Friday, May 29, 2009

Uncle Din dan 10 kg

Basah.

Rintik-rintik hujan menderu-deru membasah bumi, angin sejuk menghelus dari segenap ruang bangsal yang hampir roboh, namun tiada siapa yang tidak tahu kisah di dalamnya.

" Assalamualaikum. Ayah, Aiman dah balik. Aiman balik bawa sedikit wang dan makanan. " suara itu memecah sunyi rumah.

" Waalaikumusalam . Alhamdulillah. Ada rezeki buat kita. Terima kasih Man. " suara milik seorang lelaki lumpuh itu menyambut kepulangan anak tunggalnya.

Lelaki itu lumpuh separuh badan, tiada apa yang mampu dia lakukan melainkan menganyam tikar mengkuang bagi menampung hidup mereka berdua.

" Tapi Ayah, ada berita sedih. Soal mata pencarian Man. "

" Kenapa ? "

" Uncle Din dah tak bagi kami jual tin dan botol banyak-banyak kat dia. Mulai bulan depan, sehari dihadkan 10 kg sahaja. Susah la macam tu ayah. " suara Aiman bergetar sedih.

" Jangan risau, sekurang-kurangnya Man boleh cari dan jual tin-tin dengan Uncle Din lagi kan. "

" Memang boleh jual Ayah, tapi ni soal hidup kita ayah, masa depan Man ayah. Dengan 10 kg sehari, berapa ringgit sangat Man boleh dapat. Dan lagi satu, Uncle Din dah taknak beli tin-tin tu banyak-banyak dari budak-budak macam Man. Terhad. Jadi, persaingan makin sengit. "

" Kenapa persaingan pula ni Man. Ayah tak paham? "

" Macam ni Ayah, kalau dulu, Man selalu dapat kutip sampai 20 kg, ada sekali sampai 21 kg. Uncle Din selalu puji Man, dan kalau dia dah tutup stor dia dan Man baru je sampai, dia tetap beli tin dan botol Man. Sebab dia tahu Man gigih dan sungguh-sungguh. Yela, kalau tak, macam mana bole dapat sampai 20kg. Tapi....lepas ni mesti susah. Ramai yang boleh dapat 10 kg. Kacang saje.. "

" Emm..susah juga macam tu. Tapi Man kena ingat, dapat 10 kg bukan bermakna Man tak usaha, tapi cuma dihadkan pencapaian. Sekurang-kurangnya Man lepas ni boleh tumpu study.
Lepas dapat 10 kg, terus balik rumah, buka buku betul-betul. "

" Tapi Ayah.. "

" Man jangan risau soal 10 kg tu. Cuma yang Ayah risau tentang sikap Uncle Din, harapnya dia ada plan jangka panjang nak bantu golongan miskin macam kita ni. Dia mesti adil dalam bagi peluang untuk budak-budak macam Man dan juga dari sudut harga bayaran. Harapnya jangan dia fikirkan perniagaan dia maju dan nama dia harum sahaja. "

" Tapi Ayah.. "

" Dah, Man jangan risau. Lepas ini Ayah akan buat banyak-banyak tikar untuk dijual. Kalau sempat Ayah nak buat bakul rotan. Sekarang Man pergi mandi dan berehat. Lepas makan, pergi siapkan kerja sekolah. Malam ni pergi rumah Pak Ajib, ada kenduri sempena dia naik pangkat besar. "

" Baik Ayah. Man sayang Ayah ."

Ada air jernih yang memanas pipi sejuknya.

Ada deru ombak jiwa yang menghempas sayu hatinya.

Ada impian dan kesungguhan yang terpancar pada riak jiwanya.

" 10 kg, tak kan patah jiwaku memburu cita-cita! "

Wednesday, May 27, 2009

Malanyi

" Terimalah, Warkah Cinta ".


Tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan yang berhias indah.

Tubuh kecil di atas pentas itu mula mengatur langkah mengikut irama.

Semua mata-mata penonton di bawah terpukau dengan kelunakan suaranya,

meskipun usia belum mencecah satu abad, kemampuan vokalnya setanding dengan penyanyi-penyanyi terkenal.

Lima minit berlalu, penonton semua terpaku dan terpukau dengan persembahan mantap yang sememangnya dinantikan setiap minggu.


" Baiklah, sekarang dipersilakan peserta seterusnya, adik Nabil ! "

Kanak-kanak berusia sepuluh tahun melangkah naik ke pentas. Baju putih berkot hitam menambahkan lagi ketampanannya. Ada kelibat kanak-kanak perempuan yang saling berbisik sambil menjeling ke arahnya.


" Dengarlah, Lagu Rindu. "


Saat Nabil memulakan nyanyian, hadiri mula tidak kena. Ada yang menutup telinga, ada yang menjerit " Sumbang!!! ".


" Hei, baliklah! Awak tak layak menyanyi di sini. "


" Ni menyanyi ke melalak??? "


Nabil mula serba salah, bercampur malu dan kecewa. Sepantas kilat, dia turun dari pentas dan menghilangkan diri dari dewan yang berterusan gamat dengan sorakan kanak-kanak seusianya yang setia pada program mingguan yang diadakan khas buat mereka.


Mereka adalah kanak-kanak negara Malanyi . Di negara ini, kebolehan menyanyi adalah kayu ukur utama dalam pencapaian anak-anak seusia mereka. Hampir kesemua anak-anak negara ini sudah dilatih untuk menguasai teknik kawalan nafas, pitching, dan kawalan gemuruh serta lenggang lenggok tubuh agar senada dengan rentak irama.. Ibu bapa mereka sanggup mengikat perut dan memerah keringat demi memastikan anak-anak mereka mendapat ijazah Menyanyi Seumur Hidup ( MSH ) yang akan dijadikan bekalan dalam melangkah ke alam dewasa.

* * * * * *

Langit sudah mula memerah apabila matahari sudah beransur pergi, sebentar nanti bulan pula akan menayangkan kecantikannya. Air mata dan hingus masih berjujuran di wajahnya. Nabil melangkah tidak bermaya menuju ke rumah. Langkahan kaki itu terhenti setelah telinganya menangkap suara perbualan dua orang di dalam rumah itu.


" Saya pun tak tahu nak buat macam mana lagi, saya dah laburkan banyak wang untuk melihat dia berjaya memukau sesiapa sahaja yang mendengar nyanyiannya. Berpuluh ribu, habis cincin dan rantai emas tergadai . " suara keluhan ibu menusuk hatinya.


" Ya la, saya pun pelik dengan Nabil tu. Anak saya asyik bercerita tentang suara sumbang Nabil bila menyanyi di pentas mingguan."


" Dah nasib saya. Tapi, kakak dan adiknya tak mengalami masalah macam Nabil. "


" Ermm.. Saya ada satu cadangan, tapi serba salah pula nak beritahu. "


" Apa dia? "


" Saya dapat tahu dari kawan saya di tanah seberang Libungan , dalam satu belantara ada sebuah perkampungan misteri, di dalamnya ada sebuah institusi nyanyian yang tersohor di tanah seberang. Suara yang sumbang boleh bertukar menajdi buluh perindu, yang bisu boleh terus menjadi merdu. "


Nabil menelan air liur mendengar cerita itu.


" Tapi..."


" Tapi apa? "


" Hanya seorang sahaja yang selamat keluar dari perkampungan itu. Dia menjadi terkenal hingga meraih pelbagai anugerah. Tapi lama-kelamaan, nama dia hanya jadi kenangan. Dia hilang ditelan zaman. "

* * * * * * * * * * *

Angin bertiup sepoi-sepoi. Tenang dan damai dengan alunan zikir yang bergema dari segenap ruang. Gema wahyu membuat hati yang syahdu dan jatuh rindu.


Nabil mengorak langkah dengan hati berbunga. Sembilan purnama sudah berlalu, segala-galanya telah ditempuh dan dia tetap berdiri teguh dengan misinya.

Penyanyi tegar yang tak kan pudar dengan masa dan saingan yang berjuta.


Saat tiba di satu lorong kecil yang dipenuhi ramai manusia yang sibuk berjual beli dan ada yang sedang mengaji di bangku kecil , Nabil mula mengalun suara. Berkumandang kemerduan yang jauh berbeza dari sembilan purnama yang lepas.

Tiada raut gugup dan ketar yang tertonjol dari segenap nafas yang dihela.

Lagak seorang seniman yang telah menempah nama di persada seni dunia.


" Eh..siapa tu. Melakukan perkara aneh dan kuno. "

" Aib... Apa yang budak tu buat! "


Ada suara-suara yang berbisik sambil mata-mata memandang kehairanan.

Perasaan bangga dan puas Nabil bertukar pelik dan gundah melihat dia dipandang bak tidak berpakaian.


Ah!


Tangannya ditarik oleh seseorang ke lorong kecil. Tubuhnya didakap sekuar hati.


" Nabil, ke mana kau pergi. Mak rindu.. " sayu suara ibu menusuk ke hati.


" Nabil dah berjaya mak. Nabil dah mampu menyanyi yang tiada tara bandingannya. "


"Nabil.. Sebenarnya.. "


" Sebenarnya apa Mak ?? "


" Selama sembilan purnama ini, segala-galanya sudah berubah. Kanak-kanak sudah tidak lagi bernyanyi di pentas mingguan. Malah pentas mingguan sudah berjaya dirobohkan. Kini, semua anak-anak mengikuti kelas mengaji Al-Quran. Hati kami semua aman dan tenang. Tiada gundah dan kecewa. Nabil ikut mengaji sama ya. "


Matanya tidak terkatup, lidah kelu.

Sembilan purnama hilang begitu sahaja.

Masa mengubah manusia.

Friday, May 22, 2009

Ribut

(i)

Semua sudah tahu. Dalam tempoh seminggu, kelas kawan aku yang jauh nun utara kampung aku yang berdindingkan kayu, yang hebat dihentam ribut melulu, bertukar-tukar ketua kelas, rimas dan lemas.

Dulu Nazri naik setelah sekian lama dipegang dek Julat, lepas tu tiba-tiba satu pagi si Zamzar budak baru datang mengaku dialah ketua kelas pilihan rakan sebaya yang inginkan perubahan dalam bilik darjah agar ceria dan mewah. Dirujuknya ke Cikgu Tinggi , sahlah Nazri memang ketua darjah yang sah. Kawan-kawan aku ramai dah mula suka pada disiplin sekolah kesan ketegasan Cikgu Tinggi menangani isu ketua kelas ini.


Esoknya, tak sampai beberapa jam Nazri duduk semula kat bangku nombor 4 dari kiri kelas, tempat khas untuk ketua darjah, baru 3 kali Nazri mengetuai bacaan doa, tiba-tiba Puan Ayu, Guru Besar panggil dia ke pejabat. satu sekolah dah maklum, Puan Ayu memang jarang ada kat sekolah, selalu busy dengan direct selling tuppaware . Tapi, kes yang ini lain cerita, dia pula bersungguh-sungguh campur tangan sampai tak tidur semalaman. Apalagi, Zamzar senyum menyeringai dan melompat, kerusi no 4 dia confirm dapat.

Hari ini, Puan Ayu isyhtihar memang Zamzar ketua kelas yang sah, meskipun tak ada alasan kukuh yang ditaip dan difotostatkan untuk diedar kepada kawan-kawan aku untuk dibawa pulang ke rumah. Nazri akur, tapi bukan bermakna tersungkur. Kawan-kawan aku ramai gila kecewa, ada yang dah tak nak pandang muka Puan Ayu.

Aku yang jauh ni hanya mampu doa kawan-kawan aku selamat dan dapat belajar dengan tenang, walau aku tahu hakikat kerunsingan dan kecelaruan yang melanda batang tubuh dan jiwa tulus mereka.

(ii)

Alhamdulillah.

Kuliah Respiratory System saya sudah tamat. Lalu tinggal berbaki dua minggu waktu ulangkaji sebelum menempuh exam yang berbaki.

6 Jun 2009 - Mid. RS
7 Jun 2009 - Final RS
11 Jun 2009 - Final CVS
15 Jun 2009 - Final HLS

Doakan saya dan kawan-kawan cemerlang dalam peperiksaan ini dan juga ujian di dunia yang tiada henti.

Bittaufiq buat kalian yang sedang dan bakal berimtihan.


Wednesday, May 20, 2009

Samseng Jalanan dan Babi

(i)

Samseng jalanan.

Apa macam?

Ada takut kalian mendengarnya.
Atau makin hebat dan macho kalian rasa
jika kalian yang ditukar gelaran kepadanya.

Apa ada pada nama?
Yang digelar itu sama ada sedar,
atau yang menggelar itu tersalah sasar.

Tunggu dan lihat.
Munculkah filem lain yang berjudulkan Samseng Jalanan
untuk digahkan dan menjadi santapan mata-mata anak bangsa.
Tertayangkah lagi wajah-wajah tak malu yang bakal digelar Minah Samseng Jalanan
berbalutkan baju sendat dan seluar sekerat.

Cukupkah sekadar menggelar jika tidak diajar.
Menghukum sedang ramai yang masih tersenyum.

(ii)

Selsema babi.

Makin ramai yang risau.
Resah dan galau.
Mahu terbang ke sana sini,
terpaksa tunggu dan menanti.

Mexico nun sana sudah beribu dijangkiti,
berpuluh yang mati.
Angkara selsema babi.
Kalau dapat tiket free ke Mexico,
kau pun takut nak pergi.

Ah.
Ada barang dari Mexico yang dibawah ke Malaysia,
ditukar nama dan pengacara,
wah, ramai gila yang terkinja-kinja.
Tak takut pula.
Sebab itu bukan selsema babi la.
Itu surga insan seni.
Ehem,kawan.
Kau tak tahu,
ramai yang mati,
mati,
hati!

Alahai babi,
orang takut kau,
orang puja fantasi.
Apa nak jadi.


Saturday, May 16, 2009

Guruku Di Kamar Itu

Dia guruku,
yang mengajar dengan tingkah laku,
biar bicara tidak seribu,
aku tahu,
dia guruku.

16 Mei

Hari Guru yang akan disambut dengan meriah di seluruh Malaysia.
Berkotak-kotak hadiah dan ratusan ucapan akan diterima mereka.
Apa yang pasti, kegembiraan insan yang kau gelar " Cikgu " itu adalah saat kau sudah jadi manusia berguna. Yang memegang nama manusia dalam segenap ruang yang kau jalan dan dalam nafas yang kau hela.


Guru Saya

Saya melihat kegigihan seorang guru dari kaca mata pandangan saya selaku anak kepada seorang guru yang banyak mengharung suka duka.

Dia ayah saya yang digelar Cikgu Leman oleh anak muridnya, penduduk kampung malahan nenek saya ( ibu kepada emak ) serta makcik-makcik saya.


Kalau di masa kecil dahulu, waktu maghrib adalah waktu yang paling saya ternanti-nanti menunggu ayah saya pulang ke rumah. Satu jam setengah perjalanan dari sekolah yang terletak di Labis ke rumah saya di Kg. Sengkang, Bukit Gambir , itulah yang ditempuhi ayah saya setiap hari. Melalui jalan estet gelap yang tidak berpenghuni, kerap kali kebocoran tayar dan bermandi hujan,pulang hingga lewat malam, mungkin inilah tarbiyah yang menjadikan ayah saya seorang yang kuat dan cekal hingga saat dia diuji kini.

Saya ingat lagi ayah saya pernah bercerita, dia dahulu mendapat tawaran menjadi pengurus Felda, namun setelah berbincang dengan atuk saya, bidang perguruan menjadi medan kerjayanya sekaligus punca utama pendapatan keluarga kami yang sederhana. Alhamdulillah.

Kini, ayah saya tidak perlu lagi menunggang motosikal berkilometer jauhnya. Kini dia mengajar di S.K. Sengkang, tempat saya dan kakak serta adik-adik yang lain menimba sekelumit ilmu demi menjadi manusia. Hanya lebih kurang dua kilometer dari rumah kami.
Alhamdulillah, Cikgu Leman itu sudah mampu memandu membawa dua orang anak lelakinya kembali ke sekolah. Lebih kurang jam 11 pagi setiap hari Selasa dan Khamis, sebuah Avanza hijau akan menyusur masuk ke perkarangan sekolah untuk menjemputnya ke pusat hemodialisis, emak saya setia melambaikan tangan sewaktu van itu bergerak pergi dengan membawa harapan cikgu ini akan cekal dalam mengharung ujian kehidupan sementara ini.

Tugasnya yang semakin bertambah selaras dengan kenaikan pangkat juga sudah berkurangan, dia kini bertanggungjawab menjaga pusat pemulihan bagi membantu anak-anak kampung yang masih gagal menguasai 3M ( membaca, mengira dan menulis ). Hujung minggunya diisi denagn kelas tambahan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Saya masih lihat semangat ayah saya untuk mendidik anak bangsa meskipun di kamar kecil itulah dia akan meneruskan khidmat baktinya. Kini, ayah saya masih lagi setia dalam khidmat baktinya dalam memimpin orang-orang kampung. Dialah ayah, dia guru terbaik bagi saya.

Jujurnya saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk bergelar guru.
Saya pernah menjadi pelakon hebat sewaktu ditemuduga kursus perguruan luar negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik ( macam Nik Nur Madihah jugalah ;)

Pelbagai soalan mengancam dan membunuh diajukan, dan dapat saya jawab dengan tenang dan meyakinkan. Akhirnya, tuan penemuduga mengeluh kepada saya " Awak ni memang hebat ". Saya tersenyum bersalah. Saat saya dihubungi oleh pihak mereka kerana diterima, saya tolak mentah-mentah kerana sudah mendapat tawaran Timur Tengah. Malunya saya kerana tidak berjiwa seorang pendidik.

Hari ini bukanlah satu-satunya hari untuk dikumpulkan segala memori dan dikenang segala jasa insan-insan yang memegang tampuk panggilan Cikgu, Ustaz, Murabbi, Mudir dan sebagainya.
Hari ini sekadar simbolik dan pengingat, apa yang penting kita sedar akan tanggungjawab kita dalam membawa dan menyebar luaskan ilmu yang telah ditanam dalam diri kita dalam setiap gerak langkah kita di bumi Allah.

Kata-kata Imam Malik: al-'lmu yu'ta ilaihi wa la ya'ti yang bermaksud ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi.

Carilah kita seluas mana ilmu, muliakanlah kita guru si penyampai ilmu.

Selamat Hari Guru buat kau yang mendidik aku.

Monday, May 11, 2009

Hari ini, Semalam, Kelmarin

( i)

Hari ini lanskap politik Malaysia semakin mengujakan apabila Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.



Hampir beberapa bulan rakyat Perak menjadi mangsa pergolakan politik, kita nantikan bagaimana pula kondusinya selepas ini, sama ada pilihan raya negeri bakal mengisi kalendar negara atau percaturan yang tiada sudahnya bermain di celahan hak rakyat yang tidak terbela.
Jika benar rakyat didahulukan, berilah ruang rakyat yang menentukan.
Sama-sama kita berdoa agar yang hak terbela, yang dusta terhalang semuanya.

( ii)

Semalam, 10 Mei merupakan hari ibu. Melihat status YM kawan-kawan yang tertera " ibu " dengan pelbagai ungkapan. Moga luahan rasa cinta kudus ini terhadap insan yang melahirkan kita tidak terhad di hari ibu sahaja, tetapi setiap masa dalam nafas yang kita hela dan langkah yang diiring dengan doanya.


Cinta ibu ajaib bukan?
Walau jahat macam mana si anak, ibu tetap menyayanginya, kerana cintanya tiada sebab, cintanya tidak bersandar balasan jasa oleh si anak. Cinta yang kudus dan luhur.

Cinta kita kepada ibu pula bagaimana? Adakah bila dikenang jasa ibu yang tidak akan terbayar hingga hujung nyawa, cinta itu berputik mekar. Saat ibu marah dan menghalang kehendak kita, cinta itu hilang disambar dan pudar. Benarkah itu cinta yang terungkap dengan kalimah?

Dalam mesej balasan Emak, Emak minta didoakan agar jadi ibu terbaik buat anak-anaknya.

Ibu sendiri mahu jadi ibu yang terbaik, kita pula bagaimana?
Cukupkah dengan sudah terbang keluarga negara mengharumkan nama keluarga sudah boleh jadi anak terbaik?
Sempurnakah jalan liku kita demi menggapai gelaran anak soleh andai mencampakkan wang barang dua tiga ratus ke kampung halaman tanpa perhatian dan peruntukan masa mendampingi mereka kelak usai bergelumang dengan tugasan kerja.

Cinta ibu ajaib bukan?

(iii)

Kelmarin, saya dan tiga orang rakan telah meronda-ronda separuh Jordan bagi mencari damai dan ketenangan, jauh dari kesibukan kota metropolitan Irbid yang penuh dengan seribu cerita, dari kesepian lorong yang dipenuhi sampah hingga kebingitan jalan yang dirajai pemandu tidak berhemah.


Bersolat di tepi laut mati dan menyedut desir angin serta menatap redup matari yang hilang di sebalik merahnya awan cukup mendamaikan hati.


Ada topik yang kami bincangkan hampir separuh perjalanan.

Bicara soal CINTA.

Rasanya topik ini akan saya karang khas buat rakan-rakan yang sedang dibelenggu dengannya.

Buat masa ini, daripada kita meletakkan cinta pada wanita yang tidak pasti kita miliki, lebih baik kita memastikan kita benar-benar cinta pada wanita yang berkorban sepenuhnya nyawanya bagi melihat kita mengenal apakah erti sebuah cinta ibu kepada anaknya.

- dapat mesej sepupu saya yang belajar di Ireland akan bernikah Jun ini, akhirnya ade rekod keluarga kahwin masa belajar
- cuti senior dapat dilanjutkan untuk beraya, nampaknya lengang juga Irbid raya tahun ni..nak balik..ke tak nak. :)

Friday, May 8, 2009

Ali

Jumaat.

Pagi yang nyaman, ada bunyi-bunyi burung berkicauan dari jendela bilik sahabat saya.
Dihidangkan dengan secawan teh susu terasa segar.

Sahabat itu adalah insan yang selalu mengukir senyum saat gundah melanda.
Yang mengusik di kala muram durjana.
Menasihat dalam diam seribu bahasa.

Jumaat ini saya peruntukkan sedikit masa untuk menulis tentang sahabat saya.
Saya pilih seorang dahulu untuk dijadikan bahan eksperimen dalam penulisan ini.

Boleh kan, Amirulfadhli ? :)


Gambar setelah diedit warna beg..hehe. :)

Kali pertama saya melihat raut wajahnya ketika dia datang ke bilik saya di Intec sekitar Jun 2006.

" Poyo gile mamat ni ". bisik hati saya melihat gayanya yang seperti otai juga lah. ( haha..jangan marah )

Don't judge a book by its cover.

Hampir dua tahun mengenali Ali ini, baru saya tahu siapa Ali di dalam tubuh yang agak fit ini.
Ali, anak jati Terengganu dibawah pentadbiran MB Ahmad Said ini dilahirkan pada 3 November 1989 kini merupakan pelajar tahun kedua perubatan di JUST.

Hatinya yang lembut, ambil berat masalah kawan-kawan dan juga keselamatan rakan akhawat, kental dalam menghadapi ujian, itulah Ali yang menjadi salah satu nama manusia yang mewarnai kehidupan manusia di bumi Irbid.

Lagi satu yang menjadi inspirasi saya adalah komitmen Ali dalam memacu aktiviti pergerakkan persatuan dan badan kebajikan.

Rasanya ada formula untuk mengenal Ali:

Ali = Pengarah
Pengarah = Ali

Kami ada empat tahun lagi untuk bersama di bumi Irbid ini. InsyaAllah.
Saya akan terus mengkaguminya sebagai sahabat yang memotivasi dan memberi inspirasi.

Buat sahabat-sahabat lain, lain kali saya akan jadikan kalian subjek dalam entri mendatang.
Jangan cemburu ya. hehe

Menulis di pagi hari cukup dijadikan sebagai terapi.
Menyedut udara pagi sambil mengintai memori bersama-sama sahabat yang disayangi.
Mengemas rumah sambil mengurus fikiran.

Jumaat sebagai pengecas diri, untuk terus menyambung tugas sebagai manusia untuk seminggu mendatang.

-kawan-kawan yang nak komen, jaga sikit etika ye.hehe
-tulisan ini sudah mendapat keizinan pemilik jiwa dan raga

Wednesday, May 6, 2009

Sepi

Sepi.

Dahulu saat tembakan berapi-api,
Laungan dan sorakan tak henti-henti.
Kini saat khabar derita terselindung mati,
Aku aku, engkau engkau, siapa peduli?

Saat yang tertinggi berjalan menapak kaki,
Menyusur sesak jalan yang penuh daki,
Dia diangkat berjiwa rakyat sejati ,
Hei, itu baru sekali!
Yang beribu tak makan nasi,
Hak ditarik bertubi-tubi,
Ada masuk berita sensasi?
Sepi.

Wajibkah membisingkan retorik,
Mendiamkan hakikat yang tak menarik.
Medondang sayangkan kera berbedak,
Menganak tirikan bayi teresak-esak.

Sepi. Ada kau kesah?

Monday, May 4, 2009

Kenyangkan Perut Rakyat


Hari ini cuaca tidak menentu, angin bertiup kencang dengan debu pasir yang berterbangan memenuhi ruang udara. Pintu kaca bersebelahan dewan kuliah pecah dek hembusan angin yang menggila. Saya terasa seperti berada di medan perang di tanah arab sambil mengangkat senjata dan berkuda saat merentas jalan sambil dipukul angin kencang sahara.

Saya ingin kongsikan sebuah buku yang membuatkan saya kenyang menghadam butir kalimah isinya.

Belajar Dari Dua Umar : Kenyangkan Perut Rakyat

Buku karya penulis Indonesia, Hepi Andi Bastoni ini membawa pembaca menghayati jalur kisah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat serta penyambung rantaian perjuangan Islam.
Peristiwa yang dirakamkan dalam buku ini menceritakan liku tikungan yang pernah dihadapi mereka dalam menegakkan Islam yang kini berulang kembali dalam situasi perjalanan pendokong dakwah masa kini.

Siapa Dua Umar?

Umar bin Khatab merupakan khalifah kedua dalam sejarah Islam manakala Umar bin Abdul Aziz pula merupakan khalifah ke-8 Bani Umayyah di Damaskus.

Antara aspek yang ditonjolkan oleh kedua Umar ini adalah kesederhanaan dan mendahulukan rakyat dalam kepimpinan.

Kata-kata Saidina Umar Al-Khatab pada suatu masa : " Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang terakhir merasainya.Tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah orang pertama merasainya.

Kisah Umar bin Abdul Aziz memadamkan lampu ketika menerima kunjungan anaknya tercatat dalam lipatan sejarah, menggambarkan dia tidak mahu menggunakan kemudahan negara untuk kepentingan peribadi dan keluarga.

" Dua Umar ini adalah pemimpin yang mula-mula melaksanakan Negara Berkebajikan. Mereka mengajar rakyat bagaimana hidup dalam berkat kemiskinan atau kaya dalam petunjuk dan cahaya " ulasan dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Membaca kisah Umar ini mampu meniupkan api semangat untuk mencontohi sikap mereka tidak kira di mana posisi kita, sama ada barisan pemimpin atau kelompok yang dipimpin.

Membaca buku ini membakar semangat untuk membumikan cita-cita untuk menegakkan pemerintahan Islam yang pastinya tidak akan terdiri selagi mana jahiliyah masih menerajui.

Lalu, jika benar rakyat didahulukan, maka suara rakyat perlu diutamakan.
Demi menjadikan pentadbiran hebat, integriti seharusnya diangkat, bukan korupsi dijadikan syarat.

Kita mahu pemimpin yang kenyangkan perut rakyat, bukannya memboroikan perut sendiri dan konco-konconya.

Satukan Muslim Sedunia!

Sunday, May 3, 2009

KARISMA 09 Melabuhkan Tirainya

Alhamdulillah.

Saya selamat pulang dari mantiqah Mu'tah bersama kotinjen Irbid setelah dua hari berkampung di sana. Kejohanan KARISMA kali ini membawa satu lensa potret baru dalam penganjuran program MPPM yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada AJK Pelaksana dan semua pihak yang terlibat menjayakan KARISMA 09 : Saya Datang Kerana Ukhuwah.


Alhamdulillah. 5 emas, 3 perak, 4 gangsa. Itulah pencapaian atlit-atlit PERMAI yang cukup membanggakan sekaligus meletakkan PERMAI di kedudukan tertinggi dari aspek kutipan pingat. Saya kagum dengan semangat yang ditujukkan sedari awal latihan di Irbid hingga turun di medan sebenar.

Meskipun skuad bola sepak gagal untuk meraih emas, pencapaian perak dan gangsa cukup membanggakan, peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun lepas. Banyak yang saya peroleh sepanjang perlawanan bola sepak. Kerjasama sepasukan, taat pada arahan, akur akan kesilapan dan saling meberi galakan.


Saat yang paling mendebarkan adalah sewaktu penentuan tempat ketiga dan keempat menentang team Sarawak ( Amman ) melalui sepakan penalti, Sungguh dramatis. Alahmdulillah, akhirnya team kami mencatat sejarah sebagai second team irbid yang berjaya merangkul pingat gangsa. Terima kasih buat senior-senior yang banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar . Moga tahun hadapan Piala Duta akan berjaya dibawa pulang ke Irbid.

Saya Datang Kerana Ukhuwah

Hasil perbualan saya dengan beberapa orang rakan, saya dapat rumuskan layanan tuan rumah kali ini sangat mengharukan. Tahniah.

Contohnya, saya dan beberapa orang rakan menginap di rumah Timbalan Pengarah KARISMA, meskipun beliau sibuk dengan tugasan, kami tetap dilayan dengan penuh mesra, dijamu dengan masakan makan malam, ditambah dengan urutan tradisional buat yang kekejangan. Terima kasih saya hulurkan buat semua warga Mu'tah.

Saya pernah tertanya-tanya, mampukah program sukan yang mempertembungkan beberapa mantiqah dalam banyak acara berjaya mengerat ukhuwah. Masa sudahlah dua hari sahaja, ditambah dengan perselisihan di padang dan pemisahan tempat tinggal mengikut mantiqah. Bagaimana ukhuwah yang dilaung mampu terbina?

Hakikatnya, KARISMA hanya sebahagian flatform untuk mengumpulkan sejumlah besar mahasiswa se-Jordan dari semua mantiqah, ukhuwah yang terjalin untuk pucuk pangkalnya terletak pada batang tubuh kita sendiri. Sejauh mana kita cuba menjalinkan mahabbah, atau kita hanya mengejar pingat yang sebenarnya tiada nilai harga jika perseteruan yang tercipta dek semata-mata merebutnya.

Ukhuwah itu bukan seperti t-shirt KARISMA, setiap peserta akan memilikinya, diagihkan kepada seorang demi seorang. Ukhuwah itu laksana sagu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan bisa kita perolehnya.

Akhir kalam , tahniah buat semua. :)

Persembahan silat yang mantap dan mendebarkan. siap berparang lagi. :)