Tuesday, December 29, 2009

Manisnya Masalah

Baru-baru ini ada sorang kawan mengutarakan soalan.

" Best tak kalau hidup ni takde masalah? "

Saya pernah juga terfikir soalan yang sama, terutama apabila masalah datang bertimbun-timbun.
Kadang-kadang mahu sahaja lari dari diri sendiri, meninggalkan masalah jauh-jauh dari mata dan kepala, biar ringan untuk ke sana ke mari.

Hakikatnya, masalah itu yang akan menghidupkan kita.
Yang akan mencorakkan langkah kita di masa hadapan kelak.

Andai diri terasa lemah, rasa mahu rebah dan mengalah melihat masalah sedang terbentang di depan mata, cuba sama-sama toleh semula zaman sedari kita kecil hingga menginjak dewasa.

Saya ingat lagi, kalau zaman sekolah dulu, masalah buku kerja garis tiga hilang pun saya sudah jadi masalah buat saya. Dihukum cikgu duduk di kaki lima.
Rakan-rakan sekelas yang bising semasa cikgu tidak ada pun sudah memeningkan kepala, apabila cikgu menjelma, saya yang akan disoal yang pertama. Masalah buat saya.
Tak cukup duit untuk membeli alat mainan yang best-best macam kawan saya yang bapanya kaya raya juga saya rasakan satu masalah.

Itu masalah kanak-kanak. Yang mewarnai kanvas hidup saya sebagai manusia.

Dan semakin besar saya, saya mula memahami bahawa masalah itu memang tidak akan dipisahkan oleh kehidupan. Hidup dalam keluarga yang sederhana mengajar saya untuk menghargai setiap usaha emak dan abah untuk mengatasi masalah yang melanda.
Dan masalah itu yang menguatkan.
Dan masalah itu yang menyatukan.

Saya ingat lagi, semasa keluarga kami mengalami masalah kewangan, emak dan abah ambil keputusan untuk berniaga kecil-kecilan.
Menyewa gerai makan di kawasan pedalaman, berniaga sarapan pagi hingga ke makan tengah hari. Pernah satu hari emak tercicir duit jualan dalam perjalanan ke pekan dengan menaiki motosikal. Saya menemani emak ketika itu. Puas kami berpatah balik dan mencari-cari, mana tahu ada rezeki yang masih berbaki dari Ilahi. Alhamdulillah, setelah puas mencari, beberapa ringgit berjaya ditemui dan bakinya hilang, bukan rezeki kami.

Pengalaman manis yang saya tak kan lupakan adalah saat kami sekeluarga berkampung di bendang sawah untuk memancing ikan seperti puyu, haruan dan keli.
Sedang seronok memancing, hujang lebat mencurah-curah, pondok kecil yang hampir roboh jadi tempat kami berteduh, dan di saat itu juga rezeki datang mecurah-curah. Tuhan Maha Pemurah.

Mengijak zaman sekolah menengah, jalur hidup saya semakin berwarna-warni.
Menjejakkan kaki ke sekolah asrama mengundang banyak perkara yang saya rasakan masalah
pada awalnya. Dibuli senior yang bermaharajalela, berjauhan dengan keluarga, kelewatan membayar yuran asrama dan sekolah. Namun akhirnya itu jugalah kenangan yang tidak saya lupakan kerana itu semua yang menjadikan saya sebagai saya. Pernah satu ketika saya lewat membayar yuran asrama kerana abah mengalami masalah kewangan ketika itu, nama saya terpahat di papan kenyataan asrama. Kesusahan abah mengusahakan untuk membayar yuran tersebut saya cuba balas dengan menjadi pelajar terbaik asrama. Namun saya tahu itu tidak akan setimpal untuk membalas keringat abah.

Baru-baru ini melihat wajah emak dan abah semasa ym dengan mereka, saya dapat melihat ketabahan mereka yang telah mengharungi banyak dugaan dalam membesarkan kami berenam.
Alhamdulillah, kakak saya sudah mula berkerja.
Adik saya bakal ambil SPM tahun hadapan dan menjadi Penolong Ketua Asrama.
Dua hero saya mendapat tempat pertama dalam kelas dan semakin aktif dengan latihan silat mereka.
Ayuni yang kecil juga bakal ke sekolah tahun hadapan dan turut bersilat dengan abang-abangnya.


Dan emak akan setia menemani abah untuk menjalani hari-hari mendatang sebagai pesakit buah pinggang.
Dah abah akan terus mendidik kami dengan murahnya kasihnya tidak terkira.
Emak dan abah kini sudah jadi kepala dalam menggerakkan aktiviti di kampung kami.

Dan saya di sini, tidak boleh mengalah dengan masalah-masalah yang sekelumit cuma.
Setiap masalah ada jalan selesainya.
Mungkin tidak semudah satu tambah dua, namun tetap ada.

Dan saya harus terus berlari, meski tongkat masih di sisi.
Dan saya harus terbang tinggi, meski sayap masih belum dimiliki.

Tuhan, kuatkan aku untuk menuju daerah abadi.

3 comments:

dan said...

terima kasih atas entri sebegitu dekat. jaga kesihatan kaki ya :))

tak dinamakan hidup tanpa ada masalah, bukankah? :)

ld said...

'manisnya masalah'.

perspektif yang segar dan lapang. terima kasih ;)

Naqeb Sulaiman said...

dan,
yup,
masalah menghidupkan jiwa agar mencari erti hidup yang sebenarnya.

eskep,
ubat biar pahit pada awalnya,
manis sihat muncul akhirnya,iAllah.