Wednesday, October 29, 2008

Di Malaysia Tiada?


Musim sejuk kembali mengunjungi bumi Irbid. Semalam, saya mengisi ruang waktu malam yang agak panjang bersama seorang sahabat, mengunjungi kedai telefon ,sekadar meninjau-ninjau.

Tumpuan mata sata tertancap pada bilah huruf yang membentuk iPhone. Saya bertanyakan tentang iPhone kepada pemilik kedai yang digelar sebagai Mualim.

Dia menerangkan dengan bersungguh-sungguh perihal iPhone tersebut. Saya mendengar dengan tekun tanpa membalas.

''Ini yang terbaru, ada 3G , tapi disini tiada, di Malaysia pun tak ada 3G. Amerika sahaja ada.''kekaguman jelas terpancar di wajahnya.

Sahabat saya tersenyum simpul mendengar kenyataan itu.
Tidak dinafikan memang ramai rakyat di Jordan belum mengetahui kemajuan Malaysia.

Realitinya, bagi rakyat Jordan yang pernah menggunjungi Malaysia, mereka pasti berbicara tentang kemajuan-kemajuan yang ada.

Saya pernah mengambil subjek Psychology pada tahun semester kedua tahun pertama. Pensyarah Psychology saya pernah menziarahi Malaysia dalam tempoh yang agak lama.Hampir setiap hari nama Malaysia bergema di dalam kelas kami. Sahabat-sahabat Arab diam membisu, mungkin tanda setuju ataupun rasa tidak percaya bertamu.

Kemajuan?

Ya, tidak dinafikan Malaysia memang sebuah negara yang maju. Lihat sahaja bangunan yang berceracakan membelah awan. Teknologi maya yang semakin mendapat perhatian dan perkembangan industri hiburan yang hampir tiada limitasi.

Namun seandainya kemajuan itu diukur hanya melalui pembangunan dan kemegahan, adakah kita mahu dikatakan maju seperti kerajaan Firaun yang bertapak di Mesir. Piramid yang tidak tercabar seni binaannya, tetapi pemerintahnya menzalimi rakyat jelata dan sanggup mengaku dialah Tuhan Yang Maha Tinggi.

Di Jordan sendiri buktinya telah ada. Kota Petra yang diukir dan dibina oleh kaum Tsamud akhirnya ditimpa bala oleh Allah.Kaum Tsamud merupakan ummat Nabi Shalih, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Quran:" Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum 'Aad, dan ditempatkannya kamu dibumi, ( dengan diberi kemudahan )untuk didirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerusakan di muka bumi.” (Surah Al-A’raaf ayat 74)

Begitu juga dengan sejarah Laut Mati yang sewajarnya dijadikan ikhtibar buat kita.
Budaya homoseksual yang terdapat dalam kalangan ummat Nabi Lut kembali menjadi barah dalam masyarakat kita.

Di manakan nilai ketamadunan selagi tidak menjadi sebenar-benar hamba Tuhan??
Renung-renungkan.

No comments: