Friday, January 6, 2012

Obsessive-Compulsive Disorder dan Solat Tanpa Jiwa


"Orang yang tidak khusyuk itu samalah seperti orang yang mengunci jendela pada setiap malam agar tidak dimasuki pencuri. Pada saat tangannya menolak engsel, matanya memastikan ia benar-benar berhasil mengunci jendela bahkan telinganya sempat pula mendengar bunyi engsel menyelak pintu. Namun kerana kegagalannya untuk khusyuk, sebaik tiba dipembaringan, lantas ia bangun kembali sambil bertanya pada hati sendiri:"Adakah aku telah mengunci jendela?" Lalu apa gunanya mata yang melihat, tangan yang bergerak dan telinga yang mendengar sewaktu jendelanya dikunci?"

Satu perumpamaan oleh Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau dikenali sebagai Buya Hamka berkaitan khusyuk dalam solat. Saya tertarik dengan perumpamaan yang diberikan, sangat mengesankan. Apa yang menariknya, perumpamaan yang diberikan ada kaitan dengan satu masalah yang saya tekuni dalam rotation Psikiatri pada masa ini.

OBSESSIVE-COMPULSIVE DISORDER ( OCD )

Apa itu OCD ?

OCD merupakan situasi di mana pesakit mengalami pengulangan pemikiran yang akan menyebabkan kebimbangan dan kerisauan ( obsessions ) , lalu pesakit akan melakukan tindakan yang berulang kali untuk menghilangkan kerisauannya ( compulsions ).

Antara bentuk-bentuk masalah yang dihadapi bagi yang mengalami OCD adalah seperti :

1) Kerisauan tentang kotoran, lalu diikuti dengan membasuh tangan berulang kali secara berlebihan.

2) Kerisauan dan ragu-ragu dalam melakukan sesuatu seperti mengunci pintu, dapur gas, lalu diikuti dengan berulang kali memastikan tindakan tersebut sudah dilakukan.

3) Kerisauan tentang keseimbangan badan, lalu diikuti dengan pergerakan badan yang perlahan dalam melakukan tugasan harian.

Terdapat beberapa teori yang dikaitkan dengan punca masalah ini. Antaranya adalah berkaitan dengan gangguan sistem hormon serotonin , hubungkait dengan genetik keturunan dan juga masalah psychosocial seperti tekanan dalam kehidupan.

Berkaitan dengan rawatan pula, terdapat rawatan berbentuk ubat-ubatan dan juga rawatan berbentuk behavioral treatment. Andai masih tidak berkesan, pesakit berkemungkinan dikenakan rawatan electroconvulsive therapy ( ECT ) atau pembedahan ( cingulotomy ).

Itu serba sedikit berkaitan dengan masalah dan rawatan bagi masalah yang dinamakan OCD ini.

Adakah itu sahaja batasannya dalam membicarakan masalah OCD ini ?

Sekadar ambil ubat, rawatan latihan sikap dan perlakuan, jika tidak menjadi, lalu memilih jalan ECT atau pembedahan cingulotomy.

Saya terfikir pasti ada kaitan masalah ini dengan kata-kata yang diungkap oleh Buya Hamka berkaitan khusyuk dalam solat.

SOLAT TANPA JIWA

Analogi yang diberikan tentang soal ragu-ragu samaada jendela sudah terkunci walhal dia sudah menguncinya dengan disaksikan pandangan mata dan tangkapan bunyi selak engsel oleh cuping telinga.

Bagi individu muslim yang percaya akan rukun Islam yang lima, di mana terkandung di dalamnya perintah menunaikan solat, saya yakin pasti ada kaitannya dengan masalah sebegini yang melanda menggugah dan mengganggu jiwa.

Khusyuk dalam solat, ramai yang berbicara tentangnya, namun amat sukar merasai kekhusyukan yang benar-benar memberi makna.

Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Mu'minun, ayat 1 dan 2 ,yang bermaksud " Sesungguhnya berjayalah bagi orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya "

Apa yang dimaksudkan dengan khusyuk dalam solat ?

Al-Allamah Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menukilkan kata-kata Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas r.a, katanya,: " Orang yang khusyuk seperti yang digambarkan oleh Allah adalah mereka yang takut dan gerun terhadap Allah serta mempunyai ketenangan batin saat berdiri menghadap-Nya dalam solat."

Bayangkan dalam mendirikan ibadah yang menjadi tiang pada agama seseorang masih diculaskan, dikerjakan tanpa penumpuan, kehadiran hati dan sepenuh perasaan, bagaimana pula dengan perkara lain dalam kehidupan, pasti juga dilakukan sambil lewa, tiada kesungguhan fokus perasaan dan akhirnya menimbulkan bibit-bibit keraguan.

Solat yang dikerjakan dengan sekadar kerana aku KENA solat, bukan kerana aku PERLU dan MAHU solat, yang akhirnya tidak menatijahkan hasil solat dalam kehidupan.

Solat sudah dilakukan, tetapi masih lagi keluh kesah. Bukankah sepatutnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Lalu adakah solat itu benar-benar membawa ingatan kepada Allah.

Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang dilakukan, hingga tidak memberi kesan yang sepatutnya dalam kehidupan.

Bagaimana pula bagi yang terus meninggalkan solat, tidak dipandangnya walau sebelah mata?

Kesannya, tekanan kian bertambah, gundah gulana apabila masalah melanda. Akhirnya kecewa dan putus asa.

Tekanan demi tekanan yang bertimpa, akhirnya menyebabkan pemikiran dan jiwa terganggu, runsing dan risau dengan apa yang berlaku, lalu datanglah masalah-masalah berkaitan kehidupan seperti OCD yang menurut kajian 60% dikatakan dicetuskan oleh tekanan kehidupan .

Lalu, bila dilanda pelbagai masalah, berkaitan fizikal, hati, akal dan jiwa, sama-sama kita semak kembali sejauh manakah solat kita dikerjakan dengan usaha mendapat kekhusyukan agar kita tergolong dalam janji Allah akan kejayaan bagi orang yang khusyuk dalam solatnya.

Jom perbaiki solat seharian, moga bergerak menuju kejayaan !


2 comments:

Qawiem Khairi said...

terima kasih abg naqeb. ^^
banyak info boleh dapat hari ini.
Alhamdulillah.

Menanti lagi.

Anonymous said...

assalam,boleh mintak email penulis tak?itupun kalau tidak keberatan.saya ada persoalan yang ingin ditanyakan.