminta membuat sesuatu yang kita tidak tahu, meskipun ia bersifat PERLU. Lebih selesa meletakan diri di zon selesa, agar menjadi orang yang biasa-biasa sahaja.

Ya, memang tak mengapa jadi orang biasa, namun biarlah sumbangan kita luar biasa, dari aspek kuantiti dan yang terutamanya bila bicara kualiti.

Baru-baru ini selesai menghadam buku Kuasa KePemimpinan Al-Fateh karangan Muhammad Syaari Abdul Rahman. Sangat kagum dan teruja dengan usaha dan kemampuan Sultan Muhammad Al-Fateh yang menguasai 7 bahasa dunia. Bahasa Turki, Arab, Parsi, Latin. Greek, Serbia, Hebrew menjadi senjata mengaut ilmu dan meraih kepercayaan kawan mahupun lawan.
Bayangkan, seawal usia semuda 21 tahun, pelbagai ilmu dan kemahiran dikuasi, hingga melayakan dirinya merealiti dan membumikan hadis Nabi Muhammad akan pembukaan Konstatinople oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera.

Kita pula bagaimana?
Ya, mungkin dan sememangnya kita jauh dari pencapai Sultan Al-Fateh.
Usah bicara soal tahajud yang tidak pernah ditinggalkan sejak aqil baligh, solat yang fardu itu kadang kala dicuaikan oleh kita.

Sekurang-kurang kita harus ada sesuatu yang disimpan di dalam hati, yang dimiliki dan dirasai segenap jiwa. Iaitu sebuah cita-cita dan target yang ingin dicapai dalam kehidupan.

Ya, memang banyak halangan dan cabaran akan ditempuh sepanjang lorong yang kita pilih.
Cumanya halangan dan tembok terbesar itu adalah DIRI KITA sendiri.
Yang selalu memilih untuk tidak berani, yang asyik mahu berpilih untuk duduk senang, dari mengerah sedikit kudrat biarpun sedikit payah mendatang.

Catatan ini saya tulis untuk diri sendiri,
sekadar apresiasi buat diri yang berjaya memecahkan sekelumit ketakutan dan ketidak mampuan akan sebuah cabaran, iaitu tercampak di air dalam.

Hakikatnya, kita akan selalu tercampak dalam kehidupan yang lebih dalam, penuh dengan liku dugaan, pelbagai serangan yang nampak di mata kasar, mahupun bisikan-bisikan liar.
Semua itu memerlukan jiwa yang cuba untuk membesar, seiring peningkatan usia yang dikurnia yang Maha Esa.

" Tak kan menghirum bau mewangi, andai tak dinyalakan setanggi "


~ akademi sudah bermula, boleh menjadi medan buat saya belajar sama
~ senior-senior sudah mula berangkat pulang. bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah, bertemu kita di Malaysia !! :)
~ 2 tahun lagi.. iAllah. ku kejar cita-cita, demi Allah dan redha ibu bapa.
~ BERSIH 2.0 : ia bukan sekadar berhimpun di kota raya, ia adalah sebuah harapan jutaan rakyat Malaysia



No comments: