Sunday, November 9, 2008

Apalah yang dicari ?

Saya agak terlewat hari ini.
Mengambil teksi untuk ke Mujamma' Amman adalah pilihan yang lebih baik berbanding kelewatan masuk ke kelas Microbiology.

Saya menahan teksi kuning yang mudah didapati.
Setelah mengucap salam, saya menyatakan destinasi tujuan.

Saya berbasa basi dengan pak cik teksi berkenaan dan kemudian mendiamkan diri memerhati pemandangan yang jarang dilalui.

Tiba-tiba pak cik itu gelisah seperti kera kena belacan. Ada sesuatu menggangu tumpuannya. Di meraba-raba ke bawah tempat duduknya dari sudut hadapan sambil memandu.

Tidak cukup dengan itu, dia menyelukkan ke kanan dan kiri tetapi tidak membuahkan hasil.
Setibanya di persimpangan lampu isyarat, dia bergegas keluar dari kereta dan membuka pintu belakang, menyelongkar sesuatu dengan penuh fokus. Lampu isyarat dari merah telah bertukar hijau, dia masih belum kembali ke kerusi pemandu sedangkan kenderaan di belakang berderetan menunggu.

Saya hanya menoleh memerhati. Pak cik itu semakin gelisah dan gundah. Terus mencari sambil memandu. Gerun juga saya melihat perilakunya. Baik-baik hendak ke dewan kuliah, ada juga yang menuju ke Hospital Raja Abdullah. Nauzubillah.

Kami tiba di lampu isyarat kedua, dia keluar sekali lagi dari kereta dengan tekad dan membuka pintu belakang. Dimasukkannya tangannya dalam-dalam hingga bertemu apa yang dicari-cari sepanjang perjalanan kami. Mungkin dia berpegang dengan peribahasa Melayu, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Dia masuk dengan senyuman yang terukir, kelegaan jelas di wajahnya.

Dia menunjukkan sesuatu kepada saya.

Pemetik api!

Lantas dia mengambil sebatang rokok dan menyalakannya. Dia kembali memandu dengan sedikit ketenangan setelah apa yang dirisaukannya telah dipertemukan.

Tanda tanya yang bersarang di kepala saya terjawab akhirnya. Dia sanggup memandu dalam keadaan merbahaya semata-mata kerana sebatang pemetik api.

Cerita ini dikongsi untuk sekadar renungan.

Sepenuh Hati

Begitulah sikap manusia, melakukan sesuatu perkara yang diminati dengan sepenuh hati.
Jika kita meminati sesuatu, kita akan melakukannya bersungguh-sungguh hingga menghasilkan natijah yang dikehendaki.

Namun nilailah dahulu adakah minat dan tabiat itu memberi manfaat, ataupun sebaliknya membawa mudarat.

Renung-renungkan.

1 comment:

Anonymous said...

maka pemetik api itu pun dijumpai oleh pemandu itu.mungkin keresahan kerana kegagalan SRP tempoh hari.mungkin juga nasi yg ditanak antah berantah dengan lipas berenang-renang di dalamnya.mungkin fikir-fikirkanlah