Wednesday, January 28, 2009

Terbang ke angkasa


InsyaAllah, enam jam lagi saya akan terbang ke langit dunia, meninggalkan sementara bumi Irbid menuju ke kampung halaman.

Cuti.

Memang menyeronokkan.
Tidak memikirkan soal kuliah yang berderetan.
Tiada timbunan nota perlu dihadam dan dimuntahkan kala peperiksaan.
Masa yang lapang dan luas, tidak lemas.

Ah! Jangan rasa senang . Itu juga ujian, ujian kesenangan yang sering kita lalaikan, yang kita jarang buat persediaan menghadapinya. Bila tiba ujian ini, semua angkat kaki, meredah tanpa target dan sasaran. Percutian itu bisa jadi pembaziran masa,wang dan sebahagian juzu' kehidupan.

Saya sudah membuat senarai aktiviti target yang hendak dicapai sepanjang keberadaan di Malaysia. Saya juga telah membuat bajet kewangan untuk mengelakkan pembaziran.
Apa yang penting, sejauh mana saya bersungguh melaksanakan apa yang saya rancangkan.
Hakikatnya, Allah yang Maha Perancang.

Mahu meluang lebih masa dengan Tuhan empunya masa.
Mahu meluangkan masa menemani Abah ke pusat dialisis dan appointment bersama doktor pakar.
Mahu menebus masa dengan keluarga.
Ada majlis merisik yang perlu saya lalui.
Mahu menziarahi sahabat di pusat pengajian mereka.
Mahu memburu karya dan buku ilmiah.
Mahu mencoret nukilan sastera.
Merancang bercuti sehari dua ke tempat yang sejuk mata memandangnya.

Seorang senior saya memberi pesanan, untuk pulang mengecas kekuatan, sebelum menyambung semula perjalanan saya yang masih jauh.

Blog ini akan turut berehat buat seketika.

Moga kita senantiasa di dalam redha-Nya.

No comments: