Tuesday, January 4, 2011

Syifa'


Pagi-pagi ambil history pesakit, itu kerja kami sebagai pelajar klinikal perubatan .
Rutin yang harus ditunaikan, jika bernasib baik , history tadi akan diteliti dan dikomen sehabis mungkin semasa round dengan doktor bertugas.

Mendekati pesakit ada warna warninya.
Ada masanya mudah untuk diterima, senyum sahaja pak cik dah tahu apa niat di dada.
Ada kalanya baru melangkah masuk, isyarat tidak sudah diterima! Letih barangkali.

Segalanya-galanya akan ditanya, butiran peribadi, apa punca dia dimasukan wad berhari-hari, analisis rasa sakit yang dialami, simptom apa yang dimiliki, rekod kesihatan dari dulu hingga kini, ubat apa yang diambil hari-hari, ada atau tidak sebarang alergi, bagaimana rekod kesihatan keluarga yang dikasihi, merokok atau tidak dan jika ya, berapa paket sehari, hinggakan soalan sensitif tentang minum alcohol dan juga sexual history juga perlu ditanya kepada tuan empunya diri. Ini adalah sebahagian besar proses membuat diagnosis, mengenal pasti penyakit yang dialami oleh pesakit.

Ada doktor pernah bagi pendapat, history taking ini adalah seni. Ya, saya akui ,ia adalah seni, seni membentuk manusiawi. Kita berhubung dengan manusia, yang punya hati, yang punya nilai diri. Nampak mudah, namun ianya perlukan usaha dan penilaian dari semasa ke semasa. Kerana tujuan kita untuk mencari dan merawat punca masalah, bukan sekadar simptom-simptom yang nampak di mata kasar.

Kepercayaan harus diraih, agar maklumat yang dapat adalah telus dan bersih. Memudahkan langkah seterusnya untuk mengenal pasti dan merawat agar kembali pulih.

Begitu juga soal kehidupan, dalam membina hubungan dengan manusia di sekeliling kita, dengan keluarga, rakan sebaya, rakan sekuliah, rakan sekerja dan juga rakan serumah tangga. Dalam usaha memperbaiki diri dan juga mengislah yang lain, membina hubungan dan jambatan hati bukanlah semudah memetik jari ,tetapi ianya sesuatu yang mesti!

Seorang abang mahupun kakak yang mahu menyelesaikan masalah adiknya yang terperangkap dengan cinta monyet, mana mungkin dapat memberikan nasihat , andai dengan adik sendiri mereka ibarat anjing dan kucing bercakaran , kesannya si monyet juga ambil kesempatan . Alahai..

Begitu juga dengan rakan serumah, berubah sikap tanpa sebarang tanda masalah, kalau kita yang jarang ambil berat, bagaimana ingin tahu apa masalah yang dihidapinya hingga semakin melarat.

Virus penyakit yang melanda diri dan juga masyarakat semakin bermutasi, hinggakan sukar dibaca apa jenisnya, bermacam-macam punca. Kita tidak mahu merawat kesan-kesan sampingan, kita mahu menghapus musnahkan puncanya.

Menjadi seorang doktor, mendidik diri, untuk merasai empati, membina jambatan hati,
dalam usaha merawat dan juga mengubat, dan lebih besar mengajak bersama kembali dan menyerah diri kepada Allah yang Maha Berkuasa.

" Ya Allah Ya Tuhan kami ampunlah dosa kami dan ibu bapa kami , jadikanlah kami doktor yang berjaya, membawa syifa' untuk ummah, Amen "

1 comment:

Anonymous said...

moga dipermudahkan setiap langkah mencari redhaNya.
semoga berjaya!