Sunday, December 25, 2011

Andai Cita-Cita Bukan Milik Kita


" Kita jangan kejar cita-cita, kejar makna. Kerana cita-cita adalah pandangan manusia, makna pandangan Allah. "

Kalam Profesor Dr. Muhaya, seorang pakar mata yang menyentuh akal, jiwa dan rasa.

Bicara soal cita-cita, ramai orang menyimpannya sejak di bangku sekolah. Ada yang konsisten memegang cita-citanya, hingga menginjak masuk ke alam mahasiswa.
Dari kecil ingin menjadi doktor, akhirnya setelah berusaha dan diizinkan Allah, kini bergelar pelajar perubatan di luar negara.

Ada juga yang kecilnya menyimpan cita-cita menjadi angkasawan terbang ke bulan, namun semakin dewasa cita-citanya berubah menjadi polis menjaga keamanan.

Cita-cita, ia tidak sekadar disimpan di dalam dada, ia soal kerjaya. Siapa kita akan datang,di mana kita akan menyumbang dan apa punca rezeki buat kita dan keluarga tercinta.


SEGULUNG IJAZAH, SEMAKNA CITA-CITA


Berbicara tentang zaman mahasiswa, rata-ratanya sudah nampak di mata kita mahu menjadi apa, terutamanya bagi sesiapa yang mengambil jurusan yang sememangnya mempunyai bidang yang khusus seperti perubatan, kerujuteraan, polis, tentera, guru dan sebagainya.

Begitu juga yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, Ustaz dan Ustazah, gelaran yang diterima seawal menjejakan kaki ke tahun pertama.

Mungkin ada mahasiswa yang rasa sudah selesa, seolah-olah kerjaya sudah terjamin apabila sudah berjaya menamatkan kuliah nati.

Kerja sudah dalam tangan katakan!

Namun kita harus membuka mata, hati dan rasa, bahawa KEHIDUPAN TETAP KEHIDUPAN, yang tidak menjamin apa-apa di masa hadapan.

Apa yang menjamin kita dengan kelulusan yang sedia ada, akan berjaya beroleh kerja yang seperti diimpi dan di cita-cita?

Bayangkan andai seorang pelajar perubatan yang bercita-cita menggunung tinggi ingin menjadi pakar bedah suatu hari nanti, namun dalam kembara perjalannya ditakdirkan kemalangan dan hilang sebelah tangannya.

Bayangkan pula andai seorang yang belajar agama luar negara terpaksa pulang ke Malaysia sebelum sempat menggengam segulung ijazah kerana masalah kesihatan ataupun kekangan kewangan.

Adakah ia memberi makna bahawa mereka sudah terkubur cita-citanya?

Contoh yang diberi bukan untuk membuatkan kita bersifat pesimis, menakutkan diri dengan bayang gelap yang tidak pasti.

Tetapi ia adalah sekadar peringatan agar kita tidak overconfident dengan jalan selesa yang sedang dilalui pada masa kini.

Menjalani hari-hari seorang mahasiswa hanya untuk melayakan kita menggenggam segulung ijazah, kita akan lalai dan leka menyedari bahawa zaman mahasiswa ini adalah zaman untuk memberikan makna pada perjalanan kembara ilmu yang dilalui, buat bekal hari mendatang yang belum pasti.


MEMBERI MAKNA

Perjalanan menuntut ilmu adalah satu proses untuk memberikan makna pada kehidupan manusia yang meniti di atas jalannya.

Cita-cita berbentuk KERJAYA, ia akan terikat pada kerjaya tertentu semata-mata.
Kalau doktor itu yang dicita-citakan , andai tidak kesampaian, maka dia akan merasa kegagalan.

Cita-cita mengandungi MAKNA, apa sahaja kerjaya akan menyampaikan manusia kepada makna cita-citanya. Dia akan berusaha sebaik mungkin dalam untuk mendapatkan kerjaya yang dihajati, andai tiada rezeki, bukan bermakna cita-citanya terkubur begitu sahaja, tetapi ruang untuk meneruskan cita-cita masih ada, kerana cita-citanya tidak terikat dengan satu kerjaya semata-mata.

Kembara mencari makna itu sangat luas cakupannya.
Contohnya, kembara 6 tahun pelajar perubatan sewajarnya menjadikan lautan luas untuk dijaring dan dipukat sebanyak makna kehidupan di dalamnya.

Soal rasa empati kepada pesakit, adalah proses memahami makna kemanusiaan.
Bertemu dengan kelahiran, adalah proses memahami erti kehidupan.
Menghadapi saat kematian, adalah proses meyakini akan erti kehidupan selepas kematian.

Bagi yang mempunyai masalah kewangan, itulah pengajaran akan sebuah ketabahan dan kesungguhan dalam perjuangan.
Bagi yang diuji dengan masalah, inilah masa untuk belajar memahami makna keberanian dan kekuatan dalaman.

Makna-makna inilah yang akan jadi bekalan apabila melangkah ke alam kerjaya, walau di lapangan apa sekalipun kita bekerja.

KISAH IMAM SYAFIE RAHIMAHULLAH

Ramai yang mengenali dan mengagumi ketokohan ilmu Imam Syafie.
Di sebalik kebijaksaannya, latar belakang perjalanan hidupnya penuh dengan suka dan duka, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang untuk ditulis di atasnya. Beliau kadang-kala terpaksa ke tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya. Beliau sanggup kembara jauh berlapar dahaga demi mencari ilmu penerang jiwa.

Itulah kisah seorang tokoh ulama yang mewariskan ilmunya kepada kita.

Lalu, kenapa harus kita berselimut lena.
Menyulamkan zaman mahasiswa kita dengan penuh senang lenang, seolah-olah jalan yang terbentang di hadapan sana menjanjikan apa yang kita impi dan bayangkan.

Sedarlah, zaman belajar inilah peluang untuk kita menimba segala macam ilmu di dada, baik di dewan kuliah, begitu jua di medan ummah.

Ayuh letakan makna dalam setiap langkah yang ditapaki,
besarkan cita-cita,
biar terbang ke langit angkasa,
dan berpijak di bumi yang nyata!









Friday, December 23, 2011

Gugusan Rasa Buat Hawa


Sukar benar menitip kalam rasa buat kaum hawa. Insan yang tercipta untuk Adam, menemani di syurga, mendampingi di dunia , saling melengkapi hidup manusia.
Mungkin kerana saya adalah seorang lelaki, yang hanya bisa menulis cebisan teori,
sesungguhnya kaum hawa itu lebih mengerti.

Mereka makhluk istimewa. Biar air mata sering dikaitkan dengan naluri mereka, namun hakikatnya air mata itu yang menguatkan jiwa, menebar jalur warna dalam setiap bucu peranan yang digalas mereka dari seorang hamba-Nya hinggalah hubungan sesama manusia.

Kita harus yakin tidak ada satu pun agama di dunia , kecuali ad-din Islam, yang memuliakan wanita, mengasihinya, mengangkat darjatnya, memberikan hak kepada wanita dan tidak merendahkan-rendah sifat fitrah mereka.

Islam memuliakan mereka sebagai hamba Allah tanpa banding beza,
Islam memuliakan mereka sebagai isteri yang mendampingi perjuangan suami,
Islam memuliakan mereka sebagai ibu yang mengandungkan zuriat sembilan purnama,
Islam memuliakan mereka sebagai pasangan Adam di akhirat dan dunia.

Keadilan Islam

Dalam satu peristiwa, Asma' binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah telah mengetuai kaum wanita bagi menyuarakan pengaduan mengenai hak mereka kepada Rasulullah.

Dengan penuh sopan, Asma mengadu tentang kelebihan kaum lelaki yang boleh melakukan solat jumaat, solat jemaah di masjid, mengerjakan haji berkali-kali dan yang utama boleh keluar berjihad ke jalan Allah, berbanding dengan kaum wanita terbatas dalam gerak-geri , sentiasa di rumah dan menjaga harta benda , menjahit pakaian dan menjaga zuriat tatkala suami mereka keluar berjihad. Dia bertanyakan bagaimana wanita boleh berkongsi pahala dengan kaum Adam.

Baginda kagum mendengar bicara wanita itu malah sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah turut menganggumi kepandaiannya membawakan masalah agama.

Rasulullah berkata kepadanya, " Ketahuilah wahai wanita dan sampaikanlah juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredhaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya."

Begitulah kemulian Islam yang mengangkat darjat kaum wanita.

Islam tidak pernah menolak pandangan wanita. Peranan wanita dalam memberikan pandangan tidak pernah dinafikan. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika khalifah yang terkenal dengan ketegasan itu sedang berpidato di atas mimbar.
Umar tidak menolak sanggahan itu malah mengakui kebenaran apa yang disuarakan wanita itu sambil berkata, " Semua orang ( bisa ) lebih mengerti daripada Umar. "

Malu VS Maju

Malu itu perhiasan wanita.
Mungkin atas sebab itu, jarang sungguh mendengar perigi mencari timba, meskipun tiada salahnya.

Kalau dahulu wanita sering kali dikaitkan dengan dapur rumah.
Kini pintu pengarah pejabat menara bertingkat-tingkat tertera nama wanita.

Membuktikan kaum hawa bukan sekadar boleh menggoncang buaian semata-mata, namun juga bisa menggoncang dunia.

Namun di sebalik kemajuan prestasi kaum hawa yang semakin hari semakin dikagumi, ada satu kerisauan dan kebimbangan yang perlu diperhati, diperhalusi dan diteliti.

Saya tidak risaukan kaum hawa yang beprestasi cemerlang bersulamkan akhlak solehah yang menjadi benteng dari sebagai fitnah.

Apa yang dirisaukan trend semasa yang menjadikan kaum hawa sebagai mangsa eksploitasi semata-semata.
Filem yang jalan cerita entah apa-apa, boleh laris dengan bermodalkan wajah artis wanita jelita.
Promosi syampu rambut mahupun badan, perlu ditayangkan dan dipamerkan keseksian perempuan.
Hinggakan iklan sabun cuci tangan, juga perempuan dijadikan umpan ( lelaki tidak basuh pinggan barangkali ).
Bidang fesyen dan peragaan turut tidak ketinggalan, hinggakan atas nama fesyen 'muslimah', aurat perempuan masih terdedah!

Adakah semurah itu harga malu seorang wanita? Dikesampingkan untuk melariskan produk-produk di pasaran seluruh dunia?

Mungkin trend sebegini sukar diubah, memerlukan usaha pendidikan masyarakat akan letak duduknya martabat wanita, dan juga kesedaran pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat. Namun usaha itu perlu digerakan dengan sekudrat upaya, segenap tenaga.

Kaum hawa yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul-Nya,saya yakin mereka berusaha sungguh dalam memajukan prestasi peranan seorang muslimah,samaada di rumah mahupun di medan ummah, dalam pada masa yang sama mengekalkan perasaan malu sebagai seorang wanita.

Rasulullah saw bersabda,” Sesungguhnya di antara ajaran yang manusia dapatkan dari perkataan kenabian yang pertama adalah : Apabila engkau tidak malu, maka lakukanlah apa saja yang kau mau” (hadits riwayat Al Bukhari)

Wanita solehah, malunya pada Allah, sama ada di alam nyata, ataupun ketika berlayar di medan maya.

Saya doakan kaum wanita yang membaca artikel ini, anda terpelihara dari fitnah yang mengundang musibah, dan anda dikurnia pandangan wanita solehah di mata Allah.

Buat kaum Adam yang membaca, sama-sama memperbaiki diri, mempertingkat ilmu di dada, membesarkan cita-cita, kerana bagi sang Adam itu ada empat wanita yang tergalas tanggungjawab di bahunya, isteri dicintai, anak perempuan dikasihi, ibu dan saudara perempuan yang disayangi.

Adam dan Hawa,
berganding bahu menuju ke syurga.

Thursday, December 22, 2011

Suara Emas

" Terimalah, Warkah Cinta ".

Tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan yang berhias indah.
Tubuh kecil di atas pentas itu mula mengatur langkah mengikut irama.
Semua mata-mata penonton di bawah terpukau dengan kelunakan suaranya,
meskipun usia belum mencecah satu abad, kemampuan vokalnya setanding dengan penyanyi-penyanyi terkenal.
Lima minit berlalu, penonton semua terpaku dan terpukau dengan persembahan mantap yang sememangnya dinantikan setiap minggu.

" Baiklah, sekarang dipersilakan peserta seterusnya, adik Nabil ! "
Kanak-kanak berusia sepuluh tahun melangkah naik ke pentas. Baju putih berkot hitam menambahkan lagi ketampanannya. Ada kelibat kanak-kanak perempuan yang saling berbisik sambil menjeling ke arahnya.

" Dengarlah, Lagu Rindu. "

Saat Nabil memulakan nyanyian, hadiri mula tidak kena. Ada yang menutup telinga, ada yang menjerit " Sumbang!!! ".

" Hei, baliklah! Awak tak layak menyanyi di sini. "

" Ni menyanyi ke melalak? "

Nabil mula serba salah, bercampur malu dan kecewa. Sepantas kilat, dia turun dari pentas dan menghilangkan diri dari dewan yang berterusan gamat dengan sorakan kanak-kanak seusianya yang setia pada program mingguan yang diadakan khas buat mereka.
Di sudut belakang dewan, ibu bapa menyokong dengan penuh harapan.

Mereka adalah kanak-kanak negara Malanyi . Di negara ini, kebolehan menyanyi adalah kayu ukur utama dalam pencapaian anak-anak seusia mereka. Hampir kesemua anak-anak negara ini sudah dilatih untuk menguasai teknik kawalan nafas, pitching, dan kawalan gemuruh serta lenggang lenggok tubuh agar senada dengan rentak irama.

Ibu bapa mereka sanggup mengikat perut dan memerah keringat demi memastikan anak-anak mereka mendapat ijazah Suara Emas yang akan dijadikan bekalan dalam melangkah ke alam dewasa.

* * * * * *

Langit sudah mula beransur gelap apabila matahari beransur pergi, sebentar nanti bulan pula akan mencerah menebar cahaya. Nabil melangkah tidak bermaya menuju ke rumah. Air mata dan hingus masih berjujuran di wajahnya. Langkahan kaki itu terhenti setelah telinganya menangkap suara perbualan dua orang di dalam rumah itu.

" Saya pun tak tahu nak buat macam mana lagi, saya dah laburkan banyak wang untuk melihat dia berjaya memukau sesiapa sahaja yang mendengar nyanyiannya. Berpuluh ribu, habis cincin dan rantai emas tergadai . " suara keluhan ibu menusuk hatinya.

" Ya la, saya pun pelik dengan Nabil tu. Anak saya asyik bercerita tentang suara sumbang Nabil bila menyanyi di pentas mingguan."

" Dah nasib saya. Tapi, kakak dan adiknya tak mengalami masalah macam Nabil. "

" Ermm.. Saya ada satu cadangan, tapi serba salah pula nak beritahu. "

" Apa dia? "

" Saya dapat tahu dari kawan saya di tanah seberang Libungan , dalam satu belantara ada sebuah perkampungan misteri, di dalamnya ada sebuah institusi nyanyian yang tersohor di tanah seberang. Suara yang sumbang boleh bertukar menajdi buluh perindu, yang bisu boleh terus menjadi merdu. "

Nabil menelan air liur mendengar cerita itu.

" Tapi..."

" Tapi apa? "

" Hanya seorang sahaja yang selamat keluar dari perkampungan itu. Dia menjadi terkenal hingga meraih pelbagai anugerah. Tapi lama-kelamaan, nama dia hanya jadi kenangan. Dia hilang ditelan zaman. "

* * * * * * * * * * *

Angin bertiup sepoi-sepoi. Tenang dan damai dengan alunan zikir yang bergema dari segenap ruang. Gema wahyu membuat hati yang syahdu dan jatuh rindu.

Nabil mengorak langkah dengan hati berbunga. Sembilan purnama sudah berlalu, segala-galanya telah ditempuh dan dia tetap berdiri teguh dengan misinya.
Penyanyi tegar yang tak kan pudar dengan masa dan saingan yang berjuta.

Saat tiba di satu lorong kecil yang dipenuhi ramai manusia yang sibuk berjual beli dan ada yang sedang mengaji di bangku kecil , Nabil mula mengalun suara. Berkumandang kemerduan yang jauh berbeza dari sembilan purnama yang lepas.
Tiada raut gugup dan ketar yang tertonjol dari segenap nafas yang dihela.
Lagak seorang seniman yang telah menempah nama di persada seni dunia.

" Eh, siapa tu. Melakukan perkara aneh dan kuno. "
" Aibnya. Apa yang budak tu buat! "

Ada suara-suara yang berbisik sambil mata-mata memandang kehairanan.
Perasaan bangga dan puas Nabil bertukar pelik dan gundah melihat dia dipandang seolah tiada seutas benang menutup batang tubuhnya.

Ah!

Tangannya ditarik oleh seseorang ke lorong kecil. Tubuhnya didakap sekuat hati.

" Nabil, ke mana kau pergi. Mak rindu. " sayu suara ibu menusuk ke hati.

" Nabil dah berjaya mak. Nabil dah mampu menyanyi yang tiada tara bandingannya. "

"Nabil.. Sebenarnya.. "

" Sebenarnya apa Mak ?? "

" Selama sembilan purnama ini, segala-galanya sudah berubah. Kanak-kanak sudah tidak lagi bernyanyi di pentas mingguan. Malah pentas mingguan sudah berjaya dirobohkan. Kini, semua anak-anak mengikuti kelas mengaji Al-Quran. Hati kami semua aman dan tenang. Tiada gundah dan kecewa. Nabil ikut mengaji sama ya. "

Matanya tidak terkatup, lidah kelu.
Sembilan purnama hilang begitu sahaja.
Masa mengubah manusia dan dunia seisinya!

Wednesday, December 21, 2011

Ombak Hati Muda Mudi


Ombak Rindu.

Dengarnya filem adaptasi novel ini meletup catatan kutipan tayangannya, mencecah jutaan ringgit dalam masa beberapa hari ditayangkan seluruh Malaysia.

Saya tidak berniat menulis tentang ombak itu, namun terdetik untuk menulis tentang ombak yang lagi satu:

OMBAK HATI

Ia bukan sebuah filem pecah panggung, penuh dengan adegan romantis dari pelakon filem ternama, yang membuatkan si dara mengesat-ngesat air mata, yang teruna menahan sesak dan sebak di dada.

Tetapi Ombak Hati yang ingin saya nukilkan ini ramai yang telah, sedang dan akan laluinya. Ombak ini bisa datang tanpa diundang, menghempas penuh gelora hingga bisa membuatkan kita tumbang.

CINTA

Ia adalah ombak hati yang sering menghempas pantai perasaan, dan menggoncang pemikiran dan jiwa anak muda. Fatrah usia muda, lewat belasan tahun mahupun awal puluhan, manusia sering diuji dengan perasaan, ingin memiliki dan rasa dimiliki. Usia yang semakin meningkat membawa sama membesarnya tuntutan rasa dan kehendak jiwa untuk mencari siapakah yang bakal menghuni relung hati.

Malang sekali, Cinta yang sepatutnya datang dengan alunan air yang damai dan tenang, tetapi kini datangnya bersama ombak yang menggila, menghempas dan menenenggelam semangat dan cita-cita anak muda.

Realiti hari ini, dunia yang menjadikan cinta sebagai modal pelaris, menyuapkan apa sahaja bentuk hiburan tidak kira lagu, filem, iklan mahupun novel bacaan, sehinggakan ia menjadi seolah jadi keperluan.

Kesannya, ramai tenggelam dalam percintaan yang akhirnya menghancurkan perjalanan cita-cita yang diimpikan.

Pada awalnya bermain perasaan, sedikit demi sedikit bermain tangan, tidak cukup dengan itu hotel ditempah, lalu bersepahlah mayat kecil tidak berdosa dibalut plastik sampah.

Mungkin ada yang tidak seteruk itu, ada yang mencari cinta bersulam ikhlas untuk bernikah. Merasakan sudah tiba masa untuk melayari bahtera alam rumah tangga. Namun, lautan luas yang disangka tenang itu datang bergelora apabila ditolak risikan hatinya, atau terhalang oleh ibu bapa, atau bermacam lagi dugaan yang tak disangka, akhirnya pemuda yang besar hatinya tadi tersungkur lemah. Longlai tidak berdaya. Yang masih berkuliah, hilang entah ke mata, yang telah berkerjaya, turun prestasinya.

Apa puncanya?
Bukankah sepatutnya cinta yang indah itu satu motivasi,
tetapi kenapa ia jadi boleh membunuh kekuatan hati?

BESARKAN JIWANG, KECILKAN JIWA

Realiti hari ini, ramai yang memuja cinta, lalu memutar lagu bait-bait indah, tidak kiranya genre balada, rock kapak, mahupun 'nasyid' indah bermadah.

Bagi yang leka ber'couple', ayat bermadah diutus setiap hari, temujanji hujung minggu sentiasa dinanti, berkotak-kotak coklat dan bunga dibeli.
Mat Bunga, Mat Jiwang gelaran diberi.

Yang memegang prinsip tidak akan ber'couple' sebelum nikah,hari-harinya diisi dengan membaca novel-novel cinta islamik yang membawa ke dunia kayangan, artikel-artikel perkahwinan yang menyentuh perasaan, lagu-lagu "isteri solehah" dan " menjemput bidadari" jadi pilihan, peneman melayan perasaan kepada bakal isteri yang diimpikan.

Itulah dia sindrom dibius cinta, dari dua versi yang berbeza.

Kedua-duanya meyuburkan keJIWANGan, tetapi akhirnya lupa semakin lama mereka sendiri mengecilkan keJIWAan.

Soal pembinaan diri, keseriusan dalam membina peribadi, menambah ilmu di dada, meluaskan horizon pemikiran, dan paling penting mendekatkan diri,jiwa,hati dan rasa kepada Tuhan, semakin lama dilupakan dan dikesampingkan dalam hari-hari menjalani kehidupan, dek tenggelamnya dalam dunia khayalan.

Ketahuilah, anak muda memerlukan jiwa yang besar.
Kerana apabila berjiwa besar, cinta yang timbul di benak rasa itu akan bisa diurus dengan sebaiknya.

Diurus cinta itu dengan penuh terhormat, memeliharanya dari virus-virus jahiliah.
Kalau berniat untuk bernikah, berusaha dan menggerakan diri ke arahnya dengan penuh mengikut syariah.
Andai ada halangan yang dugaan yang datang menerpa, anak mudah yang berJIWA besar tidak mudah kecewa dan berputus asa.
Berbeza dengan anak muda yang berJIWANG besar, sekali putus atau terhalang cinta, merasa seluruh hidupnya.

JADILAH HANZALAH

Pernah dengar nama ini?
Beliau adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW.

Malam pertama pernikahannya dengan isteri tercinta, dia memilih untuk keluar menyertai tentera muslimin dalam peperangan Uhud. Apa kekuatan yang menyebabkan dia mampu untuk menyahut seruan jihad, meninggalkan isteri tercinta? Begitu juga dengan isterinya, bagaimana mampu untuk melepaskan suami yang baru menikahinya untuk bertarung nyawa di medan pertumpahan darah?

Mungkin ada jawapannya pada bait-bait lagu Hanzalah nyanyian Rabbani yang cukup menyentuh hati.

Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijab kabulkan
Rela menyahut seruan
Demi Islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan

Atas KEJIWAAN yang besar, penuh keimanan dan ketaqwaaan, mereka mendirikan rumah tangga. Lalu bila diuji dengan pilihan yang menuntut sebuah pengorbanan, tanpa ragu memereka memilihnya.

Bagaimana agaknya kalau rumah tangga terbina hanya berasaskan dengan KEJIWANGAN yang besar, agak-agaknya mampukah menyahut seruan seperti Hanzalah.

Renung-renungkan!

Monday, December 19, 2011

Seputih Kot Sedebu Hati

" Ok. Hujung minggu ni Man balik kalau free. Mak bukan tak tau kan Man sibuk. Banyak patient kebelakangan ni. Ok. Bye. "

Sepi.

Talian dimatikan walaupun suara anak yang dikandung belum puas kedengaran.
Rindu si ibu yang sudah bergaris tua di raut wajahnya masih belum terubat dek alasan yang sering dihidangkan oleh anak tunggalnya.

"SIBUK".

Razman mencapai kot putihnya, lambang profesion pengamal perubatan, lalu bergegas menuju ke ruang pembedahan.

" Encik jangan risau. Dia mengalami kecacatan jantung yang dikenali sebgai Patent ductus arteriosus (PDA). Terdapat saluran darah menghubungkan aorta dan arteri pulmonary anak Encik. PDA yang kecil boleh ditutup menggunakan penutup khas tanpa pembedahan jantung terbuka. Oleh kerana kes ini melibatkan PDA yang besar, anak Encik tetap memerlukan pembedahan jantung untuk menutup saluran. Jangan risau, serahkan kepada saya. Saya akan cuba sedaya upaya. " jelas Dr.Razman kepada bapa pesakit dengan penuh keyakinan.

Si bapa hanya mengangguk akur walaupun tidak menangkap sepenuhnya butiran penjelasan Dr.Razman.

Satu jam.
Dua jam.
Tiga jam.
Berjam-jam.

Dia keluar dengan penuh lega. Operasi pembedahan jantung seorang kanak-kanak berjaya disempurnakannya dalam tempoh kurang enam jam. Kelegaan itu diangkat menjadi kebanggaan kerana dipuji oleh rakan sejawatan mahupun orang bawahan. Kebanggaan itu mengutumkan senyuman tatkala dipeluk oleh si bapa kepada pesakit muda yang berjaya diselamatkannya.

Dr.Razman.

" Ya, hebat juga aku ni ya !". bisik hati kecilnya.

Dia memandang jam di pergelangan tangannya , serentak dengan itu perutnya berkeroncong dan meronta-ronta meminta untuk diisi.

Langkahan kakinya itu dihalakan ke kafeteria ditemani oleh seorang wanita ayu disisi kirinya. Wanita itu bertudung litup dan ditangannya turut sama mengalas kot putih bersih.

Mereka berjalan melewati bilik-bilik pesakit yang menjadi tetamu istimewa di hospital yang tersergam indah.
Pemandangan hospital itu tidak ubah seperti penjara sunyi tatkala terik mentari dikalahkan sinaran bulan purnama di malam hari.

Pesakit-pesakit ramai telah dibuai mimpi untuk melupakan kesunyian dan kesakitan buat sementara. Ada juga yang merintih di malam hari mengenang dosa yang bertimbun sedang nyawa bila-bila masa bakal bercerai dari jasadnya.

Kafeteria lengang, ramai yang sudah pulang.

Dr.Razman dan Dr.Nurul duduk saling berhadapan di sudut kafeteria bersebelahan dengan sebuah jendela.

Mereka saling bertentang mata, seolah ada sesuatu ingin diluah bicara.

" Abang, Nurul nak cakap sesuatu boleh? Abang jangan marah ya. "

" Cakaplah, perkara apa yang awak nak cakap sampai takut saya marah? "

" Abang tak rasa bersalah ke? Kita dah empat bulan tak jenguk emak."

" Awak kan faham. Kita ni doktor, tugas kita merawat orang yang sakit . Kalau emak tu sakit, saya sanggup balik malam ni juga. "

Nurul tertunduk sayu mendengar jawapan dari suaminya yang sudah banyak berubah.
Suami yang dahulu dikenalinya sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya, sangat menghormati orang dan merupakan pemuda yang berjuang di medan dakwah semasa di alam mahasiswa.

" Kita mahasiswa Timur Tengah. Tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Ingatlah sahabat-sahabat, kita tidak boleh pulang ke tanah air semata-mata untuk megah dengan kerjaya kita,jangan kita terlalu menjaga periuk nasi kita hinggakan kita lupa tanggungjawab kita kepada keluarga,bangsa dan agama. Kita adalah pemuda, dan pemuda tidak boleh dihadkan peranannya. Kita perlu lakukan perubahan! "

Kata-kata yang dilafazkan oleh Razman tatkala menjadi ahli panel forum " Menjejak Roh Mahasiswa Timur Tengah " masih terngiang-ngiang di sudut deria pendengarannya.
Nurul ketika itu menjadi penonton di sebelah mahasiswi sambil jemarinya ligat menyalin butir bicara syabab yang petah berkata-kata itu.

Kini dihadapannya, pemuda itu hanyalah seorang doktor yang hanya mementingkan kerjaya hingga lupa tanggungjawab sebagai anak kepada ibu yang telah banyak berjasa.

" Ha, apa yang awak menungkan tu. Saya nak ke bilik rehat, malam ni saya oncall. Awak baliklah dulu berehat. Anis kat rumah tu mesti dah tidur lena. "

Razman menghulurkan not 10 lalu berjalan keluar dari kafeteria tersebut meninggalkan Nurul yang memendam rasa hiba dan kecewa dengan suaminya.

Razman memejamkan matanya seketika. Fikirannya terawang-awang, virus keletihan masih belum beransur hilang.

" Dr.Razman, bangun! Ade kecemasan! Disaster!!! " telinga nipisnya menangkap suara itu.

Ya, Allah.

Kondusi hospital yang baru sebentar tadi lengang bertukar lintang pukang.
Darah membanjiri ruang legar dihadapannya. Puluhan pesakit mengerang kesakitan, belasan sakit sudah kaku tanpa pergerakan.

Dia terpaku, atma kedoktorannya lenyap tatkala itu, seperti ada sesuatu yang mengunci perjalanan impuls yang menghantar maklumat melalui sistem saraf tunjangnya.

Nurul!!

Dia kembali bernyawa lantas dengan degupan jantung yang begitu kencang, dia mencari-cari isterinya.

Kot putih bermandi darah merah!!
Ya, itu milik Nurul. Dia pasti. Degupan jantungnya terhenti seketika, darahnya berhenti mengalir melintasi pusingan sistemik dan pulmonari, lantas Razman seperti mayat mati.

"Tidak, Nurul!!!". Razman menjerit sekuat hati.

" Abang..". suara dalam esak tangisan memanggilnya.

Razman menoleh 180 darjah. Lega. Namun kelegaan itu hanya sementara melihatkan dua bebola mata Nurul merah dan berlinangan air mata. Di pangkuan wanita bekulit kuning langsat itu terkujur sebatang tubuh kecil yang dibasahi darah segar.

" Anis!! ".

Razman berlari yang memeluk tubuh kecil itu, diciumnya berkali-kali anak tunggalnya yang selalu ditinggalkannya.

" Jahanam, siapa punya angkara! "

" Tentera Israel telah menyerang bandar kita habis-habisan. Angka korban telah mencecah ratusan. Angka yang tercedera telah mennjangkau ribuan. " Nurul menerangkan dengan nada hiba.

Razman menggenggam penumbuknya. Dipulas-pulas genggaman padunya tanda amarah yang menyelebungi diri.

"Dr.Razman, cepat. Ada seoarang wanita tua cedera parah terkena serpihan bedilan bom."

Wanita tua?

Hatinya tergerak untuk bangkit menuju ke kamar kecemasan.
Dia terlewat, pesakit itu terlebih dahulu pulang ke tempat asalnya, tempat dimana semua mahluk bernyawa akan kembali kepada Pencipta.
Tubuh cengkung itu masih terbalut kemas telekung putih yang becorakkan tompokan dan percikan darah.

Darah itu darah yang diwarisinya.

"Mak!!"

Dia mengoncang jasad tanpa nyawa itu. Jasad yang pernah terluka tatkala mencari pucuk ubi buat santapan makan tengah hari mereka dua puluh lima tahun yang lepas. Nyawa yang pernah besabung untuk melahirkannya ke dunia tiga puluh tahun yang lalu.

Kini, jasad dan nyawa itu telah terpisah, Razman meratapi sekujur tubuh yang telah lama tidak dipeluknya itu.

" Mak, ampunkan Man mak! "

Mak!!

" Doktor, doktor. Bangun doktor. Ada panggilan dari Dr.Nurul. Katanya mak Doktor tengah tenat kat kampung. "

Astaghfirullah.

Razman mencapai kunci keretanya lalu melangkah laju bertemankan linangan air mata.

Televisyen yang ditontonnya sebelum melelapkan mata terus memaparkan kekejaman tentera Israel yang terus membedil batang tubuh rakyat Palestin hatta tampang anak-anak kecil seusia Anis dan tubuh ibu-ibu tua seusia ibunya turut dibaham tentera biadap yang terus bermaharajalela.

Razman memandu pulang menuju ke kampung halaman.
Hatinya tidak putus berdoa akan keselamatan keluarganya,
dan juga saudaranya di Gaza.

Ya, mereka semuanya bersaudara!

Sunday, December 18, 2011

Cinta Hidup Mati


9 Disember :

Seharian menemani seorang teman, Ustaz Ifwat menanti kelahiran putera sulungnya.
Sangat membahagiakan bila melihat wajah seorang ayah kali pertama menatap darah dagingya. Mukhlis nama diberi.

Alhamdulillah, sejak mahasiswa Malaysia di Jordan ini bertambah jumlahnya, semakin banyak khabar berita kelahiran cahaya mata. Kami yang masih 'single', tidak 'double' mahupun 'triple' ini sekurang-kuranya dapat tumpang gembira.

Melihat keletah bayi-bayi yang sihat, cukup menghilangkan penat.
Saya doakan sahabat-sahabat yang sudah bergelar ayah, agar dimudahkan dan diperkuatkan untuk memikul amanah. insyaAllah.

3 Disember :

Sedang saya berselimut lena, ingin melupakan seketika masalah yang membebani jiwa.
Tiba-tiba satu panggilan masuk ke dalam telefon saya.
Seorang teman dari Mu'tah menghubungi untuk memastikan berita bahawa sahabat bernama Ilham Ellani telah pergi menemui Ilahi.

Sangat terkejut dirasai, kerana baru beberapa hari lepas bertemu dan bertegur sapa. Dan akhirnya dia telah pergi buat selama-lamanya. Dengan perasaan hiba, saya terus ke hospital menziarahi jenazahnya.

Saat membantu membersihkan jenazah arwah, terasa sungguh kematian itu sangat dekat dan pasti. Moga kau tenang di sana, dimasukan ke syurga abadi. Al-Fatihah.

18 Disember :

Pada saat ini, pada ketika ini, saya masih lagi bernyawa, dan anda yang sedang membaca masih lagi berdenyut nadi.

Hitunglah sudah berama lama umur kita dipinjamkan sejak lahir menjengah langit dunia hingga ke saat ini. Berapa baki umur itu kita tidak ketahui, segalanya disimpan rapi oleh Allah Yang Maha Mengetahui.

Itulah perjalanan kehidupan manusia, bermula dari kelahiran, hingga bertemu dengan kematian.

Namun kadang kita terlupa dan terleka.

Bila ada peristiwa yang mengetuk jiwa, kita kembali tersedar,
berusaha kembali dari tersasar.

Sedarlah bahawa masa akan terus berjalan, dan semakin mendekatkan kita dengan sesuatu yang bernama kematian.

Lalu, setiap masa, saat dan ketika ini, adalah peluang untuk kita perbaiki diri, menambah amalan, dan memberi manfaat buat insan-insan di sekeliling kita.

Manusia, ada yang lahir ke bumi, ada yang berhijrah bertemu Ilahi.

Kita belum tahu bila lagi?

Oleh itu, maknakan hidup dalam kehidupan, agar tidak mati sebelum dijemput kematian.

~ 'Sweet'nya bila bercinta dengan kematian, dunia tidak di hati, hanya di tangan ~

Kenali Penulis

Salam perkenalan buat pengunjung blog MRP ini.

Sedikit perkenalan tentang diri yang sedang berkelana di bumi Allah, mencari segugus rasa untuk dikongsi.

Nama : Muhammad Naqeb bin Sulaiman
Asal : Ledang, Johor

Pendidikan:

- Tadika KEMAS, Sengkang
- Sekolah Kebangsaan Sengkang
- SMKA Maahad Muar, Johor
- Kolej Islam Sultan Alam Shah
- International Education Centre, UiTM Shah Alam
- Jordan University Science and Technology ( Perubatan Tahun 5 )

Pengalaman Kepimpinan:

- Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ) sesi 2010/2011
- Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid Jordan ( PERMAI ) sesi 2009/2010
- Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid Jordan ( PERMAI ) sesi 2008/2009
- Pengerusi Kelab Orator Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid Jordan ( PERMAI ) 2009/2010
- Ketua Fasilitator Minggu Haluan Siswa MPPMJ 2011

Anugerah Kepimpinan:

- Tokoh Kepimpinan Se-Jordan MPPMJ sesi 2010

Pengalaman Softskill :

- Juara Debat Piala Yayasan Perak 2009
- Juara Debat MEKAR MPPMJ 2009
- Juara Debat Piala Presiden Permai 2008
- Pertama Penulisan Sajak Maulidurasul anjuran PERMAI 2008
- Pertama Penulisan Cerpen Islamik anjuran PERMAI 2008

Doakan saya agar terus tabah mengejar cita-cita di bumi Jordan ini.
Saya doakan anda semua.

Sama-sama kita menjejak roh pengorbanan, mencari kejiwaan, menjadi hamba Allah terbaik !