Wednesday, January 14, 2009

Puisi Malam Munajat

Malukanlah Abangmu.

( Puisi buat adikku di Gaza )


Adikku,

Biarkan abang malu,
Malu menghadap sekujur tubuh kaku,
Berjelejeran darah likat mu,
Sedang sungai air mata abang kekal membeku.
Luka menyaluti tubuh dinginmu adikku,
Tubuh abangmu panas membisu.


Adikku,

Biarkan muka tembok ini memerah malu,
Tatkala kau berzikir meminta meronta dibantu,
Abang-abang menyahut seruan nafsu,
Dek hati abang yang berkerikil batu,
Tubuh kecilmu digilis,diracik,dicincang,
Abang berbaring bersenang lenang,
Umi,abi, akhimu menyahut seruan jihad,
Abang-abang masih dirantai maksiat.


Adikku,

Malukanlah si tua ini,
Usiamu memerah, jiwamu menyala,
Sedang kami usia berjela, jiwa kami melemah punah,
Ketika kami menginjak dewasa,
Adik memang tidak bisa memberi sebarang apa,
Kerana hanya berpunya darah dan air mata.
Tatkala usia adik direncat syaitan manusia,
Abang juga tidak memberi sebarang makna,
Bahkan senjata dan peluru galang gantinya,
Hinakanlah abang-abang mu.

Adikku,

Malukanlah insan ini yang kononnya berjihad di lorong ilmu,
Walhal jihad palsu itu bersulamkan nista dan murka,
Sering leka, menjemput diri ke lubang dosa,
Tatkala adik bangkit di ujian berdarah,
Ramai abang syahid di ujian kuliah,
Mengaku pejuang sedang bertingkah sumbang,
Mengata pembela sedang ketagih noda.


Adikku,

Doakan abang-abang mu kembali kepada agama,
Biar kami jadi abang berjasa,
Jangan kami jadi abang durhaka,
Menabur janji manis di mulut berkumis,
Namun hati hitam berbau hamis.


Adikku,
Ingatkan bahawa abangmu tidak punya banyak masa,
Masa muda belum tentu merasa tua,
Ingatkan abang agar tidak tersembam di neraka dunia,
Agar menjejak adik bersemayam di syurga sana,
Doakan abangmu tersentak jiwa,
Hati yang membatu mencair,
Biar sungai air mata mengalir,
Biar ego lelaki yang bermain dibibir diusir,
Agar lahir seorang abang pembela,
Untuk adik-adik di sana.



-terima kasih kepada semua yang sahabat yang sudi menerima hadiah puisi ini sebentar tadi. moga mejadi pengingat diri saya yang melafazkannya dan buat kalian yang membaca dan mendengarnya.
-syukran buat pemberi hadiah cute. Ada apa-apa simbolik ke. comel..hehe
-sama-sama kita islah diri dan seru yang lain.

4 comments:

Anonymous said...

terima kasih abang kerana sudi menitipkan puisi buat adikmu ini.
Sudilah kiranya abang menerima puisiku pula..

abangku..
aku tidak memerlukan bantuanmu,
malah aku tidak memerlukan dirimu itu,
aku tidak perlukan seorang abang yg bacul!!
melihat keluarganya diperkosa
tetapi dia hanya duduk saja
ingatlah abang!!
syurga itu bukan utk org yg duduk saja..

abangku..
aku tidak perlukan bantuanmu,
kerana aku sudah tidak yakin dgn janji2 manusia,
hanya pandai berkata-kata,
cukuplah satu bagiku..
"cukuplah bagi kami Allah sebagai pelindung.."

tetapi bantulah dirimu abang!!
kau yang lemah,
aku tidak lemah,
walaupun usiaku baru setengah..
bangunlah abang!!
bangunlah dan sertai kami,
kerana kami sedang menuju kemenangan..
takut nanti abang yang ketinggalan..

sekian dari adikmu di Gaza..
-Ahmad-

[puisi murah ini aku tujukan khas buat abang-abangku..]

Anonymous said...

cik mahasiswa pernah masuk pertandingan sajak ke zaman mude2 dulu?..td byk salah format..huahuahua

Ain Mardhiah said...

Salam

sinis sungguh puisi ni.. Terasa tertembak tak henti-henti. Syukran mengingatkan. moga semua kembali terbuka mata..

bitaufiq..

Naqeb Sulaiman said...

wasalam.

moga kita menjadi abang dan kakak yang membela adik-adik kita.
bitaufiq juga.