Saturday, May 21, 2011

CITA-CInTA



Ingat lagi zaman sekolah sekolah rendah dahulu kala, saat masih lagi badan gebu-gebu, muka comel-comel berseluar biru, berbaju lengan pendek putih susu . Kebiasaanya ada satu masa, hujung sesi tahun barangkali, cikgu darjah akan menghulurkan kad rekod pelajar, warna kuning kalau tidak silap. Antara kotak yang perlu diisi dalam kad tersebut adalah CITA-CITA . Ada tiga pilihan kalau tak silap saya ( maaf, agak susah nak ingat zaman kanak-kanak ni, banyak sangat kenangan terindah ).

Yang bestnya, setiap tahun akan diminta mengisi apa cita-cita yang bermain di minda, jadi boleh nampaklah sejauh mana konsisten apa yang dicita-citakan oleh murid-murid sekolah rendah.
Seingat saya, saya pernah tulis nak jadi Angkasawan, Saintis, Polis dan beberapa lagi yang saya sendiri lupa. Tapi Angkasawan dan Saintis antara yang kosisten selama 5 tahun di sekolah rendah.

Naik ke sekolah menengah,, melalui hari-hari indah zaman pra-remaja tanpa sebarang cita-cita, apatah lagi cinta :) Yang bermain di kepala adalah PMR, menjalani hidup di asrama yang penuh warna warni. Angkasawan dan Saintis sudah diwariskan pada adik-adik kecil saya untuk memasang mimpi di alam sekolah rendah mereka.

2005, kaki melangkah ke kolej itu yang banyak mengajar saya. Membuka mata akan beberapa makna, soal cita-cita, soal CINTA. Namun, masih lagi tiada sesuatu yang saya cita-citakan untuk menjadi apa. Lepas SPM, sudah mula memikirkan bidang apa yang akan diambil. Sudah mula kembali memasang cita-cita. Pernah terlintas di kepala untuk ambil perundangan syariah setelah berkenalan seorang peguam syariah yang sedang menguruskan kes artis popular, namun semangat itu tidak bertahan lama.

Dipendekan cerita, berbekalkan keputusan SPM di tangan, cita-cita dan impian mahu menjadi apa masih tak kelihatan, saya mencuba untuk mencari dan menggapai apa sahaja peluang yang ada. Mahu ke Mesir, lalu mengisi borang JPA Timur Tengah. Mahu mencuba menjadi guru Fizik, mohon program ijazah perguruan luar negara. Alhamdulillah, dapat dua-dua, cumanya bukan ke Mesir, tapi ke Jordan, negara yang saya tak terfikir untuk jejakan kaki di atasnya.

Dan kini, 2011, sedang mendaki di tahun 4 perubatan. Bidang yang tidak pernah terimpikan untuk melangkah di dalamnya. Alhamdulillah, aturan Allah.

Cita-cita untuk menjadi apa, menyimpannya adalah satu motivasi besar untuk kita terus melangkah. Namun, bila memiliki kejelasan untuk menjadi apa KERANA apa, kita akan lebih cekal dan tegar untuk terus melangkah dan menjadi apa sahaja, kerana yakin dan percaya setiap yang dilakukan akan bernilai ibadah.

Kalau dihitung, tidak semua orang berjaya menggapaikan apa yang dicita-cita dalam kerjaya,
mungkin disebabkan kerana halangan-halangan yang tidak dapat dielakan atas hakikat keupayaan manusia itu terbatas, seperti kemiskinan, kesihatan, peluang, keterbatasan tanggungjawab dan lain-lain lagi. Namun ramai yang tetap boleh berjaya walaupun di bidang berbeza kerana masih menyimpan intipati sebuah kalimah CITA-CITA.

Semakin kita melangkah, semakin horizon pandangan dan pemikiran akan terbuka luas.
Kaca mata kita akan lebih mencapahkan penglihatan, untuk melihat dunia yang terbentang dan seisinya, sejuta ruang dan peluang untuk dipilih dan direbut, untuk memaknakan sesuatu yang dinamakan CITA-CITA dan juga CINTA.

Memasang mimpi, dan terus berlari.
Mengejar pelangi, biarpun meredah hujan membasah bumi!

Thursday, May 19, 2011

Tanya Hati


Bila direnung kembali catatan-catatan lama, terasa cepat masa berlalu.
Cuba sesekali selak buku-buku nota lama, ataupun koleksi kepingan-kepingan gambar belasan tahun sudah, pasti akan terasa bahawa masa cukup laju berputar, meninggalkan kita.

Kehidupan, sebuah jalan yang panjang.
Sedari kecil lahir dari rahim ibu tercinta, perkembangan manusia itu cukup terjaga dan ada fasanya. Dari menyusu ibu yang punyai sejuta hikmah, terbaring meraung siang dan malam gelita , hingga bisa berjalan dan berlari ke sini sana, tahu mengenal huruf dan membaca, bermain dan tertawa. Dan akhirnya semakin dewasa, mengenal erti kehidupan dengan capahan rasa dan jiwa yang lebih luas, berbekalkan ilmu dan pengalaman, liku-liku kehidupan dilalui hari demi hari.

Bila saat mentari mekar bercahaya, disiram nyaman hujan menyegar bumi, lantas timbul wajah pelangi, ditemani tiupan angin petang, bayu-bayu menampar pipi, indah sekali. Membangkit jiwa dan rasa untuk terus melangkah dan berlari, menuju destinasi.

Kadang, kita akan bertemu hutan yang tidak nampak jalan, penuh duri dan lopak berair lagi licin, ditimpa hujan dari langit tanpa atap peneduh, ditiup angin sejuk menggigit, bisa saja memutus mematah semangat untuk terus melangkah.

Inilah hidup, tak kan mampu berpaut pada batang tubuh sendiri.
Ia terikat dengan fitrah, diciptakan manusia atas nama seorang hamba.
Bila terasa susah dan tiada memiliki, akan memohon kepada Yang Maha Pemurah.
Bila terasa dizalimi, akan menyerah kepada Yang Maha Adil.
Saat sudah merancang segala, menyerahkan kepada yang sebaik-baik Perancang.

Mata, hati dan rasa, tak kan mampu menafikan bahawa dunia ini menyaksikan semacam kecelaruan dan badai melanda. Dari pentas siasah, struktur sosial rakyat jelata, jatuh bangun ekomi semasa, kefahaman agama, pengamalan integriti dalam kehidupan sehari, dan bermacam-macam lagi yang dikategori, bukan dipisah-pisahkan kerana semua itu adalah KEHIDUPAN yang dihidupkan dengan cara hidup, Ad-Deen. Tiada pemisahan sama sekali.

Justeru, untuk mengubah semua itu, tak bisa andai diri tidak diubah sama.
Cita-cita harus besar, harus jelas.
Hubungan ukhuwah dipateri.
Ilmu didalami, dituruti amali.
Saat jatuh, tanyalah hati.
Ke mana kau mahu pergi.
Bersemayam di dunia, atau mengecap nikmat syurgawi.

Sunday, May 15, 2011

Cikgu Leman

Dia guruku,
yang mengajar dengan tingkah laku,
biar bicara tidak seribu,
ku bisa belajar erti tahu,
mahu dan mengejar mampu,
dari insan bergelar guru.

16 Mei.

Hari Guru yang akan disambut dengan meriah di seluruh Malaysia.
Berkotak-kotak hadiah dan ratusan ucapan akan diterima mereka.
Apa yang pasti, kegembiraan insan yang kau gelar " Cikgu " itu adalah saat kau sudah jadi manusia berguna. Yang memegang nama manusia dalam segenap ruang yang kau jalan dan dalam nafas yang kau hela.


Guru Saya

Saya melihat kegigihan seorang guru dari kaca mata pandangan saya selaku anak kepada seorang guru yang banyak mengharung suka duka.

Dia ayah saya yang digelar Cikgu Leman oleh anak muridnya, penduduk kampung malahan nenek saya ( ibu kepada emak ) serta makcik-makcik saya.


Kalau di masa kecil dahulu, waktu maghrib adalah waktu yang paling saya ternanti-nanti menunggu ayah saya pulang ke rumah. Satu jam setengah perjalanan dari sekolah yang terletak di Labis ke rumah saya di Kg. Sengkang, Bukit Gambir , itulah yang ditempuhi ayah saya setiap hari. Melalui jalan estet gelap yang tidak berpenghuni, kerap kali kebocoran tayar dan bermandi hujan,pulang hingga lewat malam, mungkin inilah tarbiyah yang menjadikan ayah saya seorang yang kuat dan cekal hingga saat dia diuji kini.

Saya ingat lagi ayah saya pernah bercerita, dia dahulu mendapat tawaran menjadi pegawai Felda, namun setelah berbincang dengan atuk saya, bidang perguruan menjadi medan kerjayanya sekaligus punca utama pendapatan keluarga kami yang sederhana. Alhamdulillah.

Kini, ayah saya tidak perlu lagi menunggang motosikal berkilometer jauhnya. Kini dia mengajar di S.K. Sengkang, tempat saya dan kakak serta adik-adik yang lain menimba sekelumit ilmu demi menjadi manusia. Hanya lebih kurang dua kilometer dari rumah kami.
Alhamdulillah, Cikgu Leman itu sudah mampu memandu membawa dua orang putera dan seorang puteri kecil bersama ke sekolah.


Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk bergelar guru.
Saya pernah menjadi pelakon hebat sewaktu ditemuduga kursus perguruan luar negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik ( macam Nik Nur Madihah jugalah ;)

Pelbagai soalan mengancam dan membunuh diajukan, dan dapat saya jawab dengan tenang dan meyakinkan. Akhirnya, tuan penemuduga mengeluh kepada saya " Awak ni memang hebat ", mungkin memuji, boleh jadi memerli . Saya tersenyum bersalah. Saat saya dihubungi oleh pihak mereka kerana diterima, saya tolak mentah-mentah kerana sudah mendapat tawaran Timur Tengah. Malunya saya kerana tidak berjiwa seorang pendidik.

Hari ini bukanlah satu-satunya hari untuk dikumpulkan segala memori dan dikenang segala jasa insan-insan yang memegang tampuk panggilan Cikgu, Ustaz, Murabbi, Mudir dan sebagainya.
Hari ini sekadar simbolik dan pengingat, apa yang penting kita sedar akan tanggungjawab kita dalam membawa dan menyebar luaskan ilmu yang telah ditanam dalam diri kita dalam setiap gerak langkah kita di bumi Allah.

Kata-kata Imam Malik: al-'lmu yu'ta ilaihi wa la ya'ti yang bermaksud ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi.

Carilah kita seluas mana ilmu, muliakanlah guru kita , insan penyampai ilmu.

Selamat Hari Guru buat kau yang mendidik aku.

~ selamat hari guru buat semua guru saya sedari kecil hingga ke saat ini

Wednesday, May 11, 2011

Degup Getar


Jam berputar, jantung terus berdegup getar.
Pejam celik, hari ini adalah hari terakhir round saya di hospital untuk tahun keempat.
Kelmarin baru sahaja mendaftar untuk subjek musim panas, Community Medicine yang tiada round di hospital, hanya duduk di bangku kuliah 2 jam sehari, dan buat sedikit tugasan sebelum exam menjelma.

Alhamdulillah, 3 subjek utama perubatan sudah dipelajari, Internal Medicine, Surgery, dan Pediatrics . Cebisan-cebisan ilmu yang dikutip hari demi hari, semakin membuka mata akan dunia perubatan yang memiliki sejuta warna dan rasa.

Ahad ini exam Pediatrics akan menjelma.

Doakan saya.

~ cuba menulis kembali, mengumpul rasa, menyulam bahasa,moga ada nilai kehidupan dikongsi, dalam helaan nafas dan denyutan nadi
~ esok mahu ziarah ke sana, mencari damai dan tenang, buat bekal menempuh hari mendatang
~ manusia, penuh silap dan khilaf, terus perbaiki diri, jangan putus asa, kerana duduk bertaraf hamba
T.T

Friday, May 6, 2011

Secebis kehidupan


Bicara soal persatuan, banyak yang terkumpul di kepala, terpendam di jiwa.
3 tahun ditaklifkan sebagai pimpinan persatuan mengajar 1001 perkara, memberi 1001 makna.

Ada perkara yang harus direnungkan dan dimuhasabahkan.
3 tahun lepas akan jadi cebisan dalam hidup saya yang menjadi bekal untuk masa mendatang.
Terima kasih buat yang memberi kepercayaan dan peluang untuk merasai tarbiyah melalui kepimpinan.
Maaf atas silap dan khilaf yang telah saya lakukan.

InsyaAllah selagi berdenyut nyawa, akan ku tuai kudrat dan tenaga.


~ AGM MPPMJ, 7 Mei 2011 di Mu'tah
~ salam imtihan buat semua sahabat-sahabat walau di mana anda berada
~
Kata-kata Saidina Umar Al-Khatab pada suatu masa : " Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang terakhir merasainya.Tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah orang pertama merasainya. ~ mampukah kita??