Monday, December 29, 2008

Sekeras Batu

" Siapa kau ?". aku memandang tepat si anak kecil yang berpipi gebu. Umurnya lapan tahun barangkali.

" Ana Mujahid. " batu kecil masih digenggamnya erat-erat. Ada luka-luka yang masih berdarah merah di lengannya.

" Kau dari mana? Apa yang kau buat di sini? "

" Palestin. Ana pun tidak pasti kenapa ana ada di bumi mewah ini. "

" Palestin?? Ceruk kampung mana tu. Aku tidak pernah mendengarnya. "

Aku berdusta walhal baru sebentar aku terlihat bait nama itu didada akhbar,namun aku lebih tertarik dengan perkembangan dunia sukan dan artis. Itu lebih menghiburkan berbanding cerita yang menyedihkan, hidup ini sekali, untuk apa perlu bersedihan andai mahu merasai nikmat kehidupan.


" Mustahil anta tidak tahu. Palestin itu tanah ummat Islam yang dirampas Israel laknatullah. Mustahil! "

" Argh!! Aku peduli apa , yang penting negara aku aman merdeka. "

Aku sangsi akan kewujudan budak hingusan itu. Dia pencuri kecil jalanan barangkali. Aku gengam erat-erat handphone Nokia E90 yang baru aku beli sebentar tadi. Budak kecil zaman sekarang bukan boleh dipercayai.

" Ana dahaga, boleh berikan seteguk air. " matanya bundar sambil merenung sayu ke arah ku.

Aku semakin pasti inilah si peminta jalanan, selalu mengemis simpati manusia yang serba cukup seperti aku. Aku rimas dengan golongan seperti ini, mahu sahaja aku layangkan sepakan ke tubuh kecilnya. Namun, aku amsih lagi berhati manusia. Aku tidak sekejam..Iss..Isreal.. lebih kurang begitulah nama si durjana itu. Aku pun bukan tahu menahu.

Dia meminta lagi dengan simpati,luka ditangannya masih belum berhenti.
Aku berlari anak meninggalkannya. Manakan tidaknya, pasti sukar untuk menghilangkan kotoran di bajuku andai terkena najis darahnya. Argh..budak kecil yang merimaskan.

Jalan raya berturap dan memiliki empat lorong dua hala terbentang di hadapan ku. Aku melangkah laju menyeberanginya demi meninggalkan jauh si peminta itu. Aku puas kerana tidak rimas dengan isu-isu basi yang tidak berkaitan dengan nafas hidupku.

" Argggghhhhhh ".

Aduh. Sakit menjalar ke seluruh saraf tubuhku. Aku merasakan panas darah melumuri tampang tubuhku. Rasa sakit itu beransur hilang dalam kegelapan hitam...

************************************************************************************

" Alhamdulillah anta sudah sedar ".

Ku cuba sedaya upaya mengangkat kelopak mataku. Sinar cahaya menyusup masuk lalu menampakkan satu wajah yang seakan pernah ku bersua dengannya.

" Ya akhi, bersyukur ke hadrat Allah, walau anta sudah terkena dua das tembakan, nyawa anta kental, jiwa anta cekal. Kita pasti bangkit semula."

Ya, aku pasti tanpa ragu. Dialah manusia yang menyebabkan aku ditabrak oleh pemandu gila sebentar tadi. Aku menghirup suasana hospital itu. Aneh sekali.

" ............ "

Aku cuba lagi sepenuh hati.

"..............................."

Sunyi sepi.

Tiada kalam bicara yang bisa keluar dari kerongkongku.
Ya Allah, apakah ini ujian besar yang Kau timpakan kepada ku.

" Doktor, ayuh segera, ada mangsa yang terkena serpihan peluru berpandu di ruang kecemasan saya. Nyawanya di hujung tanduk! ". teriak seorang jururawat dari muka pintu kayu.

" Ya Allah, kamu bantulah kami! ". esakan seorang ibu dari kiri katil berhadapan dengan aku.

Aku melirik anak mataku lagi, mataku tertancap pada tolakan troli yang diatasnya terkulai sekujur tubuh yang bermandikan darah diiringi kaum keluarga yang dibasahi air mata derita.

Siapa mereka??

Aku di mana??

Kau siapa wahai budak jalanan??

Ingin sahaja kau berteriak gempita , namun ku tahu itu hanya tindakan dungu kerana kini hidupku bisu.

Aku hanya bergelar pemerhati dari jauh, aku orang asing barangkali. Aku tiada apa-apa perhubungan dengan mereka, aku adalah aku dan mereka bukan sesiapa.

Gelap!!!

Suasana riuh, ada yang menangis dan ada yang terus berzikir.

Allah. Allah. Allah.

Bekalan elektrik terputus, aku lega kerana rawatan ku tidak bergantung kepada sistem janakuasa itu. Namun telinga ku menangkap kekalutan yang berlaku.

Mesin sokongan hayat!
Wad bersalin dan kanak-kanak!

Berbekalkan ilmu yang aku miliki selaku pelajar perubatan, tiada harapan buat mereka andai bekalan elektrik terus tergendala. Aku tersenyum mengenangkan ilmu yang aku miliki . Memang ilmu itu satu keperluan.

Dalam kegelapan itu aku dipapah oleh Mujahid menuju ke ruang lain.
Aku hanya akur kerana aku takut tersungkur. Langkahan lemah ku berseli dengan hidu darah yang membasahi tubuh-tubuh manusia yang tidak ku kenali.

Tiba-tiba..!!!

Runtuh dan musnah. Kepulan asap bertebaran di udara, segala-galanya sepi dan ditangisi wajah-wajah tidak berdosa. Hospital itu dibedil tanpa peri manusia.
Aku tidak merasa sakit walau sedikit, cuma hatiku tersentuh rasa tanpa ku pinta.

Tangan Mujahid menggegamku. Suara-suaranya tersekat-sekat, pegangannya kian erat.

" Wahai saudaraku, mungkin kau tidak merasa apa yang terbuku di hati kami. Kau ditarbiyah di kuliah, kami ditarbiyah dengan air mata. Kau hidup selesa dalam kepanasan cuaca, kami kedinginan dalam kesejukan derita.

Wahai saudara ku, kita seaqidah, kita bertuhankan Yang Esa, ketahuilah kita bersaudara. Aku tidak meminta kau terkorban di medan berdarah seperti kami, aku tidak meminta kau merasa tarbiyah peluru berpandu, namun bantulah kami sedaya yang kau mampu.

Kamu semua adalah SAUDARA ku! "

Kalimah syahadah meniti di bibirnya sebelum tubuh kecil itu kaku tanpa nyawa pemuda.


" Mujahid !!!!!"

Aku bangkit dari pembaringan.

Mata-mata di sekeliling merenungku dengan seribu tanda tanya.

Aku berada di sebuah hospital yang canggih dan serba indah. Hospital swasta barangkali.

Bebola mataku tertancap pada satu objek di atas meja bersebelahan katil ku.

Sebiji batu yang bertompok darah.

Batu itu lambang perjuangan anak kecil yang hilang entah ke mana.

Perjuangan yang kini wajib ku jejak bersama. Aku harus jadi pembela!

Hijrah : Sekadar Sambutan?












Alhamdulillah. 1430 hijrah telah berlalu. Setiap kali Maal Hijrah memenuhi kalendar manusia yang rata-rata terfokus kepada sambutan tahun baru, masih wujud lagi kesedaran pelbagai pihak untuk mengangkat martabat taqwim ummat Islam yang berpaksi peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah.

Dalam keadaan ramai yang memikirkan di mana untuk menyambut Tahun Baru, siapa artis terkenal yang bakal mengisi hati mereka sebelum azam baru 2009 ditanam di jiwa, ummat Islam seharusnya membuka mata seluas-luasnya tentang kesedihan dan derita air mata saudara-saudara seaqidah di Palestin yang menyambut Maal Hijrah dengan ledakan bom dan peluru berpandu Israel . Mereka syahid di jalan Allah.

Pemuda dan Pemudi : Hijrah Songsang

Jangan berasa malu untuk kita akui, apalah sangat sumbangan kita untuk Islam jika diri asyik berasa lemah dan tewas di ujian kuliah, tandus di lubuk cinta " papa dan mama", terperangkap dalam dunia maya hingga kita hilang jiwa pemuda, fizikal sahaja besar namun lagak dan gaya ibarat anak kecil yang hilang botol susunya. Kita harus malu.

Wahai diriku dan dirimu semua, contohilah mereka.

Umar R.A tidak gentar dengan pendiriannya. Di saat ingin berhijrah ke Madinah di melaungkan suara kepada kaum Musyrikin ,"Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya.

Itulah Umar R.A, zaman muda yang diisi dengan berani berjuang, bukan seperti kita sekarang yang berani temberang. Kita mengaku kita pejuang agama Allah, namun sekadar halangan hujan dan kesejukan untuk ke kuliah pun kita sudah rebah.

Ali R.A. Umurnya masih muda ketika peristiwa hijrah. Mudanya bukan beerti dia lemah, malah jiwa mudanya tidak gentar untuk menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda. Bukan Ali R.A tidak tahu dia menanggung risiko akan dibunuh musuh, manun demi Islam dan kecintaan terhadap Rasulullah, nyawa menjadi taruhannya.

Itulah Ali R.A. Manakala inilah kita pemuda zaman sekarang, bukan sahaja tidak mengamalkan sunnah, malah sensitiviti tatkala musuh menghina Rasulullah kita juga rendah. Malulah kita kepada Ali.

Hawa

Owh! Buat kaum Hawa, jangan lupa kalian juga adalah penyumbang kepada kejayaan hijrah ini. Namun itu Hawa 1430 tahun yang dahulu.

Anak-anak perempuan Abu Bakar,Aishah dan Asma'.
Mereka berperanan menyediakan bekalan untuk Rasulullah dan Abu Bakar. Asma' telah
memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut. Daripada peristiwa itu, dia digelar: "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Lihatlah betapa kaum hawa juga bereperanan dalam kejayaan Islam, begitu mulia Islam menaikkan darjat kaum yang sering tertindas di zaman jahiliyah.

Itulah Aishah dan Asma'. Namun lihat realiti kini, usai Islam bangkit dan wanita terbela, masih ada dalam kalangan mereka yang kembali dahagakan jahiliyah. Berpakaian tetapi 'berbogel', membiarkan diri dieksploitasi , mudah termakan pujuk rayu lelaki.
Memang bukan semua begini, namun bagi yang telah kembali kepada firah mulia mu, serulah yang lain agar kita tidak jadi seperti buih.

Mengingati Hari-hari Allah














" Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah". Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur "

Hari-hari Allah merupakan hari-hari dimana ada kegembiraan kepada umat Islam dan juga termasuk hari-hari ummat Islam berduka cita.

Kini kita berada pada dua titik yang sama. Hijrah telah berkunjung dalam keadaan ramai mayat syuhada' Palestin diusung.

Ke mana hijrah kita wahai diri dan sahabat pembaca. Adakah kita meletakkan niat hijrah kita hanya berlegar kepada manfaat diri sendiri, sedangkan itu pun ramai yang gagal melakukannya.

Memang segala-galanya bermula pada diri, bukan bermakna manfaat hijrah itu tidak untuk semua. Hijrahkanlah dirimu dari rebah dipintu neraka, menuju ke pintu syurga.

Jejaklah roh penghijrahan , jangan jadikan Maal Hijrah ini sekadar sambutan yang akan berlalu tidak meninggalkan kesan.

Hijrahlah wahai hatiku!

Sunday, December 28, 2008

Menangislah














Menangislah wahai hati,
Melihat saudaramu terbujur kaku,
Suara tenggelam dalam ledakan peluru,
Darah melimpah mengalir sayu,
Sungai tangisan yang deras menderu,
Rumah batu hancur seribu,
Musnah punah terus diburu,
Menangislah dalam doamu.

Bangkitlah wahai jiwa,
Melihat ayah,ibu, adik-adikmu merana,
Musuh mentertawa gempita,
Memijak,meludah maruah ummah,
Sedang masih ramai di luar terlena,
Menghayun kepala,alpa segala,
Bersilang kaki, meneguk kopi,
Dalam derita jiwa mereka,
Dikepung hati batu manusia,
Maka bangkitlah wahai pemuda.

Hijrahlah wahai diri,
Memang bukan tubuhmu dirobek,
Bukan nafasmu disekat hebat,
Kau masih sihat tidak melarat,
Bisa tersenyum mengepal mimpi,
Namu apa guna kau mengaku seaqidah,
Andai katamu dusta, perimu helah,
Hijrahlah menuju rasa itu,
Agar bisa menjadi pembela mereka!!

Friday, December 26, 2008

Ayat-ayat Cinta : Antara Cinta dan Cita-cita








Ayat-ayat cinta menjadi sebuah fenomena.

Saya berniat untuk berbicara tentang novel karya Habiburahman el-Shirazy yang terus meletup di pasaran Indonesia dan Malaysia meskipun sudah berada di pasaran sejak 2004, bukan produksi filem Ayat-ayat Cinta yang pada saya kurang dari sudut mengekalkan keaslian terjemahan mesej novel tersebut.

Sejujurnya saya bukanlah penggemar novel-novel tempatan mahupun nusantara yang bersusun di rak bookstore sebelum ini. Jalan cerita yang klise dan tema yang mengangkat cinta tanpa batasan membuatkan saya muak dan jelak dengan novel-novel yang tidak mengembangkan minda.

Ayat-ayat Cinta Saduran Hollywood?

Baru-baru ini seorang penulis novel seks Indonesia mengecam fenomena Ayat-ayat Cinta yang menurutnya ia sebuah karya picisan dan bertitik dari nafsu kebenaran. Padanya, tiada istilah sastera sebagai alat dakwah melainkan sastera sebagai medium penghebahan nilai dalam masyarakat.

Dia melabelkan Ayat-ayat Cinta yang sudah terjual lebih 300,000 naskhah di seluruh Asia Tenggara dan diiktiraf novel Islam sebelum ini, sebagai karya picisan kerana menggunakan resipi cerita pop Hollywood 1950-an.

“Bezanya di Hollywood karya bernada Kristian yang diketengahkan manakala di sini Islam dijadikan pilihan, tetapi kedua-dua ini memberi kesudahan cerita yang serupa iaitu agama sebagai jalan penyelesaian dan pasti menang dalam apa keadaan sekalipun,” katanya dalam wawancara satu wawancara.

Inilah pemikiran yang perlu kita atasi untuk menjadikan penulisan salah satu medium menyebarkan kefahaman dan dakwah agama.

Nafsu kebenaran?

Watak Fahri yang digilai ramai wanita dalam novel itu dan turut diimpikan ramai pembacanya memang sukar dicari. Persoalannya, adakah salah seandainya pengarang berusaha untuk menonjolkan nilai-nilai Islam yang kian pudar dalam masyarakat hinggakan perkara yang sepatutnya diaplikasi menjadi amali dipandang sebagai aneh dan ganjil serta mustahil untuk terjadi.

Sampai bila masyarakat perlu disogok dengan fahaman liberal dan jahiliyah yang mendominasi segala ruang penyampaian ilmu dan idea kepada manusia.

Sewajarnya perlu ada sekumpulan yang mengangkat Islam di tengah timbunan karya picisan.

Allah SWT berfirman :

" Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung ". ( Ali Imran/3 : 104)



Menghadkan Cinta, Melupakan Cita-Cita


Saya akui ramai sahabat-sahabat sekeliling yang kurang meminati novel-novel yang lebih dikenali sebagai cinta Islamik. Membaca novel-novel ini hanya mendorong pembaca terutama golongan remaja untuk memikirkan soal cinta dan rumah tangga .

Pada pendapat saya, jika kita menghadkan sebuah pembacaan novel sebegini hanya untuk melihatkan tema cinta yang ditonjolkan apatah lagi menghadkan tema cinta itu sekadar antara Adam dan Hawa, maka kesannya novel ini hanya berlegar di ruang lingkup yang sama. Membacanya tidak menambah ilmu, malam menyebabkan pembacanya lesu menghirup cinta yang disalahtafsir mengikut hawa nafsu.

Penulis telah cuba membuka dimensi baru dalam mengengahkan dakwah Islam dalam penulisan, mengungkap bicara soal penghambaan, nilai-nilai hidup agama yang perlu diaplikasikan dan hukum-hakam yang mampu diselitkan dalam sebuah novel, sekarang natijahnya terpulang kepada pundak pembaca, hanya mahu menapis hampas cinta biasa, atau pun berfikir dalam dimensi yang luas dan mencerakin serta menyerap segala manfaat yang tersedia.

Seandainya sindrom pembacaan novel-novel sebegini dihadkan pembacaannya semata-mata untuk merasakan manisnya cinta, maka cita-cita para pendukung dakwah akan terkubur kerana pembaca tidak berusaha untuk menggali segala hikmah yang diselitkan dalam novel tersebut.

Bagi yang kurang meminati novel-novel sebegini, banyaklah lagi pilihan novel-novel yang mengangkat tema tersendiri seperti ukhuwah, perjuangan, realiti kehidupan dan lain-lain lagi. Apa yang penting adalah sejauh mana kita menggerakkan akal dalam pembacaan agar segala manfaat mampu diterjemahkan dalam kehidupan.

Saya bukanlah sesiapa untuk berbicara tentang penulisan ini, saya hanya sekadar pembaca kecil yang cuba mencari ruang untuk mengaut segala manfaat yang ada.

Selamat bercinta dengan cita-cita menegakkan agama Allah!

-kesal dengan tindakan pihak yang mengunakan blog bagi tujuan menghina Rasulullah. Moga kebenaran terbela.

Thursday, December 25, 2008

Dedikasi buat Hawa














Wanita..

Saya tidak pernah menulis tentang kaum hawa sebelum ini. Insan yang tercipta untuk Adam, menemani di syurga, mendampingi di dunia , saling melengkapi hidup manusia.

Mereka makhluk istimewa. Biar air mata sering dikaitkan dengan naluri mereka, namun hakikatnya air mata itu yang menguatkan jiwa, menebar jalur warna dalam setiap bucu peranan yang digalas mereka dari seorang hamba-Nya hinggalah hubungan sesama manusia.

Kita harus yakin tidak ada satu pun agama di dunia , kecuali ad-din Islam, yang memuliakan wanita, mengasihinya, mengangkat darjatnya, memberikan haknya dan tidak merendahkan-rendah sifat fitrah mereka.

Islam memuliakan mereka sebagai hamba Allah tanpa banding beza,
Islam memuliakan mereka sebagai isteri yang mendampingi perjuangan suami,
Islam memuliakan mereka sebagai ibu yang mengandungkan zuriat sembilan purnama,
Islam memuliakan mereka sebagai pasangan Adam di akhirat dan dunia.

Keadilan Islam

Dalam satu peristiwa, Asma' binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah telah mengetuai kaum wanita bagi menyuarakan pengaduan mengenai hak mereka kepada Rasulullah.

Dengan penuh sopan, Asma mengadu tentang kelebihan kaum lelaki yang boleh melakukan solat jumaat, solat jemaah di masjid, mengerjakan haji berkali-kali dan yang utama boleh keluar berjihad ke jalan Allah, berbanding dengan kaum wanita terbatas dalam gerak-geri , sentiasa di rumah dan menjaga harta benda , menjahit pakaian dan menjaga zuriat tatkala suami mereka keluar berjihad. Dia bertanyakan bagaimana wanita boleh berkongsi pahala dengan kaum Adam.

Baginda kagum mendengar bicara wanita itu malah sahabat-sahabat yang bersama Rasulullah turut menganggumi kepandaiannya membawakan masalah agama.

Rasulullah berkata kepadanya, " Ketahuilah wahai wanita dan sampaikanlah juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredhaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya."

Begitulah kemulian Islam yang mengangkat darjat kaum wanita.

Islam tidak pernah menolak pandangan wanita. Peranan wanita dalam memberikan pandangan tidak pernah dinafikan. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika khalifah yang terkenal dengan ketegasan itu sedang berpidato di atas mimbar.
Umar tidak menolak sanggahan itu malah mengakui kebenaran apa yang disuarakan wanita itu sambil berkata, " Semua orang ( bisa ) lebih mengerti daripada Umar. "

Malu VS Maju

Ledakan perkembangan teknologi sejajar dengan penjajahan budaya telah merubah corak kehidupan manusia sekaligus menyebabkan kaum wanita yang tidak beriltizam dengan
agama terpalit lumpur jahiliyah yang kian menabrak cara hidup beragama.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda : " الحياء من الأيمان "
maksudnya: " Malu itu sebahagian daripada iman "

Sifat malu yang menghiasi wanita sudah terhakis sedikit demi sedikit kesan meninggalkan agama dalam kehidupan. Kesan hilangnya sifat malu dan hasil muntahan kemajuan, mereka dieksploitasi habis-habisan oleh sesetengah pihak yang mencari keuntungan dengan menggadaikan maruah dan hak wanita.


Hiburan, pengiklanan,nyanyian, perfileman,fesyen semuanya menjadi wadah untuk menyebar fikrah kebebasan wanita untuk menonjol di khalayak dunia dengan meninggalkan rasa malu yang sewajarnya menghiasi diri mereka.




Kembali kepada fitrah

Saya dedikasi bait-bait lagu ini buat semua wanita agar kembali kepada fitrah yang suci. Anda semua adalah insan yang dimuliakan Allah.
WANITA - deHEARTY

Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa

Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung

Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi
Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk

Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita mengharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa
Bahwa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan.

Wednesday, December 24, 2008

Keluarga

Keluarga.

Ini keluarga yang baru dibina dengan izin Allah.
Kami merancang dan melaksana dengan izin-Nya. Saya melalui satu pengalaman, menarik dalam membina keluarga ini. Dengan risikan dan juga luahan sukarela, hubungan ini terbina lantas membawa kenangan yang indah.

Mencuba

Alhamdulillah, hubungan ini membuahkan hasilnya. Dari berdua, menjadi tiga, empat hingga seterunsnya tidak terkira dengan jari jemari saya.

Pada awalnya saya tidak menduga hubungan boleh menjadi sekukuh ini. Pertemuan yang dirancang kali pertama di sebuah kedai makan membuahkan hasil walaupun pada mulanya agak kekok, malu-malu masih ada agaknya.

Alhamdulillah, meskipun kami telah akhiri apa yang mejalinkan kami di atas program yang sementara, saya berdoa agar Allah satukan hati kami untuk meneruskan perjuangan di muka bumi ini.




Bersama pengarah teater
dan penulis skrip.











-sedang merancang untuk mencuba apa-apa yang sewajarnya
-post saya banyak tentang keluarga sebelum ini, ada yang tersalah anggap saya mahu mendirikan rumah tangga..aduss..:)

-mendung kelabu mendengar berita tentang ayah diwarnai sedikit cahaya kegembiraan kakak yang bakal menuju alam rumah tangga

Tuesday, December 23, 2008

Dari Puncak Ingin Ke Angkasa


















Alhamdulillah, selesai sudah satu lagi program yang mengisi diari mahasiswa di sini.
Program tanpa dirancang, dari angkasa dia turun ke bumi untuk bertemu dengan kami.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ,angkasawan Malaysia pertama telah meluangkan masa lebih kurang dua jam dalam program ramah mesra mahasiswa Irbid bersama beliau. Alhamdulillah, program yang sedikit sebanyak menyuntik sesuatu kepada mahasiswa yang sedang lesu terutama di musim sejuk ini.

Sejujurnya, sebelum ini saya tidak berminat dan mengikuti perkembangannya. Sekadar membelek-belek akhbar maya dan mendengar cerita tepi dari orang-orang yang tidak meminati.

Namun semalam, ada beberapa perkara yang saya tertarik dengannya.
Sekadar berkongsi, sebelum terpilih untuk menjadi angkasawan, dia terpaksa bersaing dengan ribuan calon sehinggalah tersenarai dalam calon akhir. Ujian fizikal dan mental yang dilalui sangat menarik dan mencabar, kadang-kadang kelakar.
Bayangkan sepanjang tempoh dua tahun, segala tindak tanduk, percakapan dan tabiatnya diperhatikan dan dianalisis oleh sepuluh orang pakar psikologi untuk menilai dan memilih seorang angkasawan ayng benar-benar layak.


Ujian kelayakan fizikal juga amat menarik dan mencabar. Tubuhnya tidak boleh berparut pembedahan dan gigi tidak boleh bertampal. Apalagi, checkla tubuh anda kalau berminat ke bulan. Dilemparkan di laut hitam selama tiga hari, terdampar di pulau tanpa makan dan tidur, menerima tekanan seberat gajah dan lain-lain lagi.


" When my mind believe, my body can achieve "

Itulah prinsipnya yang membuatkan dia yakin untuk melakukan semua itu.

Saya kagum juga dari segi niatnya yang mahu membuktikan Islam boleh diamalkan di mana, hatta di bumi juga di alam semesta. Dia merupakan Muslim kesembilan yang naik ke angkasa tetapi inilah kali pertama dibincangkan dikalangan ulama' sedunia bagaimana cara untuk menunaikan solat di angkasa. Dia juga curi-curi membawa Al-Quran tanpa pengetahuan pihak Rusia untuk menjadi bekalan di sana.

Perancangan jangka panjangnya adalah untuk menyatukan semua angksawan Muslim dan berusaha menaikkan kegemilangan Islam. Sama-sama kita doakan agar dipermudahkan urusan-Nya.

Satu perkara yang menarik lagi ialah dia juga menghargai golongan seni. Dia memakai baju batik dari Kelantan, menulis sajak dan puisi bagi menghargai sumbangan orang seni. Kalau saya berada ditempatnya, agak-agaknya tentu banyak ilham untuk menulis cerpen melihatkan keagungan cipta Allah. Rasa yang tidak terungkap dengan bicara.

" Siapa kuasai angkasa, dia kusai dunia ".

Lihat sahaja Amerika,Rusia dan negara-negara lain yang berjaya membina empayar di ISS ( International Space Station ). Mereka kini menjadi kuasa besar di dunia.

Namun jangan kita lupa, ada yang Maha Berkuasa ke atas angkasa dan dunia, Dia tiada tandingan-Nya.

Bacaan Surah Ar-Rahman oleh saudara Anas, bekas peserta Akademi Al-Quran kedua pada awal majlis cukup mengingatkan kita akan kebesaran Al-Quran.

Transformasi

Apabila sesi soal jawab dibuka, saya teruja untuk jadi individu yang pertama menyoal hingga lupa untuk memperkenalkan diri.

Dari seorang doktor yang ghairah melakukan pembedahan, dia menuju ke angkasa dengan penuh keyakinan.

" Bagaimana Datuk boleh membuat keputusan untuk beralih dari bidang perubatan ke bidang angkasawa kerana keputusan itu melibatkan pengorbanan dan kerjaya. "
Saya bertanya kerana saya juga menyimpan cita-cita untuk meluaskan dimensi kerjaya nanti. InsyaAllah.

Dia tidak selesa saya memanggilnya gelaran itu. Dia terasa tua. :)

Apa yang disimpulkan dari jawapannya,tidak semestinya perjalanan kita akan berhenti apabila kita sudah mengusai satu bidang. Kita perlu yakin kita mampu untuk mencuba sesuatu berusaha bersungguh untuk mencapai apa yang dicitakan. Kita diciptakan Allah dengan bertujuan , maka jangan sia-siakan peluang yang ada.

Saya dapat sedikit suntikan baru. Perjalanan saya baru bermula. Saya akan terus kembara di dunia ini sebelum menemui Ilahi.

Jom ke angkasa!!

Monday, December 22, 2008

Aku Jatuh Cinta..

Aku jatuh cinta.
Bukan pandang kali pertama,
walhal sudah lebih setahun ku mengenalinya.
Sebelum ini setiap kali ke kuliah,
hati kosong tidak diisi cinta.
Baru sekarang mekar berbunga.
Memang cinta hadir tanpa dipaksa.
Tidak perlu ditanam dalam-dalam dan dikambus,
Ia bisa meresap ke dalam hati,
lantas menyusup ke jiwa.

Kini hati ku terpaut,
Jiwa kosong diragut,
Ku yakin ia anugerah Ilahi,
Moga dikekalkan rasa ini,
Kerana cinta ini terkandung amanah,
Cinta ini tersemat harapan manusia,
Ikhtiar penyembuh jasad dan jiwa,
Moga cinta ini dirahmati-Nya.

Cintaku mula berputik...

Friday, December 19, 2008

Jom Debat!!



Apalagi, jom kita hangatkan debat PIALA PRESIDEN PERMAI!!!

Wednesday, December 17, 2008

Pasangan Hidup









Dalam usia meniti dewasa, saya yakin ramai yang sudah mula memikirkan soal pasangan hidup. Apatahlah lagi bagi mereka yang terkena tempias musim perkahwinan semasa belajar. Ada yang sudah mula meminati tafaquh munakahat, ada yang sudah menggenggam Aku Terima Nikahnya, di rak buku sudah tersusun Men Are From Mars Women Are From Venus. Tidak cukup dengan itu, ramai yang sudah khatam berkali Ayat-ayat Cinta dan dua jilid Ketika Cinta Bertasbih. Buku-buku panduan menuju ke mahligai perkahwinan menjadi santapan mata dan jiwa.

Ketika ini saya dalam fatrah memikirkan soal pasangan hidup. Pasangan hidup yang semakin mendekati saya dalam tidak disedari. Mendekati, memasuki jiwa dan sanubari. Anugerah dari Ilahi.

Ujian.

Itulah pasangan yang sukar dan tidak bisa dipisahkan dari sebuah kehidupan.
Mana tidaknya, bukanlah dinamakan kehidupan andai tidak diwarnai dengan ujian.
Dan kini baru saya merasakan ujian itu benar-benar menjadi pasangan hidup manusia.
Tidak kira dalam keadaan kita senang dan susah, tetap terselit ujian di mana-mana.

Ujian mematangkan kehidupan


Mendengarkan kisah-kisah para Anbiya dan sahabat semasa introspeksi iman cukup membuatkan diri terasa sungguh kerdil. Kisah Bilal yang diseksa kerana mempertahankan aqidah sepatutnya menjadikan suntikan untuk mempertahankan agama.

Kisah Nabi Nuh yang terus berdakwah beratus-ratus tahun walaupun ramai yang menolaknya seharusnya menjadi tujahan buat kita agar tidak mudah mengatakan lemah untuk menyeru manusia alpa ke jalan Allah.

Satu petikan dialog dari teater ADHA yang menyentuh rasa :

Apa yang nta katakan ni, kita yang membesar di negara ini sudah matang melebihi usia. Hasil tarbiyah derita dan air mata. Bukan seperti remaja di negara aman. Sudah berumur hampir 30-an pun, masih berperangai seperti anak-anak kecil.

Perbandingan yang memalukan

Kita sewajarnya malu andai kita mengatakan kita berasa putus asa kerana tidak punya waktu dan sibuk dengan jadual peperiksaan yang berturutan. Ujian yang menyesakkan kehidupan.

Walhal,anak-anak kecil di negara-negara tertindas tidak punya waktu untuk merasai duduk di bangku ilmu, mereka ditarbiyah dengan linangan air mata dan tumpahan darah.
Pasangan hidup mereka adalah kematian ibu, ayah dan saudara.



Kita seharusnya merasa malu jika kita memilih teman hidup hiburan yang kian bermaharajalela. Apatah lagi semasa musim sejuk ini, duduk di bawah selimut tebal bertemankan secawan kopi panas lalu jari jemari ligat mengawal pergerakan animasi yang melalaikan.

Walhal, anak-anak seusia kita kesejukan lantaran hidup di khemah perlarian. Batu-batu kecil untuk dilontarkan ke kereta kebal si zalim menjadi bahan mainan mereka.



Kita menonton animasi, mereka menyaksikan tragedi.
Kita rebah di ujian kuliah, mereka bangkit di ujian berdarah.

Saya menulis sekadar untuk memperingatkan diri yang terasa berat bila diuji. Ujian itu tanda kasih-Nya. Pasangan bagi kehidupan untuk sebuah kematangan dalam perjuangan.

'Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian).'– (Surah al-Ankabuut ;2)

Sedarlah kalian, kamu sedang diuji.

Sunday, December 14, 2008

Ingin berkeluarga....

Adha menghitung hari yang tidak pasti. Keluarga. Itu sahaja yang bermain di legar kepala. Dua orang seniornya sudah selamat mendirikan rumah tangga pada raya ketiga yang lepas. Selamat melangkah ke alam rumah tangga dan alam keluarga diucapkan.

Adha juga ingin berkeluarga. Ingin sahaja dia pulang ke Malaysia dengan segera walaupun dia tahu emak menghalangnya pulang . Emak mahu dia melunaskan dahulu tanggungjawabnya untuk menimba ilmu di sini. Soal keluarga jangan dirisaukan. Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Hatinya tidak tertahan lagi. Rindunya semakin membuak-buak. Cintanya tidak pernah pudar. Dia memohon kepada Allah agar dipertemukan dengan insan yang disayanginya, insan yang dirinduinya siang malam.

Bicara kakaknya masih lagi kedengaran. Sayup suara gadis berusia dua puluhan itu menerjah ke telinganya. Khabar itu meluluhkan hatinya. Manakan tidak, dia baru sahaja berbicara dengan emak dan ayah. Ayah dan emak merahsiakan segala-galanya dari Adha.

" Jangan risau, abah ok. Takda ape-ape. Belajar betul-betul ye ". pesan emak.

Dia menyambut panggilan ayah. Dari hujung talian kedengaran esakan emak.

Persoalan terjawab akhirnya. Kakak mengkhabarkan segala-galanya .
Ayah mengalami masalah buah pinggang. Kedua-duanya gagal berfungsi dengan baik dan memerlukan penderma. Ayah sudah dua kali tenat. Adha tidak terluah bicaranya.

Ya Allah, beratnya ujian yang Kau beri kepada kami sekeluarga.

Kakaknya meneruskan bicara. Dia mahu menjalani ujian untuk memastikan kesesuaian buah pinggangnya untuk diberi kepada ayah. Begitu mulia hatimu.

Adha mahu pulang segera namun dihalang oleh kakaknya. Dia buntu. Rasa bersalah menyelubingi dirinya. Masakan tidak, Adha anak lelaki yang paling tua, yang lain masih berhingus. Dia rasa bertanggungjawab untuk memberi sokongan kepada emak dan ayah di saat ini, namun apakan daya dia jauh terdampar di Timur Tengah.

Usai dimatikan talian, jiwanya turut mati sama. Hanya doa yang dapat dipanjatkan buat masa kini. Hari itu berubah cuaca baginya, hujan renyai-renyai membawa rasa pilu dan rindu.

Adha merenung sejenak menenangkan hati yang gundah gulana. Ini sebuah tarbiyah. Dia yakin.

Aidiladha terkandung seribu pengajaran buat hamba yang beriman.
Dia merenung kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Cinta ayah dan anak yang berpaksikan pengorbanan. Bayangkan kesanggupan Ibrahim berjauhan dengan isterinya, Siti Hajar dan puteranya, Ismail yang ditinggalkan di padang pasir yang tandus.

Sekembalinya nabi Ibrahim, diperintahkan pula untuk menyembelih Nabi Ismail. Baginda redha dengan perintah Allah. Sebuah pengorbanan yang menakjubkan.

Adha merenung pula kisah Rasul junjungan, Nabi Muhammad. Baginda bergelar yatim sedari dalam perut ibunya. Sesudah itu disusuli pemergian ibunya. Ujian yang Allah datang kepada para anbiya' begitu hebat berbanding ujian yang ditimpanya.

Ujian ini adalah juzu' warna hidupanya. Dia perlu tabah dan cekal. Masih ada lagi sahabat-sahabat yang berdamping disisinya.

Lagu Rhapsodi Perjuangan bergema dalam selingan teater ADHA .

Teman ketawa di mana-mana
Sahabat berduka sukar dicari
Entah ke mana menghilangkan diri
Pabila ujian melanda

Erti harga sebuah perjuangan
Kepahitanku dalam menegakkan
Kebenaran keadilan perubahan
Akan ku tetap teruskan jua

Kami tak rela dinoda
Lihat kezaliman melanda
Kuatkan azam di jiwa
Kebenaran dibela

Sematkanlah janji-janji
Kini yakinkanlah diri
Perjuangan suci murni
Kemenanganmu nanti

Apalah guna kau berdiam diri
Arus perubahan tak tertahan lagi
Usah dibiarkan kita dipermainkan
Kelak kan membawa seribu penyesalan


Adha tersedar dari lamunan. Dipanjatkannya doa kepada Tuhan agar Allah melindungi keluarganya. Ya, Allah, kaulah tempat ku bergantung harap. Adha harus bangkit!

Rhapsodi Perjuangan








Teman ketawa di mana-mana
Sahabat berduka sukar dicari
Entah ke mana menghilangkan diri
Pabila ujian melanda

Erti harga sebuah perjuangan
Kepahitanku dalam menegakkan
Kebenaran keadilan perubahan
Akan ku tetap teruskan jua

Kami tak rela dinoda
Lihat kezaliman melanda
Kuatkan azam di jiwa
Kebenaran dibela

Sematkanlah janji-janji
Kini yakinkanlah diri
Perjuangan suci murni
Kemenanganmu nanti

Apalah guna kau berdiam diri
Arus perubahan tak tertahan lagi
Usah dibiarkan kita dipermainkan
Kelak kan membawa seribu penyesalan

-Alarm Me

Friday, December 12, 2008

Tidak Terungkap Dengan Bicara



















Alhamdulillah.

Perasaan yang tidak terungkap dengan bicara usai ADHA berjaya dipentaskan.
Segala keletihan dan kelelahan saya terubat dan hilang usai teater sulong PERMAI melabuhkan tirai pementasan sempena Majlis Jom Korban.

Saya merasai pelbagai pengalaman sepanjang menjadi pengarah Jom Korban.
Suka duka, pahit maung akhirnya bertukar kepada sesuatu perasaan yang tidak terluah.

Pernah satu masa saya hampir ingin duduk terjatuh apabila menerima khabar dari Malaysia tentang kesihatan ayah saya. Ingin sahaja saya terbang melayang menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah lantas memeluk tubuh ayah yang dirindui.

Alhamdulillah, Allah beri saya kekekuatan untuk menerima khabar itu. Dia yang Maha Meyembuh dan Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Doakan saya dan keluarga, terutama ayah dan emak saya cekal mengaharungi ujian yang Allah datangkan buat keluarga kami.

Terlalu banyak yang saya belajar sepanjang perjalanan program mulai bulan lepas.
Pengalaman meyembelih seekor kambing satu pengalaman yang baru dan memberi kesan.
Pengalaman berkampung dan berlatih bersama skuad teater di bangunan teater yang dibina pada abad ke-2 selepas Masihi sambil disaksikan pelancong-pelancong di Ummu Qais bersama skuad teater dari awal pagi hinggalah ke petang. Saya akan rindukan suasana itu.

Di kesempatan ini saya ingin menujukan ucapan khas jutaan terima kasih kepada :

- Timbalan Pengarah dan Semua AJK pelaksana Majlis Jom Korban
- Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Helwi dan semua AMM PERMAI sesi 2008/2009
- Badan-badan Kebajikan Anak Negeri yang terlibat ( BKPJJ,BKASJ,MSSJ,MPKJ dan BKAPJ)
- Saudara Ikhwan Subberi ( Pengarah teater, individu yang banyak berdampaing dengan saya sepanjang urusan korban di kedai mahupun di ladang ), Hilal Asyraf ( penulis skrip teater dan penyajak ), para pelakon yang berlatih hingga berkampung di Ummu Qais ( respect dengan kamu semua :) ), pasukan nasyid, percussion, pelukis latar dan
penyusun prop dan semua yang terlibat dalam menjayakan teater ADHA.
-sahabat-sahabat saya yang banyak membantu terutamanya ..terlalu ramai untuk disebut namanya. :)
-dan kepada semua ahli PERMAI yang menjayakan Majlis Jom Korban PERMAI.

Saya mohon maaf andai terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan sepanjang keterlibatan saya dalam program kali ini.

Moga Allah rahmati kalian semua.

-doakan kami yang akan menghadapi peperikasaan Microbiologi esok ya, :)
-sebarang maklum balas tentang teater amat dialukan untuk membaiki segala kelemahan dan kekurangan

Monday, December 8, 2008

Perjalanan Sehari Dua ( Ladang Ternakan dan Ummu Qais )








Tidak sempat mengupdate sebarang artikel, puisi mahupun cerpen setakat ini, semua entry adalah sekitar Jom Korban PERMAI. :)

Proses Penyembelihan dan Lapah-melapah daging Korban

Assalamualaikum.

Moga semua warga PERMAI sihat dan ceria.

Memandangkan hari raya kedua ini ( selasa : 9 Disembar 2008 ) kita semua akan bergotong royong melapah dan memotong daging lembu, ingin saya memperincikan perjalanan program kita.
Sebelum itu ingin dimaklumkan jumlah korban kita ialah 1 unta, 6 lembu dan 12 kambing.

Untuk pengetahuan semua, seekor lembu dan dua ekor kambing telah diagihkan kepada mantiqah Mafraq pada petang tadi. Mereka akan menjadi wakil untuk menguruskan korban tersebut dan mengagih dan memasak daging di Mafraq.

Tentatif:

( Raya kedua )

Sasaran: Menyelesaikan haiwan korban untuk dimasak ( seekor unta, seekor lembu dan 5 ekor kambing ) dan mungkin seekor lagi lembu jika berkesempatan.


Tempat: ( Syabab ) di tanah lapang belakang rumah Aiman Najmi.
Unta ( bangunan Presiden Permai)
Akhawat) –rujuk pembahagian yang telah dikeluarkan )


7.30 pagi: Sebilangan syabab ke ladang untuk urusan penyembelihan
10.00 pagi: Urusan lapah bermula di pihak syabab ( masa akan berubah mengikut urusan di ladang )
2.45 petang: Proses pemotongan kecil oleh akhawat ( masa akan berubah mengikut urusan di ladang, mungkin akan diawalkan )
Tamat: sehinggalah selesai dan menepati sasaran.

Prosedur: daging yang tiba di pihak syabab akan dipotong daging besar dan tulang temulang. Kemudian daging akan dihantar ke pihak akhawat untuk dipotong kecil2 bagi memasak.

Unta akan diuruskan oleh semua ahli bangunan Presiden Permai.

( Raye ketiga)- 10 Disember 2008 ( Rabu )

Sasaran: Meyelesaikan yang baki dan mengagihkan


10.00 pagi: Urusan lapah bermula di pihak syabab ( masa akan berubah mengikut urusan di ladang )
2.45 petang: Proses pemotongan kecil oleh akhawat ( masa akan berubah mengikut urusan di ladang, mungkin akan diawalkan )
Tamat : sehinggalah selesai dan menepati sasaran.

Prosedur: Korban yang tiba di pihak syabab akan dipotong daging besar dan tulang temulang. Kemudian daging tersebut akan dihantar ke pihak akhawat untuk dipotong dan ditimbang seterusnya dibungkus untuk pengedaran.

Pengagihan: bagi ahli yang terlibat boleh terus mengambil daging apabila selesai urusan. Senarai nama akan disediakan. Bagi yang telah pulang, daging akan dihantar ke rumah.

Diingatkan untuk membawa pisau dan parang yang tajam dan alat2 yang relevan.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian. Sama-sama kita korbankan sedikit masa untuk menyempurnakan amanah ini. Jom Korban! Menjejak Roh Pengorbanan.

Sunday, December 7, 2008

Poster " ADHA "



















" Klik bagi pembesaran imej "

Friday, December 5, 2008

Trailer " ADHA " sempena JOM KORBAN PERMAI 2008




Terima kasih buat yang terlibat atas pembikinan trailer ini. Menjejak Roh Pengorbanan!

Jom Korban, Walimahtul Urus dan Teater " ADHA"















sila klik pada poster untuk pembesaran imej



Assalamualaikum dan semoga sihat buat semua warga PERMAI.

Ya, cuti bagi menyambut Aidiladha telah bermula. Saya pasti ramai yang telah merancang pelbagai perkara sepanjang cuti ini. Walau banyak mana pun yang kita rancang, kita perlu sedar bahawa kita dikurniai Allah satu hari yang mulia dalam Islam iaitu hari raya Aidiladha pada cuti ini.

Program Berkembar


Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan kesyukuran buat Allah atas rezeki yang Allah kurniakan dengan jumlah korban pada tahun ini yang banyak ditambah kegembiraan ahli atas jemputan majlis walimahtul urus Dr.Amir bin Abdul Razak dan Dr.Noorzayyani binti Md Noor.

Sehubungan dengan itu, pada 11 Disember ini,semua warga PERMAI diundang menghadiri dua program besar yang akan mengisi diari hidup anda sebagai musafir di bumi Irbid ini.

Seruan

Firman Allah:
Dan tolong- menolong lah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu bertolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" (Al-Maidah :2)


Memandang majlis kita merupakan majlis terbesar dalam catatan sejarah PERMAI dengan jumlah tetamu yang dijangka lebih kurang 600 orang, saya dengan rendah hati mengajak semua ahli PERMAI berkorban sedikit masa dan tenaga sepanjang awal tentatif program kita bermula dari proses penyembelihan korban pada 9 Disember hinggalah ke akhir majlis pada 11 Disember 2008.

Teater

InsyaAllah, warga PERMAI akan disajikan dengan persembahan teater yang berjudul "ADHA" pada Majlis Jom Korban nanti. Kami cuba untuk mementaskan sebuah realiti kehidupan bagi kita sama-sama hayati dan renung-renungkan.


Akhir kalam.

JOM KORBAN!!!! MENJEJAK ROH PENGORBANAN

Wednesday, December 3, 2008

Debat













Kolej Islam Sultan Alam Shah yang memperkenalkan saya dengan dunia perdebatan. Separuh masa saya di kolej itu diisi bersama family debat. Kami dibimbing oleh guru yang ibarat ibu buat kami. Melalui debat saya dapat mengenali senior-senior yang jauh lebih tua dari saya, seingat saya senior debat mulai tahun 2001 sehinggalah generasi tahun ini.

Saya bukanlah seorang yang melakarkan kejayaan gemilang dalam dunia debat berbanding dengan senior-sebior saya yang lain. Diumumkan sebagai pendebat ke-6 terbaik Pertandingan Debat Sekolah-sekolah Malaysia anjuran UIAM dan Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi kenangan manis untuk dikenang. Kegagalan di suku akhir Piala Perdana Menteri memang mengeecewakan, namun menang dan kalah adat pertandingan.

Minat dan kerjaya

Bila saya teliti kebanyakan ahli family debat kami, kebanyakannya mengambil jurusan perubatan berbanding jurusan lain, hatta saya sendiri. Ahli debat sebatch saya yang mengambil bidang perubatan sahaja sudah berjumlah 5 orang. Saya pernah terfikir untuk menyambung pelajaran ke bidang perundangan, namun akhirnya bidang yang melibatkan nyawa ini juga yang saya ceburi. Saya pernah rasakan saya tidak boleh berpisah dari dunia debat. Akhirnya saya membawa diri ke sini ( macam putus cinta.. :) )

Saya fikir saya tidak akan ketemui lagi debat apabila menjejakkan kaki di sini. Namun sangkaan saya meleset, saya kembali bertemu dengannya dalam slot debat sempena Minggu Haluan Siswa Sejordan.

Dan kini, di bumi PERMAI ini, Debat Piala Presiden PERMAI 2008 kembali menjengah bumi Irbid. Sekurang-kurangya mengubati rindu pada dunia yang melatih hamba kerdil ini berani untuk berbicara dan bersuara.

Apalagi yang ditunggu, jom semua warga PERMAI kita memeriahkan Debat Piala Presiden PERMAI 2008. Jom!!!

Sayembara Cerpen Islami PERMAI 2008

Monday, December 1, 2008

" Ya, dia cuba! "

Adha baru selesai menulis puisi " Aku Lelah " atas desakan fikiran yang buntu dan tubuh yang lesu. Dua minggu kebelakangan ini hidupnya agak padat dan sendat, dipenuhi dengan turutan jadual peperiksaan yang perlu ditempuhi, berselang-seli dengan tugasan menguruskan program persatuan dan ditambah lagi dengan tujahan kerja yang datang secara berturut dan mengejut.

Adha rasa sukar bernafas dalam kepadatan waktu, menyebabkan dia sering kali berasa tewas dan lemas. Apabila direnung, dia tersedar dari lamunan, dia tidak sesibuk yang disangka. Itu hanya lamunan dan layanan perasaaan yang mendatang. Perasaan yang bisa merosakkan potensi yang ada dalam dirinya.

Adha akur bahawa hidupnya kini penuh dengan nikmat. Dia tidak perlu membanting tulang empat kerat, cukup bulan akaun bank miliknya akan berisi wang biasiswa. Dalam muhasabah diri, dia mengingati pengalaman hidup yang sebaris dua berjalur dalam usia mudanya.

Sementara menunggu Sijil Pelajaran Malaysia, Adha bersama seorang teman sekampung berkerja sambilan untuk merasai dan menjiwai pengalaman bekerja. Sebuah kilang biskut yang terletak lebih kurang sejam perjalanan dari rumahnya membuka ruang dia belajar erti memerah keringat tenaga.

Ketika Sang Suria belum memancarkan cahaya menerangi bumi lagi, Adha sudah bersiap menuju ke destinasinya dan pulang apabila ufuk barat bernyala merah. Kali pertama dia melangkah ke kilang itu, dia disambut oleh seorang mak cik tua, layaknya digelar nenek. Embok gelarannya oleh rakan sekerja.

Embok sudah menjangkau usia tujuh puluhan, badanya sudah bongkok tiga. Adha dan Embok berperanan di tempat pembersihan dulang. Sesudah biskut dibakar dan dibungkus di bahagian khas, dulang itu akan bergerak menuju ke ruangan pembersihan, tempat mereka berdua berkerja.

Genap satu putaran jam dari angka tujuh ke angka tujuh, mereka berdiri sambil membersihkan dulang. Waktu rehat 45 minit dan waktu solat adalah ruang waktu dan kesempatan untuk melegakan kelenguhan kakinya. Adha sering diingatkan untuk bersolat apabila tiba waktunya.

Pendapatan bekerja tidak selumayan mana, sekadar mendapat RM21 sudah
memadai bagi Embok. Apa yang penting, ada rezeki halal bagi keluarganya. Adha kagum dengan kecekalan wanita itu. Dia malu dengan dirinya. Dia yang memiliki tenaga muda sering mengeluh keletihan dan kepenatan.

Satu pagi sedang dia tekun bekerja, ruang itu dimasuki seorang budak belasan tahun ditemani seorang penyelia. Myammar asal negaranya. Usia yang sepatutunya dihabiskan menelaah kitab pelajaran di bangku sekolah, dikorbankan demi berhijrah meneruskan kehidupan. Adha memandang teman barunya dengan pandangan kasih dan simpati seorang abang kepada adik.

" Mengelamun nampak. Kau ni nampak bizi je. Kalau kau nak minta tolong apa-apa, cakap je kat aku. InsyaAllah aku boleh tolong." tawaran Basyar menyentak lamunannya.

" Terima kasih. Bersyukur aku dapat kawan macam kau ni ." Balas Adha dengan senyuman.

Dia menghembuskan nafasnya dan menarik semula dalam-dalam udara yang bersalutkan azam untuk tidak berputus asa. Perjalannya masih jauh meskipun boleh tamat bila-bila masa. Ajal tidak pernah mengenal usia.

Adha kembali menaip skrip teater yang bakal dipentaskan menjelang Aidiladha nanti. Dia cuba menjejak roh pengorbanan dalam setiap tugasannya. Ya, dia cuba.