Monday, January 10, 2011

Nilai


Berbicara soal nilai, ia berkaitan soal ukuran.
Jika emas, nilainya pada ketulenan dan beratnya.
Jika sampah, masih juga bernilai jika sisa-sisa itu masih berguna untuk dikitar semula.

Meletakkan nilai pada diri pula bagaimana?
Soal menilai apa yang kita miliki, apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini.
Acapkali, kita terlalu sibuk dan fokus menilai kehidupan orang lain, mahupun komuniti, ataupun arus pentas siasah masa kini. Belum lagi diharu biru dengan fitnah sana-sini.

Jarang untuk membedah ruang persepsi diri sendiri, di manakah dan bagaimanakah kita meletakan nilaian kehidupan kita.

Jom kita duduk sebentar menyelusuri faktor-faktor yang mempengaruhi penilaian kita terhadap diri sendiri.

1) Pendapat orang lain

Seorang yang kacak hanya diakui dirinya memang kacak apabila orang lain memuji kekacakan yang dia miliki. Bila dipuji kacak, baru dia yakin bahawa memang dia seorang kacal, maka si kacak itu akan ada self-esteem yang tinggi. Kalau mengaku kacak walhal tidak di mata orang lain, itu perasan kacak namanya. Syok sendiri!

Begitu juga dengan seorang penulis, tatkala tulisannya mendapat pujian dan komen yang membina, semangat menulisnya kian membara kerana sokongan khalayak yang meminati penulisannya.

Jangan lupa, faktor ini ada sisi negatifnya juga apabila berlaku sebaliknya, orang berbicara tentang kehodohan seseorang, dan apabila karya tulisan tidak dapat sambutan.

Dua sifat atau pemilikan di atas adalah contoh yang mewakili banyak perkara dalam kehidupan,
seperti kepandaian, sikap, bakat dan lain-lain lagi.
Seringkali, apa yang orang lain katakan, akan diterima sebagai satu kenyataan, meskipun ia sesuatu yang memeritkan. Apatah lagi jika yang berkata itu adalah individu yang penting dalam hidup kita seperti ibu bapa, adik beradik, teman akrab dan guru sekolah.

Seorang anak yang membesar dengan dengan gelaran ' nakal ' dan 'jahat' oleh ibunya sewaktu memarahinya , lama-lama itulah yang diyakini oleh dirinya bahawa dia memang nakal dan jahat.

Seorang murid yang didorong oleh guru dengan keyakinan bahawa dia adalah murid yang pintar,
ada cetusan keyakinan dalam dirinya untuk terus berjaya.

2) Perbandingan dengan orang lain

Seorang jaguh lumba lari yang selalu meraih gelaran juara akan menyedari bahawa dia ada kekurangan apabila ditewaskan oleh pesaing yang baru muncul dalam hidupnya.
Sebelum ini, dia menilai dirinya adalah terbaik, namun apabila dibandingkan dengan orang lain,
baru dia sedar diri di mana letak duduk kualiti lariannya.

Begitu juga dengan orang yang merasakan dirinya sudah cukup kuat dalam bertarung, hanya dapat menilai kekuatannya apabila buku bertemu ruas. Andai yang ditumpaskan itu kanak-kanak yang masih hingusan, layakkah dia dinobat sebagai orang kuat atau sebenarnya dia hanya seorang penakut?

Sedar atau tidak, faktor ini sangat berkait rapat dalam kehidupan.
Orang yang menganggap mereka miskin, apabila di hadapan mereka ada yang mewah.
Orang yang merasakan mereka bodoh, apabila di sisi mereka bijak-bijak belaka.

Hidup ini banyak dijalur warnakan dengan pertandingan dan juga perbandingan.

Dari sekecil-kecil perkara seperti langsir rumah warna apa hinggalah kepada soal maruah yang tidak ternilai harganya.

3) Kepercayaan diri

Apa yang ada dalam diri, itulah yang dijelmakan dalam tindakan kita sehari-sehari.

Jika seseorang yakin dan percaya bahawa solat di masjid itu sangatlah penting dalam hidupnya selaku yang mengaku letak duduk dirinya bertaraf hamba, jika satu hari dia culas dalam menjaga solatnya hinggakan solat di rumah sahaja jadi pilihannya,hasil kepercayaannya, dia meletakan nilai perbuatan culas menjaga solat jemaah itu adalah buruk baginya. Apatah lagi jika tidak menunaikan solat!

Begitulah sebaliknya, andai dia tidak merasa-rasa apa-apa jika dia hanya ke masjid seminggu sekali untuk menunaikan solat jumaat, dan kadang-kadang terlepas juga. Tiada rasa kekurangan dalam diri, petanda kurangnya/cacatnya kepercayaan dan keyakinan tentang tuntutan solat jemaah dan keperluannya.

Soal menilai tindakan diri bukanlah semudah dengan memetik jari.
Kerana ia berpaksikan soal kepercayaan, dan kepercayaan itu adalah hasil dari kefahaman,
dan kefahaman itu diperoleh dari ilmu dan pengajaran, dan sebenar-benar ilmu dan pengajaran itu adalah bersumberkan dari Allah, yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.


Sentiasa Muhasabah

Tiga komponen di atas sangat memainkan penting dalam proses menilai tindakan kita.

Semasa mendengar pendapat orang lain, jangan terima bulat-bulat, analisis harus dibuat sebelum ia dijadikan alat, mengukur apa yang kita miliki dan apa yang kita buat.

Semasa membandingkan dengan orang lain, perbandingan itu harus dibuat dari dua sudut berbeza, seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, melihat kehidupan seperti gelas berisi separuh air. Melihat dengan kaca mata usaha penambaikan, dan juga melihat dengan kaca mata kesyukuran.

Semasa menilai tindakan sendiri, pertimbangan kita jangan berdasarkan emosi, gunakan neraca akal dan budi, yang berpaksi pegangan agama yang menjadi sumber nafas dan denyutan nadi.

Sedarlah, usaha meletakan nilai apa yang kita miliki dan lakukan bukan sesuatu yang remeh, kerana ianya adalah sebahagian dalam usaha mengislah diri dan membentuk keperibadian kita.
Kita tidak dilahirkan untuk menunggu, kita dilahirkan untuk mencipta. Mencipta peribadi yang akan mengisi ruang-ruang barisan umat yang tidak memerlukan jutaan manusia umpama buih-buih di lautan, tetapi sebaliknya manusia yang menghargai nilai akal fikiran dan setiap nafas kehidupan!

~ membaca buku Cinta di Rumah IHAB, meskipun nipis, menuip kesedaran akan peri pentingnya peranan seorang suami dan ayah dalam berdakwah kepada keluarga kerana adalah sasaran dakwah yang pertama. " Aku ingin menyampaikan dakwah ini hingga kepada janin di perut ibunya! "
~ selamat bercuti winter buat kawan-kawan, kembaralah ke mana sahaja kalian ke bumi Tuhan, asalkan ada sesuatu yang dicari buat bekal kehidupan

No comments: