Friday, July 31, 2009

Santai sebentar

Alhamdulillah, baru balik dari Taj Mahal bersama YDP BKPJJ.
Sementara tunggu nasi dicerna, otak boleh sambung membaca, ada gambar ingin dikongsi dalam halaman yang banyak huruf dari gambar berwarna.


(i)

Hadiah dan cenderahati.
Pertama sekali, sorry buat yang memberi, tetapi gambar hadiah tidak muncul dalam gambar ni. Meja saya ada kapasiti. ;)
Hadiah dan cenderahati tidak perlu mahal-mahal kerana ia bukan dinilai pada mata,
tetapi pada hati, nama pun dah cenderahati kan.
Terima buat yang memberi.

(ii)
Ehem..ada muka ahli parlimen lepas terima watikah tak?
Gambar memang disengajakan tidak cerah untuk mengelakkan dicam dek penjenayah. ;)

(ii)

Gambar sebelum berpisah buat sementara.
Syihabudin, Naib Presiden merangkah Pengerusi MMY sesi 08/09 .
Maaf takde gambar kawan-kawan yang lain.
Ucapan saya, selamat berkhidmat untuk agama, masyarakat dan negara.
Moga kita bertemu di medan sana.

- Maaf buat yang pernah komen tentang gambar di blog saya yang kurang kualitinya,
almaklum hanya berkamera di hp E90 sahaja, tak mampu nak beli kamera yang besar-besar saiznya.

Thursday, July 30, 2009

Karya yang terindah

Penulis mapan.

Saya ada menyimpan cita-cita itu.
Untuk duduk sebaris dengan mereka yang berjuang dengan mata pena.
Yang menikam jahiliyah dengan sentuhan bahasa berisi fikrah.
Menulis dengan penuh jiwa dan tanpa putus asa.

Hilal.

Saya kagum dengan sahabat saya yang semakin laju dia mengorak langkah.

Saya?

Masih tersangkut dengan perancangan.
Penulisan yang semakin malap, tangan sudah kendur untuk menulis dengan jiwa bahasa.

Ah!

Saya tidak boleh tewas dengan perasaan mengalah.

Hilal pernah berbicara menyusup semangatnya.

" Orang yang hebat adalah oleh yang boleh berpersatuan, menulis, seimbang akademik. Orang yang hebat adalah orang yang bijak mengurus masa. "

Ya. Betul kata Hilal.

Saya mahu jadi begitu.
Yang hidupnya tersusun dan berhala tuju.

Dan fatrah ini memerlukan saya bermujahadah dan menumpukan mana yang lebih perlu.

Dan saya juga akan terus menulis, mungkin tidak sekerapa dahulu di halaman yang semakin lesu, saya akan terus menulis di jalan yang bakal saya dalam tahun yang satu.

Saya akan menulis jalur hidup yang saya impikan dalam sebuah persatuan.
Dan akan saya cuba terjemahkan kepada realiti kehidupan.

Kini, saya akan cuba ubah rasa kegembiraan.

Gembira apabila ada yang menawarkan diri bersama-sama menulis karya ini.
Teruja apabila ada yang sudi berkorban demi mencantikkan karya ini.
Bersedia untuk dikritik agar penulisan saya tidak tersasar dari jalan yang sepatutnya.

Akan saya dan rakan-rakan "penulis " yang lain cuba untuk memasukkan roh dalam karya ini agar mampu bangkit mengejutkan jiwa-jiwa yang alpa.

Doakan karya " PERMAI 09/10 " mencapai matlamatnya.

- menulis dengan jiwa memang berbeza dengan akal kepala

- tak sabar nak beraya di Jordan walau semua pakat nak balik M'sia ( baca dengan nada gembira ;)

Saturday, July 25, 2009

Julai

Bulan 7 yang banyak jalur warna dan sendu lagu.

Pilihan raya dan AGM telah berlalu.

3 orang ahli PERMAI telah kehilangan ayah atau ibu.

Seorang ahli kebakaran rumahnya di Malaysia minggu lalu.

Hari ini kepulangan sahabat-sahabat Iqtisod IKIP dan Abang Sipu.

Lorong tikungan yang kami tapak dalam bulan yang satu.



Ya Allah, kau kuatkan kami hamba-MU,

Tabah dan redha dengan ujian yang bertamu,

Perpisahan sementara yang diimpi kembali bertemu,

Di dalam syurga rahmat-Mu.


~muhasabah~

Tuesday, July 21, 2009

Transaksi

Alhamdulillah.

3 hari sudah AGM PERMAI kali ke-7 telah berlalu. Tahun ini adalah tahun kedua saya menyertai mesyuarat agung PERMAI, kedua-duanya saya tidak dapat menghadiri dari awal disebabkan pertembungan dengan peperiksaan. Tahun lepas saya tiba agak lewat, usai keputusan pilihan raya diumumkan, saya telah diberi amanah untuk menyertai barisan AMT PERMAI sesi 08/09.

Alhamdulillah, tahun ini saya sempat menyertai mesyuarat agung meski hanya separuh agenda mesyuarat telah berlalu. Sempat saya melihat respons dan kepekaan ahli tentang perjalanan persatuan. Tahniah saya ucapkan.

Sewaktu ucapan pembubaran oleh Presiden PERMAI 08/09, Ustaz Faiz atau nama famousnya di seantero Jordan ini, Ustaz BAHA, satu rasa lega dan syukur saya panjatkan kerana berjaya mengharungi segala cabaran dan tugasan sepanjang memegang jawatan Setiausaha Agung.


Banyak perkara yang saya belajar tentang berpersatuan. Jujur saya katakan, inilah kali pertama saya menjadi setiausaha, mengurus hal surat menyurat yang memerlukan formaliti, menyusun data ahli dan menyiapkan laporan aktiviti. Memang tidak dinafikan, tugasan saya banyak di hadapan skrin komputer, kesannya, kalau komputer buat masalah dengan saya, saya nak marah pun tiada gunanya. Sabar itu pengubat jiwa. :)

Sesi lepas juga banyak kenangan yang terindah. Menjadi pengarah Jom Korban dan dalam pada yang sama berganding bahu dengan Ikhwan dan Hilal dalam menjayakan teater sulong PERMAI berjudul ADHA adalah sesuatu yang tidak akan luput dalam lipatan kenangan.
Ada suka duka yang saya lalui sepanjang sesi lepas, ada jatuh bangkitnya. Alhamdulillah, saya punyai team yang banyak membantu saya yang muda ini, yang senantiasa memberikan sokongan dan panduan. Begitu juga kawan-kawan yang menyokong saya khusunya ahli rumah Bayt Nur yang banyak membantu di saat saya di'pinjam'kan kepada PERMAI buat setahun.

Usai majlis pembubaran oleh Presiden sesi 08/09 selesai, semua AMM kelihatan gembira , setahun sudah berlalu, akhirnya kami berjaya tiba di saat ini. Melihat PERMAI telah mengorak langkah laju di bawah pimpinan Ustaz BAHA. Alhamdulillah.

Presiden PERMAI di Hati 08/09

Di saat Pengarah SPR naik ke pentas, saya sudah mula berdebar. Belum sampai beberapa minit bergelar mantan MT PERMAI, adakah saya akan kembali semula.
Dan akhirnya, Allah telah mentakdirkan segala-galanya.

Presiden PERMAI sesi 2009/2010.

Saya menerima jawatan ini dengan redha. InshaAllah, saya akan cuba melaksanakan amanah Allah dan ahli PERMAI ini sebaiknya. Mohon kalian mendoakan saya agar diperkuatkan Allah dari segenap aspek untuk mengemudi bahtera persatuan zon terbesar di Jordan yang semakin bertambah ahlinya.

Doa dan sokongan kalian ku pinta.

Ya Allah Ya Tuhanku.

Engkau telah bebankan aku dengan

bebanan yang berat di dunia ini…

Maka Ya Allah,

ringankan bebanan aku pada hari akhirat nanti…

~Saidina Umar Al-Khattab~


-blog ini bukan blog rasmi suara Presiden PERMAI, ia masih blog peribadi saya, isu persatuan yang dikupas adalah pandangan peribadi saya
- gugup juga mula-mula nak perkenalkan diri kepada Dato' Duta dan berbual semeja, Alhamdulillah banyak yang dikongsikan kepada saya
- Ucapan Dato' Hasan Ali semalam memang mantap!

Sunday, July 19, 2009

Sekalung Penghargaan

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selesai sudah Mesyuarat Agung Tahunan PERMAI kali ke-7.

Saya mewakili barisan AMT PERMAI sesi 09/10 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami . InshaAllah, kami akan lakukan yang terbaik.

Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan juga diucapkan buat mantan Presiden, Ketua Helwi dan barisan AMM sesi 08/09 .
Tidak lupa jutaan terima diucapkan kepada Pengarah, Timbalan Pengarah dan AJK Pelaksana Mesyuarat Agung PERMAI kali ke-7 yang telah bertungkus lumus menjayakan mesyuarat kali ini.
Tahniah juga buat Jawatankuasa Pilihan Raya PERMAI yang telah berjaya mengorak langkah setapak ke hadapan dalam membuat perubahan dalam fasa pilihan raya yang baru sahaja berlalu.

Akhir kalam, sama-sama kita berganding bahu dalam menggerakkan PERMAI agar menjadi persatuan yang mampu membawa semua ahli ke arah redha Ilahi.

Yang Benar;

............ ......... .........
( MUHAMMAD NAQEB BIN SULAIMAN )
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI )
Sesi 2009/2010.

- Jom kita sahut slogan Semarak Ruh Perjuangan - ROQS 09 Irbid ( 23 Julai 2009 )
- Doakan saya ya sahabat-sahabat agar mampu menjalankan amanah ini dengan sebaiknya

Wednesday, July 15, 2009

HARAPAN

Dua hari lagi tempoh berkempen berlansung.
Jumaat ini pilihan raya PERMAI diadakan bagi memilih barisan kepimpinan.
Kempen maya semakin hangat ditambah dengan pembaharuan yang dijalankan oleh JPR PERMAI. Syabas saya ucapkan buat kalian semua yang telah memasuki fasa perubahan dari takuk yang lama.


Create your own banner at mybannermaker.com!



Sehari dua ini, ada yang menyuarakan kekecewaan kepada saya kenapa calon bersifat senyap?
Tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sedangkan dirinya dipromosi orang.
Kesannya, bagaimana ahli mampu mengukur kesediaan dah halatuju barisan kepimpinan yanga bakal diundinya nanti.

Saya terjeda, kerana saya salah seorang calon pilihan raya kali ini.
Fatrah terakhir sebelum menghabiskan sesi ini, banyak perkara yang saya perlu lunaskan menjelang mesyuarat agung hingga terlupa ada peranan yang perlu saya mainkan dalam memastikan kesinambungan pilihan raya kali ini, ada suara dari calon.

Manifesto VS Harapan

Tulisan saya bukan satu manifesto. Tetapi hanya sebagai harapan dari hati kecil saya agar mampu dijadikan kenyataan oleh semua yang terlibat dalam ruang lingkup PERMAI, yang bakal memimpin dan yang memberi kepercayaan untuk dipimpin.

1) Memaksimakan potensi PERMAI

Seperti semua yang sedia maklum, PERMAI akan mengalami satu fasa pertambahan ahli yang ramai, berkemungkinan mencecah 600 orang ahli.

Bagaimana PERMAI mampu meneruskan kemandiriannya dalam bergerak dalam tuntutan sedemikian seandainya kita selaku ahli membataskan potensi masing-masing.
Hanya menyasarkan penguasaan bidang-bidang tertentu kepada golongan tertentu sahaja.

Dari aspek teknikal multimedia, pengucapan, perkongsian ilmu, sukan dana apa sahaja lapangan yang ada, semua bagai sudah sebati dengan " muka-muka " khusus.

" Aku tak bolehlah. Ko bagila xxxxxx , dia kan selalu buat benda ni "

Kesannya, bakal wujud fenomena " mangsa persatuan " yang terbeban dengan tugasan dek kerana tiada kesudian orang lain dalam terjun bersama-sama memahirkan diri lalu saling berkongsi, bukankah erti hidup pada memberi ( Abu Saif ).

Begitu juga dalam jentera dakwah. Isu-isu yang berlegar dalam ruang lingkup melanggar syariat Allah bukan sahaja perlu dipertanggungjawabkan semata-mata kepada barisan kepimpinan yang tidak sampai 0.05 % dari jumlah ahli . Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua.

Harapan saya agar apa yang diperkatakan tentang PERMAI merupakan satu persatuan yang unik kerana mengabungkan pelajar dari aliran perubatan, pergigian dan aliran agama adalah sesuatu yang bukan indah khabar dari rupa. Pernyataan yang benar-benar diterjemahkan oleh kita!

Percayalah, setiap dari kita ada potensi untuk menguasai pelbagai lapangan yang akhirnya boleh bertindak sebagai jentera dalam membawa PERMAI ke landasan dan laluan yang tepat dan jelas, jauh dari kekaburan dan ketandusan.

2) Check and balance yang berterusan

Pemimpin dan ahli ibarat irama dan lagu, ibarat isi dan kuku, tidak boleh dipisah-pisahkan walau sesaat waktu.

Sudah saya katakan, bilangan AMM PERMAI adalah kurang 0.05% dari jumlah ahli. Maka, bakinya 99.95 % adalah terletak pada pergerakkan ahli.

Mana mungkin persatuan mampu digerakkan dengan mapan seandainya barisan pimpinan ibarat bertepuk sebelah tangan.
Mana mungkin halatuju persatuan dalam diluruskan seandainya pimpinan mengetepikan suara barisan ahli yang telah memberikan kepercayaan.

Check and balance dalam persatuan sangat penting.

Bayangkan jika tiada ahli yang lantang bersuara, pasti barisan pemimpin akan sedap terlena dan terleka meski bahtera sudah terpesong jauhnya.
Bayangkan kalau pemimpin tidak bijak bersuara dengan melalui pelbagai medium yang ada, pasti ahli terfikir urusan persatuan hanya yang berjawatan yang punya.

Maka kesannya, bicara soal PERMAI, seolah-olah bicara soal pimpinan.
Bicara soal ahli, ibarat bukan sebahagian dari persatuan.

Kita ibarat dalam sebuah bahtera, jika pecah , karam kesemuanya.

Ini adalah sebuah harapan yang harus saya dan kalian renungkan.
Sama-sama kita berdoa agar setiap fasa yang kita lalui dalam hidup bermasyarakat PERMAI diredhai Allah.

wasalam~

- hujung minggu ni ade exam NR, doakan kami
- buat pengunjung luar, maaf kerana isu yang saya tulis berlegar pada soal persatuan. InshaAllah akan saya titipkan sebarang cerpen dan nukilan sastera usai bertemu dengan masa yang mengizinkan saya

MEKAR

Johan Pertandingan Debat Antara Mahasiswa Malaysia Se-Jordan

Dari kiri : Abdullah Azzam, Afiq Muiz, Faiq Nabil, Naqeb Sulaiman

Penghargaan:
Senior-senior: Abang Nazim, Abang Halim, Abang Aizat
Presiden PERMAI
Semua ahli PERMAI yang menyokong

Monday, July 13, 2009

KEMATANGAN BERPERSATUAN : MAMPUKAH KITA ?



Alhamdulillah.

MEKAR MPPM selamat berlangsung meyaksikan Irbid berjaya membawa pulang 3 johan,
1) Debat
2) Persembahan Kebudayaan Syabab
3) Persembahan Kebudayaan Akhawat

Syabas saya ucapkan buat semua yang terlibat secara langsung dan yang turut menyokong.
Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan MPPM sesi 2008/2009.
Tahniah dan takziah buat barisan kepimpinan yang baru, semoga kalian berusaha memajukan MPPM ke arah persatuan yang relevan di mata ahli dan unggul di mata dunia.

Pilihan Raya PERMAI kali ke-6

Create your own banner at mybannermaker.com!


4 hari lagi pilihan raya akan dijalankan. Tahun ini kali kedua saya bertanding dalam pilihan raya PERMAI . Tahun ini,s aya sudah melihat sedikit perubahan dalam kepekaan ahli tentang pilihan raya.
Semoga " Pilhan Raya : Ibarat Melukut di Tepi Gantang " tidak berlaku dalam masyarakat berpersatuan PERMAI.

Menjelang pilihan raya kali ini, ada yang meminta saya menulis berkaitan dengan pilihan raya PERMAI kali ini. Puas saya berfikir, apa fokus utama yang perlu dibangkitkan dan diperhalusi bersama tidak kira di bahagian calon dan juga ahli yang menyokong.

Memandangkan pilihan raya dan mesyuarat agung tahunan adalah dua entiti yang tidak boleh dipisah-pisahkan ibarat irama dan lagu, ibarat isi dan kuku, jadi perkara yang ingin saya bangkitkan adalah soal tema mesyuarat agung kita pada tahun ini.

" KEMATANGAN BERPERSATUAN "

Jujurlah pada realiti, tema sebesar ini tidak akan mampu diangkat dalam tempoh mesyuarat agung yang tidak sampai 24 jam, malahan kurang. Saya ingin mengulas soal tema ini bukan tujuan ingin mempertikaikan kesesuaiannya, malahan saya yakin ada sebab yang tepat kenapa AJK Pelaksana AGM PERMAI kali ini meletakkan satu tema yang saharusnya dipandangkan peka oleh semua.

Adakah sudah menjadi adat untuk meletakkan nama tema yang bombastik dan meletup, tetapi perlaksanaannya bersifat melepas batuk di tangga, hilang entah ke mana.

Hakikatnya, tema " KEMATANGAN BERPERSATUAN " yang dipilih AJK Pelaksana bukan dipertanggungjawabkan ke atas mereka untuk merealisasikannya, tetapi adalah tangggungjawab kita selaku ahli yang bernaung dibawah persatuan yang permai seindah namanya dan juga buat bakal pemimpin persatuan bagi sesi akan datang.

Fatrah matang dalam berpersatuan itu bukan hanya pada ruang lingkup mesyuarat agung tahunan sahaja, bukan hanya di saat membahaskan usul sahaja, fatrah itu saharusnya diaplikasikan dalam proses awal pertukaran sesi, pilihan raya yang semakin menghampiri hinggalah tamat sesi mendatang. Jika tema ini tidak diambil peka, lebih baik dimansuhkan apa sahaja tema bagi program akan datang kerana hanya indah pada nama.

Saya yakin ahli PERMAI sudah matang dalam melalui fasa kempen pilihan raya dan proses pengundian nanti seterusnya melangkah ke dewan agam mesyuarat agung tahunan nanti.

Sama-sama kita saling ingat memperingati agar setiap tindak tanduk kita mencerminkan kita adalah mahasiswa yang matang dalam berpersatuan agar PERMAI mampu melangkah ke satu era persatuan yang matang.

Bagaimana mengukur kematangan?

Betulkan kematangan itu suatu perkara yang subjektif.

Ada orang yang sudah umur lanjut usia, namun lagak gaya macam budak sekolah rendah.
Ada yang masih usia belasan, tetapi gaya pemikiran mengalahkan orang empat puluhan.

Tepuk dada, tanya minda.
Kita tahu jawapannya,andai kita muhasabah segala yang telah kita lakukan dalam pentas dunia yang sementara yang menghasilkan natijah untuk akhirat yang kekal nun menanti di sana.

- Selamat menghadapi musim pilihan raya buat semua warga PERMAI tercinta!
- Jutaan terima kasih buat semua yang telah memberikan sokongan, buah fikir dan idea dalam membantu pasukan debat Irbid menjulang kejuaraan . Alhamdulillah.







Tuesday, July 7, 2009

Zero growth VS Rapid growth

Saya menelan setiap butir bicara Doktor Muhammad Alrababah.

Beliau menerangkan panjang lebar soal perkembangan populasi manusia di dunia.
Kadar perkembangan manusia yang digambarkan dalam pola yang menarik dan ada isu yang perlu diambil peka.

Sepanjang kelas itu jugalah saya terjemahkan segala yang doktor bicara ke dunia terdekat saya, PERMAI.

Ada beberapa fakta menarik yang ingin saya kongsikan dan kaitkan dengan kondusi persatuan kita.

1) " more people, more pressure to the environment "

Menurut jangkaan, graf pertambahan populasi dunia dijangka akan mencapai keadaan exponential curve , population bomb akan berlaku!





Rumus mengira populasi akan datang dalam sesuatu komuniti adalah seperti berikut :

P2 = P1 + ( L - M ) + ( I - H )

P2 = populasi akan datang
P1 = populasi sekarang
L = jumlah kelahiran
M = jumlah kematian
I = jumlah imigran
H = jumlah yang berhijrah

Sekarang, jom kita nilai kondusi PERMAI.

P2 = P1 + ( L - M ) + ( I - H )

P2 = jumlah ahli akan datang
P1 = jumlah ahli sekarang
L = jumlah kelahiran ( alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada senior Aiman dan isteri ;)
M = jumlah kematian
I = jumlah yang akan tiba penghujung Ogos ini ( dengar cerita mencecah 200 orang )
H = jumlah yang khirij ( 54 orang. tahniah ! :)

Sudah pasti growth rates ahli PERMAI adalah positif dan meningkat mendadak.

2) Zero growth VS Rapid growth

Jika di negara-negara yang dikategorikan sebgai zero growth seperti Itali, keadaan di sana mengalami suatu masalah apabila wujud keadaan di mana jumlah penduduk yang dikategorikan sebagai consumer ( yang sudah berusia ) melebihi jumlah producer, kadar produktiviti adalah rendah dan lembap.

Berbeza pula dengan negar-negara yang dikategorikan sebagai rapid growth khususnya di bahagian Asia, penduduk yang dikategorikan sebagai producer melebihi jumlah consumer, kesannya kadar produktiviti adalah tinggi.



Bagaimana pula dengan kondusi kita?

Adakah persatuan kita benar-benar mengalami rapid growth di mana ahli yang sedar akan tanggungjawab menjadi producer melebihi jumlah yang hanya merasai nikmat menjadi consumer?

Renung-renungkan.

3) Growth rates VS nation's per capita income

Kalau di negara-negara yang pendapatan per kapita rakyatnya tinggi, kadar pertumbuhannya dalah rendah. Sudah menjadi trend keluarga memiliki kemampuan material, tetapi mengambil keputusan untuk tidak beranak ramai.

Perkara sebaliknya berlaku di negar-negara membangun. Meski miskin harta, tetapi kaya zuriat. Kenapa situasi ini terbalik, tidak mengikut logik akal? Anda fikirkan sendiri ya.

Adakah kerana meraka yang kaya tidak melihat anak-anak itu sebagi aset kekayaan yang nyata, sebaliknya memandang sebagai satu bebanan.

Bagaimana kondusi persatuan kita??

Persatuan kita yang dari sudut pandangan saya bukanlah persatuan yang berstatus "kaya" dari aspek material,
namun kita bakal menghadapi satu fasa kekayaan ahli pada sesi akan datang.
Jadi, seharusnya persatuan kita perlu mengalami satu transaksi dalam mengejar keseimbangan kekeyaan dari sudut kapasisti ahli dan juga prasarana, dan yang paling penting kekayaan mentaliti dalam membawa persatuan ke arah tumbusaran yang baik dan seimbang.

Setakat ini saya yang ingin saya kongsikan sebagai peringatan kita semua dalam membina persiapan untuk hidup dalam komuniti yang semakin berkembang pesat.

-selamat mengundi calon pilihan raya PERMAI
- tiga hari lagi nak berdebat peringkat Jordan...gulp

-jom pergi BBQ malam ni wahai syabab2...penganjur, tak warna tema ke untuk baju? :)

Monday, July 6, 2009

Pilihan Raya: Ibarat Melukut Di Tepi Gantang


Memasuki fasal musim panas, persatuan-persatuan di Jordan akan mengalami musim pertukaran pucuk kepimpinan.

Namun, sejujurnya saya merasakan kehangatan pilihan raya tidak terasa mungkin disebabkan langit yang berawan sehari dua ini.

Pilihan Raya Persatuan

Sudah lama saya ingin tuliskan beberapa pendapat peribadi saya soal pilihan raya persatuan khususnya di Jordan.

Apa pentingnya pilihan raya?
Sekadar fasa pencalonan, kempen yang ala kadar dan pengundian berdasarkan gerak hati perasaan .
Kemudian, sesi pentadbiran bertukar ganti.
Selesai.

Adakah sesingkat dan sekecil itu peranan pilihan raya persatuan,ibarat melukut ditepi gantang.

Kelebihan yang perlu ditampung


Memang tidak dinafikan, kelebihan perjalanan persatuan-persatuan di Jordan adalah tidak wujud semangat ke"parti"an sepanjang pentadbiran dan menjelang musim pilihan raya. Semua ahli duduk sebumbung ibarat sebuah keluarga. Semua calon adalah sama.
Kelebihannya tidak wujud perpecahan dalam persatuan.

Namun ada satu lompang yang perlu ditampung oleh kita.
Suasana pilihan raya yang hambar!
Kempen ala kadar oleh mereka yang sudi mengempenkan calon, bagi yang tidak ambil cakna, hanya menjalani rutin harian biasa.
Calon pula tiada yang berkempen untuk diri sendiri dengan pelbagai sebab, mungkin tidak pernah dibuat orang, rasa diri tak layak, akan memakan diri, dilabel " gila kuasa " dan lain-lain lagi.
Kesannya, pilihan raya hanya jadi tradisi yang tidak memberi impak yang seharusnya dalam usaha mengikat ahli dengan barisan kepimpinan akan datang seawal dari pencalonan.

Saya tidak bermaksud untuk kita mewujudkan suasana berpuak-puak dalam berkempen.
Menaikkan calon pilihan dalam masa yang sama menjatuhkan lawan.
Bukan itu yang saya maksudkan.

Bagaimana pemilihan boleh dilabel sebagai berkualiti seandainya ahli hanya mengenali calon yang berlainan jantina sewaktu mahu memangkah kertas undi.
Mampukah ahli memilih calon-calon yang benar-benar layak seandainya calon itu sendiri bersifat ibarat "pengantin bersanding di atas pelamin", malu-malu dan hanya bersifat pemerhati,tidak menjelaskan apa yang akan diperjuangkan olehnya seandainya dipilih nanti, yang akan dipersoalkan ahli seandainya dia gagal mengotakan janji.

Apa yang diharapkan adalah kesedaran semua pihak dari setiap penjuru, tak kira di bahagian JPR, calon, ahli dan persatuan, semuanya seharusnya memainkan peranan dalam menjayakan
fasa pemilihan sesi akan datang.

Ya, memang setiap yang kita lakukan perlu bersederhana.
Membuat perubahan itu perlu berperingkat, yang penting perlu ada perubahan, jika tidak telan sahaja hakikat apabila dilabel sebagai ditakuk yang lama.

Tahniah saya ucapkan buat pihak yang telah membawa sedikit pembaharuan bagi meningkat kualiti pilihan raya persatuan.

Sama-sama kita berusaha agat persatuan kita benar-benar membina kesatuan dan menyatukan kita dalam mencari redha Tuhan.

- insyaAllah, saya akan menulis lagi soal isu persatuan
- belajar Natural Resources and Human menarik juga, sekurang-kurang tidaklah tepu dengan subjek medic sahaja
-jom lihat blog SPR MPPM

Thursday, July 2, 2009

Panas yang berlagu

Alhamdulillah.

Fatrah perpindahan saya dari rumah lama ke rumah baru sudah selesai.
Rumah sudah sedikit dihias mengikut kreativiti dan citarasa.
Dapur rumah saya sudah mula berasap.
Jaringan langit terbuka sudah berjaya menembusi rumah ini.
Moga rumah ini menjadi tempat kami mengikat hati dalam usaha memburu cita-cita kami.



Uhh..
Memang janggal dan kekok untuk menulis kalau hampir sebulan tidak melaziminya.
Ibarat anak Melayu makan mansaf ( nasi Arab yang di makan bersama laban ) buat kali pertama.
InsyaAllah, selepas ini saya akan aktif menulis semula.

Soifi : Panas yang menyesakkan

Semester musim panas ini akan dipadatkan lagi dengan turutan mesyuarat agung persatuan-persatuan. Bermula dengan Mesyuarat Agung MPPM, diikuti dengan Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) .

Jadual saya juga sudah padat dan sendat meski waktu kuliah belum start. Sudah dua jemputan telah saya terima untuk hadir ke mesyuarat agung bukan sebagai pendengar sahaja, tetapi sebagai pengerusi sidang. Saya terima jemputan itu memandangkan peranan sebagai pengerusi sidang tidak membuatkan saya fobia berbanding pengerusi majlis formal dan skema :)
Sekurang-kurangnya tidaklah saya tertidur di kerusi empuk menunggu tamatnya mesyuarat agung :)

Minggu depan juga saya akan menyertai debat peringkat se-Jordan antara mantiqah-mantiqah sempena Majlis Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 dan Karnival Akademik dan kebudayaan kali-1 Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MEKAR MPPMJ) 2008/2009. Senarai usul telah ada di tangan, sekarang ini dalam proses pencernaan dan penghadaman konsep yang menjadi nadi dan kiblat perdebatan.

PERMAI 08/09

Tinggal lebih kurang dua minggu lagi sesi pentadbiran PERMAI 08/09 akan berakhir. Masih banyak tugasan berbaki yang belum saya sempurnakan apatah menjelang AGM yang bakal menjelma. Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar sepanjang sesi ini, banyak yang akan saya abadikan dalam lagu perjalanan sepanjang kembara saya di bumi Jordan ini.

Emm..
Banyak pula saya menulis pasal diri dalam entri.
Sesetengah kawan saya berkata kaum hawa yang gemar menjadikan blog sebagai diari aktiviti hari-hari dan meluah isi hati .
No komen. hehe..

Angin sedang bertiup kencang, mohon undur diri ke belakang. :)