Friday, December 16, 2011

Nosocomial Infection

Dia membelek-belek helaian-helaian kertas yang tersusun rapi di atas mejanya.
Kaca matanya digerakkan sedikit ke atas bagi memperelok pembisaan cahaya yang membantu penglihatan anak matanya yang telah berusia lima puluh tahun.

Dr.Mahathir Iskandar, Ketua Jabatan merangkap Pakar Perunding Dermatologi menggerak-gerakkan sedikit hujung kakinya yang kekejangan usai melewati lorong-lorong wad yang menempatkan ratusan pesakit di bawah jabatannya.

Dia menghela nafas lega, matanya tertancap pada bingkai gambar yang terpamer molek di dinding kamar pejabatnya.

Seorang graduan yang bejubah biru menguntum senyum dengan segulung ijazah tersemat dijemari kanan. Foto yang diambil usai majlis graduasi kedoktoran yang melayakkan dia melibatkan diri sebagai pengamal perubatan yang dipandang tinggi status letak duduk bidang ini oleh seantero masyarakat dunia.

"Masuk". suara garaunya memecah deruan penyaman udara usai ketukan pintu kayu jati kedengaran.

Dari kaca bingkai gambar yang ditenungnya kelihatan seorang lelaki tinggi lampai melangkah masuk.

"Assalamualaikum".

"Waalaikumussalam. Oh, Dr.Anwar, silakan duduk. ". jawab Dr.Mahathir Iskandar sambil memusingkan kerusi menghadap tampang yang menjenguk masuk ke kamarnya.

Pegawai Perubatan U48 lulusan Jordan University of Science and Technology ( JUST ) menghenyakkan punggung ke kerusi dengan penuh sopan sambil menguntum senyuman di bibir mulusnya. Namun, sedikit garis resah berjalur di raut wajah doktor yang baru sahaja melaporkan diri sebulan yang lalu di jabatan itu.

" Perkara apa yang ingin Dr.Anwar maklumkan kepada saya. Ada masalah yang timbul? "
Dr.Mahathir Iskandar dapat membaca riak wajah anak muda dihadapannya.

" Dr., sebenarnya saya cuma nak maklumkan satu perkara. Saya sudah dapat laporan daripada Infection Control Commitee. Keadaan membimbangkan. Hasil laporan 2008,kadar nosocomial infection meningkat di jabatan ini. "

Dr.Anwar menerangkan kondusi kritikal yang perlu diambil tindakan segera. Nosocomial infection merupakan jangkitan yang diperolehi pesakit sepanjang keberadaan mereka di hospital berkenaan. Walhal, mereka tidak menghidapinya sebelum ditahan di wad hospital.

Kedutan di dahi Dr.Mahathir Iskandar berganda. Fikirannya ditujah hebat andaian persoalan yang bakal diajukan oleh Pengarah Hospital dalam perjumpaan bulanan ketua-ketua jabatan satu jam lagi. Dia kecut perut untuk bersemuka dengan Dr.Malik Khomini, Pangarah Hospital yang terkenal dengan misainya yang melentik tajam melawan graviti, lambang ketegasan pentadbir hospital itu.

" Apa kes nosocomial infection yang meningkat mendadak ini, urinary tract infection ( UTI ) ? Post surgical wound infection ? Lower respiratory tract infection ? Septicemia? ". Semua jenis nosocomial infection yang sering meledak diajukannya kepada Dr.Anwar, dia diburu rasa bimbang yang menusuk hatinya.

Belum sempat Dr. Anwar menjelaskan, dia kembali menyoal.

" Dalam laporan itu, apa faktor utama kes ini berlaku, adakah kerana kakitangan kita tak mengikut prosedur yang telah digariskan dalam panduan pencegahan jangkitan penyakit?? Bukankan kita baru selesai melancarkan kempen " Jom Cuci Tangan ". Tak kanlah perkara semudah ini yang diperkenalkan oleh Ignaz Semmelweis, Father of Hand Washing berat untuk dipraktikkan oleh doktor dan jururawat di sini. Ijazah sahaja menggunung tinggi, tapi tidak boleh diharap langsung. "

Dr.Mahathir Iskandar mendengus marah, dia terus membuat kesimpulan melulu tanpa menunggu jawapan dari Dr.Anwar.

" Sebenarnya bukan begitu ".

" Habis? ".

" Kes ini lebih berat dari yang tercatat dalam ilmu kedoktoran yang kita agung-agungkan tatkala ini. Mereka mengalami penyakit PADRA. "

Terbeliak bebola mata Dr.Mahathir mendengar butir bicara itu. Sepanjang dia terjun ke bidang ini, sesaat pun telinga capangnya tidak pernah menangkap nama penyakit itu.

" Awak biar betul. Penyakit mana asal usulnya ini, dari Timur Tengah ke? Jangan-jangan awak penyebarnya. "

" PADRA maksudnya ' Putus Asa Dari Rahmat Allah '. Penyakit ini lebih bahaya dari segala penyakit yang menduduki carta penyakit berbahaya yang dikeluarkan oleh WHO. " ujar Dr.Anwar.

" Kenapa berbahaya? Sudah terbuktikah ? " Dr.Mahathir kembali menduga.

" Ya, dalam tempoh seminggu ini sudah tiga kes pesakit cuba membunuh diri dek kerana tidak tertanggung kesakitan jasad mereka. Hakikatnya jiwa mereka yang menderita. "

Dr.Mahathir menelan air liur meskipun rongga mulutnya kering.

" Apa pucanya PADRA ini merebak ? "

" Hasil kajian dan penelitian, punca utama adalah pengabaian satu kewajipan yang besar. "

" Maksud kamu, prosedur membasuh tangan? ".

" Dr.Mahathir, ini bukan soal membersihkan tangan sahaja, ini soal menyucikan jasad dan rohani. Ramai dikalangan pesakita yang tidak menunaikan solat lima waktu. Mereka menyangka kewajipan solat ini gugur tatkala mereka diuji kesakitan. Apa yang merumitkan keadaan, ramai juga kakitangan jabatan ini lalai dalam menunaikan kewajipan ini. Ini punca sebenarnya! " Dr. Anwar menjelaskan dengan penuh rasa kesal.

Muka Dr.Mahathir Iskandar merah padam, telinga capangnya bertukar warna. Segala butir kalimah itu tidak bisa dinafikannya. Malah, terkena tempias di batang hidungnya yang sedikit penyek itu.

"Jadi, apa cadangan kamu untuk kita atasi kes ini? Saya perlukan cadangan segera kerana sebentar lagi saya ada meeting bersama Pengarah Hospital. Mati saya dibuatnya nanti. "

" Kempen JOM SOLAT ."

" Berapa hari? Seminggu? Dua? "

" Sampai bila-bila. Dakwah itu tiada had masa. Ini tanggungjawab kita semua. "

Dr.Anwar kembali menyambung tugasan, meninggalkannya seorang diri yang masih dihurung rasa bersalah.

Dr.Mahathir Iskandar mengemas fail-failnya dan memasukkan ke dalam beg bimbit yang diperbuat dari kulit buaya. Kakinya melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat dengan penuh debar.

Semua mata-mata milik ketua-ketua jabatan dan seorang lelaki bermisai lebat di hujung meja bulat merenung ke arahnya.

" Apa penjelasan kamu ? ".suara garau Dr.Malik Khomini bergema dan menyusup masuk ke gegendang telinganya, geteran itu memalu degupan jantungnya.

" Jangan bimbang, jabatan kami akan melancarkan kempen JOM SOLAT ".

Semua ahli mesyuarat memandang tepat ke arahnya, serentak ketawa terbahak-bahak sehingga mengalir air mata.

Dr.Mahathir Iskandar terpinga-pinga.

Thursday, December 1, 2011

Berpahala Kerana Sebatang Rokok


Rokok.

Ya, bukan semua menghisapnya.

Namun di mana-mana boleh terlihat batang putih dipadankan warna kuning jingga itu disedut di merata-rata. Hinggakan di hadapan papan larangan merokok, masih ada yang menghisapnya.

Sering kali terdengar rungutan dari mulut orang yang anti merokok, keluhan tidak tahan bau dan asapnya, mereka ini tidak sayang nyawa.

Tunggu dulu.

Jangan terlalu menyalahkan orang yang merokok, kerana saya percaya disebalik setiap hembusan asap ke udara, masih ada sekelumit azam yang tertanam dalam jiwa perokok untuk meninggalkan tabiat itu selama-lamanya.

Saya yakin 1.1 bilion mewakili 1/3 populasi penduduk dunia yang merokok tahu akan bahaya tabiat itu.

Sudah jelas terpampang pada kotak rokok gambar-gambar yang menakutkan, sebagai langkah pemberitahuan dan peringatan akan bahayanya. 4000 bahan kimia dan sedozen jenis gas yang akan melalui rongga pernafasan dalam setiap kali sedutan selalu diulang-ulang dalam kempen anti-rokok di mana-mana.

Risiko-risiko merokok yang pelbagai itu, mungkin ada yang tahu, mungkin ramai yang masih tidak percaya. Risiko mendapat kanser yang bermacam di seluruh tubuh badan manusia, masalah pernafasan yang kronik, juga masalah salur darah dan jantung yang akhirnya mengundang kepada kurangnya jangka hayat secara purata 7.5 tahun hidup manusia.

Ya, mungkin kita semua tahu akan risikonya,

namun tidak semua merasa kenapa begitu sukar untuk menghentikan tabiat merokok ini, walau sudah cuba berulang kali.


Sebuah Kelegaan Yang Panjang

Rokok itu melegakan, menenangkan di saat tertekan, di saat kesunyian.

Rokok itu sudah jadi rutin harian, tinggal sekali, badan dan hati jadi tak keruan.

Itulah antara alasan dan sebab yang diberikan kepada rokok itu sudah jadi sebati dalam kehidupan.

Namun, kelegaan itu hanya sementara , tatkala diri dimamah usia, merokok itu ibarat menyekat diri dari merasai kelegaan dan ketenangan yang panjang.

Kenapa?

Kerana wang anda terbuang?

Tidak mengapa, wang boleh dicari.

Kerana sakit akan mendatang?

Tidak mengapa, maut itu sesuatu yang pasti.

Bagaimana dengan insan tersayang?

Terjeda seketika, atau biasa-biasa sahaja?

Perokok sendiri mampu menjawabnya.


Ya, mungkin yang sakit itu diri sendiri, umur yang berkurang itu adalah umur batang tubuh yang menghisapnya.

Namun, bagaimana dengan insan tersayang, isteri yang mendampingi berjanji sehidup semati, anak-anak yang masih menagih kasih dan belaian ayah yang dicintai.

Buat yang masih muda, bagaimana dengan ibu dan ayah di desa. Harapan besar melihat anak sihat dan berjaya, dipulangkan harapan itu dengan penyakit yang menggusarkan mereka.

Mujahadah Seorang Perokok

Saya akui, saya tidak merasai bagaimana sukarnya untuk meninggalkan tabiat merokok ini. Lalu saya tuliskan tentang apa yang saya belajar, dan apa yang saya sudah jumpa. Sepanjang klinikal di bumi Jordan, ada beberapa pesakit yang telah saya temui, berjaya dalam usaha meninggalkan tabiat merokoknya.

Banyak perkara yang menentukan keberhasilan usaha menghentikan tabiat merokok ini. Antaranya :

Sejauh mana motivasi yang tinggi.

Sejauh mana keyakinan akan berjaya satu hari nanti.

Sejauh mana niat untuk katakan tidak di kemudian hari.

Sejauh mana tahap ketagihan nikotin yang dihidapi.

Apa cabaran dan halangannya pula:

Ketakutan akan menemui kegagalan.

Tidak tahan menanggu kesan awal meninggalkan rokok.

Menanggung symptom-simptom ketagihan, batuk yang berlarutan pada permulaan, mulut kekeringan, rasa kelaparan, tidur yang tidak keruan, semua itu harus ditempuh dalam usaha untuk membebaskan diri dari cengkaman sebatang rokok !

Dengan bantuan dan sokongan keluarga, dan usaha untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan pakar, tidak mustahil, kesusahan yang dilalui sementara itu akan membuahkan hasil.

Itulah perjalan mujahadah buat perokok yang benar-benar ingin berubah. Setiap harinya moga bernilai ibadah, usahanya adalah lambang sebuah cinta.

Cinta pada diri sendiri, keluarga, dan paling utama, cinta kepada sebuah kesyukuran akan nikmat kesihatan yang diberikan Tuhan.

Buat kita yang memiliki teman, ahli keluarga, sama-sama kita menyokong usaha mereka untuk berubah dan jangan mengalah.

Buat perokok yang masih belum dan sedang bermujahadah, saya doakan anda berjaya untuk berubah.

Moga usaha dan keazaman anda, meraih buah-buah pahala.

Monday, November 28, 2011

Kasih Ibu




9 bulan 7 hari.

40 minggu.

Itulah masa yang dinanti dan ditunggu, oleh seorang yang bergelar ibu.

Alhamdulillah, saya baru tamat round Obstetrics and Gynaecology selama dua bulan, satu-satunya subjek yang besar untuk tahun kelima saya di sini.

Dua bulan yang dilalui, semakin saya dalami O&G, semakin rasa betapa pengorbanan seorang ibu memang sukar hendak diungkap dengan bicara.

Sedari awal disahkan kehamilan, hingga cukup bulan, ibu hamil banyak mengalami perubahan fisiologi, malah menanggung risiko dan komplikasi.

Kekurangan sel darah merah, tekanan darah tinggi mahupun rendah, mendapat kencing manis dalam tempoh kehamilan, risiko keguguran, bertarung nyawa dalam proses kelahiran secara normal mahupun dibedah, itulah risiko-risiko yang diambil oleh seorang ibu yang berniat suci untuk melahirkan cahaya mata penawar hati.

Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang ibu yang sudah keguguran dua kali dalam tempoh 5 tahun perkahwinan, kandungannya yang ketiga pada saat itu sudah menjangkau 39 minggu, dengan penuh harapan , dia berharap anaknya yang ketiga ini selamat lahir ke dunia.

Tahun lepas juga, semasa round di wad Paediatrics, pernah satu ketika kami bersama seorang doktor bertemu dengan sepasang suami isteri yang sedang menemani bayinya. Kami mengambil 'patient history' , bertanyakan tentang maklumat pesakit dan simptom-simptom yang dialami oleh bayi berkenaan. Kata ibunya bayinya hanya demam biasa, dan akan sembuh seperti sediakala.

Usai buat sedikit pemeriksaan, kami keluar dari bilik pesakit lalu doktor membuka cerita.
Bayi berkenaan sebenarnya mengalami simptom hypotonia, kekuatan otot-ototnya lemah, dan yang mengejutkan anak-anak mereka sebelum ini sudah meninggal dunia disebabkan keadaan yang sama. Ibu itu cuba menyembunyikan dari kami, mungkin kerana tidak tahan menanggung kesedihan, dan penuh harapan agar anaknya yang satu-satunya masih bernyawa, agar terus membesar dengan seperti manusia biasa.

Itulah hati seorang itu.

Cukup tulus, cinta pada anaknya tanpa syarat seawal kehadiran di dunia.

Pengalaman dua bulan di wad ibu-ibu ini, mengingatkan saya, betapa sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu.


-Terima kasih emak, Puan Suraya Zaman yang melahirkan anak yang degil ini ! :)
- saya sedang round Family Medicine di markaz sihi, pusat kesihatan yang jaraknya 15 minit berjalan kaki dari rumah, jimat duit tambang :)



Saturday, November 26, 2011

Hijrah Anak Muda




" Masa muda masa yang berapi-api "

Itu lirik lagu nyanyian Hj Rhoma Irama, yang pertama kali saya dengar usai menonton Sang Pemimpi.

Anak muda, jiwanya membara, apa yang difikir dan dirasa, ingin diluah seisi dunia.

Anak muda, umur baru menjengah awal 21 tahun, namun bila dimuhasabah perjalanan kehidupan, sudah satu pertiga takat purata hidup manusia sudah dihabiskan.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun.

Setiap tahun menyambut Hijrah.
Menanda umur sudah bertambah.

Fasa Kehidupan

Usia remaja berpindah ke alam dewasa, memainkan signifikasi besar dalam mencorakkan siapa kita di masa hadapan.

Kita akan berdiri di banyak persimpangan dalam membuat keputusan jalan kehidupan bagaimana yang kita pilih.

Soal kerjaya, soal membina rumah tangga, soal sumbangan pada keluarga, komuniti dan negara yang semuanya terangkum di bawah lembayung kehidupan ad-deen, cara hidup kita.

Anak muda, diuji dengan banyak perkara.

Mungkin dengan ujian susah di dewan kuliah.
atau senang lenang hiburan yang bermaharajalela.
Ujian cinta dan soal hati luka merasa,
atau ujian kesempitan wang duit segala.

Persoalannya, sejauh manakah anak muda berusaha membebaskan diri dari cengkaman ujian yang melanda?

Berusaha membina prinsip dan jati diri berdasarkan kefahaman agama.
Berusaha penuh kudrat dan tenaga memerah sisa usia untuk menjadi seseorang buat diri sendiri.

Buat pemuda, lihatlah Umar begitu berani, melaungkah hijrahnya tanpa sembunyi.
Buat pemudi, lihatlah Asma' Abu Bakar yang begitu cekal dan berani, bertugas menghantar makan buat Rasulullah dan ayah yang dikasihi.

Anak muda,
yang belum dan tidak akan tahu bila ajal menjemput,
jenazahnya disambut.

Lalu, untuk apa harus dibazirkan begitu masa, seolah-olah perjalanan ini panjang tiada bertepi,
seolah-olah syurga abadi itu murah sekali.

Dihadapan anak muda, tertuntutnya tanggungjawab-tanggungjawab yang harus dilaksana, dengan penuh cermat, penuh teliti, biar berlinang air mata, biar berlapar dahaga.

Kerana kita dihidupkan bukan untuk berjalan pergi ke mana ikut kata hati,
tetapi kita akan dipanggil pulang kembali bertemu Ilahi.

Hijrahlah wahai anak muda.
dari segenap segi.
Sepenuh jiwa, sepenuh hati.
Sampai mati.



~ mengambil semangat hijrah, saya akan kerap menulis semula. doakan saya!



Monday, November 21, 2011

LUKA


Luka-luka,
Ditembak tubuh tertembus jiwa,
Beralasan sejahtera negara,
Dihapusnya sang 'penderhaka',
Derhaka ketuhanan kuasa,
Berontak jahiliyah bermaharajela,
Dihalalkan darah tersimbah merata.

Air mata,
Hilang suami tiada terbela,
Pergi ayah pulang tiada,
Kembalinya pemimpin agama,
Luka yang terpahat lama,
Mengalir semangat penerus jaya,
Demi melihat agama terbela.

Sejarah lepas kau ratah,
Sejarah esok bisa diubah,
Dengan jiwa-jiwa takutkan Allah!

~ dedikasi buat yang pergi, pedoman buat yang bernafas lagi ~

Monday, August 8, 2011

Wajah Cinta




Bicara soal sesuatu yang dinamakan CINTA, ianya seolah nampak mudah. Sudah menjadi trend dari dahulu hingga sekarang, cinta itu digambarkan dalam pelbagai rupa, dalam pelbagai rasa.
Dari saat-saat indah memadu cinta hingga tersungkur kerana butanya ia, itu yang sering ditayangkan dan disogok ke dalam pemikiran umat manusia.

Letak sahaja judul Cinta, segala produk akan laris di pasaran, dan tidak kurang juga apabila diletakan sekali bersama cinta itu pelbagai tema yang dekat dengan manusia, pasti menjadi rebutan dan mendapat tempat perhatian.

Orang ramai fikir cinta adalah segala-galanya. Malangnya cinta yang dikatakan segala-galanya itu hanya dihadkan dan terhad kepada cita kaum Adam dan Hawa semata-mata.

Ramadhan Berbicara Tentang Cinta
Sudah seminggu Ramadhan kali ini bertamu.

Ramadhan yang sedang kita lalui ini sebenarnya sedang berbicara tentang cinta.
Mengapa?

Sedar tidak sedar, dalam usaha kita untuk mengkhatamkan kitab Al-Quran sepanjang bulan yang mulia ini, Al-Quran itu sendiri sedang membicarakan bait-bait cinta, menghembus damai ke dalam hati pembaca yang membuka hatinya, untuk mentadabur ayat-ayat Allah.

Secara bahasa cinta itu bererti kasih sayang, lawannya adalah benci. Cinta adalah kecenderungan jiwa kepada sesuatu yang dilihat, dikira dan dirasa baik.
Perasaan ini dicampakan ke hati manusia oleh pemilik cinta, Allah Taala ,yang terkenal dan tiada tandingan akan sifat kasih sayang-Nya.

Cinta Allah kepada hamba-Nya adalah keredhaan Allah kepada mereka, disertai kebaikan-kebaikan Allah kepada diri hamba-Nya.

Kita sering kali membelek buku-buku rujukan mahupun bahan-bahan picisan untuk tahu dan kenal lebih lanjut akan kalimah cinta. Kenapa tidak kita buka, tatap, baca, dan rasa akan 'wajah' cinta yang sememangnya sudah lama terpahat buat rujukan umat manusia, terkandung dalam kitab yang diturunkan buat umat junjungan Nabi kita, Muhammad S.A.W.

Dalam Al-Quran, 'wajah' cinta Allah banyak digambarkan dan dititipkan buat tatapan hamba-Nya yang benar-benar ingin meraih cinta Allah : bahawa Allah mencintai hambanya yang bertaqwa, manusia yang berbuat kebaikan, bertaubat dan mensucikan diri, redha dan sabar akan ketentuan takdir dan lain-lain kebaikan.

Firman Allah dalam surah ali-Imran : ayat 31




Maksudnya : Katakanlah : " Jikalau kamu ( benar-benar ) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Dalam Al-Quran juga dipaparkan kisah cinta mulia antara sesama manusia, seperti kisah cinta seorang ayah kepada puteranya, iaitu kisah Nabi Ya'qub kepada putera kesayangannya Yusuf a.s. Cinta seorang ibu kepada puteranya sebagaimana kisah ibunda Musa a.s. kepada baginda Musa. juga kasih ibu angkat Nabi Musa, Asiyah binti Muhazim kepada baginda. Kisah antara golongan adam dan hawa turut diukir indah seperti kisah Kisah Nabi Sulaiman dan Balqis, Kisah Cinta Putera Nabi Syu'aib dan Nabi Musa a.s. Kisah kecintaan golongan Ansar dan Muhajirin yang diwajahkan dalam bentuk ikatan persaudaraan yang kukuh dan ampuh.

Segala kisah-kisah cinta yang terakam menitip pesan dan panduan untuk meraih cinta Allah.

Bukan itu sahaja, Al-Quran bahkan turut sama menitip peringatan keras akan cinta-cinta yang membinasakan, yang bukan sahaja mengundang derita di dunia malah di akhirat sana.

Antaranya adalah kecintaan kepada dunia, kepada wang dan harta, keinginan syahwat, kenikmatan dan keingingan yang tidak terpuji di mata Allah seperti firman Allah :



Maksudnya : Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: Wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). ( ali-Imran : ayat 14 )

Oleh itu, sama-sama kita berusaha dalam memahami dan menghayati ayat-ayat yang kita baca, cuba merasai pesan cinta dari Allah kepada hamba-Nya melalui gambaran-gambaran berbentuk perintah, kisah dan peringatan serta larangan.

Moga Ramadhan ini bukan sekadar pada jasad kita menahan lapar dan dahaga,
moga kita usaha untuk meRamadhan hati kita. Mencari hakikat CINTA.



~ 5 hari lagi. iAllah.
~ Alhamdulillah. Diuji tanda dikasihi, moga Allah terus berikan kami kekuatan ~








Monday, August 1, 2011

Nostalgia Puasa


Ramadhan.

Saya ada nostalgia Ramadhan semasa saya kecil dan comel. Saya rindu dengan kenangan lalu yang mengajar saya banyak perkara.

Saya ingat lagi masa mula-mula saya belajar berpuasa, lebih kurang masa di bangku Tadika. Abah berikan saya dan kakak seringgit seorang kalau berjaya puasa penuh.
Semasa di kelas, ramai kawan-kawan yang bawa bekal dan botol air. Gulp.

" Kenapa kau tak bawa ape-ape? " seorang kawan bertanya.

" Aku puasa la. Ni kan bulan puasa. " saya menjawab sambil menjeling bekas makanannya.
Namun setibanya di rumah, dapur jadi destinasi pertama, periuk nasi jadi sasaran di tengh hari :) .Petang sebelum berbuka saya meminta Abah berikan saya 50 sen kerana puasa separuh hari.
Akak saya dapat seringgit kerana puasa penuh.
Lama kelamaan semakin meningkat dewasa saya sudah berpuasa penuh tanpa dapat walau sepuluh sen kerana saya sudah memahami puasa itu bukan kerana mendapat upah yang kita nampak dengan mata, tetapi ada ganjaran yang diberi buat bekalan di hujung sana.

Masa saya di usia lebih kurang darjah dua, di bulan Ramadhan ini saya akan membantu emak saya berniaga kuih di hadapan rumah kami. Ketika itu saya duduk di pekan yang majoritinya kaum Cina. Meniaga kuih sebegini memang menggugat iman, bayangkan ketika perut sedang berkeroncong, kuih-kuih kegemaran yang masih suam-suam dan hangat-hangat ada di depan mata.

Alhamdulillah, berniaga memang menguntungkan. Pembeli terdiri daripada kalangan lapisan kaum, Melayu , Cina dan juga Indonesia. Namun satu hari yang agak menyedihkan ketika berlaku kesilapan dalam pemulangan wang, akak saya tersilap kembalikan wang not 50 yang sepatutnya not 5 sahaja. Orang itu berlalu pergi tanpa kembali. Kami kerugian hari itu. Pernah juga payung tumbang disebabkan angin yang kuat, lalu ada bekas kuih yang jatuh ke tanah tanpa sengaja. Memang rezeki milik Allah, kita manusia harus usaha. Natijahnya, kami adik beradik shopping raya dengan keuntungan jualan kuih sepanjang sebulan Ramadhan. Alhamdulillah.

Pernah juga di bulan puasa saya menolong abang angkat saya menukang rumah.
Letihnya memang tidak terkata. Banyak perkara saya belajar, bagaimana membancuh simen, memotong besi, gergaji kayu, panjat sana sini. Itu kenangan indah dan tinggal kenangan kerana dia sudah pulang ke negara asalnya, Indonesia.
Saya rindukan Ramadhan saya bersama keluarga. Susah senang bersama mereka.
Sahur bersama-sama, berbuka bersama-sama.

Adik-adik saya yang masih kecil sekarang ini melalui pengalaman berbeza.


Minggu lepas saya berbual dengan Afiq,
" Abang Naqeb, Afiq tak puasa, mak tak bagi sebab kalau Afiq puasa Afiq macam nak mati ."

Yang abangnya Najib pula baca niat mandi wajib bila diminta untuk niat berpuasa depan nenek,
mentang-mentang baru belajar di sekolah agama. Habis tergelak nenek dibuatnya. Alahai adik-adikku. Rindu.

Nostalgia itu memang indah.
Namun bukan untuk dikenang semata-mata.
Tetapi untuk dimuhasabahkan senantiasa, agar tidak bergelar lupa daratan.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Ayuh, gunakan masa Ramadhan yang berbaki dengan sebaiknya, kerana mungkin ini Ramadhan terakhir kita.

Kerja Tuhan siapa tahu?


- ini catatan 2 tahun sudah, sekadar mengulang untuk ku kenang :)
- 12 hari lagi..