" Siapa kau ?". aku memandang tepat si anak kecil yang berpipi gebu. Umurnya lapan tahun barangkali.
" Ana Mujahid. " batu kecil masih digenggamnya erat-erat. Ada luka-luka yang masih berdarah merah di lengannya.
" Kau dari mana? Apa yang kau buat di sini? "
" Palestin. Ana pun tidak pasti kenapa ana ada di bumi mewah ini. "
" Palestin?? Ceruk kampung mana tu. Aku tidak pernah mendengarnya. "
Aku berdusta walhal baru sebentar aku terlihat bait nama itu didada akhbar,namun aku lebih tertarik dengan perkembangan dunia sukan dan artis. Itu lebih menghiburkan berbanding cerita yang menyedihkan, hidup ini sekali, untuk apa perlu bersedihan andai mahu merasai nikmat kehidupan.
" Mustahil anta tidak tahu. Palestin itu tanah ummat Islam yang dirampas Israel laknatullah. Mustahil! "
" Argh!! Aku peduli apa , yang penting negara aku aman merdeka. "
Aku sangsi akan kewujudan budak hingusan itu. Dia pencuri kecil jalanan barangkali. Aku gengam erat-erat handphone Nokia E90 yang baru aku beli sebentar tadi. Budak kecil zaman sekarang bukan boleh dipercayai.
" Ana dahaga, boleh berikan seteguk air. " matanya bundar sambil merenung sayu ke arah ku.
Aku semakin pasti inilah si peminta jalanan, selalu mengemis simpati manusia yang serba cukup seperti aku. Aku rimas dengan golongan seperti ini, mahu sahaja aku layangkan sepakan ke tubuh kecilnya. Namun, aku amsih lagi berhati manusia. Aku tidak sekejam..Iss..Isreal.. lebih kurang begitulah nama si durjana itu. Aku pun bukan tahu menahu.
Dia meminta lagi dengan simpati,luka ditangannya masih belum berhenti.
Aku berlari anak meninggalkannya. Manakan tidaknya, pasti sukar untuk menghilangkan kotoran di bajuku andai terkena najis darahnya. Argh..budak kecil yang merimaskan.
Jalan raya berturap dan memiliki empat lorong dua hala terbentang di hadapan ku. Aku melangkah laju menyeberanginya demi meninggalkan jauh si peminta itu. Aku puas kerana tidak rimas dengan isu-isu basi yang tidak berkaitan dengan nafas hidupku.
" Argggghhhhhh ".
Aduh. Sakit menjalar ke seluruh saraf tubuhku. Aku merasakan panas darah melumuri tampang tubuhku. Rasa sakit itu beransur hilang dalam kegelapan hitam...
************************************************************************************
" Alhamdulillah anta sudah sedar ".
Ku cuba sedaya upaya mengangkat kelopak mataku. Sinar cahaya menyusup masuk lalu menampakkan satu wajah yang seakan pernah ku bersua dengannya.
" Ya akhi, bersyukur ke hadrat Allah, walau anta sudah terkena dua das tembakan, nyawa anta kental, jiwa anta cekal. Kita pasti bangkit semula."
Ya, aku pasti tanpa ragu. Dialah manusia yang menyebabkan aku ditabrak oleh pemandu gila sebentar tadi. Aku menghirup suasana hospital itu. Aneh sekali.
" ............ "
Aku cuba lagi sepenuh hati.
"..............................."
Sunyi sepi.
Tiada kalam bicara yang bisa keluar dari kerongkongku.
Ya Allah, apakah ini ujian besar yang Kau timpakan kepada ku.
" Doktor, ayuh segera, ada mangsa yang terkena serpihan peluru berpandu di ruang kecemasan saya. Nyawanya di hujung tanduk! ". teriak seorang jururawat dari muka pintu kayu.
" Ya Allah, kamu bantulah kami! ". esakan seorang ibu dari kiri katil berhadapan dengan aku.
Aku melirik anak mataku lagi, mataku tertancap pada tolakan troli yang diatasnya terkulai sekujur tubuh yang bermandikan darah diiringi kaum keluarga yang dibasahi air mata derita.
Siapa mereka??
Aku di mana??
Kau siapa wahai budak jalanan??
Ingin sahaja kau berteriak gempita , namun ku tahu itu hanya tindakan dungu kerana kini hidupku bisu.
Aku hanya bergelar pemerhati dari jauh, aku orang asing barangkali. Aku tiada apa-apa perhubungan dengan mereka, aku adalah aku dan mereka bukan sesiapa.
Gelap!!!
Suasana riuh, ada yang menangis dan ada yang terus berzikir.
Allah. Allah. Allah.
Bekalan elektrik terputus, aku lega kerana rawatan ku tidak bergantung kepada sistem janakuasa itu. Namun telinga ku menangkap kekalutan yang berlaku.
Mesin sokongan hayat!
Wad bersalin dan kanak-kanak!
Berbekalkan ilmu yang aku miliki selaku pelajar perubatan, tiada harapan buat mereka andai bekalan elektrik terus tergendala. Aku tersenyum mengenangkan ilmu yang aku miliki . Memang ilmu itu satu keperluan.
Dalam kegelapan itu aku dipapah oleh Mujahid menuju ke ruang lain.
Aku hanya akur kerana aku takut tersungkur. Langkahan lemah ku berseli dengan hidu darah yang membasahi tubuh-tubuh manusia yang tidak ku kenali.
Tiba-tiba..!!!
Runtuh dan musnah. Kepulan asap bertebaran di udara, segala-galanya sepi dan ditangisi wajah-wajah tidak berdosa. Hospital itu dibedil tanpa peri manusia.
Aku tidak merasa sakit walau sedikit, cuma hatiku tersentuh rasa tanpa ku pinta.
Tangan Mujahid menggegamku. Suara-suaranya tersekat-sekat, pegangannya kian erat.
" Wahai saudaraku, mungkin kau tidak merasa apa yang terbuku di hati kami. Kau ditarbiyah di kuliah, kami ditarbiyah dengan air mata. Kau hidup selesa dalam kepanasan cuaca, kami kedinginan dalam kesejukan derita.
Wahai saudara ku, kita seaqidah, kita bertuhankan Yang Esa, ketahuilah kita bersaudara. Aku tidak meminta kau terkorban di medan berdarah seperti kami, aku tidak meminta kau merasa tarbiyah peluru berpandu, namun bantulah kami sedaya yang kau mampu.
Kamu semua adalah SAUDARA ku! "
Kalimah syahadah meniti di bibirnya sebelum tubuh kecil itu kaku tanpa nyawa pemuda.
" Mujahid !!!!!"
Aku bangkit dari pembaringan.
Mata-mata di sekeliling merenungku dengan seribu tanda tanya.
Aku berada di sebuah hospital yang canggih dan serba indah. Hospital swasta barangkali.
Bebola mataku tertancap pada satu objek di atas meja bersebelahan katil ku.
Sebiji batu yang bertompok darah.
Batu itu lambang perjuangan anak kecil yang hilang entah ke mana.
Perjuangan yang kini wajib ku jejak bersama. Aku harus jadi pembela!
Monday, December 29, 2008
Hijrah : Sekadar Sambutan?

Alhamdulillah. 1430 hijrah telah berlalu. Setiap kali Maal Hijrah memenuhi kalendar manusia yang rata-rata terfokus kepada sambutan tahun baru, masih wujud lagi kesedaran pelbagai pihak untuk mengangkat martabat taqwim ummat Islam yang berpaksi peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah.
Dalam keadaan ramai yang memikirkan di mana untuk menyambut Tahun Baru, siapa artis terkenal yang bakal mengisi hati mereka sebelum azam baru 2009 ditanam di jiwa, ummat Islam seharusnya membuka mata seluas-luasnya tentang kesedihan dan derita air mata saudara-saudara seaqidah di Palestin yang menyambut Maal Hijrah dengan ledakan bom dan peluru berpandu Israel . Mereka syahid di jalan Allah.
Pemuda dan Pemudi : Hijrah Songsang
Jangan berasa malu untuk kita akui, apalah sangat sumbangan kita untuk Islam jika diri asyik berasa lemah dan tewas di ujian kuliah, tandus di lubuk cinta " papa dan mama", terperangkap dalam dunia maya hingga kita hilang jiwa pemuda, fizikal sahaja besar namun lagak dan gaya ibarat anak kecil yang hilang botol susunya. Kita harus malu.
Wahai diriku dan dirimu semua, contohilah mereka.
Umar R.A tidak gentar dengan pendiriannya. Di saat ingin berhijrah ke Madinah di melaungkan suara kepada kaum Musyrikin ,"Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya.
Itulah Umar R.A, zaman muda yang diisi dengan berani berjuang, bukan seperti kita sekarang yang berani temberang. Kita mengaku kita pejuang agama Allah, namun sekadar halangan hujan dan kesejukan untuk ke kuliah pun kita sudah rebah.
Ali R.A. Umurnya masih muda ketika peristiwa hijrah. Mudanya bukan beerti dia lemah, malah jiwa mudanya tidak gentar untuk menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda. Bukan Ali R.A tidak tahu dia menanggung risiko akan dibunuh musuh, manun demi Islam dan kecintaan terhadap Rasulullah, nyawa menjadi taruhannya.
Itulah Ali R.A. Manakala inilah kita pemuda zaman sekarang, bukan sahaja tidak mengamalkan sunnah, malah sensitiviti tatkala musuh menghina Rasulullah kita juga rendah. Malulah kita kepada Ali.
Hawa
Owh! Buat kaum Hawa, jangan lupa kalian juga adalah penyumbang kepada kejayaan hijrah ini. Namun itu Hawa 1430 tahun yang dahulu.
Anak-anak perempuan Abu Bakar,Aishah dan Asma'.
Mereka berperanan menyediakan bekalan untuk Rasulullah dan Abu Bakar. Asma' telah
memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut. Daripada peristiwa itu, dia digelar: "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Lihatlah betapa kaum hawa juga bereperanan dalam kejayaan Islam, begitu mulia Islam menaikkan darjat kaum yang sering tertindas di zaman jahiliyah.
Itulah Aishah dan Asma'. Namun lihat realiti kini, usai Islam bangkit dan wanita terbela, masih ada dalam kalangan mereka yang kembali dahagakan jahiliyah. Berpakaian tetapi 'berbogel', membiarkan diri dieksploitasi , mudah termakan pujuk rayu lelaki.
Memang bukan semua begini, namun bagi yang telah kembali kepada firah mulia mu, serulah yang lain agar kita tidak jadi seperti buih.
Mengingati Hari-hari Allah

" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah". Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur "
Hari-hari Allah merupakan hari-hari dimana ada kegembiraan kepada umat Islam dan juga termasuk hari-hari ummat Islam berduka cita.
Kini kita berada pada dua titik yang sama. Hijrah telah berkunjung dalam keadaan ramai mayat syuhada' Palestin diusung.
Ke mana hijrah kita wahai diri dan sahabat pembaca. Adakah kita meletakkan niat hijrah kita hanya berlegar kepada manfaat diri sendiri, sedangkan itu pun ramai yang gagal melakukannya.
Memang segala-galanya bermula pada diri, bukan bermakna manfaat hijrah itu tidak untuk semua. Hijrahkanlah dirimu dari rebah dipintu neraka, menuju ke pintu syurga.
Jejaklah roh penghijrahan , jangan jadikan Maal Hijrah ini sekadar sambutan yang akan berlalu tidak meninggalkan kesan.
Hijrahlah wahai hatiku!
Sunday, December 28, 2008
Menangislah

Menangislah wahai hati,
Melihat saudaramu terbujur kaku,
Suara tenggelam dalam ledakan peluru,
Darah melimpah mengalir sayu,
Sungai tangisan yang deras menderu,
Rumah batu hancur seribu,
Musnah punah terus diburu,
Menangislah dalam doamu.
Bangkitlah wahai jiwa,
Melihat ayah,ibu, adik-adikmu merana,
Musuh mentertawa gempita,
Memijak,meludah maruah ummah,
Sedang masih ramai di luar terlena,
Menghayun kepala,alpa segala,
Bersilang kaki, meneguk kopi,
Dalam derita jiwa mereka,
Dikepung hati batu manusia,
Maka bangkitlah wahai pemuda.
Hijrahlah wahai diri,
Memang bukan tubuhmu dirobek,
Bukan nafasmu disekat hebat,
Kau masih sihat tidak melarat,
Bisa tersenyum mengepal mimpi,
Namu apa guna kau mengaku seaqidah,
Andai katamu dusta, perimu helah,
Hijrahlah menuju rasa itu,
Agar bisa menjadi pembela mereka!!
Friday, December 26, 2008
Ayat-ayat Cinta : Antara Cinta dan Cita-cita

Ayat-ayat cinta menjadi sebuah fenomena.
Saya berniat untuk berbicara tentang novel karya Habiburahman el-Shirazy yang terus meletup di pasaran Indonesia dan Malaysia meskipun sudah berada di pasaran sejak 2004, bukan produksi filem Ayat-ayat Cinta yang pada saya kurang dari sudut mengekalkan keaslian terjemahan mesej novel tersebut.
Sejujurnya saya bukanlah penggemar novel-novel tempatan mahupun nusantara yang bersusun di rak bookstore sebelum ini. Jalan cerita yang klise dan tema yang mengangkat cinta tanpa batasan membuatkan saya muak dan jelak dengan novel-novel yang tidak mengembangkan minda.
Ayat-ayat Cinta Saduran Hollywood?
Baru-baru ini seorang penulis novel seks Indonesia mengecam fenomena Ayat-ayat Cinta yang menurutnya ia sebuah karya picisan dan bertitik dari nafsu kebenaran. Padanya, tiada istilah sastera sebagai alat dakwah melainkan sastera sebagai medium penghebahan nilai dalam masyarakat.
Dia melabelkan Ayat-ayat Cinta yang sudah terjual lebih 300,000 naskhah di seluruh Asia Tenggara dan diiktiraf novel Islam sebelum ini, sebagai karya picisan kerana menggunakan resipi cerita pop Hollywood 1950-an.
“Bezanya di Hollywood karya bernada Kristian yang diketengahkan manakala di sini Islam dijadikan pilihan, tetapi kedua-dua ini memberi kesudahan cerita yang serupa iaitu agama sebagai jalan penyelesaian dan pasti menang dalam apa keadaan sekalipun,” katanya dalam wawancara satu wawancara.
Inilah pemikiran yang perlu kita atasi untuk menjadikan penulisan salah satu medium menyebarkan kefahaman dan dakwah agama.
Nafsu kebenaran?
Watak Fahri yang digilai ramai wanita dalam novel itu dan turut diimpikan ramai pembacanya memang sukar dicari. Persoalannya, adakah salah seandainya pengarang berusaha untuk menonjolkan nilai-nilai Islam yang kian pudar dalam masyarakat hinggakan perkara yang sepatutnya diaplikasi menjadi amali dipandang sebagai aneh dan ganjil serta mustahil untuk terjadi.
Sampai bila masyarakat perlu disogok dengan fahaman liberal dan jahiliyah yang mendominasi segala ruang penyampaian ilmu dan idea kepada manusia.
Sewajarnya perlu ada sekumpulan yang mengangkat Islam di tengah timbunan karya picisan.
Allah SWT berfirman :
" Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung ". ( Ali Imran/3 : 104)
Menghadkan Cinta, Melupakan Cita-Cita
Saya akui ramai sahabat-sahabat sekeliling yang kurang meminati novel-novel yang lebih dikenali sebagai cinta Islamik. Membaca novel-novel ini hanya mendorong pembaca terutama golongan remaja untuk memikirkan soal cinta dan rumah tangga .
Pada pendapat saya, jika kita menghadkan sebuah pembacaan novel sebegini hanya untuk melihatkan tema cinta yang ditonjolkan apatah lagi menghadkan tema cinta itu sekadar antara Adam dan Hawa, maka kesannya novel ini hanya berlegar di ruang lingkup yang sama. Membacanya tidak menambah ilmu, malam menyebabkan pembacanya lesu menghirup cinta yang disalahtafsir mengikut hawa nafsu.
Penulis telah cuba membuka dimensi baru dalam mengengahkan dakwah Islam dalam penulisan, mengungkap bicara soal penghambaan, nilai-nilai hidup agama yang perlu diaplikasikan dan hukum-hakam yang mampu diselitkan dalam sebuah novel, sekarang natijahnya terpulang kepada pundak pembaca, hanya mahu menapis hampas cinta biasa, atau pun berfikir dalam dimensi yang luas dan mencerakin serta menyerap segala manfaat yang tersedia.
Seandainya sindrom pembacaan novel-novel sebegini dihadkan pembacaannya semata-mata untuk merasakan manisnya cinta, maka cita-cita para pendukung dakwah akan terkubur kerana pembaca tidak berusaha untuk menggali segala hikmah yang diselitkan dalam novel tersebut.
Bagi yang kurang meminati novel-novel sebegini, banyaklah lagi pilihan novel-novel yang mengangkat tema tersendiri seperti ukhuwah, perjuangan, realiti kehidupan dan lain-lain lagi. Apa yang penting adalah sejauh mana kita menggerakkan akal dalam pembacaan agar segala manfaat mampu diterjemahkan dalam kehidupan.
Saya bukanlah sesiapa untuk berbicara tentang penulisan ini, saya hanya sekadar pembaca kecil yang cuba mencari ruang untuk mengaut segala manfaat yang ada.
Selamat bercinta dengan cita-cita menegakkan agama Allah!
-kesal dengan tindakan pihak yang mengunakan blog bagi tujuan menghina Rasulullah. Moga kebenaran terbela.
Thursday, December 25, 2008
Dedikasi buat Hawa

Wanita..
Saya tidak pernah menulis tentang kaum hawa sebelum ini. Insan yang tercipta untuk Adam, menemani di syurga, mendampingi di dunia , saling melengkapi hidup manusia.
Mereka makhluk istimewa. Biar air mata sering dikaitkan dengan naluri mereka, namun hakikatnya air mata itu yang menguatkan jiwa, menebar jalur warna dalam setiap bucu peranan yang digalas mereka dari seorang hamba-Nya hinggalah hubungan sesama manusia.
Kita harus yakin tidak ada satu pun agama di dunia , kecuali ad-din Islam, yang memuliakan wanita, mengasihinya, mengangkat darjatnya, memberikan haknya dan tidak merendahkan-rendah sifat fitrah mereka.
Islam memuliakan mereka sebagai hamba Allah tanpa banding beza,
Islam memuliakan mereka sebagai isteri yang mendampingi perjuangan suami,
Islam memuliakan mereka sebagai ibu yang mengandungkan zuriat sembilan purnama,
Islam memuliakan mereka sebagai pasangan Adam di akhirat dan dunia.
Keadilan Islam
Dalam satu peristiwa, Asma' binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah telah mengetuai kaum wanita bagi menyuarakan pengaduan mengenai hak mereka kepada Rasulullah.
Dengan penuh sopan, Asma mengadu tentang kelebihan kaum lelaki yang boleh melakukan solat jumaat, solat jemaah di masjid, mengerjakan haji berkali-kali dan yang utama boleh keluar berjihad ke jalan Allah, berbanding dengan kaum wanita terbatas dalam gerak-geri , sentiasa di rumah dan menjaga harta benda , menjahit pakaian dan menjaga zuriat tatkala suami mereka keluar berjihad. Dia bertanyakan bagaimana wanita boleh berkongsi pahala dengan kaum Adam.
Baginda kagum mendengar bicara wanita itu malah sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah turut menganggumi kepandaiannya membawakan masalah agama.
Rasulullah berkata kepadanya, " Ketahuilah wahai wanita dan sampaikanlah juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredhaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya."
Begitulah kemulian Islam yang mengangkat darjat kaum wanita.
Islam tidak pernah menolak pandangan wanita. Peranan wanita dalam memberikan pandangan tidak pernah dinafikan. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika khalifah yang terkenal dengan ketegasan itu sedang berpidato di atas mimbar.
Umar tidak menolak sanggahan itu malah mengakui kebenaran apa yang disuarakan wanita itu sambil berkata, " Semua orang ( bisa ) lebih mengerti daripada Umar. "
Malu VS Maju
Ledakan perkembangan teknologi sejajar dengan penjajahan budaya telah merubah corak kehidupan manusia sekaligus menyebabkan kaum wanita yang tidak beriltizam dengan
agama terpalit lumpur jahiliyah yang kian menabrak cara hidup beragama.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda : " الحياء من الأيمان "
maksudnya: " Malu itu sebahagian daripada iman "
Sifat malu yang menghiasi wanita sudah terhakis sedikit demi sedikit kesan meninggalkan agama dalam kehidupan. Kesan hilangnya sifat malu dan hasil muntahan kemajuan, mereka dieksploitasi habis-habisan oleh sesetengah pihak yang mencari keuntungan dengan menggadaikan maruah dan hak wanita.

Hiburan, pengiklanan,nyanyian, perfileman,fesyen semuanya menjadi wadah untuk menyebar fikrah kebebasan wanita untuk menonjol di khalayak dunia dengan meninggalkan rasa malu yang sewajarnya menghiasi diri mereka.
Kembali kepada fitrah
Saya dedikasi bait-bait lagu ini buat semua wanita agar kembali kepada fitrah yang suci. Anda semua adalah insan yang dimuliakan Allah.
WANITA - deHEARTY
Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa
Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh
Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi
Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk
Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita mengharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa
Sedarilah insan istimewa
Bahwa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan.
Wednesday, December 24, 2008
Keluarga
Keluarga.
Ini keluarga yang baru dibina dengan izin Allah.
Kami merancang dan melaksana dengan izin-Nya. Saya melalui satu pengalaman, menarik dalam membina keluarga ini. Dengan risikan dan juga luahan sukarela, hubungan ini terbina lantas membawa kenangan yang indah.
Mencuba
Alhamdulillah, hubungan ini membuahkan hasilnya. Dari berdua, menjadi tiga, empat hingga seterunsnya tidak terkira dengan jari jemari saya.
Pada awalnya saya tidak menduga hubungan boleh menjadi sekukuh ini. Pertemuan yang dirancang kali pertama di sebuah kedai makan membuahkan hasil walaupun pada mulanya agak kekok, malu-malu masih ada agaknya.
Alhamdulillah, meskipun kami telah akhiri apa yang mejalinkan kami di atas program yang sementara, saya berdoa agar Allah satukan hati kami untuk meneruskan perjuangan di muka bumi ini.

Bersama pengarah teater
dan penulis skrip.
-sedang merancang untuk mencuba apa-apa yang sewajarnya
-post saya banyak tentang keluarga sebelum ini, ada yang tersalah anggap saya mahu mendirikan rumah tangga..aduss..:)
-mendung kelabu mendengar berita tentang ayah diwarnai sedikit cahaya kegembiraan kakak yang bakal menuju alam rumah tangga
Ini keluarga yang baru dibina dengan izin Allah.
Kami merancang dan melaksana dengan izin-Nya. Saya melalui satu pengalaman, menarik dalam membina keluarga ini. Dengan risikan dan juga luahan sukarela, hubungan ini terbina lantas membawa kenangan yang indah.
Mencuba
Alhamdulillah, hubungan ini membuahkan hasilnya. Dari berdua, menjadi tiga, empat hingga seterunsnya tidak terkira dengan jari jemari saya.
Pada awalnya saya tidak menduga hubungan boleh menjadi sekukuh ini. Pertemuan yang dirancang kali pertama di sebuah kedai makan membuahkan hasil walaupun pada mulanya agak kekok, malu-malu masih ada agaknya.
Alhamdulillah, meskipun kami telah akhiri apa yang mejalinkan kami di atas program yang sementara, saya berdoa agar Allah satukan hati kami untuk meneruskan perjuangan di muka bumi ini.

Bersama pengarah teater
dan penulis skrip.
-sedang merancang untuk mencuba apa-apa yang sewajarnya
-post saya banyak tentang keluarga sebelum ini, ada yang tersalah anggap saya mahu mendirikan rumah tangga..aduss..:)
-mendung kelabu mendengar berita tentang ayah diwarnai sedikit cahaya kegembiraan kakak yang bakal menuju alam rumah tangga
Tuesday, December 23, 2008
Dari Puncak Ingin Ke Angkasa

Alhamdulillah, selesai sudah satu lagi program yang mengisi diari mahasiswa di sini.
Program tanpa dirancang, dari angkasa dia turun ke bumi untuk bertemu dengan kami.
Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ,angkasawan Malaysia pertama telah meluangkan masa lebih kurang dua jam dalam program ramah mesra mahasiswa Irbid bersama beliau. Alhamdulillah, program yang sedikit sebanyak menyuntik sesuatu kepada mahasiswa yang sedang lesu terutama di musim sejuk ini.
Sejujurnya, sebelum ini saya tidak berminat dan mengikuti perkembangannya. Sekadar membelek-belek akhbar maya dan mendengar cerita tepi dari orang-orang yang tidak meminati.
Namun semalam, ada beberapa perkara yang saya tertarik dengannya.
Sekadar berkongsi, sebelum terpilih untuk menjadi angkasawan, dia terpaksa bersaing dengan ribuan calon sehinggalah tersenarai dalam calon akhir. Ujian fizikal dan mental yang dilalui sangat menarik dan mencabar, kadang-kadang kelakar.
Bayangkan sepanjang tempoh dua tahun, segala tindak tanduk, percakapan dan tabiatnya diperhatikan dan dianalisis oleh sepuluh orang pakar psikologi untuk menilai dan memilih seorang angkasawan ayng benar-benar layak.
Ujian kelayakan fizikal juga amat menarik dan mencabar. Tubuhnya tidak boleh berparut pembedahan dan gigi tidak boleh bertampal. Apalagi, checkla tubuh anda kalau berminat ke bulan. Dilemparkan di laut hitam selama tiga hari, terdampar di pulau tanpa makan dan tidur, menerima tekanan seberat gajah dan lain-lain lagi.
" When my mind believe, my body can achieve "
Itulah prinsipnya yang membuatkan dia yakin untuk melakukan semua itu.
Saya kagum juga dari segi niatnya yang mahu membuktikan Islam boleh diamalkan di mana, hatta di bumi juga di alam semesta. Dia merupakan Muslim kesembilan yang naik ke angkasa tetapi inilah kali pertama dibincangkan dikalangan ulama' sedunia bagaimana cara untuk menunaikan solat di angkasa. Dia juga curi-curi membawa Al-Quran tanpa pengetahuan pihak Rusia untuk menjadi bekalan di sana.
Perancangan jangka panjangnya adalah untuk menyatukan semua angksawan Muslim dan berusaha menaikkan kegemilangan Islam. Sama-sama kita doakan agar dipermudahkan urusan-Nya.
Satu perkara yang menarik lagi ialah dia juga menghargai golongan seni. Dia memakai baju batik dari Kelantan, menulis sajak dan puisi bagi menghargai sumbangan orang seni. Kalau saya berada ditempatnya, agak-agaknya tentu banyak ilham untuk menulis cerpen melihatkan keagungan cipta Allah. Rasa yang tidak terungkap dengan bicara.
" Siapa kuasai angkasa, dia kusai dunia ".
Lihat sahaja Amerika,Rusia dan negara-negara lain yang berjaya membina empayar di ISS ( International Space Station ). Mereka kini menjadi kuasa besar di dunia.
Namun jangan kita lupa, ada yang Maha Berkuasa ke atas angkasa dan dunia, Dia tiada tandingan-Nya.
Bacaan Surah Ar-Rahman oleh saudara Anas, bekas peserta Akademi Al-Quran kedua pada awal majlis cukup mengingatkan kita akan kebesaran Al-Quran.
Transformasi
Apabila sesi soal jawab dibuka, saya teruja untuk jadi individu yang pertama menyoal hingga lupa untuk memperkenalkan diri.
Dari seorang doktor yang ghairah melakukan pembedahan, dia menuju ke angkasa dengan penuh keyakinan.
" Bagaimana Datuk boleh membuat keputusan untuk beralih dari bidang perubatan ke bidang angkasawa kerana keputusan itu melibatkan pengorbanan dan kerjaya. "
Saya bertanya kerana saya juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan dimensi kerjaya nanti. InsyaAllah.
Dia tidak selesa saya memanggilnya gelaran itu. Dia terasa tua. :)
Apa yang disimpulkan dari jawapannya,tidak semestinya perjalanan kita akan berhenti apabila kita sudah mengusai satu bidang. Kita perlu yakin kita mampu untuk mencuba sesuatu berusaha bersungguh untuk mencapai apa yang dicitakan. Kita diciptakan Allah dengan bertujuan , maka jangan sia-siakan peluang yang ada.
Saya dapat sedikit suntikan baru. Perjalanan saya baru bermula. Saya akan terus kembara di dunia ini sebelum menemui Ilahi.
Jom ke angkasa!!
Subscribe to:
Posts (Atom)