Saturday, November 20, 2010

Perutusan MPPMJ Sempena Aidiladha 1431 Hijrah


Bismillahir Rahmanir Rahim
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.Lailaha Illallah Wallahu Akbar.Allahuakbar Walillahil Hamd

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan kesyukuran atas helaan nafas yang masih dikurniakan oleh Allah untuk kita meraikan Aidiladha 1431 Hijrah. Berbicara soal sambutan Aidiladha yang diadakan tidak kira di peringkat persatuan mahupun diri sendiri , saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama memahami makna di sebalik perayaan Aidiladha dan membetulkan niat agar ianya menjadi ibadat dan bukannya adat.

Lembaran kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang menjadi manifestasi kehambaan dan pengorbanan yang dilakukan yang tercatat dalam Surah As-Saffat sewajarnya dijadikan iktibar dan pendorong untuk kita megecas kembali jiwa dan langkah perjuangan kita menempuh hari-hari mendatang .

TRANSFORMASI DAN PENGORBANAN

Pertambahan ahli MPPMJ saban tahun menuntut kita sama-sama bersatu tenaga dan usaha dalam meningkatkan kualiti diri kita selaku pelajar yang menuntut di Jordan. Komuniti masyarakat Malaysia yang dihimpunkan bersama dalam persatuan-persatuan pelajar membuka ruang dan peluang buat kita semua untuk saling berganding bahu untuk mencipta iklim yang kondusif dalam pembinaan diri. Saya suka untuk mengajak semua ahli MPPMJ untuk kita sama-sama berfikir seketika berkaitan tema Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ) pada sesi 2010/2011 :

"MENJANA TRANSFORMASI MAHASISWA ISLAM GLOBAL"

Memetik kata-kata saudara Mohd Afiq bin Mohd Saleh, Presiden MPPMJ sesi 2010/2011:

“ Transformasi yang dipilih adalah bertujuan memberi kesedaran kepada seluruh mahasiswa bahawasanya dalam setiap aspek pengamalan hidup itu memerlukan kepada kehidupan beragama untuk pembinaan biah solehah di samping cakna isu semasa “



Transformasi atau perubahan menuntut sebuah PENGORBANAN . Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, itulah pepatah Melayu yang sering diajarkan kepada kita . Dalam usaha untuk membina peribadi dan diri selaku mahasiswa Islam, kita sering diasak dengan musuh yang tidak nampak di mata malahan musuh itu berada dalam diri kita. Sifat malas dan bertangguh serta lena dibuai mimpi di zon selesa , ditambah dengan serangan hedonisme, pemikiran sekular dan lain-lain lagi adalah musuh yang sentiasa membantutkan perkembangan potensi diri kita untuk bergerak seorang pemuda yang merupakan tunggak dan harapan agama, bangsa dan negara. Justeru, pengorbanan dan mujahadah haruslah dilakukan tanpa mengenal erti putus asa dalam mengharungi cabaran dan halangan yang mendatang.

Selain itu, soal perubahan juga menuntut sebuah perkara yang dinamakan sebagai KEFAHAMAN. Pada pendapat saya, tranformasi atas kesedaran dan kefahaman mampu meningkatkan dan menambah baik nilai kehidupan, manakala transformasi atas ikut-ikutan dan tiada kefahaman hanya mengundang lelah dan hilang punca di tengah jalan. Oleh itu, sebelum melakukan perubahan, jelaskan dan fahami matlamat perubahan, atur strategi dan kerangka usaha, dan nilai dan timbang tara berpandukan garis panduan Islam dan mulakan langkah dengan azam dan doa dalam usaha untuk berubah ke arah lebih baik.

Mengulas tentang gelaran mahasiswa Islam global pula, kita selaku mahasiswa Islam seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu dan kefahaman Islam dan mepraktikannya dalam segenap ruang kehidupan serta mempersiapkan diri dengan nilai tambah berbentuk softskill sebagai usaha membina diri . Kita juga hendaklah peka dan cakna akan isu semasa khususnya berkaitan isu umat Islam di seantero dunia. Oleh itu, saya menyeru semua warga MPPMJ untuk kita sama-sama mengorak langkah dalam usaha memperbaiki diri dan menjana transformasi diri ke arah menjadi mahasiswa Islam global. Segala-galanya bermula dari diri kita sendiri.

Sama-sama kita renungi firman Allah di dalam surah Ar-Ra’d ayat ke-11 yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”


Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga MPPMJ untuk sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran melalui peristiwa yang terakam dalam lembaran sirah Aidiladha ini dan menterjemahkan penghayatan kita dalam bentuk amali kehidupan yang menuntut jutaan pengorbanan.

Salam Aidiladha buat semua warga MPPMJ. Maaf zahir dan batin.

Sekian, terima kasih.

Yang benar ;

…………………………………………………………

(MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Timbalan Presiden 1,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,

Sesi 2010/2011.

http://mppmj.org/?p=654

No comments: