Sunday, May 6, 2012

Ijazah 'Sekular'?


Alhamdulillah, sudah hampir lima tahun bergelar pelajar perubatan, di bumi yang terbentang pepohon tin dan zaitun ini. Setahun lagi sebelum bergelar graduan dan terjun ke alam kerjaya, membuatkan saya menoleh kembali ke belakang, mengenang zaman-zaman yang telah berlalu.

Silibus Pelajaran

" Sampai bila kita hendak biarkan diri kita belajar dalam sistem sekular ! " lontaran tegas seorang peserta dalam sebuah program mahasiswa.

Sudah beberapa kali saya dengar ungkapan yang sama, dari orang yang berbeza. Pada sisi pandangan mereka, sistem pendidikan sekarang dipisahkan dari agama. Sebagai contoh mengambil sistem pengajian perubatan, mungkin kesimpulan tersebut dibuat apabila silibus perubatan di sini tiada subjek agama dalam silibus pelajaran, tidak disyaratkan untuk menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith berkaitan perubatan, persoalan fikah perubatan yang menaungi isu ibadah pesakit, halal-haram dalam perubatan, isu-isu kotemporari yang melibatkan hukum hakam dan lain-lain lagi elemen yang akan menjadikan perubatan itu 'islamik' tidak menjadi teras yang akan dihadami oleh bakal graduan.

Ya, saya akui semua perkara itu tidak dijadikan silibus pelajaran di sini, dan ia memang satu keperluan ilmu yang perlu difahami dan dihadam oleh bakal pengamal perubatan nanti. Saya juga tahu beberapa buah universiti di Malaysia berusaha ke arah itu.

Kesedaran akan kekurangan yang perlu dibaiki dalam sistem pendidikan adalah satu kebaikan. Cumanya apa yang saya risaukan adalah persoalan berkaitan mudahnya kita melabel sesuatu dengan perkataan 'sekular', atas alasan tiada istilah islamik yang ditonjolkan dan juga kekurangan beberapa keperluan yang belum dimasukan.

Kerisauan apabila label 'sekular' yang diletakan, ia berkemungkinan akan menutup mata kita akan elemen-elemen dan nilai-nilai besar yang ada pada sistem yang sedia ada. Bukankah sepanjang pengajian perubatan yang mengambil masa enam tahun itu terkandung pelbagai tunjang-tunjang penting dalam Islam, seperti sikap profesional dalam menjalankan tugas, soal amanah dan kerahsiaan yang dipertanggungjawabkan, soal displin kebersihan dan penelitian dalam menjalankan tugas, soal disiplin dalam mengkaji dan menyelesaikan masalah. Tidak dilupakan juga sepanjang enam tahun juga pelajar akan mengkaji dengan penuh teliti suatu makhluk sebaik-baik ciptaan Allah, iaitu manusia.

Kerisauan tentang kekurangan sistem adalah satu sisi yang sememangnya perlu dipandang berat, tetapi ada satu sisi lain yang sering dilupakan iaitu kerisauan tentang penghuni sistem itu sendiri, mengabaikan perkara asas dalam silibus pengajian , apatah lagi yang tidak dibentangkan dalam silibus pelajaran!

Mensilibuskan Pelajaran

Saya lebih suka kita berbicara tentang apa yang boleh digapai dengan tangan buat masa ini. Langkah perjalanan seorang penuntut ilmu tidak harus terikat pada silibus pelajaran utama semata-mata. Tetapi harus diingat, silibus pelajaran di kuliah itu harus diutama.

Merasakan ada keperluan untuk menambah ilmu yang tidak terbentang dalam bilik kuliah, kita sendiri harus memerdekakann diri untuk menambah silibus pelajaran kita di luar bilik kuliah. Mencari ruang dan peluang yang terbentang dihadapan mata, tidak kira di mana kita berada, dalam mahupun luar negara. Kata orang tua, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Pokoknya, seimbangkanlah gegaran suara melaungkan betapa 'sekular'nya sistem dunia, dengan membebaskan dahulu diri sendiri dari sifat 'sekular' yang tidak berusaha membongkar nilai-nilai Islam yang ada walaupun tiada jenama Islamik yang diletakan kepadanya.

Mulakan dengan dirimu, wahai sang penuntut ilmu!