Wednesday, January 28, 2009

Terbang ke angkasa


InsyaAllah, enam jam lagi saya akan terbang ke langit dunia, meninggalkan sementara bumi Irbid menuju ke kampung halaman.

Cuti.

Memang menyeronokkan.
Tidak memikirkan soal kuliah yang berderetan.
Tiada timbunan nota perlu dihadam dan dimuntahkan kala peperiksaan.
Masa yang lapang dan luas, tidak lemas.

Ah! Jangan rasa senang . Itu juga ujian, ujian kesenangan yang sering kita lalaikan, yang kita jarang buat persediaan menghadapinya. Bila tiba ujian ini, semua angkat kaki, meredah tanpa target dan sasaran. Percutian itu bisa jadi pembaziran masa,wang dan sebahagian juzu' kehidupan.

Saya sudah membuat senarai aktiviti target yang hendak dicapai sepanjang keberadaan di Malaysia. Saya juga telah membuat bajet kewangan untuk mengelakkan pembaziran.
Apa yang penting, sejauh mana saya bersungguh melaksanakan apa yang saya rancangkan.
Hakikatnya, Allah yang Maha Perancang.

Mahu meluang lebih masa dengan Tuhan empunya masa.
Mahu meluangkan masa menemani Abah ke pusat dialisis dan appointment bersama doktor pakar.
Mahu menebus masa dengan keluarga.
Ada majlis merisik yang perlu saya lalui.
Mahu menziarahi sahabat di pusat pengajian mereka.
Mahu memburu karya dan buku ilmiah.
Mahu mencoret nukilan sastera.
Merancang bercuti sehari dua ke tempat yang sejuk mata memandangnya.

Seorang senior saya memberi pesanan, untuk pulang mengecas kekuatan, sebelum menyambung semula perjalanan saya yang masih jauh.

Blog ini akan turut berehat buat seketika.

Moga kita senantiasa di dalam redha-Nya.

Tuesday, January 27, 2009

Pensel

"Kecil nak duduk rumah,Kecil tak nak ikut ayah ari ni. Nyamuk banyak la ". si Kecil merungut setelah dipujuk Mak Cik Salbiah berulang kali.

Mak Cik Salbiah bimbang akan suaminya keluar bersendirian menoreh getah di kebun getah milik Haji Samad. Maklumlah , isteri mana yang tidak bimbang akan keselamatan suami yang keluar mencari sesuap nasi, membanting tulang empat kerat mengagau rezeki.

Dia putus asa memujuk Kecil yang terkenal dengan sifat keras kepala, sekeras kepala dungu pemimpin dunia. Matanya hanya mampu memandang anak tunggal hasil lewat perkahwinannya itu.

Jari jemari Kecil ligat mengasah pensel 2B yang kian kontot, itulah senjatanya di medan ilmu.
Sayang benar akan pensel itu, diciumnya berkali-kali. Mak Cik Salbiah hanya mampu tersenyum menyeringai menampakkan emas di celahan barisan putih giginya.

" Apa yang Kecil suka sangat dengan pensel kontot tu. Buang je, dah pendek sangat. Nanti bila Ayah dah jual getah buku, kita pergi pekan beli pensel baru ya. "

" Tak nak, ni pensel ajaib. Kecil boleh ubah dunia dengan pensel ni. Kecil boleh ada kuasa, binatang-binatang jahanam yang rosakkan kebun Mak pun Kecil boleh kalahkan. "

" Suka hati kau la Kecil, mak nak ke rumah Cik Kiah, mana tahu kalau ada apa-apa yang boleh Mak bantu dia , dapat kita makan sedap-sedap sikit malam ni. "

Kecil masih leka dengan penselnya.

Tumpu.

Satu garisan dimulakannya merentasi keputihan kertas yang beralaskan buku teks Matematik darjah dua. Kecil semakin khusyuk mencoret apa yang terbayang difikirannya. Dia leka melukis gambar-gambar yang tidak tahu mana asal usulnya. Gambar yang seolah-olah memberi nafas baru dalam tampang tubuh kurusnya.

Kertas yang tadinya putih bertukar wajah, kelam dan suram kian menghilang, menjernihkan suasana yang menakjubkan dari helaian itu.

Kecil menyentuh kertas itu meski rasa takut menyelimuti tubuh dinginnya.

Zupp...

Degup jantungnya berganda dua,tiga, empat dan tidak terkira.
Nafasnya tersekat hebat seperti ditekan kuat-kuat.

Dia membuka, memerhati sekeliling dengan hati tikus menyaksikan dunia yang baru dijejaki.
Jemari kidalnya masih menggegam si kontot kesayangan.

" Inikah keajaiban?? "

Kecil menghembus nafas tidak percaya, omongannya ternaya benar, pensel itu ada kuasa hikmat. Dia tersenyum puas.

Dia terus melangkah ke dunia baru itu, jejak tapaknya mengekori dan anak matanya melilau mencari jalanan mana yang harus di pilih. Dia keliru.

" Ah, aku kan ada pensel ini. "

Kecil meletakkan mata pensel itu di atas muka tanah, lantas satu garisan muncul memanjang , lalu memandu geraknya.

Jauh.

Di kiri kanannya tersergam bangunan indah dan tinggi, yang menjengah langit bumi.
Hatinay berbunga rasa kagum, tetapi kembali kecut melihat susuk tubuh-tubuh yang menghuni di dalam ceracakan bangunan itu.

Ada yang menjerit, melalak, menangis hingga mata berdarah merah.
Lagi?
Ada yang terjun dari bangunan yang tertinggi, pecah kepala dan jiwa raga.

" Ini masalah! "

Tempurung akalnya ligat berbicara. Lantas dihalakan pensel kontotnya ke arah saf bangunan itu. Tangannya menghayun lembut, seolah-olah melukis di kanvas putih bertemankan bayu pagi di tepi kali air.

Bangunan yang tinggi tadi mengecil dan mengalami transaksi saiz.
Ala-ala sederhana. Manusia di dalam juga turut serta mengikuti transformasi ajaib.
Kembali normal, tidak menggila seperti sebelumnya.

" Ajaib! "

Dia melangkah dengan rasa bangga kerana berjaya menyelesaikan satu masalah.
Dikucupnya pensel itu berkali-kali.

Selipar jepunnya terus menapak, mengikuti penunjuk arah. Dia takut sesat.
Kecil tidak sebodoh manusia-manusia yang mata mereka dan akal waras mereka telah melihat penunjuk kebenaran, tetapi nafsu syaitan masih menafikan yang hak, masih ghairah melaui jalanan songsang, yang penuh dengan lompang dan akhirnya terjunam di lembah binasa.

Kecil taat mengikuti garisan itu. Tidak tidak ikut separuh, seleweng separuh. Fikirnya, itu kurang akal namanya.

" Gulrp. "

Matanya tidak terkebil, lopong mulutnya membesar dan membulat, di hadapannya sedang ada satu peperangan dahsyat yang tidak pernah disaksikannya di buku teks sekolah. Gurunya tidak pernah mengupaskan isu peperangan ini, mungkin takut anak-anak sedewasanya melonjak usia dari limitasi yang telah dihadkan pemerintah.

Mahluk besar dan hodoh sedang menggila, menyerang bertubi-tubi makhluk-makhluk kecil yang bersih tubuh mereka.

Geli. Melihatkan mahkluk hodoh itu.
Simpati. Merenung nasih makhluk bersih itu.

Kecil takut serta-merta dan berselindung di sebalik empayar besar yang tersergam di sekeliling medan perang.

Kelihatan ada kawanan penyokong di kedua-dua belah pihak. Namun apa yang peliknya, terdapat segelintir penyokong bahlul yang kononnya menyokong pihak makhluk kecil menyalurkan cas tenaga kepada si makhluk hodoh bedebah secara langsung, jika tidak pun ada tidak malu mengirimkan wang dan tenaga kepada gerobolan penyokong si hodoh yang bertindak sebagai peneguh dan pengukuh kedudukan makhuk syaitan di medan perang itu.

Peperangan apakah ini?
Berat sebelah. Pengkhiatan!!

Kecil tidak betah melihat makhluk berwajah bersih disiksa hingga bermandikan darah.
Atmanya melonjak ke udara, memanggil kelakiannya dan kepewiraan untuk menerobos ribuan penonoton bisu yang sedang bersantai .

Kecil ke hadapan betemankan sebatang pensel.

Nah kau..

" Tidak, pensel aku!!! "

Makhluk hodoh merentap, meragut penselnya.

" Pensel!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Senyap.

Di hadapannya bukan mahkluk hodoh, tetapi Mak Cik Salbiah.
Rumahnya dipenuhi lelaki bersongkok dan berketayap. Wanita-wanita berkelubung kepala dengan baju kurung bercorakan bunga.

Alunan Yassin bergema.
Di tengah halaqah mereka sekujur tubuh kaku tidak bernyawa berselimutkan kain batik lepas terbaring mengarah kiblat jutaan manusia.

Kecil tidak percaya. Dia merampas penselnya lalu berlari ke arah jasad ayahnya, namun dihalang oleh jiran tetangga.

" Tidak!!! "

" Pensel ajaib , bantula aku! Tolonglah." rayu Kecil.

Ayahnya tetap tidak akan sedarkan diri, dan akhirnya Kecil sedar pensel itu tiada keajaiban.
Semua itu hanya angan-angan.

Kecil sedar keajaiban pensel itu bukan pada batang tubuh pendeknya, tetap sejauh mana kegunaannya dalam mencorak dan mengubah kondusi dunia.

Pensel Kecil dibasahi air mata.

-cerpen ini sekadar percubaan, harap ditegur kekurangan dan kekhilafan

Sebermula pencarian..kembaraku



Cuti saya dimulakan dengan kembara ke Jepun sebentar sebelum menuju ke destinasi yang dirancang.

Pagi ini sejuk yang membuaikan, menyamankan hati dan perasaan.
Sejuk dan nyaman semilir itu tidak bisa menumpaskan ketenangan menghirup bicara pak cik pembaca Riyadus Salihin di kala mentari masih malu-malu mencerah bumi.

Saya merenung air tasik, berkelocak dengan ciuman fitrah angsa yang menghuninya. Tasik Senba mendamaikan mata. Nun jauh di sana, saya merenung bandar Mito tersergam indah dan gagah.
Beristerikan Tamain Kaira di jihat kiri, semuanya bagai tercipta untuk pencinta alam dan seni, agar mencoret bait-bait indah dalam laman hati.

Kemudian, saya bergerak ke bandar Mito, melihat dengan jelas Gejyutsukan, Art of Tower. Laksana replika keris besar berlok tiga, ia umpama penguasa kepada ceracakan bangunan lain dikoloninya.

Saya ingin menyuci diri di Tasik Senba yang tenang, namun nasib saya malang. Saya tersungkur ke dalam lalu jatuh kembali pulang bumi Irbid.

Novel dan Kembara

Kala ini kawan serumah giat bersiap mengemas pakaian dan kelengkapan, United Kingdom destinasinya. Seorang lagi bakal ke Turki lusa ini. Kawan-kawan lain juga bakal bermusafir ke Mesir, Greece, Syria dan ada juga yang menghabiskan musim cuti meneladani kehidupan di Irbid.

Kembara memang menyeronokkan, meskipun saya belum merasainya secara hakiki.

Saya pernah ke Mesir, menikmati aliran Sungai Nil, nadi kesuburan tanah-tanih bumi yang bertapaknya susuk Piramid.
Syria juga saya pernah kunjungi, merasai susana pembelajaran di Institut Sheikh Ahmad Kiftaro.
Saya juga hampir menyeberangi masuk ke Palestin, namun belum sempat lagi menghabiskannya.
Negara sumatera Indonesia juga saya pernah tinggalakn kesan tapak kaki, menelurusi sekolah-sekolah pondok, menikmati bakso cinta berbentuk hati .
Jangan terkejut, saya juga pernah masuk ke laut, naik ke langit, bertemu dengan jin yang bermacam ragam, lebih kurang jalur warna mereka dengan manusia.

Namun itu hanya kembara saya dalam lipatan catatan karya yang dinukilkan oleh mereka yang pernah melaluinya. Hirupan dan sedutan deria rasa pembaca dengan penulis memang berbeza.

Bagi kalian yang akan merentasi benua dan negara, saya sarankan buatlah sedikit catatan pengembaraan,agar dijadikan panduan dan kenangan. Mungkin di masa itu anda tidak nampak apa signifikan setiapa peristiwa yang anda lalui, tapi boleh jadi sesudah setahu dua berlalu, catatan itu membantu dalam mencoret sebuah perjalanan yang masih jauh di hadapan dengan izin Tuhan.

Berjalanlah kita di bumi Tuhan ini dengan mata yang terbuka, telinga yang peka, mulut yang berzikir, dan hati yang bersih dari kotoran jiwa.


Kembara ke kampung halaman

Hirupan nafas di kampung dan di bandar memang berbeza dari kualitinya, kurang sedikit pencemaran meskipun pencemaran itu sudah sebati dengan alam kesan tangan-tangan manusia keparat yang menzalimi flora dan fauna.

Saya rindukan untuk berkubang di sungai yang airnya mengalir dari puncak Gunung Ledang, gunung yang terkenal dengan hikayat puteri yang mensyarat tujuh dulang bervariasi untuk dinikahi. Saya rindu untuk memancing belut di lubang-lubang parit. Pertarungan dengan belut lebih sukar dari meragut si haruan di Sawah Ring. Sawah yang terbentang menghijau berjalurkan tali air, tempat saya selalu memancing rezeki alam. Saya rindukan pondok kecil dan usang, tempat kami berteduh kala hujan sambil menunggu joran diragut ikan.

Alhamdulillah, kampung saya masih menghijau meski ada sedikit pembangunan oleh kerajaan.
Balai raya batu menggantikan balai raya yang hampir dimakan anai-anai telah siap dibina setelah emak,ayah dan beberapa orang kuat kampung berusaha mendapatkannya.
Kini ianya jadi pusat aktiviti kemasyarakatan, menghimpun ibu-ibu kepada anak-nak jati untuk mempelajari kraftangan dan masakan. Saya kagum dengan emak saya yang kini semakin aktif menghidupkan gerak kerja kaum ibu. Siapa kata kaum ibu di kampung hanya membesarkan anak yang berderetan macam kereta api, mereka juga punya wawasan tersendiri meski tidak sama seperti kaum wanita metropolitan yang menghuni kehidupan kota.

Cumanya sedikit rugi dan kesal kerana masih kurang pendedahan dan aktiviti membina kemanusiaan yang dihidangkan kepada anak-anak muda, kesannya mereka menyalurkan sikap ingin tahu dan berani mencuba ke arah sonsang dek kerana tiada peluang baik mendatang.

Di surau dan masjid,yang berbaris di saf, majoritinya yang sudah bergelar datuk, minoriti adalah kanak-kanak kecil yang bersongkok dan berlonggok di belakang sana. Anak muda? Siapa kata tiada? Cumanya ramai yang meraikan kedatangan jemaah masjid dengan petikan gitar dan hembusan asap rokok di tangan sambil bersembang soal seks dan hiburan di bahu jalan. Malang!

Inilah jalur kehidupan yang bermacam warna, yang akan kita lalui sepanjang menyempurnakan usia dan tanggungjawab yang dipikul kita.

Sejauh mana kita bermusafir, meski dari bawah tempurung kita melonjak menggapai bintang di langit angkasa, di setiap persimpangan yang kita jejaki itu anda stesen muhasabah untuk kita nilai sejauh mana tanggunjawab kita telah terlaksana dengan sempurna.

Berjalanlah kalian di bumi Tuhan, asal tidak takbur dan bongkak mendongak ke langit dunia!

Monday, January 26, 2009

Songsang ?

Satu.

Akhir.

Mula.
Setiap permulaan dihujungnya tercatuk titik pengakhiran. Dan titik pengakhiran itu bukan noktah penamat, kerana ia hanya senggang masa untuk menyedut nafas sedalam-dalamnya sebelum menyambung bait-bait seterusnya. Ibarat coretan pena, setiap perenggan memainkan peranan dalam membina kesinambungn hikayat mahupun sejarah.

Perenggan pertama bercerita soal usaha-usaha hendak membangunkan masyarakat, mahu menjana modal insan, menunjang pembangunan negara. Berjela-jela. Penat.

Menyambung dengan perenggan kedua, ligat menyumbat lompang hati manusia dengan hiburan sejagat, menyekatkan tumbesaran minda dan akal anak muda berjiwa manusia, juga penat. Songsang?


Perenggan yang tidak saling menyokong, malah memesong, hasilnya KOSONG! Semua itu bohong!

Sekadar muqadimah.

Alhamdulillah, selesai sudah semester pertama tahun kedua saya. ( ini point utama sebenarnya : )

Semester yang banyak mengajar dan mencabar manusia kerdil, si pelajar . Dan ajaran dan cabaran itu hanya sekelumit dari apa yang dirasai oleh saudara kita di Gaza.

Malu.

Banyak kenangan yang saya nukilkan di blog ini. Nukilan yang kalian bisa baca dengan pancaindera atau juga dengan cubaan bacaan bicara hati manusia.

Kenangan sepanjang semester ini saya rakam dalam blog ini, untuk tatapan saya, dikenang semula.

Saya menulis tentang Majlis Jom Korban, agar saya tahu hidup ini memang memerlukan pengorbanan. Atas cadangan Rasydan, saya transaksikan blog ini kepada Menjejak Roh Pengorbanan.

Semester lepas juga membuka ruang saya berjinak mengasah pena berkarya, walau saya tahu terlalu banyak lompang kosong. Terima kasih Hilal Asyraf kerana kehadirannya meransang saya untuk berjinak berkarya.

Alhamdulillah, cerpen Kasih Fana di Sudut Dunia terpilih pemenang Sayembara Cerpen Islami PERMAI, meski hanya beberapa kerat yang menyertainya. Bagi yang rasa berpotensi untuk menulis, apa salahnya anda mencuba, jangan disia-siakan ajaran guru bahasa sejak di bangku tadika.

ADHA.

Satu kenangan yang akan saya kenang sepanjang keberadaan di sini. Pengarah teater yang menawarkan diri membantu,membuat saya terharu, bersenergikan pelakon dan krew yang mantap, menghidupkan pementasan sulong di sini. Moga kekurangan dan kelemahan yang menfitrahi usaha kecil ini akan disusuli dengan muhasabah dan penambaikan di segenap sisi.

Semester ini juga banyak mengimbau kenangan lama. Saya kembali berhujah di meja debat meski sudah penat.


Azam?

Setiap akhir semester, ramai yang memasang azam untuk memperbaik pulih kecatatan dan keaiban yang telah disemadikan, namun sejauh mana kebenaran azam itu dizahirkan,
tepuk dada tanya kemahuan, sekadar tahu tapi tidak mahu, letaklah kita digam teguh di takuk tidak mampu.

Jom kita meneruskan kesinambungan jalur hidup kita, biar cemerlang. Jangan SONGSANG! :)


-menghitung hari..bau mee bandung sudah mengunjungi
-selamat bermusafir buat sahabat sekalian, carilah pengalaman bertunjang redha Tuhan
-ada cadangan novel atau buku menarik tak untuk dibeli di Malaysia?

Saturday, January 24, 2009

Secawan kopi pekat


Secawan kopi pekat,
Menghimpun manusia rapat,
Bicara soal umat.

Seteguk Starbucks coffee,
Bicara bisnes meninggi,
Seribu syahid terpuji.

Sehangat air teh,
Dihidang bidadari kala letih,
Pengikat tali kasih.

Sebotol Coke,
Diteguk bersilang rokok,
Mayat saudara berlonggok.

Kau pilih mana?
Ingin kau bunuh siapa?

Friday, January 23, 2009

Keluarga: Menghitung hari..

Panas dan nyaman pagi Jumaat ini.

Saya terlena di depan sobah ( alat pemanas ) pagi ini. Telinga saya sayup-sayup menangkap bunyi pesanan rindu dan cinta seorang ibu ke mesin penghubung saya dan keluarga.

" Salam. Alhamdulillah, abah hari ni dah boleh sembahyang jumaat pegi bawa keta. Bertambah sihat . Lepas sembahyang mak bawa abah pg buke kat leher ( tiub untuk cuci darah) sebab dah boleh pakai pestula kat tangan. Lebih senang abah nak bergerak. semua berkat doa anak2 abah. Afiq jadi ketua darjah dan pengawas sekolah agama. Ari ni Qila balik cuti seminggu raya cina. Adik Ayuni dah tak pakai pampers. Last paper exam nanti bgtau ye. Ok, jumpa tak lama lagi, makin dekat makin rindu pada Naqeb. bye. "

Membaca mesej ini, rindu saya membuak-buak untuk melutut di hadapan keluarga, membayar harga nilai hari-hari yang mereka lalu tanpa saya. Harga pengorbanan Emak yang banyak berkorban tatkala Abah diuji Allah sejak beberapa bulan lalu. Membayar kerinduan Abah pada saya, walau dia tidak pernah menyuara rasa rindu itu, saya dapat rasakan dengan esakannya di hujung talian ketika berminggu dia terlantar di hospital. Walau saya tahu saya tidak dapat membayar semua itu, izinkan saya menyelit dalam lipatan ujian meskipun dua minggu.

Emak memang selalu mengirimkan saya perkembangan atma dan tampang kecil adik-adik saya fasa kedua. Ada tiga orang kesemuanya, Najib, Afiq dan Ayuni. Saya dan kakak serta adik perempuan saya , kami tergolong dalam fasa pertama, maksudnya sudah menjejak alam dewasa.


Muhammad Afiq Nadzmi.

Si cilik yang kami sering gelar Sin Chan. Muka lebih kurang, perangai pun perasan matang. Apa yang yang saya respect kepada pemilik mata sepet ini adalah level bahasanya yang mengagumkan. Selalunya , dia berbicara dengan laras bahasa rasmi hingga kadang-kadang buat kami tergelak besar.

" Pada pendapat Afiq ..".

Harapnya dia mengekalkan budi bicara ini kalau di masuk ke dewan parlimen nanti. Harapnya hujahnya tidak bertunjangkan emosional hingga menggadai rasional.
Sekarang ni masih menggunakan basikal beroda, meskipun basikal itu hampir lumpuh dikerjakannya seminggu selepas saya membelikan setelah dibisik ke telinga beberapa kali dalam talian. Saya doakan dia gigih berkayuh hingga mampu memecut tanpa perlu berpahut, agar tidak hanyut.

Sekarang sudah melangkah ke alam sekolah rendah, menemani abangnya menggamatkan S.K Sengkang, meneruskan kesinambungan saya dan Kak Tiqah.
Sudah memegang jawatan ketua darjah. Harap si Sin Chan berpipi ala tomato ini tidak mengulangi kesilapan saya, menjadi ketua darjah ibarat singa. Harapnya Afiq tidak mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, tidak menjanjikan propaganda manis buat pengundinya, bebas dari skandal yang sering melanda ketua-ketua darjah peringkat negara, dan apa yang paling penting menjalankan syariat Allah.

Afiq, ingat pesan ini, Allah itu yang memiliki kerajaan, jangan jadi bongkak bila diperi pinjaman kerajaan, kerajaan itu boleh ditarik bila-bila masa, pembangkang itu tidak semestinya salah.

Selamat mentadbir Parlimen 1 Jaya. :)



Nur Haziqah Ayuni,

Ayuni sudah mula berdikari.
Sebulan lebih direnggang dari Emak yang menemani Abah dihospital, saya kira dia sudah biasa dengan hal itu. Saya ingat lagi saat dia lahir, ketika itu saya sedang bermusafir di HKSBP 2005 di Sekolah Sultan Alam Shah. Setiap kali menjelang HKSBP, saya akan ingat kelahiran si bongsu ini.
Hari terakhir sebelum saya berangkat pulang ke Jordan, dia menyusup masuk ke bilik saya dan tidur di sebelah saya.

Si ligat ini dahulunya pernah terkena sawan pengantin, walaupun saya kurang percaya perkara sebegini. Dia terlalu malu dengan orang dan akan memejamkan mata berjam-jam hingga tertidur dek malunya kepada manusia. Saya doakan agar dikekalkan rasa malu itu agar dijauhkan dari gejala dan barah neoplasia yang semakin menabrak wanita yang hilang rasa malunya.


Rindu.

Saya rasa cukup melepaskan kerinduan menulis di sini. Maaflah kerana melepaskan di sini. Mereka memang tidak dapat membacanya.

Tapi ada keluarga yang dapat membacanya, kalianlah keluarga saya di alam maya ini. Jika kalian sudi. Sebagai keluarga,tegurlah kesilapan saya andai kalian mampu bertemu saya di dunia nyata, jika tidak nasihat sahaja saya di sini, di dunia kecil maya ini yang menghubung kita. Jika saya berkarya, saya mohon dikritik kelemahan agar mampu penambaikan.

Membaca blog bukanuntuk menjadikan kita seorang pengangguk dan setuju dengan setiap bilah huruf dan rangkaian makna yang diluah blogger. Pembaca yang baik adalah pembaca yang memikir, mencerakin dan bukan yang membuta tuli menyerah rasa setuju , " Ana stuju dengan artikel ini, ana insaf. " tanpa menilai dan mengkaji dengan teliti.

Saya akui, blog ini tidak seberapa, tulisan saya tiada nilai harga, hanya sebuah coretan perjalanan hidup yang saya nukilkan kerana saya tidak bisa menggaris catatan di buku tebal diari meski sudah dicuba acap kali.

Saya mohon ditegur, agar tidak saya lena berdengkur.

Terima kasih kerana membaca, moga kalian dirahmati Allah , Pencipta yang mengutuskan kalimah 'Iqra' dipermulaan wahyu kepada Rasul Junjungan kita.

Terima kasih, keluargaku.

-satu paper lagi
-menghitung hari mula membaca dan memburu karya
-melodi menjemput bidadari asyik tergiang-ngiang di telinga, bukan liriknya. :)

Thursday, January 22, 2009

PERTAMA. JOM!


Kelopak mata hampir terkatup rapi dibayangi tumor atau yang tepatnya neoplasia yang bakal dirawat pada esok hari.

Melihat logo PERTAMA, terkenang saya saat-saat PERTAMA tahun lepas.
Satu pengalaman menarik meskipun saya hanya terlibat sebagai pengerusi sidang, melihat mahasiswa kita melontar pandangan, berbeza pendapat. Harapannya, moga PERTAMA kali ini lebih membawa impak dalam menyentak mahasiswa lesu dan bisu .

Moga lahir mahasiswa yang PERTAMA membela Islam tatkala musuh menabrak saudara kita.
Moga lahir mahasiswa yang PERTAMA menyuarakan yang hak dan mencegah yang batil, bukan terkebil-kebil.

Sama-sama kita bina biah ilmu,
agar tertunduk pesta nafsu.
Kita cari apa yang semakin hilang,
agar kita tidak kosong apabila pulang.
Kita langkah dengan ruang yang jelas,
moga di timbunan serangan senyap kita tidak lemas.


- tak dapat saya tengok anjakan PERTAMA kali ini
-" Ke Arah Kematangan Ideologi Mahasiswa Muslim" . mudah-mudahan tercapai.