Wednesday, January 7, 2009

Jalinkanlah Hubungan

Senyap seketika.

Handphone saya hampir tidak berfungsi sejak dari pagi hingga ke lewat petang.
Tiada talian yang masuk dan juga saya tidak mampu membuat hubungan dengan manusia di luar sana, di Irbid mahupun Malaysia, kedua-duanya sama.



Terputus hubungan.

Saya tidak tahu apa puncanya. Apa yang pasti semua pengguna rangkaian Orange mengalami masalah yang sama.
Di saat in baru saya terasa betapa pentingnya medium komunikasi ini, yang melicinkan segala rutin harian dan keperluan. Alhamdulillah, internet tidak mengalami masalah yang serupa, jikalau tidak, alamatnya sukar untuk kami mendaftar bagi semester kedua.

Kali pertama saya memiliki handphone ialah sewaktu di tingkatan tiga. Handphone saya bersaiz agak besar. Saya pernah curi-curi bawa handphone yang besar itu ke asrama selama seminggu tatkala kami pelajar tingkatan tiga dikerah menjalani program ala-lala PLKN, namanya PKS ( Program Khidmat Sekolah ). Semuanya gara-gara merasakan betapa pentingnya komunikasi dengan dunia luar. Saya tidak mahu menjadi pelajar asrama yang terperap bagai katak di bawah tempurung. ( alasan yang tidak wajar dicontohi :) ).

Hubungan Tanpa Pertalian

Kita akui bahawa kita akan senantiasa merindui insan yang dicintai dan namanya tersemat di sanubari.

Ibu, ayah, adik-beradik, sahabat, guru, tidak kira siapa yang mewarnai jalur warna hidup kita, pasti kita mahu hubungi mereka apatah lagi tatkala menerima khabar mereka ditimpa musibah yang tidak dipinta.

Saya juga merasai begitu tatkala menerima khabar dari Malaysia.
Anak mana yang tidak risau akan kesihatan orang tuanya.
Saya rasa mahu terbang di saat itu.
Sayang dan rindu.

Namun, samaada kita sedar atau tidak, kita memiliki dan menjalin hubungan dengan jutaan insan tanpa talian. Insan yang kadang-kadang kita lupakan sedang mereka memerlukan bantuan.



Hubungan yang terjalin tanpa perlu mendail sebarang nombor.
Hubungan yang terjalin walaupun kita kelekaan.
Hubungan yang terjalin tanpa kerinduan.
Hubungan yang terjalin tanpa sedar dan ramai yang memutuskan.

Mereka ada hubungan dengan kita.
Sejauh manakah kita merasai hubungan itu?

Mereka kesakitan, wajarkah kita sambut dengan kelekaan??
Mereka kematian keluarga, haruskah menyumbang pula kepada kematian mereka??
Mereka mati demi kehidupan abadi, mengapa kita memilih hidup untuk kematian duniawi??

Siapa mereka?
Kita siapa?

Adakah mereka itu mereka.
Dan kita adalah kita!!!?

”Sesungguhnya semua orang yang beriman adalah saudara.” ( Al- Hujuraat: 10)

Korbankanlah sedikit juzu' waktumu demi menjalinkan hubungan dengan mereka.
Seandainya kita bisa menekan kekunci handphone untuk menghubungi insan tersayang,
apalah gunanya seandainya kita sukar dan payah mengangkat dua tangan pinjaman Ilahi ini untuk menghubungkan kita dengan mereka yang seharusnya kita sayangi melalui doa kepada ALLAH Maha Berkuasa.

Hubungilah mereka.
Jalinkanlah!

No comments: