Sunday, November 21, 2010

Memori

Alhamdulillah, selesai sudah majlis Aidiladha PERMAI , menutup tirai sambutan Aidiladha bagi peringkat persatuan zon yang bernaung di bawah MPPMJ.

Hari ini, teringat saya memori dua tahun lepas berkaitan dengan Aidiladha. Ada suka duka, tawa dan air mata sepanjang waktu itu.

Saya ditaklifkan sebagai pengarah majlis Aidiladha peringkat PERMAI.

Jom Korban menjadi nama program dan tema Menjejak Roh Pengorbanan menjadi pilihan.
Menjadi pengarah yang menguruskan urusan di ladang, dewan dan juga bersama skuad teater Adha adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Kembara kami ke Ummu Qais menjalani latihan teater, urusan penyembelihan di ladang, dan merencana program dewan tidak akan mampu saya lakukan tanpa adanya barisan ajk pelaksana dan kawan-kawan yang menyokong dan menolong.

Di saat saya sibuk di ladang, panggilan dari Malaysia hadir membawa khabar mendukacitakan.
Abah ditahan di wad sekian lamanya, baru hari itu emak menyampaikan khabar berita memandangkan keadaan abah yang semakin kritikal.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Mahu sahaja pulang terbang , namun atas beberapa sebab saya tangguhkan niat itu. Hanya doa dan solat hajat bersama sahabat menjadi kiriman buat abah.

Tugasan program saya teruskan meskipun jiwa ada di sana. Saya yakin ini bicara Allah pada saya untuk membuktikan bahawa Menjejak Roh Pengorbanan yang saya letakan sebagai tema program harus saya hayati dahulu sebelum mahu mengajak orang lain.

Dua tahun sudah berlalu.
Alhamdulillah, Abah sudah kembali sihat bersama keluarga tercinta.
Aidiladha di Irbid semakin bermakna dengan ahli yang bertambah jumlahnya.

Dan saya masih di sini, terus melangkah dan berlari, menjejak roh pengorbanan dalam setiap helaan nafas kurniaan Ilahi.

Doakan saya.

No comments: