Friday, January 9, 2009

Aku Seorang Doktor

" Ok. Hujung minggu ni Man balik kalau free. Mak bukan tak tau kan Man sibuk. Banyak patient kebelakangan ni. Ok. Bye. "

Sepi.

Talian dimatikan walaupun suara anak yang dikandung belum puas kedengaran.
Rindu si ibu yang sudah bergaris tua di raut wajahnya masih belum terubat dek alasan yang sering dihidangkan oleh anak tunggalnya.

"SIBUK".

Razman mencapai kot putihnya yang menjadi identiti pengamal perubatan di masa kini lalu bergegas menuju ke ruang pembedahan.

" Encik jangan risau. Dia mengalami kecacatan jantung yang dikenali sebgai Patent ductus arteriosus (PDA). Terdapat saluran darah menghubungkan aorta dan arteri pulmonary anak Encik. PDA yang kecil boleh ditutup menggunakan penutup khas tanpa pembedahan jantung terbuka. Oleh kerana kes ini melibatkan PDA yang besar, anak Encik tetap memerlukan pembedahan jantung untuk menutup saluran. Jangan risau, serahkan kepada saya. Saya akan cuba sedaya upaya. " jelas Dr.Razman kepada bapa pesakit dengan penuh keyakinan.

Si bapa hanya mengangguk akur walaupun tidak menangkap sepenuhnya butiran penjelasan Dr.Razman.

Satu jam.
Dua jam.
Tiga jam.
Berjam-jam.

Dia keluar dengan penuh lega. Operasi pembedahan jantung seorang kanak-kanak berjaya disempurnakannya dalam tempoh kurang enam jam. Kelegaan itu diangkat menjadi kebanggaan kerana dipuji oleh rakan sejawatan mahupun orang bawahan. Kebanggaan itu mengutumkan senyuman tatkala dipeluk oleh si bapa kepada pesakit muda yang berjaya diselamatkannya.

Dr.Razman.

" Ya, akulah seorang doktor yang terbaik!". bisik hati kecilnya.

Dia memandang jam analog besalut emas di pergelangan tangannya , serentak dengan itu perutnya berkeroncong dan meronta-ronta meminta untuk diisi.

Langkahan kakinya itu dihalakan ke kafeteria ditemani oleh seorang wanita ayu disisi kirinya. Wanita itu bertudung litup dan ditangannya turut sama mengalas kot putih bersih.

Mereka berjalan melewati bilik-bilik pesakit yang menjadi tetamu istimewa di hospital yang tersergam indah.
Pemandangan hospital itu tidak ubah seperti penjara sunyi tatkala terik mentari dikalahkan sinaran bulan purnama di malam hari.

Pesakit-pesakit ramai telah dibuai mimpi untuk melupakan kesunyian dan kesakitan buat sementara. Ada juga yang merintih di malam hari mengenang dosa yang bertimbun sedang nyawa bila-bila masa bakal bercerai dari jasadnya.

Kafeteria lengang, ramai yang sudah pulang.

Dr.Razman dan Dr.Nurul duduk saling berhadapan di sudut kafeteria bersebelahan dengan sebuah jendela.

" Abang, Nurul nak cakap sesuatu boleh? Abang jangan marah ya. "

" Cakaplah, perkara apa yang awak nak cakap sampai takut saya marah? "

" Abang tak rasa bersalah ke? Kita dah empat bulan tak jenguk emak."

" Awak kan faham. Kita ni doktor, tugas kita merawat orang yang sakit . Kalau emak tu sakit, saya sanggup balik malam ni juga. "

Nurul tertunduk sayu mendengar jawapan dari suaminya yang sudah banyak berubah.
Suami yang dahulu dikenalinya sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya, sangat menghormati orang dan merupakan pemuda yang berjuang di medan dakwah semasa di alam mahasiswa. R

" Kita mahasiswa Timur Tengah. Tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Ingatlah sahabat-sahabat, kita tidak boleh pulang ke tanah air semata-mata untuk megah dengan kerjaya kita,jangan kita terlalu menjaga periuk nasi kita hinggakan kita lupa tanggungjawab kita kepada keluarga,bangsa dan agama. Kita adalah pemuda, dan pemuda tidak boleh dihadkan peranannya. Kita perlu lakukan perubahan! "

Kata-kata yang dilafazkan oleh Razman tatkala menjadi ahli panel forum " Menjejak Roh Mahasiswa Timur Tengah " masih terngiang-ngiang di sudut deria pendengarannya.
Nurul ketika itu menjadi penonton di sebelah mahasiswi sambil jemarinya ligat menyalin butir bicara syabab yang petah berkata-kata itu.

Kini dihadapannya, pemuda itu hanyalah seorang doktor yang hanya mementingkan kerjaya hingga lupa tanggungjawab sebagai anak kepada ibu yang telah banyak berjasa.

" Ha, apa yang awak menungkan tu. Saya nak ke bilik rehat, malam ni saya oncall. Awak baliklah dulu berehat. Anis kat rumah tu mesti dah tidur lena. "

Razman menghulurkan not 10 lalu berjalan keluar dari kafeteria tersebut meninggalkan Nurul yang memendam rasa hiba dan kecewa dengan suaminya.

Razman memejamkan matanya seketika. Fikirannya terawang-awang, virus keletihan masih belum beransur hilang.

" Dr.Razman, bangun! Ade kecemasan! Disaster!!! " telinga nipisnya menangkap suara itu.

Ya, Allah.

Kondusi hospital yang baru sebentar tadi lengang bertukar lintang pukang.
Darah membanjiri ruang legar dihadapannya. Puluhan pesakit mengerang kesakitan, belasan sakit sudah kaku tanpa pergerakan.

Dia terpaku, atma kedoktorannya lenyap tatkala itu, seperti ada sesuatu yang mengunci perjalanan impuls yang menghantar maklumat melalui sistem saraf tunjangnya.

Nurul!!

Dia kembali bernyawa lantas dengan degupan jantung yang begitu kencang, dia mencari-cari isterinya.

Kot putih bermandi darah merah!!
Ya, itu milik Nurul. Dia pasti. Degupan jantungnya terhenti seketika, darahnya berhenti mengalir melintasi pusingan sistemik dan pulmonari, lantas Razman seperti mayat mati.

"Tidak, Nurul!!!". Razman menjerit sekuat hati.

" Abang..". suara dalam esak tangisan memanggilnya.

Razman menoleh 180 darjah. Lega. Namun kelegaan itu hanya sementara melihatkan dua bebola mata Nurul merah dan berlinangan air mata. Di pangkuan wanita bekulit kuning langsat itu terkujur sebatang tubuh kecil yang dibasahi darah segar.

" Anis!! ".

Razman berlari yang memeluk tubuh kecil itu, diciumnya berkali-kali anak tunggalnya yang selalu ditinggalkannya.

" Jahanam, siapa punya angkara! "

" Tentera IDUHAY telah menyerang bandar kita habis-habisan. Angka korban telah mencecah ratusan. Angka yang tercedera telah mennjangkau ribuan. " Nurul menerangkan dengan nada hiba.

Razman menggenggam penumbuknya. Dipulas-pulas genggaman padunya tanda amarah yang menyelebungi diri.

"Dr.Razman, cepat. Ada seoarang wanita tua cedera parah terkena serpihan bedilan bom."

Wanita tua?

Hatinya tergerak untuk bangkit menuju ke kamar kecemasan.
Dia terlewat, pesakit itu terlebih dahulu pulang ke tempat asalnya, tempat dimana semua mahluk bernyawa akan kembali kepada Pencipta.
Tubuh cengkung itu masih terbalut kemas telekung putih yang becorakkan tompokan dan percikan darah.

Darah itu darah yang diwarisinya.

"Mak!!"

Dia mengoncang jasad tanpa nyawa itu. Jasad yang pernah terluka tatkala mencari pucuk ubi buat santapan makan tengah hari mereka dua puluh lima tahun yang lepas. Nyawa yang pernah besabung untuk melahirkannya ke dunia tiga puluh tahun yang lalu.

Kini, jasad dan nyawa itu telah terpisah, Razman meratapi sekujur tubuh yang telah lama tidak dipeluknya itu.

" Mak, ampunkan Man mak! "

Mak!!

" Doktor, doktor. Bangun doktor. Ada panggilan dari Dr.Nurul. Katanya mak Doktor tengah tenat kat kampung. "

Astaghfirullah.

Razman mencapai kunci keretanya lalu melangkah laju bertemankan linangan air mata.

Televisyen yang ditontonnya sebelum melelapkan mata terus memaparkan kekejaman tentera Israel yang terus membedil batang tubuh rakyat Palestin hatta tampang anak-anak kecil seusia Anis dan tubuh ibu-ibu tua seusia ibunya turut dibaham tentera biadap yang terus bermaharajalela.

Razman memandu pulang menuju ke kampung halaman.
Hatinya tidak putus berdoa akan keselamatan keluarganya dan juga saudaranya di Gaza.

Ya, mereka semuanya bersaudara!

3 comments:

c's said...

the point reaches me.. from the heart it is written, into heart it'll reach..

mabrook alaik.. menulis, tapi aura dalam debat ttp tak kurang.. tahniah

Naqeb Sulaiman said...

menulis untuk mengurangkan bercakap.
bila menulis, kena boleh rujuk dan muhasabah balik apa yang kita tulis.

kenapa nak masuk blog tak boleh ye? :)

c's said...

betul, kita boleh tengok semula apa kita tulis, kata-kata, bukan semudah itu untuk ditarik.

tutup blog?
kekangan masa, ada perkara lain memerlukan fokus dan perhatian lebih. Bila tutup, tak rasa nak kemaskini. dan waktu ini bukan waktu untuk menulis, lebih kepada mengatur tindakan. semoga selamat semua.. =)