Friday, December 26, 2008

Ayat-ayat Cinta : Antara Cinta dan Cita-cita








Ayat-ayat cinta menjadi sebuah fenomena.

Saya berniat untuk berbicara tentang novel karya Habiburahman el-Shirazy yang terus meletup di pasaran Indonesia dan Malaysia meskipun sudah berada di pasaran sejak 2004, bukan produksi filem Ayat-ayat Cinta yang pada saya kurang dari sudut mengekalkan keaslian terjemahan mesej novel tersebut.

Sejujurnya saya bukanlah penggemar novel-novel tempatan mahupun nusantara yang bersusun di rak bookstore sebelum ini. Jalan cerita yang klise dan tema yang mengangkat cinta tanpa batasan membuatkan saya muak dan jelak dengan novel-novel yang tidak mengembangkan minda.

Ayat-ayat Cinta Saduran Hollywood?

Baru-baru ini seorang penulis novel seks Indonesia mengecam fenomena Ayat-ayat Cinta yang menurutnya ia sebuah karya picisan dan bertitik dari nafsu kebenaran. Padanya, tiada istilah sastera sebagai alat dakwah melainkan sastera sebagai medium penghebahan nilai dalam masyarakat.

Dia melabelkan Ayat-ayat Cinta yang sudah terjual lebih 300,000 naskhah di seluruh Asia Tenggara dan diiktiraf novel Islam sebelum ini, sebagai karya picisan kerana menggunakan resipi cerita pop Hollywood 1950-an.

“Bezanya di Hollywood karya bernada Kristian yang diketengahkan manakala di sini Islam dijadikan pilihan, tetapi kedua-dua ini memberi kesudahan cerita yang serupa iaitu agama sebagai jalan penyelesaian dan pasti menang dalam apa keadaan sekalipun,” katanya dalam wawancara satu wawancara.

Inilah pemikiran yang perlu kita atasi untuk menjadikan penulisan salah satu medium menyebarkan kefahaman dan dakwah agama.

Nafsu kebenaran?

Watak Fahri yang digilai ramai wanita dalam novel itu dan turut diimpikan ramai pembacanya memang sukar dicari. Persoalannya, adakah salah seandainya pengarang berusaha untuk menonjolkan nilai-nilai Islam yang kian pudar dalam masyarakat hinggakan perkara yang sepatutnya diaplikasi menjadi amali dipandang sebagai aneh dan ganjil serta mustahil untuk terjadi.

Sampai bila masyarakat perlu disogok dengan fahaman liberal dan jahiliyah yang mendominasi segala ruang penyampaian ilmu dan idea kepada manusia.

Sewajarnya perlu ada sekumpulan yang mengangkat Islam di tengah timbunan karya picisan.

Allah SWT berfirman :

" Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung ". ( Ali Imran/3 : 104)



Menghadkan Cinta, Melupakan Cita-Cita


Saya akui ramai sahabat-sahabat sekeliling yang kurang meminati novel-novel yang lebih dikenali sebagai cinta Islamik. Membaca novel-novel ini hanya mendorong pembaca terutama golongan remaja untuk memikirkan soal cinta dan rumah tangga .

Pada pendapat saya, jika kita menghadkan sebuah pembacaan novel sebegini hanya untuk melihatkan tema cinta yang ditonjolkan apatah lagi menghadkan tema cinta itu sekadar antara Adam dan Hawa, maka kesannya novel ini hanya berlegar di ruang lingkup yang sama. Membacanya tidak menambah ilmu, malam menyebabkan pembacanya lesu menghirup cinta yang disalahtafsir mengikut hawa nafsu.

Penulis telah cuba membuka dimensi baru dalam mengengahkan dakwah Islam dalam penulisan, mengungkap bicara soal penghambaan, nilai-nilai hidup agama yang perlu diaplikasikan dan hukum-hakam yang mampu diselitkan dalam sebuah novel, sekarang natijahnya terpulang kepada pundak pembaca, hanya mahu menapis hampas cinta biasa, atau pun berfikir dalam dimensi yang luas dan mencerakin serta menyerap segala manfaat yang tersedia.

Seandainya sindrom pembacaan novel-novel sebegini dihadkan pembacaannya semata-mata untuk merasakan manisnya cinta, maka cita-cita para pendukung dakwah akan terkubur kerana pembaca tidak berusaha untuk menggali segala hikmah yang diselitkan dalam novel tersebut.

Bagi yang kurang meminati novel-novel sebegini, banyaklah lagi pilihan novel-novel yang mengangkat tema tersendiri seperti ukhuwah, perjuangan, realiti kehidupan dan lain-lain lagi. Apa yang penting adalah sejauh mana kita menggerakkan akal dalam pembacaan agar segala manfaat mampu diterjemahkan dalam kehidupan.

Saya bukanlah sesiapa untuk berbicara tentang penulisan ini, saya hanya sekadar pembaca kecil yang cuba mencari ruang untuk mengaut segala manfaat yang ada.

Selamat bercinta dengan cita-cita menegakkan agama Allah!

-kesal dengan tindakan pihak yang mengunakan blog bagi tujuan menghina Rasulullah. Moga kebenaran terbela.

3 comments:

Anonymous said...

Assalamu3laikumwbt.

Saya ada terbaca berita mengenai komen 'insan' tersebut mengenai novel Ayat-Ayat Cinta (AAC) tersebut dalam akhbar hari ni.

Pada pendapat saya (kalau salah,minta dibetulkan), 'insan' tersebut tidak seharusnya memisahkan antara nilai sastera & da3wah Islam. Hatta apa jua yang kita lakukan sebenarnya tidak terlepas dari da3wah. Bukankah Islam adalah cara hidup kita?

Bukan hanya kita ambil yang kita suka,dan meninggalkan yang tidak suka.
Firman Allah :


"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (QS. 2:208)

Ada juga yg mengatakan mata pena lebih tajam dari mata pedang.
Jadi,apa salahnya berdakwah melalui sastera? (bidang yg beliau mahir).

ini hanya pendapat dari insan yg masih byk kekurangan.


p/s :

1.Maaf yea tuan blog,terpanjang komenan :)

2.InsyaAllah,saya mendo3kan ayah anda segera sembuh dalam rahmatNya..Ameen.

3.Bittaufiq fi imtihanak bukro --biostatistic--


Wslmwbt.

Naqeb Sulaiman said...

wasalam.
betul. mata pena lebih tajam dari mata pedang.

syukran. bittaufiq juga.
( saya tak kisah sape2 nak komen panjang2. segala komentar amat dialukan. )

final_fata said...

rajuk puteri bagai meroyan,
lembut dayang cuba memujuk,
hidup bercinta kerana Tuhan,
bukan mengikut syaitan terkutuk.

laman rumah duduknya datuk,
dari jauh terdengar suara,
segenap jihat Islam membentuk,
meski dalam huruf dan aksara.

giurlah Pandir akan ayamnya
menang jua tiada di tangan
biarlah sindir jadi bunyinya,
asal usaha mencetus kebenaran

tingkah silat menahan sakit
bunga pula menambah seri
suatu adat Islam terhimpit
tapi Tuhan lebih Mengetahui