Thursday, January 5, 2012

Panggung Adeganranjangah


"Woi, bangun kau dari pembaringan! Perhimpunan akan bermula. Lekas! "

Aku cuba membuka mata, berat yang teramat dan atmaku tidak terdaya. Cahaya samar-samar menembusi lapisan kanta mata lantas memperlihatkan satu lembaga.

Wajah yang menakutkan, kulit bersisik di seluruh badannya.

" Aduh! "

Rasa sakit menjalar disegap saraf lantas menggegar sedar manusia.
Aku tersentak hasil sepak terajang lembaga itu ke tulang belakangku.

" Siapa kau? "

Aku memberanikan diri walau kecut bertaut erat di hati. Suara lelaki kutinggikan untuk mengusir kebimbangan, lalu cuba bangkit sedaya upaya bertemankan sedikit tenaga yang ada.

" Jangan banyak cakap ! "

Bang!!

Tubuhku longlai menyembah bumi yang asing bagiku. Aku tersungkur dan kudratku lebur dengan tembakan itu. Tembakan yang menembusi dadaku, menyalurkan semacam jenis virus yang menyebabkan pancainderaku kehilangan fungsi buat beberapa detik masa.

Selang beberapa ketika, aku sedar dan terjaga.

Aku diheret ke satu dataran agam. Datarannya sungguh luas ibarat lautan yang tidak bertepi.

Di sana terdapat lautan lembaga pelik sedang berpesta, menghayun segala-galanya mengikut pekikan yang tidak menentu, sekejap berirama sayu, bertukar gegar gempita . Muzik hitam dan bingar berselang seli membingitkan gegendang telingaku. Ada yang ralit menonton layar besar, terpampang wajah dan tubuh lembaga seakan-akan manusia, rata-rata wanita berbaju aneh ibarat zaman purba. Sukar untuk menafsirkan siapakah gerangan mereka. Mahkhluk hamba atau si pendurjana.

"Wahai sekalian rakyat jelata. Tunduk kalian kepada Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Bakdu ."

Semua tampang itu tunduk menyembah susuk tubuh yang berdiri di sebuah puncak menara. Ada yang menangis dan meronta-ronta, seakan tergila-gilakan susuk itu.

Di sampingnya, muncul seseorang yang seakan-akan wanita berparas indah dengan rona ayu mengalunkan suara merdu gemersik lagu yang menikam batin dan kalbu.
Lautan lembaga menyahutnya dengan jeritan bertalu-talu. Mereka hanyut dibuai keasyikan suara itu.

"Berikan tepukan gemuruh dan hormat bersungguh buat Yang Dipuja, Pemaisuri Omrinu !" seekor lembaga berteriakan memberi kata dua, mengajak sekalian jelata memuja mereka.

" Wahai sekalian rakyat jelata, kalian memang mengagumkan beta. Beta bangga dengan kesetian kalian. " suara Raja Bakdu bergema.

Aku hanya memandang dengan rasa gerun dan pegun.

" Di manakah aku kini? "
" Dunia apa yang aku huni "
" Siapa dia pasangan yang tertinggi dan dipuja puji itu? "


" Ya Allah, bantulah aku. " kalimat itu terpacul dari mulutku.

Mereka semua memandang tajam ke arahku. Memandang dengan adunan rasa terkejut, marah, geram dan sedikit riak ketakutan terpampang di wajah pelik mereka.

" Kau!! "

"Celaka, siapa gerangan kau? "

"Err.. Aku manusia bertaraf hamba. Hamba kepada Yang Maha Berkuasa. Siapa gerangan kalian semua??

"Kau tidak layak bertanya kerana kau penceroboh, kau telah merosakkan perhimpunan suci ini.
Selayaknya kau dihukum tanpa bicara."

"Ini zalim! Mana ada undang-undang yang menghukumi tanpa bicara. Aku mahu keadilan kerana aku tidak melakukan apa-apa kesalahan."

"Sudah! Tangkap durjana ini dan sumbatkan ke dalam tahanan JERISI SAI. Biar dia tahu langit tinggi atau rendah ! "


Bang!!

Gelap.

Malap.

*****************

Malam itu aku ditemani jeriji besi yang memisahkan aku dari dunia yang menakutkan itu.
Dunia yang memuja Raja Bakdu dan Pemaisuri Omrinu. Nafasku tidak menentu dalam kedinginan yang menggigit tulang hitam sambil cuping telingaku menangkap teriakan dan esakan yang bergempita.

Tangisan banduan lain yang disiksa barangkali.

Selang beberapa ketika, mataku lelap dalam sedar, memikir seribu satu kemungkinan yang bakal berlaku.

Tiba-tiba, kedengaran kuakan pintu besi.

"Bangun kau dan ikut aku. Cepat !"

Dengan langkahan longlai dan tangan yang bergari, ku gagahi diri menuruti pengawal itu ke suatu bilik kecil.

"Silakan duduk wahai manusia yang beragama. Maafkan atas kekasaran beta siang hari tadi."

Aku seakan tidak percaya. Susuk dihadapan kini berubah 360 darjah perilakunya. Ku duga pasti ada udang di sebalik batu, manakan boleh berlaku sesuatu jika tidak mempunyai punca. Namun, aku cuba berbaik sangka, mendiamkan diri tanpa sebarang bicara.

"Wahai pemuda , beta ingin menawarkan apa sahaja yang kamu hajati. Sebut sahaja apa yang terlintas di benak nafsumu. Hatta, anakanda kesayangan beta, Puteri Kembanawati pun beta sanggup berikan. Tapi dengan satu syarat..."

Kala itu, tiada suara yang terlontar dari anak tekakku dan hanya diam seribu bahasa membaluti diri. Seribu persoalan datang bertalu-talu ke mindaku yang celaru.

" Sebelum beta khabarkan syaratnya, kau harus tahu seperkara. Sejak kalimah yang terucap di mulutmu didengari rakyat jelataku, mereka hilang upaya untuk berdansa dan meloncat-loncat mengikut irama. Mereka ibarat hilang akal dan punca, ada yang menangis teresak-esak dan ada yang pitam sehari semalam.
Beta khuatir kerajaan beta akan tergugat disebabkan hal ini "

Hatiku takjub akan hal yang berlaku sambil akalku ligat memikirkan jalan dan lorong pilihan yang bakal diajukan sebentar lagi.

" Katakan apa syaratnya? "

" Beta tahu kau orang beragama. Gunakan agamamu untuk memulihkan mereka."

Maksud kau?

"Kau terangkan akan perihal agamu itu, tapi kau perlu juzukkannya. Ambil yang sesuai dan buang yang dirasakan sudah ketinggalan. Putar belitkan dan pastikan ia menjauhkan mereka dari hakikat yang nyata. Kemudian, kau letakkanlah apa-apa jenama baru pada agamamu, biar nampak cantik agar mereka tertarik. Kemudian, kau akan dapat habuan yang beta janjikan."

Aku kaget mendengar tawarannya. Memang sudah dijangka, ada helah yang terselit disebalik perubahan sikapnya.

" Baiklah, aku mahukan kebebasan. Itu sahaja yang aku pinta. "

" Bagus. Beginilah yang beta inginkan dan idamkan. Usai mentari menjengah esok hari, kau akan berpidato di hadapan jutaan rakyat jelata, bertempat di Panggung Adeganranjangah "

*****************

Mata-mata itu merenung dalam-dalam ke arah susuk tubuhku yang terpacak di pentas siasah. Aku berdiri sebaris dengan kerabat kepala mereka. Debar dan gundah hatiku hanya Tuhan yang tahu.

"Bismillah.."

Arghh !!

Ada yang menggelepar, menjerit terketar-ketar dan ada juga yang terkencing ketakutan merata-rata.

" Aku adalah manusia bertaraf hamba, duduk matiku di bawah naungan Allah. Aku menyeru kamu semua kembali kepada-Nya, dia Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Tiada kekuasan melebihinya."

" Tinggalkanlah kalian ideologi memisahkan agama dan kehidupan dunia, jauhilah kalian hidup berkiblatkan hiburan nafsu."

"Jahanam!!! Tangkap dan pancung kepala si pendusta bedebah ini." Tuan Penguasa Fana, Yang Disanjung, Raja Bakdu melaung amarah murka.

Hatiku kecut melihatkan kilauan tajaman pedang yang tersemat di jemari lembaga bertubuh sasa di kananku. Namun, takut lagi atmaku andai menuruti kehendak si iblis itu.

Zapp!!!

Ya Allah!

Rasa sakit menjalar di segenap laluan saraf kepala.

Astaghfirullah.


Aku menggosok-gosok dahiku yang berdenyut akibat terhantuk ke tempat duduk hadapan. Pemandu bas menekan brek kecemasan barangkali. Istighfar ku panjangkan di lidah lantas turun ke sanubari mengenangkan mimpi yang menyelinap masuk ke lenaku sebentar tadi.

Ku lihat jam di tangan, 3 petang. Setengah jam lagi tayangan filem yang dikatakan meletup di panggung akan bermula.

Aku tekad menekan loceng bas dan turun ke bahu jalan.

Niat itu aku batalkan.

Moga aku ditunjukan jalan.

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Berperiksa!


2012 sudah menjelma. Pejam celik mata, lima tahun sudah kembara saya dalam bidang per'bomoh'an ini, terasa semakin luas apa yang bakal terbentang di depan mata nanti .

Orang selalu kata yang medik ini sukar. Ya, memang sukar, andai tidak dilalui dengan mujahadah dan sabar. Peperiksaan hadir bertimpa-timpa, ditambah nota kuliah yang kalau menghempap badan, boleh pengsan gayanya.

Subjek pula bermacam-macam bentuknya. Saya sendiri allergic dengan ubat yang segala bagai, nama yang pelik-pelik ( terfikir nak letak nama untuk anak pun ada :), side effect yang berjela-jela dan sebagainya.

Belum lagi masuk bab anatomi badan manusia, dari hujung kepala hingga ke hujung jari kaki, alamatnya terkebil-kebil biji mata mahu menghafalnya.

Masuk pula bab yang pernah mengharu biru dan menghantui hidup saya dulu, microbiologi, kuman-kuman yang lebih kecil dari kutu, jenis ini dan itu, buat kepala jadi buntu, tepu.

Sumbat, mampat. Penat, tenat.

Mengharap sinar pelangi, sambil menguyah biskut berteman kopi, selang seli buka FB. Itulah warna-warni yang dilalui hari demi hari.

Sekarang, hobi saya pagi-pagi dengar ceramah-ceramah motivasi, biasalah orang belum berbini, motivasi kena cari sendiri. Sudah kahwin nanti saya bagi motivasi pada isteri :)

Satu hari terdengar satu kata-kata yang berbunyi:


~doktor mengkaji sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi masih buta hatinya, memang orang paling buta dalam dunia ~

Alamak, tersentuh dan tersentap hati!

Teringat kalam Allah yang berbunyi:

" Telah kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian " ( Surah at-Tin : 4 )

Hari-hari menyelam ke dalam lautan ilmu tentang penciptaan Allah yang satu ini, yang akhirnya kembali kepada hakikat mengenal diri.

Mungkin selama ini hanya menatap bait-bait teori, kini apabila sudah menyentuh badan dan perasaan manusia yang digelar pesakit itu, sungguh dirasai apa itu hidup, apa itu mati.

Hari ini bertemu dengan seorang pakcik di wad psychiatry, lalu ditanya kenapa dia masuk ke sini.

Dengan yakin dia menjawab : " Semua yang masuk sini sebab ada masalah, tidak takut Allah "

Tiba-tiba terfikir, jika benar apa yang dikatanya, maka berbondong-bondong manusia di luar sana yang menunggu masa menghuni sama.

Bertemu dengan seorang lagi pesakit, keluar dari mulutnya satu hadith Rasulullah yang berbunyi:

"Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir" (HR. Muslim)

Sangat bersyukur, dengan pesakit yang diuji Allah, dapat tazkirah dari mereka, andai diri yang sihat walafiat ini masih buta hati, buta jiwa, rugi sahaja diri tercampak di bidang yang satu ini.


Sekarang, musim peperiksaan di Irbid sudah tiba.
Musim-musim sebegini sangat 'sweet' bagi saya.
Jalan-jalan ke masjid, warung-warung yang men'dale3'kan perut, bahu jalan menunggu bas dan teksi, pasti akan bertemu muka Malizi, bertegur sapa dan bertanya khabar, dan bertanya tarikh periksa, dan saling mendoakan sebelum berpisah pergi . Sweet bukan.

Buat sahabat-sahabat dalam apa juang bidang,
Salam peperiksaan buat semua!
Bittaufiq wannajah. InsyaAllah.





Sunday, January 1, 2012

Superhero


“With great power, comes great responsibility”

Pernah dengar ungkapan ini?

Uncle Ben, pakcik kepada Spiderman yang memberi pesan, harapannya moga memberi kesan. Ungkapan ini dipegang oleh seorang superhero, yang menyuntik minda sedarnya untuk mengambil tanggungjawab menjadi penyelamat!

Sedar atau tidak, umur kita akan semakin bertambah, meskipun tidak banyak sangat berubah raut wajah, hari demi hari, peranan dan tugas kita bertambah berat dan bercambah . Dari pelajar tadika, menginjak ke alam sekolah rendah. Kemudian melangkau ke alam sekolah menengah dan seterusnya bergelar mahasiswa. Fasa seterusnya, alam kerjaya dan rumahtangga bakal dilalui, jika umur masih dipinjamkan Ilahi.

Perubahan fasa kehidupan akan menuntut dan mendorong kita untuk membetul dan mengubah pandangan kehidupan kita, daripada hidup untuk MERASAI, kepada hidup untuk MEMBERI , dan pada satu tahap kita akan melihat peluang hidup yang sementara ini adalah untuk MENGESANI .

Superhero

Sedikit contoh, seorang superhero yang baru sahaja memiliki kuasa, akan teruja untuk mencuba sertai merasai kekuatan dan kelebihan yang dimiliki. Namun apabila dia memahami akan makna “With great power, comes great responsibility” , dia akan tergerak ke arah fasa memberi, dengan ertikata menyumbang bakti. Sehingga satu tahap, dia tidak akan cukup sekadar mencuba dan memberi, sekiranya usahanya tidak membuahkan hasil yang optimum dan memuaskan hati. Lalu dia akan berusaha dan berlatih akan usaha itu mengesani, setiap misinya berhasil dengan natijah terbaik!

Begitulah juga kehidupan, apabila menggalas tanggungjawab dan bebanan khususnya dalam tanggungjawab untuk memimpin diri sendiri, organisasi, sahabat dan kenalan, keluarga dan saudara mara, masyarakat dan negara, kejiwaan yang besar perlu ada untuk memastikan kita akan terus konsisten untuk memberikan yang terbaik dalam memainkan dan melunaskan tanggungjawab dan peranan.

Oleh itu, atas dasar kesedaran untuk meningkatkan fasa dan tahap sumbangan kita, segala kelengkapan yang melayakan kita untuk menjadi superhero perlu kita usahakan untuk kita miliki.

Salah satunya adalah kuasa kepimpinan pengaruh melalui PENGUCAPAN AWAM!

Meskipun ia bukan senjata yang menumbang musuh dengan menghancurkan batang tubuhnya, tetapi ia adalah senjata yang menawan hati kawan dan lawan, yang menyusup masuk relung perasaan, hingga memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan, agar turut sama menggapai ruang kejayaan!

MILIKI VS BINA

Nanti dulu!

Tiba-tiba timbul persoalan, superhero yang kita lihat di layar perak tidak sama dengan superhero yang ingin kita bina dalam diri kita sendiri. Betul tak?

Kita dimomokan yang mereka punyai kuasa secara tiba-tiba, digigit serangga boleh terus berubah dari yang lembik jadi gagah perkasa, jatuh dari angkasa memiliki kekuatan luar biasa!

Kita pula bagaimana?

Memang kalau ditunggu kuasa itu datang tiba-tiba, sampai ke liang lahad tidak akan muncul tiba. Seperti menunggu kucing bertanduk, kucing sudah mati, kita temangu dan duduk menunggu. Hakikatnya, kuasa itu harus dibina, diusahakan untuk kita miliki. Atas dasar kesedaran akan keperluan memiliki kuasa itu, maka kita harus mulakan , mungkin dari zero untuk menjadi hero, dan mungkin dari yang yang sudah ada asas kuasa, kepada latihan untuk meningkatkan kuasa.

Maka, frasa “With great power, comes great responsibility” akan dihurai dan diungkai menjadi seperti fasa berikut :

MEMBINA => MERASAI => MEMBERI => MENGESANI


Oleh itu, apa tunggu lagi. Jom kita mulakan kembara kita dalam membina kuasa!

Bebas

‎2012:
Kebebasan akademik
ditekan dan disepak terajang,
Kebebasan hiburan
diangkat dan dihulur ruang,
Di'operasi'kan mahasiswa
di medan juang,
Dibiarkan mahasiswa
di atas ranjang.

Bila berhujah dikata petualang,
Bila berludah dikata pejuang,
Disangka sudah menang,
Hakikatnya percaya kian hilang.

~ bebaskan dari belenggu ketakutan pada manusia, k
erana
kita punya Tuhan Yang Maha Berkuasa ~

Wednesday, December 28, 2011

Sakit Jiwa

“ Kau tak takut ke? ”

“ Takut apa? ”

“ Yela, kita nak masuk wad orang gila ni.”

“ Relaksla. Cool.”

Dua orang gadis berkot putih berjalan melalui kaki lima hospital dan menuju ke wad psikiatri yang terletak di hujung blok bangunan hospital. Itu hari pertama mereka menjejakan kaki ke sana.

Pintu wad dikuak, dan langkah kaki dihala memasuki ruang wad perempuan yang menempatkan pesakit-pesakit yang bermacam gayanya.

“ Cuaknya aku.” Tasha bersuara.

“ Alahai minah sorang ni, tadi kata cool la, relakslah.” Intan membalas sambil menyindir temannya.

Mereka meneruskan langkah melewati bilik-bilik pesakit, mahu menemubual bicara mendapat maklumat untuk dibentangkan semasa diskusi dalam kumpulan tengah hari nanti.

Mereka memasuki sebuah kamar yang menempatkan sepuluh orang pesakit kesemuanya.

Mata mereka ligat memerhati gerak gaya pesakit –pesakit yang menghuni kamar itu.

“ Intan. Cuba kau tengok tu?”

“ Apa kes? ”

“ Kesian makcik tu, lamanya dahinya diletak ke lantai, kejap bangun, kejap duduk, berdiri tengak tangan diangkat dua-dua, mengulang-gulang perkara yang sama.”

“ Aah, anehnya. Tak boring ke dia mengulang benda yang sama setiap hari, berkali-kali siang dan malam pulak tu.” Intan menambah tanda tanya yang bersarang di kepala.

Mereka menghampiri katil seorang wanita yang berusia lewat empat puluhan. Mulut wanita itu terkumat-kamit mengucap sesuatu yang tidak difahami mereka.

“Eh Tasha, kau tengok makcik ni, lagi pelik. Dahlah aneh pakaianya, panas-panas macam ni dibalutnya kepala, sampai ke dada pulak tu.”

“ Aahla, lepas itu mulut tak henti henti menyebut benda yang pelik-pelik. Nak kata lagu balada takdela pulak, dangdut lagilah jauh . Maybe lagu tanah Arab kut.”

“ Jom kita tanya dia ” Tasha mengajak.

“ Ok. Tapi kau faham-fahamlah, dia ni ‘sakit’, so mesti banyak benda pelik yang keluar dari mulutnya.”


Mereka mendekat wanita tua itu lalu menegur sapa. Salam dihulur oleh wanita itu namun dibalas mereka dengan pandangan yang bulat matanya. Takut barangkali.

“ Makcik, kami nak tanya sikit boleh? Kenapa makcik berbungkus kepala panas-panas ni . Dan lagu apa yang makcik ulang berkali-kali? ” tanya Intan terus tanpa basa-basi, tanpa perkenal diri.

“ Anak berdua ni doktor ke? Baguslah, cantik-cantik kamu berdua.” puji makcik dengan jujur.

“Yang makcik pakai ni tudung namanya, untuk tutup rambut makcik, rambut ni kan aurat.”

“ Tudung? Yang saya tahu tudung saji adalah. Haha.” Spontan pecah derai ketawa dari bibir mereka berdua.

“ Aurat tu apa apa? Yang saya belajar urat-urat adalah la.” pecah sekali tawa mereka.

Makcik itu hanya melihat respons mereka tanpa balas bicara. Hanya senyum menggaris di bibir.

“ Ok, then, apa yang makcik kumat-kamitkan setiap masa.” Soal Tasha dengan air mata ketawa masih bersisa.

“ Al-Quran dan zikir harian.”

Gulp.

Mereka berdua saling berpandangan. Sangkaan mereka lagu popular yang berjuta ditonton di youtube atau tersebar luas di facebook, rupa-rupanya bacaan aneh yang tidak pernah ditangkap di telinganya.

“ Al-Quran tu apa makcik ? ” Tasha bertanya lagi.

“ Kalam ALLAH ” ringkas balasan wanita itu.

“ ALLAH.” Tasha kelu mendengar nama itu.

“ Allah. Allah. Allah.”

Gelap.

Hilang.

Malap.

“Tasha, bangun tasha. ” terdengar suara memanggil-manggil.

Tasha cuba membuka mata. Berpinar-pinar. Dunia gelap kembali sedikit bersinar.

“Makcik?” Terpacul mulut Tasha memanggil wanita yang mengejutkannya.

“ Tasha, makan ubat ni ya. Lepas tu, jangan lupa ambil wudu’ dan solat maghrib ya. ” pesan makcik itu.

Tasha melihat batang tubuh makcik tu, berbaju kurung dan berkot putih, dengan kain kuning air yang kemas menutup kepalanya, hanya menampak wajah yang sedikit berusia.

Tasha melirik tanda nama yang tergantung kemas di kot putih yang dipakai wanita itu.

“ Dr.Nurul ”

Tasha garu kepala yang tidak gatal. Kepalanya pusing dan pening seketika.

“ Aku di mana? Siapa aku? Siapa dia? ”

Usai wanita itu berlalu pergi, Tasha bingkas bangun dari katilnya. Meninjau kamar yang dihuninya. Kelihatan beberapa orang perempuan lain sedang berbaring, berjalan dan berbual sesama mereka.

Ada yang sedang berjalan ke hulur-hilir dengan rambut mengerbang macam zombie, dibadannya dipakai baju yang tidak cukup kain, ibarat pengemis barangkali.

Di hujung penjuru sana, ada yang sedang menyanyi-nyanyi sambil menari. Kawan-kawan yang menonton bertepuk tangan, dan juga yang komen, “ Pitching ko lari la .”

Matanya tertangkap pula pada seorang tua yang duduk di atas katilnya, bermain dengan gelang getah sambil mulutnya berbuih menyebut “ Emas, emas, emas, aku kaya. ”

Tiba-tiba matanya terpana, melihat papan tanda yang terpaku pada pintu bilik itu.

“ Wad Sakit Jiwa dan Rohani Wanita ”

Pitam.

Sunday, December 25, 2011

Andai Cita-Cita Bukan Milik Kita


" Kita jangan kejar cita-cita, kejar makna. Kerana cita-cita adalah pandangan manusia, makna pandangan Allah. "

Kalam Profesor Dr. Muhaya, seorang pakar mata yang menyentuh akal, jiwa dan rasa.

Bicara soal cita-cita, ramai orang menyimpannya sejak di bangku sekolah. Ada yang konsisten memegang cita-citanya, hingga menginjak masuk ke alam mahasiswa.
Dari kecil ingin menjadi doktor, akhirnya setelah berusaha dan diizinkan Allah, kini bergelar pelajar perubatan di luar negara.

Ada juga yang kecilnya menyimpan cita-cita menjadi angkasawan terbang ke bulan, namun semakin dewasa cita-citanya berubah menjadi polis menjaga keamanan.

Cita-cita, ia tidak sekadar disimpan di dalam dada, ia soal kerjaya. Siapa kita akan datang,di mana kita akan menyumbang dan apa punca rezeki buat kita dan keluarga tercinta.


SEGULUNG IJAZAH, SEMAKNA CITA-CITA


Berbicara tentang zaman mahasiswa, rata-ratanya sudah nampak di mata kita mahu menjadi apa, terutamanya bagi sesiapa yang mengambil jurusan yang sememangnya mempunyai bidang yang khusus seperti perubatan, kerujuteraan, polis, tentera, guru dan sebagainya.

Begitu juga yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, Ustaz dan Ustazah, gelaran yang diterima seawal menjejakan kaki ke tahun pertama.

Mungkin ada mahasiswa yang rasa sudah selesa, seolah-olah kerjaya sudah terjamin apabila sudah berjaya menamatkan kuliah nati.

Kerja sudah dalam tangan katakan!

Namun kita harus membuka mata, hati dan rasa, bahawa KEHIDUPAN TETAP KEHIDUPAN, yang tidak menjamin apa-apa di masa hadapan.

Apa yang menjamin kita dengan kelulusan yang sedia ada, akan berjaya beroleh kerja yang seperti diimpi dan di cita-cita?

Bayangkan andai seorang pelajar perubatan yang bercita-cita menggunung tinggi ingin menjadi pakar bedah suatu hari nanti, namun dalam kembara perjalannya ditakdirkan kemalangan dan hilang sebelah tangannya.

Bayangkan pula andai seorang yang belajar agama luar negara terpaksa pulang ke Malaysia sebelum sempat menggengam segulung ijazah kerana masalah kesihatan ataupun kekangan kewangan.

Adakah ia memberi makna bahawa mereka sudah terkubur cita-citanya?

Contoh yang diberi bukan untuk membuatkan kita bersifat pesimis, menakutkan diri dengan bayang gelap yang tidak pasti.

Tetapi ia adalah sekadar peringatan agar kita tidak overconfident dengan jalan selesa yang sedang dilalui pada masa kini.

Menjalani hari-hari seorang mahasiswa hanya untuk melayakan kita menggenggam segulung ijazah, kita akan lalai dan leka menyedari bahawa zaman mahasiswa ini adalah zaman untuk memberikan makna pada perjalanan kembara ilmu yang dilalui, buat bekal hari mendatang yang belum pasti.


MEMBERI MAKNA

Perjalanan menuntut ilmu adalah satu proses untuk memberikan makna pada kehidupan manusia yang meniti di atas jalannya.

Cita-cita berbentuk KERJAYA, ia akan terikat pada kerjaya tertentu semata-mata.
Kalau doktor itu yang dicita-citakan , andai tidak kesampaian, maka dia akan merasa kegagalan.

Cita-cita mengandungi MAKNA, apa sahaja kerjaya akan menyampaikan manusia kepada makna cita-citanya. Dia akan berusaha sebaik mungkin dalam untuk mendapatkan kerjaya yang dihajati, andai tiada rezeki, bukan bermakna cita-citanya terkubur begitu sahaja, tetapi ruang untuk meneruskan cita-cita masih ada, kerana cita-citanya tidak terikat dengan satu kerjaya semata-mata.

Kembara mencari makna itu sangat luas cakupannya.
Contohnya, kembara 6 tahun pelajar perubatan sewajarnya menjadikan lautan luas untuk dijaring dan dipukat sebanyak makna kehidupan di dalamnya.

Soal rasa empati kepada pesakit, adalah proses memahami makna kemanusiaan.
Bertemu dengan kelahiran, adalah proses memahami erti kehidupan.
Menghadapi saat kematian, adalah proses meyakini akan erti kehidupan selepas kematian.

Bagi yang mempunyai masalah kewangan, itulah pengajaran akan sebuah ketabahan dan kesungguhan dalam perjuangan.
Bagi yang diuji dengan masalah, inilah masa untuk belajar memahami makna keberanian dan kekuatan dalaman.

Makna-makna inilah yang akan jadi bekalan apabila melangkah ke alam kerjaya, walau di lapangan apa sekalipun kita bekerja.

KISAH IMAM SYAFIE RAHIMAHULLAH

Ramai yang mengenali dan mengagumi ketokohan ilmu Imam Syafie.
Di sebalik kebijaksaannya, latar belakang perjalanan hidupnya penuh dengan suka dan duka, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang untuk ditulis di atasnya. Beliau kadang-kala terpaksa ke tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya. Beliau sanggup kembara jauh berlapar dahaga demi mencari ilmu penerang jiwa.

Itulah kisah seorang tokoh ulama yang mewariskan ilmunya kepada kita.

Lalu, kenapa harus kita berselimut lena.
Menyulamkan zaman mahasiswa kita dengan penuh senang lenang, seolah-olah jalan yang terbentang di hadapan sana menjanjikan apa yang kita impi dan bayangkan.

Sedarlah, zaman belajar inilah peluang untuk kita menimba segala macam ilmu di dada, baik di dewan kuliah, begitu jua di medan ummah.

Ayuh letakan makna dalam setiap langkah yang ditapaki,
besarkan cita-cita,
biar terbang ke langit angkasa,
dan berpijak di bumi yang nyata!









Friday, December 23, 2011

Gugusan Rasa Buat Hawa


Sukar benar menitip kalam rasa buat kaum hawa. Insan yang tercipta untuk Adam, menemani di syurga, mendampingi di dunia , saling melengkapi hidup manusia.
Mungkin kerana saya adalah seorang lelaki, yang hanya bisa menulis cebisan teori,
sesungguhnya kaum hawa itu lebih mengerti.

Mereka makhluk istimewa. Biar air mata sering dikaitkan dengan naluri mereka, namun hakikatnya air mata itu yang menguatkan jiwa, menebar jalur warna dalam setiap bucu peranan yang digalas mereka dari seorang hamba-Nya hinggalah hubungan sesama manusia.

Kita harus yakin tidak ada satu pun agama di dunia , kecuali ad-din Islam, yang memuliakan wanita, mengasihinya, mengangkat darjatnya, memberikan hak kepada wanita dan tidak merendahkan-rendah sifat fitrah mereka.

Islam memuliakan mereka sebagai hamba Allah tanpa banding beza,
Islam memuliakan mereka sebagai isteri yang mendampingi perjuangan suami,
Islam memuliakan mereka sebagai ibu yang mengandungkan zuriat sembilan purnama,
Islam memuliakan mereka sebagai pasangan Adam di akhirat dan dunia.

Keadilan Islam

Dalam satu peristiwa, Asma' binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah telah mengetuai kaum wanita bagi menyuarakan pengaduan mengenai hak mereka kepada Rasulullah.

Dengan penuh sopan, Asma mengadu tentang kelebihan kaum lelaki yang boleh melakukan solat jumaat, solat jemaah di masjid, mengerjakan haji berkali-kali dan yang utama boleh keluar berjihad ke jalan Allah, berbanding dengan kaum wanita terbatas dalam gerak-geri , sentiasa di rumah dan menjaga harta benda , menjahit pakaian dan menjaga zuriat tatkala suami mereka keluar berjihad. Dia bertanyakan bagaimana wanita boleh berkongsi pahala dengan kaum Adam.

Baginda kagum mendengar bicara wanita itu malah sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah turut menganggumi kepandaiannya membawakan masalah agama.

Rasulullah berkata kepadanya, " Ketahuilah wahai wanita dan sampaikanlah juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredhaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya."

Begitulah kemulian Islam yang mengangkat darjat kaum wanita.

Islam tidak pernah menolak pandangan wanita. Peranan wanita dalam memberikan pandangan tidak pernah dinafikan. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika khalifah yang terkenal dengan ketegasan itu sedang berpidato di atas mimbar.
Umar tidak menolak sanggahan itu malah mengakui kebenaran apa yang disuarakan wanita itu sambil berkata, " Semua orang ( bisa ) lebih mengerti daripada Umar. "

Malu VS Maju

Malu itu perhiasan wanita.
Mungkin atas sebab itu, jarang sungguh mendengar perigi mencari timba, meskipun tiada salahnya.

Kalau dahulu wanita sering kali dikaitkan dengan dapur rumah.
Kini pintu pengarah pejabat menara bertingkat-tingkat tertera nama wanita.

Membuktikan kaum hawa bukan sekadar boleh menggoncang buaian semata-mata, namun juga bisa menggoncang dunia.

Namun di sebalik kemajuan prestasi kaum hawa yang semakin hari semakin dikagumi, ada satu kerisauan dan kebimbangan yang perlu diperhati, diperhalusi dan diteliti.

Saya tidak risaukan kaum hawa yang beprestasi cemerlang bersulamkan akhlak solehah yang menjadi benteng dari sebagai fitnah.

Apa yang dirisaukan trend semasa yang menjadikan kaum hawa sebagai mangsa eksploitasi semata-semata.
Filem yang jalan cerita entah apa-apa, boleh laris dengan bermodalkan wajah artis wanita jelita.
Promosi syampu rambut mahupun badan, perlu ditayangkan dan dipamerkan keseksian perempuan.
Hinggakan iklan sabun cuci tangan, juga perempuan dijadikan umpan ( lelaki tidak basuh pinggan barangkali ).
Bidang fesyen dan peragaan turut tidak ketinggalan, hinggakan atas nama fesyen 'muslimah', aurat perempuan masih terdedah!

Adakah semurah itu harga malu seorang wanita? Dikesampingkan untuk melariskan produk-produk di pasaran seluruh dunia?

Mungkin trend sebegini sukar diubah, memerlukan usaha pendidikan masyarakat akan letak duduknya martabat wanita, dan juga kesedaran pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat. Namun usaha itu perlu digerakan dengan sekudrat upaya, segenap tenaga.

Kaum hawa yang benar-benar cintakan Allah dan Rasul-Nya,saya yakin mereka berusaha sungguh dalam memajukan prestasi peranan seorang muslimah,samaada di rumah mahupun di medan ummah, dalam pada masa yang sama mengekalkan perasaan malu sebagai seorang wanita.

Rasulullah saw bersabda,” Sesungguhnya di antara ajaran yang manusia dapatkan dari perkataan kenabian yang pertama adalah : Apabila engkau tidak malu, maka lakukanlah apa saja yang kau mau” (hadits riwayat Al Bukhari)

Wanita solehah, malunya pada Allah, sama ada di alam nyata, ataupun ketika berlayar di medan maya.

Saya doakan kaum wanita yang membaca artikel ini, anda terpelihara dari fitnah yang mengundang musibah, dan anda dikurnia pandangan wanita solehah di mata Allah.

Buat kaum Adam yang membaca, sama-sama memperbaiki diri, mempertingkat ilmu di dada, membesarkan cita-cita, kerana bagi sang Adam itu ada empat wanita yang tergalas tanggungjawab di bahunya, isteri dicintai, anak perempuan dikasihi, ibu dan saudara perempuan yang disayangi.

Adam dan Hawa,
berganding bahu menuju ke syurga.