Monday, January 25, 2010

Cukup yang tidak mencukupi


Pernah rasa sesuatu nikmat yang dinamakan sebagai 'cukup'.

Cukup duit untuk ronda-ronda Eropah.
Cukup makan dan pakaian berjenama.
Cukup masa untuk tidur dan bangun semula untuk mencari sesuatu untuk dikunyah.
Cukup-cukup markah untuk naik tahun berikutnya.
Cukuplah aku sudah sekali jadi pekerja program yang menyesakkan dada.

Sudah cukup. Tutup cerita.

Tahu kenapa ramai manusia yang merasakan dirinya sudah mencukupi,
sudah punya beberapa kerat yang dia cita-citakan, lalu dia rehatkan langkah,
kembangkan perut, lelapkan mata. Sebab sudah rasa cukuplah apa yang ada.

Kenapa?

Hidup mencari untuk diri sendiri
manifestasi mem
entingkan diri sendiri.

Pernah lihat si ayah yang sanggup melakukan dua, tiga kerja dalam sehari, hingga lebam biji matanya, walaupun jutawan tidak akan digelarkan kepadanya, dia tetap berkerja dan terus berkerja.

Kenapa?

Sebab dia tidak pernah rasa usaha dia sudah mencukupi, bukan untuk dirinya, tetapi untuk keluarga yang disayangi, isteri solehah yang dinikahi dengan janji sehidup semati, anak-anak yang diazankan dan diiqamatkan usai keluar menatap wajah dunia.

Pernah lihat seorang ibu yang bangun awal pagi menyiapkan segala macam benda,
menggosok baju anak-anak sekolah, menyiapkan sarapan pagi dan mengejutkan anak-anak dan menyuruh mereka mandi dan solat subuh dua rakaat sebelum suria memancarkan rona cahayanya. Lepas dihantar anak-anak ke sekolah, bergegasnya berkejaran ke kebun getah dengan membawa pisau toreh untuk membantu si ayah mencari selaut rezeki Allah.
Dia bekerja bukan kerana dia tidak rasa cukup dengan apa yang diraih oleh usaha suami tercinta, tetapi kerana dia tahu, 'cukup' itu adalah untuk anak-anaknya.
Atas dasar cinta dan kasih, mereka rela tidak cukup rehat dan hilang beberapa nikmat.

Kenapa ibu bapa begitu?

Hidup pada memberi, nilai hasilnya yang tiada galang ganti.

Apa signifikan meletakan perkongsian sebagai sebahagian dari kehidupan?

Kalau kita seorang penuntut ilmu, bagaimana mahu jadi manusia yang mampu menyampai dan menabur luaskan benih ilmunya pada komuniti seandainya usahanya hanya disasarkan untuk lepas peperiksaaan.

Bagaimana mahu jadi seoarang pekerja yang meletakkan pekerjaan pada satu nilai ibadah dan bentuk perkongsian manfaat kepada alam sejagat, sekiranya hadir berkerja sebagai satu rutin agar tidak dilabel ponteng, dan merasakan cukup apabila sudah selesai tugas meskipun hanya melepaskan batuk di tangga.

Sama-sama tanya diri,
sudah cukupkan apa yang kita miliki,
untuk dikongsi kelazatan manfaatnya buat insan-insan yang disayangi.

Atau sekadar, cukuplah dengan apa yang ada.

~bumi Irbid direzekikan curahan hujan. salji belum pasti bila turunnya~ ~teringat zaman-zaman kecil berlari di kebun getah menyelamatkan susu getah yang ralit mencurah di saat hujan membasah bumi Allah. rindunya ~

Siapa tahu?


Manusia yang biasa yang berusaha dengan luar biasa, akan menjadikan dirinya luar biasa.

Selalukah kita renung diri kita, dan meletakkan satu garis jalan panjang jauh ke hadapan sana.
Manusia ini selalu sangat menggunakan pancaindera untuk melihat orang lain, meninjau keadaan
sekeliling, hingga lupa akan diri sendiri yang kadang-kadang langkahnya tidak tersusun rapi dan malangnya tiada garisan yang memandunya.

Saya juga tidak terkecuali.
Saya suka melihat gelagat manusia.

Dan manusia yang dihadapan saya, saya jadikan mereka eksperimen kehidupan yang
penuh dengan kimia gabungan suka dan duka, arus potensi dan daya lemah yang membunuh dan macam-macam lagi yang mewarnai jalur hidup manusia.

Manusia, walau sejahat mana sekalipun, siapa tahu suatu hari nanti dia kembali ke jalan kebaikan.
Kanak-kanak pengemis jalanan yang sering dijauhkan orang, siapa tahu akan jadi manusia kaya raya yang disegani dan dihormati kelak.
Si budak skema yang selalu dibuli dibelakang blok sekolah, siapa tahu akan jadi perwira negara.

Melihat manusia itu jangan hanya melihat untuk tahu status nilai sosialnya, kaya atau miskinya,
boleh atau tidak dia, sengal atau bijaknya dia.
Bukankah lebih bagus melihat dengan pandangan doa, mendoakan agar dia lebih baik agar dapat menyebarkan kebaikan.
Mendoakan agar potensi yang tersembunyi, dikembang luaskan sayapnya hingga menerbangkan diri mereka ke satu posisi yang lebih mulia di sisi Allah.

Melihat manusia lain, tak ubah seperti melihat melihat diri sendiri.
Mahu orang lain berubah, bermakna kita mahu diri kita berubah sama.

Kita manusia.

Kenapa mahu menjadi dungu untuk meletakkan kita setaraf dengan si dia yang berkaki empat dan meragut rumput lebat.

~Muhasabah~

Sunday, January 17, 2010

Label

" Don't judge a book by its cover."

Jangan menilai isi dari kulit luarnya.

Itu pesan yang selalu berkumandang apabila bicara soal nilai bagi kandungan sesuatu benda.
Dari kandungan buku kecil yang boleh dihadam sehari isinya hingga kepada sifat manusia yang kadang-kadang sukar difahami meskipun telah 10 tahun mengikat tali perkenalan.



Melabel

Tidak dinafikan, apa yang dinampak oleh pandangan pertama dan didengar kalimah apa yang dinamakannya, akal kita akan setkan minda :

" Owh. Ni novel cinta Islamik. Mesti membangun jiwa punyalah. "

" Budak ni pakai jeans, t-shirt biasa je. Takkanlah dia ni sekolah agama yang popular tu ."

" Program ni kita letak nama Mahasiswa Muslim, baru orang tahu Islam yang kita tekankan dalam program ni. Baru ada beza dengan program lain. "

" Persatuan kita kena ada nama Islam, baru orang tahu apa mesej yang kita bawa. Tak macam persatuan lain. "

Kenapa saya memilih untuk bangkitkan isu ini?
Ada beberapa persoalan yang saya kumpul untuk dikongsi.

1. Perlukah kita meletakkan label pada sesuatu perkara, seperti Islamik untuk mengangkatnya pada mana-mana lapangan?

2. Ada yang bertanya, bukankah apabila kita letakkan label agama atau Islam seolah-olah kita melukis satu garis sempadan yang membeza-bezakan. Tidakkah begitu?

3. Ada juga yang bertanya,tidak macam sekular kah kerana terlalu memisahkan ini Islamik, yang ini bukan.


Cerpen dan novel aku Islamik. Yang kau tulis tidak.

Persatuan kita cegah majlis maksiat ni sebab kami persatuan Islam.
Persatuan lain hanya memandang, itu bukan kerja kami, kerja mereka, persatuan Islam.

Saya ada beberapa pandangan untuk dikongsi.

1. Kalau Islam itu dijadikan judulnya dan diterjemahkan Islam dalam setiap bait kata penulisan, gerak langkah persatuan dan apa jua entiti yang diikat namanya dengan Islam itu, itu satu usaha yang bagus untuk mengangkat Islam yang kini terlindung dek kebanjiran jahiliyah.

2. Meskipun tiada label Islam padanya,tiada ana anta, bahasa arab pujangga, selagi mana ia menjadikan Islam sebagai wadah dalam gerak langkah dan bait bicara dan penulisan, yang memberikan kesan agar manusia bergerak ke arah kebaikan dan mendekati Tuhan, kita perlu menyokongnya.

3. Memalukan seandainya meletakkan label Islamik seandainya bertujuan untuk melariskan produk dan menarik minat orang mengikutnya,sekadar mengikut trend pasaran dan yang paling menyedihkan Islam hanya diletakkan sebagai subjek tampalan.

4. Meletakkan label ini Islamik dan itu bukan Islamik hanya akan merangkumi proses membanding beza. Tidak lebih dari itu. Yang merasakan dirinya atau apa yang ada padanya adalah 'Islamik' akan berasa dalam zon selesa, dan yang tidak 'islamik' akan merasakan ada garis pemisah.

Saya timbulkan persoalan?

Apakah itu 'Islamik'?
dan bagaimana pula dengan tidak 'islamik'?

Necara apa yang kita guna?
Bahasa yang ditonjolkan?
Nama-nama Islam yang dilariskan?
Atau nilai-nilai Islam yang kadang-kadang kita sendiri tidak menangkapnya kerana kita sendiri
tidak mengamalkannya?

Renung-renungkan.
Dan teruskan memikirkan.

Apa yang saya tulis bukan untuk memberikan jawapan,
namun untuk mencetuskan persoalan.

Wednesday, January 13, 2010

Jujurnya Mereka



Kanak-kanak.

Mereka manusia yang jujur.

Dan kalau mereka berbohong pun, mereka tetap jujur.
( Taklah, aku bohong kau je.. pengakuan mereka )

Kalau suka akan satu benda, sanggup menangis untuk memilikinya.
Kalau tak suka akan orang itu, tak disimpan dalam hati, terus sahaja mengaku.
Kalau tiba-tiba ada rasa semacam perasaan pada anak cikgu itu,
balik rumah mengaku kat emak kita ada buah hati baru.

Kalau lukisan kawan tak lawa, dengan tanpa segan silu,
dia komen tanpa berlapis-lapis, tak lawa la lukisan ko tu.

Kalau dia nak sesuatu, dia akan katakan nak.
Tak disimpan di dalam hati, yang kemudian memakan diri.

Kanak-kanak, jujurnya dalam persahabatan,
apa-apa yang dalam hatinya akan dikongsi.
Gelaknya jujur, tak pura-pura, tak dibuat-buat.
Bukan senyum untuk menjaga hati.
Dia senyum, senyuman asli.

Tangisnya, tumpah air matanya dari hati suci.
Bukan buatan, ia semula jadi.
Air matanya lebih berharga dari darah merah
si tua hipokrit.

Kanak-kanak,
kau penggegar dunia yang jujur.
Besarlah kau, besarlah jiwa,
bunuhlah tampang tubuh besar yang meloyakan.
Memualkan.
Menyesakkan dada.

Monday, January 11, 2010

Hospital : Rasa Sesuatu

Saya pelajar perubatan, akan jadi doktor satu hari nanti. IAllah.
Tapi saya semak semula penulisan saya sejak kali pertama berblog, macam bukan pelajar perubatan.

Orang kata kalau mahu mengenal tuan empunya badan, boleh dilihat corak penulisan.

Saya pernah menulis tentang politik, siapa tahu satu hari nanti anak Kampung Sengkang ini akan masuk ke dewan parlimen.
Cerpen dan puisi juga pernah saya hiasi di kanvas blog ini, mungkin juga penulis akan saya lalui jalan likunya kelak di hari tua.
Isu persatuan juga selalu jadi pilihan, mungkin kerana saya sedang memegang jawatan.

Tapi, tentang perubatan, belum pernah saya tuliskannya. Kalau ada mungkin sekadar tampalan pada mana-mana artikel.

Jujurnya, saya menulis tentang satu perkara atas dasar kecenderungan meminatinya.

Jadi, saya ni kurang minat medic ke?
Em.. saya minat, tapi belum cukup minat hingga untuk menarikan buah bicaranya di blog ini soal dunia perubatan.

Mungkin kerana saya belum cukup makan garam dalam dunia ini, baru masuk tahu ketiga, tahun akhir pre-klinikal. Hanya ditimbunkan dengan nota-nota yang perlu dihafal dan memasuki lab untuk melihat bongkah-bongkah tiruan dan cadaver yang kering dan rangup barangkali.

Selalu juga saya meninjau blog senior-senior klinikal tak kira di mana mereka berada, agak mengujakan, walaupun saya tahu keletihan dan cabaran lebih banyak terhidang di depan mata di alam klinikal nanti, belum lagi bila sudah menjejakkan kaki sebagai doktor pelatih di Malaysia.

Jujurnya, saya sukakan suasana hospital, ada rasa semacam yang tidak boleh diungkapkan.
Kalau kecil-kecil dulu, saya selalu ke hospital apabila fatrah adik-adik saya lahir ke dunia.
Menunggu emak keluar dari dewan bersalin, satu penantian yang menyeksakan, menanti wajah-wajah yang akan menyerikan keluarga.

Hospital.

Di dalamnya ada seribu satu kisah.
Kisah yang datang dari seribu satu punca.
Yang akan berakhir dengan noktah yang sama, tapi pada masa yang berbeza.




Sehari ditahan di hospital KAUH yang akan saya terokainya hujung tahun ini, memberikan kembali rasa itu.
Rasa ' sesuatu' kepada hospital.
Rasa untuk menerokai.
Rasa untuk memberi.


~dah2, sambung study, khamis ni exam bermula~
~ terima kasih buat semua yang mengirim doa, ziarah,bagi hadiah, makanan, kek , call dari UK mahupun Jordan. ~terharu~
~ Alhamdulillah, tongkat kanan sudah dijauhi, menunggu masa untuk berlari dan terbang tinggi~
~ aliran Sungai Nil sudah menari-nari ~


Wednesday, January 6, 2010

Malam Kedua

7 tahun yang lepas.
Saya pernah tidur di satu tempat buat kali pertama.
Selesa, makanannya disediakan dan dilayan dengan baik oleh orang-orang
di sekeliling.

Malam ini saya akan tidur di tempat itu buat kali kedua,
Bezanya kalau dulu di Muar, kini di Irbid pula.
kalau dulu tangan retak jadi puncanya.
Kali ini lutut pula bawa saya ke mari.

Hakikatnya semua ini Allah yang beri.

~doakan saya~

Tuesday, January 5, 2010

Dewasa yang bebal


Semalam hari pertama Ayuni masuk ke pra-sekolah. Tahun ini usianya 5 tahun, muda 15 tahun dari abangnya.

Emak kata dia bersemangat semasa di rumah, tapi sampai di sekolah pujuk Emak untuk sama-sama balik ke rumah. Akhirnya, Emak tinggalkan juga dia dengan kawan-kawan untuk belajar erti sebuah permulaan di alam sekolah.

Saya ingat lagi zaman tadika saya, cikgu banyak mengajar mengenal benda. Huruf ABC dan Alib Ba Ta. 1,2,3 dan bulat, segi empat dan segi tiga.
Kami diajar melukis alam dan cikgu juga rajin bercerita.
Cikgu Maimun, nama cikgu tadika saya.

Sekarang ini, ibu bapa sudah banyak pilihan untuk menghantar anak-anak ke pusat pendidikan awal yang mana, ada Tadika di bawah KEMAS, pra-sekolah di bawah KPM, PASTI, pusat pendidikan swasta dan lain-lain lagi.

Ada ibu bapa yang memilih atas dasar perbandingan yang mana lebih berkualiti, ada juga yang berdasarkan kemampuan. Namun apa jua alasan dan pilihan, tujuan mereka adalah sama, untuk memastikan anak-anak terdidik untuk jadi insan berguna.

Kalau kita kaji dan tengok teletah kanak-kanak, mereka adalah golongan yang sentiasa mahu tahu dan menganalisis sesuatu. Kalau kanak-kanak yang baru diputuskan susu ibunya dan sudah bermesra menjamah makanan bayi, apa sahaja yang ada di depan mata mahu dirasainya.
Yang sudah laju melangkah dan berlari, semua tempat mahu diterokanya.

Itu cerita kanak-kanak dan proses pembelajarannya.

Dewasa yang bebal

Kadang-kadang, bila seseorang menginjak dewasa, semakin banyak yang dia tahu, semakin tinggi tahap mengaji ilmu, otaknya semakin beku.

Ada yang selesa dengan menerima fakta-fakta dan menghafalnya demi lulus peperiksaan.
Kesannya bila terbentang di hadapannya persoalan dan masalah yang perlu diungkai oleh pemikiran, dia jadi bisu.

Tidak kurang juga jenis manusia yang hidup dalam keadaan selesa, suasana yang baginya sudah cukup untuk dia tahu satu dua perkara, yang lain boleh rujuk sesiapa yang lebih tahu daripadanya. Bila orang kata ini salah sebab si polan kata salah, dia angguk tanpa cuba memikir dan memahami. Dan kemudian, datang pula yang berkata ini betul yang si polan tadi salah, angguk sekali lagi sedang akalnya mati.

Bagi yang belajar satu pengkhususan, cukup baginya untuk tahu apa yang dikatakan perlu untuk melayakkan dia menggengam ijazah yang satu.Sedangkan segulung ijazah tidak akan jadi gulungan hamparan untuk kita berjalan di atas realiti dan cabaran kehidupan.

Masalah yang semakin membukit dan runcing tidak akan mampu diselesaikan dengan ilmu yang kita tadah dalam bilik kuliah dan disalin di buku nota. Akal bukan untuk diisi dengan ilmu semata-mata, tapi perlu digunakan untuk berfikir, menganalisa dan membuat pilihan atas dasar kefahaman dan keyakinan.

Apa nak jadi dengan kita?
Isi buku sangat payah untuk dikunyah dan dihadam ke isi jiwa.
Akal sangat payah untuk ligat berfikir,
lidah dan hati payah melunak zikir.

Dunia kini sedang bergolak dengan masalah,
dunia memerlukan manusia yang guna akalnya,
bukan hanya tahu mengunyah seperti lembu tua.

Saturday, January 2, 2010

2010


Saya tidak ada buku diari untuk ditulis di malam hari, yang disimpan di laci dan dicuri oleh kawan-kawan untuk membongkar siapa yang kita sukai.
zaman sekolah dulu pernah mencuba, tapi gagal acap kali. Menulis di atas kertas satu perkara yang agak melecehkan bagi saya.
Dan akhirnya bila sudah tidak buta teknologi, saya jadikan blog ini sebagai catatan perjalanan
untuk dikongsi, mudah juga buat saya untuk dijadikan rujukan peristiwa.

Jalur Warna 2009

2009. Tahun yang agak mencabar buat saya. Tahun yang saya kira sebagai tahun ketika usia di hujung belasan. Banyak perkara yang terjadi yang saya rakamkan dalam alam maya ini.

1. Awal tahun lepas, blog ini agak aktif. Namun, semakin meningkat bulan, semakin menyusut jumlah entri yang ada. Tulisan saya semakin kendur, minat sastera saya kian kendur dek kerana masa lebih menuntut untuk saya menulis di alam nyata.

2. Bulan Januari 2009, saya pulang ke Malaysia untuk melihat kondusi abah. Oleh kerana sudah sekali pulang ke Malaysia buat tahun itu, cuti raya saya dihabiskan di bumi Irbid, menguruskan kedatangan adik-adik bersama skuad tabah Irbid yang lain. :)

3. Bulan 7 yang lalu, taklifan Presiden PERMAI yang jumlah ahlinya kini melebihi 600 orang telah menukar banyak corak hidup saya. Jujurnya, menjadi pemimpin ini bukan semudah berkata-kata, banyak yang perlu dibuktikan dengan amal anggota.

4. 2009 juga telah membawa saya kembali ke pentas debat. Alhamdulillah, pasukan kami meraih dua kejohanan peringkat se-Jordan. Tahun lepas juga gerak kerja Kelab Orator PERMAI
mula diperkemaskan dengan bantuan rakan-rakan, dan azam saya untuk melahirkan lebih ramai individu yang berfikiran dan mampu menyampaikan. 2010, tahun untuk saya berhenti untuk beraski di pentas.

5. 2009, saya akhiri tahun itu dengan tongkat masih di sisi. 31hb yang lepas, saya merasai masuk ke dalam mesin MRI hampir 20 minit. Menanti seminggu lagi result, satu perkara yang menguji kesabaran. Mujur bayarannya jauh murah berbanding kos asal. Dan 2010 saya mulakan dengan tongkat yang tetap di sisi, saya tidak pasti berapa lama lagi, mungkin seminggu, mungkin sebulan lagi. Namun, masa tetap menuntut untuk saya terus berlari.

2010M/1431 H
Tahun ini tahun bermulanya fatrah 20-an buat saya.
Ini bukan lesen untuk nampak lebih berusia, agar boleh dijadikan alasan agar diizinkan emak abah untuk melayari bahtera rumah tangga.

Tahun ini tahun muhasabah, setelah dua dekad nyawa ini dipinjamkan, apa yang telah kembali disumbangkan.

Tahun ini tahun untuk mencipta.
Tahun yang membina sebelum ini menuntut hasilnya.

~Muhasabah~