Thursday, January 8, 2009

Malam Yang Menginsafkan

Ini kisah malam semalam.
Cawan saya masih berasap. Saya baru hendak membuka paket biskut untuk mengisi perut sambil mengulangkaji subjek makmal Genetic.

Allah!!
Hospital!
Allah!!
Hospital!

Saya tersentak mendengar suara itu. Suara jeritan meminta pertolongan.
Saya membuka tingkap dan menjengah keluar.
Saya terlihat dua orang lelaki, seorang sedang duduk bersimpuh dan seorang lagi sedang berlari meminta pertolongan.

Sejujurnya, saya menyangka mereka adalah lelaki-lelaki Arab yang sering bergaduh di hadapan bangunan rumah saya. Bayangkan pada tahun 2008 sahaja, begitu kerap saya mendengar siren kereta peronda polis menziarah kawasan ini. Saya sudah lali. Mereka terkenal dengan sikap panas baran apabila bertengkar, tetapi mudah memaafkan.

Saya renung betul-betul.
Dia senior saya!
Darah mengalir membasahi kakinya.

Saya mencapai kot lalu berlari menuruni tangga.
Saya rasa bersalah kerana tidak peka, seolah-olah seandainya dia bukan senior saya, saya akan membiarkannya.
Pertolongan itu tidak membezakan bangsa.

Beberapa saat kemudian, ramai yang mengerumuni.
Saya dan seorang lagi yang menjadi mangsa menahan beberapa teksi tetapi hampa. Rata-rata tidak memberi respons walaupun kami mengatakan darurat.

Alhamdulillah, akhirnya dia dikejarkan ke hospital dengan sebuah ambulans.

Hargailah nyawa

Memang malang tidak berbau. Siapa sangka dalam keadaan waktu yang masih awal dan kawasan yang bercahaya perkara sebegini boleh berlaku.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Itulah sebuah pepatah yang harus diingati oleh semua. Semua langkah-langkah keselamatan dan tindak-tanduk kita perlu dinilai agar kita dapat hindari dari segala musibah.

Dalam apa jua keadaan , jangan kita lupa akan keselamatan kita.
Tidak kira tatkala berjalan seorang diri ke rumah kawan sehinggalah menyewa kereta
ke Ammman, jagalah keselamatan kerana kita membawa amanah di sini. Jangan kerana kecuaian kita, kita sesali tidak sudah.

Peraturan demi kebaikan

Saya teringat dalam pertandingan debat Piala Presiden Permai, saya pernah membangkitkan tentang isu Qarar Keselamatan.

Qarar keselamatan ini bukan tujuan untuk mengongkong ahli, tetapi untuk mewujudkan suasana saling mengingati dan menjaga keselamatan masing-masing kerana kita semua jauh dari keluarga.

Kepada kaum lelaki, jangan menganggap kita adalah kaum yang memiliki kudrat yang kuat, maka kita tidak perlu terikat dengan peraturan keselamatan. Ya, memang kita diberi kebebasan, namun bukan bermakna kita boleh mengabaikan apa yang sepatutnya dijaga oleh semua.

Amalkan Mathurat.



Baru-baru ini JKK Pembangunan Rohani telah mengedarkan risalah Mathurat kepada ahli sebagai kempen mengamalkan zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Annas R.A., Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
" Siapa yang mengucapkan di waktu pagi ucapan:
أعوذبالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
Maka dia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga petang."
( Riwayat Ibn Al-Sunni )


Membaca zikir Mathurat ini bukan tatkala kita ada kelapangan baru lah hendak mencapainya, namun kita seharusnya beriltizam membacanya dan menghayati segala kandungi ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang terkandungnya.
Sama-sama kita menghidupkan sunnah Rasulullah ini.

Saya menulis sekadar untuk peringatan buat diri dan sahabat-sahabat pengunjung blog ini. Moga selepas ini kita sama-sama cuba saling mengingatkan sahabat-sahabat kita untuk meningkatkan waspada. Sama-sama doakan senior saya cepat sembuh dan kembali meneruskan kuliah.

Sama-sama doakan keselamatan kita dan ummat Islam di Gaza.

No comments: