Wednesday, December 2, 2009

Curahkan Aku Nyawa

Alhamdulillah.

Yang bernama Naqeb itu mampu menulis semula, setelah jari membeku buat seketika.
Keluarga MRP sudah bertambah angkanya meski tulisan saya telah longgar, nyawa blog ini makin pudar.
InsyaAllah, saya akan cuba menulis semula. Saya berehat dari menulis untuk menyelesaikan perkara yang lebih utama. Ada tuntutan lain yang perlu saya dahulukan, dan kini saya ingin salurkan tuntutan itu dalam batang tubuh penulisan.

Sebagai permulaan semula, saya ingin berkongsi satu cerita.

Ziarah

Malam ini Allah atur saya untuk menziarahi seorang pak cik tua. Sebelum ini, saya hanya berurusan dengannya apabila ada tuntutan, dan menegurnya di tepi jalanan di saat dia yang sudah hilang upaya bagi beberapa anggotanya bertongkat menyusur tepi jalan berdekatan dengan rumah saya.

Pernah saya terfikir, apa yang boleh disumbang oleh pak cik ini dengan keadaanya yang kurang upaya.

Ziarah saya dan dua orang lagi sahabat ke rumahnya atas jemputannya yang berulang-ulang meminta kami memasuki rumahnya. Secara tradisinya, rumah masyarakat Arab memang terkenal dengan ruang tamunya yang dihias indah khusus untuk tetamu.

Kami dijemput duduk di sofa empuk dan dihidang 'syai' panas sesuai dengan cuaca yang sejuk menggigit tulang.

Pak cik itu meninggalkan kami seketika dan kembali semula dengan beberapa keping gambar.
Dia tunjukkan gambar seorang lelaki segak, namun sudah pergi selamanya pada bulan Ramadhan yang lalu. Arwah anaknya merupakan seorang doktor dan menemui ajal dalam kemalangan jalan raya.

Dari riak wajahnya, saya tahu dia menyimpan seribu rasa, rasa rindu, sedih dan bangga dengan anaknya.

Selepas itu , dia membuka topik perbualan tentang isu umat Islam.

" Umat Islam sekarang hanya diludah ". ujarnya.

Dia berkata mana dia pemuda seperti Salahudin Al-Ayubi di masa kini.

Remaja-remaja ramai yang rosak akhlaknya.

Dia meluah dengan nada sebak.

Tiada negara yang amalkan pemerintahan Islam yang sebenar-benarnya.

Tetapi, yakinlah khilafah Islam akan tertegak jua.

Semangat orang muda ada pada tubuh tua yang sudah tidak berkudrat tenaga perwira.

Kami pulang dengan sedikit curahan nyawa pemuda dari pak cik tua.


Allah tegur saya, jangan pandang orang pada rupa dan usia.
Meski dia tua dan bertongkat, tidak berjubah dan berketayap setiap saat, dia tetapkan fikirkan masalah ummat.

Saya pula bagaimana, anggota sempurna, jiwa pemuda, darah masih panas membara..haruskah aku hanya berdiam diri, memeluk tubuh mati?

Curahkan Aku Nyawa.

1 comment:

dan said...

salam, naqeb.
hmm bagusnya pakcik itu...kita asyik dok pikir itu ini..dia mampu fikir kebobrokan umat..masya Allah..

aku pun ada kisah, ahad lepas tgk mat saleh masuk islam..menginsafkan jugak..pjg aku tulis kat blog, sudi2 lawat la..=P haha.