Sayu dan terharu.
Saat kami sedang berkumpul di katil seorang pesakit, seorang mak cik mengelap mulut suaminya yang penuh dengan air liur, yang terbatuk-batuk menahan sakit.
Berulang kali dilakukannya sambil membisik sesuatu ke telinga suaminya. Kata-kata semangat barangkali. Dua-dua sudah lanjut usia.
Pernah pada cuti bulan Ramadhan yang lalu di hospital Muar, melihat seorang nenek menemani suaminya di sisi, dia hanya tidur duduk di kerusi selama beberapa hari. Satu hari dia mengemas-ngemas baju suaminya, disusun rapi masuk ke dalam beg, mereka berdua ceria, menyangka sudah boleh pulang ke rumah. Namun, sangkaan mereka meleset, ditahan beberapa hari lagi. Lalu, nenek masih lagi meneruskan tugasnya, menemai suami tercinta, mengelap tubuhnya, menyuap makanan, menukar lampin dengan penuh setia.
Begitu juga dengan emak, yang tak kering air mata menanti Abah di bilik kecemasan Ramadhan yang lalu. Menanti dengan setia hingga abah dibenarkan pulang ke rumah.
Suami isteri itu berkongsi nyawa, cinta bukan hanya terikat seawal pernikahan, tapi hingga ke hujung nyawa.
Amanah, tanggungjawab, suka, duka, itulah yang menggembur baja cinta.
Dan yang paling penting segala-galanya kerana redha Allah.
Saya banyak melihat si isteri telah membuktikan cinta, suami pula bagaimana? Mampukah kita?
Allah menciptakan sesuatu itu berpasang-pasangan, agar saling melengkapi mendepani kehidupan, sebagai persediaan menghadapi hari yang tiada penghujung sempadan.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. ( Surah Ar Rum : ayat 21 )
Dengan BismilLah ku bermula
Bingkisan hati buatmu teman
Yang dikasihi
Kita bersama dalam satu ikatan
Bermula episod hidup di dunia ini
Ku harap hanyalah di dunia
Dirahmati dan diredhai
Selamat sejahtera di Syurgawi
Oh Tuhan satukanlah
Hati kami dalam mencintai
Redha atas ujian diberi
Jauhkanlah kami
Dari rakus mengejar duniawi
Hidup mati biarlah untuk-Mu
Harap dunia hanya di tangan
Bukannya di hati ‘tuk dicintai
Kita dicipta sebagai khalifah
Bersama kita hidup untuk-Nya
Kita dicipta di dunia fana
Ada amanah yang tersedia
“Oh Tuhan..
Kita laksana bersama
Amanah dari-Nya demi
Memburu cinta dan harapan”
Tuhan itu harus diutama
Dari segala kepentingan dunia
Bergandingan kita untuk
Memburu cinta-Nya
Oh cinta-Nya
“Tuhan .. Kau satukanlah hati-hati
Memohon kasih-Mu oh Tuhan
Dalam mengharap redha
Dari-Mu..”
“Hanya di dunia
Kita harapkan, kita dambakan
Selamat sejahtera, bahagia..”