Monday, August 31, 2009

Aku Anak Merdeka


Merdeka.

31 Ogos setiap tahun kalimah itu pasti bergema.
Cuti diberi kepada semua rakyat Malaysia. Sambutan diadakan di mana-mana sahaja.

Kalau mengenang zaman kanak-kanak saya, musim merdeka adalah sangat meriah. Kalau yang memiliki basikal, pasti terpacak bendera Malaysia di belakang basikal lalu meronda di sekeliling kampung. Anak kampung patriotik! Saya juga seperti mereka. Kali pertama abah belikan saya bendera yang besar, saya tidak boleh tidur malam. Tidak sabar rasanya untuk mengibarkan jalur gemilang ke sekolah. Aku anak Malaysia!!!!

Saya ingat lagi kalau di zaman sekolah menengah dahulu , malam kemerdekaan pasti meriah.
Masa di Maahad Muar dahulu, pernah satu tahun sekolah saya masuk akhbar apabila sebilangan pelajar berjaya membuat kek Jalur Gemilang gergasi, semua orang yang meraikan kemerdekaan malam itu boleh merasainya.

Kalau di KISAS dahulu, saya pernah diminta untuk membuat persembahan pidato di dewan utama kolej. Pada bulan kemerdekaan juga adalah musim pertandingan akhir Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan. Saya pernah berazam untuk menyambut merdeka dengan berpidato di pentas akhir, namun hajat saya tidak kesampaian. Namun terubat di saat melihat junior-junior seterusnya kembali beraksi membawa nama KISAS di pentas pidato semula.

Itu semua kenangan saya tentang merdeka.
Kenangan saya yang tidak ada melibatkan pertumpahan darah.
Tidak melibatkan pertempuran dengan penjajah.

Merdeka??

Seminggu dua ini, saya ada membaca luahan hati pemimpin yang menyatakan rakyat Malaysia kurang bersemangat menyambut kemerdekaan negara kerana kurangnya Jalur Gemilang dikibarkan di udara.Tahun ini, sambutan kemerdekaan tidak diadakan seperti biasa, hanya dijalankan di kawan parlimen Malaysia untuk mengelakkan penyebaran H1N1.

Setiap tahun akan ada sambutan, setiap tahun bendera dikibarkan , setiap tahun pasti ada konsert yang meraikannya.

Filem-filem lama tentang merdeka ditayang semula.
Lagu popular nyanyian Allahyarham Sudirman akan bergema di corong radio.

Ya! Kita memang sudah merdeka. Itu yang tercatat dalam buku teks sejarah sekolah.
Buku yang perlu dihadam untuk lulus periksa.

Namun, adakah sambutan kemerdekaan ini hanya satu lambang untuk dikenang semata-mata.
Seperti mengenang seorang yang telah pergi.

Merdeka itu ramai yang melihatnya dari sudut fizikal. Tiada orang putih yang kacau pentadbiran kita. Yang membarisi kabinet Malaysia adalah Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua rakyat Malaysia. Jadi, kita sudah merdeka!!!

Merdeka itu ramai yang melihatnya apabila kita bebas ke mana-mana.
Tiada tentera mata sepet yang menghalang di jalan raya, membogelkan kita dan merampas harta benda. Tiada!

Ya, dengan merdeka, kita mampu untuk melihat bangunnya menara yang membelah awan gebu,
kita mampu menonton citrawarna Malaysia di kaca tv berwarna, anak-anak boleh bersekolah tanpa ancaman bahaya.

Sudah cukupkah merdeka itu untuk kemandirian anak-anak kita?
Adakah kita benar-benar merdeka.

Bagaimana dengan penjajah yang tidak kita nampak dengan mata.

Penjajah yang tidak menghiris daging di batang tubuh kita, tetap menghakis akidah dan jati diri kita.

Penjajah yang menghantar tenteranya melalui jalan media hiburan yang semakin bermaharajalela.
Penjajah yang menghantar tentera melalui budaya pemikiran yang memisahkan kehidupan dari agama.
Penjajah yang menghantar bisikan sengketa melalui propaganda yang menyerang agama kita.

Nampak kah kita penjajah itu, atau semua itu tidak perlu kita lawannya.

Adakah kita hanya mahu kibarkan bendera setiap masa, laungkan merdeka hingga hilang suara,
tapi beribu anak luar nikah lahir hasil meraikannya, hasil gagalnya memahami erti merdeka dan masih terjajah minda dan jiwa-jiwa manusia.

Bebaskan diri kita dari belenggu penjajah yang tidak nampak di mata.
Bebaskan kita untuk menyembah Allah semata-mata.

Benarkan aku anak merdeka?