Monday, January 30, 2012

Hilang Senyuman : Penyakit Berjangkit


Senyuman.

Ia memainkan signifikasi besar dalam kehidupan. Bayangkan dua orang yang tidak kenal satu sama lain, dengan senyuman akan membuahkan perkenalan, meskipun kadang kala berlainan bangsa dan bahasa.

Kuasa senyuman, mampu menghubungkan jiwa.

Senyuman juga adalah gambaran perasaan yang disemat di dada. Rasa gembira, senang hati, suka, lalu akan terpancar senyuman di wajahnya.

Hilang Senyuman

Hakikatnya tidak semua manusia mampu untuk menggaris senyuman di wajahnya.

Untuk menguntum senyuman, beberapa otot-otot muka diperlukan untuk memainkan peranan, dan terdapat saraf muka yang menghantarkan impuls. Apabila sistem saraf tercedera, lalu hilanglah kemampuan manusia untuk mengukir senyuman di wajahnya.


Oleh itu, jika terdapat manusia yang diuji Allah, kerana rosak sistem saraf mukanya, doktor saraf akan bertanggungjawab dan berusaha mengembalikan senyuman di wajahnya, dengan apa yang termampu dan terdaya.

Itu kisah orang yang hilang senyuman kerana penyakit yang dihidapinya.

Hakikatnya, kalau dilihat disekeliling kita ramai orang sihat yang lebih kurang sama keadaan wajahnya.

Senyuman Hilang

Itulah penyakit yang ramai dihidapi oleh kita. Senyuman hilang dari wajah.
Sukar benar ingin menguntum senyuman, apatah lagi kepada orang yang tidak dikenali oleh kita.

Apabila datang seorang peminta sedekah, mudah sahaja kita menggeleng kepala, bahkan ada yang menghalau dan mengherdik tanpa simpati, walhal jika benar tidak mampu menghulurkan walau kepingan syiling, apa salahnya menghulurkan senyuman dan meminta maaf kerana tidak dapat membantu.

Lupakah kita akan sabda Rasulullah S.A.W:

" Senyummu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah. "
( riwayat Al-Tirmidzi )


Begitu juga dengan pelajar perubatan, kalau dari zaman belajar sukar dan berat untuk menghulur senyuman mesra kepada pesakit yang terlantar di hospital, bagaimana pula nanti bila sudah sibuk dan tertekan bila sudah berkerjaya? Baru hendak memaksakan diri menggaris senyuman di muka?

Ingin merawat pesakit agar mengembalikan senyuman di wajahnya, kita pula yang hilang senyuman di wajah kita. Tertekan bagaimana sekalipun kita bergelumang dengan cabaran sebagai pelajar perubatan, jangan kita jual mahal dalam menghulur senyuman.

Tidak di lupakan buat bakal ustaz dan ustazah, mahupun apa jua bidang pengajiannya, jangan kerana mahu menjaga kewarakan hingga hilang senyuman di wajah, hingga membuatkan orang yang dahagakan ilmu rasa jauh dengan mereka. Kopiah sudah di kepala, jubah kemas diseterika, tetapi muka masa mencuka. Macam nak telan orang gayanya.

Begitu juga dalam berhubungan yang melibatkan lelaki dan perempuan, dalam urusan harian, persatuan dan pelajaran, senyuman dan terima kasih adalah 'common sense' yang kadang-kadang dikesampingkan, Maksud saya, bukanlah perlu senyum tidak kira tempat, seolah-olah mahu mengurat, tetapi sekurang-kurangnya maniskan muka kerana kita semua berhubung dengan manusia, bukan robot yang tiada jiwa.

Dalam hidup berkomuniti, senyuman itu boleh menjadi paksi keharmonian. Berselisih dengan senior mahupun junior yang tidak dikenali namanya, sekurang-kurangnya angkatlah tangan, gariskan senyuman dan hulurkan salam. Moga ia akan jadi titik perkenalan dalam membina jambatan ukhuwah yang berpanjangan.

Senyuman itu ibarat jangkitan, yang mudah untuk merebak, hari ini kita mendapat senyuman, esok hari mudah untuk kita melemparkannya.

Senyuman itu adalah modal perhubungan dan perniagaan, hinggakan ada pepatah Cina ada menyebut " seseorang yang tidak boleh tersenyum janganlah ia membuka kedai ".

Kalau orang Cina bijak memandang senyuman dari aspek ekonomi dan keuntungan dunia,
begitulah kita sepatutnya memandangan senyuman dari aspek keuntungan dunia dan akhirat,
di dunia menyebar bahagia dan harapan, sebagai ladang akhirat buat mempersiapkan bekalan.

Ingatlah,
jangan kita terlalu leka dan ghairah mengejar cita-cita,
terlalu berjiwa membara dalam mengubah dunia,
senyuman yang mudah tetapi besar peranannya diabaikan oleh kita.

Senyumlah.
Ia mampu mengubah dunia !


Friday, January 27, 2012

Penyakit : Lamaran Si Anak Muda


Orang muda.

Jiwanya membara. Tubuhnya berkudrat tenaga. Tinggi melangit cita-cita.

Usia dua puluhan adalah fasa usia yang melalui beberapa perkara dalam kehidupan, usia meraih segulung ijazah pelajaran, zaman memulakan langkah ke alam pekerjaan, dan juga fatrah merancang memasuki alam perkahwinan.

Dalam kesibukan merasai usia muda, kadang kita terlupa akan satu elemen yang penting dalam kehidupan kita, yang kadang tidak dipandang sebelah mata, bila sudah kehilangannya , baru terasa jiwa merana.

Apa yang sering dilupakan oleh kita, telah diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda.

" Ada dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan masa lapang ." ( hadith riwayat Imam Al-Bukhari )

Kita sering menggambarkan bahawa sakit itu sangat sinonim dengan orang yang semakin berusia. Mendengar pakcik yang duduk di hujung simpang sana meninggal dunia kerana sakit jantung, nenek yang duduk di kampung sebelah meninggal akibat barah.

Ya, tidak dinafikan peningkatan usia manusia merupakan salah satu faktor malar ( yang tidak boleh diubah ) yang menyumbang kepada sebab mendapat penyakit tertentu.

Bila sudah berusia, sel-sel dan organ dalam badan semakin menua, sistem imuniti badan semakin lemah, lalu mudahlah mendapat penyakit mahupun jangkitan pada tubuh badan manusia.

Mengambil contoh di Malaysia misalnya, penyakit cardiovascular ( sakit jantung dan strok ) merupakan punca utama kematian, yang mewakili 25.4 % dari kematian di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia. Malahan, kematian pra-matang iaitu kematian di bawah umur 60 tahun, 30% berpunca darinya.

Si Muda Melamar Penyakit

Waktu muda adalah zaman produktif kita. Berbekalkan kudrat tenaga, dan cebisan ilmu di dada, kita sering teruja untuk melakukan banyak perkara, tidak kira dari sudut kerjaya, pengajian, penglibatan dalam sukan, hobi, perniagaan dan sebagainya.

Namun, sering kita terlupa akan tabiat-tabiat dan sikap yang mendominasi hari-hari kita yang sebenarnya sedang 'melamar' dan 'menyunting' penyakit agar hadir menghuni sama hari-hari kita meskipun pada usia yang muda.

Banyak faktor-faktor pemboleh ubah kepada penyakit berbahaya seperti sakit jantung, diabetes misalnya, iaitu yang boleh dikawal dan dicegah, sering dikesampingkan dan ketepikan dalam mejalani hari-hari kita.

Antara usaha-usaha 'melamar' penyakit secara sedar ataupun tidak yang sering dilakukan oleh rata-rata golongan muda adalah :

1) Makan ber'jenama' dan menjimatkan masa :

Pemakanan, adalah elemen yang sudah sebati dalam kehidupan. Namun, kerana tuntutan kesibukan bergelut dengan masa yang semakin sempit dan sibuk dalam golongan muda, ramai yang tidak kisah sangat soal jenis makanan, janji sedap dan mengenyangkan, sumbat. Janji murah dan cepat, telan. Soal pembahagian nutrisi seimbang, sesuai dengan keperluan metabolisma badan, tidak menjadi isu terpenting dalam menentukan pemilihan makanan, tenggelam dalam faktor menjimatkan duit, masa dan tenaga. Menyangka untung sudah diperoleh, akhirnya sakit pula datang menindih. Sedih !


2 ) Ke'macho'an merokok

Tabiat merokok mendominasi dunia anak muda. Menurut Laporan Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM, senario di Malaysia lebih kurang 8% daripada 4.6 juta perokok adalah terdiri daripada kalangan remaja. Statistik ini juga menunjukkan bahawa lebih kurang 50-60 remaja mula merokok setiap hari. Hembusan asap ke udara, sambil menunggu kesesakan jalan raya, melegakan satu hari yang meletihkan barang kali. Di bangku sekolah pula, ada yang sudah mencuba. Pada awalnya mencuba, akhirnya sudah menjadi sebati dan rutin harian dalam hidupnya. Meskipun sudah terhias indah gambar ngeri dan menakutkan di kotak rokok, lambang akan kesannya mengundang pelbagai jenis barah pada badan manusia dan sakit jantung yang merupakan pembunuh utama, masih tidak mampu menghalang rasa untuk menyedutnya.

3 ) Gaya hidup generasi Y

Kelompok anak muda hari ini tergolong dalam generayi Y, kelompok yang dibahagikan oleh Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital, iaitu yang lahir sekitar tahun 1977-1997, yang kini mendominasi anak muda masa kini, generasi yang membesar dengan maklumat di hujung jari.
Segala-galanya menjadi mudah, untuk berkomunikasi, hanya perlu menaip di pada kekunci.

Ada antaranya yang sudah boleh menjalani kehidupan dengan hanya duduk di rumah. Jika keluar rumah sekalipun hanya untuk tujuan tertentu seperti ke kuliah mahupun tempat kerja. Hujung minggu masa beristirehat di rumah, menunaikan hutang tidur yang tidak cukup, mahupun menghabiskan rantaian siri drama korea mahupun filem yang bersedia untuk di muat turun di komputer riba.

Anjuran melakukan aktiviti fizikal 30 minit sehari tenggelam dengan riadah di hadapan komputer yang lebih mengujakan dan memberikan cabaran, barangkali.

Akhirnya, berat badan semakin meningkat, BMI mencapai obesiti, lalu penyakit dilamar dan disunting dalam kepadatan bergelumang dengan era teknologi !


3 ) Kelajuan Di Litar

Laju itu sangat sinonim dengan jiwa anak muda, segala-galanya mahu segera, hinggakan jalan awam dijadikan litar lumba, ibarat emak bapak dia yang punya. Kesannya, kalau mengikut rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, 12% kematian pra-matang di bawah 60 tahun adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya, didominasi oleh golongan muda.

Bagi yang bernasib baik, mungkin nyawa tidak melayang, namun boleh jadi mengundang kehilangan tubuh badan mahupun lumpuh sepanjang hayat. Hipotesisnya, semakin laju di jalan raya, semakin laju sampai ke destinasinya, iaitu menjemput ajal tiba!


Mahar Sebuah Kesihatan


" Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. " ( Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi )

Itulah pesan Nabi Muhammad S.A.W, baginda Rasulullah tercinta.

Kelima-kelima perkara itu ada kaitannya dengan kesihatan dan kehidupan kita.

Jangan pandang remeh akan kesihatan, kerana ia adalah mahar untuk kita membuat amal dan pahala.

Jangan kerana kita leka 'melamar' penyakit yang mengundang sengsara, kita rugi tenaga muda, merana di hari tua.

Kita mampu mengubahnya.

Melamar dan menyunting bahagia!




Tuesday, January 24, 2012

Glasgow Coma Scale : Neraca Kesedaran Manusia


Setiap hari kemalangan dan kecelakaan pasti berlaku, melibatkan ramai manusia, sama ada di jalan raya, tempat kerja, mahupun di kediaman rumah kita.

Apabila kemalangan berlaku mangsa akan dikejarkan ke wad kecemasan, dan doktor akan melakukan penilaian terhadap tahap kritikal mangsa yang menghadapi kemalangan.

Antara penilaian yang dilakukan adalah mengukur tahap consciousness iaitu kesedaran pesakit.

Bagaimana tahap consciousness pesakit diukur?

Glasgow Coma Scale

Ia merupakan panduan untuk mengukur tahap kesedaran pesakit, sama ada di tahap mild, moderate atau severe , berpandukan tiga kriteria iaitu respons berkaitan mata, pertuturan dan pergerakan motor.

Eyes ( Mata )
4 : Buka mata dengan spontan
3 : Buka mata bila mendengar suara
2 : Buka mata bila disakiti
1 : Tiada respons ( mata tertutup )

Verbal ( Pertuturan )
5 : Oriented ( peka dengan keadaan sekeliling, pertuturan normal )
4 : Disoriented ( keliru, tidak peka )
3 : Inappropriate word ( pertuturan yang tidak bermaksud )
2 : Incomprehensible sound ( bunyi yang tidak difahami )
1 : Tiada bunyi / suara

Motor ( Pergerakan anggota )
6 : Mampu mengikut arahan
5 : Boleh mengesan lokasi stimulus sakit
4 : Menjauhi stimulus sakit
3 : Pergerakan flexion terhadap kesakitan
2 : Pergerakan extension terhadap kesakitan
1 : Tiada respons

Setiap kriteria di atas akan dinilai dan dicatatkan skor masing-masing lalu dijumlahkan kesemuanya.

Contohnya jika pesakit tersebut matanya terbuka secara spontan ( 4 ) , boleh bertutur dengan baik dan peka keadaan sekeliling ( 5 ) , serta boleh menurut arahan yang diberikan ( 6 ) , lalu jumlah skornya adalah 15.

Kemudian mangsa dikategorikan mengikut jumlah skornya:

15 - 13 : Minor
12 - 8 : Moderate
7 - 1 : Severe

Pesakit yang skornya dalam kategori severe akan diberikan bantuan secepatnya kerana ia boleh mengancam nyawa.

Itulah kepentingan untuk menilai tahap sedar pesakit, agar dapat menyelamatkan nyawanya.

Selesai bicara tentang cara menilai kesedaran jasad manusia.

Bagaimana pula tahap kesedaran roh dan jiwa manusia?

Ada kayu ukurnya?

Sejauh manakah tahap kesedaran jiwa kita, adakah di tahap selamat, biasa-biasa atau kritikal yang boleh mengancam jiwa?

Skala Neraca Jiwa

Cuba bayangkan adanya skala yang mengukur tahap kesedaran jiwa kita sebagaimana adanya skala mengukur kesedaran jasad kita.

Contohnya yang melibatkan elemen-elemen penting dalam menentukan tahap turun dan naiknya kesedaran jiwa manusia yang bernama Muslim.

Solat fardu harian :

6 : Solat jemaah 5 waktu
5 : Solat jemaah 4 - 3 waktu
4 : Solat jemaah 1 - 2 waktu
3 : Solat 5 waktu sendirian
2 : Solat kurang dari 5 waktu
1 : Tidak solat

Membaca/ Tadabur Al - Quran :

5 : Setiap hari
4 : Seminggu sekali
3 : Sebulan sekali
2: Setahun sekali
1 : Tidak membaca

Menghadiri majlis ilmu/peringatan :

4 : Seminggu sekurang-kurangnya sekali
3 : Sebulan sekali
2 : Setahun sekali
1 : Tidak pernah

Jika begini neraca tahap kesedaran jiwa manusia, bayangkan andai seseorang yang memilih untuk menunaikan solat bersendirian dan kadang terkurang 5 waktu ( 2 ), membaca Al-Quran sebulan sekali apabila ada majlis yassin dan kenduri ( 3 ) dan setahun sekali menghadiri majlis ilmu sempena sambutan hari kebesaran Islam sahaja ( 2 ), lalu jumlah skornya adalah 7 . SEVERE ! MERBAHAYA !

Bagaimana pula dengan jumlah skor kita?

Seandainya jumlah skor kita masih ditahap biasa, mahupun sederhana, tidak mustahil seandainya kita tidak serius dalam memuhasabah dan memperbaiki tahap skor kita dengan rawatan-rawatan berbentuk usaha dan mujahadah berterusan , tidak mustahil tahap kesedaran jiwa kita akan merosot dan menjunam jatuh ke tahap merbahaya.

Oleh itu, sama-sama kita sedar diri, sedar jiwa !



Sunday, January 22, 2012

Kerana Cinta Badan Binasa




Cinta dan perkahwinan.
Ramai telah menulis tentangnya, dan ramai anak muda yang cukup teruja.

Bagaimana pula dengan cinta dan kesihatan?

Bagaimana cinta yang sering dipuja, boleh memberi kesan kepada kesihatan, malah boleh mengancam nyawa, jika tidak diletakan di tempat yang sepatutnya.

Salah Urus Cinta

Cinta itu satu fitrah, yang tumbuh dalam jiwa manusia. Mengekangnya umpama menahan hempasan ombak dipantai, yang sering datang bersama badai.

Namun, cinta yang fitrah itu bila ia disulamkan dengan nafsu, ia akan mengundang fitnah, menjemput musibah, dan salah satunya memberi kesan kepada kesihatan dan nyawa manusia.

Bagaimana agaknya ?

1) Kecewa Kerana Cinta :

Orang yang saling bercinta, atau bahasa remajanya 'bercouple', semuanya indah-indah belaka, pesanan ringkas panjang berjela, facebook penuh madah pujangga, hujung minggu berjanji temu di taman bunga. Tidak kiralah masih bangku sekolah mahupun sudah memasuki alam kerjaya, bila bercinta, dunia ibarat dia yang punya.

Namun andai ditakdirkan putus cinta, segala-galanya berubah dalam sekelip mata. Kecewa dan merana, dunia jadi gelap gelita. Ada yang berendam air mata berbulan lamanya, bila mengenangkan di tipu oleh si dia yang main kayu tiga. Yang masih belajar, pelajaran terumbang-ambing dipukul ribut menggila. Bagi yang bekerjaya, ambil MC berminggu lamanya.

Kecewa kerana cinta tidak kesampaian, akhirnya mengundang tekanan perasan, makan minum tidak menentu, tidurnya tidak seperti selalu,lalu mengambil pil tidur selalu, akhirnya kesihatan terganggu. Bukankah rugi begitu? Kerana salah urusan perasaan, badan jadi mangsa keadaaan. Apa yang paling ditakuti, kerana kecewa dalam percintaan, nyawa djadikan taruhan, bunuh diri jadi pilihan. Nauzubillah.

2) Cinta Bertuhankan Nafsu

Cinta yang awalnya hanya mengusik hati dan perasan, apabila silap mengambil pedoman dan panduan, membawa kepada lembah maksiat, yang mengundang musibah dan laknat.

'Terlanjur', bahasa yang sering diguna pakai, seolah-olah dunia mengizinkan perbuatan itu jadi biasa bagi orang yang memadu asmara, walhal ia adalah ZINA, yang bukan sahaja mengundang dosa, malah binasa kepada tubuh badan manusia.

Wanita yang mengandung anak luar nikah, akhirnya memutuskan menggugurkan kandungan secara paksa, mengambil pil mahupun teknik pengguguran yang ditawarkan. Kesannya anak yang tidak berdosa dibuang merata-rata, malah jangan kita lupa, ada juga wanita yang meninggal dunia kerana kesan komplikasi menggugurkan bayinya.

Sang buaya yang telah menanam benih secara haram pada wanita yang ditidurinya, ketahuilah bahawa anda telah menyebabkan kehilangan bukan satu nyawa, tetapi dua !

3) Penampilan Penarik Cinta

Ramai yang merasakan kecantikan itu adalah kayu ukur sejauh mana memiliki cinta yang diimpikan. Lalu, ramai yang berusaha menjaga penampilan, agar kekal menawan, agar ada hati yang tertawan.

Kesannya, ramai yang mencuba produk-produk pelangsingan badan, krim-krim muka yang pelbagai jenama, suntikan-suntikan yang dirasakan akan mengawet muda, secara berlebihan malahan tidak mengikut piawaian. Kerana mahu keuntungan sebuah 'kecantikan', demi meraih cinta, akhirnya tubuh badan tersiksa.

Begitu juga dengan isu berat badan, ada yang terlalu obses mengimpikan berat badan yang ideal, hingga akhirnya diet yang tidak bijak dan melampau, dan akhirnya menyebabkan kekurangan nutrisi dalam badannya.

4) Cinta Songsang

Isu yang agak sensitif tetapi hakikatnya perlu ditelan ianya berlaku dalam masyarakat kita. Apabila naluri cinta tidak mengikut fitrah, jatuh cinta sesama jantina, ia mengundang bahana.

Ada yang terjerumus ke lembah homoseksual , yang bukan sahaja terkutuk dalam agama dan sejarah tamadun manusia, malahan mengundang pelbagai jenis penyakit berjangkit yang mengancam nyawa.

Malah, ada yang yang sanggup bergadai wang dan menangung risiko nyawa, membuat pembedahan menukar jantina, agar dapat merealisasikan hasrat cintanya. Akhirnya tersungkur akibat tubuh menanggung derita kesan pembedahan yang dilaluinya.


Mengurus Perasaan, Mencegah Kebinasaan

Saya menulis keburukan-keburukan di atas bukan kerana saya pesimis dengan apa yang dinamakan cinta, namun apa yang ingin diketengahkan adalah kesan dan bahana apabila ia disalah urus dan tidak diletakan di tempat yang sepatunya.

Cinta dipuja, melebihi Tuhan pemilik segala cinta.
Jiwa merana badan terseksa.

Jangan kerana silap dibius cinta,
badan rosak binasa,
mengancam membunuh jiwa!

Kita mampu mengubahnya!


Friday, January 20, 2012

Pra-Klinikal Tanpa Jiwa






Sekarang musim cuti semester musim sejuk bagi semua anak-anak Malaysia di Jordan, kecuali bagi pelajar-pelajar medik yang 'skema' dari tahun keempat hingga tahun keenam. Sungguh mengasyikan melihat status junior-junior yang berterbangan ke serata dunia, dari benua Eropah hinggalah negaraku Malaysia.

Pasti seronok bercuti setelah berhempas pulas dengan peperiksaan yang bertubi-tubi. Masa cuti ini adalah masa kembara merehat diri, mengumpul dedaun rasa dan akar jiwa, untuk meneruskan langkah berbaki bila masuk semester baru nanti.

Teringin saya kongsikan catatan rasa akan hari-hari dunia pra-klinikal yang pernah dilalui, dan beberapa cadangan untuk dikongsi dengan dengan kawan-kawan tahun pra-klinikal perubatan semua.

Pra-Klinikal Tanpa Jiwa

Itulah yang saya selalu rasa. Manakan tidak, setiap hari ulang alik ke dewan kuliah yang beratus orang duduk di dalamnya, ditemani cahaya lampu malap, mendengar kuliah yang diberi oleh doktor-doktor yang silih berganti. Sesekali tesengguk dan diulit lena. Kemudian, dalam seminggu adalah dua tiga kali masuk ke makmal bersarung kot putih labuh ke lutut, membelek bongkah-bongkah tiruan dan cadaver yang sudah zaman-zaman diwariskan.

Cukup masa periksa, markah tersembul keluar di skrin komputer.
Ada masa gembira, Alhamdulillah.
Ada masa mahu menitis air mata, Innalillah.

Itulah hari-hari yang dilalui, bertemankan nota yang bertingkat-tingkat, buku tebal yang berat-berat, menjalani hari-hari bergelar pelajar perubatan dengan penuh semangat, dan biasanya selalu penat. :)

Jiwa seorang doktor, jauh tersemat dalam cita-cita, tetapi sukar untuk merasainya. Helai-helai nota yang memuntahkan pelbagai jenis penyakit dari segala bagai sistem badan belum dapat membuahkan perasaan apa itu KESAKITAN yang dialami oleh pesakit.

Bongkah-bongkah tiruan badan manusia mahupun cadaver yang diam terbaring itu tidak menceritakan apa-apa tentang kisah manusia menanggung derita, air mata.

Lalu bagaimana ingin mencari jiwa ?

Mungkin sesetengah orang dengan membaca buku yang tebal-tebal itu, dengan buat nota warna-warni, hijau, ungun, merah hati, dan merah jambu, jiwanya makin membara untuk bergelar doktor di hari muka.

Namun ada juga yang sukar begitu.

Jujurnya, zaman pra-klinikal zaman yang masih mewah masa lapangnya, walaupun subjek agak banyak dan berat, masih banyak ruang masa yang ada berbanding dengan zaman klinikal yang keluar rumah sebelum matahari mencerah bumi, balik rumah langit sudah hilang cerah cahaya.

Oleh itu, zaman klinikal adalah zaman emas untuk membina jiwa.

Saya ingin kongsikan cadangan beberapa perkara yang mungkin kalian telah lakukan dan saya sendiri belum pernah lakukan.

1. Cari Jiwa di Hospital :

Duduk di dalam dewan kuliah yang gelap itu, dan berjalan melewati bilik-bilik pesakit yang terbaring tidak bermaya sangat berbeza rasa hatinya. Sesekali, langkahkan diri menziarahi saudara mara, mahupun kenalan yang diuji Allah. Hiruplah udara hospital, tempat di mana kita akan mencurahkan bakti dan tenaga kelak. Peluang menemani ayah di hospital Malaysia, dan juga 'check in' di King Abdullah University Hospital satu ketika dulu, adalah bonus untuk saya merasai udara hospital sebelum melangkah masuk sebagai pelajar klinikal. ( tapi jangan korang cari sakit pula sebab nak masuk hospital, nanti masuk wad psikiatri pula :)

2) Join program-program berkaitan medik :
Program-program berkaitan perubatan, seperti mini klinik, talk-talk yang diberi oleh doktor-doktor Malaysia yang selalu berkunjung ke mari, adalah peluang untuk mendekatkan hati untuk bersebati dengan bidang yang kita ceburi. Tidak dilupakan, program-program mendalami Fiqh Perubatan, adalah satu peluang keemasan untuk kita hadam dan fahamkan, supaya dijadikan panduan apabila terjun ke medan kerjaya.

3) Membaca menyubur jiwa :
Membaca itu membuka mata, hati dan rasa. Bacalah bahan bacaan berkaitan dunia perubatan, dalam pelbagai bentuk, buku ilmiah perubatan, blog-blog doktor yang menceritakan pengalaman dan perkongsian, novel-novel yang berlatar belakang dunia perubatan dan lain-lain yang boleh membaja kejiwaan.

4) Tengok movie/series medik:
Yang ini pun saya perhatikan ramai yang sudah amalkan. Cumanya saya agak kurang melainkan pernah layan series Iryu : Team Medical Dragon, agak macho jadi heart surgeon , dan juga pernah ulang nonton Patch Adams :)


Begin With The End In Mind

Pernah dengar kisah tiga orang pekerja buruh membuat rumah.

Seorang pekerja yang mukanya masam mencuka, penat dan bosan katanya.

Seorang pekerja yang senyum sentiasa, membayangkan akan mendapat gaji akhir bulan nanti.

Seorang pekerja yang gembira sambil menyanyi, membayangkan keluarga yang bakal menghuni rumah itu nanti gembira di dalamnya, juga mengharap keluarga sedemikian rupa.

Itulah kuasa persepsi dalam kehidupan. Apabila bayangan positif kita gambarkan, tingkah laku dan usaha kita akan turut ikut sama. Membina energi dalaman yang sihat, lalu membakar semangat, menjadikan kita cekal dan kuat.

Begitulah apabila bergelar pelajar perubatan, kita bayangkan saat kita menghafal nota ubat yang berselirat itu, satu hari kita akan menguraikan masalah yang dihadapi oleh pesakit kita dengan izin Allah.

Saat kita berhempas pulas mengingati jenis penyakit dan fakta-faktanya, kita rasai satu hari nanti kita akan berusaha mengenal pasti punca penyakit yang dihadapi oleh bapa, atau suami kepada seorang anak dan seorang isteri. Dengan izin Allah.

Segalanya bermula di sini,
selaku pelajar kita akan terus belajar,
mengenal diri, mengenal Ilahi.



Friday, January 13, 2012

Simptom-Simptom Sakit Agama


Melangkah ke arah klinik doktor psikiatri, mata saya tertangkap tulisan ayat yang tergantung pada pintu bilik klinik.

" Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. " - ( At-Talaq : 2 )

Seminggu duduk dalam klinik psikiatri, hari-hari melihat dan menatap wajah pesakit yang membawa seribu satu cerita, membuatkan kepala ini terfikir-fikir apakah kolabarasi antara sakit jiwa ( psikiatri ), sakit jasad manusia ( medical problems ) dan sakit agama ( religious problems ).

Apakah punya hubungkait antara ketiga-ketiga ini, ataunya ia adalah komponen yang berbeza sama sekali.

Jom kita 'usha' sikit lorekan yang saya terfikir semasa dalam bilik klinik bersama doktor dan pesakit yang silih berganti.



Sakit Jasad Manusia, Sakit Jiwa

Berbicara berkaitan dengan sakit jiwa, ada beberapa keadaan yang berpunca datangnya disebabkan berpenyakit jasad manusia ( medical condition ).

Antaranya bila mengkaji berkaitan psychosis, keadaan di mana pesakit mengalami halusinasi, delusi dan juga ganguan pemikiran, ia boleh berpunca daripada beberapa medical conditions seperti melibatkan penyakit saraf dan otak, sistem hormon , nutrisi dan vitamin serta lain lagi-lagi.

Tidak dilupakan, sakit fizikal yang ditanggung boleh menyebabkan tekanan, dan akhirnya membawa kepada penyakit jiwa yang berlarutan.

Bila jasad manusia terganggu fungsi sistemnya, ia akan menganggu akal pemikiran, lalu berlakukan gelaja-gelaja penyakit jiwa.


Sakit Agama, Sakit Jasad Manusia

Apa yang dimaksudkan sakit agama?

Apabila agama tidak dijadikan panduan dalam kehidupan.
Agama dijadikan pecahan-pecahan dan dijuzukan.

Ia boleh berpunca daripada kejahilan, ketidak cukupan ilmu yang menjadi panduan.
Ia boleh juga berpunca dari kedegilan, ilmu sudah diketahui, namun tidak meresap masuk memandu hati.

Apa kaitannya 'sakit' agama dan sakit jasad manusia.

Kita lihat bentuk dan contohnya.

Apabila panduan agama tidak dijadikan batasan dalam pergaulan, lelaki dan perempuan bercampur tanpa batasan, akhirnya mendorong hubungan seks bebas atau bahasa tepatnya ZINA, yang bukan sahaja membekas sebagai dosa, malah mengundang penyakit berjangkit yang merbahaya, penularan virus HIV misalnya.

Begitu juga dengan penyalahgunaan dadah, tunggangan arak yang berleluasa , yang jelas hukumnya haram disisi agama, dan juga jelas kesannya kepada kesihatan manusia.

Rokok pula bagaimana? Ada yang masih mengizinkan diri menyedutnya kerana mengambil pendapat makruh, sedangkah tahu hakikatnya setiap sedutan itu membunuh! Ada juga yang mengetahui akan fatwa haramnya merokok , ( rujuk sini ), namun masih buta tuli, tidak peduli.

Sakit Agama, Sakit Jiwa

Membelek buku rujukan psikiatri, tiada catatan yang tertulis masalah sakit jiwa ini berpunca dari longgarnya pegangan agama.

Kalau diteliti, kebanyakan pesakit jiwa, pernah mengalami peristiwa hitam yang menghantui dan menekan diri mereka.

Kehilangan orang tercinta, tekanan kerja yang memuncak dan menggila, trauma dengan kemalangan dan sebagainya.

Tekanan dan faktor-faktor luar yang menimpa bertubi-tubi, ditambah dengan sakit agama, iaitu hilangnya pergantungan pada Yang Maha Berkuasa, akhirnya membawa kepada sakitnya jiwa.

Lihat sahaja di Jepun, Harakiri , satu istilah membunuh diri, seumpama satu budaya di kalangan orang Jepun demi untuk menjaga maruah kerana malu atau kalah di dalam sesuatu perkara seperti perang atau perniagaan. Bila hidup tanpa arah dan panduan, akal yang ada sudah tidak mampu memandu jiwa.

Sakit Agama, Sakit Jasad dan Jiwa

Apa pertemuan antara ketiga-tiga penyakit di atas, yang mewakili titik hitam pada lorekan gambar saya di atas sana.

Kalau diteliti, sakit agama adalah punca yang boleh mempertemukan ketiga-tiga sakit dalam satu masa.

Contohnya, manusia yang hanyut dalam arus dunia tanpa pedoman agama, melibatkan diri dalam kancah penagihan dadah mahupun pelacuran, akhirnya menghidapi penyakit yang merosakan badan, dan akhirnya tertekan lalu hilanglah kewarasan akal dan jiwa.

Agak ekstrem contoh pelacur dan penagih dadah?

Ok, kita tengok contoh kecil yang mesra dengan kehidupan kita?

Soal pemakanan dan gaya hidup sihat. Apabila makanan secara berlebihan tanpa kawalan, tidak bersenam dan bersukan, pagi bangun lewat hingga ke tengah hari, Subuh hilang entah ke mana, lalu gaya hidup begini mengundang datangnya obesiti, darah tinggi dan pelbagai penyakit yang sangat mesra menghinggap batang tubuh masyarakat hari ini.

Tekanan bertubi-tubi disebabkan penyakit dalam diri, dan faktor-faktor luar seperti tekanan pembelajaran dan pengajian, persaingan dan kompetisi pekerjaan, hubungan kekeluargaan , masalah-masalah dan tekanan ini diatasi dengan cara yang tidak tepat, akhirnya mengundang keruntuhan akal dan jiwa menjadi semakin mudarat.

Ya, semua ini berpunca dari gaya hidup seharian manusia. Tetapi, bukankah ia adalah berkaitan dengan hidup beragama, Ad-din, cara hidup manusia. Apabila ada kesakitan yang tidak diubati dalam cara hidup kita, ianya memberi kesan sedikit demi sedikit kepada jasad dan jiwa, dalam dia ia merebak ibarat barah.

Klinik Agama, Klinik Jasad dan Jiwa

Ramai dalam kita yang cukup segera mendapatkan rawatan dan ubatan di kala tidak tahan menangungg kesakitan badan.

Namun kita sering terlupa untuk mendapat rawatan dan pemulihan di kala terseksa jiwa dan raga. Bila terasa kosong dan bolong, bila jiwa terasa lopong.

Kuliah-kuliah agama yang terbentang luas di masjid mahupun surau di desa, usrah yang diberikan pelbagai nama, kelas mengaji, dan pelbagai lagi aktiviti kerohanian adalah klinik buat jiwa yang sakit dan terdera.

Ustaz-ustaz , yang merupakan doktor agama, harus ambil peluang berkuliah dan berceramah, sebagai medan menjadi pengubat penyakit agama dan jiwa para pendengar ceramahnya.

Buat doktor perubatan pula, dikala manusia sakit yang jiwanya lunak untuk dilembutkan, inilah peluang untuk mendekatkan diri pesakit kepada yang Maha Menyembuhkan.

Buat pesakit pula,jangan lupa, rumah kita juga perlu diusahakan menjadi klinik untuk mengubati 'sakit' agama. Hidupkan solat berjemaah dan bacaan Al-Quran, ukhuwah disubur dan disemai, dalam mujahadah memperbaiki 'kesakitan' agama yang bisa mengundang bencana.

Yakinlah kata-kata Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir )

Jom sama-sama rawat ke'sakit'an agama, moga jasad dan jiwa terpelihara.

Wallahu 'alam.





Monday, January 9, 2012

Anak Muda Berkitabkan Facebook


Semakin rancak dunia Facebook dari hari ke hari.

Kalau mengikut anggaran statistik pengguna Facebook sedunia, warga Malaysia adalah ke-17 tertinggi di dunia, bayangkan dari kanak-kanak yang baru pandai mengeja hingga atuk dan nenek turut sama terjun ke medan maya yang semakin popular.

Banyak sebab meng'sign up'kan akaun facebook buat kali pertama. Ada yang ingin mencari kenalan lama, ada jadi medan untuk tahu cerita dunia, ada yang berhubung dengan keluarga tercinta, mempromosi produk dan bisnes di medan maya, medan luas untuk menyebar propaganda, ada yang ikhlas untuk berdakwah mengajak manusia kembali beragama dan seribu satu macam tujuan yang berbeza dan mungkin dikongsi sama.

Muda-mudi Berkitabkan Facebook

Dua tiga menjak ini, kemeriahan di facebook menjadi-jadi. Pelbagai isu dikongsi, dengan hanya menekan butang share, apa yang kita rasa teruja dan seronok akan dikongsi dan tersebar ke dunia facebook seisinya. Tidak kira sama ada status tokoh-tokoh ternama, artikel yang menyentuh jiwa dan rasa, video-video yang sweet mahupun pahit, gambar-gambar yang membuka mata dan lain-lain lagi yang boleh dikongsi. 'Sharing is caring' kata kita semua.

Ambil sahaja isu mahasiswa yang terkini. Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri, lalu keluarlah video abang 'panglima' bersenjatakan ludah yang riuh di sana sini, dibalas pula dengan video 'parody' oleh sekumpulan pelajar yang sangat mencuit hati, diikuti dengan penjelasan mereka yang tidak memihak kepada sesiapa, diikuti dengan penjelasan oleh Adam Adli, dan terkini isu demo berdarah mahasiswa di UPSI, dan hari ini Adam Adli dijatuhkan hukum digantung 3 semester pengajiannya oleh pihak universiti.

Semua rantai isu Adam Adli di'share'kan di sana-sini di sesawang facebook yang di'sign in' setiap hari.

Tidak cukup dengan itu, maka penuhlah kalam-kalam anak muda yang berbicara isu ini, berstatuskan pandangan peribadi, mahupun dipetiknya pandangan tokoh-tokoh akademik mahupun politik,dan diwujudkannya page menyokong perjuangan mahasiswa masa kini

Itu isu perjuangan mahasiswa, salah satu isu yang semakin dipandang dan dibincangkan di sana-sini.

Banyak lagi isu-isu popular ataupun dekat di hati jiwa muda-mudi yang selalu distatuskan setiap hari.

Isu Ombak Hati Muda Mudi yang pernah saya nukilkan baru-baru ini.

Soal Cinta, membina rumahtangga, mencari pasangan sehidup semati. Isu yang tak kan jauh dari hati muda-mudi termasuk diri saya sendiri :)

Artikel perkahwinan mahupun percintaan pasti 'like' dan 'share'nya mencecah ratusan malah ribuan. Video-video 'sweet' tentang cinta dan perkahwinan, menghiasi wall-wall anak muda yang berdarah manis dan jiwa membara dalam kembara menuju rumahtangga.

Ok, kita tutup cerita isu cinta-cintun ini. :)

Hakikatnya banyak isu lagi yang berputar dan bercambah sebarannya dalam dunia facebook yang ditatap setiap hari.

Isu politik yang semakin hari semakin berwarna-warni, terkini DSAI dibebaskan dari tuduhan sodomi.
Isu kemanusian dan perjuangan keadilan sedunia seperti perjuangan rakyat Syria pada masakini, perjuangan Palestin yang sudah berdekad lamanya, pilihan raya Mesir yang dinanti oleh seisi dunia dan negara-negara lain yang masing-masing ada jalan kisah ceritanya.

Facebook Alam Maya, Penggunanya di Mana?

Senarai isu yang berjela-jela di atas tadi, adalah lambang masyarakat kita semakin peka akan perubahan dan gerak tari isu-isu yang melibatkan diri, negara dan dunia seisinya. Satu petanda positif bahawa facebook bukan sahaja medan berkongsi apa yang dibuat setiap hari, apa yang terbuku di hati, malah menjangkau lebih dari itu peranananya dalam menyebar luas isu dan pemikiran kepada semua penggunanya.

Cumanya apa peranan kita? Cukupkah rutin harian menunggu dan menanti isu-isu kontemperari dan terkini untuk dibaca dan dikongsi. Kalau begitu sahaja peranan kita selaku pengguna, sama sahaja kita dengan Facebook yang dicipta oleh manusia, jadi medium penyampai sahaja. Ibaratnya hidup kita di alam maya, sekadar tukang sampai cerita.

Bukankah kita manusia yang diberikan akal fikir dan rasa , yang dipandu oleh agama. Lalu tindak-tanduk kita biarlah selari dengan status kita yang bernama manusia.

Kalau datangnya sesuatu isu menarik untuk dibaca, cantik dan tertarik untuk ditonton, tekan dulu butang 'pause' untuk berkongsi, 'start' dulu mesin akal kita untuk berfikir dan merasa, dan gerak-gerakan jari jemari untuk mendalami isu dengan sebaiknya, agar apa yang dikongsi bukan sekadar kerana 'cinta pandang pertama', tetapi kerana benar-benar cintakan kebaikan yang kita rasa untuk berkongsi sama.

Tidak cukup dengan itu, mendepani isu-isu yang semakin bercambah dan membiak, memerlukan kita sendiri ada penapis dalam diri, iaitu ilmu yang mencerahkan mata hati. Jangan terlalu seronok 'follow up' isu di lama maya, kita lupa 'follow up' usaha menuntut ilmu dan pengalaman di alam realiti.

Jangan terlalu asyik berstatus dan komen berjela di dinding facebook, kita lupa dan kurang berdiskusi sesama teman di meja kopi, 'bulatan gembira', dan apa sahaja medium yang menghimpunkan kita, yang menyatu hati.

Terlalu senang dan mudah untuk dengar ceramah agama dengan hanya menekan klik, jangan mengurangkan usaha kita untuk menghadiri kelas agama mahupun kuliah di masjid-masjid di alam nyata.

Jangan terlalu mudah bertegur sapa di alam maya, sudah menghalalkan kita untuk duduk terperap di dalam rumah.

Sama-sama manfaatkan kemudahan maya, dengan tidak mencacat dan merencatkan kehidupan realiti dunia!

Peringatan buat saya, pengguna facebook tahun kedua !