Friday, November 7, 2008

Baccillus Anthracis










Jutaan bacteria dan kawanannya menari di mata saya. Esok exam microbiology bakal menghiasi diari hidup kami.

Berehat sebentar sambil berfikir, moga membawa kepada zikir.

" Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak "

Begitulah pepatah datuk nenek kita, yang mengungkap seribu makna.
Pepatah yang membawa maksud kesalahan orang lain mudah nampak dan diwar-warkan, tetapi kesalahan diri sendiri sukar diperhati dan dikoreksi.

Al Bazar meriwayatkan hadis dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : " Berbahagialah bagi siapa yang sibuk memperhatikan ( mengoreksi ) kekurangan sendiri daripada kekurangan orang lain."

Ini bukan bermakna kita tidak mengambil tahu hal orang lain, menjadi kera sumbang yang tidak menyumbang. Intipatinya adalah kita tidak boleh mencari-cari kesalahan orang dan apatah lagi menyebarkannya bertebaran di sekeliling ecosystem kita.

Kalau melihat realiti, ada sahaja kesalahan, masing-masing menuding jari.
Lihat sahaja dunia artis dan politik yang dipenuhi gosip yang belum pasti kesahihannya, habis dicanang satu negara.

Tidak usah pergi terlalu jauh, nilailah semula hubungan kita sesama rakan serumah, teman sekuliah dan ahli dalam persatuan. Sejauh mana kita ingin menyumbang, atau sekadar bersuara ' sumbang '.

Oleh itu, sama-sama muhasabah diri, sejauh mana kita duduk bertaraf hamba kepada Ilahi.
Wallahua3alam.

Thursday, November 6, 2008

Ego

Ku bernafas lelah. Setelah berkejaran, akhirnya dapat juga aku menaiki kereta api komuter itu. Aku menghenyakkan punggung ke kerusi lalu menyandarkan tubuh sambil mengelap peluh.

Kedinginan penghawa dingin membaluti rongga kulitku lantas menghadiahkan sedikit ketenangan. Ketenangan yang sukar dicari akibat tekanan yang tidak putus-putus dan bederaian menghinggapi aku yang bernama pelajar.

Seperti kebiasaan, telingaku disumbati earphone yang bersambung ke Nokia E90, lalu ku telan dan hadam butir-butir lirik lagu yang berderu-deru menggegarkan gegendang telinga lantas membawa ku ke dunia khayalan.

Tiba-tiba alunan damai itu lenyap berganti suara manusia dan deruan penghawa dingin yang memenuhi ruang udara.

Mata aku terpana melihat seorang kanak-kanak lelaki berbaju biru yang tercegat, sambil tangannya mengenggam earphone erat-erat. Umurnya lima tahun barangakali.
Mata bundarnya yang galak dengan lesung pipit yang bercalit sedikit coklat cukup memikat.

Aku hanya tersenyum dengan tangan kanan menadah, isyarat meminta semula.

" Zap ."
Wayar itu terputus dua.

Aku terpana, tenang atmaku terputus sama, bertukar amarah, wajahku berubah rona.
Aku menekan butang 'pause' seketika. Menarik nafas dalam-dalam dan beristighfar di dalam dada. Jikalau diikut kata hati yang membara, mahu sahaja dilayangkan satu tamparan ke pipi gebunya.

"Budak kecil memang begini. Sabar je la."

Budak itu berlalu pergi diekori mataku yang masih lagi merenung tajam ke arahnya.

Dia berlari-lari anak tanpa gentar sedang kereta api komuter itu menderu laju.
Sambil melompat-lompat ala Spiderman, die menjerit-jerit kepuasan.
Gerabak itu hingar dengan suaranya yang bertebaran ke segenap udara.

Aku tidak dapat memejamkan mata tatkala itu. Marahku belum sepenuhnya beransur pergi.

Kelibat tubuh kecil itu melintas lagi, mendekati seorang pak cik tua yang sedang terlena bersama sebatang tongkat tersandar di tepinya.

Belum sempat aku menghalangnya, tangan kecilnya terlebih dahulu menggapai tongkat itu lalu mengetuk kepala pak cik tua tanpa sekelumit rasa bersalah.

" Aduh! " pak cik terjaga lalu mengaduh kesakitan.
Dia meraba-raba tongkatnya. Baru ku sedar si pak cik bertongkat itu adalah buta.

Geramku melepasi sabar yang cuba membatasi, lantas aku merampas sekuat hati tongkat tersebut dan memberikannya kepada pak cik buta.

Anak kecil itu lari ketakutan mendakap ayahnya yang sedari awal khusyuk membaca akhbar. Entah apa yang dibacanya pun aku tidak mengerti hinggakan perlakuan anak sendiri yang menyakitkan hati pun tidak ditegurnya.

" Ayah jenis apa pak cik ni ! " hatiku berbisik geram bercampur kecewa.

" Pak cik, tolong jaga sikit perangai anak pak cik ni. Kecil-kecil dah nakal macam ni, dah besar tak tahulah apa nak jadi. Penyangak agaknya dia nanti. "

Aku menghamburkan kata-kata itu bertunjangkan api yang menyala-nyala.

" Pak cik minta maaf, pak cik pun tak tahu nak buat apa. Kami baru pulang dari hospital, ibunya baru sahaja meninggal dunia ." pak cik bersuara dalam nada berduka dan hiba membuatkan aku ingin rebah.

Tanpa dipinta, rasa hiba dan simpati bertamu dalam hati lantas merangsang air mata mengalir membasahi pipi. Aku berasa amat bersalah kepada mereka berdua.

Begitu mudah aku meletakkan persepsi anak kecil itu memang budak nakal yang perlu diajar dan pak cik itu tidak layak bergelar bapa. Begitu mudah aku meghukum mereka. Ah, kejamnya aku.

Aku memeluk anak kecil itu erat-erat dengan linangan air mata. Ku buang ego seeorang lelaki yang susah untuk menangis apatah lagi di khalayak ramai.
Semua mata tertumpu ke arahku, mata mereka juga menurut rasa hiba. Ruang legar bertugar sepi dan sunyi.

Aku kembali ke kerusi dan melayan seribu satu rasa yang bersulam gundah.

Ummi!

Hatiku tersentak terkenang nama itu.
Aku segera membuka handphone ku, membaca kembali bait-bait pesanan ringkas yang dihantar oleh Ummi seawal pagi tadi.

" Assalamualaikum. Mi apa kabar? Kalau Mi free,balikla kampung ya, Ummi rindu sangat dengan Mi. "

Ku buka kiriman yang telah dihantar.

" Wasalam. Baik. Mi sibuk sikit. Nanti Mi balik bila free. "

Suara Kak Long terngiang-ngiang memintaku segera pulang. Ummi tidak sihat katanya. Hatiku dihuni rasa bimbang dan bersalah.

Aku segera melangkah pulang dengan hati penuh doa.

" Ya Allah, berikanlah kesempatan untuk ku mohon keampunan dari Ummi."

Lagu Lafaz Yang Tersimpan menyusup ke dalam jiwa. Aku lemas dalam pengharapan.

TAMAT.

Wednesday, November 5, 2008

Kami Memang Cemerlang










Seorang pengetua memanggil tiga orang guru ke biliknya.

" Untuk pengetahuan kamu bertiga, setelah dibuat penilaian, pihak pentadbir mendapati kamu bertiga merupakan guru yang paling cemerlang. Tahniah. "

Ketiga-tiga guru berkenaan terkejut dengan makluman itu dan hati mereka berbunga-bunga.

" Oleh itu, sebagai ganjaran, saya telah memilih 90 pelajar terbaik di sekolah ini untuk diletakkan di bawah kamu bertiga. Enjoy your teaching. "

Mereka bertiga begitu gembira dan bersemangat untuk memulakan tugasan itu.
Begitu juga dengan 90 pelajar tersebut apabila dimaklumkan mereka adalah pelajar terpilih dan diletakkan di bawah guru terpilih.

Setelah keputusan ujian keluar, hasilnya cukup memberangsangkan apabila keputusan mereka 30 hingga 40 peratus lebih baik berbanding purata pencapaian pelajar-pelajar lain.

Sejurus itu, pengetua tersebut bertemu dengan guru-guru tersebut dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu.

" Tahniah saya ucapkan atas pencapaian anak didik kamu semua. Tapi saya ingin berterus terang, sebenarnya 90 orang pelajar itu bukanlah yang terbaik, tetapi mereka dipilih secara rawak. "

Guru-guru berkenaan terkejut.
" Kalau begitu, kami memang cemerlang kerana dapat pelajar yang tidak terbaik pun, mereka tetap cemerlang. "

" Dan satu lagi saya nak jelaskan, kamu bertiga bukanlah guru yang terbaik di sekolah ini. Kami mencabut nama di dalam kotak, dan nama kamu bertiga yang naik."


Hijrah

Kepercayaan dan keyakinan diri akan diterjemah menjadi tingkah laku yang akan dipandu oleh persepsi terhadap diri. Persepsi yang penuh dengan matlamat dan kemahuan tanpa desakan dan paksaan. Jika kita yakin bahawa kita merupakan pelajar yang cemerlang, maka segala tindakan kita akan menjurus ke arah penambah baikan dan membawa kepada hasil yang optimum.

Hidup ini ibarat sebuah perjalanan yang berliku dan berbukit. Ada suatu ketika kita perlu mempercepatkan langkah, ada ketika kita perlu memperlahankannya dan ada masa kita perlu meningkatkan waspada.

Sedikit perkongsian, saya meminati acara merentas desa dan larian jarak jauh kerana di dalamnya banyak tersemat perkara yang menguji diri.

Pertama, kita tahu destinasi kita. Mana mungkin untuk kita berhenti di tengah jalan andai destinasi masih jauh dihdapan.

Kedua, rasa mengalah dan lemah pasti timbul di tengah jalan, oleh itu keazaman dan kemahuan menjadi penentuan, tersungkur di tegah jalan atau terus mara berlandaskan laluan yang telah ditetapkan matlamat.

Ketiga, strategi larian juga perlu diambil perhatian. Seandainya di permulaan lagi kita dah mengerah tenaga sepenuhnya, belum satu kilometer kita pasti longlai di tengah jalan. Momentum dan simpanan tenaga amat diperlukan kerana kita akan melalui perjalanan yang panjang. Di kala ini, istiqamah amat diperlukan.

Begitulah sebuah kehidupan seorang hamba, Allah matlamat kita. Teruskan berjalan dalam kehidupan, agar tidak mati di tengah persimpangan.

Percayalah, kita mampu untuk berubah. InsyaAllah.

Monday, November 3, 2008

Kembara Di Tanah Jajahan ( Akhir )

Kala itu, tiada suara yang terlontar dari anak tekakku dan hanya diam seribu bahasa membaluti diri. Seribu persoalan datang bertalu-talu ke mindaku yang celaru.

" Sebelum beta khabarkan syaratnya, kau harus tahu seperkara. Sejak kalimah yang terucap di mulutmu didengari rakyat jelataku, mereka hilang upaya untuk berdansa dan meloncat-loncat mengikut irama. Mereka ibarat hilang akal dan punca, ada yang menangis teresak-esak dan ada yang pitam sehari semalam.
Beta khuatir kerajaan beta akan tergugat disebabkan hal ini "

Hatiku takjub akan hal yang berlaku sambil akalku ligat memikirkan jalan dan lorong pilihan yang bakal diajukan sebentar lagi.

" Katakan apa syaratnya? "

" Beta tahu kau orang beragama. Gunakan agamamu untuk memulihkan mereka."

Maksud kau?

"Kau terangkan akan perihal agamu itu, tapi kau perlu juzukkannya. Ambil yang sesuai dan buang yang dirasakan sudah ketinggalan. Putar belitkan dan pastikan ia menjauhkan mereka dari hakikat yang nyata. Kemudian, kau letakkanlah apa-apa jenama baru pada agamamu, biar nampak cantik agar mereka tertarik. Kemudian, kau akan dapat habuan yang beta janjikan."

Aku kaget mendengar tawarannya. Memang sudah dijangka, ada helah yang terselit disebalik perubahan sikapnya.

" Baiklah, aku mahukan kebebasan. Itu sahaja yang aku pinta. "

" Bagus. Beginilah yang beta inginkan dan idamkan. Usai mentari menjengah esok hari, kau akan berpidato di hadapan jutaan rakyat jelata, bertempat di Stadium Halusinasi Lagha. "

*****************

Mata-mata itu merenung dalam-dalam ke arah susuk tubuhku yang terpacak di pentas siasah. Aku berdiri sebaris dengan kerabat kepala mereka. Debar dan gundah hatiku hanya Tuhan yang tahu.

"Bismillah.."

Arghh !!

Ada yang menggelepar, menjerit terketar-ketar dan ada juga yang terkencing sedari aku mula berbicara. Sunyi !

" Aku adalah manusia bertaraf hamba, duduk matiku di bawah naungan Allah. Aku menyeru kamu semua kembali kepada-Nya, dia Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Tiada kekuasan melebihinya."

" Tinggalkanlah kalian ideologi memisahkan agama dan kehidupan dunia, jauhilah kalian hidup berkiblatkan hiburan nafsu.."

"Jahanam!!! Tangkap dan pancung kepala si pendusta bedebah ini." Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme murka.

Hatiku kecut melihatkan kilauan tajaman pedang yang tersemat di jemari lembaga bertubuh sasa di kananku. Namun, takut lagi atmaku andai menuruti kehendak si iblis itu.

Zapp!!!

Ya Allah!

Rasa sakit menjalar di segenap laluan saraf kepala.

Astaghfirullah.

Aku menggosok-gosok dahiku yang berdenyut akibat terhantuk ke tempat duduk hadapan. Pemandu bas menekan brek kecemasan barangkali. Istighfar ku panjangkan di lidah lantas turun ke sanubari mengenangkan mimpi yang menyelinap masuk ke lenaku sebentar tadi.

" Abdullah Ali, jaga solat ya, itu sahaja pesan ummi. " suara umminya sewaktu di stesen bas ketika melepaskan pemergiannya ke ibu kota metropolitan untuk menyambung pelajaran masih terngiang-ngiang.

Dia tahu pesanan yang ringkas itu membawa sejuta makna yang akan membentuk jalur kehidupan seorang hamba. Dalam ibadah itu terkandung pelbagai perintah yang akan diterjemah menjadi prinsip dan amalan sepanjang perjalanannya di tanah jajahan.

Ya, di tanah jajahan yang perlu dimerdekakan!

Sunday, November 2, 2008

Kembara Di Tanah Jajahan 2

"Celaka, siapa gerangan kau? "

"Err.. Aku manusia bertaraf hamba. Hamba kepada Yang Maha Berkuasa. Siapa gerangan kalian semua??

"Kau tidak layak bertanya kerana kau penceroboh, kau telah merosakkan perhimpunan suci ini.
Selayaknya kau dihukum tanpa bicara."

"Ini zalim! Mana ada undang-undang yang menghukumi tanpa bicara. Aku mahu keadilan kerana aku tidak melakukan apa-apa kesalahan."

"Sudah! Tangkap durjana ini dan sumbatkan ke dalam tahanan di Jeriji Neraka.
Biar dia tahu langit itu tinggi atau rendah. Hahaha..."


Bang!! Aku rebah.

*****************

Malam itu aku ditemani jeriji besi yang memisahkan aku dari dunia yang menakutkan itu.
Dunia yang memuja Raja Sekularisme dan Pemaisuri Hedonisme. Ku bernafas dalam kedinginan yang menggigit tulang hitam sambil cuping telingaku menangkap teriakan dan esakan yang bergempita.
Tangisan banduan lain yang disiksa barangkali.

Selang beberapa ketika, mataku lelap dalam sedar, memikir seribu satu kemungkinan yang bakal berlaku.

Tiba-tiba, tidur ayamku termati mendengarkan kuakan pintu besi.

"Bangun kau dan ikut aku. Cepat !"

Dengan langkahan longlai dan tangan yang bergari, ku gagahi diri menuruti pengawal itu ke suatu bilik kecil.

"Silakan duduk wahai manusia yang beragama. Maafkan atas kekasaran beta siang hari tadi."

Aku seakan tidak percaya. Susuk dihadapan kini berubah 360 darjah perilakunya. Ku duga pasti ada udang di sebalik batu, manakan boleh berlaku sesuatu jika tidak mempunyai punca. Namun, aku cuba berbaik sangka. Ku diamkan diri tanpa sebarang bicara.

"Wahai pemuda , beta ingin menawarkan apa sahaja yang kamu hajati. Sebut sahaja apa yang terlintas di benak nafsumu. Hatta, anakanda kesayangan beta, Puteri Jelita Feminisme pun beta sanggup berikan. Tapi dengan satu syarat..."

..bersambung

Kembara di Tanah Jajahan

"Woi, bangun kau dari pembaringan! Perhimpunan akan bermula. Lekas! "

Aku cuba membuka mata, berat yang teramat dan atmaku tidak terdaya. Cahaya samar-samar menembusi kornea lantas memperlihatkan lembaga yang asing bagi aku.

Aduh! Rasa sakit menjalar disegap saraf lantas menggegar sedar manusia.
Aku tersentak hasil sepak terajang lembaga itu ke tulang belakangku. Satu. Dua. Tiga. Arghh..

" Siapa kau? " Aku memberanikan diri walau kecut bertaut erat di hati. Suara lelaki kutinggikan untuk mengusir kebimbangan. Ku cuba bangkit sedaya upaya bertemankan sedikit tenaga yang ada.

Bang!!

Kaget. Tubuhku longlai menyembah bumi yang asing bagiku. Aku tersungkur dan kudratku lebur dengan tembakan itu. Tembakan yang menembusi dadaku, menyalurkan semacam jenis virus yang menyebabkan pancainderaku kehilangan fungsi buat beberapa detik masa. Aku diheret ke satu dataran agam. Datarannya sungguh luas ibarat lautan yang tidak bertepi.

Di sana terdapat lautan lembaga pelik sedang berpesta, menghayun segala-galanya mengikut pekikan yang tidak menentu, sekejap berirama sayu, bertukar gegar gempita . Muzik hitam dan bingar berselang seli membingitkan gegendang telingaku. Tampang mereka seakan-akan manusia, namun wajah nyata berbeza. Sukar untuk menafsirkan siapakah gerangan mereka. Mahkhluk hamba atau si pendurjana.

"Wahai sekalian rakyat jelata. Tunduk kalian kepada Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme."

Semua tampang itu tunduk menyembah susuk tubuh yang berdiri di sebuah puncak menara. Ada yang menangis dan meronta-ronta, seakan tergila-gilakan susuk itu.

Di sampingnya, muncul seseorang yang seakan-akan wanita berparas indah dengan rona ayu mengalunkan suara merdu gemersik lagu yang menikam batin dan kalbu.
Lautan lembaga menyahutnya dengan jeritan bertalu-talu. Mereka hanyut dibuai keasyikan suara itu.

"Berikan tepukan gemuruh dan hormat bersungguh buat Pemaisuri Penyejuk Maya, Yang Dipuja, Pemaisuri Hedonisme." seekor lembaga berteriakan memberi kata dua, mengajak sekalian jelata memuja mereka.

" Wahai sekalian rakyat jelata, kalian memang mengagumkan beta. Beta bangga dengan kesetian kalian. " suara Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Sekularisme bergema.

Aku hanya memandang dengan rasa gerun dan pegun.
" Di manakah aku kini? ".
" Ya Allah." kalimat itu terpacul dari mulutku.

Mereka semua memandang tajam ke arahku. Memandang dengan adunan rasa terkejut, marah, geram dan sedikit riak ketakutan terpampang di wajah pelik mereka.

" Kau!! "

..bersambung

Friday, October 31, 2008

Doktor ibarat lembu?

"Kenapa korang nak amik medik? Bagi aku keje doktor ni macam 'lembu' tau." soal dan jelas seorang doktor kepada kami berdua.

Saya dan seorang sahabat saya, Izwan yang kini sedang membuat persedian melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke India hanya menelan air liur mendengar kenyataannya.

Ketika itu, kami sedang mengikuti program perdedahan kerjaya seorang doktor anjuran JPA pada tahun lepas. Di dalam bilik kecil yang dikhaskan untuk temujanji pesakit ortopedik bersama doktor, kami berbual-bual bersama doktor Melayu tersebut.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan kesusahan bertugas menjadi seorang doktor, dengan gaji yang tidak seberapa dan kepadatan masa bekerja terutama ketika bertugas sebagai doktor pelatih. Tidak cukup dengan itu, dia mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen, membuat kira-kira kewangannya. Ditolak segala keperluan dan bebanan, yang tinggal hanyalah tidak sebanyak mana. Kami teruja dan sedikit berbolak-balik.

"Tengok ni." Dia mengeluarkan segugus kunci, salah satunya memiliki lambang Perodua. Dia berkata dia hanya mampu memandu Kancil.

"Kancil kan jimat minyaknya, baguslah."desis hati kecil saya.

"Nah, tengok ni, siap ade selotape lagi . Tengok korang punya, siap colour skrin lagi.". dia menunjukkan handphonenya yang terdapat sedikit tampalan pada casing, berjimat agaknya.

Kami berdua tersenyum simpul.
"Ada juga doktor macam ni." minda ligat berfikir seketika.

Izwan mengalih perbualan kami ke arah doktor Cina yang sedang memeriksa seorang pesakit.

"Doktor, you memang nak jadi doktor ke? ". Izwan bertanya.

"Ya, mestila. Dari sekolah lagi nak jadi doktor."jawabnya dengan penuh yakin sambil senyuman terukir di wajahnya. Dia melayan pesakitnya dengan mesra. Kagum.

Setelah berbasa-basi kami melangkah meninggalkan bilik itu dan melangkah menuju ke tandas.
Sambil membasuh muka, kami berdua mula berbicara tentang kedua-dua doktor tadi.

Berbicara untuk menguatkankan hati kerana jalan yang dipilih bukan untuk setahun dua, tapi melibatkan penyempurnaan tugas sebagai khalifah di bumi ini.

"Doktor tadi nak uji kita je kut." kami berbaik sangka. Namun, sesetengah yang disebut olehnya adalah realiti kehidupan seorang doktor yang memerlukan pengorbanan yang besar. Kami sedar dan tahu.

Ya, kami perlu kuatkan hati bahawa inilah jalan yang dipilih, dan perlu buat sehabis baik.

Menjadi seorang doktor bukanlah matlamat, tapi adalah wasilah untuk mencapai matlamat yang jelas dan nyata, mencari redha Yang Maha Esa.

-Mohon doakan saya dan sahabat-sahabat saya menghadapi peperiksaan Pharmacology pada hari esok . Moga Allah menthabatkan hati kita di jalan-Nya.