Tuesday, December 28, 2010

Baru VS Sudah

Bila ditanya soal umur, agaknya apa jawapan kita?

" Saya baru 20 tahun. "

atau

" Saya dah 20 tahun. "

Penggunaan istilah BARU atau SUDAH akan memberi kesan dan tindakan kepada cara kita berfikir dan meletakkan langkah kita.

Saya berikan contoh perbualan yang direka:

Contoh 1 :

" Mak, saya dah buat keputusan, saya nak kahwin dalam tahun ni? "

" Sabar dulu, awak baru 20 tahun. "

" Saya dah 20 tahun mak. "


Dua sudut pandangan yang berbeza, dari seorang ibu yang menganggap anaknya BARU berusia 20 tahun dan seorang anak yang merasakan dia SUDAH 20 tahun, sudah cukup dewasa.

Contoh 2 :

" Wei, ko ni asyik-asyik main game je, study malas, pergi kelas malas, ko ape nak jadi nanti ni, ko DAH 20 tahun ko tahu! "

" Relakslah, aku BARU 20 la, zaman ni zaman nak enjoy kejap, nanti dah kerja aku berubah la "

Seorang kawan yang melihat mereka sudah 20 tahun, satu tahap untuk produktif untuk menuai kudrat, memerah keringat, manakala seorang lagi menganggap dia baru 20 tahun, maka perjalanan hidup masih panjang, tidak perlu risaukan masa mendatang, hanya perlu menikmati masa hidup sekarang, SENANG LENANG !

LETAKKAN PADA TEMPAT DAN SAAT YANG TEPAT

Hidup ini tidak semudah sifir, tidak boleh dihadkan sesuatu formula yang statik,
apatah lagi apabila bicara soal pemikiran, kita perlu sentiasa berfikir dalam melakukan sesuatu, agar fikiran kita tidak statik, sebaliknya dinamik, tetapi harus diingatkan akal dan pemikiran kita haruslah dipandu, dengan sebuah anugerah kecintaan dari Allah, iaitu Islam, sebagai cara kehidupan, menuju kematian.

Bicara soal SUDAH atau BARU, kita perlu bijak melihat dari sudut kedua-duanya.
Tidak semua keadaan kita perlu berpegang pada prinsip SUDAH, dan tidak semua keadaaan kita melihat dari perspektif BARU. Dan adakalanya keduanya perlu diadunkan agar menjadi rencah kehidupan.

Contohnya dalam perbualan yang pertama,

Seorang anak yang merasakan dirinya SUDAH 20 tahun, SUDAH merasakan sudah bersedia untuk menempuh satu alam rumahtangga, memikul amanah dan tanggungjawab yang besar.

Dalam ke'ghairah'an berbincang dengan ibu bapa, dia harus sedar dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibu bapa, yang meletakkan dia sebagai BARU 20 tahun, mereka bukan menganggapnya sebagai budak yang masih kecil, tetapi sebagai masih KURANG dalam beberapa sudut, ilmu, pengalaman, persediaan diri, tanggungjawab belajar dalam segala macam lagi. Dan mereka lebih tahu kerana mereka SUDAH melalui, dan merasakan onak dan duri, nasihat dan permintaan mereka harus diteliti, dan bukannya ditolak bulat-bulat kerana hanya berprinsipkan ' Saya SUDAH 20 tahun, saya SUDAH bersedia! "

Contoh kedua;

Soal umur yang masih muda,BARU 20 tahun katanya, zaman berubah nanti adalah zaman bekerja, mungkin zaman berumah tangga, mungkin zaman bergelar bapa, mungkin zaman tua bongkok tiga.

Tetapi zaman mendatang itu zaman yang diluar kawalan kita, belum pasti kita akan lalui, mungkin lepas membaca artikel ini, kita akan PERGI!

20 tahun yang ada, apa yang telah kita lakukan pada diri, bagaimana tanggungjawab kepada ibu ayah yang kita cintai, kepada keluarga yang bertakhta di hati, kepada rakan-rakan dan komuniti dan yang paling penting kepada perjuangan menegakkan Islam di muka bumi.

20 tahun, kalau sejarah dulu, mereka sudah mengangkat senjata, mengetuai barisan penjuang di medan perang, membuka kota tawan musuh.

Kita? Sekadar mengatur strategi dan menumpaskan musuh di medan maya! Tahniah!

TIMBANG TARA KEHIDUPAN


Melihat kehidupan, umpama melihat segelas minuman yang hanya ada separuh air di dalamnya.

Melihat dengan kaca mata KESYUKURAN, dengan apa yang dimiliki dan dikurniakan oleh Tuhan.

Melihat dengan kaca mata USAHA, untuk menampung kekurangan dan menambahbaik nilai kehidupan kita.

Sama-sama melihat dunia dari kaca mata akhirat, agar setiap saat dan nafas yang dihela,
adalah semata-mata mencari redha-Nya.

~ point-point diatas telah saya ulas dalam forum dan ucapan perasmian penutup API baru-baru ni, tapi saya tuliskan kembali untuk muhasabah diri dan berkongsi kepada pembaca MRP
~ tinggal satu lagi exam, OSCE internal medicine khamis ini, doakan saya dilancarkan butir kalimah semasa history taking, dan keyakinan diri membuat PE. minggu depan masuk round surgery. iAllah
~ baru habis membaca Facing Death, buku catatan dari seorang yang telah kembali menemui Ilahi, bertarung nyawa menghadapi cancer, menukilkan soal persiapan diri menempuh sebuah kematian yang pasti. Kita bagaimana?

Tuesday, December 21, 2010

Taqwa




~ bila ujian datang menghimpit, kerja datang bertalu, exam makin mendekat,
hati harus kuat, jom refresh diri dengar khutbah kat atas ni
~ kan best kalau khutbah2 kat masjid kampung macam ni ( maksudnye tak bergantung pada teks sangat)
~ bittaufiq buat semua yang akan exam
~ terasa sayang nak berpisah dengan internal medicine, rasa tak cukup :)

Saturday, December 18, 2010

Tips Pengucapan


Assalamualaikum.
Semoga sihat buat anda semua, terima kasih kerana sudi melapangkan masa :)

Sedikit perkongsian tentang tips pengucapan.

1) Untuk bercakap dengan yakin, kita kena benar-benar mashi dan faham tentang apa yang akan sampaikan. Akal tak dapat tidak kena selalu berfikir, dan lidah akan mudah melafazkan. Tidak dapat tidak orang yang akan selalu berucap, perlu banyak mengkaji,membaca dan meneliti, dari situ akan dapat kekuatan untuk berbicara.

2) Latihan. Kadang-kadang orang nampak latihan penting hanya untuk pertandingan pengucapan awam. Tapi, apabila seorang sudah buat keputusan untuk menjadi seseorang yang perlu bercakap dihadapan orang lain, latihan akan berubah jadi satu keperluan, sebab manusia tidak datang dalam pakej yang lengkap, usaha kita yang akan menambah baik apa yang kita miliki. Latihan itu banyak cara dan tak kira masa ( siapa-siapa yang pernah duduk sebilik/sedorm/serumah dengan pendebat atau pemidato, mesti tahu macam mana dan bila masa diorang berlatih :P ) Saya sendiri, pernah berlatih pidato untuk pertandingan semasa di meja menjawab peperiksaan, sejam yang berbaki setelah di semak berulang kali, daripada tidur, lebih baik menghafal teks dan melancarkan pidato spontan ( untuk subjek-subjek tertentu sahaja :)

3) Membaca. Ilmu dan kata-kata ibarat irama dan lagu, jadi membaca itu sangat-sangat perlu. Kosa kata penting, walaupun nampak remeh, istilah-istilah sangat penting khususnya dalam proses untuk menarik perhatian dan penegasan. Membaca itu umpama berenang, mengutip khazanah laut yang ada, untuk diagihkan di daratan nanti. Kalau tiada apa yang dimiliki, lalu apa yang boleh diberi.

4) Susunan point. Sesetengah orang suka bercakap berjela, tetapi tidak berpoint, sekejap cakap tentang itu, sekejap cakap tentang ini. Kalau buat point, mudah sikit orang nak tangkap, dan kita pun mudah nak ikut perjalanan perbicaraannya. Kalau nak mudah, gunakan penomboran, yang pertama,yang kedua, kan mudah untuk kita yang berucap, dan pendengar untuk menangkap.

5) Bercakap dari hati. Apa yang dari hati, akan sampai ke hati. ( Semalam dengar sajak yang jadi johan , memang tersentuh, menitis air mata seorang lelaki ) Ini antara paling susah, tapi inilah yang sepatutnya. Bila kita nampak sesuatu perkara tu memang penting untuk kita sampaikan, kesungguhan hati akan menolak dan membantu lidah ini untuk menyampaikan. Kalau hati kotor penuh lumpur, 'selesa' atau 'selera' kah kita untuk memberi peringatan kepada orang lain?

6) Tenang dan tepat. Emosi memang penting dalam berucap, khusus untuk suntik kesedaran, tetapi perlu diletakkan di tempat yg sesuai, dan ketenangan itu akan mebantu untuk mengawal emosi. Jangan cakap berapi-api kalau itu bukan tempat dan masanya, juga sebaliknya. Jangan biarkan amarah dan emosi bermaharajalela, kelak ucapan itu hanya singgah di telinga.

7) Baca jiwa pendengar. Kadang-kadang orang yang bercakap ni, dia selalu syok sendiri.
Jadi, bila kita bercakap , terutamanya apabila di hadapan khalayak ramai, cuba perhatikan khalayak pendengar, reaksi wajah merka, ekspresi muka mereka hasil respons dengan apa yang kita cakapkan, di situ akan membantu kita dalam mengawal mood percakapan kita. Eye contact kita kepada pendengar juga haruslah seimbang, kalau boleh lihatlah semua pendengar dengan kadar yang sama, biar mereka rasa kehadiran mereka dihargai oleh anda.

8) Bercakap untuk bina hubungan. Kadang-kadang kita bila berucap atau berkata-kata, kita sekadar letak target untuk bagi sesuatu apa yang kita nak sampaikan. Hakikatnya, kita bercakap dengan manusia bukan dengan robot. Cuba kita letakkan matlamat di mana kita bercakap ini sebagai satu wasilah untuk membina jambatan hati dengan khalayak pendengar yang kita sampaikan.

Setakat ini sahaja perkongsian dari saya untuk ingatan diri sendiri dan untuk dikongsi.

Dan muhasabah bersama, apa yang penting, kita kena buat apa yang telah kita katakan.
Lidah itu walau tidak bertulang, boleh jadi tajam melebihi pedang.
Gunakan ia untuk jalan perjuangan, hindari ia dari jalan kemurkaan.

Wasalam.

Monday, December 13, 2010

Hijrah : Kembali KepadaFitrah


Salam Maal Hijrah buat semua warga MPPMJ,

Mengimbau sejarah lampau, bagaimana bangsa Arab yang hilang nilai tamadun manusia, hidup berpaksikan warisan jahiliyah, berneracakan nafsu, bertuhankan taghut. Kaum wanita ditindas martabat, anak-anak perempuan dibakar hidup-hidup, sistem kabilah menyubur semangat assabiyah, riba’ dan penipuan jadi asas dalam perniagaan dan segala-galanya menjadi darah daging masyarakat Arab Jahiliyah. Dengan rahmat yang Maha Esa, diturunkan Nabi Muhammad S.A.W untuk membawa manusia kepada fitrah, membawa risalah dakwah, mengajak kembali kepada Allah.

Hijrah Rasulullah ke kota Madinah membuka dimensi baru dalam sejarah Islam, pemerintahan Islam bertapak dan membuktikan Islam membawa kerahmatan dan keadilan. Islam terus berkembang pesat, meskipun Rasulullah telah kembali wafat. Kegemilangan ketamadunan Islam yang mementingkan keseimbangan pembangunan lahiriah dan rohaniah semakin memuncak hinggakan Islam menguasi dua pertiga dunia. . Al-Quran dan As-sunah dijadikan panduan, hukum Allah ditegakkan, jahiliyah ditumbangkan, lantas memakna prinsip inqilabiyah, iaitu Islam tertegak atas runtuhan jahiliyah. Darjat ulama’ dan ilmu diangkat seperti hinggakan Kota Cordova dan Kota Andalus diiktiraf sebagai pusat perkembangan ilmu sejagat pada masa khilfah Islam masih tertegak . Kelahiran tokoh-tokoh ilmuan Islam dalam pelbagai bidang menjadi teras kebangkitan ketamadunan Islam .

Meninjau di Tanah Melayu pula, kepesatan kota yang dirintis Parameswara, kota Melaka mampu menjadi empayar yang menguasai perdagangan, kemajuan pemerintahan dan struktur sosial, segalanya berkembang pesat setelah dakwah Islam sampai ke bumi itu. Masjid dibina bukan sekadar tempat menunaikan solat, malahan menjadi pusat keilmuan dan penyatuan masyarakat. Segala-galanya membuktikan, apabila Islam dijadikan cara hidup, segala-gala aspek berjaya dihidupkan.

Itu semua adalah sirah dan sejarah yang berlalu, yang terakam dalam lembaran Al-Quran dan kitab sejarah yang diwariskan kepada kita. Persoalannya, adakah ianya terakam hanya bertujuan untuk menunjukan apa yang telah berlaku, atau sebenarnya ianya satu pedoman dan bekalan untuk kita melakar perjalanan hari esok, sebuah masa hadapan buat kehidupan yang menuntut penelitian dalam setiap gerak dan langkah.

Firman Allah yang bermaksud :

“ Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah”.

( Surah Ghafir: 21 )


Meninjau realiti hari ini, segala-galanya yang berbentuk material hampir kita kecapi. Pembinaan bangunan pencakar langit bukanlah suatu yang rumit, teknologi maya semakin meluaskan pencapaiannya dari tengah kota hingga ke pinggir desa, sistem pengangkutan semakin baru dan maju, segala-galanya serba canggih dan mudah. Persoalannya, adakah semua ini bermakna sekiranya semakin ramai anak luar nikah lahir ke dunia, seks bebas menjadi budaya, hidup dipisahkan dari agama,jenayah semakin berleluasa, korupsi semakin bermaharajalela ? Perlukah lebih banyak Sekolah Harapan ditubuhkan bagi membela nasib ibu-ibu muda? Atau disediakan hub hiburan agar ianya lebih terkawal dari yang sebelumnya?

Seperti penyakit, kita tidak boleh hanya merawat simptom-simptomnya, kita harus mengenal punca. Sistem pandang nilai kehidupan harus diperbetulkan dengan memahamkan keperluan kembali kepada agama. Tujuan penciptaan, dari mana kita datang dan ke mana kita akan pulang, harus menjadi landasan dalam membawa kembali masyarakat kepada satu sistem nilai kehidupan yang lebih tersusun dan terancang, yang telah diberikan panduan oleh Maha Pencipta kehidupan ini.

Melakukan transformasi, keutamaanya adalah mengembalikan manusia kepada fitrah manusiawi. Fitrah mengaku Allah itu Tuhan yang Esa. Kembali kepada merujuk Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali meletakan ulama’ ditempat yang sepatutnya. Kembali menyatukan Islam dalam kehidupan, hinggakan setiap nafas yang dihela, adalah atas keinginan mencari redha Allah.

Ayuh, lakukan transformasi, hijrahkan diri kembali kepada Islam yang sebenar-benarnya!

“ MENJANA TRANSFORMASI MAHASISWA ISLAM GLOBAL “.

Yang benar ;

…………………………………………………………

(MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )

Timbalan Presiden 1,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,

Sesi 2010/2011.

sumber : web rasmi MPPMJ


~ minggu yang padat, mengurus pasukan debat, pidato dan sajak Irbid untuk pertandingan Apresiasi Ilmu 1 Malaysia jumaat ni

~ cepat masa berlalu, 1/2 daripada adik beradik saya sudah tamat alam sekolah, 3 lagi masih berhingusan, moga kalian membesar dengan baik-baik sahaja :)

~ bila doctor explain satu kes pasal patient yang sanggup memastikan dirinya terus sakit untuk terus tinggal di hospital seorang diri , dan tidak mahu didekati oleh family sendiri, tetiba terasa simpati, apalah agaknya masalah sampai jadi begini.

Saturday, December 11, 2010

Rindu Melangit





Hujan petang tadi memang sejuk.

Kalau di Malaysia, pasti mulut mak cik-mak cik kampung atau datin-datin metropolitan akan menggelar gila atau tiada kerja bagi sekawan manusia yang bermain sukaneka ketika hujan mencurah-mencurah.

Namun, aku rasa ia satu kepuasan melihat rakan-rakan yang jarang tertawa tidak malu menguntum senyum, yang tidak berlaga bahu mampu untuk bersatu. Hujan itu rahmat.

Galah panjang.

Aku yakin tidak semua pernah mendengar nama itu, apatah cara perilaku permainannya. Meski kalah petang tadi, permainan yang membariskan penyerang dan pertahanan itu mengingatkan aku letak duduknya zaman kanak-kanak aku. Aku kanak-kanak desa, membesar dengan kotoran tanah.

Rindu melangit aku pada zaman sekolah, saat kawan-kawan perempuan ralit menngunyah bekal dan beratur merebut makanan, kami berlari ke gelanggang badminton beradu kesepakatan pasukan dalam arena galah panjang.

Sementara menunggu cikgu masuk membimbit buku latihan yang sudah ditanda, ada yang sempat bertarung cepe di lantai belakang bilk darjah.

Tidak cukup dengan itu, balik dari sekolah agama petang, gasing pangkah pula jadi penghubung sesama taulan. Bagi yang perempuan, batu seremban dan ting ting lebih menjadi pilihan. Lelaki juga turut tidak ketinggalan.

Saat angin kian menghembus kuat, langit desa pasti dibintangi dengan layang-layang yang menari di ruang angkasa. Indah.

Rindu.

Itu zaman yang sudah berlalu. Zaman itu kini diwarisi oleh adik-adik aku meski kian berkurang dek penangan modenisasi yang semakin menghidang alternatif yang tidak memerlukan anak-anak milineum untuk berkaki ayam, calar di badan, berkumpul ramai-ramai di bangsal kayu, yang perlu hanya duduk berteleku di skrin maya, berfantasi dengan sejuta selesa. Aduh! Bertuah !

Kalau aku sudah bergelar bapa , aku rela mewasiatkan mereka agar berguling di tanah, sapulah lumpur di muka sebanyak mana, asalkan tidak menconteng arang ke muka orang tua kelak.

Pergilah kalian berkejar-kejaran, kumpullah kalian wang saku sekolah untuk membeli sebiji gasing di kedai Ah Seng, asal kalian mampu belajar dari warisan yang datuk moyang kalian berikan.

Aku tahu kanak-kanak yang bermain itu jujur persis geraknya, jika ada yang cuba berbohong, pasti ada yang membantah. Mereka belajar disiplin biar tiada kertas kerja yang terbentang dalam arena mereka. Tiada rasuah, dendam mendalam hingga tujuh keturunan, perebuatan kuasa. Itu adalah haram bagi kanak-kanak ini. Mereka mencari suka dan gembira, pada masa yang sama sedang meniti arus belajar di luar silibus bilik darjah. Jika bersengketa, itu hanya fitrah yang harus disusuli dengan rindu untuk beradu tenaga semua bila matahari menjelma semula.

Permainan ini mengingatkan aku pernah berpijak di bumi mana, agar aku tak lupa bau tanah yang pernah ku tumpah keringat mencari bahagia di usia muda, agar aku tidak lupa udara desa yang pernah mengeringkan peluh saat mentahari mengundurkan dirinya. Warisan ini ada nilai jati diri.

10 tahun.
20 tahun.
100 tahun.

Jika bumi ini masih bersisa nyawa, aku bimbang permainan ini bakal terabadi dalam buku koleksi sejarah. Menjadi monumen untuk anak-anak kau dan aku sebagai bahan kalian gulungan ijazah mereka.

Kita hanya memerhati di hari tua, mana mungkin kau mahu melompat dengan batuk-batuk lelah kau sambil berkata.." Ha cu, macam ni main ting ting. "

Tak kan nak berlari termegah-megah sedangkan kau tersadai di kerusi roda untuk berkata .. " Ni baru betul cara nak main galah panjang cu ".

Malu.

Barangkali, mereka pula yang mengajar kau bermain permainan maya yang tidak terjangkau akal budi manusia.

Mahu?

Ah, biarlah hujan ini mencurah, asalkan manusia di bawahnya tahu apa yang dicari dalam sekelumit masa.

Jangan jadi kurang akal, manusia ini bukan robot buatan yang perlu diberi arahan dan penjelasan, kenapa perlu berkumpul, kenapa ia boleh mengeratkan hubungan, kenapa? bagaimana? pastikah?

Kalau sudah pasti aku dan kau itu manusia, tanya saja hati adakah gembira jika berdamping dengan teman di sisi, atau lebih rasa hidup nikmat meggunung gila andai terperap di ceruk gua yang dibina dengan tangan sendiri??

Bak kata Nabil " Lu pikirlah sendiri ! ".

~ membelek-belek tulisan lepas, teringin nak post semula tulisan ni. 20 februari 2009
~ masa ni syabab lebih kurang seratus lebih je, hubungan rapat dan erat, kini harus usaha kuat!

~ hujan, memang nostalgia, banyak menyimpan kisah suka dan duka
~ dah bertahun lamanya tak berkubang di sungai belakang dan memancing belut masa hujan2, kawan se'kubang' baru melangsungkan perkahwinan. Mabruk !

Friday, December 10, 2010

Torehan

Terasa malu, dengan usia 20 tahun, dengan ujian dan kesusahan yang tidak seberapa, terasa mudah ingin berputus asa.

Apabila kita terasa diri dibelenggu urusan-urusan harian, yang mata kasar kita nampak ianya sebagai bebanan, tekanlah butang 'pause' dalam kehidupan.

Helakan nafas.
Berikan ruang buat diri refresh niat di hati, berfikir dengan kotak kewarasan, belenggu emosi dengan helaan ketenangan.

Yakinlah,
setiap amalan yang kita lakukan, diniatkan kerana Allah, dan selari dengan peraturan yang diberikan, ianya akan jadi buah-buah amalan, yang akan menenagkan hati pemiliknya di dunia untuk terus beramal dengan kebaikan, dan menjadi bekalan dan ganjaran apabila berlabuh di akhirat kelak.

Bersabarlah,
Dalam melakukan amalan atau modus operandi sesuatu misi, jangan terlalu cepat inginkan hasilnya tumbuh. Apatah lagi jangan cepat berpuas hati andai usaha tidak bersungguh.

Pemilik ladang getah, mengambil masa yang lama untuk merasa hasil torehannya.
Membuka tanah, menanam anak pokok, membaja, dan menunggu beberapa tahun, apabila sudah matang, baru boleh menoreh lantas melihat susu putih mengalir hasil usaha dan penantian dengan penuh kesabaran , dan pulangannya, lebih kurang RM5 sekilogram getah menanti apabila dijual nanti.

Tetapi, harus diingat, dalam usaha dan penantian, adanya cabaran-cabaran yang melanda, pokok diserang penyakit, kekurangan wang untuk membeli baja, cuaca yang tidak menentu hinggakan susu yang sudah terkumpul di cawah mengalir keluar atas limpahan hujan, sakit-sakit badan kerana kerap membongkok, dan seribu satu macam menhah.

Itu baru berurusan dengan ratusan pokok, yang diam menurut kata, ditoreh tidak melawan, ditebang tersungkur terhumban.

Jika berurusan dengan manusia pula bagaimana?
Manusia yang dikurniakan akal, nafsu, perasaan.
Setiap tindakan kita akan memberi kesan pada diri dan orang di sekeliling.
Manusia itu hidup dalam komuniti, saling menerima dan memberi.

Justeru, harus bersabar.
Jika dakwah yang kita seru, dakwah itu perlu dituju pada diri, dan disebar pada yang lain.
Kerja-kerja yang nampak teknikal pada luaran, hakikatnya ia ibarat bilah-bilah pedang, melengkap senjata yang akan memancung musuh-musuh jahiliyah.

Lihatlah gigihnya Salahudin Ayubi dalam merencana strategi dalam usaha menawan kota Jurusalem, hingga terbukanya kota itu dari cengkaman tentera Salib tanpa pertumpahan darah pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Bukan sesuatu yang mudah perjuangan membebaskan bumi itu, segalanya bermula sedikit demi sedikit, hinggakan pasukan tentera Islam menjadi pasukan yang digeruni malah turut disegani lawan.


Kita pula bagaimana, yang tidak perlu mengangkat senjata barangkali.
Hanya perlu membangkitkan diri dari lena dibuai mimpi.
Mengangkat pena dan mencoret dibuku nota.
Melawan nafsu, menyubur ilmu.
Menebar kebaikan,menyekat kemungkaran.

Apabila tibanya satu fasa untuk kita melakukan pengorbanan yang lebih besar,
yang menuntut sebuah kesabaran dan tak terjangka?
Adakah kita akan jadi pengecut yang menyorong di dalam kelambu,
atau memegang panji berdiri dengan penuh azam yang jitu?

Tanya pada diri,
jangan mudah berputus asa.
Jalan masih jauh,
bersabar,
dan teruskan melangkah,
hingga kau rasa ,
erti sebuah pengorbanan.

Tuesday, December 7, 2010

Kerana Dia





Cuti diberi, tokoh dianugerahi, lagu Hijrah diputar sehari, ceramah dianjur di sana-sini.

Cukup sekadar itu makna Hijrah untuk dihayati?

Mahukah kita jadi umat yang menjadikan agama itu seolah-olah perhiasan mahupun pakaian, bila datangnya sambutan hari kebesaran, kita jadi orang beragama, menyarung songkok di kepala, mengikut perhimpunan bertemakan gabungan istilah yang mengujakan apabila mendengarnya.

Habis sambutan dirai, pakaian dan perhiasaan ditanggal diletak tepi, tunggu untuk dipakai bila keraian datang lagi . Hidup dijalani dengan rutin yang biasa, seolah tiada sekelumit ibrah hijrah membekas di jiwa.

Jika begitula gayanya hari-hari kebesaran Islam disambut tanpa mengambil maknanya, alangkah ruginya kita, seperti mendengar irama dan lagu, tetapi tidak faham apa seni katanya.
Sedap di telinga kanan dan kiri , tetapi tidak membekas dihati.

Bukankah Hijrah itu menuntut kita berubah dari buruk kepada baik, dari baik kepada lebih baik.
Dan yang paling penting bukan sebanyak mana nilai perubahan, tetapi sekuat mana keISTIQAMAHan.

Hidup ini satu perjalanan yang panjang, dan Allah telah berikan kita bekalan panduan buat kita melangkah. Sirah para Anbiya' dan kisah umat terdahulu yang terakam dalam Al-Quran adalah cerminan dan pita ukur buat gerak kerja dalam menuju destinasi yang dihala.

Hijrah Rasululullah dan sahabat sudah berlalu, dan menjadi saksi cinta mereka pada risalah dakwah.

Kita pula bagaimana?
Mengaku umat,
untuk berhijrah dari bangun subuh lewat
masih meliat?

Mengaku muslim,
tetapi mengamal agama seperti bermusim?

Hijrah,
menuntut usaha manusiawi,
meningkat kualiti,
menambah kuantiti,
sekudrat upaya yang dimiliki,
untuk menanam benih di bumi,
agar tuaian yang baik kita miliki,
di akhirat yang kekal abadi.

Hijrah,
membawa signifikasi yang besar dalam kehidupan seorang muslim,
hinggakan hadith berkaitan NIAT yang menjadi paksi dalam ibadat muslim dikaitkan dengan hijrah.



" Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية) "


Oleh itu, sama-sama kita jernihkan dan betulkan niat, setiap gerak langkah kita dalam menerajui perubahan dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, segala-galanya kerana Allah.


Salam Maal Hijrah 1432H buat semua pengunjung MRP!!



nota:

~ Terfikir-fikir tazkirah dalam buku Orang Kaya Bertaqwa oleh Dr.Rusly Abdullah : " Semakin jauh kita berjalan, semakin kita meninggalkan pengkalan, dan kita pun semakin mendekati destinasi yang hakiki, iaitu MATI ! Justeru, kita sebenarnya bukan pergi, tetapi kembali ."

~ Rencana tuhan siapa yang tahu, di saat mendung berarak, dicurah hujan menyubur alam. Alhamdulillah. Kerja Tuhan siapa tahu? bersabar dan menunggu.

Friday, December 3, 2010

Sekelumit masa


Kita selalu menunggu masa untuk berubah.

Jika sudah tiba masanya, akan ku ubah apa yang ada dalam diri ini.

Kenapa ya? Susah untuk kita merentas masa, merubah diri agar tidak ditinggal oleh masa dunia yang sekelumit cuma.

Jiwa harus besar, agar langkah mampu diperlebar.

Besarkan jiwa, jangan besar angan-angan, apatah lagi besar kepala.

Dunia yang terhampar didepan mata bukan untuk diredahi semata-mata mengikut lanjutan usia. Semasa kecil: tanah dan kotoran jadi mainan, meningkat kanak-kanak: lastik jadi teman, remaja hiburan jadi sasaran , belia : kekayaan diimpi-impikan, tua: mati jadi igauan.
Adakah hidup ini mahu di' template' sedemikian rupa.

Dunia ini adalah tempat untuk diteroka, dibuka seluas-luasnya pilihan di depan mata, di segenap ruang yang akan kita lalui bersama nafas yang dihela.

Ya, soal hidup, mati, jodoh dan maut di tangan Tuhan.
Namun sebagai hamba, kita harus berusaha.
Meletak setiap fasa itu bagaimana keadaannya.
Dunia dijadikan alat menuju akhirat , atau dunia dijadikan matlamat?
Ingin mati dalam husnul khatimah atau sebaliknya?
Memilih pasangan jodoh berasbabkan harta, rupa, keturunan atau agama?

Fasa kehidupan yang telah kita tempuhi, harus dimuhasabah di malam sunyi.
Fasa kehidupan yang bakal kita langkahi, harus persiapkan diri.

Sama-sama kita melangkah dengan sepenuh kudrat,
di titian dunia, menuju akhirat.

~ 3 minggu lagi round internal medicine, kena pulun habis, menghadam penyakit-penyakit tubuh
~ menulis ibarat memasak, kena selalu, kalau tak kaku, rasa haru biru :)