Wednesday, January 28, 2009

Terbang ke angkasa


InsyaAllah, enam jam lagi saya akan terbang ke langit dunia, meninggalkan sementara bumi Irbid menuju ke kampung halaman.

Cuti.

Memang menyeronokkan.
Tidak memikirkan soal kuliah yang berderetan.
Tiada timbunan nota perlu dihadam dan dimuntahkan kala peperiksaan.
Masa yang lapang dan luas, tidak lemas.

Ah! Jangan rasa senang . Itu juga ujian, ujian kesenangan yang sering kita lalaikan, yang kita jarang buat persediaan menghadapinya. Bila tiba ujian ini, semua angkat kaki, meredah tanpa target dan sasaran. Percutian itu bisa jadi pembaziran masa,wang dan sebahagian juzu' kehidupan.

Saya sudah membuat senarai aktiviti target yang hendak dicapai sepanjang keberadaan di Malaysia. Saya juga telah membuat bajet kewangan untuk mengelakkan pembaziran.
Apa yang penting, sejauh mana saya bersungguh melaksanakan apa yang saya rancangkan.
Hakikatnya, Allah yang Maha Perancang.

Mahu meluang lebih masa dengan Tuhan empunya masa.
Mahu meluangkan masa menemani Abah ke pusat dialisis dan appointment bersama doktor pakar.
Mahu menebus masa dengan keluarga.
Ada majlis merisik yang perlu saya lalui.
Mahu menziarahi sahabat di pusat pengajian mereka.
Mahu memburu karya dan buku ilmiah.
Mahu mencoret nukilan sastera.
Merancang bercuti sehari dua ke tempat yang sejuk mata memandangnya.

Seorang senior saya memberi pesanan, untuk pulang mengecas kekuatan, sebelum menyambung semula perjalanan saya yang masih jauh.

Blog ini akan turut berehat buat seketika.

Moga kita senantiasa di dalam redha-Nya.

Tuesday, January 27, 2009

Pensel

"Kecil nak duduk rumah,Kecil tak nak ikut ayah ari ni. Nyamuk banyak la ". si Kecil merungut setelah dipujuk Mak Cik Salbiah berulang kali.

Mak Cik Salbiah bimbang akan suaminya keluar bersendirian menoreh getah di kebun getah milik Haji Samad. Maklumlah , isteri mana yang tidak bimbang akan keselamatan suami yang keluar mencari sesuap nasi, membanting tulang empat kerat mengagau rezeki.

Dia putus asa memujuk Kecil yang terkenal dengan sifat keras kepala, sekeras kepala dungu pemimpin dunia. Matanya hanya mampu memandang anak tunggal hasil lewat perkahwinannya itu.

Jari jemari Kecil ligat mengasah pensel 2B yang kian kontot, itulah senjatanya di medan ilmu.
Sayang benar akan pensel itu, diciumnya berkali-kali. Mak Cik Salbiah hanya mampu tersenyum menyeringai menampakkan emas di celahan barisan putih giginya.

" Apa yang Kecil suka sangat dengan pensel kontot tu. Buang je, dah pendek sangat. Nanti bila Ayah dah jual getah buku, kita pergi pekan beli pensel baru ya. "

" Tak nak, ni pensel ajaib. Kecil boleh ubah dunia dengan pensel ni. Kecil boleh ada kuasa, binatang-binatang jahanam yang rosakkan kebun Mak pun Kecil boleh kalahkan. "

" Suka hati kau la Kecil, mak nak ke rumah Cik Kiah, mana tahu kalau ada apa-apa yang boleh Mak bantu dia , dapat kita makan sedap-sedap sikit malam ni. "

Kecil masih leka dengan penselnya.

Tumpu.

Satu garisan dimulakannya merentasi keputihan kertas yang beralaskan buku teks Matematik darjah dua. Kecil semakin khusyuk mencoret apa yang terbayang difikirannya. Dia leka melukis gambar-gambar yang tidak tahu mana asal usulnya. Gambar yang seolah-olah memberi nafas baru dalam tampang tubuh kurusnya.

Kertas yang tadinya putih bertukar wajah, kelam dan suram kian menghilang, menjernihkan suasana yang menakjubkan dari helaian itu.

Kecil menyentuh kertas itu meski rasa takut menyelimuti tubuh dinginnya.

Zupp...

Degup jantungnya berganda dua,tiga, empat dan tidak terkira.
Nafasnya tersekat hebat seperti ditekan kuat-kuat.

Dia membuka, memerhati sekeliling dengan hati tikus menyaksikan dunia yang baru dijejaki.
Jemari kidalnya masih menggegam si kontot kesayangan.

" Inikah keajaiban?? "

Kecil menghembus nafas tidak percaya, omongannya ternaya benar, pensel itu ada kuasa hikmat. Dia tersenyum puas.

Dia terus melangkah ke dunia baru itu, jejak tapaknya mengekori dan anak matanya melilau mencari jalanan mana yang harus di pilih. Dia keliru.

" Ah, aku kan ada pensel ini. "

Kecil meletakkan mata pensel itu di atas muka tanah, lantas satu garisan muncul memanjang , lalu memandu geraknya.

Jauh.

Di kiri kanannya tersergam bangunan indah dan tinggi, yang menjengah langit bumi.
Hatinay berbunga rasa kagum, tetapi kembali kecut melihat susuk tubuh-tubuh yang menghuni di dalam ceracakan bangunan itu.

Ada yang menjerit, melalak, menangis hingga mata berdarah merah.
Lagi?
Ada yang terjun dari bangunan yang tertinggi, pecah kepala dan jiwa raga.

" Ini masalah! "

Tempurung akalnya ligat berbicara. Lantas dihalakan pensel kontotnya ke arah saf bangunan itu. Tangannya menghayun lembut, seolah-olah melukis di kanvas putih bertemankan bayu pagi di tepi kali air.

Bangunan yang tinggi tadi mengecil dan mengalami transaksi saiz.
Ala-ala sederhana. Manusia di dalam juga turut serta mengikuti transformasi ajaib.
Kembali normal, tidak menggila seperti sebelumnya.

" Ajaib! "

Dia melangkah dengan rasa bangga kerana berjaya menyelesaikan satu masalah.
Dikucupnya pensel itu berkali-kali.

Selipar jepunnya terus menapak, mengikuti penunjuk arah. Dia takut sesat.
Kecil tidak sebodoh manusia-manusia yang mata mereka dan akal waras mereka telah melihat penunjuk kebenaran, tetapi nafsu syaitan masih menafikan yang hak, masih ghairah melaui jalanan songsang, yang penuh dengan lompang dan akhirnya terjunam di lembah binasa.

Kecil taat mengikuti garisan itu. Tidak tidak ikut separuh, seleweng separuh. Fikirnya, itu kurang akal namanya.

" Gulrp. "

Matanya tidak terkebil, lopong mulutnya membesar dan membulat, di hadapannya sedang ada satu peperangan dahsyat yang tidak pernah disaksikannya di buku teks sekolah. Gurunya tidak pernah mengupaskan isu peperangan ini, mungkin takut anak-anak sedewasanya melonjak usia dari limitasi yang telah dihadkan pemerintah.

Mahluk besar dan hodoh sedang menggila, menyerang bertubi-tubi makhluk-makhluk kecil yang bersih tubuh mereka.

Geli. Melihatkan mahkluk hodoh itu.
Simpati. Merenung nasih makhluk bersih itu.

Kecil takut serta-merta dan berselindung di sebalik empayar besar yang tersergam di sekeliling medan perang.

Kelihatan ada kawanan penyokong di kedua-dua belah pihak. Namun apa yang peliknya, terdapat segelintir penyokong bahlul yang kononnya menyokong pihak makhluk kecil menyalurkan cas tenaga kepada si makhluk hodoh bedebah secara langsung, jika tidak pun ada tidak malu mengirimkan wang dan tenaga kepada gerobolan penyokong si hodoh yang bertindak sebagai peneguh dan pengukuh kedudukan makhuk syaitan di medan perang itu.

Peperangan apakah ini?
Berat sebelah. Pengkhiatan!!

Kecil tidak betah melihat makhluk berwajah bersih disiksa hingga bermandikan darah.
Atmanya melonjak ke udara, memanggil kelakiannya dan kepewiraan untuk menerobos ribuan penonoton bisu yang sedang bersantai .

Kecil ke hadapan betemankan sebatang pensel.

Nah kau..

" Tidak, pensel aku!!! "

Makhluk hodoh merentap, meragut penselnya.

" Pensel!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Senyap.

Di hadapannya bukan mahkluk hodoh, tetapi Mak Cik Salbiah.
Rumahnya dipenuhi lelaki bersongkok dan berketayap. Wanita-wanita berkelubung kepala dengan baju kurung bercorakan bunga.

Alunan Yassin bergema.
Di tengah halaqah mereka sekujur tubuh kaku tidak bernyawa berselimutkan kain batik lepas terbaring mengarah kiblat jutaan manusia.

Kecil tidak percaya. Dia merampas penselnya lalu berlari ke arah jasad ayahnya, namun dihalang oleh jiran tetangga.

" Tidak!!! "

" Pensel ajaib , bantula aku! Tolonglah." rayu Kecil.

Ayahnya tetap tidak akan sedarkan diri, dan akhirnya Kecil sedar pensel itu tiada keajaiban.
Semua itu hanya angan-angan.

Kecil sedar keajaiban pensel itu bukan pada batang tubuh pendeknya, tetap sejauh mana kegunaannya dalam mencorak dan mengubah kondusi dunia.

Pensel Kecil dibasahi air mata.

-cerpen ini sekadar percubaan, harap ditegur kekurangan dan kekhilafan

Sebermula pencarian..kembaraku



Cuti saya dimulakan dengan kembara ke Jepun sebentar sebelum menuju ke destinasi yang dirancang.

Pagi ini sejuk yang membuaikan, menyamankan hati dan perasaan.
Sejuk dan nyaman semilir itu tidak bisa menumpaskan ketenangan menghirup bicara pak cik pembaca Riyadus Salihin di kala mentari masih malu-malu mencerah bumi.

Saya merenung air tasik, berkelocak dengan ciuman fitrah angsa yang menghuninya. Tasik Senba mendamaikan mata. Nun jauh di sana, saya merenung bandar Mito tersergam indah dan gagah.
Beristerikan Tamain Kaira di jihat kiri, semuanya bagai tercipta untuk pencinta alam dan seni, agar mencoret bait-bait indah dalam laman hati.

Kemudian, saya bergerak ke bandar Mito, melihat dengan jelas Gejyutsukan, Art of Tower. Laksana replika keris besar berlok tiga, ia umpama penguasa kepada ceracakan bangunan lain dikoloninya.

Saya ingin menyuci diri di Tasik Senba yang tenang, namun nasib saya malang. Saya tersungkur ke dalam lalu jatuh kembali pulang bumi Irbid.

Novel dan Kembara

Kala ini kawan serumah giat bersiap mengemas pakaian dan kelengkapan, United Kingdom destinasinya. Seorang lagi bakal ke Turki lusa ini. Kawan-kawan lain juga bakal bermusafir ke Mesir, Greece, Syria dan ada juga yang menghabiskan musim cuti meneladani kehidupan di Irbid.

Kembara memang menyeronokkan, meskipun saya belum merasainya secara hakiki.

Saya pernah ke Mesir, menikmati aliran Sungai Nil, nadi kesuburan tanah-tanih bumi yang bertapaknya susuk Piramid.
Syria juga saya pernah kunjungi, merasai susana pembelajaran di Institut Sheikh Ahmad Kiftaro.
Saya juga hampir menyeberangi masuk ke Palestin, namun belum sempat lagi menghabiskannya.
Negara sumatera Indonesia juga saya pernah tinggalakn kesan tapak kaki, menelurusi sekolah-sekolah pondok, menikmati bakso cinta berbentuk hati .
Jangan terkejut, saya juga pernah masuk ke laut, naik ke langit, bertemu dengan jin yang bermacam ragam, lebih kurang jalur warna mereka dengan manusia.

Namun itu hanya kembara saya dalam lipatan catatan karya yang dinukilkan oleh mereka yang pernah melaluinya. Hirupan dan sedutan deria rasa pembaca dengan penulis memang berbeza.

Bagi kalian yang akan merentasi benua dan negara, saya sarankan buatlah sedikit catatan pengembaraan,agar dijadikan panduan dan kenangan. Mungkin di masa itu anda tidak nampak apa signifikan setiapa peristiwa yang anda lalui, tapi boleh jadi sesudah setahu dua berlalu, catatan itu membantu dalam mencoret sebuah perjalanan yang masih jauh di hadapan dengan izin Tuhan.

Berjalanlah kita di bumi Tuhan ini dengan mata yang terbuka, telinga yang peka, mulut yang berzikir, dan hati yang bersih dari kotoran jiwa.


Kembara ke kampung halaman

Hirupan nafas di kampung dan di bandar memang berbeza dari kualitinya, kurang sedikit pencemaran meskipun pencemaran itu sudah sebati dengan alam kesan tangan-tangan manusia keparat yang menzalimi flora dan fauna.

Saya rindukan untuk berkubang di sungai yang airnya mengalir dari puncak Gunung Ledang, gunung yang terkenal dengan hikayat puteri yang mensyarat tujuh dulang bervariasi untuk dinikahi. Saya rindu untuk memancing belut di lubang-lubang parit. Pertarungan dengan belut lebih sukar dari meragut si haruan di Sawah Ring. Sawah yang terbentang menghijau berjalurkan tali air, tempat saya selalu memancing rezeki alam. Saya rindukan pondok kecil dan usang, tempat kami berteduh kala hujan sambil menunggu joran diragut ikan.

Alhamdulillah, kampung saya masih menghijau meski ada sedikit pembangunan oleh kerajaan.
Balai raya batu menggantikan balai raya yang hampir dimakan anai-anai telah siap dibina setelah emak,ayah dan beberapa orang kuat kampung berusaha mendapatkannya.
Kini ianya jadi pusat aktiviti kemasyarakatan, menghimpun ibu-ibu kepada anak-nak jati untuk mempelajari kraftangan dan masakan. Saya kagum dengan emak saya yang kini semakin aktif menghidupkan gerak kerja kaum ibu. Siapa kata kaum ibu di kampung hanya membesarkan anak yang berderetan macam kereta api, mereka juga punya wawasan tersendiri meski tidak sama seperti kaum wanita metropolitan yang menghuni kehidupan kota.

Cumanya sedikit rugi dan kesal kerana masih kurang pendedahan dan aktiviti membina kemanusiaan yang dihidangkan kepada anak-anak muda, kesannya mereka menyalurkan sikap ingin tahu dan berani mencuba ke arah sonsang dek kerana tiada peluang baik mendatang.

Di surau dan masjid,yang berbaris di saf, majoritinya yang sudah bergelar datuk, minoriti adalah kanak-kanak kecil yang bersongkok dan berlonggok di belakang sana. Anak muda? Siapa kata tiada? Cumanya ramai yang meraikan kedatangan jemaah masjid dengan petikan gitar dan hembusan asap rokok di tangan sambil bersembang soal seks dan hiburan di bahu jalan. Malang!

Inilah jalur kehidupan yang bermacam warna, yang akan kita lalui sepanjang menyempurnakan usia dan tanggungjawab yang dipikul kita.

Sejauh mana kita bermusafir, meski dari bawah tempurung kita melonjak menggapai bintang di langit angkasa, di setiap persimpangan yang kita jejaki itu anda stesen muhasabah untuk kita nilai sejauh mana tanggunjawab kita telah terlaksana dengan sempurna.

Berjalanlah kalian di bumi Tuhan, asal tidak takbur dan bongkak mendongak ke langit dunia!

Monday, January 26, 2009

Songsang ?

Satu.

Akhir.

Mula.
Setiap permulaan dihujungnya tercatuk titik pengakhiran. Dan titik pengakhiran itu bukan noktah penamat, kerana ia hanya senggang masa untuk menyedut nafas sedalam-dalamnya sebelum menyambung bait-bait seterusnya. Ibarat coretan pena, setiap perenggan memainkan peranan dalam membina kesinambungn hikayat mahupun sejarah.

Perenggan pertama bercerita soal usaha-usaha hendak membangunkan masyarakat, mahu menjana modal insan, menunjang pembangunan negara. Berjela-jela. Penat.

Menyambung dengan perenggan kedua, ligat menyumbat lompang hati manusia dengan hiburan sejagat, menyekatkan tumbesaran minda dan akal anak muda berjiwa manusia, juga penat. Songsang?


Perenggan yang tidak saling menyokong, malah memesong, hasilnya KOSONG! Semua itu bohong!

Sekadar muqadimah.

Alhamdulillah, selesai sudah semester pertama tahun kedua saya. ( ini point utama sebenarnya : )

Semester yang banyak mengajar dan mencabar manusia kerdil, si pelajar . Dan ajaran dan cabaran itu hanya sekelumit dari apa yang dirasai oleh saudara kita di Gaza.

Malu.

Banyak kenangan yang saya nukilkan di blog ini. Nukilan yang kalian bisa baca dengan pancaindera atau juga dengan cubaan bacaan bicara hati manusia.

Kenangan sepanjang semester ini saya rakam dalam blog ini, untuk tatapan saya, dikenang semula.

Saya menulis tentang Majlis Jom Korban, agar saya tahu hidup ini memang memerlukan pengorbanan. Atas cadangan Rasydan, saya transaksikan blog ini kepada Menjejak Roh Pengorbanan.

Semester lepas juga membuka ruang saya berjinak mengasah pena berkarya, walau saya tahu terlalu banyak lompang kosong. Terima kasih Hilal Asyraf kerana kehadirannya meransang saya untuk berjinak berkarya.

Alhamdulillah, cerpen Kasih Fana di Sudut Dunia terpilih pemenang Sayembara Cerpen Islami PERMAI, meski hanya beberapa kerat yang menyertainya. Bagi yang rasa berpotensi untuk menulis, apa salahnya anda mencuba, jangan disia-siakan ajaran guru bahasa sejak di bangku tadika.

ADHA.

Satu kenangan yang akan saya kenang sepanjang keberadaan di sini. Pengarah teater yang menawarkan diri membantu,membuat saya terharu, bersenergikan pelakon dan krew yang mantap, menghidupkan pementasan sulong di sini. Moga kekurangan dan kelemahan yang menfitrahi usaha kecil ini akan disusuli dengan muhasabah dan penambaikan di segenap sisi.

Semester ini juga banyak mengimbau kenangan lama. Saya kembali berhujah di meja debat meski sudah penat.


Azam?

Setiap akhir semester, ramai yang memasang azam untuk memperbaik pulih kecatatan dan keaiban yang telah disemadikan, namun sejauh mana kebenaran azam itu dizahirkan,
tepuk dada tanya kemahuan, sekadar tahu tapi tidak mahu, letaklah kita digam teguh di takuk tidak mampu.

Jom kita meneruskan kesinambungan jalur hidup kita, biar cemerlang. Jangan SONGSANG! :)


-menghitung hari..bau mee bandung sudah mengunjungi
-selamat bermusafir buat sahabat sekalian, carilah pengalaman bertunjang redha Tuhan
-ada cadangan novel atau buku menarik tak untuk dibeli di Malaysia?

Saturday, January 24, 2009

Secawan kopi pekat


Secawan kopi pekat,
Menghimpun manusia rapat,
Bicara soal umat.

Seteguk Starbucks coffee,
Bicara bisnes meninggi,
Seribu syahid terpuji.

Sehangat air teh,
Dihidang bidadari kala letih,
Pengikat tali kasih.

Sebotol Coke,
Diteguk bersilang rokok,
Mayat saudara berlonggok.

Kau pilih mana?
Ingin kau bunuh siapa?

Friday, January 23, 2009

Keluarga: Menghitung hari..

Panas dan nyaman pagi Jumaat ini.

Saya terlena di depan sobah ( alat pemanas ) pagi ini. Telinga saya sayup-sayup menangkap bunyi pesanan rindu dan cinta seorang ibu ke mesin penghubung saya dan keluarga.

" Salam. Alhamdulillah, abah hari ni dah boleh sembahyang jumaat pegi bawa keta. Bertambah sihat . Lepas sembahyang mak bawa abah pg buke kat leher ( tiub untuk cuci darah) sebab dah boleh pakai pestula kat tangan. Lebih senang abah nak bergerak. semua berkat doa anak2 abah. Afiq jadi ketua darjah dan pengawas sekolah agama. Ari ni Qila balik cuti seminggu raya cina. Adik Ayuni dah tak pakai pampers. Last paper exam nanti bgtau ye. Ok, jumpa tak lama lagi, makin dekat makin rindu pada Naqeb. bye. "

Membaca mesej ini, rindu saya membuak-buak untuk melutut di hadapan keluarga, membayar harga nilai hari-hari yang mereka lalu tanpa saya. Harga pengorbanan Emak yang banyak berkorban tatkala Abah diuji Allah sejak beberapa bulan lalu. Membayar kerinduan Abah pada saya, walau dia tidak pernah menyuara rasa rindu itu, saya dapat rasakan dengan esakannya di hujung talian ketika berminggu dia terlantar di hospital. Walau saya tahu saya tidak dapat membayar semua itu, izinkan saya menyelit dalam lipatan ujian meskipun dua minggu.

Emak memang selalu mengirimkan saya perkembangan atma dan tampang kecil adik-adik saya fasa kedua. Ada tiga orang kesemuanya, Najib, Afiq dan Ayuni. Saya dan kakak serta adik perempuan saya , kami tergolong dalam fasa pertama, maksudnya sudah menjejak alam dewasa.


Muhammad Afiq Nadzmi.

Si cilik yang kami sering gelar Sin Chan. Muka lebih kurang, perangai pun perasan matang. Apa yang yang saya respect kepada pemilik mata sepet ini adalah level bahasanya yang mengagumkan. Selalunya , dia berbicara dengan laras bahasa rasmi hingga kadang-kadang buat kami tergelak besar.

" Pada pendapat Afiq ..".

Harapnya dia mengekalkan budi bicara ini kalau di masuk ke dewan parlimen nanti. Harapnya hujahnya tidak bertunjangkan emosional hingga menggadai rasional.
Sekarang ni masih menggunakan basikal beroda, meskipun basikal itu hampir lumpuh dikerjakannya seminggu selepas saya membelikan setelah dibisik ke telinga beberapa kali dalam talian. Saya doakan dia gigih berkayuh hingga mampu memecut tanpa perlu berpahut, agar tidak hanyut.

Sekarang sudah melangkah ke alam sekolah rendah, menemani abangnya menggamatkan S.K Sengkang, meneruskan kesinambungan saya dan Kak Tiqah.
Sudah memegang jawatan ketua darjah. Harap si Sin Chan berpipi ala tomato ini tidak mengulangi kesilapan saya, menjadi ketua darjah ibarat singa. Harapnya Afiq tidak mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, tidak menjanjikan propaganda manis buat pengundinya, bebas dari skandal yang sering melanda ketua-ketua darjah peringkat negara, dan apa yang paling penting menjalankan syariat Allah.

Afiq, ingat pesan ini, Allah itu yang memiliki kerajaan, jangan jadi bongkak bila diperi pinjaman kerajaan, kerajaan itu boleh ditarik bila-bila masa, pembangkang itu tidak semestinya salah.

Selamat mentadbir Parlimen 1 Jaya. :)



Nur Haziqah Ayuni,

Ayuni sudah mula berdikari.
Sebulan lebih direnggang dari Emak yang menemani Abah dihospital, saya kira dia sudah biasa dengan hal itu. Saya ingat lagi saat dia lahir, ketika itu saya sedang bermusafir di HKSBP 2005 di Sekolah Sultan Alam Shah. Setiap kali menjelang HKSBP, saya akan ingat kelahiran si bongsu ini.
Hari terakhir sebelum saya berangkat pulang ke Jordan, dia menyusup masuk ke bilik saya dan tidur di sebelah saya.

Si ligat ini dahulunya pernah terkena sawan pengantin, walaupun saya kurang percaya perkara sebegini. Dia terlalu malu dengan orang dan akan memejamkan mata berjam-jam hingga tertidur dek malunya kepada manusia. Saya doakan agar dikekalkan rasa malu itu agar dijauhkan dari gejala dan barah neoplasia yang semakin menabrak wanita yang hilang rasa malunya.


Rindu.

Saya rasa cukup melepaskan kerinduan menulis di sini. Maaflah kerana melepaskan di sini. Mereka memang tidak dapat membacanya.

Tapi ada keluarga yang dapat membacanya, kalianlah keluarga saya di alam maya ini. Jika kalian sudi. Sebagai keluarga,tegurlah kesilapan saya andai kalian mampu bertemu saya di dunia nyata, jika tidak nasihat sahaja saya di sini, di dunia kecil maya ini yang menghubung kita. Jika saya berkarya, saya mohon dikritik kelemahan agar mampu penambaikan.

Membaca blog bukanuntuk menjadikan kita seorang pengangguk dan setuju dengan setiap bilah huruf dan rangkaian makna yang diluah blogger. Pembaca yang baik adalah pembaca yang memikir, mencerakin dan bukan yang membuta tuli menyerah rasa setuju , " Ana stuju dengan artikel ini, ana insaf. " tanpa menilai dan mengkaji dengan teliti.

Saya akui, blog ini tidak seberapa, tulisan saya tiada nilai harga, hanya sebuah coretan perjalanan hidup yang saya nukilkan kerana saya tidak bisa menggaris catatan di buku tebal diari meski sudah dicuba acap kali.

Saya mohon ditegur, agar tidak saya lena berdengkur.

Terima kasih kerana membaca, moga kalian dirahmati Allah , Pencipta yang mengutuskan kalimah 'Iqra' dipermulaan wahyu kepada Rasul Junjungan kita.

Terima kasih, keluargaku.

-satu paper lagi
-menghitung hari mula membaca dan memburu karya
-melodi menjemput bidadari asyik tergiang-ngiang di telinga, bukan liriknya. :)

Thursday, January 22, 2009

PERTAMA. JOM!


Kelopak mata hampir terkatup rapi dibayangi tumor atau yang tepatnya neoplasia yang bakal dirawat pada esok hari.

Melihat logo PERTAMA, terkenang saya saat-saat PERTAMA tahun lepas.
Satu pengalaman menarik meskipun saya hanya terlibat sebagai pengerusi sidang, melihat mahasiswa kita melontar pandangan, berbeza pendapat. Harapannya, moga PERTAMA kali ini lebih membawa impak dalam menyentak mahasiswa lesu dan bisu .

Moga lahir mahasiswa yang PERTAMA membela Islam tatkala musuh menabrak saudara kita.
Moga lahir mahasiswa yang PERTAMA menyuarakan yang hak dan mencegah yang batil, bukan terkebil-kebil.

Sama-sama kita bina biah ilmu,
agar tertunduk pesta nafsu.
Kita cari apa yang semakin hilang,
agar kita tidak kosong apabila pulang.
Kita langkah dengan ruang yang jelas,
moga di timbunan serangan senyap kita tidak lemas.


- tak dapat saya tengok anjakan PERTAMA kali ini
-" Ke Arah Kematangan Ideologi Mahasiswa Muslim" . mudah-mudahan tercapai.

Wednesday, January 21, 2009

Bidadari




Menjemput Bidadari
Album :
Munsyid : Epicentrum
http://liriknasyid.com


Bila yakin tlah tiba,
Teguh didalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Reff
Segera kan kujemput engkau bidadari
Bila tiba waktu kutemukan aku
Ya Ilahi Robbi keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlahku dilangkah ini
Dipenantian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu sepenuh hati...

Kini yakin tlah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran adalah permata

Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun kebumi terpisah jarak waktu
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari tlah menyentuh hati
Teguhkan nurani
Bidadari tlah menyapa jiwa
Memberikan makna

“Sesungguhnya orang-orang bertakwa berada di tempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air-mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal (duduk) berhadap-hadapan. Demikianlah dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari-bidadari bermata indah
QA. Ad-dukhan 51-54

-lirik ini sekadar mengisi masa senggang di kala exam yang berderetan, jangan salah sangka, nanti ada yang kata saya balik ke Malaysia untuk menjemput 'bidadari' saya
-untuk syah : bila agaknya nak jemput...?? :P
-moga selamat semuanya, teruskan melangkah, jangan rebah!


Monday, January 19, 2009

Akademi Realiti : Air Liur Basi di Pipi


Israel mengumum gencatan senjata. Berbekalkan muka yang tidak malu dan hati batu setelah meranap lebih seribu nyawa, mereka mengumumkan kemenangan milik mereka.

Menang dan merasa hebat menumbangkan tubuh-tubuh kecil yang masih berhingus tetapi berjiwa lebih besar dan membara dari kelumit tentera mereka.
Bangga dan bongkak lewat mengerjakan ibu-ibu tua yang lebih kental dan berani atma berbanding si pengecut pemimpin-pemimpin dunia.

Biarkanlah mereka berfantasi, anak-anak Palestin tidak ketagih dilabel sebagai pemenang kerana mereka yakin janji Allah memberi kemenangan di alam sana.

Israel berfantasi , kita, si manusia yang tidak mengangkat senjata ini bagaimana?
Adakah terus bertemankan air liur basi yang menyejat di pipi?
Ingin terus berguling dengan mimipi melihat isu ini surut dan tenggelam apabila segala-galanya sudah memainkan peranan keji masing-masing.

Apabila media sudah kembali kepada tabiat asal, menghidang selera manusia dengan timbunan kisah artis yang menjaja tubuh dan nama.
Apabila pihak yang berdekah-dekah mengatakan kesungguhan membantu isu ini kembali kepada tampok dan tompok hitam yang sebenar, menyuap batang tubuh anak-anak dengan virus yang dibekalkan sendiri oleh si perogol Palestin.

Maka, kita kembali kepada dunia yang lalu. Isu ini ditiup bayu,
"ah..itu kisah lama" , adakah perkara ini yang bakal meniti di mulut kita usai tiada lagi gambar-gambar adik-adik putus dua, ibu hilang nyawa. Mahu begitu??

Ya.

Berbanggalah kita kerana kita punya ramai pemuda.
Buktinya?

Lebih kurang 2000 orang membanjiri stadium besar di negara kita untuk pergi berjuang di medan realiti. Ini baru lokasi sulong, jika dijumlah sehingga lokasi bongsu, betapa ramai anak muda kita menyerah diri untuk terjun ke dunia realiti yang hakikat ditunjang fantasi.

Berasak-asak menerobos diri ke ruangan terhad berbekal suara sumbang dan tidak seberapa untuk melaungkan lagu wajid dan lagu alternatif, siap bersyarat wajib hendaknya. Janji yang terpasak di pemikiran mereka, kehidupan mesti diubah. Mereka sudah ada idola yang berbaris di persada industri 'tarbiyah' songsang tanah air kita. Bangga kalian?

Jangan terlalu obses melabelkan orang lain, kita pula bagaimana? Penonton yang berkaca mata hitam dengan tangan kanan ligat menjunjung alat kawalan dan kiri setia men'sms ' pejuang pilihan.

Adakah kita rela menyambut isu pencabulan Gaza ini sama persis sambutan rancangan realiti yang berderet di televisyen kita.

Ramai manusia membanjiri dewan sebelum siaran langsung ke udara, mengangkat sepanduk lima meter lebar, meyokong peserta pilihan mereka dengan pelbagai slogan dan teriakan.

Bagi yang sensitif pula, dengan mudah mengalirkan air mata meyaksikan sejarah hitam tepalit pada batang tubuh peseta undian mereka tatkala nama diumum si pengacara malam sebagai pemilik troli yang bakal diusung keluar dari medan juang.

Usai musim satu,dua,tiga dan seterusnya tamat, tiada siapa yang mengenali mereka, hanya tinggal nama, andai yang masih bernafas cuma sekerat dua, yang berbaki ibarat habuk hitam dan debu tanah yang ditiup udara.

Jangan salah anggap, bukan niat untuk menyamakan isu ini dengan isu Palestin, isu ummat Islam sejagat.
Cuma apa yang membimbangkan seandaianya sambutan dan keprihatianan manusia yang kononnya mengaku saudara sepercaya dengan syuhada' Gaza terhadap isu ini sekadar melepaskan batuk di tangga, hangat-hangat tahi ayam, hingga baunya juga hilang diresap nafas sorakan hedonisme.

Adakah dengan gencatan senjata yang tidak pasti bertahan berapa lama, ini bermakna kita tidak wajib lagi mengangkat tangan kaku kita untuk mengitip doa buat saudara kita.

Kita sudah boleh kembali menyuntik dan membantu perkembangan Hollywood, menanti saat pelancaran filem-filem baru lakonan pelakon-pelakon terkenal Yahudi, mengikat diri di bangku penonton sambil menghirup Cola-cola dan mengunyah Kit Kat.

Sudah puas menikmati filem itu, kita mencari ruang menyelit untuk menyaksikan lagu mana yang dinobatkan sebagai Juara Lagu. Inilah maju, kononnya.

Jika dua tiga minggu ini kita rela memilih seluar tidak berjenama,jangan kita kembali menunding jari pilhan kepada abang si penjual untuk membalut dua kaki dangkal kita dengan Levis.
Jika sebelum ini kita berusaha untuk mengelak menyumbang memberi makan kepada anjing-anjing dunia, jangan kita kembali menghulur simpati kepada mereka.

Dua hari lepas baru saya menyaksikan beberapa minit saat akhir dua perlawanan bola sepak antar dua negara Arab. Pemimpin dan pemain pasti bangga dengan sokongan padu tidak kira lapisan umur , bercorakkan bendera negara di muka dan rambut mengurai di balik kerudung, masing-masing menitis air mata tatkala pasukan mereka tumpas di tangan lawan. Sokongan padu yang tidak berbelah bagi, di saat ada yang lebih memerlukan sokongan itu.

Jangan kita jadi penonton yang menepuk gemuruh dan akhirnya berdengkur di tilam empuk usai penat menyaksikan realiti yang mencelah di lipatan dunia kala ini.

Jangan relakan.

-tinggal tiga paper lagi sebelum berangkat pulang ke tanah air
-bittaufiq buat semua
-PERTAMA kali ketiga bakal menyusul tiba, tapi 'mahasiswa' tidak dapat join..huhu. selamat mematangkan ideologi mahasiswa muslim

Saturday, January 17, 2009

Pecah

Aku.

Kau.

Mereka.

Hakikatnya,

Kita!

Thursday, January 15, 2009

Nosocomial Infection

Dia membelek-belek helaian-helaian kertas yang tersusun rapi di atas mejanya.
Kanta matanya digerakkan sedikit ke atas bagi memperelok pembisaan cahaya yang membantu penglihatan anak matanya yang telah berusia lima puluh tahun.

Dr.Mahathir Iskandar, Ketua Jabatan merangkap Pakar Perunding Dermatologi menggerak-gerakkan sedikit hujung kakinya yang kekejangan usai melewati lorong-lorong wad yang menempatkan ratusan pesakit di bawah jabatannya.

Dia menghela nafas lega, matanya tertancap pada bingkai gambar yang terpamer molek di dinding kamar pejabatnya.

Seorang graduan yang bejubah biru menguntum senyum dengan segulung ijazah tersemat dijemari kanan. Foto yang diambil usai majlis graduasi kedoktoran yang melayakkan dia melibatkan diri sebagai pengamal perubatan yang dipandang tinggi status letak duduk bidang ini oleh seantero masyarakat dunia.

"Masuk". suara garaunya memecah deruan penyaman udara usai ketukan pintu kayu jati kedengaran.

Dari kaca bingkai gambar yang ditenungnya kelihatan seorang lelaki tinggi lampai melangkah masuk.

"Assalamualaikum".

"Waalaikumussalam. Oh, Dr.Anwar, silakan duduk. ". jawab Dr.Mahathir Iskandar sambil memusingkan kerusi menghadap tampang yang menjenguk masuk ke kamarnya.

Pegawai Perubatan U48 lulusan Jordan University of Science and Technology ( JUST ) menghenyakkan punggung ke kerusi dengan penuh sopan sambil menguntum senyuman di bibir mulusnya. Namun, sedikit garis resah berjalur di raut wajah doktor yang baru sahaja melaporkan diri sebulan yang lalu di jabatan itu.

" Perkara apa yang ingin Dr.Anwar maklumkan kepada saya. Ada masalah yang timbul? "
Dr.Mahathir Iskandar dapat membaca riak wajah anak muda dihadapannya.

" Dr., sebenarnya saya cuma nak maklumkan satu perkara. Saya sudah dapat laporan daripada Infection Control Commitee. Keadaan membimbangkan. Hasil laporan 2008,kadar nosocomial infection meningkat di jabatan ini. "

Dr.Anwar menerangkan kondusi kritikal yang perlu diambil tindakan segera. Nosocomial infection merupakan jangkitan yang diperolehi pesakit sepanjang keberadaan mereka di hospital berkenaan. Walhal, mereka tidak menghidapinya sebelum ditahan di wad hospital.

Kedutan di dahi Dr.Mahathir Iskandar berganda. Fikirannya ditujah hebat andaian persoalan yang bakal diajukan oleh Pengarah Hospital dalam perjumpaan bulanan ketua-ketua jabatan satu jam lagi. Dia kecut perut untuk bersemuka dengan Dr.Malik Khomini, Pangarah Hospital yang terkenal dengan misainya yang melentik tajam melawan graviti, lambang ketegasan pentadbir hospital itu.

" Apa kes nosocomial infection yang meningkat mendadak ini, urinary tract infection ( UTI ) ? Post surgical wound infection ? Lower respiratory tract infection ? Septicemia? ". Semua jenis nosocomial infection yang sering meledak diajukannya kepada Dr.Anwar, dia diburu rasa bimbang yang menusuk hatinya.

Belum sempat Dr. Anwar menjelaskan, dia kembali menyoal.

" Dalam laporan itu, apa faktor utama kes ini berlaku, adakah kerana kakitangan kita tak mengikut prosedur yang telah digariskan dalam panduan pencegahan jangkitan penyakit?? Bukankan kita baru selesai melancarkan kempen " Jom Cuci Tangan ". Tak kanlah perkara semudah ini yang diperkenalkan oleh Ignaz Semmelweis, Father of Hand Washing berat untuk dipraktikkan oleh doktor dan jururawat di sini. Ijazah sahaja menggunung tinggi, tapi tidak boleh diharap langsung. "

Dr.Mahathir Iskandar mendengus marah, dia terus membuat kesimpulan melulu tanpa menunggu jawapan dari Dr.Anwar.

" Sebenarnya bukan begitu ".

" Habis? ".

" Kes ini lebih berat dari yang tercatat dalam ilmu kedoktoran yang kita agung-agungkan tatkala ini. Mereka mengalami penyakit PADRA. "

Terbeliak bebola mata Dr.Mahathir mendengar butir bicara itu. Sepanjang dia terjun ke bidang ini, sesaat pun telinga capangnya tidak pernah menangkap nama penyakit itu.

" Awak biar betul. Penyakit mana asal usulnya ini, dari Timur Tengah ke? Jangan-jangan awak penyebarnya. "

" PADRA maksudnya ' Putus Asa Dari Rahmat Allah '. Penyakit ini lebih bahaya dari segala penyakit yang menduduki carta penyakit berbahaya yang dikeluarkan oleh WHO. " ujar Dr.Anwar.

" Kenapa berbahaya? Sudah terbuktikah ? " Dr.Mahathir kembali menduga.

" Ya, dalam tempoh seminggu ini sudah tiga kes pesakit cuba membunuh diri dek kerana tidak tertanggung kesakitan jasad mereka. Hakikatnya jiwa mereka yang menderita. "

Dr.Mahathir menelan air liur meskipun rongga mulutnya kering.

" Apa pucanya PADRA ini merebak ? "

" Hasil kajian dan penelitian, punca utama adalah pengabaian satu kewajipan yang besar. "

" Maksud kamu, prosedur membasuh tangan? ".

" Dr.Mahathir, ini bukan soal membersihkan tangan sahaja, ini soal menyucikan jasad dan rohani. Ramai dikalangan pesakita yang tidak menunaikan solat lima waktu. Mereka menyangka kewajipan solat ini gugur tatkala mereka diuji kesakitan. Apa yang merumitkan keadaan, ramai juga kakitangan jabatan ini lalai dalam menunaikan kewajipan ini. Ini punca sebenarnya! " Dr. Anwar menjelaskan dengan penuh rasa kesal.

Muka Dr.Mahathir Iskandar merah padam, telinga capangnya bertukar warna. Segala butir kalimah itu tidak bisa dinafikannya. Malah, terkena tempias di batang hidungnya yang sedikit penyek itu.

"Jadi, apa cadangan kamu untuk kita atasi kes ini? Saya perlukan cadangan segera kerana sebentar lagi saya ada meeting bersama Pengarah Hospital. Mati saya dibuatnya nanti. "

" Kempen JOM SOLAT ."

" Berapa hari? Seminggu? Dua? "

" Sampai bila-bila. Dakwah itu tiada had masa. Ini tanggungjawab kita semua. "

Dr.Anwar kembali menyambung tugasan, meninggalkannya seorang diri yang masih dihurung rasa bersalah.

Dr.Mahathir Iskandar mengemas fail-failnya dan memasukkan ke dalam beg bimbit yang diperbuat dari kulit buaya. Kakinya melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat dengan penuh debar.

Semua mata-mata milik ketua-ketua jabatan dan seorang lelaki bermisai lebat di hujung meja bulat merenung ke arahnya.

" Apa penjelasan kamu ? ".suara garau Dr.Malik Khomini bergema dan menyusup masuk ke gegendang telinganya, geteran itu memalu degupan jantungnya.

" Jangan bimbang, jabatan kami akan melancarkan kempen JOM SOLAT ".

Semua ahli mesyuarat memandang tepat ke arahnya, serentak ketawa terbahak-bahak sehingga mengalir air mata.

Dr.Mahathir Iskandar terpinga-pinga.

Wednesday, January 14, 2009

Puisi Malam Munajat

Malukanlah Abangmu.

( Puisi buat adikku di Gaza )


Adikku,

Biarkan abang malu,
Malu menghadap sekujur tubuh kaku,
Berjelejeran darah likat mu,
Sedang sungai air mata abang kekal membeku.
Luka menyaluti tubuh dinginmu adikku,
Tubuh abangmu panas membisu.


Adikku,

Biarkan muka tembok ini memerah malu,
Tatkala kau berzikir meminta meronta dibantu,
Abang-abang menyahut seruan nafsu,
Dek hati abang yang berkerikil batu,
Tubuh kecilmu digilis,diracik,dicincang,
Abang berbaring bersenang lenang,
Umi,abi, akhimu menyahut seruan jihad,
Abang-abang masih dirantai maksiat.


Adikku,

Malukanlah si tua ini,
Usiamu memerah, jiwamu menyala,
Sedang kami usia berjela, jiwa kami melemah punah,
Ketika kami menginjak dewasa,
Adik memang tidak bisa memberi sebarang apa,
Kerana hanya berpunya darah dan air mata.
Tatkala usia adik direncat syaitan manusia,
Abang juga tidak memberi sebarang makna,
Bahkan senjata dan peluru galang gantinya,
Hinakanlah abang-abang mu.

Adikku,

Malukanlah insan ini yang kononnya berjihad di lorong ilmu,
Walhal jihad palsu itu bersulamkan nista dan murka,
Sering leka, menjemput diri ke lubang dosa,
Tatkala adik bangkit di ujian berdarah,
Ramai abang syahid di ujian kuliah,
Mengaku pejuang sedang bertingkah sumbang,
Mengata pembela sedang ketagih noda.


Adikku,

Doakan abang-abang mu kembali kepada agama,
Biar kami jadi abang berjasa,
Jangan kami jadi abang durhaka,
Menabur janji manis di mulut berkumis,
Namun hati hitam berbau hamis.


Adikku,
Ingatkan bahawa abangmu tidak punya banyak masa,
Masa muda belum tentu merasa tua,
Ingatkan abang agar tidak tersembam di neraka dunia,
Agar menjejak adik bersemayam di syurga sana,
Doakan abangmu tersentak jiwa,
Hati yang membatu mencair,
Biar sungai air mata mengalir,
Biar ego lelaki yang bermain dibibir diusir,
Agar lahir seorang abang pembela,
Untuk adik-adik di sana.



-terima kasih kepada semua yang sahabat yang sudi menerima hadiah puisi ini sebentar tadi. moga mejadi pengingat diri saya yang melafazkannya dan buat kalian yang membaca dan mendengarnya.
-syukran buat pemberi hadiah cute. Ada apa-apa simbolik ke. comel..hehe
-sama-sama kita islah diri dan seru yang lain.

19+1?



18+1=19

Usia di hujung belasan.
Alhamdulillah, semalam saya sudah sempurna dua pekara.

Pertamanya, kuliah saya untuk semester pertama tahun kedua di JUST telah disempurnakan meskipun nota kuliah masih bertimbun-timbun untuk dihadap dalam tempoh dua minggu ini.
Keduanya, saya sudah melepasi usia 18 tahun, meninggalkan beberapa lagi 'adik-adik' yang masih memegang simbol 18 di usia mereka. :)

Saya ada satu hobi. Hobi saya yang berkaitan dengan usia.
Saya suka menjadikan saya setahun lebih tua. Maklumlah, hidup sekelas dengan 'abang-abang' dan 'kakak-kakak' semenjak dari darjah lima.

Kali pertama saya masuk ke darjah lima, adalah seorang 'kakak' yang mengecil-ngecilkan saya. Usai keluar keputusan pertengahan tahun, pengecilan terhadap saya berkurang mendadak gara-gara saya duduk di tangga kedua, di bawah seorang abang. Kenangan lama yang sengaja saya kenang kembali tatkala usia mengejangah tua. Alhamdulillah, saya dan bersama 'kakak' dan abang tersebut kini sama-sama melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, satu di Indonesia, seorang bakal terbang ke India dan saya yang sudah dua kali menyambut hari lahir di bumi bertuah Urdun ini.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula..

Sekarang saya mahu mengenang zaman sekolah menengah pula. Rata-rata junior bawah saya memanggil saya gelaran "abang", mungkin kerana tidak tahu usia sebenar saya dan tertipu dengan kematangan saya ( matang ke? :) ). Apabila mereka tahu identiti sebenar saya, ada yang terus memanggil abang dan ada yang lebih selesa memanggil nama saya. Saya tidak kisah kedua-duanya, tetapi saya terpaksa mematangkan diri kerana terpaksa menjadi abang kepada rakan-rakan seusia. Ada yang datang ke bilik saya meminta pendapat dan nasihat,semua itu menjadikan saya dewasa dari usia sebenarnya. :).

Alhamdulillah.
Allah telah meminjamkan nyawa seusai saya menjadi juara di rahim ibu, hinggalah saya berkelana di bumi Jordan, negara yang kini ditohmah menembak ke arah tentera Israel.

19 tahun.
Usia saya telah bertambah setahun berbanding semalam.
Semakin bertambah usia, semakin menghampiri saat dicabut nyawa.

Ada seseorang pernah komen di blog saya dalam entri 2009 : Akhir di hujung belasan.

" cthla: kalau naqeb skrg dah 19 tahun,tempoh yang lama,agak2 apa yg kita dah sumbangkan utk agama Allah? (soalan ni pernah ditanya kpd saya).Sebabnya,kalau sesebuah negara,dlm tempoh 19 tahun,mcm2 yg boleh berlaku,dan kita?"

Betul. 19 tahun bukan satu tempoh masa yang singkat.
19 tahun merupakan usia yang pemuda. Zaman yang sewajarnya menjadi pembela agama.
19 tahun bukan waktu berfoya-foya di zaman remaja sebelum melangkah ke zaman retua.
19 tahun belum pasti melangkah ke alam puluhan.

"Ya ALLAH, jadikanlah peristiwa Gaza ini sebagai titik tolak untuk syabab dan banat umat ini kembali kepada agama mereka". Menusuk hati para jemaah, petikan doa qunut nazilah yang dibaca oleh Syeikh Ma'mun di Masjid Jamiah Yarmouk.

Sahabat-sahabat pembaca blog ini, doakan saya dan kalian semua menjadi syabab dan banat yang menjadi pendokong agama tatkala ummat Islam di Gaza dibedil tanpa perimanusia.

Doakan agar usia yang kita yang meningkat ini menjadi penyambung mata rantai perjuangan usia syuhada' yang terkorban membela kesucian Islam.

Saya menulis tentang peningkatan usia ini sekadar untuk mengingatkan saya bahawa usia
saya semakin meningkat dewasa.

Tanggungjawab melebihi masa yang ada.
Saya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab semata-mata tertipu dengan menyangka saya punyai banyak masa. Kalian jangan tertipu sama.

Mohon ditegur agar tidak ku tersungkur, moga diperingat agar tidak ku sesat.
Saya memerlukan nasihat dan doa kalian.

-selamat menghadapi final exam buat sahabat-sahabat JUST
-doakan saudara kita yang mengalami 'exam' yang lagi berat di Gaza sana
-maaflah entri kali ini hanya mengungkai kenangan lama :)

Friday, January 9, 2009

Aku Seorang Doktor

" Ok. Hujung minggu ni Man balik kalau free. Mak bukan tak tau kan Man sibuk. Banyak patient kebelakangan ni. Ok. Bye. "

Sepi.

Talian dimatikan walaupun suara anak yang dikandung belum puas kedengaran.
Rindu si ibu yang sudah bergaris tua di raut wajahnya masih belum terubat dek alasan yang sering dihidangkan oleh anak tunggalnya.

"SIBUK".

Razman mencapai kot putihnya yang menjadi identiti pengamal perubatan di masa kini lalu bergegas menuju ke ruang pembedahan.

" Encik jangan risau. Dia mengalami kecacatan jantung yang dikenali sebgai Patent ductus arteriosus (PDA). Terdapat saluran darah menghubungkan aorta dan arteri pulmonary anak Encik. PDA yang kecil boleh ditutup menggunakan penutup khas tanpa pembedahan jantung terbuka. Oleh kerana kes ini melibatkan PDA yang besar, anak Encik tetap memerlukan pembedahan jantung untuk menutup saluran. Jangan risau, serahkan kepada saya. Saya akan cuba sedaya upaya. " jelas Dr.Razman kepada bapa pesakit dengan penuh keyakinan.

Si bapa hanya mengangguk akur walaupun tidak menangkap sepenuhnya butiran penjelasan Dr.Razman.

Satu jam.
Dua jam.
Tiga jam.
Berjam-jam.

Dia keluar dengan penuh lega. Operasi pembedahan jantung seorang kanak-kanak berjaya disempurnakannya dalam tempoh kurang enam jam. Kelegaan itu diangkat menjadi kebanggaan kerana dipuji oleh rakan sejawatan mahupun orang bawahan. Kebanggaan itu mengutumkan senyuman tatkala dipeluk oleh si bapa kepada pesakit muda yang berjaya diselamatkannya.

Dr.Razman.

" Ya, akulah seorang doktor yang terbaik!". bisik hati kecilnya.

Dia memandang jam analog besalut emas di pergelangan tangannya , serentak dengan itu perutnya berkeroncong dan meronta-ronta meminta untuk diisi.

Langkahan kakinya itu dihalakan ke kafeteria ditemani oleh seorang wanita ayu disisi kirinya. Wanita itu bertudung litup dan ditangannya turut sama mengalas kot putih bersih.

Mereka berjalan melewati bilik-bilik pesakit yang menjadi tetamu istimewa di hospital yang tersergam indah.
Pemandangan hospital itu tidak ubah seperti penjara sunyi tatkala terik mentari dikalahkan sinaran bulan purnama di malam hari.

Pesakit-pesakit ramai telah dibuai mimpi untuk melupakan kesunyian dan kesakitan buat sementara. Ada juga yang merintih di malam hari mengenang dosa yang bertimbun sedang nyawa bila-bila masa bakal bercerai dari jasadnya.

Kafeteria lengang, ramai yang sudah pulang.

Dr.Razman dan Dr.Nurul duduk saling berhadapan di sudut kafeteria bersebelahan dengan sebuah jendela.

" Abang, Nurul nak cakap sesuatu boleh? Abang jangan marah ya. "

" Cakaplah, perkara apa yang awak nak cakap sampai takut saya marah? "

" Abang tak rasa bersalah ke? Kita dah empat bulan tak jenguk emak."

" Awak kan faham. Kita ni doktor, tugas kita merawat orang yang sakit . Kalau emak tu sakit, saya sanggup balik malam ni juga. "

Nurul tertunduk sayu mendengar jawapan dari suaminya yang sudah banyak berubah.
Suami yang dahulu dikenalinya sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya, sangat menghormati orang dan merupakan pemuda yang berjuang di medan dakwah semasa di alam mahasiswa. R

" Kita mahasiswa Timur Tengah. Tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Ingatlah sahabat-sahabat, kita tidak boleh pulang ke tanah air semata-mata untuk megah dengan kerjaya kita,jangan kita terlalu menjaga periuk nasi kita hinggakan kita lupa tanggungjawab kita kepada keluarga,bangsa dan agama. Kita adalah pemuda, dan pemuda tidak boleh dihadkan peranannya. Kita perlu lakukan perubahan! "

Kata-kata yang dilafazkan oleh Razman tatkala menjadi ahli panel forum " Menjejak Roh Mahasiswa Timur Tengah " masih terngiang-ngiang di sudut deria pendengarannya.
Nurul ketika itu menjadi penonton di sebelah mahasiswi sambil jemarinya ligat menyalin butir bicara syabab yang petah berkata-kata itu.

Kini dihadapannya, pemuda itu hanyalah seorang doktor yang hanya mementingkan kerjaya hingga lupa tanggungjawab sebagai anak kepada ibu yang telah banyak berjasa.

" Ha, apa yang awak menungkan tu. Saya nak ke bilik rehat, malam ni saya oncall. Awak baliklah dulu berehat. Anis kat rumah tu mesti dah tidur lena. "

Razman menghulurkan not 10 lalu berjalan keluar dari kafeteria tersebut meninggalkan Nurul yang memendam rasa hiba dan kecewa dengan suaminya.

Razman memejamkan matanya seketika. Fikirannya terawang-awang, virus keletihan masih belum beransur hilang.

" Dr.Razman, bangun! Ade kecemasan! Disaster!!! " telinga nipisnya menangkap suara itu.

Ya, Allah.

Kondusi hospital yang baru sebentar tadi lengang bertukar lintang pukang.
Darah membanjiri ruang legar dihadapannya. Puluhan pesakit mengerang kesakitan, belasan sakit sudah kaku tanpa pergerakan.

Dia terpaku, atma kedoktorannya lenyap tatkala itu, seperti ada sesuatu yang mengunci perjalanan impuls yang menghantar maklumat melalui sistem saraf tunjangnya.

Nurul!!

Dia kembali bernyawa lantas dengan degupan jantung yang begitu kencang, dia mencari-cari isterinya.

Kot putih bermandi darah merah!!
Ya, itu milik Nurul. Dia pasti. Degupan jantungnya terhenti seketika, darahnya berhenti mengalir melintasi pusingan sistemik dan pulmonari, lantas Razman seperti mayat mati.

"Tidak, Nurul!!!". Razman menjerit sekuat hati.

" Abang..". suara dalam esak tangisan memanggilnya.

Razman menoleh 180 darjah. Lega. Namun kelegaan itu hanya sementara melihatkan dua bebola mata Nurul merah dan berlinangan air mata. Di pangkuan wanita bekulit kuning langsat itu terkujur sebatang tubuh kecil yang dibasahi darah segar.

" Anis!! ".

Razman berlari yang memeluk tubuh kecil itu, diciumnya berkali-kali anak tunggalnya yang selalu ditinggalkannya.

" Jahanam, siapa punya angkara! "

" Tentera IDUHAY telah menyerang bandar kita habis-habisan. Angka korban telah mencecah ratusan. Angka yang tercedera telah mennjangkau ribuan. " Nurul menerangkan dengan nada hiba.

Razman menggenggam penumbuknya. Dipulas-pulas genggaman padunya tanda amarah yang menyelebungi diri.

"Dr.Razman, cepat. Ada seoarang wanita tua cedera parah terkena serpihan bedilan bom."

Wanita tua?

Hatinya tergerak untuk bangkit menuju ke kamar kecemasan.
Dia terlewat, pesakit itu terlebih dahulu pulang ke tempat asalnya, tempat dimana semua mahluk bernyawa akan kembali kepada Pencipta.
Tubuh cengkung itu masih terbalut kemas telekung putih yang becorakkan tompokan dan percikan darah.

Darah itu darah yang diwarisinya.

"Mak!!"

Dia mengoncang jasad tanpa nyawa itu. Jasad yang pernah terluka tatkala mencari pucuk ubi buat santapan makan tengah hari mereka dua puluh lima tahun yang lepas. Nyawa yang pernah besabung untuk melahirkannya ke dunia tiga puluh tahun yang lalu.

Kini, jasad dan nyawa itu telah terpisah, Razman meratapi sekujur tubuh yang telah lama tidak dipeluknya itu.

" Mak, ampunkan Man mak! "

Mak!!

" Doktor, doktor. Bangun doktor. Ada panggilan dari Dr.Nurul. Katanya mak Doktor tengah tenat kat kampung. "

Astaghfirullah.

Razman mencapai kunci keretanya lalu melangkah laju bertemankan linangan air mata.

Televisyen yang ditontonnya sebelum melelapkan mata terus memaparkan kekejaman tentera Israel yang terus membedil batang tubuh rakyat Palestin hatta tampang anak-anak kecil seusia Anis dan tubuh ibu-ibu tua seusia ibunya turut dibaham tentera biadap yang terus bermaharajalela.

Razman memandu pulang menuju ke kampung halaman.
Hatinya tidak putus berdoa akan keselamatan keluarganya dan juga saudaranya di Gaza.

Ya, mereka semuanya bersaudara!

Thursday, January 8, 2009

Malam Yang Menginsafkan

Ini kisah malam semalam.
Cawan saya masih berasap. Saya baru hendak membuka paket biskut untuk mengisi perut sambil mengulangkaji subjek makmal Genetic.

Allah!!
Hospital!
Allah!!
Hospital!

Saya tersentak mendengar suara itu. Suara jeritan meminta pertolongan.
Saya membuka tingkap dan menjengah keluar.
Saya terlihat dua orang lelaki, seorang sedang duduk bersimpuh dan seorang lagi sedang berlari meminta pertolongan.

Sejujurnya, saya menyangka mereka adalah lelaki-lelaki Arab yang sering bergaduh di hadapan bangunan rumah saya. Bayangkan pada tahun 2008 sahaja, begitu kerap saya mendengar siren kereta peronda polis menziarah kawasan ini. Saya sudah lali. Mereka terkenal dengan sikap panas baran apabila bertengkar, tetapi mudah memaafkan.

Saya renung betul-betul.
Dia senior saya!
Darah mengalir membasahi kakinya.

Saya mencapai kot lalu berlari menuruni tangga.
Saya rasa bersalah kerana tidak peka, seolah-olah seandainya dia bukan senior saya, saya akan membiarkannya.
Pertolongan itu tidak membezakan bangsa.

Beberapa saat kemudian, ramai yang mengerumuni.
Saya dan seorang lagi yang menjadi mangsa menahan beberapa teksi tetapi hampa. Rata-rata tidak memberi respons walaupun kami mengatakan darurat.

Alhamdulillah, akhirnya dia dikejarkan ke hospital dengan sebuah ambulans.

Hargailah nyawa

Memang malang tidak berbau. Siapa sangka dalam keadaan waktu yang masih awal dan kawasan yang bercahaya perkara sebegini boleh berlaku.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Itulah sebuah pepatah yang harus diingati oleh semua. Semua langkah-langkah keselamatan dan tindak-tanduk kita perlu dinilai agar kita dapat hindari dari segala musibah.

Dalam apa jua keadaan , jangan kita lupa akan keselamatan kita.
Tidak kira tatkala berjalan seorang diri ke rumah kawan sehinggalah menyewa kereta
ke Ammman, jagalah keselamatan kerana kita membawa amanah di sini. Jangan kerana kecuaian kita, kita sesali tidak sudah.

Peraturan demi kebaikan

Saya teringat dalam pertandingan debat Piala Presiden Permai, saya pernah membangkitkan tentang isu Qarar Keselamatan.

Qarar keselamatan ini bukan tujuan untuk mengongkong ahli, tetapi untuk mewujudkan suasana saling mengingati dan menjaga keselamatan masing-masing kerana kita semua jauh dari keluarga.

Kepada kaum lelaki, jangan menganggap kita adalah kaum yang memiliki kudrat yang kuat, maka kita tidak perlu terikat dengan peraturan keselamatan. Ya, memang kita diberi kebebasan, namun bukan bermakna kita boleh mengabaikan apa yang sepatutnya dijaga oleh semua.

Amalkan Mathurat.



Baru-baru ini JKK Pembangunan Rohani telah mengedarkan risalah Mathurat kepada ahli sebagai kempen mengamalkan zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Annas R.A., Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
" Siapa yang mengucapkan di waktu pagi ucapan:
أعوذبالله السميع العليم من الشيطان الرجيم
Maka dia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga petang."
( Riwayat Ibn Al-Sunni )


Membaca zikir Mathurat ini bukan tatkala kita ada kelapangan baru lah hendak mencapainya, namun kita seharusnya beriltizam membacanya dan menghayati segala kandungi ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang terkandungnya.
Sama-sama kita menghidupkan sunnah Rasulullah ini.

Saya menulis sekadar untuk peringatan buat diri dan sahabat-sahabat pengunjung blog ini. Moga selepas ini kita sama-sama cuba saling mengingatkan sahabat-sahabat kita untuk meningkatkan waspada. Sama-sama doakan senior saya cepat sembuh dan kembali meneruskan kuliah.

Sama-sama doakan keselamatan kita dan ummat Islam di Gaza.

Wednesday, January 7, 2009

Jalinkanlah Hubungan

Senyap seketika.

Handphone saya hampir tidak berfungsi sejak dari pagi hingga ke lewat petang.
Tiada talian yang masuk dan juga saya tidak mampu membuat hubungan dengan manusia di luar sana, di Irbid mahupun Malaysia, kedua-duanya sama.



Terputus hubungan.

Saya tidak tahu apa puncanya. Apa yang pasti semua pengguna rangkaian Orange mengalami masalah yang sama.
Di saat in baru saya terasa betapa pentingnya medium komunikasi ini, yang melicinkan segala rutin harian dan keperluan. Alhamdulillah, internet tidak mengalami masalah yang serupa, jikalau tidak, alamatnya sukar untuk kami mendaftar bagi semester kedua.

Kali pertama saya memiliki handphone ialah sewaktu di tingkatan tiga. Handphone saya bersaiz agak besar. Saya pernah curi-curi bawa handphone yang besar itu ke asrama selama seminggu tatkala kami pelajar tingkatan tiga dikerah menjalani program ala-lala PLKN, namanya PKS ( Program Khidmat Sekolah ). Semuanya gara-gara merasakan betapa pentingnya komunikasi dengan dunia luar. Saya tidak mahu menjadi pelajar asrama yang terperap bagai katak di bawah tempurung. ( alasan yang tidak wajar dicontohi :) ).

Hubungan Tanpa Pertalian

Kita akui bahawa kita akan senantiasa merindui insan yang dicintai dan namanya tersemat di sanubari.

Ibu, ayah, adik-beradik, sahabat, guru, tidak kira siapa yang mewarnai jalur warna hidup kita, pasti kita mahu hubungi mereka apatah lagi tatkala menerima khabar mereka ditimpa musibah yang tidak dipinta.

Saya juga merasai begitu tatkala menerima khabar dari Malaysia.
Anak mana yang tidak risau akan kesihatan orang tuanya.
Saya rasa mahu terbang di saat itu.
Sayang dan rindu.

Namun, samaada kita sedar atau tidak, kita memiliki dan menjalin hubungan dengan jutaan insan tanpa talian. Insan yang kadang-kadang kita lupakan sedang mereka memerlukan bantuan.



Hubungan yang terjalin tanpa perlu mendail sebarang nombor.
Hubungan yang terjalin walaupun kita kelekaan.
Hubungan yang terjalin tanpa kerinduan.
Hubungan yang terjalin tanpa sedar dan ramai yang memutuskan.

Mereka ada hubungan dengan kita.
Sejauh manakah kita merasai hubungan itu?

Mereka kesakitan, wajarkah kita sambut dengan kelekaan??
Mereka kematian keluarga, haruskah menyumbang pula kepada kematian mereka??
Mereka mati demi kehidupan abadi, mengapa kita memilih hidup untuk kematian duniawi??

Siapa mereka?
Kita siapa?

Adakah mereka itu mereka.
Dan kita adalah kita!!!?

”Sesungguhnya semua orang yang beriman adalah saudara.” ( Al- Hujuraat: 10)

Korbankanlah sedikit juzu' waktumu demi menjalinkan hubungan dengan mereka.
Seandainya kita bisa menekan kekunci handphone untuk menghubungi insan tersayang,
apalah gunanya seandainya kita sukar dan payah mengangkat dua tangan pinjaman Ilahi ini untuk menghubungkan kita dengan mereka yang seharusnya kita sayangi melalui doa kepada ALLAH Maha Berkuasa.

Hubungilah mereka.
Jalinkanlah!

Monday, January 5, 2009

Muhasabah Cinta

Adha meyarung baju tebalnya lalu menghembuskan udara lantas mengepal membentuk wap yang sangat mengujakan pandangan . Semester pertama tahun keduanya akan berakhir hujung bulan ini setelah Adha melunaskan peperiksaan yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Tatkala ini sindrom cuti awal sangat ketara walhal doktor-doktor di kuliah masih setia menyampaikan ilmu di dada.

Semenjak dua ini banyak perkara yang mendorongnya memuhasabah diri, mengkoreksi jiwa yang satu pinjaman Ilahi ini. Tatkala Gaza dirempuh dari udara dan terus digempur dari daratan bumi Tuhan, masih banyak saudara sepercaya yang terleka di penjara
dunia.

Hijrah!

Itu sahaja perkara bermain di legar minda pemuda bertubuh kecil itu.

Satu bait kata-kata terngiang-ngiang di gegendang telinga tatkala mendengar ceramah seorang ustaz. Petikan dari sajak yang diabadikan di batu nisan seorang paderi:

Ketika aku di usia remaja,
cita-citaku adalah untuk mengubah dunia.
Tetapi apabila aku meningkat dewasa,
baru ku sedar bahawa dunia tidak pernah berubah.
Lalu aku sempitkan cita-citaku
untuk melakukan perubahan untuk mengubah negara.
Tetapi apabila usia ku telah bertambah aku lihat negara juga tidak berubah.
Dan apabila badanku lemah berada di perbaringan,
aku meletakkan cita-citaku untuk melihat keluarga ku berubah.
Tetapi yang nyata mereka itu tidak berubah.
Dan ketika di perbaringan nazak menunggu kematian,
kali pertama aku berfikir kalaulah yang pertama ku ubah adalah diri ku sendiri,
maka mungkin dengan memberikan contoh teladan yang baik,
keluargaku akan dapat ku ubah.
Dan dengan sokongan keluargaku mungkin aku dapat mengubah negara,
dan siapa tahu seterusnya aku dapat mengubah dunia.

Muhasabah

Dia tahu betapa banyak pun cita-cita yang dimiliki untuk mengubah itu dan ini, selagi mana dia tidak mengubah apa yang ada pada diri, ilusi akan terus jadi ilusi, tidak akan bertukar menjadi realiti.

Di harus muhasabah, muhasabah sejauh mana cintanya.

Muhasabah Cinta
Munsyid : EdCoustic

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Sunday, January 4, 2009

Bacalah Wahai Diri..




Sudah lama saya tidak mengembara dalam jalur tulisan yang penuh dengan ilmu dan liku.

Kembara saya tersusun kemas dan jarang disentuh. Seandainya disentuh pun cuma sesaat dua, mungkin beberapa helai juga.

Saya tidak habis menghirup kesejukan di Jepun.
Saya belum sudah merasai degupan rasa masuk ke Ramallah.
Saya belum mula mencari Fatimah.
Saya belum juga melihat Irbid dari kanta mata penulisnya.

Buku dan kitab lain saya tidak banyak mana.
Tidak sebanyak kitab karangan tokoh-tokoh ilmuan Islam.
Namun saya tidak menyudahi membacanya.

Jangan contohi saya.
Saya tahu kalian rajin dan tekun membaca.
Bacalah kalian semua.

Bacalah dengan nama Tuhan mu.



- selamat menghadapi final exam buat teman-teman.
-tiba-tiba bau hangit tatkala menaip, rupanya sobah saya sedang memakan kerusi kesayangan ini. Hati-hati lain kali.

Kudus

Darah merah bersalut debu tanah,
Bukti gugurnya syuhada' di jalan Allah.
Ruang legar udara telah lama di tarah,
Kini daratan digempur punah.
Dunia memandang sepi dengan mulut mengutuk,
sedang kepala satu mengangguk.

Kau saudara mereka,
Mereka saudara sepercaya,
Tangisan luka usah jadi gelak ketawa,
Derita jiwa jangan bisa jadi hati batu manusia,
Renunglah andai jasad kau yang digempur durjana,
Bisa kau leka dan alpa sebegini rupa?

Sehari, dua, tiga,
Kita berkira masa mendatang,
Mereka berkira angka yang pulang,
Kembali dari derita sementara ke syurga mulia,
Sedang kita terpenjara di dunia hina,
Leraikan belenggu rantaian nafsu,
Angkatlah senjata doamu,
Kudus buat saudara seaqidah mu.

Thursday, January 1, 2009

2009: Akhir di hujung belasan

2009.

Dua hari sudah berlalu. 2008 sudah jadi catatan lalu dalam hidup kita sama ada kita sedar ataupun tidak.

Saya hampir tidak merasakan bahawa 2009 sembilan sudah menjelma.
Hijrah lebih signifikan di saat ini berseli dengan peristiwa duka yang menimpa saudara kita yang begitu dekat dengan tempat mastautin saya tatkala ini.

Namun begitu, 2009 tetap perlu saya hadapi berbekalkan muhasabah diri sepanjang tahun-tahun yang sudah berlalu pergi.


Keluarga



Alhamdulillah, inilah keluarga saya yang terkini. Tiga hari kami bertarung, akhirnya piala dijunjung. Namun itu bukan tujuan kami.
Kami cuba mencari sedikit bekalan pengalaman sebagai aset untuk meneruskan sebuah kehidupan.

Tahniah saya ucapkan buat ahli PERMAI yang memeriahkan Debat Piala Presiden PERMAI kali ke-3. Semoga budaya perbincangan ilmiah sebegini dapat diteruskan agar kita tidak lesu apatah lagi tatkala suhu kini berlegar di tahap beku.

Debat VS Hebat

Ya, ramai dalam kalangan kita yang hebat bercakap terutamanya apabila di belakang orang ramai. Isi dan idea memang berjuta-juta, namun apabila minta disalurkan, masing-masing malu dan membisu.

Hebat pada hujah tatkala pendengar tiada, tetapi akhirnya menikus apabila ruang sudah dibuka. Alangkah bagusnya seandainya idea dan pendapat yang ada disalurkan dengan jalan yang sewajarnya dan berhemah agar segala manfaat dapat dikongsi bersama.

Berbicara tanpa ilmu ibarat tin kosong,manakala berilmu tetapi tidak disampaikan dengan baik ibarat tin susu penuh yang belubang- lubang, akhirnya susu terbuang tanpa sesiapa dapat manfaatnya.

Ilmu sahaja belum cukup menjadikan kita seorang yang bermanfaat andai wadah dan wasilah untuk menyampaikan ilmu tidak kita miliki.

Penulisan, pengucapan awam, hubungan baik dalam komuniti, segala-galanya tidak akan terbentuk dengan semula jadi, semua itu memerlukan usaha mencari dan memurni dari semasa ke semasa.

Kembali berfungsi

Pada saat ini, akal saya kembali kepada posisi asal yang sewajarnya diletakkan.
Berfikir sebelum berkata-kata, bukan berbicara baru menilai natijahnya.

Tahniah saya ucapkan kepada Suruhanjaya Khas Debat kerana mencabar mahasiswa lesu kita dengan isu-isu yang sudah pasti tidak pernah difikir secara timbang tara.

PPSMI Membantu.
Kebebasan Media.
Lagu-lagu Seberang Lebih Berkualiti.
Pengurusan Sumber Tenaga Manusia di Negara Kita Lemah
Mahasiswa Tidak Perlu Terlalu Lantang

Ini antara usul-usul yang diperdebatkan, dan turut sama diangkat dalam timbunan kelekaan dan kelesuan mahasiswa.

" PERMAI Masih di Takuk Lama, Salah Pimpinan "

Usul pertandingan akhir yang dekat di hati warga PERMAI. Usul ini saya kira sesuai untuk dijadikan muhasabah bukan sekadar pimpinan tetapi juga muhasabah buat ahli.

Jangan kita dengan mudah menuding jari, hingga kita lupa untuk mencerminkan diri.
Gerak kerja persatuan bukan terletak di pundak pimpinan, ia merupakan kombinasi dan sinergi antara yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin dan juga yang memberi tanggungjawab untuk dipimpin.

Sama-sama kita mewujudkan kesatuan, agar persatuan kita tidak menjadi badan yang hanya berlegar di takuk yang sama, sedang dunia pada hari ini memerlukan gerakan jemaah yang melahirkan produk yang turu bergerak dengan dunia semasa.

Mohon maaf andai ada yang terguris rasa tatkala penghujahan yang disampaikan berkaitan usul yang perlu diambil perhatian.

Sama-sama muhasabah diri sebelum kita di hisab nanti.

Di hujung belasan.

2009.

19 tahun.

Satu tahun lagi saya akan menjengah usia dua puluhan.

Namun, ajal maut di tangan Tuhan.

Gunakan setiap nafas pinjaman Tuhan untuk mencari keredhaan-Nya.

Menjejak roh kehidupan.


- Sama-sama doakan saudara kita yang dizalimi di Palestin. Moga Allah kuatkan mereka.