Friday, October 31, 2008

Doktor ibarat lembu?

"Kenapa korang nak amik medik? Bagi aku keje doktor ni macam 'lembu' tau." soal dan jelas seorang doktor kepada kami berdua.

Saya dan seorang sahabat saya, Izwan yang kini sedang membuat persedian melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke India hanya menelan air liur mendengar kenyataannya.

Ketika itu, kami sedang mengikuti program perdedahan kerjaya seorang doktor anjuran JPA pada tahun lepas. Di dalam bilik kecil yang dikhaskan untuk temujanji pesakit ortopedik bersama doktor, kami berbual-bual bersama doktor Melayu tersebut.

Bersungguh-sungguh dia menerangkan kesusahan bertugas menjadi seorang doktor, dengan gaji yang tidak seberapa dan kepadatan masa bekerja terutama ketika bertugas sebagai doktor pelatih. Tidak cukup dengan itu, dia mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen, membuat kira-kira kewangannya. Ditolak segala keperluan dan bebanan, yang tinggal hanyalah tidak sebanyak mana. Kami teruja dan sedikit berbolak-balik.

"Tengok ni." Dia mengeluarkan segugus kunci, salah satunya memiliki lambang Perodua. Dia berkata dia hanya mampu memandu Kancil.

"Kancil kan jimat minyaknya, baguslah."desis hati kecil saya.

"Nah, tengok ni, siap ade selotape lagi . Tengok korang punya, siap colour skrin lagi.". dia menunjukkan handphonenya yang terdapat sedikit tampalan pada casing, berjimat agaknya.

Kami berdua tersenyum simpul.
"Ada juga doktor macam ni." minda ligat berfikir seketika.

Izwan mengalih perbualan kami ke arah doktor Cina yang sedang memeriksa seorang pesakit.

"Doktor, you memang nak jadi doktor ke? ". Izwan bertanya.

"Ya, mestila. Dari sekolah lagi nak jadi doktor."jawabnya dengan penuh yakin sambil senyuman terukir di wajahnya. Dia melayan pesakitnya dengan mesra. Kagum.

Setelah berbasa-basi kami melangkah meninggalkan bilik itu dan melangkah menuju ke tandas.
Sambil membasuh muka, kami berdua mula berbicara tentang kedua-dua doktor tadi.

Berbicara untuk menguatkankan hati kerana jalan yang dipilih bukan untuk setahun dua, tapi melibatkan penyempurnaan tugas sebagai khalifah di bumi ini.

"Doktor tadi nak uji kita je kut." kami berbaik sangka. Namun, sesetengah yang disebut olehnya adalah realiti kehidupan seorang doktor yang memerlukan pengorbanan yang besar. Kami sedar dan tahu.

Ya, kami perlu kuatkan hati bahawa inilah jalan yang dipilih, dan perlu buat sehabis baik.

Menjadi seorang doktor bukanlah matlamat, tapi adalah wasilah untuk mencapai matlamat yang jelas dan nyata, mencari redha Yang Maha Esa.

-Mohon doakan saya dan sahabat-sahabat saya menghadapi peperiksaan Pharmacology pada hari esok . Moga Allah menthabatkan hati kita di jalan-Nya.

Thursday, October 30, 2008

Setiap Sedutan Membawa Padah



Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai menunjukkan contoh kotak rokok yang bakal diguna pakai oleh semua syarikat rokok mulai Januari tahun depan pada sidang media di Putrajaya, semalam.




Saya meletakkan diri pada tempat mereka. Ya, saya cuba merasainya.
Gerun. Melihatkan pelbagai impak yang jelas dan nyata. Seribu satu penyakit boleh datang apabila diundang dengan satu permulaan. Setiap sedutan membawa padah.

Kagum atas pembaharuan yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani masalah merokok yang telah menjadi kulat tegar dalam masyarakat kita.
Berkuat kuasa semalam, semua kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Di samping itu, peraturan mewajibkan pengeluar mencetak amaran kesihatan bergambar, maklumat kesihatan mengenai bahaya kandungan rokok dan Penyataan Larangan Jualan kepada individu di bawah usia 18 tahun pula akan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan. Ini satu perkembangan yang baik bagi yang tidak, belum merokok dan sebaliknya.

Di Jordan,rokok bukan sekadar menjadi tabiat, tetapi boleh dikira sebagai makanan asasi sesetengah penduduk di sisi terutama lelaki. Apa yang mengujakan, kanak-kanak semuda pelajar tadika di Malaysia telah membuka meja niaga jualan rokok di sisi jalan. Mungkin kerana tuntutan hidup yang menekan dan ditambah dengan sambutan yang menggalakan.

Seandainya menyelusuri tepi jalan, tidak sah jika tidak menemui putung rokok yang bertaburan, memutihi jalanan.

Bukan niat untuk menunjukkan keburukan masyarakat Jordan, namun sekadar membenci perilaku yang kurang baik ini agar sama-sama kita hindari. Di Malaysia pun apa kurangnya, jika dijengah tandas di kebanyakan sekolah. Pasti ada.

Kempen

Tidak dinafikan kempan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan budaya masyarakat. Tidak kira positif atau negatif, apa jua kempen pasti membawa impak yang besar dalam mempengaruhi budaya dan pemikiran masyarakat. Tambahan pula, zaman kini ditunjangi dunia maya yang memusatkan maklumat di hujung jari.

Namun segala-galanya bermula dari dalam diri. Seandainya benar-benar sedar perlu berubah, tidak perlu menjadi seperti pahat dengan penukul, sekali diketul sekali jalan, jika tidak jadilah seperti tunggul. Tidak kiralah apa jua kempen sekalipun seperti kempen IKHTILAT SIFAR, selagi mana menjurus ke arah kebaikan, mari sama-sama menyokongnya dan menyuburkan dalam diri kita.

Wednesday, October 29, 2008

Di Malaysia Tiada?


Musim sejuk kembali mengunjungi bumi Irbid. Semalam, saya mengisi ruang waktu malam yang agak panjang bersama seorang sahabat, mengunjungi kedai telefon ,sekadar meninjau-ninjau.

Tumpuan mata sata tertancap pada bilah huruf yang membentuk iPhone. Saya bertanyakan tentang iPhone kepada pemilik kedai yang digelar sebagai Mualim.

Dia menerangkan dengan bersungguh-sungguh perihal iPhone tersebut. Saya mendengar dengan tekun tanpa membalas.

''Ini yang terbaru, ada 3G , tapi disini tiada, di Malaysia pun tak ada 3G. Amerika sahaja ada.''kekaguman jelas terpancar di wajahnya.

Sahabat saya tersenyum simpul mendengar kenyataan itu.
Tidak dinafikan memang ramai rakyat di Jordan belum mengetahui kemajuan Malaysia.

Realitinya, bagi rakyat Jordan yang pernah menggunjungi Malaysia, mereka pasti berbicara tentang kemajuan-kemajuan yang ada.

Saya pernah mengambil subjek Psychology pada tahun semester kedua tahun pertama. Pensyarah Psychology saya pernah menziarahi Malaysia dalam tempoh yang agak lama.Hampir setiap hari nama Malaysia bergema di dalam kelas kami. Sahabat-sahabat Arab diam membisu, mungkin tanda setuju ataupun rasa tidak percaya bertamu.

Kemajuan?

Ya, tidak dinafikan Malaysia memang sebuah negara yang maju. Lihat sahaja bangunan yang berceracakan membelah awan. Teknologi maya yang semakin mendapat perhatian dan perkembangan industri hiburan yang hampir tiada limitasi.

Namun seandainya kemajuan itu diukur hanya melalui pembangunan dan kemegahan, adakah kita mahu dikatakan maju seperti kerajaan Firaun yang bertapak di Mesir. Piramid yang tidak tercabar seni binaannya, tetapi pemerintahnya menzalimi rakyat jelata dan sanggup mengaku dialah Tuhan Yang Maha Tinggi.

Di Jordan sendiri buktinya telah ada. Kota Petra yang diukir dan dibina oleh kaum Tsamud akhirnya ditimpa bala oleh Allah.Kaum Tsamud merupakan ummat Nabi Shalih, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Quran:" Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum 'Aad, dan ditempatkannya kamu dibumi, ( dengan diberi kemudahan )untuk didirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerusakan di muka bumi.” (Surah Al-A’raaf ayat 74)

Begitu juga dengan sejarah Laut Mati yang sewajarnya dijadikan ikhtibar buat kita.
Budaya homoseksual yang terdapat dalam kalangan ummat Nabi Lut kembali menjadi barah dalam masyarakat kita.

Di manakan nilai ketamadunan selagi tidak menjadi sebenar-benar hamba Tuhan??
Renung-renungkan.

Monday, October 27, 2008

Debat. Menerangkan atau Bercakaran?

Debat secara terbuka? Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Melihat tajuk-tajuk akhbar, segala berita seputar tentang pilihanraya sebuah parti di Malaysia. Kadang-kadang jemu bertamu melihat berita-berita itu.

Debat bukan mahu bercakaran - Khairy


Berita ini menarik sedikit perhatian saya. Malaysia kini sedang mengorak langkah ke arah berani mencuba sesuatu yang tidak dilakukan ketika dahulu. Masakan tidak, debat “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”, antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dianjurkan buat julung-julung kalinya. Walaupun pada awalnya DSAI meminta debat itu disertai oleh Perdana Menteri, sekurang-kurangnya kerajaan telah membuka ruang. Soal kandungan perdebatan itu saya tidak berminat mengulasnya.

Kini,
Khairy Jamaluddin menegaskan debat terbuka bagi calon yang mahu merebut jawatan bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing. Kita nantikan adakah ia benar-benar jadi kenyataan.

Di Amerika Syarikat, debat calon Presiden Amerika Syarikat menjadi satu tradisi
untuk menilai kelayakan calon Presiden. Saya membayangkan ianya berlaku pada pilihanraya Malaysia akan datang. Ya, membayangkan.

Sepanjang perjalanan..

Alhamdulillah.

Hari ini hari yang melegakan. Kendur sedikit tekanan akibat peperiksaan. Kadang kala saya terfikir seolah-olah saya sedang diprojekkan, ya, untuk menjadikan seorang doktor. Belajar dan peperiksaan berselang seli mewarnai hidup ini. Itu memang hakikat yang harus diterima. Apa yang boleh diubah adalah sikap dan perilaku kita menghadapi situasi dan tekanan yang telah tiba dan dijangka menjelma.

Perjalanan ke Amman

Hari ini hari yang istimewa. Anak-anak Johor di Jordan menerima kunjungan dari delegasi Yayasan Pelajaran Johor. Saya diminta menjadi pengerusi majlis. Aduh. Majlis formal sebegini memang menjadi fobia bagi diri saya. Namun, saya menerima juga untuk mencari ruang dan membuka peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Saya sukakan sesuatu yang santai, dalam pada yang sama boleh mengasah kreativiti. Bukan bermakna saya menolak formaliti sedangkan saya sendiri merupakan setiausaha persatuan di sini, namun bukan semua perkara perlu terlalu ikut format hingga menyebabkan kita hilang potensi diri.

Menulis..

Begitu juga dalam penulisan. Penulisan yang santai dengan menggunakan gaya bahasa yang dekat dengan jiwa pembaca semakin diminati. Perjalanan dari Irbid dan Amman saya isi dengan perbincangan. Soal penulisan dan karya. Teman berbual itu adalah teman baru di sini, seorang penulis muda yang giat berkarya. Hilal Asyraf namanya. Banyak perkara baru yang saya perolehi . Kagum melihat kesungguhannya.
Menulis juga satu medium dakwah, perlu istiqamah.
Mungkin hari ini penulisan dan dakwah kita belum diterima, bukan bermakna perlu berputus asa, kerana hidayah itu milik-Nya.

Lakukan sepenuh hati. Ya, itu yang sedang dicari. Menjiwai setiap yang kita lakukan agar hasil yang diperolehi memuaskan. Saya sedang mencari dan terus mencari.

Friday, October 24, 2008

Tinta

Tinta.

Tinta ini bertemankan pena,
Melukis garisan pemisah,
Dari realiti dan fana,
Merakam halusinasi manusia,
Melukis gelita jaya.

Lakaran seorang hamba,
Cacat cela berseli lumrah,
Mencari kesempurnaan dalam kehinaan,
Merakam ruang legar,
Pejalan hidup hamba.

Ku pegang pena ini,
Segenggam azam di sanubari,
Mencoret kebenaran yang semakin sirna,
Akibat kebatilan yang dipuja,
Oleh si pecinta dunia.

-menulis sambil merehatkan minda yang tepu dengan enzymes. Genetic bakal menjelma lusa.

Thursday, October 23, 2008

Sekali dilanda bah..

Banjir di utara makin buruk.


Itu antara tajuk utama akhbar hari ini.

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun..

Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.
Di jordan ini, setahu saya tidak pernah mengalami banjir. Bekalan air pun amatlah terhad, pastinya sukar bertemu bah melanda. Namun, Allah Maha Berkuasa, tidak mustahil boleh berlaku.
Seingat saya, hujan telah turun pada satu pagi di bulan Ramadhan. Hujan rahmat dari Tuhan. Musim sejuk yang bakal menjelang pasti menjanjikan rintik-rintik hujan di Jordan.

Alhamdulillah, di Malaysia, rumah saya tidak pernah dinaiki air kerana ketinggian rumah saya dari paras laut menyelamatkan rumah saya dari ditenggalami air berbanding rumah-rumah lain di sekitar kampung. Pernah satu ketika saya terkandas untuk keluar dari kampung akibat air yang naik menutupi jalan utama. Saya mahu ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk menyertai debat 100 jam tanpa henti. Akhirnya, terpaksa
menumpang sebuah trailer, merendah banjir. Itu hanya dugaan kecil.

Ada yang hilang harta benda, rumah dan kehilangan insan tercinta. Ujian dari Allah.
Moga dengan ujian ini dapat meningkatkan keimanan.

Seputar mengenai banjir, seingat saya sekitar penghujung 2006, Selatan Semenanjung Malaysia mengalami banjir yang teruk. Alhamdulillah, pelbagai bantuan menyusul tak kira dari sudut kewangan, makanan, pakaian,ubat-ubatan dan juga perhatian.
Dalam ksibukan urusan menyalurkan bantuan, ada juga yang mengambil kesempatan.
Rumah tidak dinaiki air, turut memohon bantuan. Bila harta yang dikejar, hak orang lain terbiar.

Sama-sama doakan saudara-saudara kita yang diuji Allah ditabahkan hatinya.

Wednesday, October 22, 2008

Jalan Yang Ku Lalui
















Di jalan ini,
Aku melihat manusia berjalur warna,
Suka, duka, tawa, hiba,
Menjengah masuk ke anak mata,
Lantas mengundang pelbagai rasa.

Di jalan ini,
Ku lihat si ibu tua bertemankan anaknya,
Menghuni jalanan mengharap simpati manusia,
Ku lihat juga sekeluarga berjalan megah,
Gembira hati usai berbelanja mewah.

Di jalan ini,
Ku lihat pakcik tua di persimpangan,
Menyusun puluhan kotak gula getah,
Ku lihat juga si anak muda,
Menyedut sisha merehat minda.

Di jalan ini,
Ku lihat pak cik tua mengagah upaya,
Menapak perlahan menuju rumah Allah,
Ku lihat juga ada yang menyongsang arus,
Solat di rumah mungkin pilihan mereka.

Di jalan ini,
Ku terlihat wanita purdah dihiasi malu,
Berjalan bertemankan adab muslimah,
Ku terlihat juga ramai yang ibarat tidak berbaju,
Berjalan megah tanpa rasa berdosa.

Di jalan ini,
Ku lihat kudrat pemuda si penuntut ilmu,
Menjaga pandangan mengukuh iman,
Ku lihat juga yang bertuhankan nafsu,
Pasti menoleh memerhati pergerakkan perempuan.

Ya, di jalan ini...

Tuesday, October 21, 2008

Alhamdulillah, selesai sudah first exam pathology. Bersyukur atas rezeki yang diberi oleh Allah.




Sebuah ketenangan.

Ku pusatkan halatuju
Liku itu lumrah
Tanih gersang bermadah
Membawa angin menderu kalbu
Meniup azam di dadaku.

Tandus Syam ini mendampingku
Debu berterbangan berkawanan
Hinggap di pohon kental
Menggoncang tubuh layu
Agar tidak kaku.

Saturday, October 18, 2008

Kunjungan kembali

Pathology- 21 Oktober 2008
Molecular Genetic- 26 Oktober 2008
Pharmacology- 1 November 2008
Biostatistics- 8 November 2008
Microbiology- 8 November 2008

Peperiksaan berkunjung kembali.





Selepas maghrib tadi saya mengikuti kelas tafaquh ayat-ayat berkaitan puasa Ramadhan. Itu adalah kelas penutup, namun pertama buat saya disebabkan jasad ini berada di Malaysia sepanjang perjalanan tafaquh tersebut.

Saya tertarik dengan satu contoh yang diberi dalam kitab Tafsir Ayat-ayat al-Quran Berkaitan Puasa di Bulan Ramadhan karangan Ustaz Heizal Hezry Omar.

Kesusahan seorang ibu mengandungkan anaknya selama sembilan bulan dan kesakitan bertarung nyawa melahirkan bayinya akan hilang setelah mendengar tangisan zuriatnya itu. Begitu juga dengan ibadah berpuasa.

Kesusahan sementara, kesenangan pasti mendatang juga.
Begitu juga dengan keseronokan yang fana dan sementara, natijah buruknya tetap berjela.

Salam imtihan buat semua. Bittaufiq wan najah. InsyaAllah.

Friday, October 17, 2008

Aku Seorang Syabab

" Syabab, bisur3ah, ya syabab"

Ya, itulah panggilah buat pemuda di sini. Panggilan buat golongan yang masih kuat bertenaga, jiwa membara, fikiran yang sihat dan mampu membuat perubahan kepada dunia. Itulah sepatutnya.

Kadang -kadang tergelak juga dalam hati, kalau diterjemahkan dalam bahasa kita.

"Wahai pemuda, cepat sikit".

Ya. Aku seorang pemuda.

Namaku

Ada peristiwa yang sedikit lucu selepas saya dilahirkan. Bandar Pusat Jengka, Pahang. Ya,itu tempatnya. Setelah jasad ini lahir, atuk saya bergegas dari Muar menaiki kereta api menuju ke Pahang. Ditanya apakah nama saya .

نقيب

Dibacanya,

قسيم

Emak beberapa kali memberitahu sebutan nama saya. Namun, Kassim juga pilihan atuk.
Al-fatihah buat arwahnya.

Teringat saya semasa di bangku darjah dua, seorang cikgu bertanya kenapa nama saya pelik? Naqeb. Susah nak sebut. Pelikkah.

Tahun lepas saya bertemu seorang pemimpin yang disegani, beliau bertanya nama saya dipilih kerana ayah saya selalu masuk usrah kah?

Ya, ada apa dengan nama?

Pengaruh

Nama itu membawa pengaruh.

Lihat sahaja barang yang berjenama, walau semahal mana, ada juga yang sanggup mengikat perut asalkan apa yang dipakainya adalah popular di mata manusia.

Ya, nama itu mempengaruhi diri. Tengok sahaja budaya melayu yang meletakkan gelaran dalam heiraki kekeluargaan. Abang Long muncul dahulu, diikuti oleh Angah,dan lain-lain. Gelaran itu bukan gelaran kosong, namun isi harus ini dengan rasa tanggungjawab.

Kalau dalam kalangan masyarakat Arab, gelaran seorang bapa akan dinisbahkan kepada anaknya. Abu Ain, Abu Umar, Abu Muhammad dan lain-lain lagi. Hubungan kekeluargaan yang begitu ketara kuatnya.

Syabab

Ketika membaca novel Syabab Musafir Kasih, saya mengkagumi watak utama novel itu. Kepayahan yang dilalui mengajar diri untuk merealisasikan namanya, Syabab. Liku dilalui sebagai tarbiyah fitrah.

Moga syabab itu menjadi syabab. Bukan si lembab.

Wednesday, October 15, 2008

Cinta Dua Adam ( Akhir )

"Assalamualaikum".

" Waalaikumusalam."

" Aku ada keperluan denganmu. "

" Sebutkan keperluanmu itu."

" Aku adalah malaikat maut."

" Ahlan wasahlan. Silakan, marhaban wan ahlan wa sahlan. Sudah lama kau tidak bertamu dalam hidupku. Demi Allah, tiada seorang pun yang lebih aku sukai di bumi untuk berjumpa dengannya daripada engkau. "

"Laksanakanlah keperluanmu"

"Aku tidak ada keperluan yang lebih besar dan aku sukai daripada berjumpa dengan Allah."

"Pilihlah dalam keadaan apa yang kamu sukai nyawanmu dicabut olehku?"

"Kau boleh melakukan itu?"

"Ya, aku disuruh melakukan itu."


"Biarkan aku berwuduk dan bersolat, lalu cabutlah nyawaku ketika aku sujud."



******************************************************
Gementar hatinya. Getaran yang lahir dari jiwa hamba yang yakin bahawa maut itu pasti berkunjung jua. Rasa yang tiada dalam jiwa si pencinta wanita dan dunia.

Allahuakbar. Allahuakbar.

Laungan azan bergema lalu bergabung dengan molekul-molekul udara di sekitar masjid jamiah. Hatinya ibarat dipaut bayu yang nyaman tatkala telinganya menangkap seruan mulia itu.

Anwar menyarung selipar lantas meninggalkan rumahnya menuju ke masjid jamiah. Digegaskannya langkahan agar tidak bergelar masbuk.

Dia menapak di bahu jalan, menyusuri tepi pagar Universiti Yarmouk.
Tiba-tiba dia merasai satu kelembutan tangan memegang lengan kirinya. Dia dipaut seseorang bagai seorang pemuda didampingi kekasih pujaan hati.

" Kif halak? "

" Alhamdulillah."

Abu Umar rupanya. Lelaki yang sudah beruban dan botak di tengah kepalanya itu adalah pemilik sebuah kedai buku yang sering dikunjungi Anwar.

Anwar terasa pergerakan Abu Umar semakin pantas, namun tidak berkekalan lama. Mungkin disebabka kudrat tuanya yang tidak mengizinkan.

"Orang yang lewat solat ni orang gila tau. "
" Majnun ."

Anwar hanya membalas dengan senyuman. Kagum.

Malam itu satu perpisahan telah berlaku. Perpisahan yang berat. Kerana pertemuan akan datang belum pasti dimiliki. Ramadhan telah berlalu pergi. Syawal berkunjung ganti.

Sejurus selepas alunan takbir syawal oleh pelajar-pelajar Malaysia di masjid jamiah,Anwar mengetuai sekumpulan syabab bertakbir di rumah akhawat sebagaimana yang telah disusun dalam program Ihya' Ramadhan . Malam itu dihidupkan dengan membesarkan Allah. Selayaknya.

Suria mematuhi sunnahtullah. Memancar cahaya menerangi jalan-jalan dan lorong-lorong kehidupan yang berliku. Pagi-pagi lagi Anwar sudah bersiap dengan baju Melayu jahitan ibunya. Lengkap bersampin bagai pengantin lelaki yang bakal melafazkan " Aku terima nikahnya ".

Usai solat sunat dan khutbah Aidilfitri, kelihatan sekumpulan pelajar yang jelas berasal dari Nusantara saling berpelukan dan bermaafan antara satu sama lain. Salam dihulur, persaudaraan disubur.

" Ya, itu Ibrahim !".

Dia mendekati pemuda itu lantas memeluknya. Dikucupnya pipi pemuda berjubah itu sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh lelaki Arab di Jordan. Air matanya mengalir.

" Maafkan ana, Ibrahim. "

" Maafkan ana juga. Tapi nama ana bukan Ibrahim, ana Mujahid." wajah pemuda itu kehairanan tapi masih menampakkan ketenangan.

Anwar termangu seketika. Wajah di depannya memiliki iras-iras Ibrahim.

" Maafkan ana. Tersilap orang! ."

Maaf itu dibalas dengan pelukan oleh Mujahid tanda persahabatan.
Jalinan mahabbah terbentuk hasil tarbiyah mengenal Allah.

Cinta dua Adam memenuhi ruang masjid pada pagi Syawal itu. Cinta kerana Allah.

Monday, October 13, 2008

Cinta Dua Adam 3..

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun..


Terbit titisan jernih dari anak matanya. Hatinya dihurung rasa sedih bercampur redha.
Kasihnya tidak setanding tuhan yang Mencipta dan Maha Pengasih. Dialah tempat kita kembali.

Suasana sekeliling kamarnya seolah-olah bisa membaca liku rasa hatinya. Turut menangis sama. Bungkam dan suram. Tangisan itu bukan tangisan berdukacita, itu tangisan fitrah. Fitrah manusia yang tidak senang akan perpisahan, sedang pertemuan di alam yang satu itu adalah sebuah janji Tuhan buat orang-orang beriman.

Ibrahim pergi buat selama-lamanya dari dunia yang sementara menuju alam yang abadi. Mesej dari ummi Ibrahim mengungkap segalanya.

Hampir setahun syabab itu bertarung dengan brain cancer. Tidak pernah sekalipun Anwar dimaklum tentang derita yang ditanggunnya.

"Ibrahim, Kau sungguh kejam. Tergamak kau tak mahu berkongsi kesakitan kau dengan aku." monolog hati Anwar. Redha.

**************************************************************

Mentari mula mengintai alam. Kabus berlalu pergi meninggalkan jalan sekitar Universiti Yarmouk yang sepi. Pintu kedai-kedai sepanjang syari' jamiah masih terkunci. Anwar melangkah melintasi jalan, menapak kesunyian seorang diri.

Nyaman. Kebisingan dan kesibukan belum menjengah di jalan itu. Rata-rata masih tidur dibuai mimpi manusiawi dan duniawi. Langkahannya yang diiringi bacaan Mathurat diperlahan tatkala menuruni lorong menuju ke rumahnya.

" Ibrahim! ". terpacul dari mulutnya nama nabi Allah Ibrahim, nabi yang pernah cuba dibakar dan tergolong dalam kelompok rasul ulul azmi.

"Aku tidak bermimpi." hatinya menjerit.

Jubahnya diangkat, dia mula berlari mengejar kelibat itu. Hilang!

Peluh mericik di dahi, termengah-mengah dirinya menyedut udara melangsaikan hutang oksigen dari tubuhnya. Lelah.
Jiwa Anwar tampak keriangan berseli kebingungan. Ibrahim sebentar tadi di hadapan matanya.
Ya, itu Ibrahim!

"Astagfirullah".
"Bukankah dia sudah pergi menemui Ilahi?". Kewarasan akalnya menghentak keriangannya.
Dia dihuni rasa bersalah, seolah-olah dia tidak mempercayai takdir Yang Esa.

Al-Fatihah.

*******************************************************************************

Wahab bin Munabbih menceritakan tentang keegoaan seorang raja yang ingin berpergiaan dengan menaiki kenderaan. Maka diarah suruhannya mempersiagakan pakaiannya,namun ditolak kerana tidak disukainya. Lalu berkali-kali arahannya diulang sama. Akhirnya dipilih sendiri olehnya. Begitu juga dengan pemilihan kuda yang akan ditungganginya.

Kemudian muncul si Iblis datang meniupkan ke dalam rongga hidungya api kesombongan dan kemegahan. Lalu berangkatlah si raja yang bongkak bersama rombongan berkudanya. Langsung tidak dipandangnya rakyat jelata.

"Assalamualaikum." salam diberi oleh seorang lelaki yang buruk rupanya.

Si raja tidak mengendahkan lelaki itu. Kendali kenderaanya dipegang lelaki itu.

"Lepaskan kendali itu! Kau telah melakukan perbuatan yang besar."

"Aku ada keperluan denganmu."

" Sebutkan keperluanmu."

"Ini rahsia". Raja mendekatkan kepalanya.
"Aku adalah malaikat maut".

Maka berubahlah warna paras raja dan gementar lidahnya menuturkan kata.
"Biarkan aku hingga aku kembali ke rumahkudan memenuhi keperluanku serta minta diri dengan mereka".

Malaikat maut berkata: " Demi Allah,engkau tidak akan melihat keluarga dan kerajaanmu sama sekali." Kemudian nyawanya dicabut lalu rebah tubuh yang dihuni jiwa sombong itu.

*****************************************************************************

Anwar menghela nafas. Jiwanya bergetar hebat. Terkesan. Dibeleknya lagi buku itu.

Friday, October 10, 2008

Ku cari tenaga..

Hijrah dari zon selesa kepada memaksa, sebelum terpaksa.

Hidup dalam keadaaan selesa boleh membunuh potensi yang ada. Jiwa lumpuh. Kebolehan runtuh, akibat meletakkan diri dalam keadaan yang tiada tekanan untuk menuju kearah kecemerlangan.

Ibarat sebatang tebu, mana mungkin terhasil perahan tebu asli yang pekat andai tidak diperah dan menerima tekanan yang tinggi.


Tetapi tekanan itu harus bijak di manipulasi. Untuk menghasilkan produk yang berkualiti.



Pertengahan

Hendaklah engkau menjaga pertengahan
dalam segala urusan mu,
Kerana pertengahan itu
jalan yang paling baik menuju kejayaan,
Maka janganlah engkau berlebihan
atau kurang kerana kedua-duanya adalah tercela.

( Syair Arab )





" Apabila KEPERLUAN mengatasi KEMAMPUAN, STRES pasti berlaku "

Oleh itu, jom sama-sama kita tingkatkan kemampuan untuk memenuhi keperluan!

- menaip sekadar peringatan buat diri. Bila diri terasa lemah, ingatlah kita punya Allah. Bila diri terasa hebat ,ingatlah kita tidak memiliki apa-apa, segala-galanya milik Allah.

Saturday, October 4, 2008

Cinta Dua Adam 2

Kau syabab musafir Syam,
Hilangnya kelibatmu dinanti,
Biar rinduku berputik mati,
Mekar cintaku tidak berbelah bagi.

Kau syabab mujahid,
Nafasmu semilir bayu,
Genggamanmu padu,
Hidup jiwamu tegal,
Onak kau rempuh,
Sendi budimu teguh.

Kau syabab cahaya,
Kepulanganmu dinanti,
Moga islah kau bawa,
Sua kita pasti jua,
Andai tidak di sini,
Pasti di sana jua.

Anwar tersenyum sendirian menampakkan lesung pipit di pipi kirinya yang manis usai membaca bait-bait itu. Ibrahim. Sahabatnya yang sudah hampir tiga tahun tidak bersua wajah, namun hati mereka sering bertemu dalam rabitah yang dihubungkan kasih dua saudara kerana Tuhan Yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya. Rindu itu datang kembali, mencengkam sanubari.Ah, indahnya rindu kerana Illahi.

Indahnya sebuah persahabatan. Dia yakin janji Tuhan.


*********************
Ya Allah,dahsyat teramat sangat maut ini,timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku,jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin,kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saidina Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uusiikum bis salati,wa maa malakat aimanukum,peliharalah solat dan peliharalah orang- orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan,sahabat saling berpelukan.Saidatina
Fatimah az-Zahra' menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii,ummatii,ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"

Begitulah bukti cinta Rasulullah kepada ummat baginda. Jauh mengalahkan simbolik cinta agung Shah Jahan kepada Mumtaz Mahal yang mendirikan Taj Mahal,apatah lagi cinta Romeo dan Juliet yang hanya sekadar hiasan dunia.

Selawat ke atas junjungan Pesuruh Allah terbit dari bibir mulus Anwar. Dia tidak mahu tergolong dalam kalangan golongan yang bakhil dan rugi.

" Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam perhormatan kepadanya ". al-Ahzab ayat 56.

"Ya Allah, Kau jadikanlah akhlak ku sebagaimana akhlak Rasulullah. Kau kuatkanlah hatiku dan temanku meneruskan perjuangan baginda". titipan doa dari hati kudus seorang perantau di bumi Kinanah.

Gambaran wajah seorang anak muda, berwajah bersih berserta senyuman yang tidak lekang dari bibirnya muncul dari celah pandangannya.

" Anwar, kau jangan lupakan aku bila tiba di sana. Aku sentiasa doakan kau berjaya mengutip segala mutiara yang ada. Kita pasti bersua."

Bip..bip

Anwar tersedar dari tidurnya. Matanya cuba dibuka sedaya upaya. Butiran penghantar sistem pesanan ringkas yang tertera pada layar handphonenya cuba dibaca walau tidak dicapainya kaca mata terlebih dahulu.

Ibrahim



Hatinya berbunga menerima pesanan itu. Namun timbul sedikit ragu memandangkan waktu Malaysia baru mengjangkau jam 3 pagi. Apakah hal yang begitu mustahak sehingga mesej itu bertamu dalam tidurnya.

Ditekannya kekunci lantas diamati baris demi baris yang tertulis rapi.
" Ya Allah! "