Tuesday, January 27, 2009
Sebermula pencarian..kembaraku
Cuti saya dimulakan dengan kembara ke Jepun sebentar sebelum menuju ke destinasi yang dirancang.
Pagi ini sejuk yang membuaikan, menyamankan hati dan perasaan.
Sejuk dan nyaman semilir itu tidak bisa menumpaskan ketenangan menghirup bicara pak cik pembaca Riyadus Salihin di kala mentari masih malu-malu mencerah bumi.
Saya merenung air tasik, berkelocak dengan ciuman fitrah angsa yang menghuninya. Tasik Senba mendamaikan mata. Nun jauh di sana, saya merenung bandar Mito tersergam indah dan gagah.
Beristerikan Tamain Kaira di jihat kiri, semuanya bagai tercipta untuk pencinta alam dan seni, agar mencoret bait-bait indah dalam laman hati.
Kemudian, saya bergerak ke bandar Mito, melihat dengan jelas Gejyutsukan, Art of Tower. Laksana replika keris besar berlok tiga, ia umpama penguasa kepada ceracakan bangunan lain dikoloninya.
Saya ingin menyuci diri di Tasik Senba yang tenang, namun nasib saya malang. Saya tersungkur ke dalam lalu jatuh kembali pulang bumi Irbid.
Novel dan Kembara
Kala ini kawan serumah giat bersiap mengemas pakaian dan kelengkapan, United Kingdom destinasinya. Seorang lagi bakal ke Turki lusa ini. Kawan-kawan lain juga bakal bermusafir ke Mesir, Greece, Syria dan ada juga yang menghabiskan musim cuti meneladani kehidupan di Irbid.
Kembara memang menyeronokkan, meskipun saya belum merasainya secara hakiki.
Saya pernah ke Mesir, menikmati aliran Sungai Nil, nadi kesuburan tanah-tanih bumi yang bertapaknya susuk Piramid.
Syria juga saya pernah kunjungi, merasai susana pembelajaran di Institut Sheikh Ahmad Kiftaro.
Saya juga hampir menyeberangi masuk ke Palestin, namun belum sempat lagi menghabiskannya.
Negara sumatera Indonesia juga saya pernah tinggalakn kesan tapak kaki, menelurusi sekolah-sekolah pondok, menikmati bakso cinta berbentuk hati .
Jangan terkejut, saya juga pernah masuk ke laut, naik ke langit, bertemu dengan jin yang bermacam ragam, lebih kurang jalur warna mereka dengan manusia.
Namun itu hanya kembara saya dalam lipatan catatan karya yang dinukilkan oleh mereka yang pernah melaluinya. Hirupan dan sedutan deria rasa pembaca dengan penulis memang berbeza.
Bagi kalian yang akan merentasi benua dan negara, saya sarankan buatlah sedikit catatan pengembaraan,agar dijadikan panduan dan kenangan. Mungkin di masa itu anda tidak nampak apa signifikan setiapa peristiwa yang anda lalui, tapi boleh jadi sesudah setahu dua berlalu, catatan itu membantu dalam mencoret sebuah perjalanan yang masih jauh di hadapan dengan izin Tuhan.
Berjalanlah kita di bumi Tuhan ini dengan mata yang terbuka, telinga yang peka, mulut yang berzikir, dan hati yang bersih dari kotoran jiwa.
Kembara ke kampung halaman
Hirupan nafas di kampung dan di bandar memang berbeza dari kualitinya, kurang sedikit pencemaran meskipun pencemaran itu sudah sebati dengan alam kesan tangan-tangan manusia keparat yang menzalimi flora dan fauna.
Saya rindukan untuk berkubang di sungai yang airnya mengalir dari puncak Gunung Ledang, gunung yang terkenal dengan hikayat puteri yang mensyarat tujuh dulang bervariasi untuk dinikahi. Saya rindu untuk memancing belut di lubang-lubang parit. Pertarungan dengan belut lebih sukar dari meragut si haruan di Sawah Ring. Sawah yang terbentang menghijau berjalurkan tali air, tempat saya selalu memancing rezeki alam. Saya rindukan pondok kecil dan usang, tempat kami berteduh kala hujan sambil menunggu joran diragut ikan.
Alhamdulillah, kampung saya masih menghijau meski ada sedikit pembangunan oleh kerajaan.
Balai raya batu menggantikan balai raya yang hampir dimakan anai-anai telah siap dibina setelah emak,ayah dan beberapa orang kuat kampung berusaha mendapatkannya.
Kini ianya jadi pusat aktiviti kemasyarakatan, menghimpun ibu-ibu kepada anak-nak jati untuk mempelajari kraftangan dan masakan. Saya kagum dengan emak saya yang kini semakin aktif menghidupkan gerak kerja kaum ibu. Siapa kata kaum ibu di kampung hanya membesarkan anak yang berderetan macam kereta api, mereka juga punya wawasan tersendiri meski tidak sama seperti kaum wanita metropolitan yang menghuni kehidupan kota.
Cumanya sedikit rugi dan kesal kerana masih kurang pendedahan dan aktiviti membina kemanusiaan yang dihidangkan kepada anak-anak muda, kesannya mereka menyalurkan sikap ingin tahu dan berani mencuba ke arah sonsang dek kerana tiada peluang baik mendatang.
Di surau dan masjid,yang berbaris di saf, majoritinya yang sudah bergelar datuk, minoriti adalah kanak-kanak kecil yang bersongkok dan berlonggok di belakang sana. Anak muda? Siapa kata tiada? Cumanya ramai yang meraikan kedatangan jemaah masjid dengan petikan gitar dan hembusan asap rokok di tangan sambil bersembang soal seks dan hiburan di bahu jalan. Malang!
Inilah jalur kehidupan yang bermacam warna, yang akan kita lalui sepanjang menyempurnakan usia dan tanggungjawab yang dipikul kita.
Sejauh mana kita bermusafir, meski dari bawah tempurung kita melonjak menggapai bintang di langit angkasa, di setiap persimpangan yang kita jejaki itu anda stesen muhasabah untuk kita nilai sejauh mana tanggunjawab kita telah terlaksana dengan sempurna.
Berjalanlah kalian di bumi Tuhan, asal tidak takbur dan bongkak mendongak ke langit dunia!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment