Saturday, July 24, 2010

Erti hidup pada berkongsi


Bicara soal hidup,
kadangkala kita terlalu runsingkan apa yang akan jadi pada diri,
" luluskah aku exam akhir nanti, sempat tak aku pusing-pusing satu dunia sebelum tamat kuliah, bergaji besarkah aku nanti, cantik atau tidak teman sehati sejiwa."

Manusia acap kali meletakkan satu sasaran untuk diri sendiri, mungkin kerana sistem nilai pertimbangan erti sebuah kejayaan adalah apabila apa yang dihajati berjaya dimiliki, meskipun perlu menewaskan orang lain! Kalau sedari kecil sudah diajar untuk mendapatkan sesuatu, harus ada seseorang yang kehilangan sesuatu, maka hingga menjengah alam dewasa segala yang dicari dan dikumpul adalah untuk tujuan peribadi, tiada istilah berkongsi.

Kehidupan kita adalah sekali, tiada dua atau tiga, melainkan satu dimensi kehidupan baru yang dijanjikan Allah di alam sana.
Jadi, mengapa kehidupan yang satu ini tidak dikongsi rasa nikmat menjalani kehidupan yang baik dengan insan-insan di sekeliling kita.

Lihat ibu yang melahirkan kita, yang berkongsi aliran darah dan degupan nyawa sewaktu kita dikendong sembilan purnama, mengorbankan sebesar juzuk kehidupan untuk melihat si anak comel itu yang asalnya ibarat helaian kain putih, dicorakkannya dengan adunan warna kasih dan cinta seorang ibu yang tulus jiwanya.

Lihat ayah yang tiada istilah penat lelahnya, keluar di awal hari, pulang lewat malam, demi mencari suapan nasi buat anak-anak amanah Allah. Cuba kita fikir, bilangan anak-anak bertambah, gaji ayah pula kekal sama, mungkin barangkali ayah mengurangkan kos keperluan dan kehendak peribadinya. Dia tidak kisah berbaju melayu yang sama selama 3, 4 tahun selagi mana masih boleh membalut tubuhnya, asalkan anak-anak gembira dengan baju raya baru di syawal pertama.


Kita intai pula kasih Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.
Baginda dalam setiap helaan nafas dan hidupnya adalah untuk menyebar luaskan agama Allah demi melihat ummat bersatu erat, di bawah payungan agama Allah yang memberi rahmat.
Biar dibaling dengan hujanan batu hingga darah mengalir memenuhi kasutnya, tidak terlintas untuk menerima pelawaan malaikat untuk menghempapkan bukit-bukit ke atas ummat menderhaka, kerana baginda berharap akan ada pewaris mereka yang kembali menyarung fitrah menghambakan diri kepada Allah.
Hingga saat nyawa dijemput, kalimah ' Ummati..Ummati.. Ummati... ' masih bergema, tanda cinta seorang Rasul yang tiada tandingannya.

Rasulullah, yang dijanjikan syurga dan diampunkan dosa, sepenuh juzuk kehidupan baginda adalah untuk berkongsi janji dan rahmat Allah kepada seluruh manusia.

Kita??
yang berlumur dan berlumpur dosa, yang tidak tahu apa kesudahan kehidupan,
kenapa harus kita rasa memiliki kehidupan dan menjadikan ia sebagai aset peribadi untuk keuntungan diri, tanpa mengorbankan juzuk kehidupan demi menyebar luaskan kebaikan dan memberi manfaat kepada makhluk sekalian, yang sebenarnya tidak lain tidak bukan untuk kepentingan diri kita juga,bukan di dunia sini, tetapi di akhirat sana.

Justeru, ayuh hancurkan rasa memiliki, kerana kita dimiliki,
letakkan hatimu untuk hidup berkongsi,
memberi manfaat buat jiwa-jiwa yang kita cintai.
kerana memberi itu tidak mengurangkan, malah menambah apa yang dimiliki.

Friday, July 23, 2010

Sekalung penghargaan


Alhamdulillah, seminggu sudah pentadbiran PERMAI 09/10 melabuhkan tirainya.
Segala puji bagi Allah yang memberi saya kudrat untuk menjalankan amanah setahun yang memberi seribu makna buat saya.

Terima kasih buat sahabat-sahabat kepimpinan AMM PERMAI atas bantuan, sokongan dan kerjasama yang diberikan.
Terima kasih buat ahli-ahli PERMAI yang banyak membantu dan menyokong sepanjang setahun memegang taklifan.
Terima kasih buat mantan-mantan pimpinan MPPM dan BKAN sesi lepas yang banyak membantu dalam menggerakkan PERMAI.
Terima kasih buat Anas, Hafiz, Hamdi yang banyak menyokong selama ini, yang menjadikan rumah kita sebagai 'syurga idaman' untuk sama-sama membina diri.

Dan kini,
saya melangkah kembali sebagai ahli PERMAI yang sedia membantu dengan kudrat yang ada.
Sama-sama kita menyokong kepimpinan baru.

~ Bersatu Ke Arah Kecemerlangan ~




~ Permai di hati , MPPMJ menanti, Prisma, Permata, PPMA akan ku terokai untuk turut dekat di nubari :)
~ sebulan lagi menghirup bau tanah air yang dirindui . iAllah.

Friday, July 2, 2010

Usikan jiwa

Cuti tinggal sehari lagi. Lusa, summer semester yang akan melengkap tahun pengajian ketiga saya akan bermula. Masa berlalu dengan pantas, sudah separuh perjalanan saya untuk menggapai segulung ijazah, dan separuh masa juga yang saya habiskan berkelana dan menjejak liku imu dan menghidu bau pengalaman di dataran Syam ini.

PERMAI

Nama yang terpahat di hati saya, yang cukup mengusik jiwa.
Entahlah, sejak kali pertama menjejakkan kaki sebagai sanfur di sini, hingga kini memegang taklifan sebagai Presiden yang hanya berbaki lagi 15 hari, PERMAI itu cukup dekat di hati.

Di PERMAI ini saya mengenal ragam-ragam manusia, wajah-wajah sahabat yang sentiasa menghulur salam dan senyuman. Di sini saya cuba mencari dan membina diri.

Hari ini, timbalan saya sudah pulang ke Malaysia, sebagai graduan dan ulama' muda yang bakal menyumbang bakti. Jangan ke sana pula sudahlah.. :)

Minggu lepas ramai senior-senior saya lepaskan dengan pelukan, mereka berangkat pulang.
Tiada air mata yang bergenang di kaca mata Ray Ban saya, kerana saya percaya,
kita berpisah di sini, bertemu di sana.

Di sini, ukhuwah kami terbina, 600 lebih pelajar Malaysia yang berhimpun di bumi Irbid ini memasang tekad mengejar cita-cita, untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara, juga keluarga.

Melihat adik-adik yang dulu terkial-kial mencari arah jalan di Simsimah, kini sudah mula mengorak langkah mengexplore dunia Irbid, membuat saya senang hati dan gembira. Teruskan melangkah, bak kata blog Abang Mun.

Melihat abang-abang dan kakak-kakak yang menggenggam ijazah, sama ada dalam bidang agama, perbankan, kedoktoran dan pergigian, membuat hati rasa terharu dan bersemangat untuk mengikut jejak mereka.

Ah..warna-warna di Irbid ini cukup mendamaikan jiwa.
Masalah yang ada kita atasi bersama, suka duka, sunyi sepi, ketawa ria, itulah bekalan kenangan yang akan dibawa pergi bersama segalas tanggungjawab apabila pulang ke tanah air nanti.

Buat kawan-kawan, terima kasih kerana mewarnai hidup ini.

~ terfeeling pula malam ni... ~
~ esok AGM MPPM, dan ku serahkan segala pada-Nya ~
~ menghitung hari... ibu sudah memanggil pulang ~